PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Sunday 29 July 2012

TINJAUAN I’JAZ DARI SUDUT KEINDAHAN SUSUNAN KATA



Al-Qur’an yang diturunkan oleh Allah bukan sahaja kitab yang mengandungi peraturan dan undang-undang serta hukum-hakam, bahkan ianya mempunyai nilai bahasa yang tinggi dan susunan kata yang sungguh menarik. Penerangan mengenai peraturan dan undang-undang serta hukum-hakam itu dihuraikan dalam bentuk keindahan bahasa yang teratur, dengan uslub dan gaya bahasa yang menarik dan mudah difahami, diolah mengikut elemen perundangan untuk mencapai maksud dan tujuan yang hendak disampaikan. Walaupun terdapat ayat-ayatnya yang ringkas dan bersahaja, tetapi ianya padat dengan isi pengajaran dan nilai-nilai balaghah yang bermutu tinggi.

1. Singkat Dan Padat
Kei’jazan ayat-ayat al-Qur’an yang ditinjau dari sudut keindahan susunan kata dapat disaksikan dalam pelbagai bentuk dan rupa. Di antaranya ialah  ayat-ayat ayat-ayat yang pendek dan singkat,[1] tetapi padat dan sarat dengan makna. Sebagai contoh, firman Allah yang terdapat dalam Surah al-Fatihah, ayat 5:

Firman Allah Ta’ala:

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ

Maksudnya: “Hanya Engkaulah yang kami abdikan dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan”.

            Ayat tersebut ringkas sahaja yang diulang-ulang perkataan (إِيَّاكَ) sebanyak dua kali. Dengan kalimah (إِيَّاكَ نَعْبُدُ) - “Hanya Engkaulah yang kami abdikan..”  bahawa Allah membatasi segala pengabdian atau ubudiyah hanya kepada diriNya semata-mata. Melalui ayat ini seseorang hamba hendaklah memutuskan bahawa pengabdian hanyalah semata-mata Allah, tidak harus nilai-nilai pengabdian itu dikait-kaitkan selain dari Allah. Pengabdian merupakan bentuk ketundukan hamba kepada Allah untuk mengikuti segala perintah dan meninggal segala laranganNya.[2]   Setelah menyebut: (إِيَّاكَ نَعْبُدُ) - “Hanya Engkaulah yang kami abdikan..”, lantas al-Qur’an menyebut pula: (وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ) - “Dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan. Perkara ini menunjukkan pengertian bahawa seseorang hamba itu tidak sekali-kali mengabdikan diri dan tidak akan percaya tuhan-tuhan selain dari Allah, dia juga tidak akan sekali-kali meminta apa-apa bentuk pertolongan atau bantuan selain hanya kepada Allah. Tujuan diletakkan kalimah (نَسْتَعِينُ) ‘minta pertolongan’ selepas kalimah (نَعْبُدُ) ‘pengabdian’ merupakan bentuk sopan santun ayat dalam pembahasaannya supaya mengabdikan diri kepada Allah terlebih dahulu, kemudian barulah meminta pertolongan kepadaNya. Dengan kata lain, sudah selayaknya seseorang hamba meminta sesuatu setelah dia terlebih dahulu mengerjakan apa yang diperintahkan. Adalah tidak beradab jika seseorang hamba meminta segala sesuatu terlebih dahulu, padahal dia belum melaksanakan apa yang diperintahkan.[3]  

2. Keindahan Dan Makna Yang Tepat
Ayat-ayat al-Qur’an mempunyai keindahan dari sudut susunan perkataan yang membawa kepada makna yang tepat,[4] sekalipun ayat-ayatnya pendek, hanya terdiri beberapa patah perkataan sahaja. Mari kita lihat contoh ungkapan ayat, sebagaimana yang terdapat dalam Surah Maryam, ayat 4:

وَاشْتَعَلَ الرَّأْسُ شَيْباً

Maksudnya: “Dan kepala ini dipenuhi dengan rambut uban”

            Susunan perkataan di atas memiliki keunggulan dan kekuatan yang tersendiri untuk menggambarkan tentang makna yang syumul dan menyeluruh. Ayat ini berkaitan dengan kisah Nabi Zakaria a.s. yang berdoa kepada Allah agar dikurniakan seorang anak lelaki untuk mewarisi risalah kenabian. Usia Nabi Zakaria a.s. sangat tua, sehingga rambut yang ada di atas kepala semuanya uban, tidak ada seuratpun yang berwarna hitam. Jumlah perkataan yang digunakan dalam susunan ayat tersebut hanya tiga patah perkataan sahaja, tetapi memiliki makna dan pengertian yang amat tepat. Makna syumul ayat di atas tidak akan tercakup apabila ungkapan atau gaya bahasa lain disusun seperti: (واشتعل شيب الرأس) ataupun (واشتعل الشيب في الرأس) kerana ianya memberi pengertian ‘ihtimal’ dan tidak menyeluruh, iaitu boleh jadi rambut itu uban semua ataupun sebahagiaan sahaja uban.

3. Nada Dan Irama Seimbang
Al-Qur'an mempunyai susunan kata dan kalimah yang seimbang, di samping memiliki nada dan irama yang sehaluan dengan makna dan pengertiannya. Nada dan kandungan maknanya berjalan seiring mengikut urutan cerita yang sentiasa kait-mengait dan bersambungan di antara satu sama lain, tidak mengandungi apa-apa kecacatan atau ‘litar pintas’. Ayat-ayat al-Qur'an sebagaimana yang ditegaskan bahawa ianya bukan irama syair atau puisi, tetapi memiliki keunikan dalam irama dan alunannya.[5] Mari kita lihat contoh beberapa ayat dalam Surah al-'Adiyat:

وَالْعَادِيَاتِ ضَبْحًا فَالْمُورِيَاتِ قَدْحًا[6]

Maksudnya: “Demi Kuda-kuda yang tangkas berlari dengan kedengaran nafasnya kencang dan demi kuda yang mencetuskan api dari hentakan kakinya”.

            Perkataan (العَادِيَاتِ) mempunyai imbangan yang sama dengan perkataan (المُورِيَاتِ), manakala perkataan (ضَبْحًا) itu juga mempunyai imbangan yang sama dengan perkataan (قَدْحًا), sama ada dari sudut bilangan huruf yang sama, nada dering yang sama, imbangan wazan yang sama. Kedudukan nada dan irama yang seimbang membawa kepada nilai makna dan qira’at yang seimbang. Dalam ayat di atas, Allah bersumpah dengan kuda-kuda yang tangkas berlari dengan kedengaran nafas yang keluar dari hidungnya kencang. Perkataan (الْعَادِيَات) diambil daripada kata dasarnya (الْعَدْوُ) ertinya melampaui sempadan. Musuh dalam bahasa Arab disebut ( عَدُوّ) kerana kegiatannya yang melampaui batas. Manakala perkataan (الْعُدْوَان) ertinya permusuhan kerana wujud padanya unsur-unsur keterlaluan. Larian yang pantas dan cepat disebut sebagai (الْعَدْوُ) ertinya berlari-lari, padanya juga wujud unsur-unsur keterlaluan dan melampaui batas-batas kesederhanaan. Perkataan (ضَبْحًا) pula ertinya suara nafas kuda-kuda yang kencang berlari tanpa mengenal erti penat dan lelah.

            Dalam kalangan mufassirin berbeza pendapat untuk menentukan mausuf yang disifatkan dengan al-`Adiyat di sini, sama ada kuda, unta atau awan yang berarak laju dari satu kawasan ke kawasan yang lain. Ibn Abbas, Atha`, Mujahid, Ikrimah, al-Hasan, Qatadah dan lain-lain mereka berpendapat bahawa apa yang dimaksudkan dengan al-`Adiyat di sini ialah kuda-kuda perang yang tangkas berlari sehingga mengeluarkan suara dengusan. Ibn Abbas menyatakan, tiada haiwan berdengus kerana penat berlari melainkan kuda, anjing dan tha`lab. [7]

            Manakala Ali bin Abu Talib, Ibn Mas`ud, Muhamad Ibn Ka`ab dan al-Suddi berpendapat bahawa apa yang hendak dimaksudkan dengan al-`Adiyat di sini ialah unta yang membawa jemaah haji dari Arfah ke Muzdalifah dan seterusnya ke Mina. Mereka memperkukuhkan pendapat ini kerana surah ini diturunkan dalam perjalanan haji pada tahun meletusnya peperangan Badar. Pendapat ini menolak al-`Aadiyat dengan erti kuda kerana dalam peperangan ini hanya dua ekor kuda sahaja bersama mereka, iaitu kepunyaan al-Zubair bin Awwan dan seekor lagi kepunyaan al-Miqdad ibn al-Aswad, sedangkan al-`Adiyat menunjukkan sekurang-kurangnya tiga ekor kuda.[8] Seorang pakar dalam ilmu tafsir di Mesir bernama Syeikh Amru al-Sya`ir berpendapat, yang dimaksudkan dengan al-`Aadiyat ialah awan mendung yang membawa hujan dan berarak laju dari tempat ke tempat serta mengeluarkan suara angin yang menderu.[9] Imam al-Razi dan kebanyakan mufassirin mentarjihkan pendapat pertama dan serasi dengan asbab nuzul surah ini di Madinah selepas keizinan berperang. [10] 

4. Fakta Yang Memuaskan Perasaan Para Pengkaji[11]
Apabila kita membaca sesuatu artikel, di sana pasti kita akan dapat menilai beberapa kelemahan yang terdapat dalam tulisan tersebut, sama ada kelemahan dari sudut salah ejaannya, kelemahan penggunaan perkataan yang tidak tepat, kelemahan gaya bahasa yang kurang menarik, kelemahan makna yang tidak menepati maksud dan lain-lain lagi. Namun, apabila kita membaca al-Qur’an dan mendalami makna serta pengertiannya, maka di sana pasti kita akan dapat memetik beberapa pengajaran yang baik untuk dihayati dan kita tidak pernah terlintas di sudut hati kita untuk mempertikai kesahihan ayat-ayat al-Qur’an kononnya mengandungi kesalahan atau kesilapan.

            Sebagai contoh, mari kita melihat fakta peristiwa banjir besar yang berlaku pada zaman Nabi Nuh a.s. yang mencetuskan ilham kepada para pengkaji. Nabi Nuh a.s. telah diarahkan oleh Allah untuk membuat sebuah kapal bagi memuatkan umat manusia dan binatang ketika itu daripada dibiarkan mati lemas.

Firman Allah Ta’ala:

وَاصْنَعِ الْفُلْكَ بِأَعْيُنِنَا وَوَحْيِنَا وَلاَ تُخَاطِبْنِي فِي الَّذِينَ ظَلَمُوا إِنَّهُمْ مُغْرَقُونَ وَيَصْنَعُ الْفُلْكَ وَكُلَّمَا مَرَّ عَلَيْهِ مَلأُ مِنْ قَوْمِهِ سَخِرُوا مِنْهُ  قَالَ إِنْ تَسْخَرُوا مِنَّا فَإِنَّا نَسْخَرُ مِنْكُمْ كَمَا تَسْخَرُونَ[12]
Maksudnya: “Dan binalah bahtera dengan pengawasan dan dengan panduan wahyu Kami (tentang cara membuatnya), janganlah kamu merayu kepada Ku untuk menolong kaum yang zalim itu, kerana sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan, dan Nabi Nuh pun membuat bahtera itu dan setiap kali dalam kalangan kaumnya melalui tempat dia membina bahteranya, mereka mengejek-ejeknya, Nabi Nuh menjawab: Jika kamu mengejek kami (kerana membuat bahtera), maka kami juga mengejek kamu (kerana keengkaran kamu), sebagai balasan ejekan kamu” .

            Sesungguhnya Nabi Nuh a.s. merupakan orang yang pertama di dunia ini membina kapal pengangkutan di bawah pengawasan Allah. Kisah Nabi Nuh a.s. ini telah memberi ilham kepada perusahaan pembinaan kapal di seluruh dunia bagaimana sesebuah kapal itu boleh terapung-apung di permukaan air tanpa dimasuki air dan tidak tenggelam, bagaimana ianya boleh menampung bebanan dan muatan yang berat tanpa menjejaskan keutuhan kapal tersebut, bagaimana pula cara mengemudikannya sehingga boleh belayar mengikut haluan yang dituju, bagaimana struktur pembinaan sesebuah kapal itu berada dalam keadaan seimbang sehingga boleh meluncur ke hadapan dan tidak terumbang-ambing, bagaimana pula dengan jenis-jenis kayu atau bahan-bahan yang digunakan dalam pembinaannya itu boleh bertahan bertahun-tahun lamanya, bagaimana kerangka pembinaannya dapat menahan dari dilambung ombak dan badai, dari ribut dan taufan serta tidak menjejaskan strukturnya dan banyak lagi perkara-perkara lain..!

            Hasil pendedahan Al Quran ini tentang pembuatan bahtera Nabi Nuh a.s. kita dapat saksikan, bahawa kapal sekarang telah menjadi kenderaan pengangkutan yang sangat penting untuk membawa barang-barang yang banyak.
           
5. Tidak Mempunyai Percanggahan
Di sana terdapat banyak ayat-ayat al-Qur’an yang menceritakan tentang kejadian manusia dari tanah, iaitu Nabi Adam a.s. Tetapi paparan dan huraian ayat-ayat tersebut kelihatan seolah-olah wujudnya percanggahan di antara satu sama lain. Orang-orang orientalis menggunakan ayat-ayat ini untuk melemparkan dakyah dan propaganda yang kononnya terdapat percanggahan dan pertentangan di antara ayat dengan ayat yang lain. Mari kita saksikan satu persatu ayat-ayat yang dimaksudkan itu.

            Dalam Surah al-Rahman, ayat 14, manusia dijadikan dari sejenis tanah yang kering seperti tembikar:

خَلَقَ الإنْسَانَ مِنْ صَلْصَالٍ كَالْفَخَّارِ[13]

Maksudnya: “Dia (Allah) menjadikan manusia dari tanah kering seperti tembikar (tanah yang dibakar).”


            Dalam Surah al-Hijr, ayat 28, manusia dijadikan dari tanah liat kering dan lumpur hitam yang berbentuk:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلائِكَةِ إِنِّي خَالِقٌ بَشَرًا مِنْ صَلْصَالٍ مِنْ حَمَإٍ مَسْنُونٍ[14]

Maksudnya: “Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat kering dan lumpur hitam yang berbentuk (berupa)”.


            Dalam Surah al-Sajadah, ayat 7, Allah Ta’ala memulakan penciptaan manusia dari tanah:

الَّذِي أَحْسَنَ كُلَّ شَيْءٍ خَلَقَهُ وَبَدَأَ خَلْقَ الإنْسَانِ مِنْ طِينٍ[15]

Maksudnya: “Dialah Allah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya dan dimulakan kejadian manusia berasal dari tanah”.


            Manakala dalam Surah al-Safaat, ayat 11, manusia hanya dicipta dari tanah liat sahaja:

إِنَّا خَلَقْنَاهُمْ مِنْ طِينٍ لاَزِبٍ[16]

Maksudnya: “Sesungguhnya Aku mencipta manusia daripada tanah liat”.

           
            Di dalam Surah Ali ‘Imran pula, ayat 59, Allah mencipta Nabi Adam a.s. dari tanah liat, lalu terbentuk lembaga Adam a.s.

خَلَقَهُ مِنْ تُرَابٍ ثُمَّ قَالَ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ[17]

Maksudnya: “Allah menciptakan Adam dari tanah, kemudian Allah berfirman kepadanya : Jadilah (seorang manusia), maka jadilah ia”.


            Dalam Surah al-Hijr, ayat 29, al-Qur’an menceritakan tentang penyempurnaan proses kejadian manusia dan kemudian ditiupkan roh padanya:

فَإِذَا سَوَّيْتُهُ وَنَفَخْتُ فِيهِ مِنْ رُوحِي فَقَعُوا لَهُ سَاجِدِينَ[18]

Maksudnya: “Maka apabila Aku telah menyempurnakan kejadiannya, dan telah meniupkan ke dalam roh (ciptaan) Ku."


            Perlu dihuraikan mengenai apa yang dimaksudkan dengan perkataan 'sal sal' dalam Surah al-Rahman, ayat 14 ialah 'tanah kering' atau setengah kering' iaitu 'zat pembakar' (oksigen), manakala perkataan 'fakhkhar' pula dimaksudkan sebagai 'zat arang' (carbonium). Dalam Surah al-Hijr ayat 28 juga ada menyebut 'sal sal', manakala perkataan 'hamaa in' ialah sejenis 'zat lemas' (netrogenium). Dalam Surah al-Sajadah ayat 7 pula menyebut 'thin' iaitu tanah yang merupakan ‘atom zat air' (hydrogenium). Dalam Surah al-Safaat, ayat 11 disebut perkataan ‘lazib’ iaitu 'zat besi' (ferrum). Dalam Surah Ali Imran ayat 59 disebut perkataan 'turab' iaitu unsur-unsur zat anorganis. Dalam Surah al-Hijr, ayat 29 adalah penyempurnaan kejadian manusia dan kemudian ditiupkan ke dalamnya roh untuk membolehkan ianya terus hidup. Ketujuh-tujuh ayat al-Qur’an tadi, Allah telah menunjukkan tentang proses kejadian Nabi Adam a.s. sehingga terbentuk jasad dan tubuh badan manusia lalu ditiupkan kepadanya roh sehingga terbentuk manusia bernyawa. Proses kejadian manusia ini melalui adunan 'zat arang' (carbonium), 'zat lemas' (nitrogenium), 'zat air' (hydrogenium), 'zat besi' (ferrum), yodium, kalium, silicium dan mangaan, yang disebut 'laazib' (zat-zat anorganis). Dalam proses persenyawaan terbentuklan zat yang dinamai protein. Al-Qur’an telah menerangkan proses asal kejadian jasmani hingga kepada rohani dan akhirnya ditiupkan roh untuk membolehkan manusia terus hidup.

            Adakah ayat-ayat ini ciptaan Nabi Muhamad s.a.w..? Maka tentu sekali tidak, dan perkara ini menolak dakwaan orientalis bahawa al-Qur’an itu tulisan dan buah fikiran baginda s.a.w.


Sekian, wassalam



Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani


[1] M. Quraish Shihab. 2007. Mukjizat Al-Quran, hlm: 124 -126.[2]  Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi, Tafsir asy-Sya’rawi, juz 1, hlm:  3.[3]  Muhammad Sayyid Thanthawi, at-Tafsir al-Wasith,  juz 1, hlm:. 6.[4] Dr. Subhi ash-Sholih, Mabakhith fii 'ulum al- Qur’an, hlm: 314-315: Jakarta: Dinamika Barokah Utama.[5]  Azzah Zain al-Hasani. 2007. Al-Quran Puncak Selera Sastra, hlm: 86. Surakarta: Ziyad, 2007.
[6]  Al-Qur’an, Surah al-Adiyat: 100: 1-2[7]   Ma`alim al-Tanzil, jil: 8, hlm: 505.
[8]  Tafsir al-Tabari, jil: 30, hlm: 271-273.
[9]  www.amrullah.com 20/8/2010.
[10]  Tafsir al-Razi, jil: 20, hlm: 259.
[11]  M. Quraih Shihab, op cit, hlm: 127.[12] Al-Qur’an, Surah Hud:11: 37-38.[13] Al-Qur’an, Surah al-Rahman: 55: 14.[14] Al-Qur’an, Surah al-Hijr:15: 28.[15] Al-Qur’an, Surah al-Sajadah: 32:7.
[16] Al-Qur’an, Surah al-Safaat: 11:37.
[17] Al-Qur’an, Surah Ali ‘Imran, ayat 3:59.[18] Al-Qur’an, Surah al-Hijr: 15: 29.

TINJAUAN I’JAZ DARI SUDUT KEUNIKAN BAHASA


Sejarah telah menyaksikan bahawa orang-orang Arab mempunyai kebijaksanaan dan kefasihan dalam menguruskan keindahan bahasa dan balagah. Sebelum al-Qur’an diturunkan lagi, mereka telah mencapai kemajuan dari sudut bahasa dengan keindahan syair, puisi, prosa dan keserasian dalam menyusun kata-kata.[1] Oleh kerana mereka telah mencapai taraf yang begitu jauh dalam dunia bahasa dan seni sastera, mereka cuba menentang al-Qur’an  dari sudut bahasa bagi tujuan untuk menandingi al-Qur’an, namun mereka tidak berjaya, lidah mereka menjadi kaku dan kelu apabila melihat keindahan bahasa yang diguna-pakai dalam al-Qur’an.[2] Ketidakmampuan mereka menandingi kekuatan dan kehebatan bahasa al-Qur’an ini adalah bukti yang nyata bahawa al-Qur’an  adalah kitab i’jaz yang tidak boleh dikalahkan oleh sesiapa[3]. Fenomena ini berlaku kerana kekuatan bahasa dan keindahan sastera yang dimiliki oleh al-Qur’an dan perkara ini adalah kurnian Allah untuk melemahkan orang-orang secara intelektual.[4]

            Al-Qur’an diturunkan melalui bahasa Arab Quraisy yang mengandung unsur sastera yang sangat tinggi mutunya. Ketinggian mutu sastera ini meliputi pelbagai aspek, kaya dengan perbendaharaan kata-kata, padat dengan makna yang dikandung, penyusunan redaksi yang menakjubkan, keseimbangan-keseimbangan yang sangat serasi antara ayat-ayat yang digunakan.[5] Susunan kalimah dan gaya bahasa al-Qur’an  amat menakjukkan, susunan perkataannya tidak terikat dengan pola atau susunan kata-kata syair atau sajak, justeru semakin menunjukkan keistimewaan al-Qur’an yang mencakupi segala bentuk puisi dan prosa.[6] Keindahanan susunan bahasa dan keharmonian irama yang muncul dari rangkaian kata dan barisan kalimah dalam setiap lafaz serta ayat-ayatnya semakin memberikan ekspresi keindahan pada setiap hati sanubari dan jiwa nurani para pendengarnya[7]. Sebagai contoh, kita dapat saksikan keindahan ungkapan al-Qur’an  dalam Surah As-Syams, ayat:1-6:

Firman Allah Ta’ala:


وَالشَّمْسِ وَضُحَاهَا وَالْقَمَرِ إِذَا تَلاَهَا وَالنَّهَارِ إِذَا جَلاَّهَا وَاللَّيْلِ إِذَا يَغْشَاهَا وَالسَّمَاءِ وَمَا بَنَاهَا وَالأرْضِ وَمَا طَحَاهَا[8]
Maksudnya: Demi matahari dan cahayanya yang terang-benderang; Dan bulan apabila ia mengiringinya, dan siang apabila ia memperlihatkannya dengan jelas nyata, dan malam apabila ia menyelubunginya (dengan gelap- gelita), demi langit yang terbina kukuh serta bumi dan yang terhampar”.

Demikianlah lukisan warna dan gambaran indah dalam ayat ini sesuai dengan paparan suasana dan keadaan yang berlaku serta hubung-kait ayat demi ayat yang sentiasa beriringan dan terikat di antara satu sama lain. Ungkapan ayat-ayat ini seolah-olah satu gelombang yang kelihatan bergerak ke hadapan yang menjadi begitu serasi dan indah, sesuai dengan lapaz dan maknanya. Gubahan ungkapan yang cukup indah ini membuktikan bahawa al-Qur’an  itu adalah gubahan Allah yang indah, tidak dapat ditandingi dan ditiru.[9] I’jaz al-Qur’an  menunjukkan penggunaan dan kekuatan bahasa yang digunakan dalam al-Qur’an, keserasian redaksi bahasa yang memuatkan susunan keseimbangan kata-kata yang digunakan seperti keserasian jumlah dua kata yang bertentangan, jumlah kata yang sinonim, jumlah bilangan kata, jumlah kata yang menunjukkan pada akibatnya, jumlah bilangan kata dengan kata penyebabnya, juga keseimbangan lainnya[10]. Dengan konsep bahawa karakter penggunaan bahasa al-Qur’an  yang luar biasa ini, maka adalah mustahil bagi manusia dapat mencipta sebuah kitab seperti al Quran.[11] Sesunggunya al-Qur’an memiliki suatu bentuk gaya bahasa yang dikenali sebagai majaz, di mana gaya bahasa ini amat berbeza dengan penggunaan gaya bahasa biasa, kerana al-Qur’an menggunakan uslub ini adalah untuk mendidik manusia, membuat perbandingan di antara perkara baik dan perkara buruk, mengajak manusia mengabdikan diri kepada Allah dan lain-lain lagi. Adakalanya uslub ini bertujuan untuk meminjam sesuatu perkataan yang berbeza dari sudut lapaz, tetapi mempunyai makna yang sama untuk memperluaskan skop pengertian dan makna pada sesuatu lapaz tersebut. Ianya meliputi isti’arah, tasybih, amthal dan kinayah. 

2.1. Isti’arah (Metafora)
Menurut pendapat Ibn Qutaibah, isti’arah ialah kata-kata pinjaman yang diguna-pakai dalam perkataan yang lain kerana adanya perbandingan atau faktor-faktor yang lain. Orang- orang Arab biasanya menggunakan kaedah kata-kata pimjaman ini dan menempatkannya untuk perkataan yang lain apabila bertemu sebab atau alasan yang membolehkan mereka berbuat demikian. Prinsip isti’arah dalam al-Qur’an dimaksudkan untuk menarik perhatian para pendengar dan pembaca al-Qur’an sebagai ‘respon sepontan’ dan perkara ini hanya terdapat dalam ayat-ayat al-Qur’an sahaja.

Sebagai contoh penggunaan isti’arah dalam al-Qur’an ialah meminjam perkataan cahaya untuk sesuatu yang amat jelas dan nilai kepercayaan.

Firman Allah Ta’ala: 

هُوَ الَّذِي يُنَزِّلُ عَلَىٰ عَبْدِهِ آيَاتٍ بَيِّنَاتٍ لِيُخْرِجَكُمْ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّور[12]ِ

Maksudnya: “Dialah yang menurunkan kepada hambaNya (Muhamad) keterangan-keterangan al-Qur’an yang terang nyata, kerana Dia hendak mengeluarkan kamu dari kegelapan  kepada cahaya”.

            Apa yang dikehendaki dengan perkataan kegelapan (الظُّلُمَاتِ) dan cahaya (النُّور) di sini bukan dengan makna hakiki, tetapi yang dimaksudkan dengan kegelapan di sini ialah syirik[13] atau kufur [14]  dan manakala yang dimaksudkan dengan cahaya pula ialah iman[15] atau petunjuk[16]. Oleh itu, apa yang hendak dimaksudkan dengan ayat di atas ialah:

            “Dia hendak mengeluarkan kamu dari perbuatan syirik atau kekufuran kepada iman atau petunjuk”.

2.2. Tasybih (Perbandingan)
Secara etimoligis, tasybih dapat ditakrifkan sebagai perumpamaan atau perbandigan. Menurut ahli Ilmu Bayan bahawa tasybih merupakan suatu istilah yang di dalamnya terdapat pengertian penyerupaan atau persyarikatan di antara dua perkara (musyabah dan musyabah bih). Hasil daripada penyerupaan atau persyarikatan tersebut, maka terbentuklah padanya suatu makna (wajh al-syibh) dan dengan menggunakan sebuah kaedah atau alat (adat tasybih). Tasybih adalah termasuk dalam uslub bayan yang di dalamnya terdapat penjelasan dan perumpamaan. Tasybih merupakan langkah awal untuk menjelaskan suatu makna tentang sifat yang berkaitan. Dengan gaya bahasa tasybih, maka kita dapat menambahkan ketinggian makna dan penjelasannya serta dapat membuat makna kelihatan lebih indah dan bermutu. Menurut al-Khatib al-Qazwini, yang dimaksudkan dengan tasybih ialah perkongsian sesuatu dengan sesuatu yang lain pada makna dan mari kita lihat contoh penggunaan tasybih dalam al-Qur’an.



 Firman Allah Ta’ala:


مَثَلُ الَّذِينَ اتَّخَذُوا مِنْ دُونِ اللَّهِ أَوْلِيَاءَ كَمَثَلِ الْعَنْكَبُوتِ اتَّخَذَتْ بَيْتًا وَإِنَّ أَوْهَنَ الْبُيُوتِ لَبَيْتُ الْعَنْكَبُوتِ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ[18]
Maksudnya: “Perbandingan orang-orang yang mengambil pelindung-pelindung selain Allah adalah sama seperti labah-labah yang membuat rumah dan sesungguhnya rumah yang paling lemah adalah rumah labah-labah, sekiranya mereka mengetahui.”

            Ibn Qayyim al-Jauziyah menegaskan bagaimana mereka yang mengambil pelindung selain Allah adalah seperti labah-labah yang membuat sarangnya dan sememangnya sarang tersebut amat lemah dan tidak kuat. Perbandingan ini sama dengan golongan kafir yang jauh dari realiti kebenaran dan petunjuk Allah, mereka bukan tidak tahu bahawa sembahan itu tidak mampu memberi manfaat atau mudharat kepada mereka sebagaimana mereka tahu sarang labah-labah adalah tempat perlindungan yang sangat lemah. Namun demikian, Allah sebenarnya telah menafikan ilmu mereka tentang kecenderungan mereka untuk mengambil Tuhan selain Allah sebagaimana labah-labah yang tetap juga membuat sarangnya sebagai tempat perlindungan.[19] Sesungguhnya nilai perumpamaan ini sungguh tepat, orang-orang yang mengambil pelindung selain dari Allah adalah orang-orang yang mempunyai akidah yang rapuh, mereka tidak mempunyai pegangan hidup yang kukuh sehingga sanggup mencari alternatif lain sebagai pelindung selain dari Allah. Akidah dan pegangan hidup mereka bagaikan rumah labah-labah.

2.3. Amthal (Perumpamaan)
Amthal merupakan perumpamaan-perumpamaan yang dinyatakan dalam al-Qur’an bertujuan untuk memberi pengajaran kepada manusia tentang sesuatu perkara yang dibandingkan dengannya. Ilmu amthal adalah di antara ilmu-ilmu yang berkaitan dengan al-Qur’an yang sangat penting sehinggakan Imam asy-Syafi‘ei menegaskan adalah menjadi suatu kewajiban bagi seseorang mujtahid untuk menguasai ilmu ini.[20] Amthal juga dianggap sebagai segugus ungkapan yang jelas dan bernas yang mengandungi beberapa hikmah yang mudah diterima kebenarannya oleh sesiapa sahaja yang mendengar. Amthal juga bermaksud sama, serupa, seperti, sebagaimana dan seumpama.[21]  Sesungguhnya keindahan sesuatu bahasa terletak kepada keunikannya yang disusun dan disulam dengan kalimah-kalimah kiasan yang bertujuan untuk memperkuatkan realiti terhadap apa yang diungkapkan itu. 

            Ibn Manzur menyatakan bahawa amthal sebagai sesuatu yang dibandingkan dengan sesuatu yang seumpama dengannya, maka terbentuklah apa yang diumpamakannya.[22] Sementara itu, Ibn al-‘Arabi berpendapat wujudnya perbezaan makna di antara mathal dan mithal. Mathal merupakan ungkapan tentang persamaan makna sesuatu yang difikirkan, manakala mithal pula ialah ungkapan tentang persamaan sesuatu yang dapat dirasai oleh pancaindera.[23] Ibn al-Sikkit membuat ulasan bahawa amthal ialah suatu ungkapan yang berbeza dari ungakapan yang dibandingkan tetapi mempunyai pengertian yang sama dengan makna ungkapan tersebut. [24] 

            Menurut Samih ‘Atif, seorang ahli balaghah yang terkenal telah mentakrifkan amthal sebagai lafaz yang tersusun yang digunakan bukan pada tempatnya kerana terdapat persamaan di antara dua perkara serta terdapat halangan yang menegah penggunaan maknanya dalam bentuk yang asal.[25] Ibn Qayyim al-Jauziyah pula menyatakan bahawa amthal al-Qur’an ialah menyamakan sesuatu dengan sesuatu yang lain mengenai perkara yang berkaitan dengan hukum.[26] Oleh sebab itu, pengertian amthal dalam al-Qur’an ialah menunjukkan kepada makna dalam bentuk perkataan yang menarik dan padat serta mempunyai pengaruh yang mendalam terhadap jiwa, sama ada berupa tasybih atau sebaliknya. [27] Di antara contoh ayat yang mengguna-pakai ungkapan amthal ialah mengenai kisah orang munafiq, sebagaimana yang terdapat di awal Surah al-Baqarah.

Firman Allah Ta’ala:

مَثَلُهُمْ كَمَثَلِ الَّذِي اسْتَوْقَدَ نَاراً فَلَمَّا أَضَاءتْ مَا حَوْلَهُ ذَهَبَ اللّهُ بِنُورِهِمْ وَتَرَكَهُمْ فِي ظُلُمَاتٍ لاَّ يُبْصِرُونَ صُمٌّ بُكْمٌ عُمْيٌ فَهُمْ لاَ يَرْجِعُونَ أَوْ كَصَيِّبٍ مِّنَ السَّمَاءِ فِيهِ ظُلُمَاتٌ وَرَعْدٌ وَبَرْقٌ يَجْعَلُونَ أَصْابِعَهُمْ فِي آذَانِهِم مِّنَ الصَّوَاعِقِ حَذَرَ الْمَوْتِ واللّهُ مُحِيطٌ بِالْكافِرِينَ[28]

Maksudnya: “Perumpamaan mereka adalah seperti orang yang menyalakan api, maka setelah api itu menerangi sekelilingnya, Allah menghilangkan cahaya yang menyinari mereka dan membiarkan mereka dalam kegelapan, tidak dapat melihat, mereka tuli, bisu dan buta, maka tidaklah mereka akan kembali ke jalan yang benar, atau seperti orang-orang yang ditimpa hujan lebat dari langit disertai gelap-gelita, guruh dan kilat, mereka menyumbat jarinya ke dalam telinga masing-masing dari mendengar suara petir kerana mereka takut mati, sedangkan Allah meliputi orang-orang yang kafir itu.”

                Perumpamaan keimanan yang ditunjukkan oleh orang-orang munafiq dengan kekufuran yang mereka sembunyikan bagaikan orang yang menyalakan api untuk dijadikan sebagai unggun menerangi mereka. Namun apabila api itu menerangi sekeliling mereka dapat mengecapi manfaat dari cahaya tersebut. Kemudian, Allah menghilangkan cahaya yang menyinari mereka itu dan membiarkan mereka terumbang-ambing dalam kegelapan dan keadaan tidak dapat melihat. Perumpamaan mereka seperti orang yang pekak, bisu, dan buta, maka mereka tidak akan kembali ke jalan yang benar. Mereka menjadi orang yang tuli dan tidak dapat mendengar seruan kebenaran, mereka menjadi bisu dan tidak dapat bertanya haluan yang sebenar yang mereka lalui, mereka menjadi buta dan tidak dapat melihat serta tidak boleh kembali ke pangkuan jalan. Demikian pula keadaannya dengan orang-orang munafiq yang telah masuk Islam kemudian kembali kepada kekufuran.

2.4. Kinayah (Metonimia)
Kinayah adalah menyebutkan sesuatu ungkapan yang dimaksudkan dengan makna lain yang bukan makna asalnya. Namun definisi yang lebih masyhur dan diterima pakai ialah pendapat al-Hasyimi yang melihat kinayah sebagai ungkapan yang menggunakan makna tersirat, di samping harus menggunakan makna tersurat.[29] Menurut Abu Ubaidah, kinayah bererti suatu kata yang tidak disebut secara jelas pada suatu teks kalimah.[30] Syeikh Wahbah Zuhaili[31] menyatakan bahawa ayat-ayat kinayah dalam al-Qur’an berjumlah sebanyak enam puluh lima ayat yang tersebar pada empat puluh empat surah. Sedangkan al-Shobuni[32] menyebutkan terdapat sekitar enam puluh empat ayat kinayah di dalam al-Quran. Jumlah ayat-ayat kinayah menurut Imam al-Qurtubi sebanyak sembilan ratus sembilan puluh sembilan ayat dan jumlah ayat-ayat kinayah menurut Imam al-Tabari ialah sebanyak lapan ratus sembilan puluh sembilan ayat.

            Di antara tujuan kinayah adalah untuk memperelok susunan makna dan mengindahkannya, di samping menyembunyikan sesuatu perkara daripada sidang pendengar. Ayat-ayat al-Quran yang mengandungi aspek kinayah merupakan ayat-ayat yang cukup indah dan istimewa dalam kalangan  ulama tafsir. Ayat-ayat ini sering kali mempunyai perbezaan pendapat mengenai makna yang terdapat di dalamnya dan perbedaan penafsiran ini adalah kerana secara wacana ilmiah kinayah boleh ditafsirkan secara hakiki ataupun secara majazi. [33]

            Mari kita perhatikan penggunaan lapaz kinayah dalam surah al-Zukhruf ayat 18:
أَوَمَنْ يُنَشَّأُ فِي الْحِلْيَةِ وَهُوَ فِي الْخِصَامِ غَيْرُ مُبِينٍ
Maksudnya: ”Dan apakah patut (menjadi anak Allah) orang yang dibesarkan dalam keadaan berperhiasan sedang dia tidak dapat memberi alasan yang terang dalam pertengkaran”.

Menurut Fadlal Hasan[34], ayat tersebut diturunkan kepada Nabi s.a.w. yang berlatar belakang mengenai kebiasaan orang-orang Arab jahiliyah yang membenci anak-anak perempuan sehingga menguburnya hidup-hidup. Selain itu, mereka juga menyangka bahawa malaikat adalah anak perempuan Allah. Dengan turunnya ayat ini sekaligus memperkuatkan tentang kejahilan dan kebodohan orang-orang Arab ketika itu. Dalam ungkapan ayat di atas: ”... orang yang dibesarkan dalam keadaan berperhiasan ...” adalah kinayah bagi seorang wanita, kerana orang yang sering berhias dan berdandan serta tidak memiliki kekuatan dalam pertengkaran adalah wanita. Oleh itu, ayat di atas adalah sebagai kinayah bagi orang perempuan Arab jahiliyah yang memiliki kebiasaan berhias diri dan tidak mempunyai apa-apa bentuk kekuatan, sekalipun sifat-sifat itu juga terdapat pada perempuan zaman sekarang.



Sekian, wassalam



Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani


[1] Muhammad Husain Ath-Thaba’thaba’i. 1973. Al-Mizan fi Tafsir Al-Qur’an, juz: 1, hlm. 66. 
[2]  Manna’ al-Qathan. 1973. Mabahis Fi Ulumi al-Quran, hlm: 264-265. Kaherah: Manthurat al-Ashr al-Hadith.
[3] Dr. Muhamad Abdul ‘Azim az-Zarqoni, Manahilul Irfan fi Ulumil Quran, juz: 3, hal. 332.
[4] Manna’ al-Qathan, Mabahis fi ulumil Quran, hlm: 261.
[5]  Hashbi al-Shiddsiqi. 1966. Mu’jizat al-Qur’an, hlm: 36. Jakarta: Bulan Bintang.
[6]  Said Agil Husein al-Munawar. Op cit, hlm: 35.
[7] Said Agil Husein al-Munawar, hlm: 36.
[8] Al Quran, Surah As Syams: 91:1-6
[9] Syed Qutb. 1988. Fi Zilal al-Quran, juz: 6, hlm:  3916-3917. Kaherah: Dar al-Masyruq.
[10]  M. Quraish Shihab. 1994. Membumikan al-Qur’an; Fungsi dan Peranan Wahyu dalam Kehidupan Masyarakat, hlm: 29-31.Bandung: Mizan.
[11]  Taufiq Adnan Amal. 2001. Rekontruksi Sejarah al-Qur’an, hlm: 346. Yogyakarta: FkBA.
[12]  Al-Qur’an, Surah al-Hadid: 57: 9
[13]  Abu Muhamad Husain bin Mas’ud. 1993. Tafsir al-Baghawi, jil: 4, hlm: 267
[14] Abu Laith Nasr bin Muhamad bin Ahmad bin Ibrahim al-Samarqand. 1993. Tafsir al-Samarqand, jil: 3, hlm: 323.
[15] Ibid
[16] Ibid
[17] Al-Khatib al-Qazwini. 1980. Al-Idhaah Fi ‘ Ulum al-Balaghah, hlm: 328
[18] Al-Qur’an, Surah al-Ankabut :29: 41.
[19] Ibn Qayyim al-Jauziyah, Syams al-Din Abu ‘Abd Allah Muhammad bin Abu Bakr bin Ayyub bin Sa’d bin Hariz al-Zar‘i al-Dimasyqi. 1983. tahqiq oleh: Sa‘id Muhammad Namr al-Khatib, al-Amthal fi al-Qur’an al-Karim. Beirut: Dar al-Ma‘rifah.
[20] Abdul Fatah Abu Sinnah. 1995. Ulum al-Qur’an, hlm: 40. 
[21] Ibrahim Madhkur. 1985. al-Mu‘jam al-Wasit, jil. 1, hlm: Kaherah: (t.p.).
[22] Abu al-Fadl Jamaluddin Muhamad bin Mukrim Ibn Manzur. 1955. Lisan al-‘Arab, jil: 2, hlm: 611.
[23] Al-Zamakhsyari, Jar Allah Mahmud bin Umar. (t.t.). Al-Kasyaf ‘an Haqa’iq al-Tanzil wa ‘Uyun al-Aqawil, jil: 1, hlm: 490. 
[24] Abu al-Fadl Ahmad bin Muhammad al-Maydani (t.t.). ditahqiq oleh: Muhammad Abu al-Fadl Ibrahim, Majmu‘ al-Amthal, jil: 1, hlm: 7
[25] Samih ‘Atif al-Zayn. 1987. Al-Amthal Wa al-Mithl Wa al-Tamathul Wa al-Mathulat Fi al-Qur'an, hlm: 11. 
[26] Ibn Qayyim al-Jauziyah, Syams al-Din Abu Abdullah Muhammad bin Abu Bakr. 1983. Al-Amthal Fi al-Qur’an al-Karim, hlm: 173-174.
[27]  Manna’ al-Qathan. 1973. Mabahis Fi Ulumi al-Qur’an, hlm: 283.
[28] Al-Qur’an, Surah al-Baqarah: 2: 17-19.
[29] Ahmad al-Hasyimi. 1960. Jawahir al-Balaghah. hlm: 345. 
[30] Abdul Aziz Atiq. 1985. Ilmul- Bayan, hlm: 204. 
[31] Wahbah al-Zuhaili. 1991. Al-Munir, hlm: 25. Beirut: Dar al-Fikr.
[32] al-Shobuni. 1986. Sofwat al-Tafasir,hlm: 25
[33] Syeikh Amin Bakri. 1982.  Al-Balaghah Fi Thaubih al-Jadid : ‘Ilmul-Bayan. hlm: 153. 
[34] Fadhlal Hassan Abbas. 1987. Al-Balaghah Fununuha wa Afnanuha.