PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Wednesday 14 December 2011

HIJRAH MEMBENTUK KEIKHLASAN UMMAH


Peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w. dan para sahabat dari Mekah ke Madinah telah membawa perubahan yang besar kepada kebangkitan, kemantapan dan perkembangan agama Islam, bahkan hijrah itu sebagai titik permulaan kuasa Islam berkembang dan tersebar ke seluruh dunia. Oleh itu, rahsia di sebalik peristiwa hijrah hendaklah dihayati dan dijadikan pengajaran dan contoh teladan yang baik untuk menjalani kehidupan, kerana pengajaran dan iktibar dari peristiwa hijrah itu adalah antara peninggalan Rasulullah s.a.w.yang amat berharga dan bernilai jika dimanfaatkan. Walaupun hijrah Rasulullah s.a.w.tidak akan berlaku lagi di zaman ini tetapi mesej hijrah tetap berterusan sehingga bila-bila masa.

Di dalam sepotong hadiht, Rasulullah s.a.w. pernah menjelaskan tentang konsep hijrah yang perlu kepada keikhlasan dan ketulusan hati sanubari.

Sabda Nabi s.a.w.:

حَدَّثَنَا آدَمُ بْنُ أَبِي إِيَاسٍ قَالَ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي السَّفَرِ وَإِسْمَاعِيلَ بْنِ أَبِي خَالِدٍ عَنْ الشَّعْبِيِّ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ (متفق عليه)

Maksudnya: “ Dari Abdullah bin Amru bin Ash ra, bahwa Nabi Muhammad SAW bersabda: Muslim yang sebenar ialah muslim yang menjadikan saudaranya merasa selamat dari lisan dan tangan (perbuatannya), sedangkan muhajir (orang yang hijrah) adalah orang yang meninggalkan segala yang dilarang Allah Ta’ala”.

Hadith ini merupakan hadith sahih yang diriwayatkan oleh hampir seluruh imam hadith, iaitu Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Turmudzi, Imam Abu Daud, Imam Ahmad bin Hambal, dan lain-lain. Dalam Imam-Imam kitab hadith yang enam (Kutubus Sittah), hanya Imam Ibnu Majah yang tidak meriwayatkan hadith ini. Dan hampir semua Imam ahli hadith sepakat akan kesahihan hadith ini. Secara umum hadith di atas menggambarkan tentang dua perkara besar; pertama karakter orang beriman dan kedua makna hijrah. Kedua perkara tersebut dirangkai dalam satu penjelasan singkat dari Rasulullah SAW melalui hadith di atas. Penjelasan pertama adalah bahwa karakter tentang orang yang beriman (muslim), iaitu sebagai orang yang boleh menyelamatkan muslim yang lain dari apa bentuk kejahtan dan kemungkaran. Ertinya orang lain tidak merasa ‘terganggu’ dengan kehadirannya, baik secara lisan mahupun perbuatannya. Sikapnya terjaga, perilakunya terkawal, ucapannya menyejukkan, ungkapannya menenteramkan dan statementnya memajukan umat. Sementara perkara yang kedua, iaitu hakikat tentang hijrah itu sendiri, bahawa hijrah yang hakiki sesungguhnya bermakna meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah dan RasulNya s.a.w. sama ada yang zahir ataupun yang batin batin. Namun untuk merealisasikan tujuan hijrah tersebut, seseorang  itu mesti meninggalkan sebuah tempat yang dipijaknya menuju  ke tempat yang lainnya jika di tempat itu tidak dapat melaksanakan ketaatan kepada Allah Ta’ala. Hijrah yang seperti ini dinamakan juga dengan ’hijrah makani’, iaitu hijrah dari tempat yang jahat ke tempat yang baik. Sedangkan hijrah dalam erti yang lebih luas sebagaimana digambarkan dalam hadith di atas, sering disebut juga dengan hijrah ma’nawi. Dalam hijrah, komponen yang terpenting adalah ‘niat’. Perkara ini dapat kita lihat dari kisah muhajir Ummu Qais. Di mana terdapat seorang sahabiah yang bernama Ummu Qais, yang ingin hijrah melaksanakan perintah Allah dan RasulNya dari Mekah ke Madinah. Namun pada saat yang sama, terdapat seorang yang ‘menyintai’ Ummu Qais ini dan dengan hijrah itu diharap cintanya akan terbalas. Akhirnya Rasulullah s.a.w. bersabda dengan sebuah hadith yang cukup masyhur, iaitu  hadith tentang niat; ‘Bahawasanya segala amal perbuatan tergantung niatnya. Dan bahawasanya bagi setiap orang akan mendapatkan apa yang diniatkannya. Sesiapa yang berhijrah kerana mengharapkan keredhaan Allah dan RasulNya, maka hijrahnya tersebut akan mendapatkan  keredhaan Allah dan RasulNya. Dan sesiapa yang berhijrah kerana kepentingan dunia  atau kerana wanita yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya tersebut akan mendapatkan apa yang telah diniatkannya’. (Muttfaqun Alaih).

Ketika mengkaji tentang keikhlasan, muncul di sana sebuah persepsi pentingnya menghindarkan amalan dari riya. Kerana riya merupakan lawan kata dari ikhlas dan riya ini pulalah yang dapat menghancurkan keikhlasan seorang hamba yang telah sekian lama diusahakannya. Memahami riya merupakan perkara yang cukup urgen, guna membantu dalam peningkatan keikhlasan. Berbeda dengan ikhlas, maka riya bermaksud amalan yang dilakukan seseorang bertujuan mendapatkan keredhaan manusia, sama ada berupa pujian, pujaan  atau sesuatu yang diinginkannya selain Allah Ta’ala. Dr. Sayid Muhammad Nuh, menggambarkan adanya tiga faktor yang menyebabkan timbulnya riya: Pertama kerana ingin mendapatkan pujian dan nama baik di masyarakat. Kedua kerana kekhawatiran mendapat celaan manusia dan ketiga, menginginkan sesuatu yang dimiliki orang lain (tamak). Ketiga perkara ini didasari dari hadith, yang diriwayatkan Imam Bukhari:

عَنْ أَبِيْ مُوْسَى رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، أَنَّ أَعْرَابِيًّا سَأَلَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهٌ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُوْلَ اللهِ، الرَّجُلُ يُقَاتِلُ حَمِيَّةً، وَالرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِيُرَى مَكَانُهُ، وَالرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِلذِّكْرِ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ قَاتَلَ لِتَكُوْنَ كَلِمَةَ اللهِ هِيَ الْعُلْيَا فَهُوَ فِيْ سَبِيْلِ اللهِ

Maksudnya: “Dari Abu Musa al-Asyari ra, mengatakan bahwa seorang Baduwi bertanya kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah, seseorang berperang kerana kekesatriaaan, seseorang berperang supaya mahu dilihat oleh orang dan seseorang berperang kerana ingin mendapatkan pujian? Rasulullah SAW menjawab “Barang siapa yang berperang kerana ingin menegakkan kalimatullah, maka dia fi sabilillah.” (HR. Bukhari).

Di dalam sepotong hadith yang lain, yang diriwayatkan oleh  An Nasai, Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

مَنْ غَزَا لاَ يَبْغِيَ إِلاَّ عِقَالاً فَلَهُ مَا نَوَى

Maksudnya: “Barang siapa yang berperang hanya kerena kekang hewan, maka ia hanya akan mendapatkan apa yang diniatkannya.” (HR. Nasa’i)

Ungkapan dalam hadith pertama, tentang seseorang yang berperang supaya posisinya dilihat orang dan seseorang yang berperang supaya mendapatkan pujian, adalah sebagai indikasi penyebab riya yang pertama, iaitu ingin mendapatkan pujian dan nama baik di masyarakat. Kemudian ungkapan dalam hadith tentang seseorang yang berperang kerana kekesatriaan, adalah indikasi dari penyebab yang kedua, iaitu kekhwatiran mendapatkan celaan manusia. Adapun dalam hadith yang kedua, adalah indikasi dari penyebab yang terakhir, iaitu menginginkan sesuatu yang dimiliki orang lain. Meninggalkan ketiga perkara di atas adalah merupakan salah satu upaya guna menghadirkan keikhlasan dalam beramal, sekaligus menghindari dir dari sifat riya.

Sesungguhnya riya’ adalah syirik kecil; demikianlah ungkapan yang dikemukakan Rasulullah s.a.w dalam salah satu hadithnya yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hambal dalam musnadnya. Rasulullah SAW bersabda:


إِنَّ أَخْوَفَ مَا أَخَافُ عَلَيْكُمْ الشِّرْكُ اْلأَصْغَرُ، قَالُوْا وَمَا الشِّرْكُ اْلأَصْغَرُ يَا رَسُوْلَ اللهِ؟ قَالَ الرِّيَاءُ، يَقُوْلُ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ اذْهَبُوْا إِلَى الَّذِيْ تُرَاءُوْنَ فِي الدُّنْيَا هَلْ تَجِدُوْنَ عِنْدَهُمُ الْجَزَاءَ (رواه أحمد)


Maksudnya: “Sesungguhnya sesuatu yang paling aku takutkan terjadi pada kalian adalah syirik kecil, para sahabat bertanya, “Apa itu syirik kecil wahai Rasulullah ?”, Beliau menjawab, “Riya.! Dan Allah akan berkata pada hari kiamat, terhadap mereka yang riya, pergilah kalian kepada orang-orang yang dahulu di dunia kalian riya, apakah kalian mendapatkan ganjaran dari mereka?” (HR. Ahmad).


Meskipun kecil, riya tetap sebahagian dari syirik yang harus disingkirkan jauh-jauh dari hati setiap muslim. Sesuatu yang kecil, bila dibiarkan tumbuh berkembang, maka lambat laun nanti akan menjadi besar. Alangkah meruginya, jika sesuatu yang negatif yang demikian besarnya, ternyata berada dalam hati orang para mukmin, sedangkan syirik merupakan dosa yang tidak akan mendapatkan ampunan dari Allah Ta’ala.


Sekian, wassalam


Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani



Tuesday 22 November 2011

PERCANGGAHAN AYAT YANG TERDAPAT DALAM KITAB BIBLE

Untuk tatapan para du'at di jalan Allah, bahawa dalam Kitab Bible, sama ada dalam Perjanjian Lama atau Perjanjian Baru, terdapat banyak kesalahan dan kesilapan yang saling bertentangan di antara satu sama lain. Ini menunjukkan bahawa Kitab Bible itu bukan datang dari Allah dan bukan kitab Injil atau terjemahan dari Injil, tetapi kitab yang ditulis semula oleh puak-puak Yahudi yang sememangnya 'kaki kelentong'. Di antara kepincangannya:


Matius 1:6: Joseph bapa Isa adalah anak kepada Jacob

Lukas 3:23: Joseph bapa Isa adalah anak kepada He'li.


Corint. 15:5: Isa muncul di hadapan dua belas pengikutnya selepas ia di bangkitkan

Matius 28:16:  Isa muncul dihadapan sebelas pengikutnya selepas ia dibangkitkan.


Matius 19:28: Engkau yang menjadi pengikut saya. Pada masa akan datang apabila anak manusia akan duduk di takhta pujian, engkau akan duduk di dua belas takhta, mengadili dua belas keturunan Israel.

Yohanas 6:70: Tidakkah aku memilih dua belas pengikut dan satu dari kamu mengikut syaitan.


Yohanas 8:14: Kalau saya mencatit mengenai diri saya, maka catitan saya adalah benar.

Yohanas 5:18: Kalau saya saksi pada diri saya, maka saksi saya tidak benar.


Yohanas 8:29: Tuhan bersama saya, Tuhan tidak akan membiarkan saya bersendirian.

Matius 27:46: Oh Tuhanku kenapa engkau meninggalkanku.


Lukas 5:1: (Cerita mengenai nelayan bermula ketika nabi Isa sedang berdakwah).

Matius 4:18: (Cerita mengenai nelayan bermula selepas Nabi Isa disalib mati dan di bangkitkan semula.


Matius 21:18: Isa menghalau keluar orang yang menjual di dalam gereja sebelum memaki pokok ara.

Markus 11:12: Isa menghalau keluar orang yang menjual di dalam gereja selepas memaki pokok ara.


Sam II 10:8: Nabi Daud membunuh 700 askar penungang kuda.

Chon I 19:18: Nabi Daud membunuh 7,000 askar penungang kuda.


Sam II 24:1: Tuhan telah marah dengan kaum Israel, dan menyuruh Nabi Daud menghitung jumlah kaum Israel.

Chon I 21:1: Syaitan telah marah dengan kaum Israel, dan menyuruh Nabi Daud menghitung jumlah kaum Israel.


Raja-raja I 14:26: Nabi Sulaiman mempunyai 40,000 ekor kuda.

Chon I 9:25 : Nabi Sulaiman mempunyai 4,000 ekor kuda.



Kejadian 32:30: 
Nabi Yaakub menyatakan ia telah berjumpa Tuhan muka ke muka dan hatinya terasa tenang.

Yohanas 1:18: Tiada seorang pun pernah berjumpa dengan Tuhan kecuali Nabi Isa.


Matius 27:5: Judas gantung diri, mati

Rasul-rasul 1:18: Judas terjun kepala ke bawah, pecah kepala dan isi perut bertaburan di kalangan ramai


Matius 28:1: Mary Magdalene dan seorang lagi Mary melawat kubur Isa.

Markus 16:1: Mary Magdalene dan seorang Mary dan Salome melawat kubur Isa.


Lukas 24:10: Mary Magdalene dan seorang lagi Mary bersama Joanna dan beberapa wanita melawat kubur Isa.

Yohanas 20:1: Mary Magdalene sahaja melawat kubur Isa.


Markus 15:25: Jam tiga, mereka salib Isa.

Yohanas 19:14: Jam enam, mereka salib Isa.


Matius 27:3: Mereka paksa Simon mengangkat salib Isa

Yohanas 19:17: Isa mengangkat salibnya sandiri.


Markus 15:21: Mereka salib Isa di atas palang salib.

Peter 2:24: Mereka menyalib Isa ke pokok.


Markus 15:23: Mereka memberi Isa minum air anggur bercampur kemeyan untuk di minum.

Matius 27:34: Mereka memberi Isa minum air cuka bercampur hempedu untuk di minum





Sekian, wassalam



Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb

Lutpi Mustafa El-Batnani

TUDUHAN ORIENTALIS TERHADAP ISLAM DAN JAWABANNYA




TUDUHAN PERTAMA
Ada ayat Al Quran bercanggah di antara satu sama lain, iaitu ayat tentang kejadian manusia; dari Salsalin Kal Fakhar, iaitu tanah liat (Surah Ar Rahman: 14), dari Salsalin Min Hamin Masnum, iaitu tanah liat hitam (Surah Al Hajar:28), dari  Atthin' iaitu debu (Surah Al Sajadah: 7), dari At Turab iaitu tanah (Surah Al 'Imran:59) dan dari At Thin Lazib iaitu liat (As Saafat: 11).

JAWAPAN: Di dalam Al Quran terdapat beberapa ayat yang menyatakan tentang konsep penciptaan Nabi Adam a.s. Walaupun pada zahirnya, seolah-olah berlaku pertentangan di antara ayat-ayat yang menyatakan konsep penciptaan Adam a.s. itu, tetapi pada hakikatnya ayat-ayat tersebut tidak berlaku pertentangan jika dikembalikan unsur-unsur kejadian itu kepada tanah, kerana semua jenis-jenis yang disebut itu adalah berasal dari tanah. Di antara ayat-ayat yang menyatakan konsep penciptaan Adam a.s. ialah:

Pertama: Surah Ar Rahman, ayat:14, Allah berfirman (خلق الإنسان من صلصال كالفخار) Maksudnya: " Dia telah mencipta manusia dari tanah liat bagai tembikar ". Yang dimaksudkan dengan 'sal sal' (صلصال) di dalam ayat ini ialah tanah kering atau setengah kering, yang dipanggil 'zat pembakar' (oksigen). Di dalam ayat itu juga disebut 'fakhar' (فخار) iaitu zat arang (Karbon).

Kedua: Surah Hijr, ayat: 28, Allah berfirman (إنى خالق بشر من صلصال من حمأ مسنون) Maksudnya: " Sesungguhnya Aku telah mencipta manusia dari tanah liat yang kering, dari lumpur hitam yang dibentuk ". Ayat tersebut juga menyatakan tentang 'sal sal' sebagaimana yang dihuraikan, dan di dalam ayat ini juga disebut 'hama in' (حمأ) sebagai zat pelemas, iaitu zat yang berupa gas dan tidak berbau (nitrogen).

Ketiga: Surah As Sajadah, ayat:7, Allah berfirman (وبدأ خلق الإنسان من طين) Maksudnya: " Dan (Allah) memulakan ciptaan manusia dari tanah ".  Yang dimaksudnya dengan 'thin' (طين) di dalam ayat ini ialah 'atom zat air' (hidrogen).

Keempat: Surah As Saffat, ayat: 11, Allah berfirman (إنا خلقناهم من طين لازب) Maksudnya: " Sesungguhnya Kami ciptakan mereka dari tanah liat". Yang dimaksudkan dengan 'lazib' (لازب) di dalam ayat tersebut ialah 'zat besi' (ferum).

Kelima: Surah Ali 'Imran, ayat:59, Allah berfirman (خلقه من تراب ثم قال له كن فيكون) Maksudnya: " Allah menciptakannya (Adam) dari tanah, kemudian Dia berfirman: Jadilah! Lalu jadi ". Yang dimaksudkan dengan 'turab' (تراب) ialah 'unsur-unsur asli' yang terdapat dalam tanah yang dinamakan zat organisma. Organisma ialah benda hidup yang menjalankan segala fungsi kehidupan.

Keenam: Surah Al Hijr, ayat:29, Allah berfirman (إذا سويته ونفخت فيه من روحى فقعواله ساجدين) Maksudnya: " Maka apabila Aku sempurnakan bentuknya dan Aku tiupkan kepadanya ruh Ku, maka hendaklah kamu tunduk merendah diri kepadanya ".

Ayat-ayat yang disebut itu adalah menunjukkan proses kejadian Adam a.s. sehingga terbentuk jasad manusia yang bernyawa (rohani dan jasmani). Sebagaimana yang telah dijelaskan, 'turab' iaitu zat-zat asli yang terdapat dalam tanah yang dinamakan 'zat organisma'. Zat organis ini terjadi setelah melalui proses persenyawaan antara 'fakhar' iaitu karbon dengan 'sal sal' iaitu oksigen dan 'hama in' iaitu nitrogen serta 'thin' iaitu hidrogen.  Kemudian bersenyawa pula dengan zat besi iaitu ferum, yadium, kalium, silikon dan mangan yang disebut sebagai 'lazib' dalam Surah As Saffat, ayat: 17. Dalam proses tersebut, lalu terbentuk suatu zat yang dinamakan 'protein'.  Inilah yang disebut 'turab' (zat-zat organisma) dalam Surah Ali 'Imran, ayat: 58. Salah satu di antara zat-zat organis yang sangat penting ialah 'zat kalium' yang banyak terdapat dalam jaringan tubuh, terutamanya di dalam otot-otot. Zat kalium ini penting kerana mempunyai aktiviti dalam proses penghayatan iaitu dalam pembentukan bahan halus.  Dengan berlakunya 'Proteinisasi', menjelmakan proses pergantian yang disebut 'Substitusi'. Setelah selesai mengalami substitusi, lalu menggempurkan electron-electron sinar kosmik yang mewujudkan 'sebab pembentukan' (formation) yang dinamakan juga 'sebab wujud' (cause format). Adapun sinar kosmik itu ialah suatu sinar mempunyai kemampuan untuk merubah sifat-sifat zat yang berasal dari tanah. Maka dengan mudah sinar kosmik dapat memproses pembentukan tubuh manusia (Adam) berupa badan kasar (jasmaniyyah) yang terdiri dari anggota kepala, tangan mata, telinga, hidung dan seterusnya. Oleh itu, ilmu pengetahuan exact dapat menganalisa tentang pembentukan tubuh kasar manusia, tetapi tentang ilmu rohani (abstract werenschap) memerlukan ilmu pengetahuan yang berhubung-kait dengan 'metafizikal'. Kedua-dua aspek ini perlu sebagai jalinan yang dominan untuk melengkapkan lagi kejadian manusia[1].

TUDUHAN KEDUA
Dalam Al Quran juga menyebut bahawa Allah tidak Esa, buktinya banyak digunakan kata-kata (Nahnu) yang bererti 'Kami' bagi Allah.

JAWAPAN: Di dalam Ilmu Nahu Bahasa Arab, penggunaan perkataan nahnu (نحن) itu bukan sahaja hanya menunjukkan bilangan yang ramai, tetapi juga digunakan untuk memberi penghormatan (اكرام) atau menunjukkan kebesaran (تعظيم) terhadap sesuatu. Oleh sebab itu, penggunaan perkataan nahnu ini yang diithlaqkan kepada Allah di dalam Al Quran adalah menunjukan penghormatan ataupun kebesaranNya.

TUDUHAN KETIGA
Islam mengajar poligami semata-mata untuk kepuasan syahwat kaum lelaki dan perkara ini dianggap tidak adil dan berat sebelah.

JAWAPAN: Perlu sekali dijelaskan! Bahawa Islam menjelma di celah-celah   masyarakat  Arab  yang  bergelombang dengan alam jahiliyah yang hitam pekat dan Islam datang dalam keadaan kaum lelaki ketika itu telah beristeri ramai, sebagaimana yang berlaku kepada 'Urwah bin Mas'ud yang mempunyai sepuluh orang isteri[2]. Islam datang hanya untuk mengatur atau menyusun kembali dan kemudian mengubat beberapa penyakit masyarakat yang dihadapi ketika itu. Jelaslah! Bahawa poligami sebenarnya telah wujud sejak zaman dahulu lagi. Menurut pandangan Islam, masyarakat tidak ubah seperti neraca yang memerlukan keseimbangan di antara satu sama lain. Untuk menjaga keseimbangan tersebut, imbangan lelaki dan wanita seharusnya sama. Problem sekarang ialah kaum wanita lebih ramai daripada kaum lelaki. Oleh itu, Islam mengatur jalan poligami bagi mengumpul wanita sebagai imbangan dengan lelaki melalui ikatan suci yang dihalalkan. Di Negara Jerman sebagai sebuah negara orientalis telah memilih jalan poligami untuk mengatasi masalah pelacuran dan kelahiran anak-anak pungut. Pada tahun 1948, Muktamar Pemuda Sedunia di Munchen Jerman telah memperkenankan poligami bagi memecahkan masalah jumlah wanita yang semakin bertambah setelah perang dunia kedua. Seorang wanita Jerman berkata: “Aku lebih berbangga menjadi isteri yang kesepuluh dari suami yang bermoral daripada seorang isteri dari suami yang tidak bermoral. Ini bukan pendapat aku, tetapi pendapat seluruh wanita Jerman”[3].  Ini menunjukkan bahawa poligami dalam Islam bukan semata-mata untuk memuaskan hawa nafsu sahaja, tetapi untuk mengatasi masalah umat manusia di saat ajaran-ajaran lain berpangku tangan tidak terdaya melakukan apa-apa terhadap permasalahan itu[4].

TUDUHAN KEEMPAT
Kedudukan wanita Islam sangat rendah dan terhad; (1) Tidak sebebas wanita barat dan tidak boleh menentukan sendiri siapa suaminya, (2) Hak warisan hanya sebahagian dari warisan lelaki dan (3) Tidak boleh menjadi imam atau pemimpin.

JAWAPAN PERTAMA: Islam memelihara kedudukan wanita dan maruah mereka, Islam telah menetapkan batas-batas halal haram semata-mata untuk melindungi kaum wanita daripada perkara-perkara yang tidak diingini seperti zina, rogol, pelacuran dan sebagainya. Kebebasan wanita Islam meliputi skop yang telah digariskan oleh Islam. Kita lihat kebebasan wanita barat yang tidak mempunyai garis sempadan dalam kehidupan telah mengakibatkan suatu wabak dan gejala sosial yang kronik, justeru timbulnya pelbagai penyakit akibat dari gejala tersebut. Di samping itu, wanita Islam berhak memilih pasangan hidupnya sendiri asalkan kedua-dua pasangan tersebut tidak mempunyai ikatan pertalian darah dan batas keturunan yang mengharamkan perkahwinan menurut Islam. Sebaik-baik perkahwinan itu mesti mendapat persetujuan atau restu daripada kedua.

JAWAPAN KEDUA: Islam telah menetapkan hak wanita di dalam pembahagian pusaka lebih kecil atau lebih sedikit jika dibandingkan dengan kaum lelaki. Ini kerana konsep Islam telah menetapkan bahawa kaum lelaki adalah pemberi nafkah kepada si isteri masing-masing dan perkara ini juga adalah peraturan yang telah ditetapkan dalam Islam. Adalah tidak manasabah kaum lelaki yang bekerja bertungkus-lumus untuk memberi nafkah kepada isteri mereka menerima ganjaran yang sedikit.

JAWAPAN KETIGA: Pandangan itu tidak benar, kerana dalam Islam wanita boleh menjadi imam dalam menunaikan solat sesama wanita dan sekiranya yang dimaksudkan dengan imam itu adalah pemimpin, maka wanita  boleh menjadi pemimpin di dalam beberapa jawatan yang ditentukan dalam sektor kerajaan atau seumpamanya.

TUDUHAN KELIMA
Nabi Muhammad s.a.w. adalah pencipta Islam dan pengasas agama Islam.

JAWAPAN: Di dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 10Mac, 1997 telah memuatkan sebanyak enam belas kumpulan Islam mendesak supaya ukiran marmar yang menggambarkan Nabi Muhammad s.a.w. di dalam Mahkamah Agung, Amerika Syarikat dihapuskan. Pengarah Komunikasi Majlis Perhubungan Amerika-Islam, Ibrahim Hooper telah menyatakan bahawa perkara tersebut merupakan isu sensitif bagi umat Islam. Ukiran yang dibina pada tahun 1931 menggambarkan beberapa orang tokoh sejarah termasuk Maharaja Charlemagne dan King John dari England. Ukiran pedang pada tangan kanan Nabi Muhammad mencerminkan pandangan stereotaip bahawa umat Islam adalah penakluk yang tidak bertimbang rasa. Bagaimanapun, pihak mahkamah itu telah bersetuju untuk menggantikan istilah 'pengasas Islam' pada teks ukiran itu dan menggantikannya dengan istilah 'nabi'.

 Apa yang mahu diperkatakan di sini ialah pandangan jahat musuh-musuh Islam yang boleh mengelirukan umat Islam bahawa agama Islam itu diasaskan oleh Nabi Muhamad s.a.w. Kenyataan ini seolah-oleh benar tetapi pada hakikatnya adalah suatu kesalahan besar. Sebenarnya Nabi Muhamad s.a.w. bukan seorang pengasas Islam dan baginda bukan pencipta agama Islam, tetapi Allahlah yang mencipta Islam dan menurunkan Islam itu untuk anutan semua umat manusia sebagai suatu cara hidup yang abadi. Nabi Muhamad s.a.w. cuma menyampaikan ajaran Islam itu sahaja kepada umat manusia melalui risalah dakwah dan ianya merupakan arahan dari Allah Ta'ala.

TUDUHAN KEENAM
Mereka menuduh Islam bukan agama permodenan dan tidak ada kebebasan dalam ajarannya, mereka mengambil contoh dalam ibadat sembahyang yang mempunyai tatacara dan bacaan yang sama, juga arah mengadapnya sama sahaja sejak dahulu hinggalah sekarang, seolah-olah tidak ada kemajuan dalam sistem ibadat.

JAWABAN: Sesungguhnya Islam adalah agama fitrah dan tabiat, agama akal dan mantik, agama yang indah setiap peredaran masa dan zaman dan juga agama yang sesuai untuk diletakkan di setiap tempat  dan keadaan[5]. Ajaran Islam datang dari Allah, bukan dari ciptaan manusia, sebab itu tidak boleh ditokah-tambah dalam siri pengajaannya kerana ianya sudah cukup lengkap untuk memberi petunjuk kepada umat manusia.

TUDUHAN KETUJUH
Orientalis dan musuh-musuh Islam menuduh Nabi s.a.w. sebagai pedofilia[6] iaitu penyakit seksual di mana keinginan naluri seks kepada kanak-kanak. Nabi mengahwini isterinya Aisyah r.a. ketika beliau berumur 6 tahun (tetapi hanya duduk bersama Rasulullah setelah baginda berhijrah ke Madinah.. ketika itu, Aisyah berumur 9 tahun dan Nabi berumur 53 tahun.

JAWABAN: Di zaman Nabi s.a.w, perkahwinan antara seorang lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan merupakan satu kebiasaan dan telah menjadi adat masyarakat Arab ketika itu. Oleh itu, perkahwinan Nabi s.a.w. dengan Aisyah r.a. ketika beliau masih dalam umur kanak-kanak merupakan perkara biasa ketika itu. Perkahwinan Nabi s.a.w. dengan Aisyah tidak melanggar sebarang undang-undang agama Islam, mahupun adat istiadat masyarakat Arab ketika itu. Ianya dijalankan dengan sah dan dengan kerelaaan daripada kedua-dua belah pihak. Nabi s.a.w. dan Aisyah tidak terus hidup bersama sebaik sahaja berkahwin. Perkahwinan mereka berlangsung sebelum hijrah ketika Aisyah berumur enam tahun, dan hanya duduk bersama Rasulullah setelah baginda berhijrah ke Madinah, ketika itu Aisyah berumur sembilan tahun dan Nabi berumur 53 tahun.

            Ketika dakwah Nabi s.a.w. berlangsung di Mekah dan Madinah, musuh-musuh Islam seperti Abu Jahal dan Abu Lahab berusaha sedaya upaya untuk menghina Nabi s.a.w. dan menghentikan dakwah baginda dengan menyebarkan pelbagai fitnah, berita palsu bahawa Nabi merupakan seorang penyair, orang gila, ahli sihir, pembohong besar, inginkan pangkat dan harta dan sebagainya. Namun Abu Jahal dan Abu Lahab tidak pernah menggelarkan Nabi s.a.w. sebagai seorang
pedofilia. Jelaslah bahawa gambaran ini menujukkan bahawa adat masyarakat Arab ketika itu tidak menganggap perkahwinan dengan kanak-kanak merupakan satu keaiban atau kejanggalan. Kebenaran tentang Nabi s.a.w. juga diterima baik oleh sarjanawan non muslim yang jujur: “It is impossible for anyone who studies the life and character of the great Prophet of Arabia, who knows how he taught and how he lived, to feel anything but reverence for that mighty Prophet, one of the great messengers of the Supreme. And although in what I put to you I shall say many things which may be familiar to many, yet I myself feel whenever I re-read them, a new way of admiration, a new sense of reverence for that mighty Arabian teacher[7].”

TUDUHAN KELAPAN
Orientalis menuduh Nabi s.a.w. mencipta Al Quran sebagaimana dikemukakan oleh Montgomeryn Watt, Noldeke, Goldizher dan lain-lain dengan membuat tuduhan sedemikian dalam bentuk yang berbeza tetapi maksudnya sama.

JAWABAN:
Tuduhan yang dibuat oleh orientalis ini adalah tidak mempunyai sebarang asas yang kukuh, tidak ada sebarang sandaran bukti sejarah, ianya merupakan khayalan mereka semata-mata. Tuduhan itu tidak lebih dari ulangan semula terhadap apa yang pernah di katakan oleh kaum kafir Quraisy dahulu seperti yang dijelaskan oleh al Quran dalam ayat 4-5 Surah al Furqan, dan telah pun dijawab oleh al Quran dalam ayat: 6. Jika tuduhan mengatakan bahawa Nabi s.a.w. belajar dari seseorang maka ia juga telah dijawab oleh al-Quran dalam ayat 103 surah al Nahl. Sejarah memang nyata bahawa Nabi Muhamad s.a.w. adalah seorang yang ummi, tak tahu membaca dan menulis dan al Qur’an mula dipaparkan oleh Rasulullah s.a.w setelah baginda berumur 40 tahun, sedang corak kehidupan Rasulullah dalam tempoh sebelum itu tidak memberikan sebarang peluang untuk baginda mempelajari dari mana-mana sumber. Bagaimana seorang yang ummi boleh mengarang dan mencipta suatu kitab yang sebegini unik bentuknya? Kalau al Quran itu ciptaan Nabi Muhamad mengapa pula terdapat ayat-ayat yang mengkritik dan menegur baginda sendiri dalam al Quran itu..? Secara logiknya apakah seorang yang ummi mampu untuk mengemukakan dalam al Quran itu perkara-perkara yangseluruh ahli ilmu di masa itu tidak mempunyai sebarang pengetahuan berhubung dengannya seperti ilmu yang berkaitan unsur alam, fakta sains dan sebagainya. Tempoh kerasulan adalah sekitar 23 tahun sahaja sedang Rasulullah s.a.w berada 13 tahun di Makah dengan menghadapi dan berdepan dengan pelbagai tindakan oleh kaum kafir Quraisy, sementara tempoh 10 tahun di Madinah di penuhi dengan pelbagai tugas yang dihadapi oleh Rasulullah saw. Dari pentadbiran, kepada megharungi medan perang, menguruskan berbagai-bagai perkara lain lagi. Logiknya bagaimana baginda mempunyai peluang untuk berfikir dan duduk merenung mencipta dan mengarang al Quran, pada hal kitab ini begitu sempurna dan lengkap kandungannya mencakupi seluruh bidang kehidupan manusia yang tidak dapat ditandingi oleh mana-kitab pun sebelum dan sesudahnya .

TUDUHAN KESEMBILAN
Para Orientalis beranggapan bahawa wahyu yang diterima oleh Nabi Muhammad s.a.w. sebenarnya merupakan sebuah hasil dari saduran atau saringan dari berbagai tradisi Yahudi, Kristian dan Parsi. Begitu juga dalam artikel J. Bryan, yang sedikit menceritakan bagaimana proses Nabi Muhammad s.a.w. mendapatkan wahyunya: “Mohammad dalam tahun-tahun awal, memiliki kesamaan dengan para pedagang Mekah, akrab dengan ajaran adat yang melingkupi berbagai doktrin yang diajarkan oleh tokoh Ibrani, sebuah bangsa yang baik, dalam bentuk yang tidak jelas dan membingungkan. Ia telah mempelajari sebagian hal ini dalam kabilah dagangnya yang ke Suriah, dan dalam beberapa kunjungannya ke pertemuan-pertemuan syair, nenek moyang Welsh Eisteddfod, yang diadakan secara rutin di Okadh dan kota-kota lainnya, di mana masalah-masalah keagamaan dibicarakan secara terbuka. Ia mendapatkan pengetahuan yang lebih jelas dan dalam dari kaum Hanif, sebuah lembaga kecil yang beranggotakan para pencari kebenaran, warga Mekah, dan para pelajar tentang Judaisme dan Kristen yang tekun. Ia kerananya terbina untuk menolak pemberhalaan dan menerima formula monoteistik iaitu formula La Ilaaha Illallah… Banyak ayat Mekah di dalam al-Quran ditasbihkan kepada kisah Nabi, diambil dari sumber-sumber Ibrani'[8].

JAWABAN: Kalau al Quran itu Nabi cipta hasil penglibatannya dengan kaum Yahudi dan Nasara, mengapa orang yang lebih lama dan lebih banyak bergaul dengan kaum berkenaan tidak mampu untuk mengemukakan hasil seperti itu..? Dan mengapa tidak ada kalangan Yahudi dan Nasara yang menjadi sumber itu sendiri yang mampu, sedangkan mereka sangat-sangat ingin menyekat pengaruh dan ajaran Nabi Muhamad s.a.w. di samping dicabar untuk berbuat demikian.


TUDUHAN KESEPULUH
Seorang ulama Universiti Al Azhar, Mesir bernama Syeikh Ali Abdul Raziq yang terpengaruh dengan idea orientalis telah menulis kitab: ‘Al Islam Wa Usul Al Hukmi[9]’ telah menyatakan: “Nabi besar Muhammad Nabi Muhammad s.a.w. adalah semata-mata utusan Allah untuk mendakwahkan agama murni tanpa mendirkan negara. Nabi tidak  mempunyai kekuasaan dunia , negara atau pun pemerintahan, nabi tidak mendirikan kerajaan atau politik atau sesuatu yang  mirip dengan kerajan, dia adalah nabi seperti hal nya para nabi sebelumnya. Dia bukan raja, bukan pendiri negara dan bukan pula  mengajak ummat untuk mendirikan duniawi ..”

JAWABAN: Apa yang dinyatakan oleh Syeikh Ali Abdul Raziq itu secara tidak langsung menerima idea sekularisme, iaitu pemisahan politik dari agama. Fokus masalahnya adalah agama itu harus dipisahkan dari kehidupan. Idea ini dianggap sebagai ‘jalan tengah’ antara ahli agama dengan ahli falsafah dan cendekiawan yang mengingkari agama. Walaupun idea sekularisme tidak mengingkari adanya agama, namun dalam masa yang sama tidak memberikan agama sebarang peranan dalam menyelesaikan masalah-masalah kehidupan. Apa yang mereka lakukan adalah memisahkan agama dari kehidupan. Berdasarkan hal ini, maka aqidah yang dianut oleh Barat secara keseluruhannya adalah sekularisme, iaitu pemisahan agama dari kehidupan.

Idea pemisahan agama dari kehidupan) adalah idea kufur kerana Islam sama sekali tidak memisahkan agama dari kehidupan. Idea ini dibawa dan dikembangkan oleh Barat ke dunia Islam setelah mereka mula menjajah Negara Islam. Setelah berjaya menakluk negeri-negeri umat Islam penjajah Barat terus menerapkan sistem pemerintahan sekular mereka di setiap wilayah umat Islam. Sistem dan undang-undang Islam yang sedia ada dibuang lalu diganti dengan sistem dan undang-undang mereka yang dikenali sebagai sistem demokrasi. Barat lalu melantik ejen mereka dari kalangan penguasa Muslim dan mengajar penguasa ini memerintah dengan cara membuat undang-undang sendiri, sesuai dengan kaedah berfikir mereka yang memisahkan agama dari kehidupan. Menerapkan hukum Allah di dalam pemerintahan adalah suatu yang wajib secara qath’ie. Dalam Surah al-Ma’idah, ayat: 44, Allah Ta’ala telah menyatakan bahawa sesiapa yang tidak berhukum dengan apa yang Allah turunkan, maka mereka adalah orang-orang yang kafir. Pembahasan dan pemahaman yang benar tentang ayat ini amat penting untuk diketahui memandangkan seseorang itu boleh keluar dari aqidah Islam dengan sebab tidak berhukum dengan hukum Allah. Maka, pemisahan politik dari agama boleh dianggap kafir. Syeikhul Islam dari Turki bernama Syeikh Mustafa Sabri telah menyatakan bahawa pemisahan agama dari politik adalah sedekat-dekat jalan menjadi kufur[10].




Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani




[1] Diolag Masalah Ketuhanan Jesus, hal: 63-67
[2] Al Mar atul Muslimah, oleh: Dr. Ali Abdul Halim Mahmood, hal: 55, Darul Wafa, Kaherah, 1991.
[3] Muhadharat Fi Ath Thaqafah Al Islamiyyah, oleh: Ahmad Muhammad Jamal yang menukil dari surat khabar 'Al Akhbar', Mesir, no. 723,  Kitab As Salamul 'Alami Fil Islam, oleh: Syed Qutb, hal: 73, Kitab Al Islam 'Aqidah Wa Syari'at, oleh: Syeikh Syaltut, hal: 197 dan Kitab Ruh Ad Din Al Islami, oleh: Syeikh 'Afif  Thabarah, hal: 32.
[4] Kitab Tafsir Ayat Al Ahkam, oleh: Muhammad Ali As Sobuni, juz:1, hal:430 .
[5] Ruh Al Islam, oleh Muhammad 'Athiyyah Al Abrasyi, hal: 17, Darul Ehya  Al Kutub Al 'Arabiyyah, Beirut.
[6]“Pedophile: also spelled pedophilia, psychosexual disorder in which an adult’s arousal and sexual gratification occur primarily through sexual contact with prepubescent children. The typical pedophile is unable to find satisfaction in an adult sexual relationship and may have low self-esteem, seeing sexual activity with a child as less threatening than that with an adult.” Encyclopedia Britannica, 1998.
[7] Annie Besant, The Life And Teachings Of Muhammad, Madras, 1932, p. 4.
[8] Pandangan Kaum Orientalis Terhadap Islam, oleh: Muhammad Basir, hal: 211, Yokyakarta: Bentang, 2003
[9] Kitab Al-Islam wa usul Al-Hukm (Islam dan Dasar Pemerintahan) yang ditulis oleh Syeikh Ali Abd al-Raziq, Hakim Mahkamah Syariah, di Mansourah, Mesir. Setelah penerbitan buku itu pada tahun 1925, penulis dan bukunya telah dikritik hebat oleh para ulama Mesir kerana idea yang dilontarkan di dalamnya bercanggah dengan Islam. Jawatankuasa Badan Kibar Ulama al-Azhar, yang dianggotai 24 ulama kanan al-Azhar pada 12 Ogos 1925, bersidang dan membicarakan penulis dan kandungan bukunya dan keputusannya melucutkan jawatan Ali Abd al-Raziq sebagai Hakim Mahkamah Syariah dan gelaran sebagai Syeikh di al-Azhar ditarik balik kerana menilai penulis sebagai sesat serta buku itu serta merta diharamkan. Sebenarnya, Syeikh Ali Abdul Raziq hidup sezaman dengan Mustafa Kamal Ataturk, tokoh sekularisme Turki. Kedua tokoh ini memiliki ideologi politik yang hampir sama. Ataturk mengumumkan penghapusan sistem khilafah (1924) dan menyatakan pemisahan urusan agama dari negara (1925), maka Abdul Raziq menerbit buku yang menyokong Ataturk. Syed Rasyid Ridha tokoh gerakan pembaharuan dan murid-muridnya seperti Hassan Al-Banna pendiri gerakan ‘Ikhwan Muslimin’, telah menolak pandangan yang amat berbahaya ini.
[10]  Mauqiful ‘Aqli Wa al-Ilmi Wa Al-Alam, oleh: Syeikh Mustafa Sabri, , juz: 2, hal: 235 .