PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Tuesday 29 January 2013

PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN



Tentu sekali, istiqomah mempunyai nilai-nilainya sendiri di sisi Allah untuk dibayar dengan harga yang mahal, nilai-nilai istiqomah ini bertanggungjawab mengukuhkan lagi hubungan dengan ketuhanan di samping melahirkan perasaan indah dan nyaman ketika melakukan ubudiyah kepadaNya. Perasaan hati sanubari dan jiwa nurani akan dicengkam erat terhadap keesaan Allah dengan memasukkan warna keimanan yang luhur dan merungkaikan segala ikatan yang lain yang tiada kaitan dengan Allah. Segala godaan hawa nafsu dan bisikan syaitan laknat akan dilempiaskan jauh-jauh agar iman yang tersimpan erat dalam hatinya menjadi putih bersih.

Nilai-nilai istiqomah ini juga akan mempertarungkan di antara warna keimanan dan warna kekufuran dalam pegangan hidup seseorang hamba. Pertarungan ini melambangkan kekuatan dan nilai upaya yang sepatutnya dan yang perlu wujud dalam pegangan hidup seseorang hamba. Kerana, iman dan kufur sentiasa bertelingkah dan berbalah dan tidak sekali-sekali boleh kompromi dalam satu pegangan hidup. Andaikata iman itu menang dalam pertarungan, maka secara tidak langsung kufur itu dapat tewas dan dikalahkan, kemudian disingkirkan dari pegangan hidup. Tetapi, andaikata kufur itu menang dalam pertarungan hidup, maka sudah tentu iman itu akan tumbang dan kalah, maka pegangan hidup yang ada dalam diri itu adalah pegangan yang berasaskan tali kekukufuran.

Maka sebab itu, untuk memangkin kekuatan iman agar sentiasa sebati dengan darah daging, sebati dengan jiwa raga dan sebati dengan amalan dan budaya hidup, maka nilai-nilai istiqomah inilah yang perlu diserapkan, nilai-nilai inilah yang perlu dijelmakan dan nilai-nilai ini juga perlu diturapkan dalam diri agar perjalanan untuk mencari rahmat Allah pasti kesampaian.



Sekian, wassalam

Al Faqir Ila 'Afwi Rabb
Lutpi Mustafa el-Batnani




ISTIQOMAH DAN PENDIRIAN HIDUP


Menurut bahasa, istiqomah bererti lurus dan rata, manakala dari sudut istilah pula sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn Rejab, iaitu berdiri pada jalan yang lurus (ad-Deen al-Qayyim) tanpa adanya kepincangan, sama ada ke kanan atau ke kiri yang mencakupi segala bentuk ketaatan kepada Allah, sama ada bersifat lahiriyah ataupun batiniyah serta meninggalkan segala laranganNya. Istiqomah juga bererti konsisten dan teguh berdiri di jalan ketaatan kepada ketuhanan Allah, iaitu melakukan sesuatu amalan itu dengan secara berterusan dan dengan berpegang teguh kepada ajaran Islam tanpa sedikitpun ada keraguan. Secara dasarnya, istiqomah bererti berdiri teguh di atas jalan yang benar, iaitu jalan Islam dalam segenap penjuru dan ruang-lingkup kehidupan, sama ada dari sudut akidah dan pegangan hidup, dari sudut ibadat dan amalan, dari sudut pandangan dan perjuangan hidup dan sebagainya, iaitu tidak sedikitpun akan berganjak dari jalan tersebut walaupun terdapat pelbagai ancaman, godaan dan rintangan.

            Di dalam sepotong hadith, yang diriwayatkan dari Sufian Ibn Abdullah r.a. telah menceritakan bahawa beliau pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. mengenai suatu ungkapan yang mana beliau tidak akan bertanya lagi tentangnya dengan orang lain, lalu Rasulullah s.a.w. menjawab:

قُلْ أمَنْتُ بِالله ثُمَّ اسْتَقيْم

Maksudnya: “Katakanlah, Aku beriman dengan Allah dan kemudian hendaklah kamu istiqomah”.


            Di sana terdapat pelbagai ulasan dan pandangan para ulama mengenai hadith di atas dan untuk lebih memahami, ada baiknya kita berkongsi pendapat dengan ulasan yang dikemukakan oleh para ulama mengenai hadith di atas.

            Menurut pendapat Qadi bin ‘Iyadh bahawa hadith ini adalah di antara ungkapan yang ringkas, tetapi padat dengan makna dari Rasulullah s.a.w. Maka benarlah di sana bahawa orang-orang yang berkata Tuhan kami adalah Allah dan kemudian mereka beristiqomah dan tidak berpaling dari akidah tauhid, berterusan dengan keiltizaman mentaati perintah Allah sehingga ke akhir hayat. Oleh itu. Konsep istiqomah menurut Qadi bin ‘Iyadh adalah tetap berdiri teguh di atas prinsip tauhid dan mentaati perintah Allah hingga menemui ke akhir hayat.


            Manakala Iman al-Munawi telah menyatakan bahawa ungkapan perkataan: ‘Aku Beriman Dengan Allah’ bermaksud memperbaharui iman kepada Allah dengan menyebutnya dalam hati sanubari dan jiwa nurani serta mengungkapkan dengan lidah dan kemudian menghadirkan segala pengertian iman yang disyari’atkan. Manakala ungkapan perkataan: ‘Hendaklah Kamu Beristiqomah’ bermaksud beriltizam dengan mengerjakan amal ketaatan dan menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang bertentangan dengan syari’at Allah. Oleh itu, pengertian istiqomah menurut pandangan Imam al-Munawi ini ialah berkisar mengenai nilai-nilai ketaatan kepada Allah dan menjauhi segala rupa bentuk larangan-laranganNya.

Firman Allah Ta’ala:

فَاسْتَقِيمُوا إِلَيْهِ وَاسْتَغْفِرُوهُ

Maksudnya: “Maka hendaklah kamu beristiqomah kepadaNya dan pohonlah keampunanNya”.

Perkataan  istiqomah  dalam ayat ini adalah bermaksud tegak di atas jalan yang lurus untuk mengabdikan diri kepada Allah tanpa berpaling ke arah yang lain. Istiqomah juga bermaksud ‘al-istiwa’ iaitu lurus dan seimbang tanpa berbelah bagi. Di dalam sepotong ayat yang lain, Allah berfirman:

إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang berkata, “Tuhan kami adalah Allah, kemudian beristiqomah”.

Di dalam ayat ini, perkataan istiqomah adalah bermaksud melaksanakan ketaatan kepada Allah dan berpegang teguh kepada sunnah Nubuwah s.a.w. Menurut al-Aswad ibn Malik, bahawa ayat ini membawa pengertian agar setiap muslim yang melapazkan pengakuan keimanan tidak sekali-kali menyekutukan Allah dengan apa jua sekalipun, manakala menurut al-Qatadah bahawa perkataan istiqomah pada ayat di atas bererti teguhkan pendirian untuk selalu mentaati perintah Allah Ta’ala. Oleh itu, nilai-nilai istiqomah ini dapat dikatakan sebagai pendirian yang teguh atau konsisten untuk sentiasa mentaati perintah dan titah Allah, sama ada dalam keyakinan, perkataan dan perbuatan, kemudian tetap kekal dalam tersebut. Ianya melambangkan keteguhan iman yang terpancak dalam hati sanubari, ikhlas dalam amalan hidup dan menunaikan seluruh kewajiban.

            Sesungguhnya Allah Ta’ala telah mewajibkan kepada Rasulullah s.a.w. dan sekalian kaum muslimin agar sentiasa istiqomah dan tetap berdiri teguh di jalan Allah. Perkara ini telah dimaklumkan dalam sepotong ayatNya, di dalam Surah Hud ayat 112:

فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَنْ تَابَ مَعَكَ وَلاَ تَطْغَوْا إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Maksudnya: “Maka beristiqomahlah kamu (wahai Muhamad) di atas jalan yang benar, sebagaimana yang diperintahkan kepada mu dan kepada orang-orang yang kembali bertaubat bersama mu, janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan”.

           Apabila Allah Ta’ala memerintahkan supaya taat setia kepada segala suruhan dan laranganNya yang mencakupi pelbagai bidang dan lapangan hidup, bermula dari akidah tauhid, nubuwah, dakwah, perjuangan dan sebagainya, maka di sana Allah memerintahkan kepada Rasulullah s.a.w. supaya beristiqomah, iaitu teguhkan pendirian di atas apa yang telah diperintahkan itu kepadanya.  Perintah istiqomah di sini mencakupi pelbagai perkara dan pelbagai bidang dalam program syari’at  dan tugas ini tentunya sangat berat dan tidak tertanggung oleh manusia biasa. Menurut Ibn Abbas r.a. bahawa tidak ada ayat yang diturunkan kepada Nabi s.a.w. yang lebih berat dan sangat sulit berbanding dengan Surah Hud, ayat 112.  Oleh sebab itu, apabila baginda s.a.w. diajukan pertanyaan oleh para sahabat mengapa rambutnya cepat sekali beruban, lalu baginda s.a.w. menyatakan bahawa rambutnya uban dengan sebab Surah Hud.


Sekian, wassalam

Al Faqir Ila Afwi Rabb
Lutpi Mustafa el-Batnani

NILAI ISTIQOMAH


Setiap hamba yang beriman kepada Allah mesti memahami hakikat kehidupan, bahawa kehidupan yang dibawa itu sebenarnya mempunyai tujuan dan matlamat untuk dibawa ke pangkuan Allah, kehidupan itu sebenarnya mempunyai arah dan hala tuju yang perlu dijelmakan mengikut acuan syari’at dan kehidupan itu sebenarnya tidak boleh berada jauh dari garis panduan syari’at. Segala perjalanan dan gerak-geri dalam kehidupan, segala amalan dan perbuatan, segala gerak kerja dan tingkah-laku akan dipertimbangkan dan dihitung di hari akhirat nanti. Di dalam merealisasi perjalanan hidup agar tidak melencong jauh dari syari’at, maka sudah tentu di sana terdapat pelbagai bentuk halangan dan rintangan yang terpaksa ditempoh oleh seseorang muslim. Andaikata dia tidak berjaya dalam menghadapi halangan dan rintangan ini atau dia gagal menempoh halangan yang ada di hadapannya, maka sudah pasti dia akan rebah dan kecundang, dia akan kalah dalam pertarungan tersebut ketika menghadapi kehidupan.

            Namun demikian, perkara ini bukan bererti dia terus gagal dalam perjuangan hidupnya, halangan dan rintangan itu bertujuan untuk ‘mendewasakan’ kehidupannya agar dia menjadi seorang yang cekal dan tidak mudah ‘patah semangat’, tidak mudah putus asa atau menyerah kalah. Apa jua bentuk halangan dan rintangan yang datang menjelma, yang penting perkara tersebut tidak mengubah pendirian dan pegangan hidupnya, perasaan hati sanubari dan jiwa nuraninya tidak sedikitpun bergerak dan berganjak dari tempat asalnya, hubungan ketuhanan yang diikat dan dibelit dalam dirinya tidak sedikitpun kelihatan tanda-tanda kecacatan, bahkan perkara tersebut telah mengukuhkan lagi simpulan tali keimanan terhadap ketuhanan Allah. Maka di sinilah letaknya kekuatan istiqomah.

Firman Allah Ta’ala:

إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا فلاَ خَوْفٌ عَلَيْهِمْ ولاَ هُمْ يَحْزَنُونَ أُولَٰئِكَ  أَصْحَابُ الْجَنَّةِ خَالِدِينَ فِيهَا جَزَاءً بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya mereka yang berkata: Tuhan kami adalah Allah, kemudian mereka beristiqomah, maka tak ada baginya rasa takut dan dukacita, mereka adalah penghuni syurga kekal di dalamnya sebagai balasan atas apa-apa yang mereka lakukan”.[1]

            Kekuatan istiqomah adalah bergantung kepada kekuatan iman dan keluhurannya, kerana hubungan yang erat dengan ketuhanan Allah akan menjamin nilai-nilai dan keunggulan dirinya. Hubungan yang erat itu akan mengikat kuat simpulan tali keimanan dan pegangannya itu agar tidak terlucut dan tidak terlepas. Hubungan itu juga akan menjamin masa depan kehidupan, di dunia dan di akhirat. Maka, nilai-nilai istiqomah akan datang dengan sendiri dalam kehidupan apabila nilai-nilai keimanan dan ketakwaan itu datang menjelma, yang mengikat erat pegangan akidah terhadap ketuhanan Allah, nilai-nilai istiqomah itu akan menjadi sebati dengan nilai-nilai keimanan dan ketakwaan yang tidak mungkin dipisahkan.

Seseorang manusia yang lemah imannya dan lembik pula pegangannya adalah manusia yang tidak tahan diuji, manusia seumpama ini adalah manusia yang tidak lasak dan mudah rentung dalam kehidupan. Jika demikian, sudah tentu mereka akan mudah kalah dan mudah menyerahkan kalah dalam menghadapi situasi yang mencengkam ruangan hidupnya, mereka tidak mampu menyekat godaan yang datang menjelma dan mereka tidak mampu bersabar atau menahan diri dari badai yang melanda yang menguji kekuatan hidupnya. Mereka akan menjadi manusia yang kecundang dan tersungkur dalam perjuangan hidup, sebabnya ialah kerana faktor kelemaham iman dan kelembikan pegangan. Faktor inilah yang menyebabkan manusia sanggup menjual agama dengan harga yang murah tanpa menyedari nilai-nilai harganya sangat mahal di sisi Allah. Andaikata mereka menyedari betapa mahalnya nilai-nilai agama, iaitu nilai-nilai iman dan pegangan hidupnya di sisi Allah, nescaya mereka tidak sanggup berbuat demikian. Mereka sanggup terkorban dan sanggup mengorbankan diri demi agama yang tercinta, mereka sanggup menggadai nyawa dan menukarkannya dengan sebuah kematian, mereka sanggup menukarkan kehidupan duniawi dengan kehidupan ukhrawi, mereka sanggup menjual kehidupan dengan harga yang murah dan membeli kematian dengan harga yang mahal demi iman dan pegangan hidupnya terhadap ketuhanan Allah. Para mujahidin dan para pejuangan sepanjang zaman sanggup menukarkan harta benda dan kemewahan hidup, sanggup menggadai nyawa dan kehidupan demi agama, sanggup meninggalkan belaian kasih-sayang bersama anak dan isteri demi mempertahankan agama Allah, sedangkan mereka tahu bahawa jalan tersebut adalah jalan yang sukar dan memilukan, jalan tersebut penuh dengan ranjau yang berliku-liku, penuh dengan onak dan duri, penuh dengan kesakitan dan tragis. Namun, kerana agama Allah segala-gala bertukar wajah dan tidak boleh bertolak-ansur.

Kenapa mereka sanggup berbuat demikian..?

Sudah tentu kerana agama Allah, kerana iman dan pegangan hidupnya terhadap Allah. Nilai-nilai inilah yang akan membentuk kekuatan hati dan keunggulan diri, nilai-nilai ini akan menyusur dalam kehidupan untuk membentuk keyakinan dan keyakinan inilah yang akan membentuk nilai-nilai istiqomah untuk diprogramkan dalam rutin kehidupannya.

Sabda Rasulullah s.a.w.

قَالَ هَذَا سَبِيلُ اللَّهِ ثُمَّ خَطَّ خُطُوطًا عَنْ يَمِينِهِ وَعَنْ شِمَالِهِ ثُمَّ قَالَ هَذِهِ سُبُلٌ قَالَ يَزِيدُ مُتَفَرِّقَةٌ عَلَى كُلِّ سَبِيلٍ مِنْهَا شَيْطَانٌ يَدْعُو إِلَيْهِ ثُمَّ قَرَأ: إِنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ

Maksudnya: “Ini adalah jalan Allah, kemudian beliau membuat garis-garis lain di samping kiri dan kanannya dan bersabda: Ini adalah jalan-jalan yang lain, tidak ada satupun darinya melainkan padanya ada syaitan yang menyeru kepadanya, kemudian baginda membaca ayat[2]: “Dan bahawa apa yang Kami perintahkan ini adalah jalan Ku yang lurus, maka ikutilah dan jangan kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain) kerana jalan-jalan itu akan mencerai-beraikan kamu dari jalanNya”.



Sekian, wassalam

Al Faqir Ila Afwi Rabb
Lutpi Mustafa el-Batnani


[1]  Al-Quran, Surah al-Ahqaf: 46:13-14
[2] Al-Quran, Surah al-An’am: 6: 153