PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Tuesday, 29 January 2013

PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN



Tentu sekali, istiqomah mempunyai nilai-nilainya sendiri di sisi Allah untuk dibayar dengan harga yang mahal, nilai-nilai istiqomah ini bertanggungjawab mengukuhkan lagi hubungan dengan ketuhanan di samping melahirkan perasaan indah dan nyaman ketika melakukan ubudiyah kepadaNya. Perasaan hati sanubari dan jiwa nurani akan dicengkam erat terhadap keesaan Allah dengan memasukkan warna keimanan yang luhur dan merungkaikan segala ikatan yang lain yang tiada kaitan dengan Allah. Segala godaan hawa nafsu dan bisikan syaitan laknat akan dilempiaskan jauh-jauh agar iman yang tersimpan erat dalam hatinya menjadi putih bersih.

Nilai-nilai istiqomah ini juga akan mempertarungkan di antara warna keimanan dan warna kekufuran dalam pegangan hidup seseorang hamba. Pertarungan ini melambangkan kekuatan dan nilai upaya yang sepatutnya dan yang perlu wujud dalam pegangan hidup seseorang hamba. Kerana, iman dan kufur sentiasa bertelingkah dan berbalah dan tidak sekali-sekali boleh kompromi dalam satu pegangan hidup. Andaikata iman itu menang dalam pertarungan, maka secara tidak langsung kufur itu dapat tewas dan dikalahkan, kemudian disingkirkan dari pegangan hidup. Tetapi, andaikata kufur itu menang dalam pertarungan hidup, maka sudah tentu iman itu akan tumbang dan kalah, maka pegangan hidup yang ada dalam diri itu adalah pegangan yang berasaskan tali kekukufuran.

Maka sebab itu, untuk memangkin kekuatan iman agar sentiasa sebati dengan darah daging, sebati dengan jiwa raga dan sebati dengan amalan dan budaya hidup, maka nilai-nilai istiqomah inilah yang perlu diserapkan, nilai-nilai inilah yang perlu dijelmakan dan nilai-nilai ini juga perlu diturapkan dalam diri agar perjalanan untuk mencari rahmat Allah pasti kesampaian.



Sekian, wassalam

Al Faqir Ila 'Afwi Rabb
Lutpi Mustafa el-Batnani




ISTIQOMAH DAN PENDIRIAN HIDUP


Menurut bahasa, istiqomah bererti lurus dan rata, manakala dari sudut istilah pula sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn Rejab, iaitu berdiri pada jalan yang lurus (ad-Deen al-Qayyim) tanpa adanya kepincangan, sama ada ke kanan atau ke kiri yang mencakupi segala bentuk ketaatan kepada Allah, sama ada bersifat lahiriyah ataupun batiniyah serta meninggalkan segala laranganNya. Istiqomah juga bererti konsisten dan teguh berdiri di jalan ketaatan kepada ketuhanan Allah, iaitu melakukan sesuatu amalan itu dengan secara berterusan dan dengan berpegang teguh kepada ajaran Islam tanpa sedikitpun ada keraguan. Secara dasarnya, istiqomah bererti berdiri teguh di atas jalan yang benar, iaitu jalan Islam dalam segenap penjuru dan ruang-lingkup kehidupan, sama ada dari sudut akidah dan pegangan hidup, dari sudut ibadat dan amalan, dari sudut pandangan dan perjuangan hidup dan sebagainya, iaitu tidak sedikitpun akan berganjak dari jalan tersebut walaupun terdapat pelbagai ancaman, godaan dan rintangan.

            Di dalam sepotong hadith, yang diriwayatkan dari Sufian Ibn Abdullah r.a. telah menceritakan bahawa beliau pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. mengenai suatu ungkapan yang mana beliau tidak akan bertanya lagi tentangnya dengan orang lain, lalu Rasulullah s.a.w. menjawab:

قُلْ أمَنْتُ بِالله ثُمَّ اسْتَقيْم

Maksudnya: “Katakanlah, Aku beriman dengan Allah dan kemudian hendaklah kamu istiqomah”.


            Di sana terdapat pelbagai ulasan dan pandangan para ulama mengenai hadith di atas dan untuk lebih memahami, ada baiknya kita berkongsi pendapat dengan ulasan yang dikemukakan oleh para ulama mengenai hadith di atas.

            Menurut pendapat Qadi bin ‘Iyadh bahawa hadith ini adalah di antara ungkapan yang ringkas, tetapi padat dengan makna dari Rasulullah s.a.w. Maka benarlah di sana bahawa orang-orang yang berkata Tuhan kami adalah Allah dan kemudian mereka beristiqomah dan tidak berpaling dari akidah tauhid, berterusan dengan keiltizaman mentaati perintah Allah sehingga ke akhir hayat. Oleh itu. Konsep istiqomah menurut Qadi bin ‘Iyadh adalah tetap berdiri teguh di atas prinsip tauhid dan mentaati perintah Allah hingga menemui ke akhir hayat.


            Manakala Iman al-Munawi telah menyatakan bahawa ungkapan perkataan: ‘Aku Beriman Dengan Allah’ bermaksud memperbaharui iman kepada Allah dengan menyebutnya dalam hati sanubari dan jiwa nurani serta mengungkapkan dengan lidah dan kemudian menghadirkan segala pengertian iman yang disyari’atkan. Manakala ungkapan perkataan: ‘Hendaklah Kamu Beristiqomah’ bermaksud beriltizam dengan mengerjakan amal ketaatan dan menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang bertentangan dengan syari’at Allah. Oleh itu, pengertian istiqomah menurut pandangan Imam al-Munawi ini ialah berkisar mengenai nilai-nilai ketaatan kepada Allah dan menjauhi segala rupa bentuk larangan-laranganNya.

Firman Allah Ta’ala:

فَاسْتَقِيمُوا إِلَيْهِ وَاسْتَغْفِرُوهُ

Maksudnya: “Maka hendaklah kamu beristiqomah kepadaNya dan pohonlah keampunanNya”.

Perkataan  istiqomah  dalam ayat ini adalah bermaksud tegak di atas jalan yang lurus untuk mengabdikan diri kepada Allah tanpa berpaling ke arah yang lain. Istiqomah juga bermaksud ‘al-istiwa’ iaitu lurus dan seimbang tanpa berbelah bagi. Di dalam sepotong ayat yang lain, Allah berfirman:

إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang berkata, “Tuhan kami adalah Allah, kemudian beristiqomah”.

Di dalam ayat ini, perkataan istiqomah adalah bermaksud melaksanakan ketaatan kepada Allah dan berpegang teguh kepada sunnah Nubuwah s.a.w. Menurut al-Aswad ibn Malik, bahawa ayat ini membawa pengertian agar setiap muslim yang melapazkan pengakuan keimanan tidak sekali-kali menyekutukan Allah dengan apa jua sekalipun, manakala menurut al-Qatadah bahawa perkataan istiqomah pada ayat di atas bererti teguhkan pendirian untuk selalu mentaati perintah Allah Ta’ala. Oleh itu, nilai-nilai istiqomah ini dapat dikatakan sebagai pendirian yang teguh atau konsisten untuk sentiasa mentaati perintah dan titah Allah, sama ada dalam keyakinan, perkataan dan perbuatan, kemudian tetap kekal dalam tersebut. Ianya melambangkan keteguhan iman yang terpancak dalam hati sanubari, ikhlas dalam amalan hidup dan menunaikan seluruh kewajiban.

            Sesungguhnya Allah Ta’ala telah mewajibkan kepada Rasulullah s.a.w. dan sekalian kaum muslimin agar sentiasa istiqomah dan tetap berdiri teguh di jalan Allah. Perkara ini telah dimaklumkan dalam sepotong ayatNya, di dalam Surah Hud ayat 112:

فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَنْ تَابَ مَعَكَ وَلاَ تَطْغَوْا إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Maksudnya: “Maka beristiqomahlah kamu (wahai Muhamad) di atas jalan yang benar, sebagaimana yang diperintahkan kepada mu dan kepada orang-orang yang kembali bertaubat bersama mu, janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan”.

           Apabila Allah Ta’ala memerintahkan supaya taat setia kepada segala suruhan dan laranganNya yang mencakupi pelbagai bidang dan lapangan hidup, bermula dari akidah tauhid, nubuwah, dakwah, perjuangan dan sebagainya, maka di sana Allah memerintahkan kepada Rasulullah s.a.w. supaya beristiqomah, iaitu teguhkan pendirian di atas apa yang telah diperintahkan itu kepadanya.  Perintah istiqomah di sini mencakupi pelbagai perkara dan pelbagai bidang dalam program syari’at  dan tugas ini tentunya sangat berat dan tidak tertanggung oleh manusia biasa. Menurut Ibn Abbas r.a. bahawa tidak ada ayat yang diturunkan kepada Nabi s.a.w. yang lebih berat dan sangat sulit berbanding dengan Surah Hud, ayat 112.  Oleh sebab itu, apabila baginda s.a.w. diajukan pertanyaan oleh para sahabat mengapa rambutnya cepat sekali beruban, lalu baginda s.a.w. menyatakan bahawa rambutnya uban dengan sebab Surah Hud.


Sekian, wassalam

Al Faqir Ila Afwi Rabb
Lutpi Mustafa el-Batnani

NILAI ISTIQOMAH


Setiap hamba yang beriman kepada Allah mesti memahami hakikat kehidupan, bahawa kehidupan yang dibawa itu sebenarnya mempunyai tujuan dan matlamat untuk dibawa ke pangkuan Allah, kehidupan itu sebenarnya mempunyai arah dan hala tuju yang perlu dijelmakan mengikut acuan syari’at dan kehidupan itu sebenarnya tidak boleh berada jauh dari garis panduan syari’at. Segala perjalanan dan gerak-geri dalam kehidupan, segala amalan dan perbuatan, segala gerak kerja dan tingkah-laku akan dipertimbangkan dan dihitung di hari akhirat nanti. Di dalam merealisasi perjalanan hidup agar tidak melencong jauh dari syari’at, maka sudah tentu di sana terdapat pelbagai bentuk halangan dan rintangan yang terpaksa ditempoh oleh seseorang muslim. Andaikata dia tidak berjaya dalam menghadapi halangan dan rintangan ini atau dia gagal menempoh halangan yang ada di hadapannya, maka sudah pasti dia akan rebah dan kecundang, dia akan kalah dalam pertarungan tersebut ketika menghadapi kehidupan.

            Namun demikian, perkara ini bukan bererti dia terus gagal dalam perjuangan hidupnya, halangan dan rintangan itu bertujuan untuk ‘mendewasakan’ kehidupannya agar dia menjadi seorang yang cekal dan tidak mudah ‘patah semangat’, tidak mudah putus asa atau menyerah kalah. Apa jua bentuk halangan dan rintangan yang datang menjelma, yang penting perkara tersebut tidak mengubah pendirian dan pegangan hidupnya, perasaan hati sanubari dan jiwa nuraninya tidak sedikitpun bergerak dan berganjak dari tempat asalnya, hubungan ketuhanan yang diikat dan dibelit dalam dirinya tidak sedikitpun kelihatan tanda-tanda kecacatan, bahkan perkara tersebut telah mengukuhkan lagi simpulan tali keimanan terhadap ketuhanan Allah. Maka di sinilah letaknya kekuatan istiqomah.

Firman Allah Ta’ala:

إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا فلاَ خَوْفٌ عَلَيْهِمْ ولاَ هُمْ يَحْزَنُونَ أُولَٰئِكَ  أَصْحَابُ الْجَنَّةِ خَالِدِينَ فِيهَا جَزَاءً بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya mereka yang berkata: Tuhan kami adalah Allah, kemudian mereka beristiqomah, maka tak ada baginya rasa takut dan dukacita, mereka adalah penghuni syurga kekal di dalamnya sebagai balasan atas apa-apa yang mereka lakukan”.[1]

            Kekuatan istiqomah adalah bergantung kepada kekuatan iman dan keluhurannya, kerana hubungan yang erat dengan ketuhanan Allah akan menjamin nilai-nilai dan keunggulan dirinya. Hubungan yang erat itu akan mengikat kuat simpulan tali keimanan dan pegangannya itu agar tidak terlucut dan tidak terlepas. Hubungan itu juga akan menjamin masa depan kehidupan, di dunia dan di akhirat. Maka, nilai-nilai istiqomah akan datang dengan sendiri dalam kehidupan apabila nilai-nilai keimanan dan ketakwaan itu datang menjelma, yang mengikat erat pegangan akidah terhadap ketuhanan Allah, nilai-nilai istiqomah itu akan menjadi sebati dengan nilai-nilai keimanan dan ketakwaan yang tidak mungkin dipisahkan.

Seseorang manusia yang lemah imannya dan lembik pula pegangannya adalah manusia yang tidak tahan diuji, manusia seumpama ini adalah manusia yang tidak lasak dan mudah rentung dalam kehidupan. Jika demikian, sudah tentu mereka akan mudah kalah dan mudah menyerahkan kalah dalam menghadapi situasi yang mencengkam ruangan hidupnya, mereka tidak mampu menyekat godaan yang datang menjelma dan mereka tidak mampu bersabar atau menahan diri dari badai yang melanda yang menguji kekuatan hidupnya. Mereka akan menjadi manusia yang kecundang dan tersungkur dalam perjuangan hidup, sebabnya ialah kerana faktor kelemaham iman dan kelembikan pegangan. Faktor inilah yang menyebabkan manusia sanggup menjual agama dengan harga yang murah tanpa menyedari nilai-nilai harganya sangat mahal di sisi Allah. Andaikata mereka menyedari betapa mahalnya nilai-nilai agama, iaitu nilai-nilai iman dan pegangan hidupnya di sisi Allah, nescaya mereka tidak sanggup berbuat demikian. Mereka sanggup terkorban dan sanggup mengorbankan diri demi agama yang tercinta, mereka sanggup menggadai nyawa dan menukarkannya dengan sebuah kematian, mereka sanggup menukarkan kehidupan duniawi dengan kehidupan ukhrawi, mereka sanggup menjual kehidupan dengan harga yang murah dan membeli kematian dengan harga yang mahal demi iman dan pegangan hidupnya terhadap ketuhanan Allah. Para mujahidin dan para pejuangan sepanjang zaman sanggup menukarkan harta benda dan kemewahan hidup, sanggup menggadai nyawa dan kehidupan demi agama, sanggup meninggalkan belaian kasih-sayang bersama anak dan isteri demi mempertahankan agama Allah, sedangkan mereka tahu bahawa jalan tersebut adalah jalan yang sukar dan memilukan, jalan tersebut penuh dengan ranjau yang berliku-liku, penuh dengan onak dan duri, penuh dengan kesakitan dan tragis. Namun, kerana agama Allah segala-gala bertukar wajah dan tidak boleh bertolak-ansur.

Kenapa mereka sanggup berbuat demikian..?

Sudah tentu kerana agama Allah, kerana iman dan pegangan hidupnya terhadap Allah. Nilai-nilai inilah yang akan membentuk kekuatan hati dan keunggulan diri, nilai-nilai ini akan menyusur dalam kehidupan untuk membentuk keyakinan dan keyakinan inilah yang akan membentuk nilai-nilai istiqomah untuk diprogramkan dalam rutin kehidupannya.

Sabda Rasulullah s.a.w.

قَالَ هَذَا سَبِيلُ اللَّهِ ثُمَّ خَطَّ خُطُوطًا عَنْ يَمِينِهِ وَعَنْ شِمَالِهِ ثُمَّ قَالَ هَذِهِ سُبُلٌ قَالَ يَزِيدُ مُتَفَرِّقَةٌ عَلَى كُلِّ سَبِيلٍ مِنْهَا شَيْطَانٌ يَدْعُو إِلَيْهِ ثُمَّ قَرَأ: إِنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ

Maksudnya: “Ini adalah jalan Allah, kemudian beliau membuat garis-garis lain di samping kiri dan kanannya dan bersabda: Ini adalah jalan-jalan yang lain, tidak ada satupun darinya melainkan padanya ada syaitan yang menyeru kepadanya, kemudian baginda membaca ayat[2]: “Dan bahawa apa yang Kami perintahkan ini adalah jalan Ku yang lurus, maka ikutilah dan jangan kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain) kerana jalan-jalan itu akan mencerai-beraikan kamu dari jalanNya”.



Sekian, wassalam

Al Faqir Ila Afwi Rabb
Lutpi Mustafa el-Batnani


[1]  Al-Quran, Surah al-Ahqaf: 46:13-14
[2] Al-Quran, Surah al-An’am: 6: 153

Saturday, 8 December 2012

PERISTIWA YANG BERLAKU DALAM BULAN REJAB



Rejab bermakna kebesaran atau kemuliaan. Ia juga membawa maksud bulan yang dibesarkan atau dimuliakan. Masyarakat jahiliyyah menamakan bulan ini dengan bulan Rejab mereka memuliakan dan menghormati bulan ini dengan mengharamkan pertumpahan darah di bulan Rejab. Bagi umat Islam, kita memperingati dan memuliakan Rejab sempena dengan peristiwa besar yang berlaku kepada Rasulullah s.a.w iaitu peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Antara peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam bulan Rejab ialah :

1. Hijrah Pertama
Hijrah ke Habsyah (Ethiopia) berlaku kerana pihak musyrikin Mekah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada Rasulullah s.a.w dan mereka yang beriman kepada Rasulullah s.a.w pada ketika itu. Ada di kalangan sahabat yang mengadu kepada Rasulullah s.a.w tentang derita yang mereka tanggung lalu Rasulullah s.a.w memerintahkan agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah. Tujuan hijrah ini adalah untuk menyelamatkan iman dan keselamatan diri di samping untuk mencari tapak baru untuk Islam bertapak dan menyusun langkah untuk agenda seterusnya. Diantara mereka yang berhijrah ke Habsyah ialah Saidina Othman r.a dan isterinya Ruqayyah anak Rasulullah s.a.w. Jumlah mereka adalah 14 orang termasuk 4 orang wanita. Habsyah dipilih kerana rajanya dikenali dengan toleransi dan sikap terbukanya.

2. Isra’ dan Mi’raj
Isra’ dan Mi’raj ertinya Rasulullah s.a.w dijalankan dari Mekah ke Baitulmaqdis di waktu malam dan diangkat ke langit bertemu Allah s.w.t untuk mengambil kewajipan solat 5 waktu dari Allah s.w.t . Dalam menentukan tarikh bila berlakunya peristiwa ini, sebahagian ulama’ mengatakan pada 27 RabiulAkhir, sebahagian  mengatakan pada 17 RabiulAwwal, sebahagian yang lain mengatakan pada  29 Ramadhan,  ada yang mengatakan pada 27 Rejab dan ada juga ulama’ yang mengatakan selain daripada tanggal-tanggal yang telah disebutkan.Adapun yang terbanyak ialah golongan yang mengatakan pada tanggal 27 Rejab sekalipun tidak disertai dengan alas an yang kuat. Tahun berlakunya juga terdapat perselisihan pendapat ulama’.
3. Perang Tabuk
Tabuk adalah mengambil nama sempena nama satu tempat di Utara Semenanjung Arab di mana Rasulullah s.a.w dan 30 ribu tentera Islam berkumpul. Tidak berlaku pertempuran kerana tentera Rom telah melarikan diri kerana takut dan gerun dengan kekuatan dan kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi pelbagai kesukaran.

4. Pembebasan Baitul-Maqdis
Baitulmaqdis telah dibuka pada zaman Saidina Umar Al-Khattab r.a di zaman pemerintahannya. Akibat kelalaian dan pepecahan umat Islam di zaman pemerintahan Abasiyah, Kristian (tentera Salib) telah melakukan serangan demi serangan keatas Baitulmaqdis dan akhirnya dapat menawan kota suci Baitulmaqdis setelah 500 tahun dikuasai oleh pemerintah Islam. Tentera Salib telah menduduki Baitulmaqdis hampir 60 tahun sebelum dibebaskan kembalioleh panglima Islam terkenal Solahuddin Al-Ayubi. Beliau telah menawan kembali Baitulmaqdis dari tangan tentera Salib pada hari Jumaat, 27 Rejab 583H. Dan pada tahun 1967 bersamaan 1387H Yahudi pila menawan Baitulmaqdis (Palestin) dan menamakan negara baru mereka dengan nama Israel.

5. Lahirnya Imam As-Syafie r.a
Nama sebenar Imam As-Syafie r.a ialah Muhammad bin Idris. Beliau lahir di Ghazah, Pelestin pada tahun 150H bersamaan 767 Masehi dalam bulan Rejab. Beliau adalah salah seorang dari empat imam mazhab yang besar dalam dunia fiqh. Malaysia mengamalkan mazhab As-Syafie. Diantara peniggalan Imam As-Syafie r.a yang menjadi rujukan sehingga sekarang ialah kitab Al-Umm.


Sumber dari: http://tokwan.wordpress.com/2009/07/




Tuesday, 30 October 2012

JALAN PENYELESAIAN


Islam datang menjelma dalam kehidupan manusia dengan membawa pegangan hidup dan rupa bentuk akidah yang membawa manusia mengabdikan diri kepada Allah semata-mata. Islam hanya membawa satu jalan penyelesaian untuk menjadi penawar dalam permasalahan yang dihadapi oleh manusia, iaitu hanya kembali ke pangkuan Allah. Secara tidak langsung, dia akan melaksanakan konsep ‘ubudiyyah ke dalam dirinya dan nilai-nilai pengabdian itu akan melaksanakan rububiyyah dan uluhiyyah yang merupakan undang-undang universal untuk membentuk individu muslim yang unik. Maka, di sini letaknya peranan yang perlu dimainkan oleh ulama. Para ulama perlu mengekalkan tabiat ketuhanan dalam diri manusia, iaitu tabiat yakin dan percaya untuk diserapkan ke dalam hati sanubari dan jiwa nurani, tabiat yang membawa nilai-nilai dan harga diri manusia kembali ke pangkuan Allah. Ini kerana, generasi manusia yang lahir nanti adalah generasi yang mempunyai tabiat ketuhanan dengan nilai-nilai yang luhur dan generasi yang akan kembali ke pangkuan Tuhan apabila mereka dihinggapi permasalahan dalam kehidupan. Mereka perlu diseru untuk menerima-pakai tabiat yang mulia ini dan melempar jauh sebarang unsur yang bertentangan dengan tabiat ini, kerana hakikat kehidupan yang sebenar itu mesti berpijak di alam realiti bahawa semua manusia nanti akan kembali membawa amalan mereka masing-masing untuk dipersembahkan kepada Tuhan Yang Maha Esa di suatu hari nanti.

   Jalan penyelesaikan dalam permasalahan hidup ialah membawa manusia kembali ke pangkuan Tuhan dan perkara inilah yang perlu difahami oleh setiap anggota masyarakat. Maka, penjelasan tentang kefahaman itu perlu dihuraikan oleh para ulama, kerana mereka adalah sebaik-baik manusia yang boleh berbuat demikian. Apabila masyarakat faham tentang hakikat yang sebenar, bahawa dengan kembali ke pangkuan Tuhan itu merupakan sebaik-baik jalan penyelesaian dalam problam hidup, bererti mereka nanti berhak mendapat cahaya petunjuk dari Allah yang akan merungkaikan semua sekali ikatan tali permasalahan. Dengan sebab itu, nilai-nilai kehidupan amat berkait rapat dengan nilai-nilai ‘ubudiyyah, tinggi rendah darjat seseorang di sisi Allah bukan diukur dengan pancaindera yang lima atau bukan dengan sebab mereka dari keturunan mulia yang lazimnya mendapat tempat dan kedudukan di sisi masyarakat, bukan juga kerana mereka mendapat bintang kebesaran dan kemudian dianugerahkan gelaran yang tertinggi yang dikurniakan oleh pihak pemerintah, tetapi kemuliaan di sisi Allah adalah diukur dengan nilai-nilai ‘ubudiyyah itu tadi dan ketakwaan yang diikat dalam hati serta hubungan mereka dengan Allah. Darjat kemuliaan mereka akan menjadi semakin tinggi dan semakin meningkat apabila bertambahnya nilai-nilai itu tadi dalam diri.

Demikian pula bahawa permasalahan hidup dalam masyarakat datang menjelma adalah berpunca dari faktor sikap anggota dalam masyarakat itu sendiri sehingga menyebabkan pegangan hidup mereka menjadi semakin jauh dari Allah. Apabila umat Islam menyimpang jauh dari pegangan agama, maka berlaku di sana pelbagai gejala yang kurang sihat yang boleh mencemarkan maruah agama dan maruah umat Islam, yang boleh mencemarkan kesucian agama dan kesucian umat Islam itu sendiri.

Bermula dari pergaulan bebas di antara teruna dara sehingga menyebabkan keruntuhan moral dan akhlak, akhirnya timbul gejala kelahiran anak luar nikah, gejala najis dadah, pil-pil khayal, ketagihan arak dan lain-lain sehingga membawa kepada rosak iman seseorang itu, akhirnya akidah dan pegangan hidup menjadi musnah. Dengan permasalahan ini, umat Islam menjadi umat yang jauh menyimpang dari ajaran agamanya dan mereka tidak lagi menjadi umat yang mempunyai pertalian dengan Allah. Adakalanya permasalahan hidup dalam masyarakat bermula dari rumah kerana sikap kedua ibubapa yang tidak mengambl cakna terhadap pendidikan anak-anak mereka dan terlupa untuk menanam benih keimanan dan pegangan tali akidah ke dalam hati anak-anak mereka. Justeru, mereka mengabaikan pendidikan agama yang merupakan akar tunjang dalam pembentukan rohani anak-anak. Apabila tugas dan tanggungjawab menanam benih-benih agama diabaikan dan dibiarkan kerana alasan tidak begitu penting jika hendak dibandingkan dengan kerjaya hidup dan masa depan anak-anak mereka, maka akan lahirlah di sana generasi yang pincang dalam masyarakat, generasi yang tidak punya pertalian dengan Allah, generasi yang tidak punya apa-apa pegangan hidup yang lebih menumpukan perhatian kepada nilai-nilai kebendaan dan material, generasi yang tidak punya maruah dan tidak pula berakhlak mulia, generasi yang boleh diperdagangkan di pasaran dunia dan boleh dijual beli sekalipun dengan harga yang murah. Generasi seperti inilah yang akan meruntuhkan masyarakat Islam dan generasi inilah yang akan mencetuskan fenomena buruk kepada imej ajaran Islam yang akhirnya menjahanamkan umat Islam seluruhnya. Namun demikian, tanggungjawab membina dan membentuk masyarakat kembali ke pangkuan Allah bukan hanya terletak di atas bahu para ulama sahaja, bahkan tanggungjawab ini adalah tangggungjawab bersama supaya jalan penyelesaian hidup adalah laluan yang sama.

          Peranan ulama sentiasa berubah-ubah mengikut keadaan dan perkembangan semasa, namun tanggungjawab sebagai seorang pendidik tidak boleh dipertikaikan lagi. Di dalam situasi tertentu dalam masyarakat, para ulama dianggap sebagai pakar rujuk kepada sesuatu masalah yang timbul dan bertanggungjawab mencari jalan penyelesaian dalam persoalan tersebut.

Sabda Rasulullah s.a.w.

 اِنَّ اللهَ لاَ يَقْبِضَ اْلعِلْمَ انْتِزَاعًا مِنَ النَّاسِ وَلَكِنْ يَقْبِضُ اْلعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حتَّى إِذَا لَمْ يَتْرُكْ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُؤُوْسًا جُهَّالاً فَسُئِلُوْا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلًّوْا وَأَضَلُّوا

Maksudnya: “ Sesungguhnya Allah tidak menghapuskan ilmu secara mencabut dari dada manusia, tetapi Dia mencabut ilmu dengan mematikan ulama sehingga tiada lagi orang yang alim, lalu manusia mengangkat pemimpin mereka terdiri dalam kalangan orang-orang yang jahil, apabila diajukan pertanyaan, lalu mereka memberi fatwa tanpa berpandukan kepada ilmu pengetahuan, mereka itu menjadi sesat dan menyesatkan “ (Riwayat Tirmizi).

Demikianlah betapa pentingnya peranan ulama di dalam mengembangkan ajaran Allah ke dalam masyarakat, peranan untuk membangunkan tamadun keilmuan dan memusnahkan kejahilan, peranan untuk meletakkan syari'at Allah itu sebagai syi'ar keagungan Islam demi membangun kesejahteraan ummah sejagat dengan penerapan nilai-nilai yang suci. Dengan kebolehan dan ilmu pengetahuan yang dimiliki itu secara tidak langsung para ulama ini telah diktiraf sebagai ‘pakar’ dalam penyelesaikan sesuatu masalah. Seseorang ulama itu berhak mengeluarkan fatwa di dalam sesuatu urusan yang belum diputuskan dalam ajaran agama demi maslahat umum, kerana menjaga nama bail agama dan umat sejagat. Di samping itu, tugasan para ulama seharian ialah sebagai penasihat kepada umat Islam dengan mengajar mereka, mendidik, mentarbiyah dan menyeru mereka ke jalan yang benar, jalan yang diredhai oleh Allah Taala.

Cuba kita renung bersama-sama dan mengambil pengajaran yang baik terhadap kata-kata yang diungkapkan oleh Sayyidina Umar Al Khattab r.a. :

مَوْتُ أًلْفِ عَابِدٍ قَائِمِ اللَّيْلِ صَائِمِ النَّهَارِ أَهْوَنٌ مِنْ مَوْتِ عَالِمٍ بَصِيْرٍ بِحَلاَلِ اللهِ وَحَرَامِهِ

Maksudnya: “ Kematian seribu ahli ibadat yang sentiasa sembahyang malam dan puasa di siang hari terlebih baik kematian seorang alim yang sentiasa menghalalkan apa yang dihalalkan oleh Allah dan mengharamkan apa yang diharamkan oleh Allah “.

Oleh sebab itu, setiap generasi muslim hari ini mestilah berusaha sedaya upaya agar dia menjadi seorang ulama atau sentiasa mendampingi ulama atau sentiasa mendengar kata-kata ulama.





Sekian, wassalam


Al-Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa el-Batnani





INOVASI MINDA


Di sana terdapat peranan ulama yang sangat penting untuk mewujudkan nilai-nilai perubahan dalam masyarakat, peranan untuk melenyapkan sistem jahiliyah dan suku-sakatnya dari sebarang rupa bentuk bagi mewujudkan nilai-nilai pembaharuan ataupun tajdid, peranan untuk mencairkan pemikiran yang beku dan kelu untuk membentuk sebuah pemikiran yang lebih konsisten dan bersemangat, peranan untuk mengubah warna hidup yang gelap-gelita dan hitam pekat kepada warna hidup yang jernih dan terang benderang, peranan untuk mengubah perasaan hati sanubari dan jiwa nurani yang diselaputi dan disaluti debu-debu maksiat, kemudian mengikisnya dengan iman dan keluhuran diri, peranan untuk mencungkil sifat-sifat hipokrik dan kemunafikan serta sifat-sifat yang keji yang bertapak dalam diri untuk dihancurkan-leburkan, peranan untuk melukiskan sebuah kehidupan yang suci yang bebas dari pengaruh luar sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a. dan kemudian dipraktikkan dalam bentuk yang amali, peranan untuk mengibarkan panji-panji LAA ILAHA ILLALLAH dan MUHAMMADUR RASULULLAH dan kemudian menjunjung tinggi kalimahNya, peraturanNya, undang-undangNya dan segala hukum-hakamNya.

          Ajaran Islam yang diturunkan oleh Allah sejak dahulu adalah sama saja dengan Islam yang ada pada zaman sekarang, baik dari sudut kepercayaan dan pegangan hidup terhadap ketuhanan Allah atau dalam amalan hidup yang berkaitan dengan urusan ibadat, urusan muamalat, urusan jinayat, urusan munakahat dan lain-lain, ajaran Islam tetap unggul dan berdiri tegap di atas ubun-ubunnya. Akan tetapi, yang bezanya ialah dari sudut suasana dan keadaan serta gaya penyelesaian dalam beberapa persoalan yang berlaku hari ini. Oleh itu, para ulama perlu berani mencetuskan inovasi minda untuk mengembangkan nilai pengetahuan dan menyelesaikan permasalahan semasa yang berlaku dalam sesuatu perkara, ini semua merupakan suatu maslahat untuk kebaikan bersama.

Firman Allah Ta’ala:

وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنْفِرُوا كَافَّةً ۚ فَلَوْلاَ نَفَرَ مِنْ كُلِّ فِرْقَةٍ مِنْهُمْ طَائِفَةٌ لِيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنْذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ[1]


Maksudnya: “ Tidak semua orang-orang mukmin itu keluar pergi berperang, mesti ada suatu kelompok dalam kalangan mereka keluar memahami agama supaya mereka memberi peringatan kepada kaum mereka apabila mereka kembali (ke kampung halaman), mudah-mudahan mereka beringat-ingat”.

Permasalahan yang berlaku dalam sesebuah masyarakat adalah berbeza sama sekali cara untuk mengatasi dan mencari jalan penyelesaian. Begitu juga dengan tabiat dan budaya hidup sesuatu bangsa, sekalipun mereka mempunyai satu agama dan satu kepercayaan terhadap ketuhanan Allah, namun seandainya tabiat dan budaya itu tidak bercanggah dengan nilai-nilai dan hukum-hakam dalam ajaran agama, maka selagi itulah ianya boleh diterima-pakai dalam konsep kehidupan.  Seandainya kita membaca kitab-kitab yang dikarang oleh para ulama silam, di sana terdapat banyak perselisihan pendapat dan pandangan mereka dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Namun, adakalanya kita boleh menerima-pakai pendapat dan pandangan tersebut untuk diamalkan, tetapi ada juga pendapat dan pandangan tersebut tidak sesuai untuk diamalkan dalam masyarakat kita hari. Bererti, tugas ulama sekarang ialah mencetuskan inovasi minda untuk menyesuaikan pendapat dan pandangan tersebut untuk diamalkan secara praktikal dalam masyarakat hari ini dan kemudian memberi penerangan atau penjelasan mengapa berlaku demikian, supaya masyarakat tidak merasa bingung atau dibayangi perasaan keluh-kesah terhadap isu-isu yang berlaku.

          Para ulama adalah menjadi pewaris kepada para nabi-nabi dan anbiya untuk membuka minda dengan mengajar ilmu pengetahuan kepada seluruh lapisan masyarakat dan memberi peringatan kepada mereka. Para ulama juga mesti berperanan untuk membentuk nilai upaya mereka dengan membentuk daya pemikiran yang kreatif, membaiki taraf hidup dan pendidikan mereka supaya kehidupan yang dilalui itu menepati kehendak syari’at dan tidak terkeluar dari jalan kebenaran. Para ulama mestilah bijak memainkan peranan untuk melahirkan generasi yang ilmiah dan produktif serta berani mewujudkan para du’at yang mampu menyampaikan risalah dakwah ke seluruh anggota masyarakat, sama ada menyeru mereka kembali ke pangkuan Allah atau mendidik mereka dengan didikan yang sempurna atau memberi peringatan kepada mereka tentang ancaman terhadap mereka yang melanggar perintah Allah. Seruan yang disampaikan itu boleh dianggap ‘keramat’ kerana menurut kebiasaan, ulama adalah benih yang baik yang sentiasa mendapat tempat di hati masyarakat jika hendak dibandingkan dengan orang kebiasaan. Perkara ini telah dinyatakan di dalam sepotong hadith, bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

اَلْعُلَمَاءُ وَرَثَةُ اْلأَنْبِيَاءِ وَأنَّ اْلأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوْا دِيْنَارًا وَلاَ دِرْهَمًا وَإِنَّمَا وَرَثُوْا اْلعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ[2]

Maksudnya: “ Sesungguhnya ulama ialah pewaris para nabi-nabi, mereka tidak sekali-kali mewarisi dinar dan dirham, tetapi mereka mewarisi ilmu pengetahuan, sesiapa yang mengambilnya nescaya akan mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda “.


Tugas dan tanggungjawab mencetus idea kreatif dan berinovatif adalah tugas ulama yang diserap melalui sistem tarbiyah dan latihan ilmiah dalam majlis-majlis ilmu, usrah atau halaqah fikriyah. Ini kerana mereka adalah orang-orang yang alim yang tahu banyak perkara, terutama dalam soal hukum hakam. Melalui pengajaran yang disampaikan, bererti mereka telah menyempurnakan sebahagian daripada tugas dan tanggungjawab untuk membentuk masyarakat ilmuan dan sekaligus mengeluarkan mereka dari dibelenggu kejahilan. Sesungguhnya, peranan yang dimainkan oleh para ulama itu ialah peranan untuk meneruskan perjuangan Rasulullah s.a.w. yang membawa manusia ke pangkuan Allah dan menyebarkan risalah dakwah ke arah membina dan membentuk masyarakat dengan acuan Islam, untuk melaksanakan dan mempraktikkan ajaran Islam secara berperingkat-peringkat dalam semua aspek kehidupan, untuk membangunkan umat Islam sejagat dan memastikan agar obor-obor Islam sentiasa menyala menerangi alam ini.

Mari kita perhatikan dalam sepotong hadith yang menunjukkan kelebihan para ulama jika hendak dibandingkan dengan ahli ibadat, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.:

فَضْلُ اْلعَالِمِ عَلَى اْلعَابِدِ كَفَضْلِ اْلقَمَرِ عَلَى سَائِرِ اْلكَوَاكِبِ[3]

Maksudnya: “ Kelebihan orang yang alim jika dibandingkan dengan ahli ibadat seperti kelebihan bulan jika dibandingkan dengan bintang“.

Kehebatan seseorang ulama adalah bergantung erat kepada daya fikirnya dan penguasaannya terhadap ilmu pengetahuan dan ranting-rantingnya. Pengetahuannya yang amat luas itu merupakan suatu kelebihan yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka, kerana orang-orang yang ingin menguasai ilmu al-Quran dan ilmu hadith mestilah mendapat petunjuk dari Allah. Sebab itu, kita dapat saksikan dalam hadith di atas tadi, bahawa seorang alim yang memiliki ilmu pengetahuan yang cukup dan menguasainya adalah tidak sama jika hendak dibandingkan dengan ahli ibadat atau orang yang selalu mengerjakan amal ibadat, kerana orang alim itu menilai hakikat sesuatu perkara berpandukan kepada ilmu pengetahuan yang dikuasainya. Mereka amat mahir dan mengetahui sesuatu amalan yang diredhai oleh Allah dan dapat pula membezakan amalan yang diterima oleh Allah dan amalan yang tidak diterima oleh Allah, juga amalan yang mempunyai kelebihan dan amalan yang tidak mempunyai kelebihan. Mereka juga dapat mengetahui persoalan halal-haram sesuatu perkara dan menilai tingkat amalan melalui hukum syari'at seperti wajib, haram, sunat, harus dan makruh.
  
   Adapun ahli ibadat, mereka bukanlah seorang yang alim dan mereka hanya kuat beribadat kepada Allah sahaja. Mereka hanya menumpukan perhatian kepada lapangan ibadat sahaja dan mempunyai kebolehan dalam beribadat semata-mata, mereka tidak mempunyai kebolehan untuk mengajar, tidak pandai berdakwah dan tidak pula mengetahui secara lebih lanjut tentang hukum-hakam yang diturunkan oleh Allah, kerana kerja mereka seharian hanyalah beribadat. Maka di sini, kewajiban para ulama ialah mengajar manusia dan mendidik mereka serta bertanggungjawab memandukan mereka ke jalan yang benar.

          Sebab itu, untuk merealisasikan perkara ini agar menjadi sebuah kenyataan dan realiti, maka para ulama perlu mencetuskan revolusi minda bagi melumpuhkan sistem jahiliyah dan suku-sakatnya dalam diri, dalam hati sanubari dan jiwa nurani serta dalam masyarakat. Tugas dan tanggungjawab para ulama ialah meniupkan angin perubahan dengan mencetus revolusi minda untuk mengubah dan merombak sistem pemikiran yang kolot dan jumud kepada sistem pemikiran yang syumul, sesuai dengan kehendak-kehendak syari’at, sebagaimana yang dikehendaki oleh al-Quran dan al-Sunnah Nubuwah s.a.w. Melalui serapan nilai-nilai inovasi yang terkini, para ulama boleh mencetuskan pemikiran yang lebih moden menurut al-Quran dan al-Sunnah s.a.w. untuk disesuaikan dalam masyarakat setempat. Ini kerana, umat Islam hari ini telah dilanda dengan pelbagai masalah baru yang memerlukan penjelasan dari perubahan yang dicetuskan oleh para ulama dan penyelesaian dari sudut hukum-hakam.




Sekian, wassalam


Al-Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa el-Batnani




[1] Al-Quran, Surah al-Taubah:122.
[2] Riwayat Abu Dawud dan Tirmizi.
[3] Riwayat Abu Dawud dan al-Tirmizi.

REFORMASI IJTIHAD


Sesungguhnya para ulama memainkan peranan penting untuk mencetus reformasi ijtihad mengenai perkara baru dan permasalahan yang berlaku dalam agama. Mereka perlu mencetus idea-idea terkini dan kreatif untuk disesuaikan dengan arus permodenan semasa sesuai dengan al-Quran dan al-Sunnah Nubuwwah s.a.w. Melalui kaedah ijtihad yang digariskan oleh oleh para ulama silam, maka perkara ini memudahkan kerja-kerja mereka untuk melakukan tajdid dan membuka lebih luas lagi pintu ijtihad mengenai persoalan-persoalan yang belum diputuskan dalam ajaran agama. Imam al-Ghazali r.a. dalam kitabnya al-Mustasyfa[1] menyatakan bahawa ijtihad adalah suatu usaha yang bersungguh-sungguh dilakukan oleh seorang mujtahid dalam rangka menghasilkan hukum syara’. Imam al-Ghazali dalam kenyataannya menyanggah pendapat dalam kalangan fuqaha yang menyatakan bahawa ijtihad adalah sama seperti qiyas. Ini kerana kaedah ijtihad adalah lebih umum jika hendak dibanding dengan kaedah qiyas dan ijtihad kadang kala menumpukan perhatian kepada masalah-masalah umum, lafaz-lafaz dan jalan-jalan mencari dalil lain selain qiyas.[2]

Firman Allah:

  لاَ يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلاَّ وُسْعَهَا [3]

Maksudnya: “ Allah tidak akan membebani seseorang, melainkan sesuai dengan kemampuannya.”

          Konsep ijtihad secara terminologi dapat diertikan sebagai pengerahan kemampuan optimal seseorang ahli fiqh atau mujtahid dalam mengeluarkan hukum-hukum syara’ yang bersifat zanni yang telah terdapat dalam al-Quran al-Sunnah s.a.w. Perkara ini berlandaskan dalil naqli yang mengisyaratkan adanya keharusan bagi menyimpulkan sesuatu hukum dalam sesuatu persoalan, berdasarkan sepotong hadith, yang diriwayatkan oleh Mu’az bin Jabal r.a. :

أن رسول الله صلى الله عليه وسلم لما أراد أن يبعث معاذا إلى اليمن قال: كيف تَقْضِي إذا عَرض لك قَضَاء؟ قال: أقضي بكتاب الله. قال: فإن لم تَجِد فِي كِتَاب الله؟ قال: فَبِسُنَّةِ رسول الله صلى الله عليه وسلم. قال: فإن لم تجد في سنة رسول الله صلى الله عليه وسلم ولا في كتاب الله؟ قال: أجْتَهد برَأْيِيْ وَلاَ آلو. فَضَرَبَ رسول الله صلى الله عليه وسلم صدره. فقال: الحمد لله الذي وفق رسول الله لما يرضى رسول الله.[4]

Maksudnya: “Bahawa Rasulullah s.a.w. ketika hendak mengutus Mu’az ke Yaman, baginda s.a.w. bertanya kepadanya: Dengan cara apa kamu menetapkan hukum seandainya diajukan kepada mu suatu perkara? Mu’az menjawab: Saya akan berhukum berdasarkan Kitab Allah, baginda s.a.w. bertanya lagi: Sekiranya hukum itu tiada dalam Kitab Allah? Jawab Mu’az: Saya akan berhukum dengan Sunnah Rasulullah s.a.w. Baginda s.a.w. bertanya lagi: Sekiranya hukum itu tiada dalam Sunnah Rasulullah dan Kitab Allah? Mu’az menjawab: Saya akan berijtihad dengan idea saya dan saya tidak akan sekali-kali menyeleweng. Kemudian baginda s.a.w. bersabda: Segala puji bagi Allah yang telah memberi taufik kepada utusan Rasulullah s.a.w. dengan apa yang diredhai Rasulullah s.a.w.”


        Ijtihad merupakan salah satu sumber hukum dari sumber-sumber hukum syari’at dan ianya juga adalah sebuah pernyataan yang didasarkan pada dalil-dalil yang menunjukkan kerasionalan, sama ada dalil yang bersifat isyarat ataupun jelas. Di antara dalil-dalil yang menunjukkan perkara tersebut ialah firman Allah:

إِنَّا أَنزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِتَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ بِمَا أَرَاكَ اللّهُ وَلاَ تَكُن لِّلْخَآئِنِينَ خَصِيماً[5]

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Kitab kepada mu dengan membawa kebenaran, supaya kamu berhukum di antara manusia dengan apa yang telah Allah wahyukan kepada mu.”

        Ayat ini menunjukkan kepada kita bahawa justifikasi konsep ijtihad adalah dengan menggunakan kaedah qiyas.[6] 

Firman Allah Ta’ala:
إِنَّ فِي ذَلِكَ لآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَعْقِلُونَ[7]

Maksudnya: “Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berakal.”


          Istilah ‘berakal’ adalah sebuah daya pemikiran atau penglibatan aktiviti akal yang menggunakan mantik, logik dan rasional dengan penekanan yang ditunjukkan ayat ini, iaitu berfikir berpandukan kepada pedoman al-Quran dan al-Sunnah Nubuwwah s.a.w.

Firman Allah Ta’ala:

فَاعْتَبِرُوا يَا أُولِي الأبْصَار[8]

Maksudnya: “Maka ambillah pengajaran oleh wahai orang-orang yang mempunyai pandangan (yang jauh)”.

       
        Mengikut pendapat al-Amidi, bahawa ayat ini menjadi landasan hukum dalam merealisasikan konsep ijtihad, di mana ayat ini menyatakan perintah untuk mengambil pengajaran yang dilapazkan di atas sifat yang umum bagi orang-orang yang memiliki pengetahuan.[9] 

وَشَاوِرْهُمْ فِي الأَمْر[10]

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bermusyawarah dengan mereka dalam segala urusan itu”.

          Di dalam ayat ini menjelaskan bahawa arahan bermusyawarah sebenarnya menunjukkan kepada penghukuman atas dasar konsep ijtihad, bukan atas dasar penghukuman wahyu[11] yang bererti bahawa Allah mengiktiraf penggunakan akal yang sihat dalam merumuskan sesuatu perkara atau membuahkan sesuatu natijah yang kelihatan bersifat umum. Perkara ini dilakukan jika tidak terdapat penghuraian ayat yang qathe’i dalam suatu permasalahan.

Firman Allah Ta’ala:

فَفَهَّمْنَاهَا سُلَيْمَانَ وَكُلاً آتَيْنَا حُكْماً وَعِلْماً[12]

Maksudnya: “Maka Kami memberikan kefahaman kepada Sulaiman (tentang hukum yang lebih tepat) dan kedua-duanya masing-masing Kami berikan hikmah dan ilmu.”


          Menurut riwayat Ibn ‘Abbas r.a. terdapat sekumpulan kambing telah merosakkan tanaman pada waktu malam. Maka pemilik tanaman tersebut mengadu perkara ini kepada Nabi Dawud a.s. Dia memutuskan bahawa kambing-kambing itu harus diserahkan kepada pemilik tanaman sebagai ganti rugi tanaman yang telah rosak. Akan tetapi Nabi Sulaiman a.s. memutuskan agar kambing-kambing itu diserahkan buat sementara kepada pemilik tanaman tersebut untuk diambil manfaatnya. Maka pemilik kambing tersebut diharuskan mengganti tanaman itu dengan tanaman yang baru. Apabila tanaman yang baru telah membuahkan hasil, maka pemilik kambing itu boleh mengambil kembali kambingnya. Penghakiman yang dilakukan oleh Nabi Sulaiman a.s. ini adalah keputusan yang lebih tepat.[13] Oleh itu, kepandaian beliau ini merupakan salah satu kaedah ijtihad beliau dalam memutuskan sebuah hukum.

        Di dalam sepotong hadith yang lain, yang diriwayatkan dari Amr ibn al-Ash r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

إذَا حَكَمَ اْلحَاكِمُ فَاجْتَهِد فأصَابَ فَلَهُ أجْرَان وَإذَا حَكَمَ اْلحَاكَمُ فاجْتَهد ثمّ أخْطَأ فلَه أجْر[14]

Maksudnya: “ Apabila seseorang hakim berijtihad tentang sesuatu dan benar, maka dia mendapat dua pahala, tetapi jika sebaliknya, maka dia mendapat satu pahala.”


          Pelaksanaan konsep ijtihad juga dapat diperhatikan dalam sebuah riwayat yang menceritakan tentang dua orang sahabat yang telah berijtihad dalam satu perjalanan, di mana ketika itu waktu solat sudah tiba. Namun keduanya tidak mendapati air, kemudian keduanya melakukan solat dengan cara bertayamum. Tidak lama kemudian setelah keduanya selesai melakukan solat, tiba-tiba mereka berdua menjumpai air. Maka salah seorang sahabat mengulangi solatnya, sedangkan sahabat yang seorang lagi tidak mengulanginya. Apabila perkara ini dikemukakan kepada Rasulullah s.a.w. baginda membenarkan kedua-duanya, sambil menyatakan kepada sahabat yang tidak mengulangi solatnya bahawa dia mendapat satu pahala dan sahabat yang mengulangi solatnya mendapat dua pahala.[15]

          Pelaksanaan konsep ijtihad dapat dilihat terhadap taqrir Nabi s.a.w. terhadap ‘Amr ibn ‘Ash ketika beliau mendirikan solat dengan hanya bertayamum dalam salah satu peperangan yang tidak dihadiri oleh baginda s.a.w. Dikatakan, bahawa ‘Amr junub dan beliau tidak mandi, cuma hanya tayamum saja kerana pada malam itu cuaca sangat sejuk. Perkara ini dibawa ke pengetahuan Nabi s.a.w. apa yang dilakukan oleh ‘Amr itu adalah kerana beliau teringat firman Allah Ta’ala:

وَلاَ تَقْتُلُواْ أَنفُسَكُمْ إِنَّ اللّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيماً[16]

Maksudnya: “Janganlah kamu membunuh diri kamu sendiri, sesungguhnya Allah Maha Penyayang atas kamu semua.”


          Kaedah berijtihad ini kemudiannya diikuti pula oleh para sahabat dan para ulama tabi’en serta generasi selanjutnya setelah wafatnya Nabi s.a.w. sebagai suatu keperluan yang ciri khas yang selaras dalam menyimpulkan suatu hukum syara’ yang ditetapkan di dalam Islam. Mereka sentiasa menggunakan kaedah ijtihad ini untuk menjelaskan sesuatu permasalahan hukum yang tidak terdapat dalam al-Quran dan al-Sunnah. Perkara ini sudah menjadi ijma’ para sahabat yang diikuti oleh seluruh ulama Islam dalam mazhab mereka.[17] Dari sudut realiti dan kerasionalannya, konsep ijtihad ini akan mengembangkan kedaulatan fiqh dalam syari’at Islam dan dapat menyelesaian keserabutan dalam pelbagai perkara. Kebanyakan dalil-dalil hukum syara’ yang datang dalam bentuk zanni memerlukan kefahaman dan penghuraian lanjut. Oleh itu, konsep ijtihad diperlukan untuk penjelasannya bagi menentukan pendapat yang terkuat. Begitu juga dengan permasalahan yang tidak jelas dan tidak mempunyai nas yang tersurat, sudah tentu ianya memerlukan sokongan ijtihad untuk menjelaskan hukum syari’at dalam permasalahan tersebut.

          Syeikh Yusuf al-Qardawi telah meletakkan konsep ijtihad sebagai fardhu kifayah dengan alasan bahawa ijtihad itu untuk kepentingan agama dan dunia, sebagaimana ilmu hisab, ilmu astronomi, ilmu kedoktoran dan lain-lain yang hukum mempelajarinya adalah fardhu kifayah. Beliau juga mengambil pendapat Imam al-Syaukani dan al-Syahrastani dalam al-Milal Wa al-Nihal yang menyatakan bahawa hukum ijtihad adalah fardhu kifayah.[18]


Sekian, wassalam


Al-Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa el-Batnani








[1] Imam al-Ghazali, al-Mustasyfa Min ‘ilmi al-Usul, juz: 2, hal: 362.
[2] Dr. Wahbah al-Zuhaili, Usul al-Fiqh al-Islami, hal: 1038
[3] Al-Quran, Surah al-Baqarah: 2: 286.
[4] Abu Dawud, Sunan Abi Dawud, jilid 2, hal. 168
[5] Al-Quran, Surah al-Nisa:3 :105
[6] Wahbah Zuhaili, Usul al-Fiqh al-Islami, hal: 1039
[7] Al-Quran, Surah al-Ra’d: 4.
[8]  Al-Quran, Surah al-Hijr: 2
[9]  Saifuddin Abu al-Hasan ‘Ali ibn Abi ibn Muhammad al-Amidi, al-Ihkam, hal: 201
[10] Ali ‘Imran: 159
[11] Op.cit.
[12]  Al-Quran, Surah al-Anbiya: 79.
[13]  Imam al-Qurtubi, Al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, juz: 14, hal: 234.
[14]  Sahih Muslim, juz: 2, hal. 123 dan Usul al-Fiqh al-Islami, hal:1039.
[15] Ibn al-Qayyim al-Jauziyah, I’lam al-Muwaqi’in ‘An Rabb al-Alamin, hal: 165.
[16] Al-Quran, Surah al-Nisa: 3: 29.
[17] Usul al-Fiqh al-Islami, hal: 1039-1040
[18] Yusuf al-Qardawi, al-Ijtihad Fi al-Syari’ah al-Islamiyyah Ma’a Nazarat Tahliliyah Fi al-Ijtihad al-Mu’ashir, hal: 78-79.