PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Wednesday 30 May 2012

PERANAN PELAJAR


Ini merupakan persimpangan dan langkah permulaan dalam perjalanan setiap pelajar, langkah untuk memusatkan target dalam pembelajarannya ke arah satu impian yang nanti akan membuahkan hasil yang baik. Setiap manusia hendaklah menjadikan dirinya sebagai seorang yang berguna, berguna terhadap dirinya dan berguna terhadap masyarakat. Kalaulah dia seorang yang berguna terhadap dirinya, bererti dia telah berjaya membentuk peribadinya sendiri untuk menjadi seorang yang unggul, seorang yang soleh dan seorang yang berjaya mengekalkan tabiat kehidupan yang berakhlak, secara tidak langsung dia akan berguna kepada masyarakat untuk membentuk mereka dan memandukan mereka ke jalan yang benar. Menjadi seorang pelajar bererti dia cuba sedaya upaya melengkapkan diri sebagai seorang yang berguna dan sebagai seorang manusia yang boleh memberi manfaat dalam kehidupan, cuma tinggal lagi keikhlasan di dalam lubuk hatinya dan penghayatan hidup sebagai seorang pelajar sebagaimana yang digariskan dalam syarai'at Islam.

Berkata Abu Darda:

كُنْ عَالِمًا أوْ مُتَعَلِّمًا أوْ مُسْتَمِعًا وَلاَ تَكُنْ رَابِعًا

Maksudnya: " Jadikan kamu sebagai seorang yang alim atau seorang pelajar atau seorang pendengar, dan jangan kamu menjadi orang yang keempat ".

Khalifah Umar Abdul Aziz pernah bermadah:

تَعَلَّمْ فَلَيْسَ الْمَرْءُ يُوْلَدُ عَالِمًا    وَلَيْسَ أَخُوْ عِلْمٍ كَمَنْ هُوَ جَاهِلُ
وَإِنَّ كَبِيْرَ الْقَوْمِ لاَ عِلْمَ عِنْدَهُ    صَغِيْرٌ إِذَا الْتَفَّتْ عَلَيْهِ الْمَحَافِلُ

Maksudnya: " Tuntutlah ilmu, kerana manusia itu tidak dilahirkan terus menjadi seorang yang alim, dan orang yang alim tidak boleh disamakan dengan orang yang jahil, sesungguhnya pemimpin sesuatu kaum yang tidak memiliki ilmu pasti akan dipandang kecil apabila dikelilingi orang ramai yang berilmu ".

Mungkin di sana, sebelum seseorang itu melangkah ke alam pembelajaran secara khusus di mana-mana pusat pengajian, dia mempunyai banyak cita-cita yang terpendam di dalam jiwanya, dia mahu membentuk dirinya selari dengan apa yang dicitakan selama ini. Peluang untuk mencapai cita-cita dan impian itu sudah pasti akan menjadi kenyataan apabila dia menjadi seorang yang berpelajaran dan berpendidikan tinggi, walaupun tidak seratus peratus, tetapi sekurang-kurangnya dia dapat merasakan impian dan harapannya itu tidak akan terluka, peluang itu memang ada dan ternganga luas di hadapannya. Tetapi masalah sekarang, kalaulah cita-cita yang diharapkan itu terlalu banyak dan bercabang-cabang, nescaya jalan untuk mencapai cita-cita tersebut dipenuhi dengan liku-liku dan cabang-cabang yang boleh memeningkan kepala. Jika demikian, bagaimana seseorang pelajar itu dapat memusatkan target atau sasaran yang hendak dituju kalaulah terlalu banyak sangat cita-cita yang ada dalam diari fikirannya? Nanti pelajar tersebut akan rebah di tengah-tengah persimpangan jalan dan tidak terdaya lagi untuk bangun melangkah ke tempat yang lebih jauh lagi. Oleh sebab itu, setiap pelajar yang ingin muncul dengan cita-citanya, dengan impian dan harapannya mestilah memusatkan target dan sasaran dalam pengajian ilmu yang diterokai, secara tidak langsung dia akan dapat menumpukan perhatian sepenuhnya untuk menguasai bidang yang diterokai. Tidak kira di dalam apa jua bidang sekalipun, yang penting ialah pemusatan terhadap cita-citanya yang terpendam di dalam ruang fikirannya itu akan menjadi kenyataan di suatu hari nanti. Untuk menghasilkan suatu bentuk penyudahan yang baik dan sempurna, kesungguhan di dalam sesuatu usaha itu hendaklah menjadi amalan hidup seharian dan dipertingkatkan dari masa ke semasa, supaya ianya akan menjadi darah daging di dalam menjayakan cita-cita dan harapan. Usaha yang bersungguh-sungguh itu akan membentuk nilai-nilai keyakinan dalam diri supaya lebih optimis dan lebih confident, sebab itu seseorang pelajar yang mempunyai perancangan di masa hadapannya mestilah meletakkan satu kaedah dalam dirinya sendiri, iaitu belajar untuk melaksanakan, bukan sekadar untuk membaca dan mengetahui sahaja. Barulah kesungguhan yang diusahakan sejak dahulu lagi tidak menjadi beku dan berhenti begitu sahaja, kesungguhan itu akan terus terlaksana dalam impian hidup untuk menjadi suatu kenyataan apabila diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan.

Benarlah sabda Rasulullah s.a.w.

الكَلِمَةُ اَلْحِكْمَةُ ضَالَّةُ الْمُؤْمِنِ فَحَيْثُ وَجَدَهَا فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا

Maksudnya: " Perkataan yang bijaksana (ilmu) itu adalah sesuatu yang dicari oleh setiap mu’min, jika ia memperolehinya, maka dialah yang berhak menerimanya " (Riwayat At Tirmizi).

      Ilmu itu bagaikan lautan samudra yang luas terbentang, apabila seseorang itu menghulurkan tangannya ke dalam lautan tersebut, maka titisan air yang ada pada tangannya itulah yang ia dapat. Ilmu yang bagaimanakah yang perlu didahulukan oleh setiap pelajar untuk menjadi asas dalam kehidupannya dan untuk membentuk dirinya menjadi seorang yang berguna kepada dirinya, kepada masyarakatnya dan yang lebih penting di sana ialah berguna kepada ajaran agamanya..!

Sekian, wassalam


Al Faqir ila 'Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani





Thursday 3 May 2012

TALFIQ DAN MAZHAB


PENGENALAN
Persoalan mengenai hukum Talfiq (mengamalkan pendapat pelbagai mazhab dan tidak terikat dengan satu mazhab sahaja) tidak pernah dikenali pada zaman Rasulullah s.a.w. Malah, tidak juga pada zaman sahabat, tabi’in, tabi’ tabi’in dan juga pada zaman imam-imam mujtahid. Ia hanya timbul pada kurun ke-10 Hijrah sewaktu gejala taksub mazhab amat ketara di kalangan kaum muslimin sehingga kebanyakan ulama’ pada waktu itu mensyaratkan pada waktu itu agar tidak melakukan Talfiq.
  
PENGERTIAN TALFIQ DARI SEGI BAHASA
Talfiq dalam bahasa Arab merupakan kata masdar (kata nama terbitan) daripada fi’il (kata kerja)laffaqa yang bermaksud mencantumkan. Contohnya, mencantumkan dua bahagian kain untuk dijadikan pakain. Talfiq mempunyai makna yang lebih umum dan tidak terhad kepada pakaian sahaja. Malah ia membawa maksud mencantumkan apa sahaja.

PENGERTIAN TALFIQ DARI SEGI ISTILAH
Dalam konteks perbincangan Ilmu Fiqh dan Usul al-Fiqh, istilah Talfiq dilihat tidak lari daripada konsep asalnya, iaitu penggabungan dua unsur atau lebih.
  
PENGERTIAN TALFIQ DALAM ILMU FIQH
Di dalam bab haid, Talfiq bererti menggabungkan antara hari haid dan hari suci untuk dikira sebagai tempoh haid. Jika berlaku selang-seli antara hari yang didatangi haid dan hari suci dalam tempoh minimum untuk haid seorang wanita. Contohnya, seorang wanita didatangi haid pada hari pertama. Pada hari kedua pula haidnya terhenti dan datang semula pada hari ketiga. Dalam kes ini, wanita itu dikira telah didatangi haid selama tiga hari. Ini bermakna hari kedua dicampurkan dengan hari pertama dan ketiga dan dikira sebagai hari haid walaupun pada hari itu dia telah terputus haid. Konsep menggabungkan hari kedua yang suci ini dengan hari pertama dan ketiga yang disebut sebagaiTalfiq dalam bab haid.
  
       Manakala di dalam bab solat Jumaat pula, Talfiq bererti menggabungkan rakaat pertama yang tertinggal oleh makmum yang masbuk dengan rakaat yang lain secara sendirian untuk dikira solatnya sebagai solat jumaat.[2] Rakaat pertama dinamakan sebagai rakaat mulaffaqah ataupun rakaat yang ditalfiqkan.
  
       Di dalam bab Solat Qasar pula, Talfiq bermaksud menggabungkan antara dua jarak safar (perjalanan) bagi sesiapa yang bermusafir di lautan dan di daratan. Contohnya, seseorang itu telah bermusafir di daratan dalam jarak yang belum mencukupi untuknya melakukan qasar, kemudian beliau menyambung perjalanannya di laut. Jika digabungkan antara dua jarak perjalanan itu, barulah cukup baginya untuk melakukan qasar. Perbuatan menggabungkan antara dua jarak perjalanan itu dikira sebagai Talfiq dalam bab solat. Konsep Talfiq dalam Ilmu Fiqh juga sering diistilahkan oleh para fuqaha dengan istilah taqdir.
  
PENGERTIAN TALFIQ DALAM ILMU USUL AL-FIQH
Talfiq dalam ilmu Usul al-Fiqh diistilahkan mengikut bahagian-bahagiannya seperti berikut:
  
Pertama:Ia didefinasikan sebagai melakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh para mujtahid jika ia merupakan perlakuan menggabungkan antara pendapat dari pelbagai mazhab dalam sesuatu perkara.
  
Kedua: Talfiq juga membawa erti menggabungkan dua mazhab atau lebih dalam sesuatu masalah. Contohnya orang yang berwuduk membasuh sedikit kepalanya berdasarkan Mazhab Syafi’e. Kemudian, menyapu sahaja kakinya, tanpa membasuhnya mengikut sesetengah ulama’. Kemudian menyentuh perempuan ajnabi tetapi wuduknya tidak batal dengan mengambil Mazhab Abu Hanifah. Penggabungan ini juga dinamakan sebagai hukum murakkabah.

Ketiga: Talfiq juga difahami oleh sesetengah golongan sebagai ketidakterikatan seseorang muslim itu dengan sesuatu mazhab. Bahkan mengamalkan pendapat pelbagai mazhab dalam pelbagai perkara. Contohnya bersolat dengan Mazhab Hanafi, berpuasa menurut Mazhab Maliki, bermuamalat dengan Mazhab Syafi’e dan sebagainya. Perbuatan seperti ini juga digelar sebagai takhayyur yang bermaksud memilih mazhab.

PENGERTIAN MAZHAB
 Mazhab dari segi bahasa bermaksud :( الطريق الذي يذهب فيه)“Jalan yang diselusuri untuk pergi ataupun yang dilalui”. Ianya juga digunakan untuk segala perkara yang manusia pergi ke arahnya, samada perkara itu berbentuk hissi (material) mahupun maknawi. Dalam Lisan al-Arab, mazhab juga dikenali sebagai tempat yang dituju untuk berwuduk dan juga iktikad yang dipegang oleh seseorang. Walau bagaimanapun, penggunaan mazhab seringkali digunakan untuk menunjukkan jalan dan cara yang diselusuri oleh seseorang atau sesuatu kumpulan, samada dalam bidang akidah ataupun hukum-hakam dan lain-lain lagi. Jalan atau cara tersebut juga tidak dinamakan sebagai mazhab yang dinisbahkan kepada seseorang kecuali jika ia khusus untuk orang itu dan tidak dilakukan untuk orang lain. Namun begitu, cara makan, minum dan tidur yang dimiliki khusus oleh seseorang itu tidak pula dinamakan sebagai mazhab kerana istilah mazhab yang digunakan oleh para ilmuan ialah sesuatu kaedah yang terhasil daripada usaha penelitian dan pengkajian yang akhirnya digunakan oleh pengkaji atau pemiliknya untuk menyusuri disiplin ilmu tertentu.

             Di dalam al-Mu’jam al-Wasiit, mazhab juga digunakan dalam bahasa Arab sebagai “sekumpulan pandangan dan pendapat ilmiah dan falsafah yang berkaitan antara satu sama lain sehingga menjadikannya sebagai perkara yang bersangkutan antara satu sama lain ataupun yang berpaksikan pada satu kaedah”. Berdasarkan definisi ini, perkataan mazhab boleh disimpulkan sebagai gugusan pandangan dan pendapat yang berpaksikan kaedah yang sama dalam memahami sesuatu perkara dan ilmu yang khusus kepada individu ataupun kumpulan tertentu. Sebagai contohnya, mazhab ilmu kalam adalah kaedah yang khusus digunakan oleh ahli kalam dalam memahami ilmu akidah yang akhirnya menghasilkan pendapat mereka dalam persoalan akidah. Mazhab-mazhab feqah pula ialah kaedah khusus yang digunakan oleh para fuqaha’ (ulama’ feqah) dalam memahami al-Quran dan al-Sunnah untuk mengeluarkan hukum-hukum syari’at. Ini bermaksud, mazhab mereka hanya khusus kepada ilmu yang berkaitan dengan hukum-hakam yang telah terhasil. Ia juga dikenali sebagai ilmu fiqh dan bukannya ilmu lain seperti usul al-Fiqh dan akidah.

Sekian, wassalam.

Tuesday 1 May 2012

ULAMA DALAM BIDANG ILMU FIQH


Di bawah ini kami nyatakan beberapa orang tokoh-tokoh ulama yang terkenal dalam bidang fiqh Islam dan mempunyai pengaruh yang besar sehingga idea dan pemikiran mereka berjaya menguasai umat Islam di seluruh dunia. Pandangan dan buah fikiran mereka telah mengubah suasana kehidupan serta menjadi pegangan hidup dalam aliran mazhab di seluruh pelusuk dunia. Di samping mazhab-mazhab yang empat, iaitu; Mazhab Maliki, Mazhab Hanafi, Mazhab Syafi’ei dan Mazhab Hanbali, di sana terdapat mazhab-mazhab lainnya yang termasuk dalam mazhab kecil yang tidak mempunyai para pengikut yang ramai, seperti Mazhab Ath Thauri, An Nakha’ei, At Tabari, Al Auza’ei dan Az Zahiri, kami hanya menyatakan mazhab-mazhab yang empat sahaja.

1. Imam Malik Bin Anas (93-179H/172-258M)
Beliau ialah Malik bin Anas bin Malik bin Abu Amar Al Ashbahi Al Madani, dilahirkan di Madinah pada tahun 93H, beliau berasal daripada keturunan Arab yang sangat dihormati dan beliau juga adalah pengasas dalam Mazhab Maliki, merupakan seorang ulama besar yang menetap di Madinah dan mempunyai pengaruh yang besar terhadap dunia Islam. Dinisbahkan kepada beliau Al Ashbahi, kerana nenek moyang beliau berasal dari sebuah kabilah bangsa arab bernama Ashbah dan berhijrah dari Yaman menetap di Madinah. Manakala dinisbahkan pula dengan Al Madani, kerana beliau lahir di Madinah. Beliau adalah anak dari salah seorang ulama besar tabi’ein bernama Anas bin Malik. Ibu beliau bernama ‘Aliyah binti Syariek Al Adziyyah. Beliau merupakan seorang hartawan dan dermawan dan menggunakan hartanya untuk menolong golongan yang susah, beliau adalah seorang ulama yang warak, taat dan patuh kepada Allah serta kuat beribadat terutama sekali pada waktu malam.

Sejak kecil beliau menghafaz Al Quran dan hadith, dan beliau mempunyai kecerdasan akal fikiran yang luar biasa sehingga dapat mengingati semua hadith yang disampaikan oleh gurunya setelah mendengarnya secara lisan. Beliau pernah belajar daripada 900 orang guru dan sebahagian daripadanya terdiri dalam kalangan ulama tabi’ein ketika Kota Madinah menjadi pusat perkembangan ilmu pengetahuan. Di antara tokoh-tokoh ulama besar yang pernah beliau menuntut ilmu dengan mereka ialah Nafi’ bin Abi Nuaim, Ibn Syihab Al Zuhri, Abu Zinad, Hasyim bin Urwa, Yahya bin Said Al Anshari, Muhammad bin Munkadir, Abdul Rahman bin Hurmuz dan Abdullah bin Dinar. Beliau pernah berguru dengan ulama sufi, iaitu Imam Musa Kadzim, Maaruf Al Khurki dan Imam Ja’afar As Shodiq. Berkat kerajinan dan usaha gigih beliau dalam menuntut ilmu pengetahuan, akhirnya Imam Malik muncul sebagai ulama fiqh yang terbesar dan unggul di seluruh Madinah. Menurut satu riwayat, Imam Malik telah menghabiskan umurnya selama 40 tahun untuk menghimpunkan dan menapis hadith-hadith yang diterima daripada gurunya. Imam Malik telah menghafaz sebanyak 100,000 buah hadith. Walau bagaimanapun tidak semua hadith-hadith tersebut diterima untuk dijadikan sumber hukum. Maka, setelah ditapis hanya 10,000 buah hadith sahaja yang boleh diguna-pakai, manakala daripada 10,000 buah hadith yang telah dikenAl pasti dan dipadankan dengan Al Quran dan hanya 5,000 buah hadith sahaja yang benar-benar diterima sebagai hadith dari Nabi s.a.w. yang sahih dan dimuatkan dalam kitabnya Al Muwatta’ yang merupakan kitab yang agung menjadi bahan rujukan sehingga ke hari ini. Selain dari Al Muwatta', Imam Malik juga menyusun kitab Al Mudawwanah Al Kubra, yang berisi fatwa-fatwa dan jawaban Imam Malik mengenai pelbagai persoalan, Risalah Fi Al Qadar yang dikirimkan kepada Abdullah bin Wahb, An Nujum Wa Manazil Al Qamar, Risalah Fi Al Aqdhiyah, Kitab As Sir, Risalah Ila Laits Fi ljma Ahlil Madinah dan lain-lain. Beliau adalah seorang ulama Islam yang sangat berhati-hati dalam mengeluarkan sesuatu hukum dan fatwa, beliau merujuk kepada Al Quran dan hadith sebagai sumber asas, kemudian beliau merujuk kepada ijmak, qiyas dan al maslahah al mursalah serta sumber yang diambil dari penduduk Madinah. Menurut satu riwayat, dinyatakan bahawa murid Imam Malik yang terkenal mencapai 1,300 orang termasuk Imam Abu Hanifah dan Imam Syafi’ei. Di antara mereka yang sangat terkenal adalah Ishaq bin Abdullah bin Abu Thalhah, Ayyub bin Abu Tamimah As Sakhtiyani, Ayyub bin Habiib Al Juhani, Ibrahim bin ‘Uqbah, Isma’il bin Abi Hakim, Ibnl Mubarak, Al Qoththon, Ibn Mahdi, Ibn Wahb, Ibn Qosim, Al Qa’nabi, Abdullah bin Yusuf, Sa’id bin Manshur, Yahya bin Yahya al Andalusi, Yahya bin Bakir, Qutaibah Abu Mush’ab, Al Auza’i, Sufyan Ats Tsaury, Sufyan bin Uyainah dan Ismail Ibn Muhammad bin Sa’ad.

Di antara tokoh-tokoh ulama yang membawa aliran pemikiran beliau ialah Ibn Rusyd yang mengarang kitab Al Mudawwanah Al Kubra dan Bidayatul Mujtahid Wa Nihaayatul Muqtashid, Abu Muhammad Abdullah bin Zaid yang mengarang kitab Matan Ar Risalah Fi Al Fiqh Al Maliki, Shihabuddin Al Baghdadi yang mengarang kitab Aslu Al Madarik Syarh Irsyad Al Masalik Fi Fiqh Al Imam Malik dan Syeikh Ahmad as Sawi yang mengarang kitab Bulghah As Salik Li Aqrab Al Masalik.

Ketika Imam Malik beusia 54 tahun, beliau menjawat jawatan sebagai mufti di Madinah semasa pemerintahan Islam berada di bawah Khalifah Al Mansur yang berpusat di Baghdad. Ketika itu di Madinah dipimpin oleh seorang gabenor bernama Jaafar bin Sulaiman Al Hasymi. Imam Malik pernah mengeluarkan fatwa bahawa talak secara paksa oleh seseorang suami ke atas isteri tidak jatuh dan fatwa ini bertentangan dengan kehendak gabenor. Beliau memberi amaran keras kepada Imam Malik supaya menarik semula fatwa tersebut, tetapi Imam Malik enggan berbuat demikian. Akibatnya, beliau dihukum, didera dan diikat dengan tali dan dinaikkan ke atas punggung unta, lalu dibawa mengelilingi Kota Madinah supaya Imam Malik merasa malu dan menarik balik fatwanya. Namun, Imam Malik tetap dengan pendiriannya, kerana ketegasannya itu beliau dihukum dengan sebat sebanyak 70 kali menyebabkan tulang belakangnya hampir patah. Beliau telah meninggal dunia pada pagi hari Ahad bulan Rabi`ul Awal tahun 179H/ 789M ketika berusia 89 tahun dan jenazahnya ditanam di perkuburan Baqi, Madinah. Beliau meninggalkan tiga orang putera dan seorang puteri. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya, amin ya Rabb.

2. Imam Abu Hanifah (80-150H/699-767M)
Beliau ialah Nu’man bin Thabit bin Zufi’at At Tamimi merupakan pengasas dalam Mazhab Hanafi. Beliau dilahirkan pada tahun 80H/699M di Kufah. Dalam empat mazhab yang terkenal, hanya Imam Hanafi sahaja yang bukan dari bangsa arab, beliau adalah dari keturunan Parsi. Pendirian beliau sama dengan pendirian imam yang lain, iaitu sama-sama menegakkan Al Quran dan sunnah Nabi s.a.w. Menurut ahli sejarah, kemasyhuran nama beliau ada beberapa sebab kerana beliau mempunyai seorang anak lelaki bernama Hanifah, maka dengan sebab itu beliau diberi nama Abu Hanifah. Di katakan juga kerana sejak kecil lagi beliau sangat rajin dan menghayati setiap apa yang dipelajarinya, maka beliau dianggap seorang yang hanif, iaitu kecenderungan kepada agama, sebab itu beliau masyhur dengan gelaran Abu Hanifah. Dalam Bahasa Parsi, Hanifah bererti tinta dan Imam Hanafi sangat rajin menulis hadith-hadith, ke mana saja beliau pergi sentiasa membawa tinta, maka dengan sebab itu beliau dinamakan Abu Hanifah.

Beliau dilahirkan pada zaman pemerintahan Islam berada di bawah Khalifah Abdul Malik bin Marwan, dari pemerintahan Bani Umaiyah yang kelima. Kebijaksanaan Imam Hanafi tidak dapat diragukan lagi, beliau adalah seorang yang alim dalam ilmu fiqh, ilmu kalam dan ilmu hadith, di samping beliau juga bijak dalam ilmu kesusasteraan dan hikmah. Sejak dari kanak-kanak lagi beliau telah menghafal Al Quran dan kemudian mendalami ilmu pengetahuan tentang Al Quran dengan Imam Abu A’sim yang merupakan seorang ulama yang terkenal ketika itu. Beliau mempelajari ilmu fiqh dengan seorang ulama yang terkenal iaitu Humad Ibn Abu Sulaiman tidak kurang dari 18 tahun dan mempelajari ilmu hadith dari sahabat-sahabat Nabi s.a.w. seperti dari Anas Ibn Malik, Abdullah Ibn Aufa, Abu Tufail Ibn Amir dan lain-lain lagi. Selepas kematian gurunya, beliau pergi ke Mekah dan berguru dengan salah seorang murid Abdullah Ibn Abbas r.a. Imam Abu Hanifah terkenal sebagai seorang yang sangat alim dalam ilmu pengetahuan, terutama dalam ilmu fiqh, seorang ahli zuhud, tawadduk dan sangat pemurah. Beliau pernah berguru dengan ulama sufi bernama Imam Ja’afar As Shodiq.

Imam Abu Hanifah sebenarnya seorang peniaga kain dan seorang usahawan yang aktif, gabungan pemikiran usahawan dengan ilmu pengetahuan menghasilkan suatu pemikiran yang produktif. Beliau menggunakan Al Quran dan As Sunnah sebagai asas dalam konsep pemikiran ijtihad, di samping menggunakan kaedah qiyas dan istihsan. Namun, aliran pemikiran beliau tertumpu kepada ra’yu di mana beliau terkenal sebagai Ahlu Ar Ra`yu (ahli fikir) yang disifatkan sebagai ‘akal dalam ilmu pengetahuan’. Di antara kitab karangan beliau ialah Al Musu’un, Al Makha’rij dan Fiqh Akhbar. Beliau mempunyai empat orang murid yang masyhur yang mendokong aliran pemikiran beliau iaitu: Abu Yusuf, Zufar bin Al Hudhay bin Qays, Muhammad bin Al Hassan bin Farqad As Syaybani dan Al Hassan bin Ziyad Al Lu'lu'i.

Beliau tidak tertarik kepada apa-apa bentuk jawatan rasmi kerajaan ketika itu dan dengan sebab itu beliau pernah menolak jawatan hakim yang ditawarkan oleh Khalifah Al Mansur. Diriwayatkan, dengan sebab beliau menolak jawatan tersebut, beliau kemudiannya dimasukkan ke dalam penjara selama beberapa tahun dan dikenakan hukuman sebat. Imam Hanafi menolak semua tawaran yang diberikan oleh pihak kerajaan Umaiyah dan Abbasiyah adalah kerana beliau tidak setuju dengan corak pemerintahan ketika itu. Oleh sebab itu, pihak kerajaan berusaha mengajak Imam Hanafi untuk bekerjasama mengikut gerak langkah mereka, tetapi beliau enggan dan menolak semua tawaran yang diberikan. Tidak lama selepas itu, Imam Hanafi dipanggil oleh baginda untuk mengadap, lalu diberinya segelas air yang berisi racun dan memaksa beliau meminumnya. Setelah diminum air yang beracun itu Imam Hanafi kembali dimasukkan ke dalam penjara. Imam Hanafi wafat dalam keadaan menderita di penjara ketika berusia 70 tahun pada 150H/767M dan dimakamkan diperkuburan Khizra. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya, amin ya Rabb.

3. Imam Asy Syafi’ei (150-240H/717-820M)
Beliau ialah Muhammad bin Idris bin Abbas bin Uthman bin Syafi’ei bin Saib bin Abdul Yazid bin Hasyim bin Abdul Mutalib bin Abdul Manaf, beliau bertemu dengan keturunan Nabi Muhammad s.a.w. pada sebelah datuk baginda yang ketiga iaitu Abdul Manaf. Beliau dilahirkan di Ghazzah, daerah Palestin pada bulan Rejab 150H/767M. Beliau adalah pengasas dalam Mazhab Asy Syafi’ei. Sebelum beliau dilahirkan, ibunya bermimpi melihat sebutir bintang keluar dari perutnya lalu naik ke langit, kemudian bintang itu pecah jatuh bertaburan ke bumi menyebabkan cahayanya menerangi seluruh alam. Bapanya meninggal dunia semasa beliau masih dalam kandungan, semasa berumur dua tahun Imam Asy Syafi’ei dibawa oleh ibunya pergi Kota Makah. Imam Asy Syafi’ei  menghafal Al Quran sewaktu berumur 9 tahun dan menghafal Kitab Al Muwatha’ yang ditulis oleh Imam Malik ketika berumur 10 tahun, mula belajar di sisi Imam Malik ketika umurnya 13 tahun. Beliau mempunyai kecerdikan dan daya ingatan yang sangat luar biasa, sehingga dibenarkan memberikan fatwa sendiri oleh gurunya sewaktu berusia 15 tahun sewaktu mengajar di Masjidil Haram. Apabila ibunya membawa Imam Asy Syafi’ei untuk berguru dengan Imam Ismail Kustantani, seorang guru ilmu Al Quran yang terkenal waktu itu, Imam Ismail pada mulanya menolak kerana Imam Asy Syafi’ei  baru berusia 9 tahun sedangkan dia hanya menerima orang menjadi muridnya setelah berumur 12 tahun. Tetapi, setelah dia menguji hafalan dan ingatan Imam Asy Syafi’ei tentang Al Quraan, beliau amat tertarik dengan daya ingatannya dan terus mengambil Imam Asy Syafi’ei menjadi muridnya. Apabila Imam Ismail ada urusan lain, Imam Asy Syafi’ei pula disuruh menggantikan tempatnya mengajar di situ. Imam Asy Syafi’ei  juga amat meminati syair dan puisi, beliau pernah berguru dengan Mas’ab bin Zubair seorang penyair terkenal dan dalam masa 3 bulan sahaja beliau mampu menghafal 10,000 rangkap syair kaum Bani Huzail. Suatu ketika, beliau pernah memasuki pertandingan syair atas desakan kawan-kawannya dan mengalahkan gurunya Al Mas'ab. Imam Asy Syafi’ei  berguru pula dengan Imam Sufian Ainiah dalam ilmu hadith sehingga menjadi pakar dalam bidang hadith dan diberi kepercayaan oleh gurunya untuk mengajar menggantikannya sewaktu ketiadaannya. Selepas itu Imam Asy Syafi’ei berguru pula dengan Imam Muslim Al Zanji dalam bidang fiqh, akhirnya dia diakui oleh gurunya dan dibenarkan mengajar serta memberikan fatwa pula. Imam Asy Syafi’ei juga pernah belajar ilmu peperangan dan bermain senjata dengan gurunya iaitu Amiruddin, seorang bekas tentera, selepas itu beliau terkenal sebagai seorang pemanah yang handal. Imam Asy Syafi’ei pernah mengembara ke Madinah yang mengambil masa selama lapan hari dengan menaiki unta, dalam perjalanan beliau sempat mengkhatamkan Al Quran sebanyak 16 kali. Selepas itu Imam Asy Syafi’ei merantau pula ke Iraq untuk belajar dengan anak murid Imam Hanafi iaitu Imam Muhamad Al Hassan dan Imam Abu Yusof. Beliau telah menghafal Kitab Al Awsat karangan Imam Hanafi dalam masa tiga hari sahaja dan perkara ini telah mengejutkan kedua orang gurunya, kerana biasanya murid-murid mereka yang lain mengambil masa paling kurang satu tahun untuk menghafalnya. Imam Asy Syafi’ei  pernah berguru dengan ulama sufi yang bernama Syuhbban Ar Raie dan Abu Hamzah As Sufi.

Imam Asy Syafi’ei juga belajar ilmu firasat dengan Maulana Arif di Yaman, semasa di Yaman beliau berkahwin dengan wanita bernama Hamidah dari keturunan Khalifah Uthman Bin Affan dan dikurniakan tiga orang anak. Semasa di Najran, Imam Asy Syafi’ei telah difitnah oleh Gabenor As Saud kononnya Imam Asy Syafi’ei menghasut rakyat untuk menjatuhkan Kerajaan Abbasiyah yang diperintah oleh Khalifah Harun Ar Rashid. Akibat dari fitnah itu, Imam Asy Syafi’ei dan beberapa orang muridnya telah ditangkap, tangan dan kaki mereka dirantai dan mereka semua dipaksa berjalan kaki dari Najran ke Kota Kufah. Walau bagaimanapun dengan izin Allah, Imam Asy Syafi’ei terlepas dari hukuman oleh Khalifah dan orang yang memfitnah mendapat hukuman yang setimpal.

Dalam Mazhab Syafi’ei terdapat dua aliran mazhab, iaitu Mazhab Qadim yang merupakan pengikut pendapat Imam Asy Syafi’ei semasa beliau berada di Baghdad dan Mazhab Jadid yang merupakan pengikut beliau semasa berada di Mesir. Di antara murid Imam Asy Syafi’ei yang terkenal dalam Mazhab Qadim ialah Imam Ahmad bin Hanbal, Abu Tsur, Az Za'farani dan Al Karabisi, manakala murid beliau dalam Mazhab Jadid ialah Al Muzani, Al Buwaiti, Ar Rabi' Al Muradi yang digelar sebagai ‘Rawiyat Al Mazhab’ atau perawi mazhab. Mereka ini kesemuanya meninggal dunia pada kurun ketiga hijrah. Selepas itu menyusul pula generasi ulama lain yang mendokong aliran pemikiran Mazhab Imam Asy Syafi’ei, di antaranya ialah Imam Ibn Suraij dan Al Qaffal Al Kabir pada kurun keempat, kemudian Imam Al Mawardi, Abu Ishaq As Syirazi, Abu Muhammad Al Juwaini dan anaknya Imam Al Haramain serta Imam Al Baihaqi pada kurun kelima seterusnya Hujatul Islam Imam Ghazali, As Syasyi dan Al Baghawi pada kurun keenam, selepas itu muncul Imam An Nawawi dan Ar Rafi'ei yang digelar sebagai Syeikhul Mazhab, juga Ibn Daqiq Al 'Aid pada kurun ketujuh, Attaqi As Subki dan anaknya Attaj, Ibn Jama'ah dan Al Hisni pada kurun kelapan, Al Hafiz Ibn Hajar Al Asqalani dan Ibn Al Muqri pada kurun kesembilan. As Sakhawi, As Syihab Ar Ramli dan anaknya As Syams, Ibn Hajar Al Haitami, As Sayuthi dan Syeikh Zakaria Al Ansari pada kurun kesepuluh, As Syaribini, Al Qalyubi, Al Baijuri, Ibn Qasim, As Syabramallisi, Al Kurdi, As Saqqaf, Syatha, Al Malibari, Bafadhl, Al Masyhur, Al Jardani, Al Bujairimi Ali Khatib, Ba'isyn dan ramai lagi para fuqaha pada kurun-kurun yang terkemudian. 

Dasar dan kaedah dalam mazhabnya, Imam Asy Syafi’ei menggunakan Al Quran dan As Sunnah sebagai batu asas dalam mengeluarkan sesuatu hukum, di samping ijma’ dan qiyas sebagai kaedah yang seterusnya. Beliau juga tidak mengambil Istihsan sebagai dasar dalam mazhabnya dan menolak maslahah mursalah serta amalan penduduk Madinah. Imam Asy Syafi’ei pernah berkata: ”Jika ada sebuah hadith sahih bertentangan dengan perkataan ku, maka hadith yang sahih itu adalah mazhab ku, buanglah perkataanku di belakang tembok[1].” Di antara kitab Imam Asy Syafi’ei yang terkenal ialah Ar Risalah yang merupakan kitab pertama dalam ilmu usul fiqh yang ditulis secara tersusun, seterusnya kitab Al Umm, Kitab Al Imla Al Shaghir, Kitab Al Imla Al Kabir, Kitab Mukhtasar Al Muzni dan Kitab Mukhatsar Al Buwaithi yang dicetak dalam kitab Al Umm pada jilid yang akhir. Pada tahun 198 Hijrah, Imam Asy Syafi’ei telah berhijrah ke Mesir dan menetap di sana sehinggalah wafatnya, beliau mengajar di Masjid Amru Ibn Ash r.a. dalam pelbagai ilmu pengetahuan sehingga pada tahun 204H/ 820M beliau mengalami sakit buasir dan melemahkan tubuh badannya. Beliau meninggal dunia pada malam jumaat 28 Rejab 204H/820M di pangkuan muridnya Rabi’ei Ibn Sulaiman Al Jizi, di rumah Abdullah bin Hakam ketika berumur 54 tahun. Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Az Zaharah di Mesir. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya, amin ya Rabb.

4. Imam Ahmad Ibn Hanbal (164-241H/780-855M)
Beliau ialah Abu Abdullah Ahmad bin Muhammad bin Hanbal bin Hilal As Syaibani dan beliau juga adalah satu keturunan dengan Nabi Muhammad s.a.w. iaitu pada sebelah neneknya yang bernama Nazar bin Maad bin Adnan. Beliau dilahirkan di Baghdad pada bulan Rabiul Awal tahun 164H dan beliau adalah pengasas dalam Mazhab Hanbali. Semasa hidupnya, beliau merupakan seorang ahli sunnah yang terbesar, soleh dan sangat zuhud. Setengah ulama menganggap beliau adalah mujaddid pada abad ketiga Hijrah. Imam Ahmad bin Hanbal menghafal Al Quran sejak kecil dan pada umurnya 16 tahun beliau sudah menjadi penghafal hadith yang terkenal. Beliau meneruskan pengajian hadithnya dengan ramai guru dan pada penghujung hayatnya beliau telah menghafal lebih daripada sejuta hadith termasuk sanad perawinya. Pada tahun189H/ 805M Imam Ahmad bin Hanbal berhijrah ke Basrah, tidak lama kemudian ke Mekah dan ke Madinah untuk menuntut ilmu. Di sana beliau sempat duduk berguru dengan Imam Asy Syafi’ie. Di antara guru-gurunya yang masyhur ialah Abu Yusuf, Husseain Ibn Abi Hazim Al Washithi, Umar Ibn Abdullah Ibn Khalid, Abdul Rahman Ibn Mahdi dan Abu Bakar Ibn Iyasy. Pada tahun 198H Imam Ahmad bin Hanbal ke negeri Yaman pula untuk berguru dengan Abdul Razzaq Ibn Humam, seorang ahli hadith yang besar ketika itu, terkenal dengan kitabnya yang berjudul Al Musannaf. Dalam perjalanannya ini Imam Ahmad mula menulis hadith-hadith yang dihafalnya setelah sekian lama. Imam Ahmad bin Hanbal kembali semula ke Baghdad dan mula mengajar. Kehebatannya sebagai seorang ahli hadith dan pakar fiqh menarik perhatian orang ramai dan mereka mula berkumpul dan bertalaqqi dengannya untuk belajar bersama. Antara anak muridnya yang kemudian berjaya menjadi tokoh hadith terkenal ialah Imam Al Bukhari, Muslim dan Abu Daud. Imam Ahmad bin Hanbal tidak mengambil masoleh al mursalah sebagai kaedah pengeluaran sesuatu hukum kerana menurut beliau kebanyakan permasalahan yang berlaku terdapat dalam Al Quran, hadith dan juga qiyas. Walaupun bagaimanapun, beliau masih menggunakan kaedah ini sebagai kaedah mengistinbat hukum dengan mengambil maksud masoleh al mursalah dalam penggunaan qiyas. Apabila timbul masalah baru, beliau akan mencari titik persamaan dan membuat perbandingan antara masalah tersebut dengan masalah lama yang sedia ada, kemudian memutuskan hukumnya sebagai jalan penyelesaian. Penyelesaian tersebut kebiasaannya akan membawa kebaikan dan menolak kemudaratan kepada manusia.

Imam Ahmad pernah berguru dengan ulama sufi yang bernama Abu Hamzah As Sufi dan Bisyru Al Hafi. Imam Asy Syafi’ie adalah salah seorang guru beliau, mereka bertemu semasa berada di Mekah sewaktu menunaikan ibadat haji, ketika itu Imam Asy Syafi’ie mengajar di Masjidil Haram. Mereka kemudian bertemu kali kedua di Baghdad dan Imam Asy Syafi’ei pernah menasihati beliau supaya mengikutnya ke Mesir, tetapi niatnya tidak kesampaian. Menurut Az-Zahabiy, bilangan guru Imam Ahmad yang dia meriwayatkan daripada mereka dalam Al Musnad ialah lebih 280 orang, di antara guru-guru beliau yang masyhur ialah Al Qadhi Abu Yusuf , Hasyim bin Basyir, Mu`tamir bin Sulayman At Taymi, Abu Muhammad Al Basri, Jarir bin `Abdul Hamid bin Qurt, Muhammad bin Ja`far bin Ghundar Abu `Abdillah Al Basri Al Hazli, Waki` bin Al Jarrah Ibn Malih Ar Ru’asi Abu Sufyan Al Kufi, Sufyan bin `Uyaynah Ibn Maymun Al Hilali Al Kufi Abu Muhammad, Abdul Rahman bin Mahdi Ibn Hassan Al`Anbari Al Basri Al Lu’lu’iy dan lain-lain lagi.

Di antara kitab-kitab yang ditulis oleh Imam Ahmad  Kitab Al Irja’, As’ilatu `Ani, Ar Ruwati As Siqati Wadh Dhu`afa’, Al Asma’ Al Kuna, Al Asyribatu As Saghir, Al Asyribat Al Kabir, Kitab Al Imamah, Ahl A Milalu Wa Ar Riddah Wa Az Zanadiqah Al Watariq As Salati Wa Al Fara’idhi, Al Iman, Bab Ahkamu n-Nisa’, At Tarajjul, At Tarikh, At Tafsir, Al Masa’il, Al Musnad dan banyak lagi. Antara tokoh-tokoh ulama yang terkenal yang menyebarkan fahaman mazhabnya ialah Abu Bakr bin Hani’, Abu Qasim Al Kharqi, Muwaffiq Ad Din bin Qudamah, Syamsuddin bin Qudamah Al Maqdisi dan Taqiyyuddin Ahmad bin Taimiyah.

Imam Ahmad bin Hanbal pernah hidup di dalam penjara kerana kekerasannya menentang Mazhab Mu’tazilah yang menjadi mazhab rasmi kerajaan Abbasiyah ketika itu. Pihak kerajaan memaksa Imam Ahmad supaya menyatakan Al Quran itu makhluk, tetapi beliau menegaskan bahawa Al Quran bukan makhluk, tetapi Kalamullah. Dengan sebab itu, beliau disebat dalam penjara sehingga pengsan. Kerana ketegasan beliau dan tekanan dari orang ramai, akhirnya pihak pemerintah Abbasiyah terpaksa akur dan membebaskan beliau dari penjara. Imam Ahmad kemudiannya meneruskan pengajarannya kepada orang ramai sehinggalah kematiannya pada tahun 241H/856M, ketika berusia 77 tahun. Setelah mendengar kewafatan beliau, jenazah beliau disembahyangkan lebih dari 130,000 orang muslimin. Imam Ahmad bin Hanbal meninggalkan kepada dunia Islam kitab hadithnya yang terkenal iaitu Al Musnad yang mengandungi lebih kurang 30,000 hadith Nabi s.a.w. Dua orang anaknya meneruskan perjuangan bapa mereka berdua, iaitu Abdullah bin Ahmad dan Soleh bin Ahmad. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya, amin ya Rabb.


Sekian, wassalam

Al Faqir Ila 'Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani




[1] Lihat kitab Majmu' oleh: Imam An Nawawi, juz: 2, hal:63.

ULAMA DALAM BIDANG ILMU HADITH[1]

Di sana terdapat beberapa tokoh ulama dalam bidang hadith di mana kitab-kitab mereka menjadi rujukan penting terutamanya kepada para pelajar dan ahli ilmu sehingga ke hari ini. Berikut ini kami nyatakan biografi penting mengenai enam tokoh ulama hadith yang terkemuka, di mana kitab-kitab hadith mereka disebut sebagai ‘Sunan Sittah’. Cara mereka mengumpul hadith ialah dengan menemui tokoh-tokoh ulama ketika itu atau sesiapa sahaja yang dianggap ‘thiqhah’ secara manual, iaitu berjumpa seorang demi seorang untuk menerima hadith yang ditinggalkan Rasulullah s.a.w. Mereka mengembara ke tempat-tempat di mana para ulama ini berkumpul semata-mata untuk mengumpul hadith. Selepas itu mereka akan menapis hadith-hadith yang mereka terima secara periwayatan untuk mengetahui susur-galur hadith-hadith tersebut sama ada benar-benar dari Rasulullah s.a.w. atau sebaliknya. Secara tidak langsung, mereka akan mengetahui sesuatu hadith yang mereka terima itu sahih atau tidak. Apa yang unik mengenai ulama-ulama hadith ini ialah mereka semua bukan dari kalangan bangsa arab, tetapi mereka berjaya menguasai bidang ilmu yang sangat penting yang menjadi sumber hukum yang kedua selepas Al Quran.

1. Imam Bukhari (194-256H/810-870M)
Beliau ialah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin Al Mughirah Al Bukhari, dilahirkan di Bukhara pada 194H/ 810M, iaitu di wilayah Uzbekistan. Perkataan Bukhari itu ialah nisbah kepada nama tempat kelahiran beliau. Imam Bukhari adalah seorang ulama Islam yang menguasai pelbagai ilmu pengetahuan, tetapi beliau lebih menumpukan perhatian kepada ilmu hadith dan beliau di antara salah seorang penghafaz hadith Nabi s.a.w. di antara kitab-kitab karangan beliau ialah Jami’ie As Sahih, At Tarikh dan Ad Dhuafa’. Pada tahun 210H, beliau telah keluar bermusafir jauh ke Khurasan, Iraq, Mesir dan Syria semata-mata untuk mencari hadith Nabi s.a.w. yang ada pada tokoh-tokoh ulama ketika itu. Beliau mempelajari hadith lebih dari seribu orang guru dan mengumpulkan sekitar 600,000 hadith. Dari jumlah tersebut, beliau memilih perawi yang thiqhah sahaja untuk ditulis dan dimuatkan dalam kitab sahihnya, iaitu sebanyak 7562 buah hadith. Iman Bukhari meninggal dunia pada tahun 256H/870M di Hartank, sebuah tempat yang terletak di Samarkhand. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau, amin.

2. Imam Muslim (204-261H/820-875M)
Beliau ialah Muslim bin Hajjaj bin Muslim Al Quraisyi An Naisaburi, dilahirkan di Naisabur pada tahun 204H/820M, iaitu di Iran. Imam Muslim telah mengembara ke serata tempat termasuk ke Hijaz, Mesir, Syam dan Iraq semata-mata untuk mengumpul hadith. Di antara kitab beliau yang terkenal ialah Kitab Sahih Muslim yang memuatkan hadith-hadith yang sahih. Di antara karyanya yang lain ialah Al Musnad Al Kabir, Al Jami’ie, Al Kinaawa Al Asma’, Al Afrad Wal Wihdan, Tasmiyah Syuyukh Malik Wa Sufyan Wa Syu’bah, Kitab Al Mukhadhramin dan Kitab Aulad As Sohabah. Di dalam Kitab Sahih Muslim terdapat 3033 buah hadith yang sahih setelah beliau membuat penelitian dan tapisan terhadap hadith-hadith yang beliau kumpul secara berulang-ulang. Imam Muslim meninggal dunia di Kota Naisabur pada tahun 261H/875M. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau, amin.

3. Imam Abu Daud (202-275H/817-889M)
Beliau ialah Sulaiman bin Al Asy’ath bin Ishaq bin Basyir Al Azdi As Sijistani, dilahirkan di Sijistan pada tahun 202H/817M, di Afghanistan. Beliau merupakan imam dan ahli hadith pada zaman tersebut dan keluar mengembara untuk mencari ilmu pengetahuan ke Iraq, Hijaz, Mesir dan Syam. Di antara kitabnya yang terkenal ialah As Sunan yang merupakan salah satu dari enam kitab hadith rujukan. Di dalam kitab tersebut, terdapat 5232 hadith yang dipilih dari 500,000 hadith yang dihafaznya. Manakala kitab-kitab lain karangan beliau ialah Kitab Az Zuhd, Al Ba’ts, Tasmiyah Al Ikhwah dan Al Akhbar Abi Daud yang disusun oleh Imam Al Juludi. Beliau meninggal dunia pada tahun 275H/889M di Basrah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau, amin.

4. Imam At Tirmizi (209-279H/824-892M)
Beliau ialah Muhammad bin Isa bin Saurah bin Musa As Silmi Al Bughi At Tirmizi, dilahirkan di Tirmiz pada tahun 209H/824M, iaitu di daerah Uzbekistan. Perkataan Tirmizi sebenarnya nisbah kepada tempat kelahiran beliau. Imam At Tirmizi mempelajari hadith dengan Imam Bukhari dan beberapa orang guru Imam Bukhari serta tokoh-tokoh ulama ketika itu. Beliau mengembara semata-mata untuk menuntut ilmu pengetahuan ke Khurasan, Iraq dan Hijaz. Pada penghujung kehidupannya, mata beliau menjadi buta, namun begitu beliau tetap menghafal hadith-hadith Nabi s.a.w. dan menjadi contoh teladan yang baik. Antara karya beliau ialah Al Jami’ei Al Kabir yang dikenal sebagai Sahih At Tirmizi, Kitab Asy Syamail Muhamadiyah, At Tarikh dan Al ’Ilal. Di dalam kitab Sahih Tirmizi terdapat 3956 buah hadith dan beliau meninggal dunia di Tirmiz pada tahun 279H/892M. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau, amin.

5. Imam An Nasa’ie (215-303H/830-915M)
Beliau ialah Ahmad bin Ali bin Syu’aib bin Ali bin Sinan bin Bahr bin Dinar, dilahirkan di Nasa pada tahun 215H/830M, itu di Turkemanistan. Perkataan Nasa’ie sebenarnya nisbah kepada tempat kelahiran beliau. Sebagaimana ulama-ulama hadith yang lain, beliau mengembara dan bermusafir ke Tiberistan, Qazwain, Iraq, Hijaz, Mesir dan Palestin untuk mencari ilmu sehingga  meninggal dunia di Palestin. Beliau menulis Kitab As Sunan An Nasa’ie yang merupakan kitab hadith yang terkenal. Ada pendapat mengatakan beliau meninggal dunia di Makah ketika menunaikan ibadah haji. Kitab-kitab beliau yang lain ialah Kitab As Sunan Al Kubra, Sunan As Sughra, Ad Dhuafa Wal Matrukun, Khasa’eis Ali dan Musnad Malik. Di dalam Kitab Sunan At Tirmizi terdapat 5769 buah hadith dan beliau meninggal dunia pada tahun 303H/915M di Baitul Maqdis, Palestin. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau, amin.

6. Imam Ibn Majah (209-273H/824-887M)
Beliau ialah Muhammad bin Yazid Ar Rabi’ Al Qazwaini, dilahirkan di Qazwain pada tahun 209H/824M, di Iran. Perkataan Majah adalah nisbah kepada ayahnya, Yazid yang juga dikenali sebagai Maula Rab’at. Beliau adalah seorang yang alim dalam ilmu hadith dan merupakan penduduk asli Qazwain yang terletak sebelah barat laut dari Kota Teheran. Beliau mengembara ke Basrah, Baghdad, Syam, Mesir dan Hijaz untuk mencari menimba ilmu pengetahuan. Karya beliau adalah Sunan Ibn Majah yang merupakan salah satu dari enam kitab hadith rujukan. Karya lain beliau ialah Tafsir Al Qur’an dan Tarikh Al Qazwain. Dalam Sunan Ibn Majah terdapat 4341 buah hadith dan sebanyak 3003 hadith juga terdapat dalam lima buah kitab hadith rujukan sebelum ini. Beliau meninggal dunia pada bulan Ramadan tahun 273H/887M di Qazwain 64 tahun. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau, amin.

Sekian, wassalam


Al Faqir Ila 'Afwi Rabb
Lutpi Mustafa Al Batnani




[1] Atlas Al Hadith Asy Syarif, oleh: Dr. Syauqi Abu Khalil

ULAMA DALAM BIDANG ILMU TAFSIR



Kelahiran ulama-ulama dalam pengajian Ilmu Tafsir ini merupakan bidang pengkhususan yang mereka ceburi atau kecenderungan mereka untuk memberi perhatian dan tumpuan yang lebih dalam bidangan yang berhubung-kait dengan penafsiran ayat-ayat suci Al Quran. Namun begitu, mereka juga alim dan mahir dalam ilmu-ilmu lain, seperti ilmu nahu bahasa arab, sastera arab, ilmu balaghah, ilmu fiqh, ilmu kalam dan lain-lain lagi, kerana ilmu-ilmu tersebut saling kait-mengait di antara satu sama lain apa sesuatu penafsiran ayat dibuat. Ada di antara ulama tafsir menafsirkan ayat mengikut nahu dan balaghah, ada di antara mereka menafsirkan ayat mengikut hukum fiqh dan ada pula yang menafsirkan sesuatu ayat mengikut konsep kesufian atau alam mistik. Di antara mereka ialah:

1. Imam At Tabari (225-310H/839M-923M)
Beliau ialah Abu Jaafar Muhammad bin Jarir At Tabari, tetapi beliau terkenal dengan nama At Tabari atau Ibn Jarir At Tabari. Beliau dilahirkan pada 225H/ 839M di Amul, Tabaristan, Iran tetapi beliau lebih banyak menghabiskan masanya di Kota Baghdad. Imam At Tabari menguasai banyak ilmu pengetahuan tetapi beliau lebih terkenal dalam bidang tafsir dan sejarah. Beliau berpindah ke Baghdad untuk menemui Imam Ahmad bin Hanbali, namun sebelum sampai di kota tersebut Imam Ahmad meninggal dunia 241H/855M. Beliau pergi ke Wasit dan Basrah untuk mengikuti beberapa kuliah di sana. Setelah itu beliau melanjutkan perjalanan ke Kufah untuk mendalami ilmu hadith dan ilmu yang berkaitan dengannya. Kemudian beliau kembali ke Baghdad untuk belajar ilmu Al Quran dan fiqh, khususnya fiqh imam Asy Syafi’ei. Pada 253H/867M, beliau pergi ke Fustat, Mesir dan singgah di Syria untuk belajar ilmu hadith. Setelah itu, beliau kembali semula ke Baghdad dan berjaya menulis pelbagai karya yang masih digunakan hingga hari ini. Ketika menulis kitab tafsirnya, Jami’eu Al Bayan Fi Tafsir Al Quran atau dikenali sebagai Tafsir At Tabari, beliau telah menggunakan kaedah menafsiran Tafsir Bi Al Ma’sur iaitu penafsiran Al Quran dengan Al Quran, dengan hadith dan ijtihad para sahabat. Kitab itu mengandungi penemuan hukum akidah dan fiqh yang disimpulkan daripada Al Quran. Karya sejarah beliau yang terkenal ialah Tarikh Ar Rusul Wa Al Muluk atau dikenali dengan nama Tarikh At Tabari. Kitab itu dianggap sebagai kitab sejarah Islam yang paling lengkap. Dalam kitab itu dimuatkan maklumat yang tidak pernah ditulis oleh sejarawan sebelumnya. Isi kitab itu terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian pertama mengandungi sejarah Arab, Parsi dan Rom sebelum Islam, manakala bahagian kedua mengandungi sejarah pasca-Islam. Kitab sejarah ini telah menjadi rujukan dan diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa. Imam At Tabari meninggal dunia ketika berusia 85 tahun di Baghdad pada 310H/923 M. Semoga Allah merahmati roh beliau, amin.

2. Imam Ibn Kathir (701-774H)
Beliau ialah Abu Al Fida’ Imaduddin Ismail bin Umar bin Kathir Al Qurasyi Al Bushrawi Ad Dimasyqi, lebih dikenal dengan nama Ibn Kathir. Beliau lahir pada tahun 701H di sebuah desa Kota Bashra di Syam. Pada usia empat tahun, ayahnya meninggal dunia dan beliau diasuh oleh bapa saudaranya. Pada tahun 706H, beliau berpindah dan menetap di kota Damsyiq. Di sana, beliau banyak menimba ilmu pengetahuan dari para ulama yang terkenal di kota tersebut, di antaranya ialah Syeikh Jamaluddin Yusuf bin Zaki Al Mizzi, salah seorang ahli hadith di Syam, kemudian Syeikh Jamaluddin menikahkan Ibn Kathir dengan puteri kesayangannya. Beliau sempat berguru dengan Syeikhul Islam Ibn Taimiyah, Syeikh Burhanuddin Ibrahim Al Fazari, Ibn Asyakir, Ibn Syairazi, Ishaq bin Yahya bin Al Amidi, Ibn Zarrad, Al Hafizh Ad Dzahabi dan lain-lain lagi. Beliau juga belajar di Mesir dan mendapat ijazah dari para ulama di sana, berkat usaha dan kegigihannya, akhirnya beliau menjadi seorang ahli tafsir dan ahli hadith serta sejarawan yang terkenal pada abad ke 8H. Kitab beliau dalam bidang tafsir ialah Tafsir Al Qur’an Al ‘Azim yang lebih dikenali sebagai Tafsir Ibn Kathir. Kitab tersebut menjadi kitab tafsir yang terbaik di samping kitab Tafsir At Tabari. Para ulama mengatakan bahawa Tafsir Ibn Kathir adalah sebaik-baik kitab tafsir kerana memiliki pelbagai keistimewaan, beliau menggunakan kaedah Tafsir Bi Al Ma’sur iaitu menafsiran Al Qur’an dengan Al Qur’an, menafsirkan Al Qur’an dengan As Sunnah, kemudian dengan perkataan para shahabat, tabi’in dan tabi’ tabi’ein, kemudian dengan kaedah-kaedah tatabahasa Arab. Selain tafsir, beliau juga menulis kitab-kitab lain yang sangat bermutu di antaranya adalah Al Bidayah Wa An Nihayah, Jami’eu Al Masanid, Ikhtisar ‘Ulum Al Hadith, Risalah Fi Al Jihad dan banyak lagi. Ibn Kathir meninggal dunia pada tahun 774H di Damsyiq dan dikuburkan di sebelah makam gurunya, Syeikhul Islam Ibn Taimiyah. Semoga Allah merahmati roh beliau, amin.

3. Imam Al Qurtubi (871H/1214-1273M)[1]
Beliau ialah Abu Abdillah Muhammad bin Ahmad bin Abu Bakr bin Farh Al Ansari Al Khazraji Al Andalusi Al Qurtubi, seorang ahli tafsir dari Cordova, Andalusia. Beliau berhijrah ke Mesir untuk menuntut ilmu dan menetap di kediaman Abu Khusaib di selatan Asyut, Mesir. Beliau adalah seorang hamba Allah yang soleh dan ulama yang arif, wara’ dan zuhud di dunia, yang sibuk menguruskan dirinya dengan urusan akhirat, sentiasa menghabiskan waktunya untuk memberikan bimbingan, beribadah dan menulis. Beliau sangat alim dalam bidang ilmu fiqh, nahu, qira`at, balaghah dan lughah, terkenal sebagai seorang penuntut ilmu yang sangat tekun. Di antara guru-guru beliau ialah Dharir bin Ali bin Futuh Al Uzdi Al Iskandarani Al Maliki, Al Alamah Bahauddin Abu Al Hassan Ali bin Hibatullah bin Salamah Al Misri Asy Syafi’ei, Abu Al Abbas Ahmad bin Umar bin Ibrahim Al Maliki, Al Hassan bin Muhammad bin Amruk At Taimi An Nisaburi dan lain-lain lagi. Kitab-kitab tulisan beliau ialah At Tazkirah Fi Ahwal Al Mauta Wa Umur Al Akhirah, At Tizkar Fi Afdlal Al Adzkar, Al Usna Fi Syarhi Asma illahi Al Husna, Syarhu At Taqashi, Al I’lam Bi Ma Fi Dinin Nashara Min Al Mafasid Wa Al Auham Wa Idhari Mahasini Din Al Islam, Qam’ul Hirshi Bi Az Zuhdi Wa A Qana’ah, Risalah Fi Alqab Al Hadith, Kitab Al  Aqdliyah, Al Mishbah Fi Al Jam’ei Baina Al Af’ali Wash Shihah dan lain-lain lagi. Kitab tafsirnya yang terkenal ialah Al Jami’ei Li Ahkam Al Qur’an yang dikenali sebagai Tafsir Imam Al Qurtubi. Keistimewaan kitab ini kerana di dalamnya diulas tentang hukum-hakam yang terkandung dalam sesuatu ayat Al Qur’an secara panjang lebar, dibawa hadith-hadith yang ditakhrij oleh beliau dan diungkapkan pula para perawinya. Dalam kaedah metodologi penulisan kitab tafsir, Imam Al Qurtubi banyak merujuk kitab-kitab tafsir yang dikarang sebelumnya dan menggunakan kaedah tafsir bil ma’tsur, qira’at, lughah, nahu, balaghah, fiqh, kajian hukum dan sebagainya. Beliau wafat pada malam Isnin, 9 Syawal tahun 871H, dimakamkan di Al Muniya terletak di sebelah timur Sungai Nil[2]. Semoga Allah merahmati roh beliau, amin.

4. Imam Fakhruddin Ar Razi (543-606H)
Beliau ialah Syeikhul Islam Muhammad bin Umar bin bin Al Hassan At Tamimi Al Bakri Al Qurasyi At Tibristani Ar Razi Asy Syafi’ei Al Asy’ari, digelar dengan Fakruddin. Dilahirkan pada 25 Ramadhan tahun 543H di Kota Ray, Teheran dan meninggal pada 606H di Herah. Bapanya seorang ulama yang terkenal di zaman itu yang bergelar Sheikh Al Khatib Ar-Ray sahabat Imam Al Bughawi dari keturunan Abu Bakr As Siddiq r.a. khalifah Islam yang pertama. Beliau mendapat pendidikan awal dari bapanya sehingga memiliki ilmu agama yang tinggi, pakar dalam ilmu kalam, tafsir, mantik dan falsafah. Imam Fakhruddin Ar Razi belajar ilmu dari ayahnya sampai ayahnya meninggal dunia, kemudian beliau belajar dengan ulama di Kota Ar Ray mengenai ilmu hikmat, ilmu kalam dan ilmu fiqh dengan Majdidin Al Jaili seorang ulam yang amat terkenal pada zaman tersebut. Beliau bukan sahaja alim dalam ilmu agama, tetapi juga seorang yang pakar dalam bidang ilmu perubatan Pada mulanya Imam Fakhruddin cenderung kepada Mazhab Mu’tazilah, tetapi kembali kepada Mazhab Ahli Sunnah wal Jama’ah setelah berlaku peristiwa perdebatan beliau dengan Sheikh Al Jubba’i. Dikatakan, Imam Fakhruddin menghafal semua karangan Imam Al Haramain dalam ilmu kalam, kemudian beliau menuju ke negeri Khawazim. Karya Imam Fakhruddin Ar Razi terbagi kepada tiga, karya dalam bahasa arab yang disiapkan sepenuhnya oleh beliau, karya bahasa arab yang disempurnakan oleh orang sesudah beliau dan karya beliau yang ditulis dalam bahasa Parsi. Di antara karya-karya tersebut Kitab Tafsir Al Kabir, Kitab Tafsir As Shaghir, Kitab Nihayah Al ‘Ukul, Kitab Al Mahshul Fi Ilmi Usul Fiqh, Kitab Al Mabahasul Masyriqiyah, Kitab Lubab Al Isyarat, Tafsir Al Kabir dan lain-lain. Kitab tafsir beliau yang terkenal iaitu Tafsir Al Kabir yang dikenali sebagai Kitab Tafsir Fakhruddin Ar Razi merupakan kitab tafsir yang sangat terkenal di kalangan pengkaji ilmu Tafsir Al Qur’an. Kaedah penafsiran digunakan ialah Tafsir Bi Ar Ra’yi Al Ma’thul, namun tafsir ini banyak istifadah yang boleh di ambil, menggunakan balaghah Al Qur’an dan lughah. Beliau memasukkan ke dalam tafsirnya itu ilmu perubatan, ilmu mantiq, falsafah dan hikmah, di ambilnya dari ayat-ayat Al Qur’an dan ruh ayat-ayatnya. Dalam Tafsir Al Kabir, Imam Fakhruddin Ar-Razi banyak menjelaskan tentang munasabah surah dan ayat dengan mengemukan ilmu riadiyah, tabi’iyah, fulkiyah, falsafiyah dan perbaHassan ilahiyah yang bersandarkan kepada akal yang sihat dan mengemukakan pendapat ulama. Walaupun Imam Fakhruddin tidak sempat menyiapkan tafsirnya, namun penulisan tafsirnya diteruskan oleh Syeikh Syihabuddin Al Haubi dari Damsyiq pada tahun 639H dan kemudian diselesaikan oleh Syeikh Najmuddin Al Qamuli pada 727H yang berasal dari Mesir. Beliau meninggal dunia pada 606H di Herah, semoga Allah merahmati roh beliau, amin.

5. Imam Al Alusi (1217-1270H)
Beliau ialah Abu Sana’ Syihabuddin As Syed Mahmud Afandi Al Alusi Al Baghdadi. Beliau dilahirkan pada hari Juma’at 14 Sya’ban pada tahun 1217H di daerah Kurkh, Iraq. Beliau termasuk dalam kalangan ulama besar di Iraq dalam pelbagai ilmu pengetahuan. Al Alusi adalah nisbah kepada suatu daerah di dekat sungai Eufrat antara Baghdad dan Syria. Sejak kecil lagi beliau diasuh oleh bapanya iaitu Syeikh Al Suwaidi dan Al Alusi juga pernah berguru dengan Syeikh Al Naqshabandi. Al Alusi lebih cenderung ke arah ilmu tasawuf, maka sewajarlah huraian dalam kitab tafsirnya beliau memasukkan perspektif  tasawuf untuk menguatkan lagi penafsiran dalam kitabnya. Beliau dilantik menjadi wali wakaf di madrasah Al Marjaniyyah dan pada tahun 1248H beliau dilantik menjadi mufti. Namun kemudian pada tahun 1263H beliau melepaskan jawatan tersebut dan menumpukan perhatian untuk menulis tafsir Al Qur’an yang kemudian dikenali sebagai Tafsir Ruh Al Ma’ani. Aliran penafsiran beliau lebih menumpukan perhatian kepada alam mistik yang menekankan konsep spiritual. Kaedah metodologi penafsiran Al Alusi mempunyai nuansa sufistik berpegang kepada unsur-unsur keagamaan yang kuat. Dalam tafsir ini Al Alusi memuatkan pendapat dan pandangan para mufassir sebelumnya agar tafsir ini mempunyai kepercayaan dalam kalangan ulama-ulama yang mengkajinya, beliau menggunakan cara tahlili dalam penerapan tafsir. Beliau adalah seorang yang akademik dan tidak hairanlah beliau dipanggil ‘Hujah Al Udaba’ sebagai tempat rujuk bagi para ulama pada zaman tersebut. Di antara karya-karya beliau yang lain ialah Hasyiah ‘Ala Al Qatr, Syarh As Salim, Al Ajwibah Al ‘Iraqiyah `An As ilah Al Lahoriyah, Al Ajwibah Al Iraqiyyah Ala As’ilah Al Iraniyyah, Durrah Al Gawas Fi Awham Al Khawass, Al Nafakhat Al Qudsiyyah Fi Adab Al Bahs lain-lain.  Tafsir beliau yang terkenal ialah Tafsir Ruh Al Ma’ani yang lebih dikenali sebagai Tafsir Al Alusi. Beliau wafat pada 25 Zulhijjah tahun 1270H dan dimakamkan bersebelahan makam Syeikh Ma’ruf Al Karakhi, salah seorang tokoh sufi yang sangat terkenal di Kota Kurkh.

6. Imam Zamaksyari (467-538H)
Beliau ialan Abu Al Qasim Mahmud bin Umar bin Muhammad bin Ahmad bin Umar Al Khawarizmi Az Zamakhsyari, dilahirkan pada hari Rabu 27 Rejab 467H di Zamakhsyar, suatu tempat di Khawarizmi terletak di wilayah Turkistan, Rusia. Beliau mendapat pendidikan awal di negerinya, kemudian pergi ke Bukhara untuk menimba ilmu pengetahuan. Beliau pernah berguru dengan Abu Al Hassan Ibn Al Mudzaffar Al Naisaburi, seorang penyair dan guru di Khawarizm yang memiliki beberapa karangan, di antaranya ialah Tahzib Diwan Al Adab, Tahdzib Ishlah Al Manthiq dan Diwan Al Syai’r. Kemudian, beliau mempelajari sastera dengan Abu Mudhar Mahmud Ibn Jarir Al Dhabbi Al Asfahani yang merupakan seorang tokoh dalam bidang bahasa dan nahu, yang merupakan guru yang sangat berpengaruh terhadap diri Al Zamakhsyari. Beliau pernah ke Mekah dan menetap lama di sana sehingga beliau digelar Jaarullah (Tetamu Allah)  dan selama berada di Mekah beliau menulis Kitab Al Kasyaf ‘An Haqa’iqit Tanzil Wa ‘Unuyil Aqawil Fi Wujuhit Ta’wil. Zamakhsyari adalah seorang mahir dalam bidang ilmu bahasa, ma’ani dan bayan. Dalam beberapa kitab sejarah tercatat bahawa beliau pernah berguru kepada seorang faqih dan ahli hadith, iaitu Abu Abdillah Muhammad Ibn Ali Al Damighani dan juga berguru dengan Abu Manshur Ibn Al Jawaliqi dalam bidang bahasa dan sastera. Untuk mendalami dasar-dasar ilmu nahu Sibawaih, beliau berguru dengan Abdullah Ibn Thalhah Al Yabiri. Imam Az Zamakhsyari hidup dalam keadaan membujang sebatang kara dan dikatakan faktor-faktor beliau berada dalam keadaan demikian ialah kerana dilanda kemelut kemiskinan, ketidakstabilan hidupn dan beliau adalah seorang yang cacat jasmani. Ditambah pula dengan kesibukannya mencari ilmu dan kecintaannya terhadap ilmu pengetahuan serta terlibat dalam penulisan menyebabkan beliau tidak mempunyai masa untuk memikirkan soal perkahwinan. Dalam persoalan fiqh, beliau berpegang kepada Mazhab Hanafi, tetapi dalam persoalan akidah, beliau bermazhab Mu’tazilah bermatian-matian membela mazhab tersebut. Imam Adz Dzahabi pernah berkata dalam kitabnya Al Mizan[3] bahawa Az Zamakhsyari adalah seorang yang layak diambil hadith, tetapi dia seorang penyeru kepada aliran Mu’tazilah, semoga Allah melindungi kita, oleh itu berhati-hati terhadap kitab Kasyaf karyanya. Sebagai seorang penulis, Az Zamakhsyari meninggalkan beberapa karya dalam beberapa bidang ilmu, di antaranya ialah Tafsir Al Kasyaf, Diwan Al Adab, Rabi’ Al Abrar, Asas Al Balaghah, A’jab Al‘Ajab Fi Syarh Lamiyat Al‘Arab, Al Anmudzaj Fi Al Nahwi, An Nashaih As Shighar, Al Fa’iq Fi Garib Al Hadith, Maqamaat Al Zamakhsyari dan Nawabi’ Al Kalam Fi Al Lughah[4]. Kitab tafsir beliau terkenal ialah Tafsir Al Kasyaf ‘An Haqa’iqit Tanzil Wa ‘Unuyil Aqawil Fi Wujuhit Ta’wil atau dikenali sebagai Tafsir Az Zamakhsyari. Kitab tafsir beliau adalah salah satu kitab tafsir yang menggunakan kaedah Tafsir Bi Al Ra’yi yang terkenal, yang dalam perbahasannya menggunakan pendekatan bahasa dan sastera. Penafsirannya terkadang ditinjau dari sudut mufradat dengan merujuk kepada ucapan-ucapan syair arab, nahu dan balaghah. Beliau wafat pada 538H, di Jurjaniyah Khawarizm setelah kembali dari Mekah, semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau, amin.


Sekian, wassalam

Al Faqir Ila 'Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani


[1] Biografi beliau terdapat dalam Al A’lam, oleh: Az Zirikli, juz: 5, hal: 322 dan Hadiyyah Al ‘Arifin, oleh: Al Babani, juz:2, hal:129
[2] Lihat kitab Al A’lam, oleh: Az Zirikli, juz: 5, hal: 322 dan Hadiyyah Al ‘Arifin, oleh: Al Babani, juz: 2, hal: 129.

[3]  Kitab Al Mizan, juz: 4, hal: 78
[4] Lihat kitab Mu’jam Al Udaba, oleh: Abu Abdillah Yaqut ibn Abdillah Al Rumi dan Thabaqatu Al Mufassirin oleh: Al Hafiz Syamsuddin Muhammad Ibn ‘Ali Ibn Ahmad Al Dawudi.