PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Friday 2 March 2012

BAI’AH WANITA


Bai'ah ialah mengadakan ikatan janji taat setia terhadap perintah yang diturunkan oleh Allah dan perintah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Seseorang wanita yang mengaku beriman kepada Allah mestilah mentaati dan menjunjung tinggi segala titah dan perintah Allah, dia mestilah melaksanakan segala suruhan Allah yang meliputi kewajiban dan kefardhuanNya, justeru dia juga mesti meninggalkan segala laranganNya yang meliputi perkara-perkara haram atau makruh, bahkan perkara-perkara yang boleh mendatangkan syubhah atau syak dalam ajaran agama. Dia juga mesti bertanggungjawab menunaikan amanah Allah dalam apa jua perkara, termasuk memelihara dan menjaga maruah agama daripada tercemar, kerana ikatan ini merupakan akur janji untuk taat setia yang tidak berbelah bagi terhadap Allah dan terhadap apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Bai’ah ini meliputi persoalan ‘aqidah sebagai batu asas atau akar tunjang dalam kehidupan manusia seperti tidak melakukan menyekutuan terhadap Allah dengan sesuatupun dan juga melibatkan persoalan sosial seperti tidak mencuri, tidak berzina, tidak sekali-kali membunuh anak, tidak melakukan pembohongan dan pendustaan, tidak mendurhakai perintah Allah dan RasulNya, tidak meratapi kematian dan tidak mengenakan perhiasan yang melampaui batas, sebagaimana yang dilakukan oleh kaum wanita jahiliyah dahulu kala.

Firman Allah Ta'ala:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِذَا جَاءَكَ الْمُؤْمِنَاتُ يُبَايِعْنَكَ عَلَىٰ أَنْ لاَ يُشْرِكْنَ بِاللَّهِ شَيْئًا وَلاَ يَسْرِقْنَ وَلاَ يَزْنِينَ وَلاَ يَقْتُلْنَ أَوْلاَدَهُنَّ وَلاَ يَأْتِينَ بِبُهْتَانٍ يَفْتَرِينَهُ بَيْنَ أَيْدِيهِنَّ وَأَرْجُلِهِنَّ وَلاَ يَعْصِينَكَ فِي مَعْرُوفٍ ۙ فَبَايِعْهُنَّ وَاسْتَغْفِرْ لَهُنَّ اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Maksudnya: " Wahai Nabi! Apabila datang kepada kamu wanita yang beriman untuk berbai’ah dengan kamu, bahawa mereka tidak akan mensyirikkan Allah dengan apa jua sekalipun, tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anak-anak, tidak melakukan perkara bohong yang diada-adakan di antara tangan dan kaki mereka dan tidak mendurhakai kamu dalam perkara yang baik, maka hendaklah kamu menerima bai’ah mereka dan pohonkanlah keampunan kepada Allah untuk mereka, sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang “ (Al Mumtahanah:12).

Wanita yang datang berjumpa dengan Nabi s.a.w. merupakan wanita yang telah mendapat cahaya petunjuk dari Allah dan mempunyai kesedaran untuk membuat perjanjian akur janji terhadap Allah. Oleh kerana mereka semua telah menyaksikan betapa jijiknya kehidupan yang berlaku pada zaman jahiliyah, maka ada baiknya bagi mereka berbai’ah dengan Nabi s.a.w. agar mereka benar-benar menjadi manusia yang mempunyai pertalian yang erat dengan Allah dan  tidak  akan kembali lagi ke alam jahiliyah yang menjijikan itu. Al Quran telah menggariskan enam rukun bagi wanita untuk berbai’ah, sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat di atas. Keenam-enam rukun ini merupakan perkara pokok yang wajib dijauhi dalam kehidupan seseorang wanita yang mengaku beriman kepada Allah dan RasulNya s.a.w. Ini kerana, kehidupan yang suci itu adalah kehidupan yang mempunyai hubungan yang erat dengan Allah dan bebas dari sebarang unsur jahiliyah dan suku-sakatnya. Di antara keenam-enam rukun tersebut ialah tidak melakukan syirik atau penyekutuan terhadap Allah dengan apa jua sekalipun, tidak melakukan perbuatan mencuri, tidak berzina dan menjaga maruah diri, tidak membunuh anak-anak kerana dikhuatiri menjadi fakir atau sebagainya, tidak melakukan perkara-perkara bohong yang sengaja diada-adakan dan tidak mendurhakai Allah dan RasulNya s.a.w.  dalam perkara kebaikan.

      Di dalam sepotong hadith yang lain, di sana terdapat dua lagi rukun yang ditambah oleh baginda s.a.w. dalam bai’ah, iaitu sebagaimana sepotong hadith yang diriwayatkan dalam satu peristiwa apabila Umaimah binti Ruqiyah telah datang berjumpa Rasululluh s.a.w. untuk berbai’ah dengan baginda, lalu baginda menyatakan:

أُبَايعكِ على أن لا تشركى بالله شيئًا ولا تسرقى ولا تزنى ولا تقتلى ولدك ولا تأتى ببهتان تفترينه بين يديك ورجليك ولا تنوحى ولا تتبرجي تبرج الجاهلية الأولى

Maksudnya: “ Aku berbai’ah dengan mu jangan sekali-kali kamu mensyirikkan Allah dengan sesuatupun, jangan mencuri, jangan melakukan perbuatan zina, jangan membunuh anak, jangan melakukan perkara bohong yang diada-adakan di antara tangan dan kaki mereka dan tidak mendurhakai kamu dalam perkara yang baik, jangan meratapi kematian dan jangan kamu bersolek seperti solekan jahiliyah pertama “(Riwayat Ahmad).


            Dua lagi rukun bai’ah di sini ialah jangan meratapi kematian dan jangan kamu bersolek sebagaimanai solekan orang-orang jahiliyah, maka, rukun bai’ah semua sekali ialah lapan (Insya Allah akan dihuraikan).



Sekian, wassalam

Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb,
Lutpi Mustafa El-Batnani




SALAH FAHAM TERHADAP WANITA


Dunia hari ini telah menyaksikan pandangan yang serong terhadap kaum wanita. Keadilan telah dicampakkan ke tepi-tepi jalan bagaikan sampah sarat yang terbuang dan tidak mempunyai apa-apa nilai. Pengertian perkataan adil itu tidak dapat lagi diterjemahkan dengan betul dan sempurna.  Keadilan itu tidak lagi menyatakan erti dan maksud yang sebenar. Wanita hari ini semakin hari semakin ditindas dan tertindas, semakin dihina dan semakin rendah mutu dan nilainya. Maruah wanita hari ini tidak lagi dijaga dengan sempurna dan tidak lagi mempunyai harga yang tinggi di pasaran. Indeks pencemarannya, baik dari segi akhlak atau perangai atau pergaulan atau seumpamanya telah tercemar dengan sebab mengalirnya pengaruh dari barat. Pengaruh barat yang amat menjijikkan itu telah menyumbangkan pengaruh jahiliyah moden yang disebarkan melalui media massa dan sebaran am, termasuk melalui internet. Pengaruh tersebut telah memusnahkan akhlak dan moral sebahagian besar wanita, kerana mempamirkan raut muka dan tubuh badan wanita sebagai bahan iklan untuk melariskan sesuatu bahan jualan. Maka di sana, di sinilah bermula titik tolak pandangan serong terhadap wanita, bahkan ada yang berpendapat wanita hanya perlu duduk di dapur untuk menguruskan hal ehwal makan minum suaminya. Namun, Islam tetap meletakkan kaum wanita di tempat yang paling mulia dan sama tarafnya dengan kaum lelaki. Seandainya mereka beriman dan bertaqwa, maka tiada sebab mereka disisihkan dari mendapat rahmat Allah. Di antara salah faham yang biasa kedengaran berlaku dalam kalangan  masyarakat ummat Islam ialah:

GOLONGAN YANG LEMAH
Dalam kalangan manusia ada yang menganggap kaum wanita adalah golongan yang lemah dari semua bentuk dan tidak boleh diberi amanah dan tanggungjawab kepada mereka. Mereka yang berpendapat seperti ini telah berhujah dengan sepotong ayat yang dikemukakan oleh Allah dalam Al Kitab.

Firman Allah Ta’ala:

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ وَبِمَا أَنْفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ

Maksudnya: “ Lelaki itu pemimpin ke atas wanita, kerana Allah telah melebihkan sebahagian dari mereka ke atas sebahagain yang lain, kerana kaum lelaki itu telah membelanjakan sebahagian dari hartanya “ (An Nisa: 34).


Firman Allah Ta’ala:
وللرجالِ عَلَيْهنَّ درجةٌ

Maksudnya: “ Dan bagi lelaki itu mempunyai beberapa darjat ke atas kaum wanita “ (Al Baqarah: 228).


Gambaran yang dipaparkan di dalam ayat ini menunjukkan kaum lelaki mempunyai kekuatan jika hendak dibandingkan dengan kaum wanita dan kaum lelaki juga mempunyai beberapa kelebihan jika hendak dibandingkan dengan kaum wanita. Gambaran sepintas lalu ini tidak cukup untuk membuat keputusan dan natijah bahawa: Adakah kaum lelaki ini benar-benar mempunyai kelebihan yang dikurniakan oleh Allah dalam semua aspek, jika hendak dibandingkan dengan kaum wanita..? Marilah kita memahami dengan penuh teliti terhadap apa yang hendak disampaikan oleh Allah di dalam firmanNya itu tadi. Apa yang dimaksudkan dengan perkataan ‘qawwamu’ di sini ialah: peranan dan tanggungjawab yang perlu dimainkan oleh kaum lelaki, seperti menjadi ketua negara, menjadi hakim, memimpin masyarakat, memberi nafkah kepada keluarga, menguruskan hal ehwal rumahtangga dan lain-lain lagi. Kalaulah kita melihat di dalam sejarah Islam, tiada seorang nabi atau rasul yang diutuskan oleh Allah terdiri dalam kalangan wanita. Justeru, ini memperkuatkan lagi bahawa kaum lelaki memang mempunyai kelebihan jika hendak dibandingkan dengan kaum wanita.

Ini adalah gambaran secara umum yang dikhususkan kepada kaum lelaki dan gambaran ini bukanlah bererti kaum wanita lemah segala-gala, tidak mempunyai apa-apa peranan yang harus dimainkan. Tugas dan tanggungjawab kaum lelaki di dalam masyarakat tidak akan sempurna sekiranya tidak disertai oleh peranan kaum wanita dan tidak mendapat kerjasama dengan mereka. Umpamanya, tugas menyusukan bayi, memelihara bayi dan membesarkannya, kaum wanita lebih berperanan jika hendak dibandingkan dengan kaum lelaki dan kaum wanita lebih berpotensi di dalam pendidikan anak-anak. Maka, di sinilah letaknya kelebihan kaum wanita dan kenyataan ini telah diperkuatkan dengan sepotong hadith, sebagaimana yang diriwayatkan dari Jabir, bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

اِتَّقُوْا اللهَ فِىْ النِّسَاءِ فَإِنَّهُنَ عِنْدَكُمْ عَوَانٌ

Maksudnya: “ Bertaqwalah kepada Allah mengenai hubungan dengan kaum wanita, kerana mereka adalah penolong sejati bagi kamu “(Riwayat Muslim).

            Hadith di atas ini telah menolak kenyataan mereka yang menganggap bahawa wanita adalah golongan yang lemah dan mereka tidak mempunyai apa-apa peranan di dalam masyarakat.


AKAL YANG SEMPIT
Di antara mereka ada yang menganggap bahawa kaum wanita ini mempunyai akal fikiran yang sempit, tidak mempunyai kecerdasan otak, tidak mempunyai idea-idea yang baik untuk disampaikan, tidak mempunyai ketokohan dalam memimpin, sentiasa bersikap bodoh dan dungu. Mereka juga menganggap bahawa golongan wanita hanya layak tinggal di dalam rumah sahaja, di samping menguruskan hal ehwal makan dan minum untuk suaminya. Mereka tidak layak keluar rumah bekerja mencari nafkah dan memberi pendidikan kepada anak-anak. Ini adalah suatu kesilapan yang perlu diperbetulkan, kesilapan ini mungkin disebabkan oleh salah tafsiran terhadap sepotong hadith yang diperkatakan oleh Rasulullah s.a.w. tentang perihal wanita.

Sabda Rasulullah s.a.w.

أَلَيْسَ شَهَادَةُ اْلمَرْأَةِ نِصْفُ شَهَادَةِ الرِّجَالِ؟ قُلْنَ: بَلَى! قَالَ: فَذَلِكَ مِنْ نِقْصَـانِ عَقْلِهَا، أَلَيْسَ إِذَا حَاضَتْ لَمْ تُصَلِّ وَلَمْ تَصُّم؟ قُلْنَ: بَلَى! قَالَ: فَذَلِكَ مِنْ نِقْصَانِ دِيْنِهَا

Maksudnya: “ Tidakkah penyaksian wanita separuh dari penyaksian lelaki, sahabat menjawab: Bahkan! Sabda Nabi: Demikianlah kekurangan akalnya dan tidakkah apabila wanita dalam haid tidak boleh mendirikan solat dan puasa? Sahabat menjawab: Bahkan! Demikanlah kekurangan wanita di dalam agamanya “ (Riwayat Bukhari).


Boleh jadi mereka yang membaca hadith ini secara tidak langsung membuat tuduhan yang melulu terhadap wanita bahawa wanita adalah golongan yang benar-benar lemah dari semua bentuk. Gambaran yang dinyatakan di dalam hadith di atas ialah gambaran secara umum yang dikhususkan kepada wanita. Di dalam hadith di atas, apa yang hendak dimaksudkan dengan perkataan ‘ kekurangan’ di sini ialah kekurangan dari sudut ‘bilangan’ dan bukannya dari sudut ‘bagaimana’ kekurangan itu berlaku.

Sebagai contoh: Wanita yang berada dalam keadaan haid tidak dibenarkan mendirikan solat, mengerja puasa dan amalan ibadah lain yang berkaitan. Oleh sebab itu, bilangan solat atau puasa atau ibadat yang lain bagi seseorang wanita berkurangan jika hendak dibandingkan dengan kaum lelaki. Ini menunjukkan kekurangan wanita itu dinilai dari sudut ‘bilangan’, bukan dari sudut ‘bagaimana’ kekurangan itu. Ini adalah kerana dalam kalangan wanita terdapat di antara mereka yang lebih baik amal ibadatnya, ada di antara mereka yang menghafaz Al Quran, yang bertaqwa kepada Allah lebih dari kaum lelaki, beriltizam dengan agama Allah, justeru dalam kalangan wanita terdapat mereka yang lebih baik akhlaknya dari kaum lelaki.

Firman Allah Ta’ala:

مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً ۖ وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُمْ بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
Maksudnya: “ Sesiapa yang beramal soleh, sama ada lelaki dan wanita sedangkan mereka beriman, maka sesungguhnya Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan Kami berikan ganjaran pahala yang baik kepada mereka dari apa yang mereka kerjakan “ (An Nahl: 97).


Marilah kita melihat roda kisaran sejarah Islam, bahawa manusia yang pertama mati syahid ialah terdiri dalam kalangan kaum wanita, iaitu Sumaiyyah seorang muslimat yang syahid di awal Islam dan beliau adalah isteri kepada Yaser. Beliau sanggup mengorbankan dirinya semata-mata kasihkan ‘aqidah dan keimanan, lalu tubuhnya dirobek-robekkan oleh Abu Jahal yang bencikan Islam itu. Kemudian, di sana kita melihat bagaimana dalam kalangan wanita hari ini keluar bermujahadah ke jalan Allah, mereka menjadi juru dakwah untuk menarik minat masyarakat kepada Islam, mereka memainkan peranan untuk memperbetulkan kesalahan dan kesilapan yang terdapat di dalam masyarakat dan di saat itu juga kaum lelaki kelihatan terpaku di tepi-tepi menghabiskan masa, waktu dan ketika untuk bersendiwara dan bersembang-sembang dengan rakan-rakan kehidupan mereka….!


TIDAK BOLEH DIBERI KEUTAMAAN
Dalam kalangan manusia hari ini juga ada yang berpendapat bahawa tidak diharuskan sama sekali diberi keutamaan kepada kaum wanita dari kaum lelaki, lebih-lebih lagi di dalam memberi pelajaran atau pendidikan kepada mereka. Kalaulah mereka di beri pelajaran atau pendidikan, mereka juga tidak ke mana. Golongan ini telah mengemukakan hujah mereka dengan sepotong hadith:

لاَ تَسْكِنُوْهُنَّ اْلغُرَفَ وَلاَ تُعَلِّمُوْهُنَّ اْلكِتَابَةَ وَعَلِّمُوْهُنَّ اْلمِغْزَلَ وَسُوْرَةَ النُّوْرِ

Maksudnya: “ Jangan kamu menempatkan wanita di bilik yang atas dan jangan mengajar mereka menulis, akan tetapi ajarkanlah mereka memintal tali dan Surah Nur “.
  
Mereka yang berhujah dengan membawa hadith ini untuk ditujukan kepada kaum wanita. Namun, tidak diketahui kedudukan sebenar hadith ini. Hadith ini adalah hadith maudhu’, iaitu hadith palsu yang direka-cipta semata-mata dan ianya bukan dari Rasulullah s.a.w. Hadith ini dikeluarkan oleh Al Khatib berdasarkan sumber dari Muhammad bin Ibrahim Abdullah Asy Syami. Menurut keterangan Darul Qutni, dia adalah seorang pendusta dan dicuri pula hadith ini oleh seorang pendusta yang lain bernama Abdul Wahab bin Ad Dahak. Kemudian hadith ini juga diambil oleh Al Hakim untuk dimuatkan dalam kitabnya Al Mustadrak. Menurut pendapat Adz Dzahabi di kitabnya ‘At Talkhis’ bahawa hadith ini adalah rekaan semata-mata dan dirosakkan oleh seorang periwayat yang bernama Abdul Wahab dan begitu juga apa yang dinyatakan oleh Abu Hatim bahawa beliau juga adalah seorang pendusta. Demikian apa yang dinyatakan oleh Al Al Bani di dalam kitabnya yang bernama Al Mu’jam.



Sekian, wassalam


Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb,
Lutpi  Mustafa El-Batnani


WANITA DI ANTARA AMANAH DAN TANGGUNGJAWAB


Untuk memperolehi petunjuk tersebut, seseorang wanita perlu sekali menunaikan amanah Allah dan amanah Allah ini merupakan suatu manhaj hidup yang digariskan di dalam ajaran Islam untuk diprogramkan kepada para penganutnya yang mengaku beriman kepadaNya, di antaranya ialah mendirikan ibadat solat, kerana solat itu dapat menghindarkan manusia daripada mengerjakan perbuatan keji dan mungkar.

Firman Allah Ta’ala:

وأقِمِ الصلاةَ إنَّ الصلاةَ تَنْهَى عَنِ الْفحْشَاء والمُنْكر

Maksudnya: “ Dirikanlah solat, kerana solat itu dapat mencegah kamu dari perbuatan keji dan mungkar “ (Al Ankabut: 45).

Ajaran Islam juga mengajar wanita dan menetapkan kepada para penganutnya supaya mengeluarkan zakat setiap tahun, sama ada berupa wang ringgit atau hasil tanaman atau binatang ternakan, di mana ianya hendaklah dikeluarkan sebahagian kecil sahaja daripada harta benda tersebut untuk diagihkan kepada fakir miskin dan orang-orang yang memerlukan. Di samping itu, zakat juga bertujuan untuk membersihkan diri manusia dari sifat kebakhilan diri dan juga bertindak untuk menyucikan harta benda mereka dari kekotoran.

Firman Allah Ta’ala:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِمْ بِهَا

Maksudnya: “ Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, kerana zakat itu dapat membersihkan diri mereka dan menyucikan jiwa mereka ” (At Taubah: 103).

Ajaran Islam juga telah menetapkan kepada setiap wanita dan sekelian ummatnya supaya mengerjakan ibadat puasa yang diwajibkan hanya satu bulan sahaja dalam setahun, iaitu di bulan Ramadhan Al Mubarak.

Firman Allah Ta’ala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: “ Wahai orang-orang yang beriman! Di fardhukan ke atas kamu berpuasa (di bulan Ramadhan) sebagaimana yang difardhukan kepada orang-orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa “(Al Baqarah: 183).

Kerana ibadat puasa dapat membentuk sifat-sifat kesabaran diri, di samping dapat memecahkan kebuntuan hawa nafsu yang sering kali datang menggoda perasaan hati manusia. Ajaran Islam telah mewajibkan kepada setiap wanita dan juga para penganutnya supaya mengerjakan ibadat haji ke Baitullah di Mekah bagi mereka yang berkuasa dan mampu pergi ke sana.

Firman Allah Ta’ala:

الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَعْلُومَاتٌ ۚ فَمَنْ فَرَضَ فِيهِنَّ الْحَجَّ فَلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ فِي الْحَجِّ ۗ وَمَا تَفْعَلُوا مِنْ خَيْرٍ يَعْلَمْهُ اللَّهُ

Maksudnya: “ Haji itu dikerjakan di dalam bulan-bulan yang ditentukan, oleh sebab itu sesiapa yang menetapkan niatnya dalam bulan tersebut untuk mengerjakan haji, tidak boleh bercakap kotor, berlaku jahat dan bermusuhan dalam masa mengerjakan haji, kerana segala perbuatan baik yang kamu kerjakan diketahui oleh Allah “(Al Baqarah: 197).


Segala apa yang telah ditetapkan oleh Allah itu bertujuan untuk memberi kemudahan kepada setiap wanita dan juga setiap muslim tentang cara-cara untuk mendekatkan diri kepadaNya dan mencari keredhaanNya. Ajaran Islam bukan ajaran yang membebankan golongan wanita dan para penganutnya, tetapi ianya adalah ajaran yang mudah dan simple dan dapat menjamin kesejahteraan kepada  setiap wanita dan setiap penganutnya yang lain, sama ada di dunia dan di akhirat. Ajaran Islam tidak sekali-kali memberi kesusahan dan kesukaran kepada mereka semua.

Firman Allah Ta'ala:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ ولا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya: " Allah mahu memberi kemudahan kepada kamu dan Dia tidak sekali-kali mahu memberi kesusahan kepada kamu "(Al Baqarah: 185).


Ajaran Islam juga merupakan ajaran persahabatan yang menganjurkan kepada setiap wanita dan seluruh ummatnya supaya menjalin hubungan persaudaraan iman di kalangan mereka, hubungan yang dapat mengeratkan lagi simpulan tali ukhuwwah Islamiyyah sebagai lambang kekuatan ummat sejagat.

Firman Allah Ta'ala:

ِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Maksudnya: " Sesungguhnya orang-orang mu'min itu adalah bersaudara, maka perbaikilah hubungan di antara saudara-saudara kamu dan bertaqwalah kamu kepada Allah, mudah-mudahan kamu mendapat rahmat "(Al Hujurat:10).


Sabda Rasulullah s.a.w.

لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ ِلأَخِيْهِ مَا يَحِبُّ لِنَفْسِهِ

Maksudnya: " Tidak beriman seseorang kamu sehingga dia kasih kepada saudaranya, sebagaimana dia kasih pada dirinya sendiri "(Riwayat Muslim).

                       
 Ajaran Islam menggesa kepada setiap wanita dan setiap ummatnya supaya saling tolong-menolong dan bantu-membantu di antara satu sama lain yang bertujuan untuk memenuhi keperluan masing-masing. Setiap kekurangan dan kepincangan yang ada mestilah ditampung dan dibaiki supaya kebahagiaan hidup dapat dikecapi secara bersama.

Firman Allah Ta'ala:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلاَ تَعَاوَنُوا عَلَى الإثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: " Tolong-menolonglah kamu di dalam mengerjakan kebaikan dan ketaqwaan, jangan sekali-kali kamu tolong-menolong di dalam mengerjakan dosa dan perlanggaran "(Al Maidah: 2).


Ajaran Islam telah mengemukakan manhaj hidup yang sesuai untuk semua kehidupan lapisan masyarakat manusia, tidak mengira lelaki atau wanita, dengan menyuruh mereka supaya beramal dengan amalan yang soleh.

Firman Allah Ta'ala:

وَمَنْ يَعْمَلْ مِنَ الصَّالِحَاتِ مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُولَٰئِكَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ وَلاَ يُظْلَمُونَ نَقِيرًا

Maksudnya: “ Sesiapa yang beramal dengan amalan yang soleh, sama ada lelaki atau wanita sedangkan dia beriman, maka mereka itu akan masuk syurga dan mereka tidak dizalimi sedikitpun “(An Nisa’: 124).


Sabda Rasulullah s.a.w.

مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرِنَا فَهُوَ رَدٌّ

Maksudnya: “ Sesiapa yang beramal dengan amalan yang bukan dari urusan kami, maka ianya ditolak “(Riwayat Muslim).


Ajaran Islam menganjurkan kepada setiap wanita yang mengaku beriman kepada Allah supaya membentuk nilai-nilai keikhlasan di lubuk hati, supaya setiap amalan-amalan yang dikerjakan itu diniatkan kerana mencari keredhaan Allah, bukan kerana yang lain. Keikhlasan itu akan membasmikan kepalsuan hidup buat selama-lamanya.

Firman Allah Ta’ala:

قُلْ إِنِّي أُمِرْتُ أَنْ أَعْبُدَ اللَّهَ مُخْلِصًا لَهُ الدِّينَ

Maksudnya: “ Katakanlah (wahai Muhammad)! Aku diperintahkan mengabdikan diri kepada Allah dengan tulus ikhlas beragama keranaNya semata-mata “(Az Zumar: 11).


Umar Al Khattab r.a. pernah berdoa:

اَللَّهُمَّ اجْعَلْ عَمَلِىْ كُلّهُ صَالِحًا وَاجْعَلْهُ كُلّهُ لِوَجْهِكَ خَالِصًا وَلاَ تَجْعَلْ لِغَيْرِكَ فِيْهِ شَيْئًا

Maksudnya: “ Wahai Tuhan ku! Jadikanlah amalan ku ini semuanya ikhlas, jadikanlah setiap amalan ini kerana mencari keredhaan Mu dengan tulus ikhlas, jangan Engkau jadikan amalan ku ini kerana yang lain selain dari Engkau “.

Ajaran Islam sentiasa menyeru agar kaum wanita supaya mengerjakan kebaikan dan kebaikan itu mestilah mengikut penafsiran syari’at yang diturunkan, bukan mengikut akal fikiran atau perasaan. Di samping itu pula, mereka mestilah bertindak membasmikan segala rupa bentuk kemungkaran yang ada di dalam hati mereka dan kemudian membasmikan kemungkaran yang ada di dalam masyarakat mereka.

Firman Allah Ta’ala:
إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ

Maksudnya: “ Sesungguhnya kebaikan itu akan menghilangkan keburukan “(Hud: 114).

Ajaran Islam melarang setiap wanita berpecah-belah di antara satu sama lain, kerana perpecahan itu amat menyakitkan dan boleh menyebabkan menyalanya api perbalahan yang tidak dapat dibendung lagi. Perpecahan itu akan menyebabkan mereka menjadi lemah dan mundur ke belakang. Perpecahan itu juga akan mengundang kepincangan hidup dalam masyarakat sehingga masyarakat akan menjadi perok-peranda. Maka kesempatan inilah yang akan digunakan oleh musuh-musuh Islam untuk menghancurkan-leburkan ummat Islam dan melenyapkan ajaran Islam itu dari dada para menganutnya. Seandainya mereka leka dan alpa, tidak membendung dengan segera gejala ini, nescaya mereka akan menjadi manusia yang pincang dan tidak mempunyai tamaddun nilai.

Firman Allah Ta’ala:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلاَ تَفَرَّقُوا واذْكُرُوا نِعْمَتَ الله عَلَيْكم

Maksudnya: “ Berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah, jangan kamu berpecah-belah dan ingatkan kamu akan nikmat Allah yang dikurniakan kepada kamu” (Ali ‘Imran: 103).

 Ajaran Islam juga melarang setiap wanita bersikap  hipokrit atau opportunist ataupun bersikap munafiq, kerana sikap seumpama itu tidak mempunyai apa-apa nilai untuk dibawa ke dalam kehidupan, bahkan ianya boleh membentuk jiwa manusia yang berpura-pura dengan hakikat yang ada dan sentiasa mempermain-mainkan dalam tuntutan amal ibadat serta banyak mempersenda-sendakan suruhan Allah.

Firman Allah Ta’ala:

إنَّ الْمُنَافِقِينَ يُخَادِعُونَ اللَّهَ وَهُوَ خَادِعُهُمْ وَإِذَا قَامُوا إِلَى الصَّلاَةِ قَامُوا كُسَالَىٰ يُرَاءُونَ النَّاسَ ولاَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ إِلاَّ قَلِيلاً مُذَبْذَبِينَ بَيْنَ ذَٰلِكَ لاَ إِلَىٰ هَٰؤُلاَءِ وَلاَ إِلَىٰ هَٰؤُلاَءِ ۚ وَمَنْ يُضْلِلِ اللَّهُ فَلَنْ تَجِدَ لَهُ سَبِيلاً

Maksudnya: “ Sesungguhnya orang-orang munafiq cuba menipu Allah, sedangkan mereka menipu diri mereka sendiri, mereka mendirikan solat dalam keadaan malas dan menunjuk-nunjuk kepada manusia, mereka tidak mengingati Allah melainkan sedikit sahaja. Mereka masih ragu-ragu di antara ini dan itu, tidak ke sini dan tidak pula ke sana, sesiapa yang dibiarkan sesat oleh Allah, maka kamu tidak mendapat jalan untuk memimpinnya “(An Nisa: 142-143).


Mereka cuba menipu Allah dengan aksi hidup dan dengan budaya hidup yang tidak melambangkan indentiti seorang manusia yang matang dalam pemikiran. Mereka tidak menaruh keyakinan terhadap apa yang diturunkan oleh Allah, tetapi mereka menukarkan keyakinan itu dengan kepuraan. Maka dengan sebab itu, setiap wanita yang beriman kepada Allah dilarang sama sekali bersifat seperti ini.

Firman Allah Ta’ala:

بَشِّرِ الْمُنَافِقِينَ بِأَنَّ لَهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا

Maksudnya: “ Khabarkan berita gembira buat orang-orang munafiq tentang azab yang pedih menimpa mereka “ (An Nisa: 138).

Manhaj hidup seseorang wanita mestilah dibina di atas dasar keimanan dan ketundukan diri terhadap Allah, dasar yang mencetuskan nilai-nilai kehidupan yang lebih universal dan komprehensif. Dasar itu juga akan bertindak memelihara kekuatan dalaman mereka, iaitu kekuatan spiritual setelah dikombinasikan dengan kekuatan fizikal untuk menjadi satu tenaga yang kuat agar dapat menumpaskan segala rupa bentuk jahiliyah yang datang menjelma. Ajaran Islam menilai seseorang itu bukan dari sudut alat kelamin yang menentukan status seseorang manusia itu lelaki atau wanita, ajaran Islam tidak sekali-kali melihat kekayaan seseorang barulah dianggap mulia atau kemiskinan seseorang itu dianggap hina, ajaran Islam tidak menetapkan tinggi rendah seseorang itu dari sudut batas keturunan atau rupa bangsa, tetapi Islam menilai ummatnya dari sudut keimanan dan ketaqwaan diri terhadap Allah.

Maka dengan sebab keimanan dan ketaqwaan yang ada dalam diri, barulah seseorang itu dianggap mulia di sisi Allah.



Sekian, wassalam


Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani



PANDANGAN ISLAM TERHADAP WANITA


Setiap wanita yang mengaku beriman kepada Allah mestilah berpegang teguh dengan ajaran Allah, ajaran yang diturunkan untuk memberi kebahagiaan kepada manusia di dunia dan di akhirat, ajaran yang memisahkan di antara Islam dan jahiliyah, iman dan kufur, ajaran yang membentuk nilai-nilai kemanusiaan yang unggul dan persamaan hidup di antara mereka dan sekaligus membezakan hidupan manusia dengan kehidupan haiwan. Islam adalah agama fitrah dan tabiat, agama yang memerlukan kepada akal untuk berfikir dan memerlukan kepada mantiq untuk berhujah, agama yang sesuai untuk setiap perubahan masa dan zaman, keadaan dan tempat. Ajaran Islam telah meletakkan ‘aqidah sebagai konsep asas dan akar tunjang dalam kehidupan manusia dengan menetapkan keimanan yang mutlak kepada Allah Yang Maha Esa dan tiada penyekutuan di dalam kekuasaaNya, kerana….

لَوْكانَ فيْهماَ ءاَلهةٌ إلاَّ الله لَفَسَدَتَا

Maksudnya: “ Sekiranya di langit dan di bumi terdapat dua tuhan selain dari Allah, nescaya akan rosak binasalah kedua-duanya “ (Al Anbiya: 22).

Keislaman dan keimanan seseorang itu mestilah didahului dengan sebuah pengakuan yang tulus ikhlas di dalam hati sanubari dan jiwa nurani, iaitu pengakuan ketuhanan: Tiada Tuhan yang sebenar-benar melainkan Allah, kemudian diikuti pula dengan pengakuan yang kedua pula, iaitu pengakuan kenabian: Bahawa Muhammad s.a.w. itu adalah pesuruh Allah. Di samping itu, ajaran Islam telah menetapkan kepada setiap wanita dan juga setiap para penganutnya supaya mengerjakan amal ibadat yang telah difardhukan. Ketetapan ini bertujuan untuk membuktikan nilai ketaatan manusia terhadap pengakuan dalam ikrarnya terhadap kalimah tersebut. Hanya manusia yang mempunyai nilai-nilai murni sahaja akan dapat mengemukakan aksi hidup yang lebih dynamic bagi melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang telah difardhukan oleh Tuhan itu. Adapun manusia yang tidak mempunyai keyakinan hidup dan tidak mempunyai nilai-nilai dalam kehidupan, sudah pasti mereka meletakkan perintah Allah itu sama dengan perintah manusia dan menganggap sebagai perkara biasa sahaja.

Benarlah! Sebenarnya kehidupan itu memerlukan petunjuk, petunjuk untuk memandu manusia ke jalan yang benar, petunjuk untuk menyuluh laluan hidup manusia supaya tidak tergelincir dan tidak tersesat dari tempat yang hendak dituju. Hanya Allah sahaja yang dapat memberi petunjuk kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya...!

 
 
Sekian, wassalam


Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani

WANITA DALAM AGAMA KRISTIAN


Seorang ketua ajaran Kristian Protestant bernama Martin Luther pernah membongkarkan penyelewengan yang berlaku di dalam ajaran Kristian Katolik yang menasihatkan supaya kaum wanita menjauhkan diri dari pelajaran dengan alasan tiada gunanya bagi mereka berpendidikan.

Sehingga tahun 1850 di tanah jajahan Inggeris dan Boston, masih terdapat undang-undang yang melarang wanita bertindak maju ke hadapan, suami diberi hak untuk memukul anak gadisnya dengan tongkat dan wanita tidak sedikitpun diberi hak, sehingga pada pakaiannya walaupun hasil dari keringatnya sendiri.

John Damascene pernah berkata: “ Wanita adalah anak yang dilahirkan dari pendustaan, penunggu neraka jahannam dan musuh keselamatan, dengan sebab dialah Adam terkeluar dari pintu syurga “.

            Gambaran ini memang merupakan suatu penghinaan kepada kaum wanita yang dianggap sebagai makhluk yang tidak berguna langsung kepada masyarakat. Kaum wanita tidak boleh diberi pelajaran dan pendidikan yang secukupnya, kerana mereka adalah golongan yang hina. Sebab itu, kaum wanita di dalam agama Kristian kelihatan jumud dan kolot serta tidak mempunyai aturcara kehidupan yang sempurna untuk menghadapi masa yang akan datang.


Sekian, wassalam


Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani



WANITA DALAM AGAMA HINDU


Di dalam kitab suci ajaran agama Hindu atau Brahma yang bernama Manu, kaum wanita disifatkan sebagai golongan manusia yang dipandang hina dan tidak mempunyai apa-apa peranan dalam masyarakat. Oleh itu, kaum wanita di kalangan Bangsa Hindu, terutama anak-anak gadis diperdagangkan atau dijual beli kepada sesiapa sahaja yang mahu dengan bayaran tertentu.

Di India, kira-kira 30,000 jiwa janda dalam setahun dibakar hangus kerana sikap fanatik manusia dan kepercayaan khurafat terhadap kaum wanita yang tidak mempunyai apa-apa nilai dan penghargaan terhadap masyarakat. Sebagai contoh, diceritakan bagaimana seorang wanita keturunan bangsawan yang berumur masih belasan tahun telah kematian suami dan mempunyai seorang anak berusia empat tahun terpaksa masuk ke dalam unggun api yang menyala berkobar-kobar demi menyatakan kesetiaan cintanya kepada suaminya yang telah meninggal. Dia terpaksa merintih merayu dengan sebak di dada dengan linangan air mata yang bercucuran jatuh ke bumi sebagai menagih simpati supaya tidak menjadi mangsa ajaran khurafat yang karut-marut itu.

Dia terpaksa berpeluk cium dengan anak dan keluarganya tercinta, tetapi tiada siapa yang mahu mengambil simpati dan belas kasihan. Dunia sama sekali menyaksikan kekejaman kepercayaan yang karut ini dengan sekelip mata sahaja nyawa wanita muda itu melayang ketika jasadnya merempuh masuk ke dalam nyalaan api yang berkobar-kobar, walaupun tanpa keredhaannya.

Namun Manu, kita suci ajaran Hindu itu tetap bermadah: “Kaum wanita menunjukkan sikap lemahnya dan kelakukannya yang buruk….”.

Di dalam kepercayaan agama Hindu lagi ada menyatakan: “ Manusia hilang kehormatannya adalah kerana wanita, asal usul permusuhan adalah disebabkan wanita, kerana itu jauhilah wanita. Sesungguhnya wanita selalu memikirkan nafsu syahwat, selalu marah dan sukakan kepalsuan dan tidak pernah berlaku jujur. Menurut tabiatnya, wanita suka menggoda kaum lelaki, oleh sebab itu kaum lelaki mestilah berhati-hati terhadap wanita….”

Apabila wanita yang sedang haidh tidur bersama suaminya, dia tidak sekali-kali menjadi bersih sebelum dia meminun air basuhan dua tapak kaki suaminya pada hari keempat dan kemudian hendaklah mandi. Demikianlah betapa buruk penghormatan yang diberikan kepada kaum wanita, akibat dari kepercayaan yang karut dan kejahilan hidup, sedangkan mereka semua dilahirkan dari perut wanita.


Sekian, wassalam


Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani


WANITA DALAM AGAMA YAHUDI


Di dalam masyarakat Yahudi, seseorang bapa bebas mengahwinkan anak perempuannya kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya tanpa berbincang untuk mendapat persetujuan dari anak perempuannya terlebih dahulu. Hal ini telah memberi tekanan kepada si anak perempuan tersebut, seolah-olah bapa yang menentukan kebahagiaan kepada anak gadisnya.

Wanita yang berkahwin mestilah mempunyai dara, jika diketahui selepas perkahwinan, bahawa wanita yang dikahwin itu tidak mempunyai dara, dia akan direjam sehingga mati. Apabila berlaku pergolakan dan perselisihan di dalam rumah tangga, hak menceraikan isteri hanya semata-mata diberikan kepada suami dan si isteri tidak mempunyai hak langsung untuk diberi pembelaan. Perkara ini merupakan suatu pengkhianatan dan penaniayaan kepada kaum wanita. Di dalam masyarakat Yahudi juga, kaum wanita dianggap sebagai bahan untuk berseronok semata-mata dan dijadikan hak milik hanya untuk memuaskan hawa nafsu. Perzinaan berleluasa berlaku di dalam masyarakat Yahudi dan ianya menjadi suatu fenomena biasa. Begitu juga dengan perbuatan liwat atau homoseks dengan kaum sejenis, bahkan perkara seumpama ini menjadi adat kebiasaan dan bukan suatu keaiban, malah masyarakat Yahudi kebanyakannya lebih suka kepada kaum sejenis untuk memuaskan hawa nafsu mereka.

Apa yang lebih dahsyat lagi, pelacuran dijadikan suatu perusahaan untuk memberi khidmat sosial kepada mereka yang memerlukan dan tiada batas undang-undang yang mengharamkan perbuatan tersebut, kerana ianya dianggap sebagai suatu punca pendapatan ekonomi yang terbesar ketika itu di samping ianya memberi keseronokan kepada para pengunjung.

Sekian, wassalam


Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani


Thursday 1 March 2012

WANITA DI ZAMAN JAHILIYAH ARAB


Sebelum Islam datang menjelma, kaum wanita berada di dalam keadaan tersempit di celah-celah kehidupan. Mereka telah disisihkan oleh suasana masyarakat jahiliyah yang hidup dalam keadaan terumbang-ambing tanpa arus dan pedoman hidup, tanpa ada peraturan dan undang-undang yang dikenakan kepada mereka yang melampaui batas-batas kemanusiaan. Kehidupan mereka tertekan dan teranianya, kerana peluang mereka untuk membentuk kehidupan sendiri di halang oleh suasana yang tidak mengizinkan.

Suasana jahiliyah telah menguasai kehidupan seharian dan kebanyakan anggota masyarakat bebas melakukan apa sahaja yang mereka suka, kerana penafsiran hidup telah diterjemahkan mengikut selera dan hawa nafsu semata-mata. Suasana jahiliyah telah memandukan masyarakat ke arah kesesatan hidup, sebab itu di dalam masyarakat tersebut sentiasa berlaku pembunuhan, perbalahan kaum, pelacuran, ketagihan arak dan sebagainya. Kaum wanita sekali lagi telah menjadi mangsa penindasan yang tidak berperikemanusiaan, mereka tidak diberi hak dan layanan yang sepatutnya di dalam masyarakat, bahkan masyarakat telah menafikan hak-hak dan peranan yang harus dimainkan oleh kaum wanita. Menjadi kelaziman di mana sahaja mereka berada, kaum wanita diperlukan hanya untuk satu tujuan dan satu matlamat, iaitu untuk digunakan sebagai objek seks atau hamba seks bagi memuaskan hawa nafsu kaum lelaki. Kaum lelaki bebas memperlakukan apa sahaja yang mereka suka ke atas batang tubuh wanita mengikut selera hawa nafsu yang tersirat di fikiran mereka. Kaum wanita diibaratkan sebagai hamba abdi, bahkan lebih hina dari itu.

Zaman jahiliyah arab ialah zaman sebelum turunnya agama Islam. Ianya dikatakan zaman jahiliyah oleh ahli sejarah kerana keadaan masyarakat ketika itu hidup dalam keadaan kacau-bilau dan huru-hara, sentiasa berlaku perbalahan dan persengketaan hidup di antara puak-puak tertentu, kehidupan mereka tidak tersusun dan tidak teratur dan tidak pula mempunyai apa-apa peraturan dan undang-undang yang dikenakan kepada mereka yang bersalah. Kaum wanita merupakan golongan manusia yang paling hina dan paling jijik. Mereka boleh dijual beli seperti binatang ternakan dan diperdagangkan kepada sesiapa sahaja yang mahu, malah mereka juga dianggap sebagai pusaka yang boleh diwarisi oleh pewaris yang berkenaan. Bahkan anak tiri boleh mempusakai isteri-isteri bapanya apabila bapanya meninggal dunia. Di samping itu juga, kaum lelaki bebas berkahwin dengan siapa sahaja yang dikehendaki tanpa batas dan had jumlah bilangannya. Apa yang lebih dasyat dari itu ialah mereka sanggup membunuh anak perempuan hidup-hidup tanpa belas kasihan, kerana mereka menganggap anak perempuan tidak berguna dan tidak mendatangkan apa-apa kebaikan dalam kehidupan. Apabila seseorang ibu melahirkan anak perempuan, bapanya merasa terhina dan akan menggali lubang untuk menguburkan si anak itu hidup-hidup. Menguburkan anak perempuan hidup-hidup dianggap suatu kesenangan untuk merungkaikan keaiban  yang melanda dirinya. Mereka memikirkan, anak perempuan tidak dapat memberi apa-apa sumbangan kepada temasya kehidupan mereka, bahkan hanya mendatangkan sial dan mala petaka, maka lebih baik mereka menguburkan sahaja daripada dibiarkan hidup. Sekiranya anak perempuan itu tidak dibunuh atau tidak dikuburkan hidup-hidup oleh bapanya, dia dibiarkan hidup bersendirian dan dianggap sebagai hamba abdi yang terhina. Kemudian, dia dijadikan bahan dan alat untuk memuaskan hawa nafsu kaum lelaki.

 Seorang pemimpin dari salah satu qabilah arab yang bernama Qais telah menceritakan pengalaman hidupnya membunuh anak perempuannya hidup-hidup. Apabila isterinya melahirkan anak perempuan, lalu diberikan anak itu kepada keluarganya untuk dipelihara. Dia memberitahu kepada suaminya bahawa kandungannya itu telah melahirkan seorang anak lelaki yang tidak bernyawa. Qais percaya apa yang diceritakan oleh isterinya. Setelah beberapa tahun, anak perempuannya mula membesar, lalu ia datang untuk menziarahi ibunya. Ketika ibunya sedang menyikat rambut si anak perempuan, datang Qais bertanyakan perihal anak itu, lalu dijawab: “ Inilah anak kita…!”

Qais berkata dalam hatinya: Ketika itu sabarlah aku menunggu saat dan ketika, aku akan bawa anak ini ke suatu tempat untuk dikuburkan. Setelah kubur digali, aku mencampakkan anak itu ke dalam lubung.

            Anak itu berkata: “ Bapa! Apakah yang hendak bapa lakukan pada saya ?” Qais tidak menghiraukan kata-kata anak kecilnya itu. Anaknya berkata lagi: “ Bapa! Adakah bapa hendak menguburkan saya hidup-hidup ?” Qais tidak langsung memperdulikan rintihan anak kecilnya itu sehingga tiada lagi kedengaran suara rintihan. Di saat itulah, timbulnya perasaan belas kasihan di dalam hatinya.

            Allah Ta’ala telah mendedahkan tentang sikap dan perilaku orang-orang arab jahiliyah apabila mereka memperolehi anak perempuan.

Firman Allah Ta’ala:

وَإِذَا بُشِّرَ أَحَدُهُمْ بِالآنْثَىٰ ظَلَّ وَجْهُهُ مُسْوَدًّا وَهُوَ كَظِيمٌ يَتَوَارَىٰ مِنَ الْقَوْمِ مِنْ سُوءِ مَا بُشِّرَ بِهِ ۚ أَيُمْسِكُهُ عَلَىٰ هُونٍ أَمْ يَدُسُّهُ فِي التُّرَابِ ۗ أَلاَ سَاءَ مَا يَحْكُمُونَ

Maksudnya: “ Dan apabila seseorang dari mereka diberi khabar dengan kelahiran anak perempuan, mukanya menjadi hitam dan sangat berduka-cita. Dia menyembunyikan diri dari orang ramai disebabkan buruknya berita yang disampaikan kepadanya, apakah yang dipeliharanya akan menanggung malu atau akan dikuburkannya supaya hancur di dalam tanah..? Ingatlah, bahawa amat buruk keputusan mereka “ (An Nahl: 58-59).


Firman Allah Ta’ala:

وَإذا الموَؤودة سئلت بأىّ ذِنْبٍ قتلتْ

Maksudnya: “ Dan apabila bayi-bayi perempuan yang dikuburkan hidup-hidup dan ditanya, kerana apakah mereka dibunuh “ (At Taqwir: 8-9).

Di zaman jahiliyah ini juga, lelaki bebas berkahwin seberapa ramai dengan wanita yang dia suka. Pernah berlaku, ‘Urwah bin Mas’ud telah memiliki sepuluh orang isteri sebelum Islam, tetapi setelah Islam datang menjelma, dia mengekalkan empat orang isterinya sahaja dan dipisahkan enam yang lain. Di zaman ini juga, wanita yang kematian suami hendaklah diasingkan dan dikehendaki memakai pakaian yang buruk-buruk serta dilarang memakai bau-bauan selama setahun. Setelah setahun, dibawa kepada wanita itu seekor kambing atau biri-biri untuk disentuh kemaluannya kepada binatang tersebut. Sesudah itu, lalu diberi kotoran kepadanya dan kemudian barulah dia bebas untuk keluar rumah.

Menjadi adab kebiasaan jahiliyah, wanita yang kematian suami akan diwarisi oleh anak lelaki dari bapanya. Wanita tersebut akan menjadi isteri kepada anak tirinya yang lelaki. Demikianlah hinanya kaum wanita di zaman jahiliyah.




Sekian, wassalam


Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb,
Lutpi Mustafa El-Batnani



MUSLIMAT DI BAWAH PENGAWASAN ALLAH


Ukhti muslimat! Sesungguh perjalanan itu masih lagi jauh dan perjalanan itu memerlukan bekalan yang cukup untuk sampai ke seberang sana. Perjalanan hidup memerlukan masa yang panjang dan ruang waktu yang agak lama, ianya juga memerlukan usaha dan sebuah pergorbanan, kerana semasa perjalanan di sana mungkin terdapat beberapa musibah yang datang menimpa dan beberapa halangan yang datang menjelma.Perjalanan hidup itu memerlukan suatu perancangan yang rapi dan memerlukan sedikit perbelanjaan untuk menampung kos saraan yang bertujuan menghadapi apa-apa kemungkinan yang akan berlaku.

Demikianlah wahai ukhti muslimat..! Bahawa kehidupan itu merupakan suatu perjalanan yang memerlukan pergantungan yang erat untuk mencapaikan matlamat yang diharapkan. Kita memerlukan suatu tempat untuk bergantung dan berteduh sementara meneruskan perjalanan agar impian yang kita harapkan itu pasti tercapai. Sesungguhnya manusia yang hanya mempunyai pergantungan hidup dengan ketuhanan Allah sahaja yang layak mendapat  petunjuk dan hidayat dariNya, dia telah mengikat erat hubungannya dengan Allah, Tuhan Yang  Maha Esa san Tuhan Yang Maha Berkuasa, dua telah menjadi manusia yang sentiasa mempunyai pertalian yang erat dan tidak mungkin dapat dirungkaikan, kerana hubungan yang begitu erat dan kuat. Namun, seandainya wanita hari ini tidak lagi memperlihatkan nilai-nilai kehidupan yang sebenar kerana lebih suka mengenakan cara hidup barat dari cara hidup Islam, sama ada cara mereka berpakaian dan cara mereka mengenakan pakaian, cara mereka bergaul di antara lelaki dan juga sesama mereka, cara pemikiran mereka yang merasakan tidak mengapa tidak menutup aurat, kerana mereka sudah biasa dengan keadaan tidak menutup aurat dan ianya juga telah menjadi adat kebiasaan dan pelbagai perkara lagi, jika demikian bagaimana mereka dapat hidup di bawah pengawasan Allah dan bagaimana mereka mahu bergantung kepada Allah dan bagaimana pula Allah mahu memancarkan cahaya petunjuk ke dalam diri mereka sedangkan apa yang disuruh oleh Allah tidak dipatuhinya..?

Firman Allah Ta’ala:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِذَا جَاءَكَ الْمُؤْمِنَاتُ يُبَايِعْنَكَ عَلَىٰ أَنْ لاَ يُشْرِكْنَ بِاللَّهِ شَيْئًا وَلاَ يَسْرِقْنَ وَلاَ يَزْنِينَ وَلاَ يَقْتُلْنَ أَوْلاَدَهُنَّ وَلاَ يَأْتِينَ بِبُهْتَانٍ يَفْتَرِينَهُ بَيْنَ أَيْدِيهِنَّ وَأَرْجُلِهِنَّ وَلاَ يَعْصِينَكَ فِي مَعْرُوفٍ ۙ فَبَايِعْهُنَّ وَاسْتَغْفِرْ لَهُنَّ اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Nabi! Apabila orang-orang perempuan yang beriman datang kepadamu untuk memberi pengakuan taat setia, bahawa mereka tidak akan melakukan syirik kepada Allah dengan sesuatu pun dan mereka tidak akan mencuri dan mereka tidak akan berzina dan mereka tidak akan membunuh anak-anaknya dan mereka tidak akan melakukan sesuatu perkara dusta yang mereka ada-adakan dari kemahuan hati mereka, dan mereka tidak akan menderhaka kepadamu dalam sesuatu perkara yang baik, maka terimalah pengakuan taat setia mereka dan pohonkanlah kepada Allah mengampuni dosa mereka; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani” (Mumtahana: 12)

            Ukhti muslimat..! Sesungguhnya nilai-nilai wanita mestilah menepati peradaban hidup Islam yang terkandung di dalam acuan syari’atnya dan setiap individu muslim yang mempunyai pertalian hidup dengan Allah mesti meletakkan syari’at Islam ini dalam manhaj hidupnya untuk diprogramkan dan dilaksanakan.

            Amat benar sekali, kekuatan Islam dan ajarannya itu adalah terletak ke atas bahu para penganutnya termasuk wanita yang ada pada hari ini, kerana Islam dan ajarannya tidak berupaya untuk bangkit dengan sendiri dan tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk bergerak dan menyebarkan ajarannya. Sebab itu, tugas dan tanggungjawab menyebarkan Islam dan ajarannya adalah terletak ke atas para pengikutnya, mereka hendaklah berganding bahu di antara satu sama lain lelaki dan wanita keluar membawa risalah dakwah ke dalam masyarakat supaya mereka semua kembali ke pangkuan Allah, Tuhan Yang Maha Perkasa. Islam tidak akan hidup dalamsesebuah masyarakat dan tidak mampu berbuat apa-apa seandainya para pengikutnya tidak berupaya membawa bingkisannya itu untuk diletakkan ke dalam masyarakat. Maka, mereka mesti memprogramkan kehidupan Islam itu sebagai suatu cara hidup dalam diri mereka dan apabila jiwa Islam menjadi sebati dengan darah daging mereka dan di sana mereka berhak mendapat cahaya petunjuk dari Allah untuk diserapkan ke dalam hati sanubari dan jiwa nurani mereka.


Sekian, wassalam.


Al Faqir Ila 'Afwi Rabb,
Lutpi Mustafa El-Batnani