PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Tuesday 7 February 2012

VIRUS MUNAFIQ


1. MUQAQQIMAH
Sebuah penghayatan yang suci mestilah pula dihadirkan bersama dengan sebuah keimanan yang suci tanpa ada apa-apa keraguan yang berlipat di celah-celah hati sanubari. Keimanan itu merupakan sebuah pengabdian yang luhur terhadap ILAHI dan di sana mereka akan bertemu dengan nilai-nilai keimanan yang mereka cari, iaitu kemanisan dalam penghayatan ibadat mereka. Tetapi, sikap orang-orang munafiq amat jauh berbeza dengan orang-orang yang mendapat hidayat dari ILAHI, mereka lebih bersikap hipokrit sama ada dalam ibadat mereka atau dalam urusan muamalat mereka sesama manusia. Mereka boleh melakonkan budaya hidup mereka untuk memperolehi secebis kepentingan duniawi tanpa memikirkan kepentingan ukhrawi.

2. SIAPAKAH MUNAFIQ
Mereka adalah manusia biasa seperti juga manusia-manusia lain yang hidup di atas dunia dan mereka tidak mempunyai apa-apa bentuk perbezaan atau kelainan sifat ataupun tanda-tanda yang jelas kelihatan untuk disifatkan kepada mereka bahawa mereka adalah manusia ganjil dan luar biasa. Tetapi, perbezaan mereka dengan manusia-manusia lain ialah cara mereka mencorak-warnakan panorama kehidupan yang mereka lalui dengan corak kehidupan yang tidak sihat dan tidak bernormal, bahkan corak kehidupan yang mereka aksikan itu langsung tidak bertamaddun sama sekali, tidak ada nilai-nilai yang artistik terhadap tutur-kata mereka dan juga terhadap perbuatan mereka untuk dijadikan cermin perbandingan. Mereka melakonkan corak lakonan hidup mereka itu di hadapan kaca mata manusia dengan menghulurkan sifat-sifat yang majesty dan menghulurkan ucapan lidah yang tidak bertulang dengan bicara yang sungguh menarik serta menakjubkan para pendengar, begitu juga dengan corak perangai yang mereka lakukan itu adalah semata-mata untuk menarik perhatian manusia supaya menyertai golongan mereka. Namun demikian, terdapat di kalangan manusia yang tertarik dan ingin pula berkompromi dengan golongan munafiq ini, nescaya ianya akan diberi suntikan jarum yang mengandungi virus nifaq ke dalam tubuh badannya menyebabkan ia lebih munafiq daripada golongan munafiqin. Maka, keimanannya itu akan menjadi hangus dan terbakar akibat daripada perkongsian hidupnya dengan golongan munafiqin tadi, segala-galanya akan turut musnah. Virus yang mengalir ke dalam darah dagingnya itu sudah cukup kuat untuk memberi rangsangan yang berunsur jahiliyah kepada perasaan jantung hati dan nalurinya. Kemusnahan yang lebih dasyat daripada itu ialah kelesuan 'aqidah, iaitu konsep kepercayaan terhadap falsafah ketuhanan menjadi hambar untuk dihayatinya ke dalam diri. Keyakinan dan keimanan terhadap ILAHI mulai dilukai dan kemudiannya dinodai oleh suntikan virus tadi, secara beransur-ansur ianya menganggap bahawa persoalan iman dan keyakinan itu tidak lagi penting dalam kehidupannya. Ia mengganggap bahawa persoalan iman dan keyakinan itu adalah perkara lapuk yang sewajarnya dilupakan oleh setiap manusia. Ini semua adalah disebabkan oleh kejahilan yang ada pada dirinya sendiri dan keraguan yang datang menjelma ke dalam tubuh badannya.

   Sebenarnya, manusia munafiq merupakan manusia yang  menyembunyikan kekufuran di dalam hati sebagai suatu keyakinan hidup atau sebagai suatu cara hidup ataupun sebagai etika dalam kehidupan mereka dan kemudiannya menonjolkan perwatakan hidup secara muslim di hadapan lalu-lintas manusia. Ianya juga merupakan sebuah ideologi yang menjadi dasar pegangan hidup mereka dengan hasrat supaya orang ramai berminat dengan aksi lakonan hidup mereka.

3. FAKTOR KEWUJUDAN MUNAFIQ
Semasa orang-orang Islam berada di Kota Mekah mereka adalah golongan minoriti yang terlalu kecil jumlahnya dan mereka sentiasa ditekan dan ditindas oleh orang-orang musyrikin ketika itu. Di kalangan mereka ada yang telah disiksa sebelum dibunuh semata-mata untuk mencungkil 'aqidah keimanan yang melekat di dada mereka supaya kembali semula kepada ajaran datuk nenek moyang mereka, iaitu penyembahan kepada berhala. Mereka tidak mempunyai apa-apa kekuatan untuk menangkis kezaliman yang datang menjelma yang dilakukan oleh golongan-golongan jahiliyah itu, melainkan hanya menadah tangan ke langit berdoa ke hadharat ILAHI. Mereka tidak mempunyai apa-apa kekuatan dari semua bentuk seperti senjata, kelengkapan peralatan tentera, askar, dan lain-lain, bahkan mereka pula tidak mempunyai apa-apa hak jaminan terhadap perlindungan diri daripada pihak berkuasa ketika itu. Mereka yang memeluk Islam mestilah sanggup menanggung risiko terhadap tribulasi yang akan menimpa diri mereka atau kaum keluarga mereka atau jiran tetangga mereka ataupun teman seiring. Oleh sebab itu, mereka yang memeluk Islam terdiri di kalangan orang-orang yang benar-benar tulus ikhlas untuk berpegang teguh kepada manhaj ILAHI.

3.1. Inferiority Complex
Di kalangan penduduk Madinah terdapat di kalangan mereka yang tidak suka kepada kemurnian Islam. Mereka tidak mahu menerima Islam sebagai suatu cara hidup untuk diletakkan ke dalam opera perjuangan mereka dan tidak sekali-kali mahu ajaran Islam itu tersebar lebih meluas lagi di kalangan penduduk Madinah. Dengan kehadiran Islam ke Kota Madinah itu seolah-olah ianya menyekat kebebasan hidup mereka dan menghalang lalu-lintas kerja-kerja yang telah mereka lakukan selama ini, justeru ianya juga membawa suatu bebanan masalah yang besar kepada mereka. Di kalangan mereka yang beranggapan demikian terdiri dari orang-orang Yahudi yang tidak mempunyai pengaruh di dalam masyarakat Kota Madinah dan mereka pula tidak mempunyai ideologi yang berkesan untuk mempengaruhi orang ramai, tidak pula mempunyai program hidup yang baik serta tidak langsung mempunyai peraturan-peraturan akhlak untuk dijadikan contah tauladan kepada semua umat manusia ketika itu. Sebaliknya, tingkah-laku mereka terlalu kotor dan menjijikkan akibat terlalu lama bergelombang di dalam lautan jahiliyah, sehingga apabila Islam datang membawa perubahan dan pembaharuan ke dalam kehidupan mereka, iaitu mengubah semua sekali struktur budaya hidup jahiliyah dari akar umbinya sekali, mereka tidak dapat menerima hakikat kehadiran Islam untuk dijelmakan ke dalam hidup mereka.

     Sebaliknya, timbul perasaan hasad dengki di kalangan orang-orang Yahudi, perasaan rendah diri ataupun inferiority complex, perasaan ingin mencetuskan adengan permusuhan di antara orang-orang Islam. Tetapi, untuk menghadapi orang-orang Islam secara terbuka sama ada dengan menggunakan senjata ataupun seumpamanya, nescaya mereka tidak mampu, kerana mereka adalah golongan minoriti, sebaliknya orang-orang Islam adalah golongan yang majoriti.  Oleh sebab itu, mereka telah mencetuskan suatu idea baru bagi menghadapi orang-orang Islam, iaitu mewujudkan kumpulan munafiq di tengah-tengah laluan umat Islam dengan melakonkan diri mereka sebagai seorang muslim yang bertujuan untuk mengintip rahsia-rahsia tertentu, mencari kelemahan orang-orang Islam dan kemudian bertindak pula ke atas mereka untuk merungkaikan ikatan tali 'aqidah serta memecah-belahkan perpaduan yang diikat sesama mereka di atas kelemahan-kelemahan yang diperolehi itu.

     Idea munafiq yang dicetuskan oleh orang-orang Yahudi sejak di zaman Rasulullah s.a.w. di Kota Madinah telah diwarisi secara turun-temurun oleh musuh-musuh Islam sehingga ke hari ini dengan tujuan yang sama, iaitu memusnahkan ajaran Islam dan umat Islam dengan mewujudkan pelbagai fahaman yang bertentangan dengan prinsip ajaran Islam, mewujudkan teori-teori atau isme-isme yang dicampur-aduk dengan ajaran Islam, melenyapkan kepercayaan beragama dalam diri umat Islam, memusnahkan 'aqidah mereka, memusnahkan akhlak mereka, akhirnya umat Islam tidak lagi mahu patuh kepada ajarannya. Oleh sebab itu, Yahudi merupakan pengasas kepada idea munafiq dan bertanggungjawab melahirkan manusia untuk melakonkan aksi tersebut. Di antara orang-orang penting dalam kumpulan munafiq yang terdiri dari Bani Qainuqa' ialah Sa'ad bin Hanif, Zaid bin Lisait, Noman bin Ufi bin Amr, Rafei bin Huraikila, Rifaa bin Zaid bin Tabut, Silsila bin Burhan dan Kinana bin Surya.  Pemimpin agung kumpulan tersebut ialah Abdullah bin Ubay bin Salul. Suatu ketika, Rasulullah s.a.w. pernah berkata apabila Rafei bin Huraikila hampir menemui ajalnya: " Hari ini seorang ketua penjahat telah mati..."

3.1. Perasaan Takut Dan Bimbang
Menurut pendapat dan pandangan Jumhur ulama, bahawa faktor yang menyebabkan wujudnya golongan munafiq adalah disebabkan oleh perasaan takut dan bimbang yang menyelubungi perasaan hati dan jiwa raga mereka. Sebagai langkah yang terbaik dan cara untuk mengatasi perasaan seumpama itu, mereka menzahirkan diri mereka sebagai seorang muslim dan mengisytiharkan keimanan yang palsu itu kepada orang ramai. Melalui cara ini, segala harta benda dan jiwa raga mereka akan terselamat daripada diperangi oleh orang-orang Islam. Di sana terdapat banyak dalil-dalil atau nas-nas yang menunjukkan bahawa orang-orang munafiq sebenarnya telah diselubungi oleh perasaan takut dan bimbang yang sering menghantui akal fikiran mereka. Mereka merasa takut, dengan kekuatan orang-orang Islam yang ada ketika itu, nescaya mereka akan dikuburkan nanti dengan sebuah kematian. Hak-hak mereka termasuk segala harta benda mereka akan dirampas dan diagih-agihkan kepada orang-orang yang memerlukannya. Mereka juga takut kedudukan mereka akan tergugat dan digugatkan oleh anasir-anasir tadi. Di dalam Al Quran, Allah berfirman:

وَاقْتُلُوهُمْ حَيْثُ ثَقِفْتُمُوهُمْ وَأَخْرِجُوهُمْ مِنْ حَيْثُ أَخْرَجُوكُمْ ۚ وَالْفِتْنَةُ أَشَدُّ مِنَ الْقَتْلِ

Maksudnya: " Dan bunuhlah mereka (orang-orang kafir) di mana sahaja mereka berada dan usirlah mereka dari tempat mereka mengusir kamu (iaitu di Kota Mekah), kerana fitnah(1) itu lebih besar bahayanya daripada membunuh " (Al Baqarah: 191).

       Apabila wujudnya sikap seumpama ini, nescaya berlakulah ikhtilaf di antara para anggota yang boleh membawa kepada bibit-bibit perpecahan, pertelingkahan, pertelagahan, perbalahan dan akhirnya akan menyalalah api permusuhan yang tidak dapat dibendung lagi. Di dalam sepotong hadith, yang diriwayatkan oleh Imam Muslim r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

أمرت أن أقاتل الناس حتى يشهدوا أن لا إله إلا الله ويؤمنوا بى وبما جئت به، فإذا فعلوا ذلك عصموا منى دمائهم وأموالهم إلا بحقها وحسابهم على الله

Maksudnya: " Aku disuruh supaya memerangi manusia sehingga mereka berkata: LAA ILAHA ILLALLAH dan mereka beriman dengan aku, apabila mereka melakukan semua itu, maka selamatlah segala darah dan harta benda mereka kecuali hak dan perhitungan mereka terhadap Allah " (Riwayat Muslim).

      Perasaan takut dan bimbang yang mengganggu perasaan hati mereka menyebabkan mereka terpaksa menjual harga diri mereka dan nilai-nilai kehidupan mereka dengan harga yang murah, iaitu berpura-pura memeluk Islam. Mereka memilih jalan tersebut semata-mata untuk memelihara hak-hak mereka daripada diperangi oleh orang-orang Islam. Mereka adalah manusia dayus yang takut kepada bayang-bayang sendiri kerana tidak mahu menerima hakikat Islam dan realiti hidup yang sebenar.

3.2. Memancing Kebencian Mukmin
Di antaranya pula, terdapat di kalangan orang-orang munafiq yang berpura-pura memeluk Islam adalah untuk memancing orang-orang Islam supaya membenci ajaran Islam itu sendiri dan juga membenci peribadi Rasulullah s.a.w. dengan mengada-adakan dan mewujudkan isu-isu yang remeh-temeh, memperbesar-besarkan perkara-perkara yang kecil-kecil, menyebarkan berita palsu atau berita bohong yang direka-cipta, justeru mewujudkan perkara-perkara yang sensitif semata-mata memancing kebencian para mukmin. Sebenarnya, ajaran Islam itu telah banyak menghalang diri mereka daripada melakukan tabiat-tabiat buruk yang telah mereka amalkan selama ini, iaitu tabiat yang menjadi kegemaran mereka seolah-olah perbuatan tersebut tidak lagi menjadi suatu kesalahan bagi diri mereka yang dipetiknya dari budaya hidup jahiliyah yang sudah menjadi sebati dalam darah daging mereka. Mereka tidak sanggup untuk meninggalkan budaya hidup jahiliyah itu....!

      Maka, dengan sebab ajaran Islam itulah yang telah banyak menghalang lalu-lintas hidup mereka dan perjalanan hidup yang telah mereka harungi selama ini, lalu mereka cuba mencari orang-orang Islam yang lemah tali keimanannya untuk diajak berkompromi dalam persyarikatan hidup mereka, dengan itu hasrat dan cita-cita mereka akan tercapai untuk menanam benih-benih  kebencian di dalam hati orang-orang Islam.

Firman Allah Ta'ala:

الْمُنَافِقُونَ وَالْمُنَافِقَاتُ بَعْضُهُمْ مِنْ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمُنْكَرِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمَعْرُوفِ وَيَقْبِضُونَ أَيْدِيَهُمْ

Maksudnya: " Orang-orang munafiq lelaki dan perempuan sebahagian di antara mereka dengan sebahagian yang lain adalah sama sahaja, (tugas) mereka adalah menyeru kepada kemungkaran dan mencegah perkara makruf ..." ( At Taubah: 67).

       Sebagai contoh tauladan dan cermin perbandingan untuk dijadikan pengajaran dalam kehidupan, peristiwa yang berlaku menimpa ke atas isteri kesayangan Rasulullah s.a.w. iaitu Aisyah r.a. yang telah difitnah oleh orang-orang munafiq melakukan perbuatan jijik dengan salah seorang sahabat baginda yang bernama Safwan bin Al Muthal. Peristiwa tersebut menyebabkan diri Rasulullah s.a.w. menjadi tertekan, apatah lagi ianya pula telah membangkitkan suatu perasaan benci di kalangan orang-orang Islam sendiri, seolah-olah peristiwa tersebut adalah benar-benar berlaku. Isu tersebut telah diperbesar-besarkan untuk memancing kebencian para mukmin terhadap peribadi Rasulullah s.a.w.

3.3. Perasaan Iri Hati:
Di kalangan masyarakat Madinah, terdapat di kalangan mereka yang tidak senang apabila melihat hubungan erat yang terjalin di antara orang-orang Islam - di antara orang-orang Muhajirin dan Ansar. Mereka merasa benci dan timbul pula perasaan iri hati terhadap kesatuan yang ditonjolkan oleh orang-orang Islam itu, lebih-lebih lagi ikatan persaudaraan iman yang dibina erat itu serentak untuk membela peribadi Rasulullah s.a.w. sebagai pemimpin yang membawa cahaya keimanan, keamanan, kemajuan dan kemerdekaan daripada diikat oleh belenggu jahiliyah. Hubungan yang sebegitu erat tidak pernah berlaku di zaman jahiliyah dan tidak lagi wujud selepas di zaman itu. Di dalam Al Quran, Allah Ta'ala telah melukiskan lembaran kisah hubungan di antara orang-orang Muhajirin dan orang-orang Ansar terhadap jalinan persaudaraan yang diikat di antara mereka sebagai cermin perbandingan kepada mukmin yang kemudian.

Firman Allah Ta'ala:

وَالَّذِينَ تَبَوَّءُوا الدَّارَ وَالإِيمَانَ مِنْ قَبْلِهِمْ يُحِبُّونَ مَنْ هَاجَرَ إِلَيْهِمْ وَلاَ يَجِدُونَ فِي صُدُورِهِمْ حَاجَةً مِمَّا أُوتُوا وَيُؤْثِرُونَ عَلَىٰ أَنْفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ ۚ وَمَنْ يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya: " Dan juga bagi orang yang telah menempati Kota Madinah dan telah beriman (orang-orang Ansar) sebelum kedatangan mereka (iaitu orang-orang Muhajirin), mereka mencintai orang-orang berhijrah kepada mereka dan mereka tidak sedikitpun menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang telah diberikan kepada mereka (orang-orang Muhajirin), di atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka berada di dalam kesusahan. Dan sesiapa yang dipelihara dari (bencana disebabkan) kebakhilan, maka mereka itulah orang-orang yang beruntung, dan juga orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar) mereka berdoa: Wahai Tuhan kami! Berikanlah keampunan kepada kami dan saudara-saudara kami yang telah terdahulu beriman dari kami dan janganlah Engkau biarkan kebencian di hati kami terhadap orang-orang beriman, wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah Maha Penyantun lagi Maha Penyayang " (Al Hasyr: 9-10).

       Hubungan persaudaraan iman yang erat dan utuh itu dibina di bawah konsep: إنما المؤمنون أخوة  iaitu ' persaudaraan Islam yang sejagat di kalangan orang-orang mukmin ' dan kemudian dihubung-kaitkan melalui ikatan tali 'aqidah dan tali keimanan yang kuat dan kukuh yang tidak dapat diputuskan oleh sesiapapun. Ikatan persaudaraan iman yang sebegitu rupa di antara mereka tidak pernah tercatat di dalam legenda sejarah kemanusiaan sebelum itu dan juga selepas itu bahawa terdapat di sana generasi lain yang lebih baik dari generasi sahabat yang dibina oleh Rasulullah s.a.w. Generasi seumpama ini tidak akan wujud lagi selepas itu melainkan ianya menjadi cermin perbandingan dan contah tauladan kepada generasi yang mutaakhir.

3.4. Ingin Menjadi Pemimpin Politik
Di kalangan penduduk Madinah, terdapat di antara mereka yang menonjolkan diri dalam arena politik kerana ingin bertanding di dalam pemilihan pucuk pemimpin di Kota Madinah, seperti Abdullah bin Ubay. Menurut kisah yang disebut dalam Sirah Ibn Hisyam: Bahawa kedatangan Rasulullah s.a.w. ke Madinah bertepatan di hari perlantikan Abdullah bin Ubay sebagai pemimpin masyarakat Madinah. Sebelum itu, tidak pernahpun suku Aus dan Khazraj bersatu hati di dalam memilih pucuk pemimpin di antara mereka. Apabila Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda tiba ke bumi Madinah, kebanyakan di kalangan penduduk Madinah menjadikan Islam itu sebagai suatu cara hidup mereka dan mereka tidak mengiktiraf perlantikan Abdullah bin Ubay sebagai ketua pemimpin Kota Madinah, sebaliknya mengangkat Rasulullah s.a.w. sebagai ketua pemimpin mereka. Ini adalah kerana mereka mengetahui bahawa akhlak dan perangai Abdullah bin Ubay tidak boleh dibandingkan dengan peribadi Rasulullah s.a.w. untuk dijadikan contah tauladan dan ditonjolkan sebagai seorang pemimpin yang unggul. Mereka bergabung tenaga dan bersatu hati dengan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda di kalangan orang-orang Muhajirin sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam ayat tadi untuk meninggikan syiar Islam. Abdullah bin Ubay menganggap Rasulullah s.a.w. telah menggagalkan impiannya untuk dilantik menjadi pemimpin di Kota Madinah. Apabila beliau dan kuncu-kuncunya melihat pengaruh Islam semakin hari semakin kuat dan mereka tidak lagi dapat menandingi kekuatan orang-orang Islam, maka dengan perasaan berat hati mereka berpura-pura memeluk Islam demi menjaga beberapa maslahat dan kepentingan yang ada pada diri mereka dan juga menjaga hubungan baik dengan orang-orang Yahudi. Mereka berlagak baik dan selalu berada di majlis-majlis yang diadakan oleh Rasulullah s.a.w., tetapi tujuan mereka adalah untuk memerangkap orang-orang Islam supaya mengatakan mereka juga adalah orang-orang Islam dan kemudiannya mengempen secara halus supaya orang-orang Islam tidak berpegang teguh lagi dengan ajarannya.

3.5. Menabur Bibit Perpecahan
Orang-orang yang menghambakan diri mereka untuk tunduk kepada ideologi munafiq terlalu beriya benar ingin melihat orang-orang Islam berpecah-belah supaya menjadi berpuak-puak. Mereka sering kali berusaha melalui pelbagai cara untuk menabur bibit-bibit perpecahan di kalangan orang-orang Islam, seolah-olah kebencian mereka terhadap kesatuan orang-orang Islam itu tidak dapat dipisahkan. Mereka telah membentuk suatu pasukan khas untuk menyucuk jarum nifaq kepada orang-orang Islam demi mencapai hasrat dan perancangan jahat mereka. Apabila mereka berjaya menabur bibit-bibit perpecahan di kalangan orang-orang Islam, mereka pula mengambil kesempatan untuk menyebarkan fahaman dan ideologi mereka dengan memburuk-burukkan peribadi Rasulullah s.a.w. dan juga ajaran Islam. Tetapi, segala rupa bentuk perancangan-perancangan yang mereka atur untuk menentang kesatuan orang-orang Islam dan memusnahkan perpaduan di kalangan mereka secara sulit telah didedahkan oleh Allah di dalam Al Kitab.

Firman Allah Ta'ala:

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ نُهُوا عَنِ النَّجْوَىٰ ثُمَّ يَعُودُونَ لِمَا نُهُوا عَنْهُ وَيَتَنَاجَوْنَ بِالإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَمَعْصِيَتِ الرَّسُولِ

Maksudnya: " Apakah tidak kamu perhatikan orang-orang yang telah dilarang mengadakan pembicaraan rahsia, kemudian mereka kembali (mengerjakan) larangan itu dan mereka mengadakan pembicaraan rahsia untuk berbuat dosa, permusuhan dan durhaka kepada Rasul..." (Al Mujadalah: 8).

      Pertemuan secara sulit yang diadakan sesama mereka adalah bertujuan untuk mencetuskan babak dan aksi permusuhan di antara orang-orang Islam, tetapi Allah telah mewahyukan kepada RasulNya s.a.w. supaya menghalang pertemuan sulit yang diadakan oleh mereka.

4. KLASIFIKASI MUNAFIQ
Masyarakat munafiqin amat bangga sekali dan terlalu seronok dengan rentak kehidupan yang sedang mereka lalui. Mereka menyangka itulah hakikat kehidupan yang sebenar. Kehidupan yang telah mereka gambarkan itu mencerminkan kekronikan jiwa raga mereka dan mereka tidak mengerti bagaimana ingin mentadbirkan warkah kehidupan yang sedang mereka lalui sekarang dengan manhaj hidup mereka, tetapi yang sebenarnya hawa nafsu itulah yang menjadi manhaj hidup mereka. Di samping itu, mereka cuba mempengaruhi kehidupan para muslim supaya turut serta dalam manhaj hidup mereka dan bersama-sama dengan mereka. Aksi munafiq itu bolehlah diklasifikasikan kepada tiga kotegari:

4.1. Munafiq Pada 'Aqidah
Mereka tidak mempunyai konsep keimanan yang sejati dan tidak pula mempunyai keyakinan di hati, mereka itu adalah sama sahaja jika dibandingkan dengan orang-orang kafir, tetapi hanya yang bezanya ialah lakonan layar di hadapan mata manusia terhadap konsep keyakinan hidup bahawa mereka seolah-olah manusia yang beriman kepada Allah. Hakikatnya mereka adalah manusia kufur kepada Allah, bahkan kekufuran mereka itu lebih dasyat daripada orang-orang kafir yang sedia ada.

Firman Allah Ta'ala:

يُخَادِعُونَ اللَّهَ وَالَّذِينَ آمَنُوا وَمَا يَخْدَعُونَ إلاَّ أَنْفُسَهُمْ وَمَا يَشْعُرُونَ

Maksudnya: " Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang beriman, pada hal mereka hanya menipu diri mereka sendiri sedangkan mereka tidak sedar " (Al Baqarah: 9).
  
        Watak-watak keimanan yang ditonjolkan itu adalah sebuah lakonan hidup belaka untuk menipu Allah dan menipu orang-orang yang beriman. Dengan mereka mengamalkan cara hidup sebagai manusia yang beriman, mereka menyangka orang ramai akan menyatakan bahawa mereka juga adalah golongan yang beriman, pada hal apa yang mereka lakukan itu hanyalah sia-sia sahaja. Walaupun mereka cuba menipu Allah dan orang-orang yang beriman, hakikatnya mereka menipu diri mereka sendiri dan tertipu pula dengan helah sendiri, tetapi sesungguhnya mereka tidak mengetahui hakikat tersebut.

4.2. Munafiq Dalam Ibadah
Ibadah yang dilakukan oleh orang-orang munafiq tidak sama seperti ibadat yang dilakukan oleh orang-orang Islam, kerana ibadat mereka lebih berbentuk riya' yang mengandungi perasaan ingin menunjuk-nunjuk kepada orang ramai dan mereka bukanlah di kalangan manusia yang selalu mengingati Allah, bukan terdiri di kalangan ahlu zikr dan bukan pula manusia yang komitmen hatinya terhadap keesaan Allah.

Firman Allah Ta'ala:

إِنَّ الْمُنَافِقِينَ يُخَادِعُونَ اللَّهَ وَهُوَ خَادِعُهُمْ وَإِذَا قَامُوا إِلَى الصَّلاَةِ قَامُوا كُسَالَىٰ يُرَاءُونَ النَّاسَ ولاَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ إِلاَّ قَلِيلاً

Maksudnya: " Apabila mereka berdiri untuk menunaikan solat, mereka berdiri dengan malas, mereka bermaksud riya (dengan solat) di hadapan manusia dan tidaklah mereka menyebut nama Allah kecuali sedikit sahaja " (An Nisa': 142).

       Di dalam ayat yang lain pula, Allah Ta'ala juga telah menjelaskan perkara yang sama sebagaimana yang disebut di atas tadi untuk mendedahkan keadaan peri-laku  amal ibadat mereka.

Firman Allah Ta'ala:

وَلاَ يَأْتُونَ الصَّلاَةَ إِلاَّ وَهُمْ كُسَالَىٰ وَلاَ يُنْفِقُونَ إِلاَّ وَهُمْ كَارِهُونَ

Maksudnya: " Mereka tidak mengerjakan solat melainkan dengan perasaan malas dan tidak pula menafkahkan harta mereka melainkan dengan rasa enggan " (At Taubah: 54).

4.3. Munafiq Pada Sifat Dan Muamalat
Di sana terdapat sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

آية المنافق ثلاث: إذا حدث كذب، وإذا وعد أخلف، وإذا ائتمن خان

Maksudnya: " Tanda munafiq ada tiga: Apabila ia bercakap berdusta, apabila berjanji ia memungkiri janji dan apabila diberi amanah ia mengkhianati amanah tersebut " (Riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad).

      Manakala di dalam sebuah hadith yang lain pula, Rasulullah s.a.w. telah menambahkan satu lagi sifat daripada sifat-sifat munafiq.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

أربع من كن فيه كان منافقا خالصا: إذا حدث كذب، وإذا وعد أخلف, وإذا عاهد غدر، وإذا خاصم فجر

Maksudnya: " Empat sifat, sesiapa yang ada pada dirinya empat sifat ini ia adalah seorang munafiq yang tulin: Iaitu apabila bercakap berdusta, apabila berjanji ia memungkiri janji, apabila diberi amanah ia mengkhianati amanat tersebut dan apabila berbantah ia melampaui batas " (Riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad).

      Sifat-sifat tersebut telah menjadi sistem kehidupan di dalam konsep mereka bermuamalat sesama manusia dan sifat-sifat yang disebut oleh Rasulullah s.a.w. di atas tadi tidak hanya terbatas kepada orang-orang munafiq sahaja, bahkan ianya juga boleh berlaku ke atas orang-orang Islam dan menjelma ke dalam diri mereka sebagai suatu sifat yang dibentuk oleh perbuatan mereka. Sifat-sifat tersebut tidak merosakkan simpulan tali 'aqidah seseorang selagi mana ia tidak menerima ideologi munafiq ke dalam sistem hidup mereka, tetapi ianya boleh menjejaskan keimanan. Ia hanyalah bersifat seperti sifat orang-orang munafiq sahaja dan bukannya menjadi seorang munafiq, kerana sifat-sifat yang disebut oleh Rasulullah s.a.w. itu biasanya digunakan oleh orang-orang munafiq bagi mengelakkan diri mereka daripada sesuatu perkara ataupun ingin melepaskan diri mereka daripada terkena tindakan sesuatu hukuman.

4.4. Munafiq Dalam Gerakan
Salah satu faktor yang mendorong kekuatan gerakan Islam ialah peranan yang dimainkan oleh para anggota gerakan untuk membina kualiti atau kuantiti jama'ah. Ianya menjadi kuat kerana kesinambungan para anggotanya yang berjuang dengan gigih, penuh keikhlasan dan kesabaran di dalam merealisasikan manhaj ILAHI ke dalam kehidupan mereka tanpa dicampur-aduk dengan sebarang unsur-unsur jahiliyyah. Mereka tidak sekali-kali gentar menghadap musuh dan ancaman maut kerana maut itu pasti jua datang sekalipun manusia cuba menaiki tangga ke langit kerana ingin lari dari maut, nescaya maut itu pasti datang menjelma jua. Tetapi, alangkah indahnya jika kematian itu tersungkur ketika sedang menegakkan panji-panji ILAHI...!

      Akibat dari gejala virus nifaq itu akan wujudlah suatu wabak lain yang boleh melaga-lagakan anggota jama'ah dan boleh menimbulkan bibit-bibit perbalahan serta pertelingkahan tanpa dapat dibendung lagi. Api perpecahan itu akan terus-menerus menyala di sekeliling jama'ah sehingga para anggotanya terpaku lemas di dalamnya. Di antara peranan yang dimainkan oleh ahli nifaq untuk memecah-belahkan anggota-anggota jama'ah ialah menyalakan api fitnah di kalangan mereka dengan tujuan ingin menjatuhkan maruah seseorang dari terus mendapat perhatian di kalangan anggota jama'ah atau menimbulkan perasaan benci dan meluat terhadap seseorang pemimpin yang tidak mereka sukai daripada terus menerajui jentera pentadbiran jama'ah ataupun sifat-sifat semulajadi orang-orang munafiq yang terlalu suka menimbul isu-isu tertentu sebagai spekulasi yang dikaitkan dengan individu yang mereka benci. Spekulasi yang ditimbul-timbulkan itu merupakan suatu pengkhianatan yang amat jahat di dalam usaha mereka melaga-lagakan para anggota jama'ah supaya berpecah-belah menjadi berpuak-puak dan bersuku-suku, justeru itu pula meruntuhkan konsep berjama'ah supaya kekuatan umat Islam akan bertukar tangan menjadi umat yang lemah dan mereka tidak lagi bermaya untuk menghadapi situasi dan keadaan.

5. RUPA BENTUK SIFAT MUNAFIQ
Di sana terdapat banyak sifat-sifat munafiqin yang dapat dikumpulkan dengan berpandukan kepada kitab suci Al Quran dan Sunnah Nabawi s.a.w. serta beberapa petikan dari kisah yang berlaku di kalangan para sahabat yang turut sama menghadapi gelora dan keranah orang-orang munafiq di dalam perjuangan mereka menegakkan sistem ILAHI. Dengan adanya kajian seumpama ini, sedikit sebanyak kita dapat mengetahui rupa bentuk sifat-sifat tersebut yang wajib dijauhi oleh setiap individu muslim, kerana ianya boleh merosakkan pegangan 'aqidah dan keyakinan diri terhadap ILAHI. Nauzubillah...!

5.1. Mengaku Golongan Beriman
Orang-orang munafiq mendakwa bahawa mereka juga beriman kepada Allah dan yakin kepada Rasul yang dibangkitkan kepada mereka, justeru percaya kepada adanya hari kebangkitan, iaitu hari kiamat yang menghisab segala amalan hidup umat manusia. Tetapi Allah Ta'ala mengetahui niat hati manusia yang terpekung di celah perasaan mereka, lebih-lebih lagi manusia munafiqin dan mereka tidak boleh menyembunyikan kebenaran dan realiti hidup di hadapan Allah nanti, sekalipun mereka mendakwa bahawa mereka adalah golongan beriman yang memperjuangkan hak-hak asasi manusia. Kerana keimanan yang dilapazkan itu adalah keimanan yang palsu dan bohong yang tidak sedikitpun mengandungi sebuah pengabdian yang sungguh-sungguh terhadap ILAHI, tiadanya keyakinan dalam diri mereka untuk menguasai manhaj kehidupan menurut perhitungan syariat, cuma lidah mereka sahaja yang berani mengungkapkan lapaz keimanan, tetapi hati-hati mereka tetap engkar tidak mahu menerima konsep keimanan untuk dimasukkan ke dalamnya. Mereka tidak tahu erti kehidupan yang sebenar dan tidak mengetahui hakikat kehidupan yang sedang mereka harungi di atas dunia, untuk apa mereka terus hidup di atas dunia ini secara berpura-pura dan sampai bila mereka harus berada dalam keadaan demikian..?  Kalau soalan itu dapat dijawab oleh mereka nescaya mereka akan merasa malu di atas perbuatan mereka  yang selama ini hanyalah menipu diri sendiri.   Dan secara tidak langsung, jahiliyah dan nifaq itu akan beransur-ansur pudar dalam kehidupan mereka, tetapi itu semua adalah kehendak ILAHI...

Firman Allah Ta'ala:

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَقُولُ آمَنَّا بِاللَّهِ وَبِالْيَوْمِ الآخِرِ وَمَا هُمْ بِمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: " Di antara manusia ada yang menyatakan: Kami beriman kepada Allah dan hari kemudian, sedangkan mereka tidak beriman " (Al Baqarah: 8).

      Itulah realiti kehidupan orang-orang munafiq yang tidak mengerti hakikat kehidupan yang sedang mereka harungi. Kehidupan mereka sentiasa berada di celah-celah tirai kepalsuan yang menjadi amalan hidup mereka di dalam melakukan sistem muamalat sesama manusia, lebih-lebih lagi apabila menjalin hubungan dengan orang-orang Islam dan benarlah...! Bahawa kejahilan yang menjelma dalam diri mereka itu sebenarnya menguasai konsep kehidupan mereka. Namun demikian, Allah Ta'ala telah menasihatkan kepada RasulNya supaya diajar kepada para umatnya jangan merasa sedih atau merasa sangsi terhadap perbuatan-perbuatan yang dilakukan oleh orang-orang munafiq. Mereka berkata kepada Rasulullah s.a.w. tentang hasrat dan tujuan mereka menemui baginda:

أتيناك بالأثقال والعيال ولم نقاتلك كما قاتلك بنو فلان، فأعطنا من الصدقة 

Maksudnya: " Kami datang kepada kamu dengan perasaan berat hati dan kami berhajat kepada sesuatu, kami tidak memerangi kamu sebagaimana bani fulan memerangi kamu dan berikanlah kepada kami sedekah ...

     Mereka datang berjumpa Rasulullah s.a.w. kerana berhajat kepada sesuatu dan mereka cuba memperdayakan Rasulullah s.a.w. dengan ucapan lidah mereka, tetapi Allah Ta'ala mengajar RasulNya di dalam ayat yang lain bagaimana untuk menghadapi golongan seperti ini.

Firman Allah Ta'ala:

إِذَا جَاءَكَ الْمُنَافِقُونَ قَالُوا نَشْهَدُ إِنَّكَ لَرَسُولُ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ إِنَّكَ لَرَسُولُهُ وَاللَّهُ يَشْهَدُ إِنَّ الْمُنَافِقِينَ لَكَاذِبُونَ

Maksudnya: " Apabila orang-orang munafiq datang kepada kamu ( wahai Muhammad ), mereka berkata: Kami mengakui kamu adalah utusan Allah dan Allah mengetahui bahawa kamu adalah utusanNya dan Allah juga mengakui bahawa orang-orang munafiq itu dusta " (Al Munafiqun: 1).

5.2. Ucapan Yang Menarik
Orang-orang munafiq memang menarik ucapan lidah mereka, segala bicara dan ungkapan yang dikeluarkan daripada cakap-cakap mereka itu boleh menarik minat para pendengar dan juga boleh menarik perhatian orang ramai untuk bersama-sama dengan mereka dalam satu barisan. Mereka mempunyai pelbagai idea untuk didedahkan dan dijadikan suatu isu semata-mata untuk menarik perhatian umum. Orang-orang munafiq juga mempunyai program atau rancangan hidup mereka tersendiri yang digariskan menurut hawa nafsu dan tidak pula berpandukan kepada Syariat ILAHI. Walaupun kebanyakan ungkapan-ungkapan yang dikeluarkan menyatakan hasrat mereka untuk berkompromi bersama-sama dengan orang-orang Islam dalam satu angkatan, tetapi bicara itu cuma olok-olok sahaja. Apabila mereka kembali kepada 'syaitan-syaitan' mereka yang menjadi teman rapat lalu mereka menyatakan hasrat sebenar di hati mereka bahawa ungkupan-ungkapan yang mereka nyatakan untuk bersama-sama dengan orang beriman adalah palsu belaka.

       Allah Ta'ala menggunakan perkataan syaitan dalam uslub bicaraNya, ... وإذا خلوا إلى شياطينهم - iaitu: “ Apabila mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka...” Dan ini adalah suatu uslub yang dibicarakan oleh Allah Ta'ala terhadap mereka yang melakukan kejahatan di atas bumi bertujuan untuk menakut-nakutkan mereka dan di samping memberi perhinaan terhadap kerja-kerja yang mereka lakukan.

Firman Allah Ta'ala:

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يُعْجِبُكَ قَوْلُهُ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيُشْهِدُ اللَّهَ عَلَىٰ مَا فِي قَلْبِهِ وَهُوَ أَلَدُّ الْخِصَامِ وَإِذَا تَوَلَّىٰ سَعَىٰ فِي الأرْضِ لِيُفْسِدَ فِيهَا وَيُهْلِكَ الْحَرْثَ وَالنَّسْلَ ۗ وَاللَّهُ لاَ يُحِبُّ الْفَسَادَ

Maksudnya: " Di antara manusia ada yang sungguh menarik perkataannya apabila berbicara tentang kehidupan di dunia, Allah menyaksikan apa yang terkandung di dalam hatinya, sedangkan mereka adalah musuh yang paling keras. Apabila mereka berjalan di atas bumi, mereka melakukan kerosakkan dengan membinasakan tanaman dan ternakan, padahal Allah tidak suka kepada kerosakkan " (Al Baqarah: 204 – 205).

   Ayat ini diturunkan kepada Al Akhnas bin Syuraiq As Thaqafi dari keturunan Bani Zahrah. Beliau datang berjumpa dengan Rasulullah s.a.w. dan mengiklankan keislamannya di hadapan baginda. Bicara perkataan yang diucapkannya di hadapan Rasulullah s.a.w. sungguh menarik dan sungguh menakjubkan baginda s.a.w. seolah-olah beliau benar-benar inginkan cahaya petunjuk untuk menyinari kehidupannya dan untuk dijadikan pedoman kepada laluan jalan kehidupannya seharian. Di antara ucapannya ialah:
إنما جئت أريد الإسلام والله يعلم إنى لصادق  

Maksudnya: " Sesungguhnya aku datang ( kepada mu wahai Muhammad ) kerana mahukan Islam dan Allah mengetahui sesungguhnya aku adalah benar..."

       Tetapi, apabila ia pergi meninggalkan Rasulullah s.a.w. lalu ia masuk ke kebun-kebun yang dimiliki oleh orang-orang Islam dan merosakkannya serta membakar tanaman mereka dan kemudian Allah menurunkan firmanNya sebagaimana yang dinyatakan di atas tadi....

وإذا تولى سعى فى الأرض ليفسد فيها ويهلك الحرث والنسل والله لا يحب الفساد

Maksudnya: " Apabila mereka berjalan di atas bumi, mereka merosakkan tanaman dan ternakan, sedangkan Allah tidak menyukai kerosakkan."

        Ayat yang difirmankan oleh Allah Ta'ala itu terlalu jelas untuk difahami maksud isi kandungannya dan huraian pengertiannya dan demikianlah bahawa Allah Ta'ala tidak sekali-kali suka kepada kerosakkan yang berlaku di atas dunia ini akibat dari perbuatan tangan-tangan manusia yang durjana terhadap harta benda termasuk tanaman dan ternakan, sebagaimana yang telah dilakukan oleh musuh-musuhNya semata-mata bertujuan untuk memusnahkan ajaran Islam daripada menjadi anutan manusia dan daripada ianya terus tersebar ke seluruh pelusuk dunia.

5.3. Melakukan Tipu Daya
Tipudaya yang dilakukan oleh golongan munafiqin adalah untuk memusnahkan harapan orang-orang Islam supaya mereka meninggalkan semua sekali segala rupa bentuk manhaj ILAHI dan bangun memberontak menentang manhaj yang bercanggah dengan ideologi ciptaan mereka. Di kalangan orang-orang Islam yang lemah keimanannya akan mudah terpedaya dan merasa akur terhadap tindakan barisan munafiqin yang sedemikian rupa, sebaliknya mereka yang mempunyai keimanan yang kukuh dan 'aqidah yang tidak berbelah bagi akan menutup mulut-mulut golongan tersebut daripada bercakap dan melontarkan sebarang tipudaya serta dakyah yang boleh memecah-belahkan intergrasi umat Islam sejagat. Memang menjadi sebuah kenyataan, bahawa golongan munafiqin mengambil teori jahiliyah sebagai panduan hidup dan sebagai sebuah ideologi anutan setelah dicampur-aduk dengan pelbagai unsur, termasuk dari perasaan hawa nafsu mereka dan juga unsur-unsur kekafiran. Justeru itu, mereka yang berkompromi dalam agenda tersebut, sekalipun tidak menjadi rakan kongsi mereka atau tidak menjadi pengikut setia mereka sepenuh masa, cuma hanya memberi saham dalam kerja-kerja mereka, 'aqidah mereka tetap akan menjadi punah-ranah walaupun hanya memberi saham, kerana itu semua adalah dilarang oleh Allah. Saham yang diberikan itu melayakkan diri mereka untuk dihumbankan ke ceruk neraka jahannam yang menjadi bahan pembakarnya ialah golongan munafiqin dan kafirin. Mereka semua adalah golongan yang sesat dan menyesatkan, justeru tidak mahu menerima petunjuk yang datang dari ILAHI.

Firman Allah Ta'ala:

يُخَادِعُونَ اللَّهَ وَالَّذِينَ آمَنُوا وَمَا يَخْدَعُونَ إلاَّ أَنْفُسَهُمْ وَمَا يَشْعُرُونَ فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ فَزَادَهُمُ اللَّهُ مَرَضًا ۖ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ بِمَا كَانُوا يَكْذِبُونَ

Maksudnya: " Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman, tetapi mereka menipu diri mereka sendiri, sedangkan mereka tidak sedar. Di dalam hati mereka ada penyakit, lalu Allah menambahkan lagi kepada mereka penyakit, bagi mereka 'azab yang pedih di sebabkan mereka berdusta " (Al Baqarah: 9 – 10).

      Keangkuhan manusia yang tidak mahu menterjemahkan nilai-nilai akhlaknya dan pekerti hidupnya supaya bertepatan dengan nilai-nilai akhlak dan pekerti hidup Islam atau juga tidak mahu menterjemahkan program kehidupannya supaya bersesuaian dengan program kehidupan Islam adalah disebabkan oleh penyakit yang tertanam di dalam lubuk hati mereka dan ianya tidak boleh diubati oleh mana-mana pakar perubatan moden hari ini. Seolah-olah gejala penyakit yang merebak ke dalam tubuh badannya tidak lagi boleh dipisahkan atau diasingkan di antara satu sama lain daripada terus melekat di dalam kehidupannya, tetapi yang anehnya mereka tidak menyedari langsung gejala penyakit yang merebak ke dalam tubuh badannya. Dengan wujudnya penyakit itu, ia cuba memainkan peranan menipu Allah dan juga orang-orang beriman, mereka menyangka bahawa perbuatan itu dapat meraih hasil kejayaan dan tercapailah hasrat impiannya untuk memusnahkan Islam dari anutan manusia sejagat, tetapi perbuatan itu hanyalah untuk menipu dirinya sendiri sedangkan mereka tidak sedar.

5.4. Mendakwa Melakukan Kebaikan
Kebaikan yang didakwa itu adalah menurut perhitungan dan kehendak-kehendak hawa-nafsu mereka, ianya tidak sedikitpun mendatangkan apa-apa kebaikan walaupun pada diri mereka sendiri apatah lagi kepada orang lain. Kebaikan yang dislogankan itu adalah kemusnahan rohani atau kerosakkan diri individu ataupun mala-petaka yang mengancam keluhuran nilai-nilai akhlak, tetapi mereka tidak menyedari hakikat itu kerana terlalu asyik bergelombang di dalam lautan jahiliyah. Di dalam Al Quran Allah Ta'ala menyatakan;

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ لاَ تُفْسِدُوا فِي الاَرْضِ قَالُوا إِنَّمَا نَحْنُ مُصْلِحُونَ أَلاَ إِنَّهُمْ هُمُ الْمُفْسِدُونَ وَلَٰكِنْ لاَ يَشْعُرُونَ

Maksudnya: " Dan apabila dikatakan kepada mereka: Janganlah kamu melakukan kerosakan di atas muka bumi ini, mereka menjawab: Sesungguhnya kami hanyalah melakukan kebaikan, sesungguhnya merekalah melakukan kerosakan tetapi mereka tidak sedar " (Al Baqarah: 11-12).

      Uslub dialog yang digunakan oleh Allah Ta'ala ini adalah di antara suatu cara yang disampaikan dalam siri pengajaranNya kepada Rasulullah s.a.w. tentang sikap yang sebegitu rupa yang dilakukan oleh musuh-musuh dalam selimut terhadap Islam dan juga terhadap para penganutnya. Keterangan yang datang dari Allah Ta'ala itu sudah cukup menerangkan helah dan tipu daya yang mereka lakukan dan ianya berlaku begitu pantas sekali untuk menyesatkan umat Islam dari anutan mereka. Walaupun seribu peringatan datang menjelma dan mencurah-curah turun di hadapan mereka supaya meninggalkan kerja-kerja jahiliyah atau amalan-amalan yang berunsur jahiliyah, justeru berhenti saja melakukan kerosakkan di atas permukaan bumi ini, namun demikian perasaan hati kecil mereka tetap teguh berpegang kepada prinsip-prinsip nifaq dan falsafahnya, iaitu dengan mengiyakan di bibir mulut tetapi tidak melekat di dalam hati.

5.5. Mempersendakan Ajaran Agama
Allah Ta'ala telah menyatakan dalam firmanNya, sebagaimana yang terkandung di dalam Kitab Suci Al Quran tentang sifat mempersenda-sendakan ajaran ILAHI adalah sifat yang dimiliki oleh orang-orang munafiq.

Firman Allah Ta'ala:

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ آمِنُوا كَمَا آمَنَ النَّاسُ قَالُوا أَنُؤْمِنُ كَمَا آمَنَ السُّفَهَاءُ ۗ أَلاَ إِنَّهُمْ هُمُ السُّفَهَاءُ وَلَٰكِنْ لاَ يَعْلَمُونَ وَإِذَا لَقُوا الَّذِينَ آمَنُوا قَالُوا آمَنَّا وَإِذَا خَلَوْا إِلَىٰ شَيَاطِينِهِمْ قَالُوا إِنَّا مَعَكُمْ إِنَّمَا نَحْنُ مُسْتَهْزِئُونَ

Maksudnya: " Dan apabila dikatakan kepada mereka: Berimanlah kamu sebagaimana manusia beriman kepada Allah, lalu mereka berkata: Adakah patut kami beriman sebagaimana orang-orang bodoh beriman ? Sesungguhnya merekalah orang-orang bodoh tetapi mereka tidak mengetahui dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang mukmin, mereka berkata: Kami beriman! Tetapi apabila mereka bertemu dengan syaitan-syaitan mereka lantas mereka berkata: Sesungguhnya kami bersama-sama kamu, kami hanya memperolok-olok mereka sahaja (orang-orang mukmin ) " (Al Baqarah: 13 – 14).

        Allah telah menyifatkan orang-orang munafiq itu bagaikan syaitan-syaitan yang dilaknat yang berwajah manusia kerana kerja-kerja yang mereka lakukan itu adalah sama seperti syaitan untuk menyesatkan umat manusia. Ibn Abbas r.a. telah meriwayatkan: Pada suatu hari Abdullah bin Ubay dan kuncu-kuncunya berjumpa dengan sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. Kemudian Abdullah bin Ubay berkata kepada kuncu-kuncunya: " Lihatlah! Bagaimana aku lakukan kepada orang-orang bodoh ini ..!"  Lalu ia pergi menjabat tangan Abu Bakar As Siddiq r.a. dan terus berkata:

مرحبا بالصدق سيد بنى تميم، وشيخ الإسلام، وثانى رسول الله فى الغار، الباذل نفسه وماله

" Marhaban dengan sebenar-benar wahai ketua Bani Tamin, syeikul Islam, pengiring bersama Rasulullah di gua dan pejuang yang gigih dengan jiwa raga dan harta bendanya."

      Dan apabila ia bertemu dengan Umar Ibn Khattab r.a. lalu ia berkata:

مرحبا بسيد بنى غدى بن كعب، الفاروق القوى فى دين الله، الباذل نفسه وماله لرسول الله

" Marhaban wahai ketua Bani Ghadi bin Ka'ad,  pejuang yang gigih untuk menegakkan agama Allah dan mengorbankan jiwa raga serta harta benda semata-mata untuk Rasulullah. "

      Kemudian, apabila ia bertemu pula dengan Ali bin Abi Talib, lalu ia menjabat tangannya sambil mengucapkan;

مرحبا يا ابن عم رسول الله وختنه سيد بنى هاشم ما خلا رسول الله

" Marhaban wahai anak saudara Rasulullah dan menantunya, ketua Bani Hasyim selepas Rasulullah ...!"

        Setelah mereka semua bersurai, Abdullah bin Ubay memanggil kuncu-kuncunya berkumpul sambil berkata:

كيف رأيتمونى فعلت؟ فإذا رأيتموهم فافعلوا كما فعلت فأثنوا عليه خيرا

Maksudnya: " Kamu lihat bagaimana telah aku lakukan? Apabila kamu berjumpa mereka buatlah sebagaimana yang telah aku lakukan dan pujilah mereka dengan kebaikan ...!"

      Berita tersebut telah disampaikan kepada Rasulullah s.a.w. lalu turunnya ayat yang telah dibaca tadi.  Di sana terdapat banyak ayat-ayat ILAHI yang memperlihatkan tentang kelakuan buruk golongan munafiq yang mempermain-mainkan agama atau mempersenda-sendakan ajaran agama itu sendiri, di antara ialah;

Firman Allah Ta'ala:

وَقَدْ نَزَّلَ عَلَيْكُمْ فِي الْكِتَابِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ آيَاتِ اللَّهِ يُكْفَرُ بِهَا وَيُسْتَهْزَأُ بِهَا فَلَا تَقْعُدُوا مَعَهُمْ حَتَّىٰ يَخُوضُوا فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ ۚ إِنَّكُمْ إِذًا مِثْلُهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ جَامِعُ الْمُنَافِقِينَ وَالْكَافِرِينَ فِي جَهَنَّمَ جَمِيعًا

Maksudnya: " Sesungguhnya Allah telah menurunkan kepada kamu Al Kitab, bahawa apabila kamu mendengar keterangan-keterangan dari Allah lalu dipersendakan, janganlah kamu duduk bersama mereka melainkan mereka masuk pada perbicaraan lain. Sekiranya kamu berbuat begitu, tentulah kamu serupa dengan mereka, sesungguhnya Allah akam mengumpulkan orang-orang munafiq dan  orang-orang kafir seluruhnya ke dalam neraka jahannam " (An Nisa': 140).

       Di sini kami hanya menyatakan lima sifat munafiq sahaja dan dalam buku kami sebanyak tiga puluh sifat munafiq yang telah kami nyatakan – sila rujuk buku kami Virus Nifaq.

6. MENGAPA ORANG MUNAFIQ TIDAK DIBUNUH
Setelah dinyatakan sifat-sifat munafiq, di sana terdapat suatu persoalan: Mengapa Islam tidak bertindak membunuh sahaja golongan munafiq ataupun orang-orang yang mempunyai ideologi munafiq serta mereka yang mempunyai fahaman munafiq di dalam hati mereka? Sedangkan merekalah yang bertanggungjawab membantu orang-orang kafir memerangi orang-orang Islam? Dan mengapa pula  mereka tidak dibunuh daripada dibiarkan hidup merosakkan pegangan hidup orang lain...? Persoalan seumpama ini telah timbul sejak dahulu lagi apabila Al Imam Al Qurthubi r.a. ketika ditanya kepada beliau mengapa Rasulullah s.a.w. tidak membunuh sahaja orang-orang munafiq, sedangkan baginda mengetahui keadaan dan tingkah-laku hidup mereka yang dipenuhi dengan bayangan kepuraan dan mereka bukanlah seorang muslim yang benar-benar beriman kepada Allah ? Maka jawaban tersebut ialah sebagaimana yang terdapat di dalam sebuah hadith yang sahih di mana baginda Rasulullah s.a.w. bersabda kepada Umar Al Khattab r.a.:

أكره أن يتحدث العرب أن محمدا يقتل أصحابه

Maksudnya: " Aku tidak suka orang-orang menyiarkan bahawa Muhammad membunuh sahabat-sahabatnya..." (Riwayat Bukhari dan Muslim).

     Seolah-olah perbuatan tersebut memberi suatu gambaran yang buruk atau suatu bentuk ukiran yang kurang sihat bahawa Rasulullah s.a.w. suka membunuh sahabat-sahabatnya sendiri, sedangkan sebenarnya mereka adalah golongan yang jahat dan dan golongan tidak bertamaddun.

     Manakala Imam Malik r.a. pula menyatakan, mengapa baginda Rasulullah s.a.w. tidak membunuh sahaja orang-orang munafiq yang telah banyak melakukan pengkhianatan terhadap Islam dan umat Islam itu...? Beliau menegaskan;

إنما كف رسول الله صلى الله عليه وسلم عن المنافقين ليبين لأمته أن الحاكم لايحكم بعلمه

Maksudnya: " Rasulullah s.a.w. tidak membunuh orang-orang munafiq adalah untuk menjelaskan kepada umatnya bahawa seseorang hakim itu tidak boleh menghukum menurut pengetahuannya sendiri ".

      Ini adalah suatu hakikat, bahawa seseorang hakim itu walau bagaimana bijak sekalipun tidak boleh menghukum seseorang melalui pengetahuannya sendiri dan ianya mestilah dibawa saksi untuk menentukan benar atau salah.

       Manakala Imam As Syafei' r.a. pula berpendapat mengapa orang-orang munafiq itu tidak dibunuh sahaja daripada mereka dibiarkan hidup, beliau menyatakan:

إنما منع رسول الله صلى الله عليه وسلم من قتل المنافقين ما كانوا يظهرونه من الإسلام مع العلم بنفاقهم لأن ما يظهروا يحب ما قبله، ويؤيد هذا قوله عليه الصلاة والسلام فى الحديث المجمع على صحته فى الصحيحين وغير هما:

Maksudnya:" Yang menahan Nabi s.a.w. tidak membunuh orang munafiq pada hal baginda mengetahui keadaan mereka sebenar adalah kerana mereka telah menunjukkan apa yang menahan (memelihara darah dan harta benda) mereka sebagaimana yang tersebut dalam sepotong hadith yang sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim:

 مرت أن أقاتل الناس حتى يقولوا لاإله إلا الله فإذا قالواها عصموا منى دماءهم وأموالهم إلا بحقها وحسابهم على الله عزوجل

Maksudnya: " Aku diperintahkan memerangi manusia sehingga mereka mengucap LAA ILAHA ILLALLAH, maka apabila mereka telah berbuat demikian terpeliharalah daripadaku darah dan harta benda mereka kecuali hak dan perhitungan mereka dengan Allah Azza Wajalla".




Sekian, wassalam.

Al Faqir Ila 'Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani