PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Monday 18 April 2011

PENGAJIAN UNTUK BUKAN ISLAM: PELAKSANAAN KEWAJIBAN


1. PENGENALAN
Apabila anda menjadi seorang muslim, maka tugas dan tanggungjawab anda sekarang ialah sebagai seorang muslim yang beriman kepada Allah, Tuhan Yang Maha Esa dan beriman kepada Muhammad s.a.w. rasul utusan Allah. Setelah anda melapazkan ucapan dua kalimah syahadah, bererti anda sekarang telah menerima segala apa yang terdapat dalam syari’at Allah. Di sana terdapat beberapa tugas dan tanggungjawab yang anda perlu selesaikan sebagai menyahut seruan Allah. Anda wajib melaksanakan upacara ibadat dalam Islam secara praktikal dan ibadat yang dilakukan ini merupakan upacara ketaatan atau kepatuhan terhadap perintah Allah. Namun demikian, anda perlu mempelajarinya dari masa ke semasa tentang ibadat yang akan dihuraikan nanti. Sebab itu, di atas segala kesalahan dan kesilapan ketika melaksanakannya adalah dimaafkan.

2. MENDIRIKAN SOLAT
Mula-mula ibadat solat, ibadat solat ini merupakan tiang agama dan sesiapa yang meninggalkannya dia seolah-olah meruntuhkan agama. Solat yang diwajibkan ada lima waktu sehari semalam. Pertama: Solat Subuh dua rakaat, kedua: Solat Zohor empat rakaat, ketiga: Solat Asar empat rakaat, keempat: Solat Maghrib tiga rakaat dan kelima: Solat Isya empat rakaat.          

Anda mungkin tertanya-tanya, mengapa dalam Agama Islam terdapat lima waktu untuk memdirikan ibadat solat..?

Jawabannya amat mudah sekali, sebenarnya Agama Islam adalah agama ketuhanan, di mana setiap detik dan setiap saat anda wajib mengingati Allah, tidak kira di mana jua anda berada. Adapun  waktu yang lima ini merupakan waktu upacara rasmi anda mengingati Allah. Lagipun, Agama Islam sangat menghormati waktu dan Islam membahagikan waktu-waktu ini yang tidak terdapat di dalam mana-mana agama bertujuan untuk merenung sejenak untuk mengingati ketuhanan Allah dan kebesaranNya serta keagunganNya. Sebab, mungkin dengan kesibukkan kerja dan keasyikkan dalam mengharungi liku-liku kehidupan sudah tentu di sana terdapat perkara-perkara yang boleh mengalpakan diri kita, perkara-perkara tersebut boleh menyebabkan kita menjadi hanyut. Lantas, dengan waktu-waktu ini diharap anda berhenti sejenak untuk menarik nafas bagi mengingati Allah melalui ibadat solat.

Ibadat solat dimulai dengan berdiri sebagai pendirian dan istiqomah dalam perjuangan hidup kita, ada rukuk dan sujud sebagai tanda kepatuhan atau ketaatan kita kepada arahan Allah. Perbuatan-perbuatan lain dalam ibadat solat merupakan riadah ringkas untuk membetulkan segala sendi-sendi dan tulang-tulang yang ada di dalam tubuh badan kita, termasuk mengendurkan urat sarat di samping melancarkan perjalanan darah dalam badan. Ianya juga dapat mengembalikan dan membaik-pulih kekuatan kekuatan otot-otot dalam badan.

Ibadat solat ini sebenarnya akan menambahkan  lagi kecerdasan otak dan akal fikiran kerana penumpuan dan concentrate hanya kepada satu arah, satu hala dan satu tujuan. Sebab itu, ibadat ini akan menajamkan tumpuan hidup anda dalam sesuatu bidang lapangan, kerana bentuk pemikiran yang consistent dan stabil dalam ibadat solat itu akan terbawa-bawa dalam bidang dan lapangan hidup anda. Anda akan menjadi lebih yakin dan lebih bersemangat dalam setiap usaha atau pekerjaan anda.

Segala perbuatan dan pergerakan dalam ibadat solat ini merupakan riadah yang bersifat rohani dan jasmani. Walaupun ringkas, tetapi ianya sudah cukup membawa kesegaran kepada hidup anda di waktu itu. Manakala bacaan dalam ibadat ini pula adalah doa dan rintihan seorang hamba terhadap Tuhan yang mengharapkan keampunan dan keredhaan dariNya. Ibadat solat disudahi dengan pemberian salam yang menunjukkan selesai sudah upacara ibadat solat.

3. MENGERJAKAN PUASA
Ada orang berkata, puasa dapat memberi kesihatan kepada tubuh badan. Benar sekali, ibadat puasa memang dapat memberi kesihatan kepada tubuh badan manusia, kerana organ-organ dalam tubuh badan berhenti rehat setelah sekian lama bekerja. Amalan berpuasa ini bukan saja diamalkan oleh orang-orang Islam, bahkan orang-orang bukan Islam juga mengamalkan hidup cara berpuasa.

Anda perlu mengetahui, bahawa ibadat puasa diwajibkan ke atas ummat Islam hanya sebulan saja dalam setahun, iaitu di dalam Bulan Ramadhan Al Mubarak. Dalam tempoh sebulan, iaitu selama dua puluh sembilan hari atau tiga puluh hari kita diwajibkan meninggalkan perkara-perkara yang membatalkan puasa dan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah. Ibadat puasa dimulai dengan bersahur sebelum fajar menyinsing dan disudahi dengan berbuka setelah jatuhnya matahari pada waktu maghrib. Ada beberapa perkara penting yang anda perlu tahu mengenai puasa;
       
Pertama: Allah mewajibkan kita meninggalkan perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti makan, minum dan memasukkan sesuatu ke dalam rongga seperti lubang telinga, lubang hidung dan sebagainya termasuk bersetubuh di waktu siang. Kita wajib menahan diri daripada perkara-perkara tersebut, walaupun kita dalam keadaan lapar dan dahaga, kerana maksud puasa di sini ialah menahan diri dari lapar dan dahaga. Sebenarnya, perasaan lapar dan dahaga itu adalah disebabkan tabiat semulajadi manusia yang terikut-ikut dengan hawa nafsu. Kita tidak pernah mendengar orang yang berpuasa itu mati kelaparan. Maka dengan sebab itu, di bulan puasa ini adalah bulan untuk menguji tahap kesabaran hidup anda, kerana anda sendiri yang menguasai kehidupan anda.

Kedua: Di dalam bulan puasa ini juga kita ditegah melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah, seperti melakukan maksiat kepada Allah, mengumpat, mengeji, mencaci, memutuskan hubungan silaturahim dan sebagainya. Walaupun perkara-perkara ini tidak membatalkan puasa, tetapi ianya akan mengurangkan pahala dan ganjaran puasa di sisi Allah. Seandainya perkara-perkara tersebut tidak dapat dibendung dalam diri kita dan dalam kehidupan kita, maka maksud puasa dari sudut maknawi akan tidak mencapai hakikatnya. Kita hanya berpuasa menahan lapar dan dahaga saja, tetapi tidak dapat menahan diri dari kemurkaan Allah. Bererti, diri kita masih belum sempurna dan tidak cukup kuat menghadapi ujian dari Allah.

Ketiga: Seandainya berlaku kesalahan atau kesilapan semasa berpuasa, seperti termakan atau terminum atau sebagainya, maka perkara tersebut adalah dimaafkan, kerana kebiasaannya kesalahan dan kesilapan itu berlaku tanpa sengaja dan di luar kawalan kita.

Di antara hikmah kita diwajibkan berpuasa ialah untuk menghayati keadaan hidup orang-orang fakir dan miskin serta orang-orang yang tidak punya harta benda. Seandainya kita berada seperti mereka sekarang, bagaimana perasaan kita dan bagaimana kita dapat membina kehidupan yang sebegini ‘rapuh’ tanpa ada sumber kewangan..? Telah berkali-kali dikatakan, bahawa amalan hidup dalam ajaran Islam ini semata-mata untuk mendekatkan diri kita kepada ketuhanan Allah. Maka dengan keadaan demikian, kita pasti dapat merasakan bahawa yang memberi rezeki kepada kita ialah Allah dan kerana kurniaanNya kita dapat mengecapi kehidupan yang lebik baik dan sempurna. Kehidupan itu sendiri tidak pernah menjanjkan kekayaan atau keistimewaan kepada kita semua.

Di samping itu, bulan puasa ini juga merupakan bulan untuk kita bermuhasabah, bulan untuk kita membuat perhitungan semula terhadap amalan hidup dan perlakuan hidup di hadapan Allah. Justeru itu, dengan amalan berpuasa ini juga, kita dapat mengawal makan dan minum yang akan menjadi diri kita sihat. Secara tidak langsung, kita dapat menjimatkan dan mengurangkan kos perbelanjaan kita.

Anda dapat saksikan sendiri keadaan di bulan puasa dengan bulan-bulan yang lain. Suasana menjadi lebih indah dan menggamit suasana, dari kanak-kanak sehingga orang dewasa dan orang yang telah lanjut usianya. Mereka semua bergembira, lebih-lebih lagi di waktu malam kita disunatkan menunaikan ibadat solat tarawikh secara berjama’ah di masjid. Maka, di sini kita dapat melihat betapa cerianya suasana kehidupan ketika bersama-sama dengan Islam.

4. MENGELUARKAN ZAKAT
Zakat merupakan suatu pemberian yang dikeluarkan untuk diagihkan kepada fakir miskin atau orang-orang tidak punya kemampuan. Zakat juga merupakan suatu sistem ekonomi Islam yang penting bagi membentuk masyarakat yang berekonomi dan berkemampuan. Zakat hanya dikeluarkan setahun sekali mengikut kadar dan nilai tertentu setelah cukup syarat-syaratnya. Sekiranya anda saudara baru dalam Islam, anda berhak menerima pengagihan zakat menurut kadar yang diberikan. Namun begitu, anda juga diwajibkan mengeluarkan zakat fitrah yang dikeluarkan hanya setahun sekali dengan kadar tertentu, iaitu semasa di Bulan Ramadhan Al Mubarak.  Sekiranya anda seorang ahli perniagaan atau usahawan, anda dihendakki membayar zakat perniagaan setelah cukup nisab dan haulnya. Begitu juga dengan zakat simpanan, zakat tanaman, zakat ternakan, zakat harta (perhiasan) dan zakat harta karun perlu dibayar setelah cukup syarat-syaratnya dan mengikut nilai semasa.  Zakat ini dikeluarkan setahun sekali menurut nilai-nilai tertentu. Harta pemberian zakat ini akan diagihkan kepada golongan yang layak menerimanya, kesemuanya ada lapan golongan, di antara mereka ialah orang-orang fakir, orang-orang miskin, orang-orang yang terlibat dalam menguruskan hal ehwal zakat (amil), orang-orang yang dijinakkan hati terhadap Islam (muallaf), orang-orang yang hendak membebaskan hamba, orang-orang yang berhutang, orang-orang yang berjuang fi sabilillah dan orang-orang yang berada dalam perjalanan. Sebenarnya, tujuan zakat ini dikeluarkan adalah untuk menyucikan harta seseorang dari saki-daki kekotoran, di samping ianya menjadi tunjang ekonomi dalam Islam yang diambil secara berperaturan untuk digunakan sebagai maslahat kepada masyarakat.

5. MENGERJAKAN HAJI
Anda juga diwajibkan menunaikan ibadat fardhu haji ke Mekah sekiranya anda berkuasa. Maksud berkuasa di sini ialah mempunyai kemampuan dari sudut perbelanjaan dan kekuatan tenaga, termasuk sihat tubuh badan. Ibadat haji hanya dilakukan di Kota Mekah sahaja, iaitu terletak di Negara Arab Saudi. Ibadat haji ini tidak boleh dan dilarang sama sekali dilakukan di tempat-tempat lain selain di Mekah sahaja. Di sini letaknya Ka’abah yang merupakan kiblat orang-orang mukmin. Mekah merupakan suatu tempat yang unik, walaupun keadaan muka buminya berbatu-batan dan kering-kontang serta tiada tumbuh-tumbuhan, namun ianya menjadi tempat tumpuan manusia setiap tahun. Di persekitaran Kota Mekah sendiri tiada hasil mahsul atau sumber pertanian atau galian atau apa-apa bentuk untuk diprodukkan sebagai bahan perdagangan, tetapi manusia sejak dahulu hingga ke hari ini menjadikan Mekah sebagai pusat perdagangan yang paling hebat di samping ibadat yang dilakukan. Kemudian, apa yang uniknya di Kota Mekah ini ialah terdapat telaga zam-zam yang airnya tidak pernah kering sehingga ke hari ini walaupun digunakan oleh berjuta-juta manusia sejak dahulu sehingga sekarang. Begitu juga, mereka yang meminumnya tidak pernah terkena penyakit atau mendatangkan bahaya atau seumpamanya,bahkan boleh menyihatkan tubuh badan. Kita kembali berbicara mengenai ibadat haji, ibadat ini merupakan ibadat tahunan yang dilakukan di Bulan Zulhijjah, iaitu pada 9 hingga 13 Zulhijjah. Di antara perbuatan di dalam ibadat haji ialah melakukan tawaf mengelilingi ka’abah sebanyak tujuh kali dan selepas itu mengerjakan sya’ir, iaitu berulang-alik dari Bukit Sofa dan Bukit Marwah. Para jama’ah haji dikehendaki memakai pakaian ihram yang tidak berjahit berwarna putih yang merupakan pakaian rasmi ibadat haji. Pada 9 Zulhijjah, para jama’ah haji yang datang dari seluruh pelusuk dunia akan berkumpul di Padang Arafah, kemudian mereka berjalan menuju ke Muzdalifah pada waktu malam. Pada 10 Zulhijjah pula mereka akan melontar Jamrah di Mina dan manakala 11-13 Zulhijjah pula mereka akan berulang-alik ke Mina untuk melontar jamrah-jamrah, iaitu Jamrah ‘Aqabah, Jamrah ‘Ula dan Jamrah Wusta. Anda akan mempelajari secara lebih mendalam sekiranya anda ingin menunaikan ibadat haji ke Mekah. Mengerjakan ibadat haji ini tidaklah terlalu sukar, kerana keseluruhan ibadat ini bergantung kepada perbuatan.


Semoga Islam dan iman menerangi hati sanubari dan jiwa nurani anda sekalian…

Wassalam

Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani

PENGAJIAN UNTUK BUKAN ISLAM: MEMAHAMI DUA KALIMAH SYAHADAT

1. PENGENALAN

Anda perlu memahami perkataan dan maksud dua kalimah syahadah dengan sebaik-baiknya. Anda perlu yang  memerhati dan meneliti kalimah tersebut dengan perasaan hati yang suci, kerana hanya dengan kalimah tersebut seseorang itu menjadi Islam. Perkataan tersebut mengandungi rangkap, pertama: LAA ILAHA ILALLAH dan rangkap yang kedua pula: MUHAMMADUR RASULULLAH. Perkataan LAA ILAHA ILLALLAH membawa maksud: Tiada Tuhan yang sebenar-benar melainkan Allah, manakala perkataan MUHAMMADUR RASULULLAH pula membawa maksud: Muhammad adalah rasul dan pesuruh Allah yang akhir.

2. DUA KALIMAH SYAHADAH
Kalimah ini muncul ke dalam diri anda apabila anda melapazkan melalui ucapan lidah, kalimah ini akan meresap masuk ke dalam diri anda dan di waktu itu anda akan dapat mengecapi serta menghayati betapa indahnya kalimah itu. Walaupun kalimah ini ringkas hanya dua patah perkataan sahaja, namun di dalamnya mengandungi keseluruhan ajaran Islam. Di dalam kalimah tersebut mengandungi keseluruhan syari’at dan upacara keagamaan yang dijelmakan oleh Allah untuk penghayatan hidup manusia. Di dalam kalimah itu juga munculnya titik dan noktah yang menandakan permulaan perjalanan hidup seseorang manusia melalui sebuah pengabdian yang luhur terhadap ketuhanan Allah. Di dalam kalimah itu juga akan munculnya pengakhiran hidup manusia yang menunjukkan bahawa riwayat hidup manusia akan ditamatkan dengan kalimah itu. Hanya dengan kalimah ini, sudah cukup untuk meletakkan diri anda menjadi muslim dan beriman dengan ketuhanan Allah. Kalimah ini telah meletakkan harga diri anda bahawa anda sekarang mempunyai nilai yang tinggi di sisi Allah, anda sekarang telah mendapat penghargaan yang mulia di sisi Allah, anda sekarang telah mendapat pengiktirafan dari Allah dengan sebab kalimah yang  anda ucapkan itu bahawa anda sekarang adalah seseorang muslim. Ini menunjukkan, bahawa Agama Islam itu adalah agama yang ringkas, mudah dan simple saja, agama yang dapat diterima oleh semua golongan manusia dan semua lapisan masyarakat, agama yang tidak menyusahkan dan tidak menyukarkan untuk dianuti.

3. SYAHADAH KETUHANAN
Setelah anda memahami perkataan dua kalimah syahadah, di sini kami akan membicarakan satu persatu kalimah tersebut. Kalimah pertama ialah LAA ILAHA ILLALLAH yang membawa pengertian Tiada Tuhan yang sebenar-benar melainkan Allah. Apabila kita membicarakan tentang persoalan ketuhanan, di sana kita perlu memahami bahawa kita sekarang adalah hambaNya dan kita adalah sebahagian daripada makhluk ciptaanNya. Kita semua berada dalam perhatianNya dan kawalan rahmatNya. Dia sekarang  sentiasa memerhati gerak langkah kita, bahkan niat kita di dalam hati sanubari. Dia mengetahui apa saja yang kita lakukan dan apa saja yang kita sembunyikan. Jika demikian, tiada sebab mengapa manusia durhaka kepada Allah, tiada sebab mengapa manusia melakukan maksiat kepada Allah dan tiada sebab manusia kufur kepada Allah dan nikmatNya, sedangkan dia tahu bahawa Allah itu Maha Melihat apa yang manusia lakukan. Maka dengan sebab itu, kalimah LAA ILAHA ILLALLAH ini merupakan kalimah ketuhanan yang menyatakan keesaan Allah dan kekuasaanNya. Anda perlu memahami di sini, di dalam kalimah tersebut ada menafikan tuhan-tuhan yang lain selain dari Allah. Bererti, anda wajib menafikan tuhan-tuhan yang lain selain dari Allah seperti patung berhala sebagai tuhan, dewa dewi sebagai tuhan dan lain-lain lagi. Anda juga wajib menafikan, bahawa di sana tiada lagi kekuasaan lain selain dari kekuasaan Allah. Maka dengan sebab itu, anda wajib menafikan wujudnya kekuasaan lain yang setanding atau yang lebih hebat dari kekuasaan Allah seperti kekuasaan hantu syaitan, kekuasaan jin dan jembalang, kekuasaan pawang dan dukun dan sebagainya. Anda saksikan sendiri, patung-patung berhala yang  dianggap sebagai tuhan dan menjadi sembahan manusia kuno sebelum ini ada yang kelihatan retak dan terpaksa dibaiki-pulih, ada yang telah hancur musnah dan ada yang terpaksa dibina baru. Seandainya patung-patung berhala itu benar-benar tuhan atau jelmaan dari tuhan, sudah tentu ianya kekal abadi. Tetapi, mengapa ianya tidak kekal, tidak kukuh dan tidak utuh..? Tidak sepatutnya terjadi demikian seandainya patung-patung berhala tersebut sebagai tuhan atau jelmaan dari tuhan. Ini menunjukkan bahawa patung-patung berhala itu adalah bikinan manusia dan bukan tuhan atau bukan jelmaan dari tuhan.

Mungkin anda pernah mendengar kisah Fir’aun yang mengaku sebagai tuhan, dialah satu-satunya manusia yang mencipta sejarah dalam tamaddun kemanusiaan yang mengaku  dirinya menjadi tuhan dan mempunyai kuasa seperti tuhan. Tetapi, akhirnya dia dibinasakan Allah dan mati di dalam Lautan Merah dalam keadaan hina.

Anda juga mungkin pernah mendengar Qarun yang mempunyai harta kekayaan yang melimpah-ruah sehingga anak kunci gedung perniagaannya terpaksa dibawa oleh kuda. Dia mempunyai kuasa menerusi kekayaannya, tetapi akhirnya dia dibinasakan oleh Allah dengan ditelan ke dalam perut bumi di suatu tempat bernama Fayoum di Mesir.

 Kalimah tersebut juga menyatakan bahawa Allah itu adalah sebenar-benar Tuhan, Dialah Allah Tuhan Yang Satu, Tuhan Yang Maha Esa dan Tuhan Yang Maha Agung, Dialah Allah Tuhan kepada sekalian manusia di atas dunia ini, bahkan Dialah Tuhan kepada sekalian alam dan Tuhan sekalian makhluk yang ada di alam ini. Dialah Allah Tuhan Yang Maha Berkuasa, Yang Maha Pencipta dan Maha Bijaksana, tiada kekuasaan lain yang lebih hebat dan setanding dengan kekuasaan Allah.

Firman Allah Ta'ala:
قُلْ هُوَاللهُ اَحَد اللهُ الصَّمَد لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُوْلَدْ وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا اَحَد
Maksudnya: " Katakan (wahai Muhammad!) Allah adalah Tuhan Yang Maha Esa, Dia adalah tempat pergantungan, Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan, tiada sesuatupun yang mempunyai persamaan denganNya ”( Al Ikhlas: 1-4).


4. SYAHADAH KENABIAN
Anda perlu memahami, bahawa pengakuan keislamanan anda tidak akan sempurna dan tidak akan diiktiraf sekiranya anda tidak menjelmakan pengakuan kedua iaitu MUHAMMADUR RASULULLAH. Maka, penjelmaan Syahadah Ketuhanan dan Syahadah Kenabian ini ke dalam hati sanubari dan jiwa nurani merupakan syarat sah Islam dan iman seseorang itu. Tanpa kedua-dua pengakuan ini, Islam dan iman itu tidak akan diterima sama sekali oleh Allah. Anda wajib percaya dengan pengakuan syahadah ini anda mesti yakin bahawa Muhammad s.a.w. itu adalah seorang rasul dan seorang nabi, baginda adalah seorang pesuruh dan utusan Allah di akhir zaman yang bertujuan membawa manusia supaya beriman kepada Allah, Tuhan Yang Satu. Baginda adalah seorang rasul dan nabi yang diutuskan oleh Allah sebagaimana rasul-rasul dan nabi-nabi yang diutuskan oleh Allah sebelum ini. Baginda adalah seorang yang membawa amanah ketuhanan untuk disebarkan kepada manusia. Sebab itu, baginda membawa bingkisan dakwah itu kepada ummat manusia dengan sebuah Al Quran yang menjadi perlembagaan hidup mereka. Tugas dan tanggungjawab baginda ialah membawa manusia keluar dari kegelapan kepada cahaya petunjuk yang terang benderang. Baginda hanya mengajak manusia beriman kepada Allah, Tuhan Yang Maha Esa. Justeru, baginda juga bertanggungjawab menyebarkan Islam sebagai agama yang diiktiraf oleh Allah. Hanya Islam sahaja agama yang boleh diterima-pakai oleh Allah. Adapun agama-agama lain dan kepercayaan-kepercayaan lain yang ada sebelum ini tidak diiktiraf oleh Allah.

Baginda bertanggungjawab bergerak dan berjuang menyebarkan agama Allah di atas nama Islam, iaitu agama yang dicipta oleh Allah sendiri. Mungkin anda pernah mendengar, bahawa Agama Islam ini dicipta oleh Muhammad s.a.w. tetapi perkara itu tidak benar sama sekali, kerana Agama Islam adalah agama yang direka-cipta oleh Allah sendiri.

5. KESIMPULAN
Dengan sebab itu, anda wajib yakin dan percaya bahawa Muhammad s.a.w. itu adalah seorang rasul dan nabi akhir zaman dan tiada lagi rasul atau nabi sesudah baginda. Anda perhatikan sendiri, para sahabat yang berjuang bersama-sama baginda di atas nama Islam sanggup berkorban nyawa demi mempertahan Islam dan keyakinan hidup mereka terhadap Allah, kerana mereka tahu bahawa mereka akan mendapat kebahagiaan di hari akhirat nanti.

Semoga Islam dan iman menerangi hati sanubari dan jiwa nurani anda sekalian…

Wassalam

Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani

PENGAJIAN UNTUK BUKAN ISLAM: APABILA ANDA MEMELUK ISLAM

1. PENGENALAN
Setelah anda mengucap dua kalimah syahadah, LAA ILAHA ILLALLAH dan MUHAMMADUR RASULULLAH bererti anda sekarang seorang yang beragama Islam, anda sekarang seorang muslim yang beriman kepada Allah, Tuhan Yang Satu, Tuhan Yang Maha Esa dan Tuhan Yang Maha Berkuasa.  Ucapan tersebut telah meleraikan ikatan tali jahiliyyah dan suku-sakatnya yang melekat pada diri anda, ucapan tersebut telah melumpuhkan penguasaan hawa nafsu dan syaitan laknat yang cuba menguasai diri anda, jiwa anda dan pemikiran anda, ucapan tersebut juga telah melenyapkan igauan buruk yang mengganggu diri anda sebelum ini dan anda sebenarnya mempunyai keyakinan sendiri untuk memilih dasar kehidupan yang lebih baik.

2. UCAPAN PENGABDIAN
Ucapan yang anda lapazkan itu ialah ucapan pengabdian dan ucapan pengakuan yang mengiktiraf ketuhanan Allah, bahawa Allah itu adalah Tuhan anda sekarang. Dialah sebenar-benar Tuhan dan satu-satunya Tuhan, tidak dua dan tidak tiga serta tidak berbilang-bilang. Anda sekarang mesti yakin dan percaya bahawa anda hanya mempunyai satu Tuhan Yang Maha Berkuasa terhadap alam ini dan terhadap segala-segalanya. Anda juga mesti yakin dan percaya bahawa Dialah Allah, Tuhan yang mempunyai kuasa mutlak dalam urusan pentadbiranNya, Dia tidak bersyarikat dan tidak berkompromi dengan mana-mana kuasa, Dia tidak berhajat kepada sesiapapun dalam menguruskan hal ehwal pentadbiranNya terhadap alam ini dan Dia tidak beranak dan tidak diperanakkan. Ucapan ini mestilah lahir dari perasaan diri anda sendiri untuk memperakui ketuhanan Allah, bukan kerana paksaan atau bukan kerana desakan atau bukan kerana sesuatu hajat, tetapi ucapan itu mestilah dengan penuh keikhlasan dan ketulusan. Sekiranya anda mengucap dua kalimah syahadah ini tanpa keikhlasan dan tanpa ketulasan, maka ucapan itu tidak sempurna. Namun, anda boleh memperbaiki ucapan itu dengan mewujudkan niat yang tulus ikhlas dalam hati sanubari dan jiwa nurani.

3. UCAPAN PENGIKTIRAFAN
Ucapan yang anda lapazkan itu juga merupakan ucapan mengiktiraf kekuasaan Allah secara mutlak, bahawa tiada suatu kekuasaan lain di sana yang lebih hebat dan yang lebih agung selain dari kekuasaan Allah. Maka, dengan sendirinya ucapan itu akan membatalkan kekuasaan lain selain dari kekuasaan Allah seperti adanya hantu jembalang yang mempunyai kuasa, adanya roh-roh jahat yang mempunyai kuasa setelah dipuja, adanya semangat-semangat luar biasa yang dapat memberi kuasa sakti, adanya bantuan-bantuan alam ghaib yang boleh memberi kuasa dan lain-lain lagi. Apabila anda mengucap dua kalimah syahadah itu, bererti anda akan membatalkan semua sekali kekuasaan-kekuasaan lain dan hanya mengiktiraf satu kekuasaan sahaja untuk keyakinan hiidup anda, iaitu kekuasaan Allah.

4. UCAPAN KEYAKINAN
Ucapan tersebut juga merupakan ucapan keyakinan untuk diletakkan ke dalam hati sanubari dan jiwa nurani terhadap Allah, bahawa Dialah Allah Tuhan yang sebenar-benar dan tiada Tuhan lain melainkan Dia. Anda juga hendaklah yakin dengan sepenuh hati terhadap ketuhanan Allah itu dan secara tidak langsung anda telah menolak sifat-sifat kepuraan dalam diri anda dan sifat-sifat hipokrit yang cuba menguasai diri Allah. Keyakinan itu akan menleyapkan perasaan gerimis dalam diri anda.

5. UCAPAN KEPERCAYAAN
Ucapan itu juga merupakan ucapan kepercayaan, bererti jiwa anda sekarang diminta percaya kepada adanya Tuhan yang bernama Allah, iaitu satu-satunya Tuhan di alam ini Yang Maha Berkuasa. Anda perlu menyakinkan diri anda sendiri untuk membentuk perasaan percaya kepada wujudnya Allah yang mencipta segala makhluk di alam ini. Sebabnya, ucapan yang dilapazkan oleh lidah anda itu adalah untuk anda percaya kepada ketuhanan Allah. Justeru itu juga, tabiat kemanusiaan itu sendiri membentuk konsep percaya kepada diri manusia sebagai sumber pegangan dan sebagai tempat pergantungan.


Semoga Islam dan iman menerangi hati sanubari dan jiwa nurani anda sekalian…

Wassalam

Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani

Sunday 17 April 2011

PENGAJIAN UNTUK BUKAN ISLAM



Author: Lutpi Mustafa el-Batnani


ISBN: 978-967-308-092-2

Pages: 287, Paperback

Price: RM 19.90











1. MUQADDIMAH

Di sana ada satu persoalan: Mengapa anda perlu menjadi seorang muslim..? Ya, ini merupakan suatu persoalan, persoalan yang ditujukan kepada orang-orang bukan Islam, persoalan yang perlu diketahui oleh orang-orang yang belum mengerti dan belum memahami ajaran Islam secara lebih mendalam. Persoalan ini merupakan persoalan yang sentiasa bermain-main dalam benak fikiran orang-orang masih ragu-ragu tentang Islam, mereka masih merenung jauh melihat Islam dari luar dan kadang kala membuat penafsiran sendiri tentang Islam dan ajarannya. Di antara mereka ada yang memahami Islam menurut fahaman akal fikiran mereka sendiri dengan membuat pelbagai bentuk andaian, ada juga yang memahami Islam secara bacaan tanpa merujuk kepada orang-orang yang pakar mengenai Islam dan tidak kurang juga ada yang memahami Islam melalui rakan-rakan dan teman seiring.

Di antara mereka ada yang bersikap lunak terhadap Islam walaupun mereka masih lagi bukan Islam. Boleh jadi persekitaran yang membuat mereka bersikap demikian ataupun tabiat hidup mereka sendiri yang suka hisup bertoleransi. Ada juga yang bersikap keras terhadap Islam dan mereka tidak mahu memahami langsung mengenai cara hidup Islam. Mereka bersikap agak jumud dan tidak dapat menerima kehadiran Islam sebagai anutan manusia, kerana mereka menganggap kepercayaan yang mereka pegang sekarang sudah cukup memadai dan tidak memerlukan kepada konsep kepercayaan lain. Ada yang menganggap agama Islam itu adalah agama yang kejam dan tidak berperikemnusiaan, agama yang suka kepada perbalahan dan peperangan. Namun, anggapan ini bukan saja tidak tepat, bahkan meleset sama sekali. Sebabnya kita dapat saksikan dengan sendiri sekarang, musuh-musuh Islam itulah yang kejam dan tidak berperikemnusiaan, musuh-musuh Islam itulah yang suka kepada perbalahan dan peperangan, musuh-musuh Islam itulah yang membuatkan umat Islam menjadi agrasif. Mereka masuk menceroboh bumi umat Islam dan kemudian membunuh umat Islam, merosakkan harta benda, membunuh kanak-kanak dan orang tua yang tidak berdosa, merogol dan memperkosa anak-anak dara, memusnahkan tempat-tempat kemudahan awam dan segala harta benda. Musuh-musuh Islam datang ke bumi umat Islam sambil menjajah dan merompak hasil-hasil bumi umat Islam, sebagaimana yang berlaku di Afghanistan, Iraq, Palestin, Lubnan dan lain-lain. Sekiranya anda saksikan berita-berita mengenai keganasan di seluruh dunia, berita itu akan mengaitkan isu keganasan dengan para pejuang Islam sepanjang zaman. Berita-berita tersebut diulas dan dikupas dengan begitu teliti seolah-olah ianya benar-benar berlaku. Kemudian, disertai dengan gambar-gambar dan aksi-aksi keganasan yang seolah-olah menjadi realiti. Namun anda perlu faham, yang menyebarkan berita tersebut adalah di kalangan musuh-musuh Islam dan itulah kerja-kerja mereka untuk menjatuhkan Islam dan maruah umat Islam di seluruh dunia dan itulah propaganda mereka. Islam tidak pernah mengajar umatnya membunuh dan bertindak kejam, tetapi seandainya umatnya dizalimi dan dibunuh, Islam akan mengisytihatkan perang ke atas mereka dan bertindak balas di atas kekejaman yang mereka lakukan. Apa yang kami nyatakan ini ialah pandangan ringkas di kalangan orang-orang bukan Islam terhadap Islam. Namun, Islam mempunyai sikap dan identitinya sendiri terhadap umatnya, Islam telah mengatur-galurkan program-program kehidupan untuk dilaksanakan oleh umatnya. Islam tidak pernah menceduk program kehidupan dari mana-mana sumber atau tidak pernah berkompromi dengan mana-mana agama atau mana-mana ideologi untuk mengatur program kehidupan buat manusia, Islam tetap dengan gaya hidupnya sendiri dan tidak berhajat kepada sumber-sumber lain. Seandainya terdapat persamaan, itu adalah kebetulan saja.

Kita kembali kepada persoalan tadi, mengapa anda perlu menjadi seorang muslim, iaitu seorang yang beragama Islam dan seorang yang berjiwa Islam..? Apakah bentuk keistimewaan yang ada pada Islam dan apakah janji-janji Islam terhadap orang yang menganut agama Islam..? Adakah Islam mampu mengubah rentak hidup seseorang seandainya dia memeluk Islam, adakah Islam akan memelihara kehidupannya, memelihara kerjaya hidupnya, mengangkat tinggi martabat hidupnya dan adakah Islam dapat memberi kesegaran kepada kehidupannya sehingga ke penghujung hayatnya dan bagaimana pula kesudahannya..?

Sudah tentu sekali..! Islam ada jawabannya sendiri tentang persoalan di atas dan Islam adalah agama universal dan komprehensif, sudah pasti Islam akan memelihara para penganutnya daripada apa jua ancaman atau gangguan termasuk syaitan laknat. Kami akan mengemukakan jawaban dari persoalan tersebut melalui perbincangan di bawah ini.

2. MEMELIHARA PENDIRIAN HIDUP
Anda perlu menjadi seorang muslim kerana ingin memelihara pendirian hidup anda. Jiwa manusia itu perlu dijaga dan dipelihara daripada sebarang unsur yang boleh merosakkan pendirian hidup. Jiwa manusia perlu digilap daripada debu-debu dan segala rupa bentuk kekotoran agar ianya sentiasa kelihatan berkilat dan bersinar. Jiwa manusia memerlukan sumber kekuatan untuk mengekalkan pendiriaan hidupnya agar tidak dapat dipengaruhi oleh sesiapapun, kerana kekuatan itu merupakan suatu bekalan atau ‘makanan tambahan’ untuk memberi kuasa kepada dirinya, kekuatan itu akan menghalang pengaruh-pengaruh asing yang cuba merosakkan dirinya, kekuatan itu akan menepis segala unsur-unsur yang menjijikkan daripada menguasai perasaan hidupnya. Seandainya jiwa itu tidak punya kekuatan dan tidak punya kehebatan, nescaya jiwa itu sendiri akan menjadi punah-ranah, jiwa itu akan menjadi kecundang dan rebah menyembah bumi, jiwa itu akan menyebabkan manusia menjadi hanyut dan terumbang-ambing di celah-celah kesesatan hidup, jiwa itu pasti merana dan kehidupan itu pasti menjadi hina..!

Oleh sebab itu, Islam datang menjelma ke dalam kehidupan manusia adalah untuk melenyapkan pendirian hidup purba kala yang tidak punya kekuatan dan menggantikan dengan pendirian hidup Islam yang suci.  Islam akan membasmikan dan mengikis segala saki-baki kekotoran yang ada dalam jiwa manusia sebelum Islam datang bertapak ke dalamnya, kerana Islam tidak akan bertapak ke dalam jiwa seseorang yang mengandungi najis dan kekotoran. Islam akan membaik-pulih sistem kehidupan lampau dengan menggantikan sistem kehidupan Islam yang realistik dan bersifat kemanusiaan. Islam akan mengubah segala rentak kehidupan mereka dengan rentak kehidupan yang mereka sukai dan Islam akan mengubah warna kehidupan mereka dengan warna kehidupan yang mereka disukai.

Mungkin di sana ada persoalan; adakah orang bukan Islam itu tidak punya pendirian hidup..?

Jawabannya mudah saja, pendirian hidup orang-orang Islam tidak sama dengan pendirian hidup orang-orang bukan Islam, kerana pendirian hidup mereka tidak tegak dan mudah goyang. Pendirian hidup orang-orang bukan Islam tidak punya kekuatan, pendirian hidupnya bukan suatu pegangan dan bukan suatu keyakinan dan bukan pula suatu kepercayaan. Mereka tidak boleh menggabungkan unsur-unsur tersebut menjadi satu ideologi atau satu fahaman yang boleh memberi kekuatan kepada diri mereka.

Di kalangan orang-orang bukan Islam ada yang mempunyai pendirian hidup, tetapi tidak punya pegangan, tidak punya keyakinan dan tidak punya kepercayaan. Di antara mereka ada yang mempunyai pegangan, tetapi tidak punya pendirian, tidak punya keyakinan dan tidak punya kepercayaan. Di antara mereka juga ada yang mempunyai keyakinan, tetapi tidak punya pendirian, tidak punya pegangan dan tidak punya kepercayaan. Di antara mereka lagi ada yang mempunyai kepercayaan, tetapi tidak punya pendirian, tidak punya keyakinan dan tidak punya pegangan. Sebab-sebab berlaku demikian kerana faktor asas dalam ajaran agama tersebut, iaitu persoalan ketuhanan. Persoalan ketuhanan itu merupakan akar tunjang di dalam mana-mana ajaran agama atau mana-mana kepercayaan, kerana seseorang yang mahu memeluk sesuatu agama dia hendaklah terlebih dahulu mengenal siapa tuhan yang menjadi sembahan agama tersebut. Seandainya dia tidak tahu tuhan dalam agama yang hendak dianutinya, pasti anutannya itu akan menjadi pincang dan dia bukan orang yang benar-benar mahu kepada agama. Ajaran agama selain dari agama Islam tidak dapat mengemukakan konsep asas mengenai persoalan ketuhanan. Contohnya Agama Kristian, ajaran agama tersebut tidak dapat mengemukakan fungsi tuhan-tuhan yang mereka percaya, iaitu dalam konsep triniti, tuhan bapa, tuhan anak dan roh kudus. Para paderi Kristian tidak dapat menjelaskan bagaimana ketiga-tiga tuhan ini berfungsi dan bagaimana pula pembahagian kuasa kepada tuhan-tuhan tersebut..? Sehingga ke hari ini tiada seorang paderi yang dapat menjelaskan perkara ini.

Begitu juga ajaran Agama Buddha, di mana Buddha tidak pernah mengaku dia tuhan dan dia pula tidak pernah memberitahu siapa tuhan dan apa nama tuhan. Namun, para penganut ajaran Agama Buddha menganggap Buddha itu sebagai tuhan yang layak disembah.

Begitu juga dengan agama yang percaya kepada patung berhala, di mana para penganut ajaran tersebut menganggap patung berhala itu sebagai tuhan dan mempunyai kuasa sakti. Sekiranya anda seorang manusia yang normal, pernahkah anda melihat patung berhala itu bergerak dan berjalan-jalan, pernahkah anda melihat patung berhala itu memberi makan kepada para penganutnya yang lapar atau yang miskin, pernahkah anda melihat patung berhala itu bercakap-cakap atau memberi kata-kata nasihat kepada para penganutnya..? Sehingga ke hari ini tiada sebuah patung berhalapun yang boleh bergerak, apatah lagi mahu bercakap-cakap dengan penganut-penganutnya. Sedangkan patung berhala itu sendiri tidak mampu mencipta dirinya, bagaimana pula dia mampu memberi sesuatu kepada manusia..?

Ajaran agama-agama lain selain dari ajaran agama Islam tidak dapat mengemukakan konsep ketuhanan yang munasabah untuk anutan manusia. Konsep ketuhanan dalam ajaran agama-agama tersebut tidak dapat diperjelaskan dengan baik dan sempurna serta gagal memberi keyakinan sepenuhnya ke dalam diri manusia. Di samping itu, program-program kehidupan dalam ajaran agama-agama tersebut, sama ada berupa amal ibadat atau sistem muamalat atau seumpamanya tidak lengkap dan tidak bersifat kemanusiaan. Di sana terdapat beberapa kelemahan yang tidak boleh diterima akal dalam upacara ibadat dan mengandungi beberapa kecacatan atau kepincangan.

Maka sebab itu, realiti kehidupan mesti menepati realiti kemanusiaan..!

Islam hanya mengemukakan satu pendirian hidup saja dalam konsep ajarannya yang menjadi konsep asas atau akar tunjang dalam melayari bahtera kehidupan. Satu pendirian yang dikemukakan itu menunjukkan bahawa Islam itu hanya meletakkan satu pegangan hidup, satu keyakinan hidup dan satu kepercayaan hidup. Ini menunjukkan bahawa Islam membawa umatnya untuk berdiri tegak mengala ke satu arah, satu tuntutan, satu tujuan, satu matlamat, satu kiblat dan satu Tuhan, iaitu ketuhanan Allah. Dialah Allah,  Tuhan Yang Satu dan Tuhan Yang Maha Esa, Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Oleh sebab itu, Islam datang menjelma ke dalam kehidupan manusia adalah untuk memelihara pendirian hidup manusia, memelihara keteguhan jiwanya dan memelihara pegangan hidup agar mendakap erat hubungannya dengan ketuhanan Allah.

3. MEMELIHARA DIRI DAN MARUAH HIDUP
Islam datang menjelma ke dalam diri seseorang manusia adalah untuk memelihara diri manusia dan memelihara maruah hidupnya dari sebarang rupa bentuk pencemaran. Seandainya seseorang bukan Islam berkata bahawa dia sekarang berada dalam keadaan selamat, tetapi di hari akhirat nanti dia belum tentu selamat. Sebab itu, Islam datang menjelma dengan mengemukakan dua kehidupan, iaitu kehidupan di dunia dan kehidupan di akhirat. Kebahagiaan hidup di atas dunia ini akan membawa kebahagiaan hidup di alam akhirat dan begitulah sebaliknya. Namun, kebahagiaan tersebut mesti mempunyai pertalian dengan ketuhanan Allah, kerana kedua-dua kehidupan itu saling kait-mengait di antara satu sama lain. Islam akan memelihara umatnya daripada sebarang rupa bentuk ancaman, sama ada melibatkan maruah dirinya atau maruah keluarganya atau maruah kaum kerabatnya atau maruah teman seiringnya. Islam akan mengenakan tindakan yang sewajar kepada mereka yang membuat kezaliman, sebagaimana yang terdapat dalam hukum-hakam Islam. Peraturan dan undang-undang Islam mampu mendidik dan membentuk jiwa manusia supaya tidak melibatkan diri dalam perbuatan yang melampaui batas-batas dalam ajaran agama. Islam akan mengambil tindakan ke atas mereka yang didapati melakukan kesalahan. Jika sabit kesalahan, mereka akan dikenakan tindankan dan seseorang itu tidak dianggap bersalah sehingga dibawa bukti atau adanya kenyataan atau keterangan dari saksi-saksi yang melihat perbuatan tersebut.

Islam melarang umatnya meminum arak dan minuman yang memabukkan, kerana arak itu boleh membahayakan diri manusia dan boleh melalaikan ingatan serta merosakkan akal fikiran. Sesungguhnya, arak merupakan kunci segala kejahatan sehingga semua ajaran agama mengharamkan minuman arak. Islam akan mengenakan hukuman kepada peminum arak jika sabit kesalahan. Hukuman yang dikenakan ke atas peminum arak ialah disebat dengan lapan puluh sebatan. Islam mengharamkan arak kerana arak boleh memberi kemudharatan kepada seluruh jasad dan tubuh badan manusia.

Islam mengharamkan perbuatan berbalah dan bertelingkah sesama sendiri, Islam mengharamkan perbuatan membunuh atau pertumpahkan darah, kecuali dalam peperangan, kerana perbuatan membunuh ini boleh menyebabkan kematian dan kemusnahan jiwa. Islam adalah agama yang memelihara jiwa manusia yang tidak berdosa. Seandainya tidak dikawal, perbuatan membunuh ini akan menjadi lebih parah lagi dan boleh mengancam keselamatan jiwa manusia yang lain. Sebab itu, Islam mengenakan tindakan yang keras ke atas pembunuh. Sekiranya sabitkan kesalahan, hukuman ke atas pembunuh ialah bunuh balas.

Islam mengharamkan perbuatan zina atau pelacuran, kerana perbuatan tersebut boleh menjatuhkan maruah dan kehormatan diri serta merosakkan keturunan. Di samping itu, perbuatan ini boleh menyebabkan perbalahan dalam masyarakat dan mereka yang terlibat akan terdedah dengan pelbagai gejala penyakit yang kronik. Sebab itu, Islam memelihara maruah diri umatnya daripada perbuatan yang menjijikkan itu dan sesiapa yang melakukannya pasti akan dikenakan tindakan. Jika sabit kesalahan, hukuman ke atas penzina ini ialah disebat dengan seratus sebatan bagi mereka yang belum kahwin. Sekiranya mereka yang melakukan perbuatan tersebut telah berkahwin dan telah menikmati hubungan klasik manusia, maka hukumannya ialah direjam hingga mati. Islam mengenakan hukuman yang agak keras ke atas penzina ini kerana perbuatan tersebut melampaui batas-batas kemanusiaan, di samping perbuatan itu juga merosakkan keturunan. Sebab itu, Islam memelihara diri seseorang manusia itu bermula dari titisan benih yang masuk ke dalam rahim ibu lagi.

Islam mengharamkan perbuatan mencuri, kerana perbuatan tersebut boleh menyebabkan kehilangan harta benda. Perbuatan tersebut juga boleh menjejaskan institusi perniagaan dan pelaburan dalam sesebuah negara dan sekaligus menyebabkan kejatuhan nilai pendapatan. Islam mengenakan tindakan kepada pencuri jika sabit kesalahan dan hukuman yang dikenakan ialah memotong tangannya. Hukuman ini bertujuan mendidik dan memberi pengajaran kepada masyarakat agar tidak melakukan perbuatan mencuri. Namun, Islam tidak akan mengenakan tindakan potong tangan ke atas pencuri sekiranya negara berada dalam keadaan darurat seperti berlaku bencana alam, kemarau yang panjang, banjir yang berterusan dan lain-lain kejadian yang menyebabkan kehidupan rakyat jelata berada dalam keadaan menderita. Begitu juga orang-orang fakir miskin yang mencuri, Islam tidak akan mengenakan hukuman potong tangan ke atas mereka kerana perbuatan tersebut adalah ingin mendapatkan sesuap makanan yang diperlukan untuk keperluan diri sendiri.

Islam mengharamkan perbuatan berjudi, kerana perbuatan tersebut boleh menyebabkan berlaku perbalahan dalam keluarga dan juga dalam masyarakat. Perbuatan tersebut menyebabkan seseorang itu boleh menjadi ketagih dan membazirkan wang serta sanggup menggadaikan harta benda. Seandainya sikap ini tidak boleh diubah, maka di sana akan berlaku perok-peranda antara suami isteri dalam keluarga, berlaku jurang pemisahan antara sahabat handai dan teman seeiring dalam masyarakat.

Islam akan memelihara darah para penganutnya daripada sebarang rupa bentuk ancaman, Islam tidak akan sekali-kali membiarkan darah para penganutnya tumpah ke bumi, Islam akan bertindak balas sekiranya nyawa dan maruah umatnya terancam. Sebab itu, Islam mengarahkan kepada para penganutnya berjuang dan berjihad di jalan Allah di bawah satu angkatan semata-mata untuk mempertahankan Islam dan maruah umat Islam.

Demikianlah Islam, segala program dan manhaj hidupnya adalah bertujuan memelihara diri para penganutnya dan maruah hidup umatnya. Sesiapa yang berada di bawah naungan Islam pasti akan merasa kesegaran hidup sepanjang hayatnya.

4. PENYELESAIAN PERMASALAHAN HIDUP  
Hidup itu penuh dengan cabaran, sesiapa yang dapat mengatasinya dia pasti akan mendapat ketenangan dan sesiapa yang gagal pasti akan kecundang. Hidup itu bagaikan kisaran roda, sekali di atas dan sekali di bawah, hidup itu pula tidak pernah menjanjikan apa-apa kebahagiaan kepada manusia dan hidup itu juga tidak pernah menjanjikan apa-apa kecelakaan kepada manusia. Maka, kehidupan itu perlu diuruskan sendiri oleh manusia, dia perlu berhati-hati ketika melangkah dalam kehidupannya dan dia perlu bijak menguruskan kehidupannya sendiri agar tidak bercampur-aduk dengan unsur-unsur lain. Sesungguhnya permasalahan dalam kehidupan dihadapi oleh semua, sama ada orang-orang Islam atau orang-orang bukan Islam dan mereka semua memerlukan jalan penyelesaian untuk mengeluarkan diri dari kemelut permasalahan tersebut. Namun, jalan penyelesaian amat jauh berbeza di antara orang-orang Islam dengan orang-orang bukan Islam. Perkara pokok bagi orang-orang Islam untuk menyelesaikan apa-apa bentuk permasalahan dalam kehidupan ialah dengan kembali ke pangkuan Allah, kerana Dialah Allah yang mencipta permasalahan dan Dialah yang mengeluarkan manusia dari kemelut permasalahan tersebut. Namun, mereka mesti berusaha dan berikhtiar mencari jalan penyelesaikan dan mereka mesti bijak melalui ruang-ruang kehidupan untuk mengeluarkan diri dari permasalahan itu. Mereka mesti melatih diri agar sentiasa merasa cekal dalam menghadapi liku-liku kehidupan. Ketika itu, mereka hendaklah menyerah diri kepada Allah agar Dia dapat menyelesaikan permasalahan ini dengan cepat dan selamat. Walaupun dalam keadaan demikian, pertalian hidup yang mengaitkan hubungan manusia dengan ketuhanan Allah sentiasa berterusan dan sentiasa berjalan, bukan hanya dalam ruang ibadat sahaja, bahkan dalam permasalahan hidup dirujuk kepada Allah. Islam melarang sama sekali umatnya mengambil jalan singkat atau ‘short cut’ dalam kebuntuan mencari jalan penyelesaian dengan mencederakan diri ataupun membunuh diri, kerana Islam amat menghargai nyawa manusia. Sebab itu, jalan penyelesaian dalam apa jua bentuk permasalahan hidup secara Islam ialah kembali ke pangkuan Allah, pasti di sana akan terungkai tali permasalahan.

Berbeza dengan jalan penyelesaian dalam permasalahan yang dilakukan oleh orang-orang bukan Islam, ada di antara mereka yang meminum seteguk arak bagi menghilangkan keserabutan atau kecelaruan ataupun perasaan runsing dalam menghadapi kemelut permasalahan hidup mereka, ada pula yang mengambil dadah untuk memberi ketenangan kepada perasaan jiwa, sedangkan mereka tahu bahawa jalan penyelesaian seumpama itu adalah bersifat sementara saja. Mari kita saksikan apa yang berlaku di barat hari ini, terutama di kalangan para remaja. Kehidupan mereka telah hancur musnah akibat pergaulan bebas di antara teruna dara tanpa batasan, manakala institusi kekeluargaan telah lumpuh kerana mereka semua tidak percaya kepada konsep perkahwinan. Nilai-nilai akhlak dan pekerti hidup mereka tidak lagi kelihatan, maruah dan moral hidup mereka tercemar dan tercalar bukan menjadi persoalan, nilai-nilai kemanusiaan telah berubah dan bertukar menjadi nilai-nilai kehaiwanan, kerana pergaulan bebas mereka tanpa batasan bagaikan haiwan yang berkeliaran. Permasalahan yang berlaku di barat itu amat menjijikan dan amat memilukan, mereka berada dalam keadaan terumbang-ambing di celah-celah keseronakan hidup, tetapi mereka tidak sedar bahawa mereka sekarang berada dalam kesesatan hidup. Di saat itu, ajaran Agama Kristian tidak boleh berbuat apa-apa, kelihatan terpaku kelu melihat gelagat hidup umatnya yang menjijikkan, tidak tahu apa yang harus dilakukan. Ajaran Agama Kristian tidak dapat merangka apa-apa bentuk program kemanusiaan untuk memulihkan semula nilai-nilai kemanusiaan agar kembali seperti asal.
               
Apabila ajaran Islam cuba mengorak langkah di sana untuk memulihkan keadaan, walaupun Islam dalam keadaan tertindas dan dipandang sepi oleh kebanyakkan kaum barat, namun hakikatnya Islam tetap segar dan tetap ceria, Islam semakin hari semakin mendapat tempat di hati masyarakat di sana. Kebanyakkan mereka memilih Islam sebagai jalan penyelesaian dalam komplik kehidupan, baik dalam masalah peribadi, dalam masalah keluarga, dalam masalah hubungan rumah tangga, dalam masalah perniagaan, dalam masalah pendidikan anak-anak dan lain-lain lagi.

Anda mungkin pernah mendengar nama Neil Amstrong salah seorang angkasawan Amerika yang memeluk agama Islam, Cat Steven seorang penyanyi rock yang memeluk Islam dan menukar namanya kepada Yusuf Islam, Malcom X yang memeluk Islam dan kemudian menjadi ketua gerakan Islam di kalangan orang-orang kulit hitam di barat, beliau akhirnya dibunuh dengan kejam ketika sedang berucap menyampaikan ceramah mengenai Islam.


5. MEMBAIK-PULIH SISTEM PENGURUSAN HIDUP
Setiap individu mempunyai caranya sendiri untuk menguruskan kehidupan, adakalanya dia mencipta sistem kehidupannya sendiri untuk berinteraksi dengan orang ramai dan masyarakat persekitaran dan adakalanya dia menciplak sistem kehidupan orang lain untuk disesuaikan dengan sistem kehidupannya. Namun, tidak kurang juga di sana ada yang terpengaruh dengan sistem kehidupan tertentu sehingga dia sanggup menceduk terus tanpa diubah-suai untuk diserap masuk ke dalam dirinya. Boleh jadi, keadaan ini berlaku disebabkan oleh gaya hidup manusia hari ini yang terpaksa mengubah rentak hidupnya untuk disesuaikan mengikut perubahan semasa dan keadaan tempat. Di kalangan mereka ada yang sanggup mengubah sikap dan tabiat dirinya sendiri semata-mata untuk memenuhi style hidup hari ini, dia sanggup mengubah penambilan dirinya untuk disesuaikan dengan keadaan semasa, dia juga sanggup menggadaikan budaya hidupnya untuk kelihatan moden dan tidak kelihatan jumud, dia sanggup mengubah akhlak dan pekerti hidupnya agar dia dapat bergaul dan beramah mesra dengan pelbagai lapisan masyarakat.

Apa yang lebih dahsyat lagi, ada yang sanggup menggadai maruah dirinya sendiri semata-mata untuk memenuhi keperluan hidup yang bersifat sementara dan semata-mata untuk mendapat kenikmatan hidup melalui jalan yang keji. Ada pula yang sanggup menukar jantinanya semata-mata untuk memenuhi keperluan hidup yang didorong oleh gerakan hawa nafsu, sekalipun dia tahu perbuatannya itu melanggar peradaban dan etika kehidupan serta nilai-nilai kemanusiaannya sendiri.  Begitu juga dengan perkahwinan kaum sejenis di antara lelaki dengan lelaki dan perempuan dengan perempuan, kerana perbuatan ini telah menjatuhkan martabat kemanusiaan dan tamaddun kehidupan sejagat.  Sebabnya, kita tidak pernah mendengar haiwan  menukar jantinanya dan kita tidak pernah mendengar haiwan melakukan hubungan seks sesama sejenis. Bererti nilai-nilai kemanusiaan telah jatuh merudum ke lembah yang palimg hina dari haiwan. Sebab itu, Islam sejak awal-awal lagi tidak dapat menerima sistem kehidupan yang berasaskan kebendaan atau sistem kehidupan yang berasaskan kepada tuntutan hawa nafsu. Islam juga tidak dapat menerima sistem kehidupan yang bercampur-aduk dengan sistem kehidupan yang tidak tahu hujung pangkal, sistem kehidupan primitif dan jumud, sistem kehidupan yang tidak berasaskan akar tunjang yang kuat dan kukuh. Islam mempunyai sistem kehidupannya sendiri yang tidak bercampur-aduk dengan mana-mana sistem kehidupan lain atau mana-mana fahaman ataupun dari mana-mana sumber. Sistem hidup Islam tetap berdiri teguh di atas ubun-ubunnya sendiri yang berakar tunjang kepada konsep ‘aqidah dan keyakinan diri kepada ketuhanan Allah, sebagaimana yang terdapat dalam syari’atnya.

6. SEKIRANYA ANDA INGIN BERSAMA ISLAM
Sekiranya anda ingin bersama-sama dengan Islam, alangkah syukurnya, kerana para malaikat dan penduduk di langit akan mengiringi anda sepanjang masa, mereka semua akan memohon agar anda berada di dalam kawalan rahmat Allah dan memelihara diri anda dari godaan syaitan laknat. Islam sangat mengalu-alukan kedatangan anda untuk menganut agamanya, anda nanti akan berpegang teguh dengan ikatan tali Islam yang akan membawa anda ke pangkuan Allah, Tuhan Yang Satu, Tuhan Yang Maha Esa. dan Tuhan Yang Sebenar. Anda nanti akan dibawa untuk memahami Islam dan ajarannya serta bentuk-bentuk amalan yang anda perlu lakukan dan bentuk-bentuk amalan yang anda tidak perlu lakukan. Islam akan mengubah rentak hidup anda, gaya hidup anda, tabiat hidup anda, pemikiran anda, penampilan hidup anda dan apa jua amalan agar ianya sesuai dengan kehendak-kehendak Islam. Sekiranya anda ingin hidup bersama-sama Islam:

6.1. Islam akan mempersilakan anda dengan tangan yang terbuka dan mengalu-alukan kedatangan anda untuk mengikuti program dan halaqah yang telah diatur dalam syari’at Islam. Anda nanti akan mendengar ceramah-ceramah atau kuliah-kuliah yang berunsur ketuhanan dan keagamaan untuk anda ambil perhatian. Di sana, Islam mempunyai agenda dan perencanaannya sendiri untuk memberi kesedaran kepada anda dan anda sekarang adalah seorang yang bersih, kerana anda telah mendapat cahaya petunjuk dari Allah. Segala kesilapan dan kesalahan lampau telah dihapuskan oleh Allah. Islam menyambut kedatangan anda dan anda sekarang bergelar muslim yang beriman kepada Allah.

Firman Allah Ta’ala:
إنَا فَتَحْنَا لَكَ فَتْحًا مُبِيْنًا
Maksudnya: “ Sesungguhnya Kami bukakan bagi kamu dengan pembukaan yang amat nyata “ (Al Fath:1)

6.2. Setelah anda memeluk Islam dan melapazkan ucapan dua kalimah syahadah, anda hendaklah beriltizam dan beristiqomah dengan agama Islam. Anda sekarang memilih Islam sebagai anutan anda dan sebagai kepercayaan untuk diri anda serta sebagai cara hidup anda, sebab itu anda diminta supaya tetap berdiri teguh dengan pendirian hidup anda, kerana anda sekarang berada di jalan yang benar.

Firman Allah Ta’ala:
فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَنْ تَابَ مَعَكَ وَلاَ تَطْغَوْا ۚ إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ
Maksudnya: " Maka beristiqomahlah kamu (tetap berdiri di jalan yang benar) sebagaimana kamu diperintahkan dan diperintahkan kepada orang-orang yang bertaubat bersama kamu, janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah melihat apa yang kamu kerjakan " (Hud: 112).

Seorang sahabat bernama Abu Amr r.a. pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang suatu amalan dan dia tidak perlu lagi bertanya kepada baginda selepas ini, lalu Rasulullah s.a.w. bersabda:
قُلْ آمَنْتُ بِاللهِ ثُمَّ اسْتَقِمْ
Maksudnya: “ Katakanlah: Aku beriman kepada Allah dan kemudian hendaklah beristiqomah ”.

6.3. Kemudian, anda mesti menjadi seorang hamba yang taat dan patuh kepada arahan-arahan yang telah digariskan dalam ajaran Islam, anda mesti melaksanakan segala kewajiban yang telah tetapkan kepada setiap orang-orang Islam, kerana anda sekarang adalah warga muslim. Ajaran Islam adalah ajaran yang menekankan kepada praktikal di dalam sesuatu amalan atau ibadat. Walaupun anda masih dianggap mentah dan tidak punya kekuatan untuk mempraktikkan semua sekali amalan dalam ajaran Islam, namun anda perlu bangun dan bangkit mencuba dengan  sedaya upaya anda sendiri.

Firman Allah Ta'ala:
وَلاَ تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولاً
Maksudnya: " Dan janganlah kamu mengikut apa yang tidak kamu ketahui, kerana pendengaran dan pengelihatan serta hati semua akan dipertanggungjawabkan "(Al Isra: 36).

Firman Allah Ta'ala:
اتَّبِعُوا مَنْ لاَ يَسْأَلُكُمْ أَجْرًا وَهُمْ مُهْتَدُونَ
Maksudnya: " Ikutlah sesiapa yang tidak meminta balasan dari kamu, sedangkan mereka dari orang yang mendapat petunjuk " (Yasin: 21).

Sabda Rasulullah s.a.w.
إِذَا ضُيِّعَتِ اْلأَمَانَةَ فَانْتَظِرُ السَّاعَةَ، قِيْلَ: يَا رَسُوْلَ اللهِ وَمَا اِضَاعَتُهَا؟ قَالَ: إِذَا وَسِّدَ اْلأَمْرَ اِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرُ السَّاعَةَ
Maksudnya: " Apabila amanah telah dipersia-siakan, tunggulah kehancuran, sahabat bertanya: Bagaimana amanah itu dipersia-siakan? Sabda baginda: Apabila sesuatu urusan diserahkan kepada bukan ahlinya, maka tunggulah kehancuran "(Riwayat Muslim).

6.4. Anda hendaklah bertanggungjawab terhadap segala usaha dan amalan-amalan yang anda lakukan untuk mempertingkatkan lagi mutu dan kualiti hidup anda sendiri bersama-sama dengan Islam. Anda juga hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk mewujudkan semangat dan keazaman bagi mencapai kehidupan yang diredhai Allah. Perasaan tanggungjawab ini mestilah lahir dari hati yang ikhlas dan jujur tanpa dipengaruhi oleh perasaan hawa nafsu.

Firman Allah Ta'ala:
وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلاَ تَفَرَّقُوا ۚ وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ
Maksudnya: " Berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah, janganlah kamu berpecah-belah dan ingatlah kamu akan nikmat Allah yang dikurniakan kepada kamu " (Ali 'Imran: 103).

6.5. Anda hendaklah berjuang bersungguh-sungguh  di atas nama Islam demi mencapai matlamat dan tujuan yang diimpikan, perjuangan itu adalah untuk meninggikan syiar Islam dan mengibarkan panji-panjinya ke seluruh pelusuk alam. Untuk mencapai matlamat dan tujuan tersebut, anda mestilah terjun ke medan juang untuk mencari pengalaman dan bergerak membawa risalah dakwah bagi menyebarkan risalah tersebut kepada seluruh anggota masyarakat. Sebaik-baiknya anda turut serta mengadakan pelbagai majlis yang berunsur keagamaan, seperti mewujudkan halaqah usrah, halaqah fardhu ‘ain, ceramah, forum, diskusi, nadwah, muzakarah dan lain-lain lagi.

Firman Allah Ta'ala:
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ لَمْ يَرْتَابُوا وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الصَّادِقُونَ
Maksudnya: " Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah mereka yang beriman kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta benda dan jiwa raga di jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar " (Al Hujurat: 15).

6.6. Walaupun anda masih ‘saudara baru’ dalam Islam, anda perlu merasa pahit maun dalam perjuangan, kerana orang-orang yang berjuang mencari kebenaran biasanya mendapat ujian dari Allah. Maka sudah tentu di sana anda perlu bersedia menghadapi apa-apa kemungkinan yang datang menjelma menimpa diri anda agar anda tidak merasa tertekan dan mudah menggelabah. Oleh sebab itu, di sinilah perlunya kesabaran dan ketabahan menghadapi liku-liku kehidupan dalam Islam. Tujuannya adalah untuk menguji keimanan anda, adakah anda seorang yang benar-benar beriman atau sebaliknya dan adakah jiwa anda tahan diuji atau sebaliknya. Anda perlu mengkaji sejarah umat yang terdahulu, mereka telah diuji dengan pelbagai ujian sehingga ada di antara mereka yang telah digergaji jasad dan tubuh badan mereka sehingga terbelah dua, ada di antara mereka disula dengan kayu dan ada di antara mereka juga dibakar hidup-hidup semata-mata mempertahankan 'aqidah dan keimanan mereka dari dinodai. Mereka tidak mudah kalah dalam perjuangan hidup mereka dan mereka tidak sekali-kali menyerahkan nilai-nilai keimanan untuk ditukar-ganti dengan kekufuran, bahkan mereka merasa manis ketika kaki-kaki mereka melangkah ke medan juang. Kesabaran dan ketabahan menghadapi dugaan itu sangat diperlukan di dalam Islam, kerana Islam menggalakkan umatnya berjuang dan perjuangan itu merupakan ‘kayu pengukur’ untuk menilai keyakinan hidup seseorang hambanya.

Firman Allah Ta'ala:
ولاَ تَهِنُوا فِي ابْتِغَاءِ الْقَوْمِ ۖ إِنْ تَكُونُوا تَأْلَمُونَ فَإِنَّهُمْ يَأْلَمُونَ كَمَا تَأْلَمُونَ ۖ وَتَرْجُونَ مِنَ اللَّهِ مَا لاَ يَرْجُونَ ۗ
Maksudnya: " Janganlah kamu berhati lemah mengejar kaum (musuh), sekiranya kamu menderita sakit, mereka juga menderita sakit sebagaimana kamu, tetapi (kelebihan yang ada pada diri kamu ialah) kamu mengharapkan pertolongan dari Allah yang tidak mereka harapkan " (An Nisa: 104).

 Ada satu kelebihan buat diri anda jika dibandingkan dengan orang-orang bukan Islam, iaitu pergantungan hidup anda secara terus kepada Allah. Pergantungan itu akan membentuk suatu kekuatan tersendiri dalam diri dan anda tidak akan merasa takut dan gerum ketika menghadapi ancaman dari mana-mana musuh yang datang menjelma. Islam telah mengajar umatnya supaya bersabar di dalam menghadapi kerenah musuh dan Islam mendidik umatnya agar sentiasa mengharapkan pertolongan dari Allah supaya diteguhkan pendirian untuk terus-menerus berada dalam Islam, sebagaimana doa yang diajarkan kepada kita semua;

رَبَّنَا اَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانْصُرْنَا عَلَى اْلقَوْمِ اْلكَافِرِيْنَ

Maksudnya: " Wahai Tuhan kami! tuangkanlah kesabaran ke atas kami, kukuhkanlah pendirian kami dan tolonglah kami menentang orang-orang kafir "(Al Baqarah: 250).

6.7. Apabila di kalangan sahabat-sahabat seagama ditimpa masalah dalam kehidupan atau musibah atau kemalangan, sama ada mengenai dirinya sendiri atau keluarganya atau sanak-saudaranya atau kaum kerabatnya, maka menjadi kewajiban kepada setiap orang-orang Islam membantu dan memberi pertolongan kepada mereka. Sekiranya anda sendiri ditimpa perkara tersebut, anda pasti akan mendapat bantuan dan pertolongan untuk mengeluarkan diri anda dari beban masalah dan kemelut tersebut. Inilah tujuan dan maksud hidup di bawah naungan Islam yang saling  tolong-menolong dan saling bantu-membantu di antara satu sama lain.

Firman Allah Ta'ala:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلاَ تَعَاوَنُوا عَلَى الإثْمِ وَالْعُدْوَانِ
Maksudnya: " Tolong-menolong kamu  di dalam melakukan kebaikan dan taqwa, jangan kamu tolong-menolong di dalam melakukan dosa dan perlanggaran " (Al Maidah: 2).

Di dalam sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Umar r.a bahawa Nabi s.a.w. telah bersabda:

اَلْمُسْلِمُ أَخُوْ المُسْلِمِ لاَ يَظْلِمُهُ وَلاَ يُسْلِمُهُ مَنْ كَانَ فِى حَاجَةِ أَخِيْهِ كَانَ اللهُ فِىْ حَاجَتِهِ وَمَنْ فَرَّجَ عَنْ مُسْلِمٍ كُرْبَةً فَرَّجَ اللَّهُ عَنْهُ بِهَا كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ اْلقِيَامَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللهُ يَوْمَ اْلقِيَامَةِ

Maksudnya: " Seseorang muslim menjadi saudara kepada muslim yang lain, oleh sebab itu ia tidak boleh menzalimi atau membiarkan saudaranya dizalimi, sesiapa yang menyempurnakan keperluan saudaranya, nescaya Allah akan menyempurnakan keperluannya pula dan sesiapa yang melepaskan kesusahan saudaranya, maka Allah akan melepaskan kesusahannya pada hari khiamat dan sesiapa yang menutup keaiban seseorang muslim, maka Allah akan menutup keaibannya di hari khiamat nanti "(Sepakat riwayat).

6.8. Anda hendaklah berterus terang di dalam menyampaikan amanah Allah dan menyebarkan risalah Islam kepada seluruh umat manusia, kerana pengajaran yang terdapat di dalam persoalan agama adalah menyeluruh yang menyentuh semua sekali aspek kehidupan manusia sama ada di dunia dan di akhirat. Sekalipun apa yang disampaikan oleh anda tidak disukai oleh kebanyakkan manusia, tetapi apabila sesuatu urusan itu datang dari Allah, maka anda tetap dengan pendirian anda untuk membawa amanah ketuhanan itu.

Firman Allah Ta'ala:
لِيُحِقَّ الْحَقَّ وَيُبْطِلَ الْبَاطِلَ وَلَوْ كَرِهَ الْمُجْرِمُونَ
Maksudnya: " Supaya Tuhan membuktikan kebenaran itu benar dan kepalsuan itu palsu, sekalipun dibenci oleh orang-orang jahat " (Al Anfal: 8).


6.9. Di dalam kehidupan beragama, jangan sekali-kali melahirkan sifat menyinggung perasaan sahabat dan bersikap ‘masam muka’ kerana sesuatu perkara atau kerana status kedudukan pangkat dan kedudukan dalam masyarakat ataupun kerana darjat keturunan. Anda hendaklah bersikap ‘memulih keadaan’ dan melahirkan persefahaman untuk mengeratkan lagi ikatan persaudaraan iman. Sebagai pengajaran yang terjadi pada Rasulullah s.a.w. sendiri, pernah suatu ketika di dalam suatu majlis, apabila Rasulullah s.a.w. terlalu ghairah untuk menarik minat pembesar-pembesar Quraisy supaya memeluk Islam, tiba-tiba datang Abdullah Ibn Ummi Maqtum dalam majlis tersebut meminta pengajaran dari Rasulullah s.a.w. untuk membersihkan dirinya dari kekotoran duniawi. Tetapi Rasulullah s.a.w. melahirkan perasaan yang kurang senang terhadap permintaan Abdullah itu, lebih-lebih lagi melihat keadaan dirinya yang buta teraba-raba dan tidak terurus, pakaiannya yang carik-robek dan berbau busuk, lalu baginda s.a.w. merasa aib dan berpaling sambil bermasam muka. Sikap gerimis baginda s.a.w. ini telah ditegur oleh Allah di dalam suatu ayat:

عَبَسَ وَتَوَلَّىٰ أَنْ جَاءَهُ الأعْمَىٰ وَمَا يُدْرِيكَ لَعَلَّهُ يَزَّكَّىٰ أَوْ يَذَّكَّرُ فَتَنْفَعَهُ الذِّكْرَىٰ
Maksudnya: " Dia (Muhammad) bermasam muka dan berpaling, kerana telah datang kepadanya seorang buta, tahukah! Boleh jadi ia ingin membersihkan dirinya dari dosa atau ia ingin mendapat pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manfaat kepadanya " ('Abasa: 1-4).

6.10. Akhir sekali, anda jangan cepat berputus asa di dalam menghadapi cabaran hidup ketika berada di atas landasan Islam. Anda perlu berusaha dan berikhtiar untuk memulakan langkah baru anda dengan penuh bergaya agar anda akan menjadi ikutan di suatu hari nanti. Ketahuilah, segala usaha dan kerja-kerja anda ke arah meninggikan syiar Islam ini akan mendapat perlindungan dan jaminan dari Allah, walaupun mendapat cercaan dari setengah-setengah pihak yang tidak faham dan tidak mengerti. Kita mengambil pengajaran dari sejarah perjuangan Nabi Allah Nuh a.s. yang telah mengorbankan usianya sampai menjadi tua sehingga mencapai sembilan ratus lima puluh tahun semata-mata untuk berbakti di jalan Allah dan menyeru kaumnya supaya beriman kepada Allah, Tuhan Yang Maha Esa. Tetapi apakan daya..! Para pengikut Nabi Nuh a.s. tidak sampai seribu orang dan seruan dakwahnya itu tidak mendapat sambutan dari kaumnya termasuk anak dan isterinya sendiri yang tidak mahu beriman dengan seruan yang disampaikan olehnya itu.

Firman Allah Ta'ala:
لاَ تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ
Maksudnya: " Janganlah kamu berputus asa terhadap rahmat Allah, sesungguhnya Allah mengampuni setiap dosa yang dilakukan oleh manusia " (Az Zumar: 53).

7. ANDA PERLU MEMBUAT PERBANDINGAN AGAMA
Untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas lagi, anda perlu membuat perbandingan agama Islam dengan agama-agama lain yang ada di atas dunia ini. Anda perlu mengkaji dan meneliti fakta-fakta mengenai agama dan kisah-kisah umat yang terdahulu yang memperjuangan agama mereka serta mempertahankan maruah hidup demi agama yang dianuti. Setelah anda membuat kajian tentang perbandingan di antara Agama Islam dengan agama-agama lain di seluruh dunia, maka di sana anda perlu membuat kesimpulan secara profesional bahawa agama manakah yang paling baik dianuti yang mempunyai ciri-ciri kemanusiaan dan manhaj hidup yang berkesan untuk keperluan manusia serta dapat membawa kebahagiaan sehingga ke hari akhirat. Perbandingan yang anda lakukan ini adalah secara menyeluruh dan bukan hanya satu aspek saja atau bukan hanya satu ruang kehidupan saja, bahkan perbandingan anda itu hendaklah merangkumi semua perkara yang merangkumi setiap juzuk kehidupan. Mari kita mulakan langkah pertama tentang kajian dan perbandingan antara Agama Islam dengan agama-agama yang ada di atas dunia ini.

7.1. Agama Kristian
Agama Kristian muncul sejak 2000 tahun dahulu di Palestin. Orang-oramg Kristian menganggap Nabi Isa sebagai pengasas Agama Kristian yang kononnya mati disalib. Tetapi, mengikut ajaran Islam, Isa bukan pengasas Agama Kristian, beliau adalah seorang rasul yang dibangkitkan untuk mengajak manusia beriman kepada Allah, Tuhan Yang Satu. Nabi Isa tidak pernah mencipta Agama Kristian, tetapi yang mencipta agama tersebut ialah para pengikutnya yang sesat setelah mengetahui kononnya beliau telah disalib. Sebenarnya Nabi Isa tidak disalib, tetapi Allah telah menukarkannya dengan seorang lelaki yang bernama Yahuza, iaitu salah seorang pembesar Yahudi yang menentang ajaran yang dibawa oleh Nabi Isa. Ajaran Kristian telah mengemukakan konsep triniti atau tritunggal atau trimurti (tiga tuhan) iaitu tuhan bapa, tuhan anak dan roh kudus. Namun, konsep ketuhanan ciptaan ajaran Kristian ini tidak dihuraikan secara lanjut oleh pendita dan paderi mereka tentang hakikat ketuhanan sebenar dan mereka tidak pula menyatakan konsep wujud terhadap ketuhanan mereka itu, sama ada dari aspek zatnya, sifatnya atau perbuatannya. Lagipun, mereka tidak menyatakan bagaimana fungsi atau cara-cara pengagihan kuasa-kuasa di antara ketiga-tiga tuhan tersebut berjalan dan apakah tugas-tugas ketiga-tiga tuhan itu mempunyai persamaan atau sebaliknya. Contohnya, tuhan bapa mempunyai kuasa yang paling banyak, kemudian diikuti tuhan anak dan kemudian roh kudus. Namun, perbincangan mengenai konsep ketuhanan dalam ajaran Kristian dipandang sepi oleh pendita dan paderi-paderi mereka. Ajaran Kristian tidak dapat menghurai lanjut tentang kisah ketuhanan mereka, sedangkan konsep ketuhanan ini merupakan perkara asas yang perlu diberi tumpuan dalam sesuatu agama.

Di dalam Al Quran, kisah mengenai Nabi Isa ini telah menjadi topik utama dalam perbahasan ketuhanan, kerana di kalangan kaumnya ada yang menganggap Isa itu adalah tuhan mereka. Allah pernah bertanya kepada Isa mengenai isu ini, sebagaimana yang digambarkan dalam Al Quran:
وَإِذْ قَالَ اللهُ يَا عِيسَى ابْنَ مَرْيَمَ أَأَنْتَ قُلْتَ لِلنَّاسِ اتَّخِذُونِي وَأُمِّيَ إِلَٰهَيْنِ مِنْ دُونِ اللهِ ۖ قَالَ سُبْحَانَكَ مَا يَكُونُ لِي أَنْ أَقُولَ مَا لَيْسَ لِي بِحَقٍّ
Maksudnya: " Wahai Isa anak Maryam: Adakah kamu yang berkata kepada manusia: Ambillah aku dan ibuku sebagai tuhan selain dari Allah? Lalu Isa menjawab: Maha Suci Engkau! Tidak sepatutnya aku mengatakan apa yang tidak sebenar " (Al Maidah: 116).

Al Quran memaparkan kisah sebenar tentang kejadian sesuatu perkara dan Al Quran tidak pernah memuatkan cerita-cerita kosong atau cerita yang direka-cipta untuk menyedapkan para pembaca atau cerita-cerita dogeng purbakala yang tidak punya pengajaran. Apa yang terdapat di dalam Al Quran adalah fakta dan realiti yang sebenar. Kisah Nabi Isa yang dimuatkan di dalam Al Quran ini merupakan pengajaran buat sekalian manusia bahawa Isa tidak pernah mendakwa dirinya dan ibunya sebagai tuhan atau keturunan dari tuhan, Isa tidak pernah berbuat demikian. Bererti Agama Kristian yang ada sekarang bukan dari ajaran Nabi Isa, Agama Kristian yang ada sekarang adalah agama yang direka-cipta oleh para paderi dan para pengikutnya yang sesat. Maka ketahuilah kita sekarang, bahawa konsep triniti atau tritunggal atau trimurti (tiga tuhan) iaitu tuhan bapa, tuhan anak dan roh kudus yang menjadi asas dalam Agama Kristian bukan dari ajaran Nabi Isa, sekalipun kebanyakkan para pengikut Agama Kristian berkata demikian. Apa yang dinyatakan di dalam ayat suci Al Quran di atas itu tadi telah membatalkan temberang konsep kepercayaan tersebut. Nabi Isa tidak pernah mendakwa bahawa dia dan ibunya dianggap sebagai tuhan yang layak disembah. Kemudian, Al Quran telah menjelaskan seandainya di langit dan di bumi terdapat tuhan-tuhan yang mentadbir dan menguruskan perjalanan alam ini secara bersama, nescaya rosak binasalah alam ini.
لَوْ كَانَ فِيهِمَا آلِهَةٌ إِلاَّ الله لَفَسَدَتَا ۚ فَسُبْحَانَ اللهِ رَبِّ الْعَرْشِ عَمَّا يَصِفُونَ
Maksudnya: " Sekiranya di langit dan di bumi terdapat tuhan-tuhan selain dari Allah, sudah tentu keduanya akan binasa, Maha Suci Tuhan yang mempunyai 'arasy terhadap apa yang mereka sifatkan " (Al Anbiya: 22).

Sebagaimana yang telah dijelaskan, Agama Kristian mengandungi dua mazhab yang saling bertentangan di antara satu samalain, iaitu Katholik dan Protestant. Mazhab Katholik mengamalkan hidup secara rahib yang menumpukan perhatian kepada alam mistik dan konsep ketuhanan. Salah satu pendapat yang masyhur dalam mazhab ini ialah tidak membenarkan seseorang itu berkahwin. Perkara ini telah menyalahi adat kebiasaan dan melanggar etika hidup serta naluri kemanusiaan. Manakala Mazhab Protestant tidak memberi perhatian sangat tentang persoalan ketuhanan dan mereka lebih memberi tumpuan kepada persoalan kebendaan.   Seorang ketua ajaran Kristian Protestant bernama Martin Luther pernah membongkarkan penyelewengan yang berlaku di dalam ajaran Kristian Katholik yang menasihatkan supaya kaum wanita menjauhkan diri dari pelajaran dengan alasan tiada gunanya bagi mereka berpendidikan. Sehingga tahun 1850 di tanah jajahan Inggeris dan Boston, masih terdapat undang-undang yang melarang wanita bertindak maju ke hadapan. John Damascene pernah berkata:

 “ Wanita adalah anak yang dilahirkan dari pendustaan, penunggu neraka jahannam dan musuh keselamatan, dengan sebab dialah Adam terkeluar dari pintu syurga”.

Satu perkara lagi, di dalam Agama Kristian terdapat dua buah kitab Bible, iaitu Old Testaments dan New Testaments. Isi kandungan dalam kedua-dua buah kitab tersebut saling bertentangan dan bercanggah di antara satu sama lain. Di sana juga, terdapat beberapa perkara yang tidak logik dan tidak boleh diterima akal mengenai beberapa kisah yang berlaku di dalam kitab tersebut. Kami hanya mengambil beberapa contoh sahaja tentang pertentangan dan percanggahan sdalam The Holy Bible (American Bible Society). Di antaranya ialah sebagaimana yang terdapat dalam kitab Yahya fasal 8 ada menyebut:

“ THOUGH I BEAR RECORD OF MYSELF, YET MY RECORD IS TRUE ”.

Maksudnya: “ Seandainya aku menyaksikan dari hal diri ku sendiripun, maka kesaksian ku adalah benar ”.

Tetapi, kalau anda membaca di dalam Yahya fasal 15 ayat 31 pula ada menyebut:

“ IF I BEAR WITNESS OF MYSELF, MY WITNESS IS NOT TRUE ”.

Maksudnya: “ Seandainya aku menyaksikan dari hal diri ku, maka kesaksian ku itu tidak benar ”.

Lihatlah, kedua-dua ayat ini saling bertentangan dan bercanggah di antara satu sama lain, ayat pertama menyatakan IS TRUE (adalah benar) dan manakala ayat yang kedua pula menyatakan NOT TRUE  (tidak benar). Maka secara tidak langsung kita dapat membuat kesimpulan bahawa kitab ini tidak dipelihara dan tidak dijaga dengan baik dan sekaligus kitab ini bukan dari Tuhan Yang Sebenar. Di antara perkara yang tidak logik dan tidak boleh diterima akal dalam kitab Bible ini ialah menyentuh tentang Jesus yang dianggap sebagai anak tuhan.

Di dalam Matius fasal 4 ayat 5 ada menyebut:

“  Kemudian daripada itu iblis itupun membawa Jesus ke Negeri Suci, lalu diletaknya Jesus di atas bumbung Baitullah ”.

Anda bertanya kepada diri anda sendiri, kenapa iblis membawa Jesus yang dianggap sebagai tuhan ke Negeri Suci untuk diletakkan di atas bumbung Baitullah..? Adakah Jesus tidak mempunyai kuasa untuk membawa dirinya sendiri..? Sedangkan apa yang kita tahu iblis adalah makhluk yang dilaknat oleh tuhan. Logik kah perkara ini berlaku…?

Di dalam Matius fasal 27 ayat 1 dan 2 ada menyebut:

“  Setelah hari siang, maka segala ketua imam dan orang-orang tua kaum berunding mengenai hal Jesus supaya dibunuh akan dia. Maka diikat dia serta dibawa pergi, lalu diserahkan kepada Pilatus, iaitu wakil pemerintah ”.

Di dalam ayat ini, Jesus yang dianggap sebagai tuhan itu telah ditanggap oleh para pembesar dan diikat untuk dibunuh. Kita bertanya, kenapa Jesus yang dianggap sebagai tuhan itu boleh ikat untuk dibunuh dan tidakkah dia mempunyai kuasa untuk melepaskan dirinya..? Adakah ada lagi kuasa lain yang lebih hebat dari kuasa tuhan…? Anda bertanya kepada diri anda sendiri, adakah perkara ini dapat diterima akal…?

Di dalam Lukas fasal 2 ayat 21 pula menyatakan:

“  Apabila genap delapan hari, ia disunat lalu disebut namanya Jesus… ”.

Di dalam ayat ini, suatu perkara yang amat melucukan dan menggelikan hati mengenai masalah ketuhanan, untuk apa Jesus yang dianggap sebagai tuhan oleh penganut Agama Kristian disunatkan..? Apakah tujuan Jesus disunatkan dan siapa yang menyunatkan Jesus..? Adakah Jesus mahu mengadakan hubungan sulit dengan perempuan..?  Anda boleh memikirkan dengan akal fikiran anda sendiri bahawa perkara ini benar ataupun tidak.  Ini adalah di antara beberapa ayat yang dapat kami petik dari kitab tersebut yang dianggap tidak logik dan tidak boleh diterima akal langsung. Masih banyak lagi ayat-ayat di dalam kitab Bible yang saling bertentangan dan bercanggah di antara satu sama lain.

Kesimpulan yang dapat kami buat di sini ialah ajaran dalam Agama Kristian mengandungi banyak kesilapan dan kesalahan serta terdapat beberapa kepincangan yang melibatkan persoalan ketuhanan. Hal ini berlaku disebabkan pengubah-suaian oleh paderi dan pendeta mereka dalam ajaran tersebut serta menokak-tambah isi kandungan kitab Bible. Sebab itu, sekiranya anda membaca lebih banyak lagi ayat-ayat dalam kitab tersebut, di sana terdapat  pertentangan yang amat ketara di antara Old Testaments dan New Testaments.

7.2. Agama Yahudi
Agama Yahudi adalah agama yang bersifat perkauman atau bersifat individualistik. Konsep yang diterima pakai dalam Agama Yahudi ialah konsep perkauman, di mana Agama Yahudi hanya layak dianuti oleh mereka yang datang dari keturunan Yahudi sahaja atau dari golongan mereka ataupun melalui proses perkahwinan. Adapun orang-orang yang bukan dari keturunan Yahudi atau bukan dari golongan mereka tidak boleh menganut Agama Yahudi.  Sejarah penyelewengan Agama Yahudi berlaku  setelah Nabi Musa a.s. wafat. Baginda telah menerima Kitab Taurat dari Allah untuk memandukan kaumnya ke jalan yag benar. Namun, setelah baginda wafat, maka berlaku di sana beberapa penyelewengan dan pengubah-suaian dalam isi kandungan kitab Taurat yang berhubung-kait dengan persoalan ketuhanan, peraturan dan undang-undang hidup serta beberapa hukum-hakam yang terdapat di dalam kitab tersebut.  Kebanyakan pendeta-pendeta Yahudi tidak memelihara dan menghafaz isi kandungan kitab Taurat yang diturunkan oleh Allah. Namun begitu, terdapat di kalangan mereka yang sengaja melupakan isi kandungan kitab tersebut dan kemudian menokok-tambah untuk disesuaikan dengan keadaan semasa. Di dalam persoalan ketuhanan, mereka menjadikan hakikat ketuhanan sama sahaja seperti hakikat kemanusiaan dan sifat-sifatnya, sebagaimana yang tercatat di dalam Kitab Taurat yang telah diubah-suai:

“ Sesungguhnya Allah datang menjelma ke bumi dan berjalan-jalan di atas bumi sambil makan dan minum. Dia menangis sehingga bercucuran air matanya apabila melihat peristiwa taufan yang melanda umat Nabi Nuh a.s. ”.

Pada asalnya, kaum Yahudi beriman kepada Allah, Tuhan Yang Satu. Akan tetapi, apabila berlaku krisis ketuhanan yang kronik di kalangan mereka telah mencetuskan aliran fahaman yang menyeleweng. Di antara mereka ada yang membahagikan zat ketuhanan kepada dua, iaitu zat Allah dan satu lagi zat Fana. Sesungguhnya orang-orang yang Yahudi memang terkenal dengan semangat perkauman dan cintakan bangsa sendiri melebihi daripada segala-galanya. Dengan sebab nilai-nilai perkauman dan semangat cintakan bangsa sendiri yang sangat tebal di hati orang-orang Yahudi ini, mereka telah menamakan tuhan untuk kaum mereka sendiri iaitu bernama Al Yahoo. Tuhan ini hanya dikhususkan kepada orang-orang Yahudi sahaja dan adapun orang lain tidak ada kena mengena dengan tuhan mereka.

Kesimpulan yang dapat kami petik di sini mengenai Agama Yahudi adalah agama yang bersifat perkauman dan tidak bersifat keterbukaan. Agama ini muncul dari penyelewengan dan bukan wadah sebenar yang dibawa oleh Nabi Musa a.s. Untuk menganut agama ini, kita dikehendaki berkahwin dengan orang-orang Yahudi. Dengan sebab itu, Agama Yahudi bukan agama yang syumul dan tidak bersifat universal dan komprehensif.

7.3. Agama Hindu
Agama Hindu bermula di India lebih kurang 2000 tahun lalu sebelum masihi yang dibawa oleh suatu kaum bergelar Aryan. Mereka telah berpindah masuk ke India dari Asia Tengah dengan membawa suatu konsep kepercayaan mengenai dewa dan dewi. Pada asalnya mereka menyembah Agni sebagai dewa api, Surya sebagai dewa matahari dan Indra sebagai dewa peperangan. Akan tetapi, kepercayaan mereka telah berubah-ubah sehingga lama-kelamaan mereka percaya kepada tiga dewa utama iaitu Dewa Brahma, Dewa Vishnu dan Dewa Siva. Ketiga-tiga dewa tersebut digelar Trimurthi. Isteri Brahma ialah Saraswathi, dewi pendidikan, isteri Vishnu ialah Lakshmi, dewi kekayaan dan isteri Siva pula ialah Sakti, dewi cahaya. Di dalam ajaran Agama Hindu lagi terdapat sistem kasta yang dibahagikan kepada empat golongan, iaitu: Golongan Brahman yang terdiri dari sami-sami, Kshatriya terdiri dari hulubalang, Vaisya  terdiri dari peladang dan Sudra terdiri di kalangan orang biasa. Konsep pendewaan ini diwujudkan adalah untuk dijadikan suatu konsep kepercayaan dalam kehidupan  mereka, kerana mereka percaya dengan wujudnya dewa-dewa yang boleh memberi kebahagiaan dan kuasa sakti kepada kehidupan mereka. Di kalangan mereka menganggap bahawa dewa ini adalah sebagai tuhan atau jelmaan dari tuhan. Tetapi, apa yang diketahui bahawa konsep pendewaan itu adalah dicipta oleh manusia terhadap fenomena alam yang menganggap wujudnya suatu kuasa ghaib yang boleh memberi sakti kepada seseorang.

Kesimpulan yang dapat dirumuskan dalam ajaran Agama Hindu ini bahawa agama ini direka-cipta oleh manusia dan sudah tentu di sana banyak kelemahan-kelemahan. Mereka mengukir patung-patung berhala yang mengambarkan rupa dewa-dewa mereka untuk disembah. Apa yang kita tahu, patung berhala itu tidak boleh bergerak dan tidak boleh memberi rezeki kepada sesiapapun. Patung berhala itu direka-cipta oleh manusia, diukir dan dipahat dan kemudian diberi nama dengan nama dewa-dewa yang berkaitan. Sebab itu, konsep agama ini tidak menyatakan siapakah tuhan mereka yang sebenar. Manakala sistem kasta yang terdapat dalam ajaran agama ini telah memperlihatkan darjat tinggi rendah dan mulia hina seseorang itu dalam masyarakat, sedangkan tinggi rendah dan mulia hina seseorang itu adalah dinilai di sisi Tuhan, bukan di sisi manusia dan bukan di sisi masyarakat. Begitu juga dengan cara bertaubat dan memohon keampunan dalam agama ini tidak memperlihatkan nilai-nilai kemanusiaan sejagat. Mereka yang ingin menebus dosa terpaksa membawa ‘kavadi’ yang dicucuk  besi pada seluruh anggota badan dan berjalan jauh ke rumah berhala Murugan. Perbuatan seperti itu boleh melahirkan perasaan gerum kepada mereka yang ingin bertaubat dan ianya bercanggah dengan nilai-nilai kemanusiaan serta boleh merosakkan tubuh badan.

7.4. Agama Buddha
Perkataan Buddha bererti ‘pemberi cahaya’ dan ajaran Agama Buddha ini diasaskan oleh Siddartha Gautama yang dilahirkan pada tahun 563 Sebelum Masehi di Kapilavastu, India Utara. Bapanya adalah seorang beragama Hindu yang menjadi ketua kaumnya. Ajaran Buddha merupakan serpihan dari Agama Hindu setelah Siddartha Gautama mengkaji kitab suci dalam Agama Hindu bernama Veda dan Upanishad, maka di sana beliau dapati terdapat beberapa kelemahan dalam Agama Hindu.  Siddartha Gautama cuba mencari kebenaran dengan bertapa di bawah Pokok Bo selama empat puluh hari empat puluh malam. Akhirnya Buddha menerima pengetahuan dari Tuhan dan menemui jawaban mengenai masalah kehidupan dan kematian. Semenjak dari itu, orang ramai menggelarnya sebagai Buddha yang bererti Pemberi Cahaya. Ajaran Agama Buddha mengamalkan cara petapaan dan mengasingkan diri untuk mencapai nirwana iaitu kebahagiaan selama-lamanya. Siddartha Gautama menubuhkan agama baru apabila beliau mendapati banyak kelemahan yang terdapat di dalam Agama Hindu. Beliau tidak percaya dengan sistem kasta, sebab itu para pengikut ajaran Buddha terdiri pelbagai lapisan masyarakat. Beliau sendiri tidak suka kedudukan istimewa seperti brahman yang membuatkan ajaran Agama Hindu menjadi susah dan sukar difahami oleh orang biasa, kerana terlalu banyak adat istiadat dalam upacara sembahyang. Siddartha Gautama menubuhkan agama baru adalah ringkas dan mudah difahami.

Kesimpulannya, ajaran dalam Agama Buddha tidak pernah menyatakan siapakah tuhan Siddartha Gautama Buddha, sedangkan semasa beliau bertapa beliau telah menerima pengetahuan dari tuhan..!

Tetapi, setelah Siddartha Gautama meninggal dunia, para pengikutnya menganggap Buddha sebagai tuhan lalu mencipta dan mengukir patung-patung Buddha untuk disembah dan memohon hajat. Buddha tidak pernah menganggap dirinya sebagai tuhan, Buddha tidak pernah meminta dirinya untuk disembah dan Buddha tidak pernah mewasiat kepada para pengikutnya agar mengukir patungnya selepas dia meninggal dunia dan menyembahnya. Buddha tidak pernah berkata demikian, maka orang-orang yang menganggap Buddha sebagai tuhan adalah silap dan salah.

KESIMPULAN: Perbandingan di antara agama dan kajian mengenainya merupakan perkara penting yang perlu diketahui semua. Sekurang-kurangnya anda mendapat maklumat mengenai agama-agama yang ada di atas dunia ini dan anda akan dapati bahawa Agama Islam adalah agama yang terbaik, kerana manhajnya meliputi semua perkara dan semua konsep yang merangkumi pelbagai aspek kehidupan.

Semoga Islam dan iman menerangi hati sanubari dan jiwa nurani anda sekalian…

Wassalam

Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani