PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Tuesday 31 January 2012

AL QURAN MEMBENTUK GENERASI MASA DEPAN


Generasi yang hendak dibentuk nanti ialah generasi yang percaya bahawa Al Quran itu adalah Kalamullah yang qadim yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. bertujuan untuk mengeluarkan manusia dari kesesatan hidup kepada cahaya Islam yang terang benderang, generasi yang sentiasa membaca ayat-ayat suci Al Quran dan sentiasa mengkaji tentang ilmu-ilmu yang terdapat di dalamnya, generasi yang mengambil Al Quran itu sebagai kitab pengajaran untuk membina masa depan dirinya dan untuk dijadikan contoh teladan dalam kehidupannya, generasi yang sentiasa beramal dengan arahan-arahan Al Quran dan sentiasa menjadikan ayat-ayatnya itu sebagai zikir atau doa setiap masa dan sepanjang waktu, generasi yang mengambil Al Quran sebagai kompas pedoman dalam perjalanan hidupnya dan sebagai panduan dalam amalan hidupnya, generasi yang mengharapkan bahawa hanya Al Quran itu sahaja yang akan memberi cahaya petunjuk kepadanya ke arah jalan yang benar dan mengeluarkan manusia yang berada dalam kegelapan agar dapat menerima cahayanya itu, generasi yang mengambil Al Quran sebagai kitab perlembagaan yang berkesan dalam kehidupan dan menjadikan Al Quran itu sebagai jalan penyelesaian dalam apa jua bentuk permasalahan yang berlaku.

Firman Allah Ta'ala:

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ وَلا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إلا خَسَارًا

Maksudnya: “ Dan Kami turunkan Al Quran itu adalah penawar dan rahmat kepada orang-orang beriman, manakala orang-orang zalim pula tidaklah menambah apa-apa kecuali kerugian semata-mata “ (Al Isra': 82).

Generasi yang hendak diwujudkan itu nanti ialah generasi yang serba tahu dan serba boleh, generasi yang mempunyai kemahiran yang tinggi tentang ilmu-ilmu Al Quran. Generasi yang hendak dibentuk nanti ialah generasi yang memahami Al Quran sebagai kitab panduan untuk memandukan manusia ke jalan yang lurus. Mereka adalah generasi yang membawa wadah perjuangan untuk membina kekuatan Islam dari semua sudut, sama ada dari sudut politik dan siasah, ekonomi dan perdagangan, pendidikan dan pembelajaran, sosial dan kebudayaan dan seterusnya termasuk membina kekuatan dari sudut teknologi dan menguasai sebaran am. Cuba kita perhatikan lipatan sejarah tentang  kekuatan umat Islam di zaman silam, bermula di zaman Rasulullah s.a.w. di mana baginda telah berjaya mewujudkan generasi manusia yang faham dan mengerti tentang Al Quran, iaitu generasi sahabat yang terdiri di kalangan ramai para pemuda yang berperibadian tinggi dan berakhlak mulia serta berhemah tinggi dan mereka menjadi kuat dengan sebab mereka mempunyai hubungan secara langsung dengan Allah dan RasulNya s.a.w. di samping keimanan mereka selalu diuji, sama ada dalam peperangan atau dalam urusan seharian.

Mereka adalah generasi sahabat yang mendapat tarbiyah secara langsung dari Rasulullah s.a.w. dan baginda meletakkan batu asas yang amat kukuh ke dalam jiwa mereka yang mempunyai pertalian secara langsung dengan ketuhanan Allah. Generasi yang diwujudkan oleh baginda ini tidak pernah berlaku pada sejarah silam sebelum ini dan tidak wujud lagi sesudah generasi itu, kerana mereka adalah generasi yang unik yang menjadi ‘model’ kepada generasi yang ada pada hari ini. Sumber pengetahuan utama di zaman mereka ialah Al Quran yang menjadi petunjuk dan perlembagaan hidup mereka, walaupun ketika itu Al Quran masih lagi diturunkan secara beransur-ansur mengikut keperluan semasa dan peristiwa-peristiwa yang berlaku. Namun, apabila berlaku sesuatu kemusykilan, mereka akan terus merujuk kepada Baginda s.a.w. dan apabila keputusan diambil mereka tetap akur dan tidak lagi membantah.

   Sediainya umat Islam hari ini berjaya mewujudkan generasi yang memahami dan mendalami isi kandungan Al Quran, nescaya umat Islam akan menjadi umat yang kuat dan disegani oleh orang-orang bukan Islam, umat Islam akan menjadi umat yang dihormati dan disanjungi oleh sesiapa sahaja kerana mempunyai peradaban sendiri dan boleh jadi di sana mereka akan menjadi ‘Roll Model’ kepada generasi yang akan datang, sama seperti generasi sahabat yang menjadi contoh kepada generasi hari ini. Umat Islam nanti akan menjadi umat yang dipuji kerana akhlak dan peradaban hidup yang melambangkan maruah sebagai seorang muslim yang beretika, umat Islam tentunya pasti akan menjadi umat yang mempunyai tamadun sendiri dengan membawa program dan manhaj hidup yang mempunyai hubung-kait dengan ketuhanan Allah, iaitu sebuah kehidupan yang amat sesuai dengan naluri kemanusiaan itu sendiri. Umat Islam sendiri yang akan menterjemahkan warna kehidupan yang berasaskan pengabdian yang luhur kepada Allah dalam masyarakat tanpa dicampur-aduk dengan mana-mana unsur yang menyimpang dari arah itu.

Umat Islam sendiri yang akan mencorak-warnakan kehidupan dan masa depan mereka, kerana mereka telah mempunyai panduan hidup sendiri untuk bergerak dan bertindak, iaitu Al Quran. Penguasaan Al Quran ke dalam diri mereka bererti mereka telah mempunyai pertalian yang erat dengan Allah dan mereka kini mempunyai hubungan secara langsung dengan kekuasaan dan keagungan Allah, ikatan tali-temali mereka dengan Allah terlalu hampir den begitu akrab sekali. Segala rupa bentuk amalan dan perlakuan hidup dapat mereka laksanakan dengan penuh keikhlasan untuk dikembalikan ke pangkuan Allah.

Sesungguhnya nilai-nilai kekuatan sebuah generasi itu akan dinilai menurut kekuatan pegangan hidup mereka, kekuatan iman yang terpancak di dalam hati sanubari dan jiwa nurani mereka, kekuatan tersebut akan melenyapkan penguasaan hawa nafsu dalam diri seseorang muslim dan akan menguburkannya sehingga ke akar umbi dan sehingga hawa nafsu itu tidak berani muncul lagi.

Firman Allah Ta'ala:

إِنَّ الَّذِي فَرَضَ عَلَيْكَ الْقُرْآنَ لَرَادُّكَ إِلَىٰ مَعَادٍ

Maksudnya: “ Sesungguhnya Dialah yang menfardhukan kepada kamu tentang Al Quran, sudah tentu akan memulangkan kamu ke tempat kembali “ (Al Qashash: 85).

Ini kerana setiap amalan yang dilakukan semasa di atas dunia ini akan dihitungkan di hari akhirat kelak, sudah pasti orang-orang yang melakukan amalan kebaikan akan dibalas dengan kebaikan dan begitu juga dengan orang-orang yang melakukan kejahatan tetap akan di balas dengan kejahatan. Apabila seseorang muslim menerima cahaya petunjuk dari Al Quran yang dipancarkan kepadanya, bererti dia telah mendapat cahaya keimanan dari Allah dan sesungguhnya Allah memilih sesiapa sahaja yang layak untuk menerima cahaya tersebut. Maka penerimaan cahaya tersebut akan mencetuskan kekuatan rohani dan jasmani ke dalam dirinya, secara tidak langsung akan membentuk kekuatan sendiri yang digaul sebati dalam darah dagingnya. Cahaya tersebut akan menjadi jarum kompas untuk memandu arah dan tujuan perjalanan hidupnya bagi mencapai impian yang nyata, cahaya tersebut akan menerangi luang-lingkup kehidupannya apabila dia berada di dalam kegelapan. Namun, cahaya tersebut tidak akan mengeluarkan sinar sediainya si muslim itu tadi tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan Allah.

Mari kita perhatikan sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

إن الله تعالى قال: مَنْ عَادَى لِىْ وَلِيًّا فَقَدْ آذَنْتُهُ بِالْحَرْبِ، وَمَا  يَتَقَرَّبُ اِلَيَّ عَبْدِىْ بِشَىْءٍ أَحَبَّ اِلَىَّ مِمَّا افْتَرَضْتُهُ عَلَيْهِ، وَلاَ يَزَالُ عَبْدِىْ يَتَقَرَّبُ اِلَيَّ بِالْنَّوَافِلِ حَتَّى أُحِبُّهُ، فَإِذَا أَحْبَبْتُهُ كُنْتُ سَمْعَهُ  الَّذِى يَسْمَعُ  بِهِ،  وَبَصَرَهُ  الَّذِى  يُبْصِرُبِهِ،  وَيَدَهُ الَّتِى يَبْطِشُ بِهَا، وَرِجْلَهُ الَّتِى يَمْشِىْ بِهَا، وَلَئِنْ سَأَلَنِى لأُعْطِيَنَّهُ، وَلَئِنِ اسْتَعَاذَنِى لأُعِيْذَنَّهُ

Maksudnya: “ Sesungguhnya Allah Ta'ala telah berfirman: Sesiapa yang menyakiti wali Ku nescaya Aku isytiharkan perang ke atasnya dan tidaklah seseorang hamba menghampiri Ku dengan sesuatu yang lebih Aku sukai apabila ia melakukan apa yang Aku fardhukan ke atasnya, dan ia juga sentiasa mendekatkan dirinya kepada Ku dengan melakukan amalan sunat hingga Aku mencintainya, apabila Aku telah mencintainya, Akulah pendengarannya yang ia dengar, Akulah penglihatannya yang ia lihat, Akulah tangannya yang ia lakukan dan Akulah kakinya yang ia berjalan, jika ia meminta sesuatu kepada Ku, nescaya Aku perkenankan permintaannya dan jika ia memohon perlindungan kepada Ku, nescaya Aku melindunginya “ (Riwayat Bukhari).

Manakala Imam Bukhari r.a. pula telah meriwayatkan melalui sanadnya sendiri yang diambil dari Umar bin Abdul Aziz r.a. bahawa beliau telah menulis sepucuk surat kepada 'Udiy bin 'Udiy:

إِنَّ لِلإِيْمَانِ فَرَائِضَ وَشَرَائِعَ وَحُدُوْدًا وَسُنَنًا فَمَنِ اسْتَكْمَلَهَا اسْتَكْمَلَ اْللإِيْمَان وَمَنْ لَمْ يَسْتَكْمَلْهَا لَمْ يَسْتَكْمَلْ اْللإِيْمَانِ

Maksudnya: “ Sesungguhnya iman itu terdapat beberapa kefardhuan dan syari'at, batas sempadan dan juga sunnah perjalanan, sesiapa yang dapat menyempurnakannya, maka sempurnalah imannya dan sesiapa pula yang tidak dapat menyempurnakannya, maka pincanglah imannya “.

Pembentukan generasi masa depan yang menepati nilai-nilai kemanusiaan bermula dari dalam diri setiap individu itu sendiri, seseorang hamba itu akan berusaha membentuk dirinya untuk menjadi seorang hamba yang mampu dan berkebolehan, dia akan berusaha membina impian hidup untuk menjadi hamba yang boleh berdiri di atas kakinya sendiri dan di atas prinsip hidupnya sendiri, kerana dari situlah bermulanya titik tolak operasi kehidupan untuk memimpin kaum keluarga dan kerabatnya, sahabat hdiai dan teman seiringnya, jiran tetangga dan masyarakat sekitarnya dan  seterusnya negara yang tercinta. Maka, generasi yang akan muncul nanti ialah generasi yang mempunyai pertalian dengan Allah, Tuhan Yang Maha Agung, iaitu generasi yang faham dan mengerti tentang peranan hidup yang harus dimainkan dalam masyarakat. Maka dengan sebab itu, mereka perlu memperluaskan empayar tamadun ilmu dengan mengkaji dan meneliti ilmu-ilmu yang terdapat di dalam Al Quran dan mencetuskan idea-idea baru yang boleh diketengahkan untuk pembangunan masyarakat moden hari ini.

Mereka mesti menjadi generasi yang berani bergerak, bertindak, mengolah dan mengubah sesuatu perkara untuk disesuaikan dengan keadaan semasa dengan syarat apa yang dilakukan itu tidak terkeluar dari garisan syari’at. Mereka juga perlu bijak mencetuskan idea dengan menggunakan konsep ‘ijtihad’ dalam persoalan hukum yang masih kabur dan persoalan-persoalan semasa yang seringkali berlaku dalam masyarakat dan merekalah yang menjadi penyelesai untuk mengeluarkan ‘kata putus’ dalam sesuatu masalah yang meldia masyarakat. Akhirnya nanti, mereka tetap akan menjadi generasi yang unggul dan excellent, generasi yang menjadi pewaris kepada khazanah yang ditinggalkan oleh para nabi-nabi.

Firman Allah Ta'ala:

كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ

Maksudnya: “ Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia, (tugas dan tanggungjawab ialah) kamu disuruh mengerjakan kebaikan dan mencegah kemungkaran serta kamu beriman kepada Allah“ (Ali 'Imran: 110).

Pelaksanaan program seperti ini akan menambahkan lagi nilai-nilai keunggulan diri dan keberanian serta kehebatan generasi tersebut, di samping menjadikan diri mereka di kalangan orang-orang yang beruntung. Untuk membentuk kekuatan diri, setiap individu muslim memerlukan suatu kekuatan lain yang menjadi batu asas dan akar tunjang yang kuat untuk ditanam ke dalam hati sanubari dan jiwa nurani supaya prinsip kehidupan yang dibawa itu tidak mudah tercicir dan supaya maruah diri tidak akan mudah tercemar. Sebagai muqaddimahnya dia perlu memimpin impian hidupnya di atas satu prinsip yang dijelmakan di atas satu pengakuan, iaitu pengakuan ketuhanan: LAA ILAHA ILLAH dan kemudian dijelmakan pula pengakuan kenabian: MUHAMMADUR RASULULLAH. Kedua-dua pengakuan ini merupakan tembok pertahanan yang kuat dan kukuh untuk menghalang sebarang rupa bentuk ancaman yang datang menjelma. Maka, dengan sendirinya dia akan menjadi manusia yang kuat dan perkasa, kerana pengakuan tersebut akan menolak apa jua bentuk kekuatan dan kekuasaan selain dari kekuatan dan kekuasaan Allah.

Pengakuan tersebut akan menambahkan lagi semangat ke arah mewujudkan generasi yang hendak dibentuk itu, kerana di sana umat Islam telah mempunyai satu agenda yang hendak diserapkan ke dalam program kehidupan generasi tersebut, mereka telah mempunyai satu ramuan dan cita rasanya tersendiri untuk membentuk masyarakat supaya kembali ke pangkuan Allah. Kita juga perlu memahami tabiat dan realiti kehidupan, kerana untuk membentuk generasi yang unggul itu, di sana terdapat beberapa syarat penting yang perlu dilaksanakan supaya perjalanan hidup generasi yang hendak dibentuk itu nanti tidak menjadi pincang dan buta teraba-raba:

PERTAMA: Generasi yang hendak dibentuk itu mesti mempunyai hubungan dan pertalian yang erat dengan ketuhanan Allah, dengan sebab itu mereka akan melayakkan diri untuk mendapat kurniaan dan pertolongan dari Allah.

KEDUA: Mereka adalah generasi yang praktikal, generasi yang suka berjuang dan berjihad, generasi yang suka beramal dengan suruhan Allah, generasi yang ‘bangun dari tidur’ yang sentiasa bersiap sedia untuk mengaplikasikan kehidupan di bawah pengawasan Allah.

KETIGA: Generasi yang hendak dibentuk itu adalah generasi yang sentiasa beristiqamah dan komitmen dengan pengabdian hidup terhadap ketuhanan Allah, generasi yang mempunyai prinsip perjuangan dan perjalanan hidup, bukan generasi yang sentiasa berubah-ubah pegangan hidup atau amalan hidup ataupun perjuangan hidup.

KEEMPAT: Generasi tersebut perlu mempunyai ilmu pengetahuan yang ‘cukup masak’ yang mampu memimpin masyarakat kembali ke pangkuan Allah.

Sebabnya, setiap manusia yang berada dalam masyarakat tidak boleh memisahkan diri dari pegangan hidup dengan Allah, kerana manusia dicipta oleh Allah dan mesti berterima kasih kepada Allah. Manakala ilmu pengetahuan itu pula akan memberi laluan kepada generasi tersebut untuk mengeluarkan masyarakat dari kemelut kejahilan dengan memberi kefahaman yang mendalam tentang apa jua persoalan hidup, sama ada yang berkaitan dengan amal ibadat, pergaulan seharian, moral dan akhlak dan lain-lain perkara. Sebab itu, mereka merupakan generasi yang bertanggungjawab membentuk dan memimpin masyarakat ke jalan yang benar, mereka merupakan generasi yang akan mengeluarkan anggota masyarakat dari lubuk kejahilan dan kebodohan, mereka juga merupakan generasi yang memainkan peranan penting untuk membasmikan kemungkaran dan mereka tidak sekali-kali membiarkan masyarakat terumbang-ambing dibawa arus kesesatan. Di sana, mereka perlu merangka program amar makruf nahi mungkar untuk dilaksanakan ke dalam masyarakat, kerana pelaksanaan program ini mesti dilakukan secara praktikal bukan secara teori.

Pelaksanaan program ini mesti dihidupkan secara bersama dan beriringan, tidak harus dipisahkan antara satu sama lain, kerana hanya menumpukan kepada aspek makruf sahaja dan meninggalkan aspek mungkar ataupun hanya menumpukan perhatian kepada aspek mungkar sahaja dan meninggalkan aspek makruf, kerana kedua-dua perkara ini disebut oleh Allah secara bersama yang merupakan suatu tuntutan dan saranan yang wajib dipatuhi oleh setiap muslim, lebih-lebih lagi mereka yang mencari keredhaan Allah.

Firman Allah Ta'ala:

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya: “ Mesti ada di kalangan kamu umat yang menyeru kepada kebaikan, mereka menyuruh kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran dan mereka itulah orang-orang yang beruntung“ (Ali 'Imran: 104).

   Tugas dan tanggungjawab ini amat berat untuk dipikul dan tidak boleh diletakkan di atas bahu seseorang individu semata-mata, namun walau apa sekalipun pelaksanaan amar makruf nahi mungkar ini merupakan suatu kerangka program yang mesti dilakukan secara bersama. Cuba kita perhatikan di sana, gambaran sebenar tentang sikap orang-orang yang beriman terhadap program ini, yang saling bantu-membantu di antara satu sama lain, di antara lelaki dan perempuan yang sentiasa bekerja keras untuk mencapai cita-cita dan impian mereka, sebagaimana gambaran yang diukir itu terdapat di dalam Al Quran.

Firman Allah Ta’ala:

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ  يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ

Maksudnya: “ Lelaki yang beriman dan perempuan yang beriman menjadi penolong di antara satu sama lain, mereka menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran “ (At Taubah: 71).

Gambaran pelaksanaan konsep hidup generasi yang hendak dibina menurut perspektif Islam dalam bentuk yang lebih syumul mesti dikaitkan dengan kefahaman tentang hakikat Islam itu sendiri, di mana amalan-amalan hidup yang dilaksanakan tidak harus keluar melepasi garis sempadan dan ruang-lingkup dalam manhaj Islam itu, manakala sebarang unsur yang tidak termasuk dalam manhaj Islam mesti dilenyapkan terus dalam konsep kehidupan. Generasi yang muncul menurut acuan Al Quran ialah generasi yang bertindak bijak dalam masyarakat, mereka tetap berdiri di jalan yang benar dan tetap berkata benar sekalipun dalam kalangan manusia tidak menyukai mereka. Mencegah kemungkaran adalah suatu kewajiban yang mestilah dilaksanakan oleh mereka, sama ada dengan tangan atau dengan lidah atau dengan hati.

Sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Abu Said Al Khudri r.a.  bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرُهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ اْلإِيْمَانِ

Maksudnya: “ Sesiapa yang melihat perkara mungkar, maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya, sekiranya dia tidak berkuasa maka hendaklah mengubah dengan lidahnya dan sekiranya dia tidak berkuasa juga, maka hendaklah mengubah dengan hati dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman “ (Riwayat Muslim).

Generasi yang hendak dibentuk di atas prinsip Al Quran itu ialah generasi pejuang yang berani terjun ke medan menyeru manusia kembali ke jalan Allah, kerana tugas ini merupakan suatu kewajiban yang perlu dilaksanakan oleh generasi tersebut, kerana itu juga tugas ini akan dapat menambahkan bilangan manusia memahami Islam secara syumul dan memeluk Islam untuk mendapat petunjuk dan hidayat dari Allah. Di dalam mengharungi kerja-kerja dakwah dan kerja-kerja menyeru masyarakat kembali ke pangkuan Allah, di sana mereka memerlukan beberapa uslub penyampaian yang berkesan dan cara-cara bertindak dengan baik supaya menarik minat orang ramai ke arah Islam, kerana seruan menyeru manusia ke jalan Allah merupakan tugas utama para rasul-rasul yang diutuskan sejak dahulu lagi.

Sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Mas'ud r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

مَا مِنْ نَبِىٍّ بَعَثَهُ اللهُ فِىْ أُمَّةٍ مِنْ قَبْلِىْ اِلاَّ كَانَ لَهُ حَوَارِيُّوْنَ وَأَصْحَابٌ يَأْخَذُوْنَ بِسُنَّتِهِ وَيَقْتَدُوْنَ بِأَمْرِهِ، ثُمَّ إِنَّهَا تَخْلُفُ مِنْ بَعْـدِهِمْ خُلُوْفٌ يَقُوْلُوْنَ مَالاَ يَفْعَلُوْنَ وَيَفْعَلُوْنَ مَالاَ يُؤْمَرُوْنَ، فَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِيَدِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِلِسِانِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِقَلْبِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ، لَيْسَ وَرَاءُ ذَلِكَ مِنَ اْلإِيْمَانِ حَبًّةُ خَرْدَلٍ

Maksudnya: “ Setiap nabi yang dibangkitkan oleh Allah kepada sesuatu umat sebelum ku mempunyai pengikut yang setia dan para sahabat yang sentiasa mengambil sunnah perjalanannya serta selalu mengikut arahannya, kemudian berlalu beberapa generasi dan muncul pula generasi yang kemudian, mereka mengatakan tetapi tidak melakukan, sebaliknya melakukan apa yang tidak disuruh, sesiapa yang berjuang menentang mereka dengan tangannya, maka dia adalah beriman, sesiapa yang berjuang dengan lidahnya, maka ia adalah beriman dan sesiapa yang berjuang dengan hatinya maka ia juga adalah beriman dan tiada lagi iman selepas itu walaupun sebesar biji sawi “ (Riwayat Muslim).

Ketahulah wahai saudara muslim..! Sesungguhnya jalan Islam itu amat luas terbentang, jalan Islam itu dipenuhi bau wangi-wangian dan dihiasi pancaran cahaya kegemerlapan, jalan Islam itu merupakan jalan yang menerangi ruang-lingkup hidup manusia, jalan yang mengajak manusia berdiri teguh di atas ubun-ubunnya dan di atas panji-panji kebenaran, jalan yang membentuk syaksiyah diri manusia dengan nilai-nilai yang unggul dan jalan untuk membina sebuah keyakinan dengan meletakkan ‘aqidah sebagai teras dalam perjuangan.

Firman Allah Ta'ala:

قُلْ هَٰذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللهِ  عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي وَسُبْحَانَ اللهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Maksudnya: “ Katakanlah: Inilah jalan ku yang mengajak (manusia) ke jalan Allah dengan pdiangan yang jelas, aku dan para pengikut ku, Maha Suci Allah dan aku tidak termasuk di kalangan orang-orang musyrikin “ (Yusuf: 108).

Setiap generasi yang hendak dibentuk itu mesti melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan agar dapat memberi petunjuk kepada diri mereka sendiri dan juga masyarakat seluruhnya. Ilmu pengetahuan itu akan membentuk keunggulan diri mereka sebagai manusia yang normal dan bertamadun dan mempunyai etika dalam peradaban hidup. Yang penting ilmu tersebut dapat mengikat erat hubungan mereka dengan Allah agar tidak putus terburai, hancur berkecai.

Firman Allah Ta'ala:

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ

Maksudnya: “ Serulah manusia ke jalan Tuhan dengan bijaksana dan pengajaran yang baik, berdebatlah dengan mereka mengikut cara yang sebaik-baiknya “ (An Nahl: 125).

Sesungguhnya seruan menyeru manusia ke jalan Allah merupakan tugas dan tanggungjawab yang sebenar yang perlu dilakukan oleh setiap generasi ini setelah mereka mendapat pengiktirafan dari Allah. Mereka mesti bersiap sedia dan mampu memimpin masyarakat untuk membawa mereka kembali ke pangkuan Allah, kerana mereka mempunyai keupayaan dalam semua bentuk dan memiliki kehebatan serta keistimewaan supaya dapat mempengaruhi masyarakat dan menarik minat mereka ke arah Islam. Lihatlah contoh teladan yang ada pada diri Rasulullah s.a.w. yang telah berjaya pemimpin masyarakat sepanjang zaman dan sehingga kini ajaran Islam yang dibawa oleh baginda s.a.w. dapat mempengaruhi masyarakat dunia untuk menerima Islam sebagai program hidup yang berkesan. Tugas dan tanggungjawab menyeru manusia tidak boleh dilakukan oleh manusia biasa, apatah lagi mereka yang tidak punya ilmu pengetahuan. Maka, realiti ini mesti diberikan kepada orang-orang yang mempunyai ilmu yang mendalam, kerana ilmu tersebut merupakan bekalan dan panduan untuk membina kehidupan masyarakat dan menyelesaikan apa-apa permasalahan yang berlaku. Dengan sebab itu, mereka harus mengerti dan memahami konsep syari’at yang diturunkan oleh Allah di samping menguasai isi kandungan yang terdapat dalamnya untuk diprogramkan ke dalam masyarakat.

Sabda Rasullulah s.a.w.

مَنْ أَرَادَ الدُّنْيَا فَعَلَيْهِ بِالْعِلْمِ وَمَنْ أَرَادَ اْلآخِرَةَ فَعَلَيْهِ بِالْعِلْمِ وَمَنْ أَرَادَهُمَا فَعَلَيْهِ بِالْعِلْمِ

Maksudnya: “ Sesiapa mahukan dunia, maka hendaklah mencapainya dengan ilmu, sesiapa yang mahukan akhirat, maka hendaklah mencapainya dengan ilmu dan sesiapa yang mahukan kedua-duanya sekali, maka juga dengan ilmu “.

          Sebab itu, generasi masa depan yang hendak dibentuk ialah generasi yang intelektual dengan berpandukan kepada prinsip syari’at dan berpegang teguh kepada realiti yang nyata. Sediainya mereka gagal memprogramkan prinsip syari’at dalam kehidupan bermasyarakat, bererti mereka telah gagal memainkan peranan sebagai seorang intelektual atau sebagai seorang pendakwah dan secara tidak langsung kegagalan ini telah memberi ruang kepada jahiliyah dan suku-sakatnya untuk masuk ke dalam masyarakat tersebut. Sesungguhnya Islam telah membentangkan syari’atnya sendiri untuk diprogramkan kepada sekalian umat manusia dan syari’at Islam ini adalah dicipta oleh Allah sendiri tanpa diceduk dari mana-mana syari’at lain atau dicampur-aduk dengan mana-mana sumber lain. Sebab itu, pembentukan generasi masa depan ini mesti mempunyai nilai-nilai kemanusiaannya yang tersendiri, kerana sekiranya mereka tidak mempunyai nilai dan tidak pula bermaruah, nanti mereka tidak mempunyai harga diri dalam pasaran, kerana kehidupan yang mereka miliki sekarang adalah kehidupan yang rendah mutunya dan tidak punya apa-apa kualiti. Jika demikian, bagaimana generasi itu mahu bangkit untuk membina tamadun sendiri dan bagaimana pula mereka mahu mewujudkan kepakaran teknologi sendiri, sedangkan pembinaan tamadun dan teknologi itu memerlukan nilai-nilai kemanusiaan yang akan mencetuskan pemikiran yang bijak untuk berubah dan mengubah serta merombak sistem kehidupan yang mundur dan jumud kepada kemajuan dan kecanggihan…

   Maka, di sinilah letaknya nilai dan kekuatan generasi yang hendak diwujudkan ini, mereka adalah generasi yang menjadi pewaris untuk mempusakai amanah yang telah ditinggalkan oleh para ulama silam. Sudah tentu, di sana ada banyak tugas dan tanggungjawab yang perlu diselesaikan.

Firman Allah Ta'ala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تَنْصُرُوا اللَّهَ يَنْصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ

Maksudnya: “ Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong meninggikan agama Allah, nescaya Dia akan menolong kamu dan meneguhkan kedudukan kamu “ (Muhammad: 7).


Sekian, wassalam


Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani

AL QURAN SEBAGAI PERLEMBAGAAN HIDUP


Di sana terdapat satu persoalan yang mungkin bermain-main dalam fikiran manusia: Mengapa Al Quran itu diturunkan kepada sekalian umat manusia dan mengapa pula manusia perlu mematuhi arahan dan isi kandungannya..?

Al Quran tidak seperti kitab-kitab yang diturunkan sebelum ini, seperti Kitab Taurat, Kitab Zabur dan Kitab Injil, kerana kitab-kitab tersebut hanya diturunkan secara khusus kepada umat-umat tertentu sahaja. Adapun Al Quran ini diturunkan kepada seluruh umat manusia, sejak Nabi Muhammad s.a.w. diutuskan menjadi rasul sehingga ke akhir zaman, mengapa sedemikian rupa..? Sebagaimana yang telah dijelaskan, bahawa Al Quran itu adalah Kalamullah, perkataan dan percakapan Allah kepada manusia yang dikumpul dalam satu mashaf, bermula Surah Al Fatihah dan diakhiri dengan surah An Nas. Di dalam Al Quran mengandungi pelbagai hukum-hakam, peraturan dan undang-undang, seperti undang-undang munakahat, muamalat, jinayah dan perkara-perkara yang berkaitan dengan sistem kekeluargaan, mengandungi hubungan toleransi, mengandungi cerita dan kisah teladan, akhlak dan peradaban, kisah-kisah perjuangan para nabi-nabi dan rasul-rasul serta umat terdahulu dan lain-lain. Segala apa jua perkara yang berkaitan dengan sistem kehidupan manusia, sama ada mengenai urusan duniawi ataupun urusan ukhrawi semuanya ada dimuatkan dalam Al Quran.

Tetapi, kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah sebelum ini walaupun ianya Kalamullah, namun kitab-kitab tersebut tidak dipelihara oleh Allah tentang mutu dan keasliannya. Semua kitab-kitab tersebut telah diubah-suai, dipinda susunan ayatnya, nahu dan tata bahasanya, hukum-hakam dan lain-lain lagi dan kemudian dibuat salinan semula sehingga mutu keasliannya tidak dapat dijaga dan dipelihara, sehingga ada di antara ayat-ayat tersebut saling bertentangan di antara satu sama lain. Lagipun, perbahasan dalam kitab-kitab tersebut tidak merangkumi pelbagai aspek kehidupan manusia, tidak mengandungi hukum-hakam yang lengkap, kerana ianya lebih banyak menjurus kepada hubungan manusia dengan ketuhanan Allah dan ketaatan kepada titah dan perintahNya.

Al Quran adalah kitab semulajadi yang diturunkan oleh Allah dan tidak berubah-ubah sejak diturunkan hingga sekarang, baik pada bacaannya, sebutan hurufnya, hukum-hakamnya dan lain-lain, walaupun terdapat usaha-usaha di sana yang dilakukan oleh para orientalis barat dan musuh-musuh yang bencikan Islam untuk pengubah-suai terhadap isi kandungan Al Quran, seperti mencampur-aduk isi kandungan ayat-ayat Al Quran, mencetak semula dengan diubah-ubah dan ditambah huruf-huruf yang tidak berkaitan, menambah surah-surah dalam Al Quran dan lain-lain lagi, namun mutu dan keasliannya tetap dipelihara dan dijaga oleh Allah. Di dalam Al Quran dimuatkan pelbagai manhaj kehidupan manusia, sama ada berkaitan dengan ekonomi, politik, sosial, tarbiyah, akhlak, peradaban dan lain-lain lagi, di mana perkara ini tidak disentuh langsung dalam kitab-kitab yang diturunkan sebelum ini. Sesungguhnya Al Quran itu adalah kitab perlembagaan hidup buat seluruh umat manusia dan kitab yang menyelesaikan segala rupa bentuk permasalahan yang dihadapi oleh manusia.

Firman Allah Ta'ala:

وَمَا اخْتَلَفْتُمْ فِيهِ مِنْ شَيْءٍ فَحُكْمُهُ إِلَى اللَّهِ ذَٰلِكُمُ اللَّهُ رَبِّي عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ

Maksudnya: “ Dan apabila kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka keputusannya kepada Allah dan itulah Allah Tuhan Ku, hanya kepadaNya aku serahkan dan kepadanya aku kembali “ (Asy Syura: 10).

Firman Allah Ta'ala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الأمْرِ مِنْكُمْ  فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ  ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلاً

Maksudnya: “ Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul serta ulil amri di kalangan kamu, apabila kamu bertelingkah di dalam sesuatu perkara, hendaklah kamu kembali kepada Allah dan Rasul (iaitu kepada Al Quran dan As Sunnah) sekiranya kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat, itulah yang lebih baik dan lebih bagus kesudahannya “ (An Nisa': 59).

Sebab itu, cara Al Quran menyelesaikan permasalahan hidup yang dihadapi oleh manusia amat mudah sahaja, iaitu hanya kembali kepada Allah sebagai ‘kata pemutus’ atau jalan pengesahan terhadap sesuatu hukuman dan itulah sebaik-baik jalan penyelesaian. Sudah tentu, setiap hamba yang benar-benar menyerah diri kepada Allah mesti menjadikan Al Quran sebagai perlembagaan hidup atau mengambilnya sebagai suatu dasar dalam hidup atau dijadikan sebagai batu asas dalam proses mengharungi liku-liku kehidupan. Perkara yang paling pokok atau teras dalam persoalan hidup, sama ada dalam permasalahan hidup, dalam pertikaian lidah, perselisihan faham, perbalahan atau dalam apa jua perkara yang melibatkan ‘hubungan dingin’ di antara dua pihak ialah kembali kepada Al Quran dan As Sunnah, iaitu kepada Allah dan RasulNya s.a.w. Kerana, seluruh hakikat kehidupan ini tertegak di atas kedua-dua sumber ini yang merupakan jalan penyelesaian yang terbaik.

Hanya kitab Al Quran sahaja yang layak dijadikan perlembagaan hidup dan akar tunjang untuk setiap pergerakan dan perjalanan ke segenap penjuru kehidupan, kerana di dalamnya terdapat berbagai-bagai juadah keilmuan yang perlu diterokai untuk membina sebuah tamadun kehidupan yang suci dan bebas dari sebarang unsur jahiliyah dan suku-sakatnya. Segala manhaj hidup yang diperkenalkan oleh Al Quran kepada manusia amat mudah dan sesuai untuk realiti kehidupan manusia dari semua peringkat umur dan golongan. Mereka boleh menerima-pakai manhaj Al Quran sebagai perlembagaan hidup untuk diletakkan dalam hati sanubari dan jiwa nurani,  kerana ianya adalah ‘kitab kemanusiaan’ yang membicarakan hubungan kemanusiaan dan ketuhanan Allah dan unsur-unsur yang merentasi sempadan kemanusiaan manusia sesama mereka, penghayatan hidup, amalan-amalan yang praktikal dan unsur-unsur yang melibatkan nilai dan harga diri manusia. Oleh itu, tiada sebab mengapa seseorang manusia harus menolak Al Quran sebagai perlembagaan hidupnya dan tiada alasan baginya untuk menolak Al Quran dari kehidupannya..!

Kewajiban setiap individu muslim di sana ialah meletakkan Al Quran sebagai perlembagaan hidup ke dalam hati sanubari dan jiwa nurani sebelum Al Quran itu menjadi perlembagaan yang tertinggi di dalam sesebuah negara. Perlembagaan diperlukan dalam setiap diri individu muslim adalah untuk menyelaraskan program hidupnya dan amalan-amalan yang hendak dilakukan. Sediainya tiada bentuk penyelarasan di dalam kehidupan para muslim, nescaya kehidupannya itu akan menjadi kehidupan yang ‘separuh matang’ yang saling bertentangan di antara satu sama lain dan akan wujud di sana pertelingkahan yang berpanjangan. Seorang tokoh gerakan Islam yang bernama Abdul Qader ‘Audah pernah berkata:

أَقِيْمُوْا دَوْلَةَ الإِسْلامِ فِىْ قُلُوْبِكُمْ قَبْلَ تَقُوْمُوا فِىْ أرْضِكُمْ

Maksudnya: “ Binalah negara Islam di dalam diri kamu sebelum kamu mendirikan negara Islam di tanah air mu “.

Maka, Islam telah menetapkan hanya Al Quran sahaja yang sesuai untuk dijadikan perlembagaan hidup dan tidak harus mengambil sumber-sumber yang lain atau fahaman-fahaman yang lain, sama ada berbentuk teori atau ideologi untuk dijadikan perlembagaan dalam kehidupan manusia. Begitu juga mencampur-adukkan unsur-unsur lain yang datang dari luar gelanggang Islam untuk dimasukkan ke dalam Al Quran menjadi suatu perlembagaan adalah tidak diharuskan sama sekali dan Islam menolak dengan sekeras-kerasnya. Setelah Al Quran itu dijadikan perlembagaan dalam kehidupan, kewajiban yang lain pula yang perlu dilaksanakan di sana ialah mewujudkan sistem hidup Islam yang bebas dari unsur-unsur khurafat dan suku-sakatnya di dalam sesebuah negara dengan meletakkan Al Quran itu sebagai perlembagaan yang tertinggi dan sebagai sumber hukum yang paling utama, manakala As Sunnah Nabi s.a.w. sebagai sumber hukum yang kedua.

Firman Allah Ta'ala:

وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ

Maksudnya: “ Apabila kamu menghukum antara manusia, hendaklah kamu menghukum dengan adil, sesungguhnya Allah memberi pelajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu, sesungguhnya Allah itu adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat “ (An Nisa: 58).

Keadilan itu hanya dapat dinilai dan diukur menurut perspektif Islam sejagat, bukan menurut kemahuan hawa nafsu atau pemikiran akal yang singkat atau teori-teori yang bersifat taksub atau pdiangan-pdiangan yang fanatik. Maka di sini perlu difahami, bahawa setiap muslim yang ingin mencari kepuasan hidup dan keredhaan Allah mesti meletakkan Al Quran itu di hadapannya sebagai pedoman hidup dan mesti juga mendahului Al Quran dari pendapat dan padangan manusia lain, kerana Al Quran adalah kitab petunjuk dan kitab hidayat yang memberi cahaya kepada manusia ketika berada di dalam kegelapan, yang memberi kesenangan kepada manusia ketika berada di dalam kesusahan. Sediainya terdapat di kalangan manusia yang ingin mencari keredhaan Allah, tetapi mengambil sumber-sumber lain selain dari Al Quran, seperti mengambil pdiangan manusia yang dikatakan sebagai seorang yang keramat dan memperolehi kuasa sakti dan kuasa luar biasa, memuja-muja para wali-wali menurut anggapan mereka dengan meletakkan kitab suci Al Quran di belakang, maka perbuatan seperti ini boleh menyesatkan dirinya sendiri. Seolah-olah dia lebih cenderung kepada pdiangan dan pemikiran manusia dari mengambil isi pengajaran Al Quran. Hakikat seperti ini akan mengundang mala petaka ke atas dirinya sendiri dan boleh membawa kekufuran. Ini adalah suatu pendekatan yang sesat dan merupakan suatu kesalahan yang besar di sisi syari’at dan jalan yang mereka cari untuk mencari keredhaan Allah tidak sekali-kali akan tercapai buat selama-lamanya.!



Sekian, wassalam

Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani

Saturday 28 January 2012

AL QURAN SEBAGAI PENAWAR


Al Quran bukan sahaja kitab yang memberi cahaya petunjuk kepada umat manusia, tetapi di sana terdapat suatu perkara yang tidak diketahui secara umum oleh kebanyakan manusia, iaitu Al Quran juga bertindak sebagai penawar kepada pelbagai penyakit yang meldia diri manusia, sama ada penyakit spiritual atau penyakit fizikal. Dengan beberapa potong ayat yang tertentu dibaca dan dihembus kepada pesakit, maka pesakit itu akan menjadi pulih dan merasai kesegaran hidupnya. Dengan itu, Al Quran menjadi ubat pelindung yang amat berkesan dan penyembuh kepada apa jua jenis penyakit, sekalipun penyakit tersebut agak kronik.

Semuanya berjalan mengikut kehendak Allah, oleh itu benarlah firman Allah Ta'ala:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاءَتْكُمْ مَوْعِظَةٌ مِنْ رَبِّكُمْ وَشِفَاءٌ لِمَا فِي الصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: “ Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya telah datang kepadamu pengajaran dari Tuhan mu, penawar kepada perasaan hati mu, petunjuk dan rahmat untuk para mukminin “ (Yunus: 57).

Al Quran hanya menjadi penawar kepada orang-orang yang beriman dan yakin terhadap isi kandungannya sahaja. Adapun orang-orang yang tidak beriman dan tidak pula yakin terhadap isi kandungan yang terdapat di dalam lembarannya, mereka tidak sekali-kali memperolehi apa-apa penawar dari Al Quran walaupun sekelumit, bahkan Al Quran itu pula bertindak menjadi laknat kepada mereka. Namun, bagaimanakah pula Al Quran itu dapat memancarkan cahaya petunjuknya kepada mereka yang tidak percaya dengannya...?

Maka, Allah Ta'ala berfirman:

قُلْ هُوَ لِلَّذِينَ آمَنُوا هُدًى وَشِفَاءٌ وَالَّذِينَ لاَ يُؤْمِنُونَ فِي آذَانِهِمْ وَقْرٌ وَهُوَ عَلَيْهِمْ عَمًى ۚ أُولَٰئِكَ يُنَادَوْنَ مِنْ مَكَانٍ بَعِيدٍ

Maksudnya: “ Katakanlah  (wahai Muhamad)! Al Quran itu adalah petunjuk dan penawar kepada orang-orang yang beriman, manakala orang-orang yang tidak beriman pula telinga mereka menjadi tuli dan mata mereka menjadi buta, mereka bagaikan orang-orang yang dipanggil dari tempat yang jauh “ (Fusshilat: 44).

Al Quran muncul dengan membawa pelbagai jenis penawar untuk memberi rawatan kepada mereka yang dildia penyakit, sama ada penyakit fizikal atau penyakit spiritual, sama penyakit biasa atau penyakit yang kronik. Al Quran akan memulihkan penyakit manusia sehingga menjadi sihat, memulihkan jiwa raga manusia yang selalu dildia perasaan keluh kesah sehingga menjadi tenang tenteram dan memulihkan ingatan manusia dari pelbagai gangguan dan igauan sehingga menjadi jernih, tetapi perkara itu terjadi adalah dengan izin Allah. Kerana, ayat-ayat suci Al Quran itu merupakan Kalamullah, Kalimah Allah, Perkataan Allah, Ungkapan Allah dan Percakapan Allah yang diturunkan untuk manusia, untuk manusia baca, untuk manusia membuat analisa dan kajian, untuk manusia hayati isi kandungan, untuk manusia mengambil pengajaran, untuk manusia jadikannya sebagai penawar dan lain-lain lagi. Ertinya, apabila Al Quran itu datang dari Allah, maka di sana ayat-ayatnya itu sudah tentu mengandungi kekuatan tersendiri yang dapat diserapkan ke dalam diri manusia sebagai ‘rawatan pemulihan’ yang berkesan atau sebagai pendinding dari kejahatan atau penghalang dari persihiran dan perbuatan-perbuatan khianat dari makhluk halus, jin dan manusia yang durjana. Di sana terdapat beberapa peristiwa dalam lipatan sejarah Islam tentang ayat-ayat Al Quran yang diguna-pakai sebagai penawar atau benteng dari kejahatan:

PERTAMA: Ketika rumah Nabi s.a.w. dikepung oleh orang-orang kafir Quraisy semasa baginda s.a.w. mahu berhijrah, lalu baginda s.a.w. mengambil segenggam pasir dan membaca sepotong ayat:

وَجَعَلْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيهِمْ سَدًّا وَمِنْ خَلْفِهِمْ سَدًّا فَأَغْشَيْنَاهُمْ فَهُمْ لاَ يُبْصِرُونَ

Maksudnya: “Dan Kami jadikan sekatan di hadapan mereka dan sekatan di belakang mereka, lalu Kami tutup pdiangan mereka; maka dengan itu mereka tidak dapat melihat” (Yasin: 9).

          Lalu baginda s.a.w. menghamburkan pasir yang digenggam itu kepada orang-orang kafir Quraisy menyebabkan penglihatan mereka menjadi tertutup dan baginda s.a.w. dapat keluar dari rumahnya itu tanpa dilihat oleh sesiapapun.

KEDUA: Kisah yang berlaku pada diri Umar Al Khattab r.a. sebelum keislamannya, beliau adalah salah seorang yang keras hatinya dan amat bengis, beliau sangat bencikan Islam dan salah seorang penentang Islam yang amat gigih. Apabila beliau mendengar beberapa potong ayat suci Al Quran yang dibaca oleh saudara perempuannya Fatimah dari awal Surah Thaha, hati Umar mula merasa sejuk dan tenang:

طه مَا أَنْزَلْنَا عَلَيْكَ الْقُرْآنَ لِتَشْقَىٰ إلاَّ تَذْكِرَةً لِمَنْ يَخْشَىٰ تَنْزِيلاً مِمَّنْ خَلَقَ الأَرْضَ وَالسَّمَاوَاتِ الْعُلَى الرَّحْمَٰنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَىٰ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأَرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَا وَمَا تَحْتَ الثَّرَىٰ وَإِنْ تَجْهَرْ بِالْقَوْلِ فَإِنَّهُ يَعْلَمُ السِّرَّ وَأَخْفَى اللَّهُ لاَ إِلَٰهَ إلاَّ هُوَ  لَهُ الأَسْمَاءُ الْحُسْنَىٰ وَهَلْ أَتَاكَ حَدِيثُ مُوسَىٰ إِذْ رَأَىٰ نَارًا فَقَالَ لأَهْلِهِ امْكُثُوا إِنِّي آنَسْتُ نَارًا لَعَلِّي آتِيكُمْ مِنْهَا بِقَبَسٍ أَوْ أَجِدُ عَلَى النَّارِ هُدًى فَلَمَّا أَتَاهَا نُودِيَ يَا مُوسَىٰ إِنِّي أَنَا رَبُّكَ فَاخْلَعْ نَعْلَيْكَ  إِنَّكَ بِالْوَادِ الْمُقَدَّسِ طُوًى وَأَنَا اخْتَرْتُكَ فَاسْتَمِعْ لِمَا يُوحَىٰ إِنَّنِي أَنَا اللَّهُ لاَ إِلَٰهَ إلاَّ أَنَا فَاعْبُدْنِي وَأَقِمِ الصَّلاَةَ لِذِكْرِي

Maksudnya: Taa Haa, Kami tidak menurunkan Al Quran kepada mu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan, melainkan menjadi tazkirah bagi orang-orang yang takut kepada Allah, (Al Quran) diturunkan dari (Tuhan) yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi. Iaitu (Allah) Ar Rahman, yang bersemayam di atas Arasy. Dialah jua yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi serta yang ada di antara keduanya dan juga yang ada di bawah tanah basah di perut bumi. Dan jika engkau menyaringkan suara dengan doa permohonan mu, maka yang demikian tidak perlu, kerana sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia dan segala yang tersembunyi. Allah Tiada Tuhan yang lain melainkan Dia, bagiNya segala nama yang baik. Dan sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal Nabi Musa? Ketika dia melihat api, lalu dia berkata kepada isterinya: Berhentilah! Sesungguhnya aku ada melihat api semoga aku dapat membawa kepada kamu satu cucuhan darinya atau aku dapat di tempat api itu penunjuk jalan. Maka apabila dia sampai ke tempat api itu (kedengaran) dia diseru: Wahai Musa! Sesungguhnya Aku Tuhanmu! Maka bukalah kasutmu, kerana engkau sekarang berada di Wadi Tuwa yang suci. Dan Aku telah memilih mu menjadi Rasul maka dengarlah apa yang akan diwahyukan kepada mu. Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku, maka abdikan diri kepada Aku dan dirikan solat untuk mengingati Aku” (Thaha: 1-14).

Hati Umar yang sebelum ini keras seperti batu dan kering-kontang tiba-tiba menjadi sejuk, beliau tidak pernah mendengar perkataan yang begitu indah dan menarik, nada dan irama perkataannya pula tidak seperti syair-syair jahiliyah sebelum ini. Dengan hanya mendengar beberapa potong ayat dari awal Surah Thaha tadi, Umar r.a. akhirnya menjadi seorang Islam yang beriman kepada Allah. Oleh sebab itu, rupa-rupanya perasaan hati yang sangat keras dan degil dapat diubati dengan hanya mendengar beberapa ayat dari Kalamullah.

KETIGA: Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a. bahawa suatu ketika, apabila seorang penghulu di suatu daerah telah digigit binatang berbisa, lalu dipanggil beberapa orang sahabat Nabi s.a.w. yang kebetulan ada di daerah tersebut untuk memberi rawatan kepada pesakit itu. Lalu sahabat tadi membaca Surah Al Fatihah dan dihembus pada anggota badan yang terkena gigitan binatang berbisa. Dengan izin Allah, sakit tersebut menjadi sembuh dan penghulu itu kelihatan sihat, lalu diberi hadiah kepada sahabat itu berupa tiga puluh ekor kambing dan susu. Apabila diberitahu kepada Rasulullah s.a.w. tentang perkara tersebut, maka bainda s.a.w. bersabda: “Bahagikanlah kambing-kambing tersebut dan berilah kepada aku sebahagian”.

KEEMPAT: Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahawa suatu hari Rasulullah s.a.w. telah menugaskan beliau menjaga harta zakat pada bulan Ramadan, tiba-tiba datang seorang lelaki yang tidak dikenali mengambil harta tersebut yang berupa makanan selama tiga hari berturut-turut kononnya mahu memberi makanan ini kepada keluarganya. Abu Hurairah sangat marah, kerana lelaki itu mengambil makanan tanpa kebenaran Rasulullah s.a.w. lalu dia memegang lelaki itu agar tidak datang lagi ke sini. Lelaki itu memberitahu kepada Abu Hurairah agar membaca ayat Kursi dan dia tidak akan datang ke sini lagi. Abu Hurairah r.a. memberitahu perkara ini kepada Rasulullah s.a.w. dan baginda berkata: ”Apa yang disampaikan oleh lelaki itu memang benar, tetapi dia sudah berhasil menipu kamu dengan mengambil harta zakat, tahukah kamu siapa lelaki itu..?  Abu Hurairah menjawab: “Tidak wahai Rasulullah”, lalu baginda s.a.w. bersabda:“Ketahuilah! Lelaki itu adalah syaitan”.

KELIMA: Di dalam kitab Hayat As Sahabah, Ubai Ibn Kaab r.a. telah meriwayatkan: Sewaktu bersama Rasulullah s.a.w. seorang badwi telah datang kepada baginda dan berkata: “Wahai  Rasulullah! Aku mempunyai seorang saudara yang ditimpa penyakit”. Baginda s.a.w. bertanya kepada lelaki itu: “Penyakit apa..?” Beliau menjawab: “Sejenis penyakit gila”. Kemudian Rasulullah s.a.w. menyuruh lelaki itu membawa saudaranya, setelah lelaki yang sakit itu datang, lalu baginda s.a.w. membaca ayat-ayat ini kepada lelaki tersebut: Surah Al Fatihah, Surah Al Baqarah, ayat: 1 hingga 5, ayat:163, 255-257 dan 284-286, Surah Ali Imran, ayat: 18, Surah Al Mukminun, ayat: 115-118, Surah Al Jin, ayat: 3, Surah As Syaffat, ayat: 1-10, Surah Al Hasyr, ayat: 22-24, Surah Al Ikhlas, Surah Al Falaq dan Surah An Nas. Dengan izin Allah, lelaki tersebut sembuh dari penyakitnya.

            Demikianlah, di sebalik ayat-ayat suci Al Quran yang membicarakan tentang masalah hukum-hakam, persoalan halal-haram, memperkatakan tentang hubungan manusia dengan ketuhanan Allah, memberitahu tentang kisah-kisah perjuangan umat dahulu, perjuangan para nabi-nabi dan rasul-rasul dan lain-lain lagi, di sana terselit sebahagian ayat-ayat suci itu boleh dijadikan penawar untuk merawat mereka yang mengidapi pelbagai jenis penyakit. Bererti, ayat-ayat Al Quran itu mengandungi kekuatannya tersendiri di samping ianya adalah mukjizat dari Allah yang dapat mengalahkan pakar-pakar bahasa dan mereka yang mempunyai kemahiran dalam bidang bahasa untuk menandingi keunggulan Al Quran. Di sini perlu diingatkan, bukanlah ayat-ayat yang berkaitan digunakan dalam rawatan itu mempunyai kuasa sakti atau kuasa yang luar biasa untuk mengubati penyakit, akan tetapi ayat-ayat tersebut adalah wasilah sahaja untuk berinteraksi dengan ketuhanan Allah, yang menyembuhkan penyakit itu adalah Allah, bukan ayat-ayat tersebut. Ayat-ayat yang hendak dibaca sebagai rawatan kepada pesakit itu adalah ayat-ayat yang berkaitan sahaja, kerana bukan semua ayat-ayat Al Quran itu boleh dijadikan penawar, walaupun ayat-ayat tersebut mempunyai kekuatan itu sendiri, sebagaimana yang diajar oleh baginda s.a.w. dan para sahabat r.a. serta para ulama r.a.
Firman Allah Ta’ala:

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ وَلا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إلا خَسَارًا

Maksudnya: “ Dan Kami turunkan dari Al Quran untuk menjadi penawar dan rahmat kepada orang-orang yang beriman, adapun orang-orang yang zalim, ianya tidaklah menambahkan apa-apa melainkan kerugian “ (Al Isra: 82).



Sekian, wassalam


Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani

AL QURAN SEBAGAI CAHAYA KEBENARAN



Al Quran mempunyai cahaya yang sangat terang untuk menyuluh hati dan jiwa manusia, cahayanya dapat membezakan di antara kebenaran dan kepalsuan, di antara keadilan dan kezaliman, di antara kebahagiaan dan kekejaman. Cahayanya merupakan ‘lampu suluh’ untuk menerangi kegelapan ketika berada dalam perjalanan hidup dan cahayanya juga merupakan saham atau pelaburan jangka panjang yang sangat menguntungkan dalam kehidupan, di mana indeksnya pasti akan menegak apabila nilai-nilai keimanan dan ketakwaan dalam diri seseorang hamba itu mula menggamit. Al Quran juga merupakan cahaya yang sentiasa bersinar menerangi kehidupan seseorang hamba dan ia bertindak membawa keluar dirinya apabila berada dalam kegelapan kepada cahayanya yang terang-benderang. Kemudian, cahayanya itu pula akan menghalang hamba itu tadi daripada kembali semula ke dalam kegelapan dan memastikan agar dia sentiasa memperolehi bekalan cahaya yang cukup. Al Quran juga bertindak menghalang dirinya daripada melakukan tabiat buruk dan mengerjakan perkara-perkara yang bertentangan dengan isi pengajarannya.

Firman Allah Ta'ala

قَدْ جَاءَكُمْ مِنَ اللَّهِ نُورٌ وَكِتَابٌ مُبِينٌ يَهْدِي بِهِ اللَّهُ مَنِ اتَّبَعَ رِضْوَانَهُ سُبُلَ السَّلاَمِ وَيُخْرِجُهُمْ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِهِ وَيَهْدِيهِمْ إِلَىٰ صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

Maksudnya: “ Dan sesungguhnya telah datang kepada kamu dari Allah cahaya dan Kitab yang terang, Allah memimpin sesiapa sahaja yang mahu mengikut keredhaanNya ke jalan perdamaian dan mengeluarkan mereka dari kegelapan kepada cahaya yang terang dengan izinNya dan mereka dipimpin ke jalan yang lurus “ (Al Maidah: 15-16).

Amat benar sekali, orang-orang yang mengambil Al Quran untuk diletakkan ke dalam ruangan hidup, ke dalam hati sanubari dan jiwa nurani sebagai pedoman merupakan orang-orang yang mendapat cahaya petunjuk dari Allah dan mereka dianggap sebagai golongan manusia yang bertuah dan menakjubkan yang terdiri di kalangan mereka yang mendapat kejayaan.

Firman Allah Taala:

وَاتَّبَعُوا النُّورَ الَّذِي أُنْزِلَ مَعَهُ  أُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya: “ Dan ikutlah kamu cahaya (Al Quran) yang diturunkan bersamanya dan mereka itulah orang-orang yang memperolehi kejayaan “ (Al A'raf: 157).



Sekian, wassalam


Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani