PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Tuesday, 28 August 2012

I’JAZ AL-ILMI


Sesungguhnya al-Qur’an merupakan kitab suci yang berbahasa Arab dan mempunyai nilai-nilai sastera yang bermutu tinggi.[1] Pemakaian i’jaz al-Qur’an dari sudut ilmiyah merupakan elemen-elemen sains yang terdapat dalam al-Qur’an, sama ada dalam bentuk kejadian manusia, penciptaan alam, pergerakan siang dan malam yang silih berganti dan lain-lain lagi. Perkara ini merupakan dorongan dan stimulasi al-Qur’an yang dijelmakan kepada manusia agar terus berfikir dan mencetuskan idea kepada dirinya sendiri tentang alam semesta yang sentiasa berlegar di atas paksinya.[2] Kei’jazan ini menunjukkan bagaimana al-Qur’an dapat menundukkan para pencabarnya dari sudut perbahasan ilmiyah dengan penggunaan fakta yang ‘concrete’ yang tidak mampu dipertikaikan lagi. Tuduhan yang dilemparkan oleh golongan orientalis dan kaum kerabatnya yang menyatakan bahawa Nabi s.a.w. menulis al-Qur’an adalah sesuatu yang tidak masuk akal. Bagaimana seorang yang ummi dan buta huruf yang tidak pernah berguru dengan sesiapa dan tidak pernah belajar mengenai astronomi, anatomi, biologi dan lain-lain mampu bercakap atau menulis mengenai perkara tersebut..?

            Maka, tuduhan ini adalah tuduhan palsu dan bohong, tuduhan yang sangat bodoh dan dangkal akal fikiranya…!

            Tidak lain dan tidak bukan, perkara ini merupakan mukjizat yang dianugerahkan oleh Allah kepada baginda s.a.w.

            Sebagai contoh, mengenai perjalanan dan peredaran matahari, pakar-pakar sains menyatakan bahawa bumi mengelilingi matahari yang tidak bergerak dan tetap dengan kedudukannya. Akan tetapi, al-Qur’an menjelaskan perkara sebenar mengenai perjalanan dan peredaran matahari melalui ayatnya.

Firman Allah Ta’ala:

وَالشَّمْسُ تَجْرِي لِمُسْتَقَرٍّ لَهَا ۚ ذَٰلِكَ تَقْدِيرُ الْعَزِيزِ الْعَلِيمِ

Maksudnya: “Dan matahari yang kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya, yang demikian itu adalah takdir Tuhan Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui” (Surah Yasin: 36:38).

Al-Qur’an juga memberitahu kepada kita tentang gambaran sebenar mengenai proses penurunan hujan, di mana awan yang berarak di langit bercantum di antara satu sama lain untuk mengumpulkan air, setelah air tersebut memenuhi kantungnya lalu awan tersebut menurunkan hujan ke perut bumi.

Firman Allah Ta’ala:

أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ يُزْجِي سَحَابًا ثُمَّ يُؤَلِّفُ بَيْنَهُ ثُمَّ يَجْعَلُهُ رُكَامًا فَتَرَى الْوَدْقَ يَخْرُجُ مِنْ خِلاَلِهِ وَيُنَزِّلُ مِنَ السَّمَاءِ مِنْ جِبَالٍ فِيهَا مِنْ بَرَدٍ فَيُصِيبُ بِهِ مَنْ يَشَاءُ وَيَصْرِفُهُ عَنْ مَنْ يَشَاءُ ۖ يَكَادُ سَنَا بَرْقِهِ يَذْهَبُ بِالأبْصَارِ

Maksudnya: Tidakkah kamu melihat bahawa Allah mengarahkan awan bergerak perlahan-lahan, kemudian Dia mengumpulkan kelompok-kelompoknya, kemudian Dia menjadikannya tebal berlapis-lapis, selepas itu kamu melihat hujan turun dari celah-celahnya dan Allah juga menurunkan butiran air dari langit, dari gunung-ganang yang ada padanya, lalu Dia menimpakan dengannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan menjauhkannya dari sesiapa yang dikehendakiNya, sinaran kilat yang terpancar dari awan yang demikian keadaannya, hampir-hampir menyambar dan menghilangkan pandangan”(Surah al-Nur: 24: 43).

            Al-Qur’an juga memberitahu kepada kita tentang kejadian manusia yang bermula dari proses persenyawaan di antara benih lelaki dan benih perempuan dalam rahim. Ianya bermula dari setitis mani, kemudian berubah menjadi segumpal darah, kemudian berubah lagi menjadi seketul daging dan dengan daging tersebut akan membalut segala tulang-belulang, sebagaimana firman Allah Ta’ala:

ثُمَّ جَعَلْنَاهُ نُطْفَةً فِي قَرَارٍ مَكِينٍ ثُمَّ خَلَقْنَا النُّطْفَةَ عَلَقَةً فَخَلَقْنَا الْعَلَقَةَ مُضْغَةً فَخَلَقْنَا الْمُضْغَةَ عِظَامًا فَكَسَوْنَا الْعِظَامَ لَحْمًا ثُمَّ أَنْشَأْنَاهُ خَلْقًا آخَرَ ۚ فَتَبَارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ

Maksudnya: “Kemudian Kami jadikannya air mani pada tempat yang kukuh, kemudian Kami ciptakan air mani itu menjadi segumpal darah beku lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging, kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang, kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging, setelah sempurna kejadian itu lalu Kami bentuk menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya, Maha Suci Allah dan Dia adalah sebaik-baik Pencipta”  (Surah al-Mukminun: 23: 13-14).

Dan di sana banyak lagi contoh-contoh lain yang menunjukkan bahawa al-Qur’an banyak membekalkan maklumat untuk pengetahuan manusia. Sesungguhnya i’jaz ilmi ini memberi maklumat yang amat penting untuk pengetahuan umum dalam pelbagai aspek dan lapangan hidup, di samping ianya mencetuskan informasi terkini kepada manusia, terutama pakar-pakar sains yang ingin mendapatkan sumber-sumber yang sebenar.



Sekian, wassalam


Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani


[1] Abd al-Qahir al-Jurjani. 2005. Dalail al-I’jaz, hlm: 15. Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi.
[2] Mansur Hasbunabi. al-Kaun Wa al-I’jaz Fi al-Qur’an, hlm: 19-20. Beirut: Dar al-Fikr al-Arabi.

I’JAZ AL-BAYANI



I’jaz al-Bayani ini merupakan i’jaz yang terdapat dalam struktur ayat-ayat dengan penyusunan kalimah yang menarik dan indah yang tidak mampu ditiru atau ditandingi oleh sesiapapun, sekalipun mereka terdiri dalam kalangan pakar-pakar bahasa dan para pujangga. I’jaz ini merupakan elemen penting jika hendak dibandingkan dengan i’jaz-i’jaz yang lain, kerana risalah kenabian Muhamad s.a.w. yang muncul di tengah-tengah simpang-siur masyarakat Arab memang terkenal dengan ketinggian ilmu sastera dan bahasa dari sudut balaghah dan fasohah kalam serta keunikan sya’ir. Dengan nilai-nilai sastera yang begitu indah, susunan kalimah yang sangat menarik, deretan perkataan yang dibentuk mengikut alunan seni dan bebas dari kesalahan dan kesilapan, maka amat mustahil jika difikirkan bagaimana Nabi s.a.w. mampu menulis al-Qur’an sebagaimana yang didakwa oleh golongan orientalis, sedangkan baginda s.a.w. seorang yang ummi dan tidak pernah berguru dengan sesiapapun.

Di sini jelaslah kepada kita bahawa al-Qur’an itu merupakan kitab i’jaz yang turunkan oleh Allah, bukan dari produk pemikiran Nabi s.a.w. Di samping itu al-Qur’an telah menjadi rujukan utama para ulama, terutama dalam kalangan ulama tafsir, ulama fiqh dan ulama lughah untuk membuat huraian dan istinbat dalam sesuatu hukum menurut perbahasan dan kaedah nahu, balaghah dan sebagainya. Nilai-nilai kekuatan dalam ayat-ayat al-Qur’an boleh menimbulkan kesan abadi dalam hati sanubari dan jiwa nurani apabila dihayati maksud dan pengertiannya, melihat barisan kalimah dan gaya bahasanya, kehalusan dan susunan ayat-ayatnya, kesenian bacaan dan qira’atnya, unsur-unsur balaghah dan fasohah lughah dan lain-lain lagi yang tiada tandingannya. I’jaz ini berlaku disebabkan beberapa perkara:

Pertama: Kerana ketidak-mampuan manusia untuk menandinginya, sama ada mencipta surah atau ayat atau gaya bahasa yang setanding dengan al-Qur’an. Perkara ini berlaku kerana manusia tidak mempunyai kemampuan dan ‘peralatan intelektual’ yang cukup untuk menandingi penggayaan bahasa al-Qur’an, di samping tidak boleh mencipta maksud bagi setiap patah perkataan dengan tepat.

Kedua: Akal fikiran manusia masih ‘tumpul’ dan perlu diasah dengan tajam untuk menguasai semua sekali setiap makna dan pengertian yang terpapar dalam setiap huruf, kalimah, perkataan, ayat, lapaz dan termasuk ikatan antara surah dengan surah dalam al-Qur’an.

Ketiga: Begitu juga dengan jalan cerita dan kisah-kisah yang terdapat dalam al-Qur’an, dihuraikan melalui susunan ayat yang menarik dan penuh keyakinan, para pembaca yang membaca ayat-ayat tersebut seolah-olah tidak mengetahui bahawa ayat-ayat itu berbentuk cerita ataupun kisah, kerana kehalusan bahasa dan susunan ayat-ayat yang menarik serta alunan balaghah yang dilukiskan itu membuatkan para pembaca terpesona dengan lirik bahasa al-Qur’an.

            Bahasa yang diguna-pakai dalam al-Qur’an adalah bahasa biasa dan mudah difahami, tetapi cara penggunaan bahasa dan corak penyusunan struktur ayat yang mengandungi nilai-nilai balaghah yang tinggi adalah faktor yang membezakan bahasa al-Qur’an dengan bahasa Arab biasa. Sebagai contoh, bagaimana ayat al-Qur’an dapat menzahirkan sesuatu yang maknawi, tetapi ianya kelihatan hakiki.

Maka, benarlah firman Allah Ta’ala:

وَاللَّيْلِ إِذَا عَسْعَسَ وَالصُّبْحِ إِذَا تَنَفَّسَ[1]

Maksudnya: “ Dan malam apabila ia hampir habis dan siang apabila ia mulai terang”.
            Syed Qutb menafsirkan perkataan (عَسْعَسَ) sebagai (اظلم) iaitu kegelapan[2], yang menggambarkan suasana malam yang gelap kelihatan, lalu ia bergerak pergi dengan perlahan-lahan. Suasana malam yang kelihatan gelap-gelita, seolah-olah ianya kaku dan tidak beranjak, sebenarnya malam itu tidak mampu untuk memonopoli kegelapan, malam hanya memberi laluan dan keizinan sahaja kepada kegelapan untuk bergerak di atas ubun-ubunya. Walaupun begitu, suasana gelap itu memang sinonim dengan kehadiran malam yang datang menjelma. Namun, hakikatnya keheningan malam itu sentiasa mengorak langkah dan merangkak secara beransur-ansur, manusia dan makhluk yang ada di atas perut bumi ini tidak terganggu dengan pergerakan malam itu, kerana pergerakannya secara perlahan-lahan, tidak mengeluarkan bunyi dan apa-apa bentuk suara, malam itu tidak akan kekal dengan warna kegelapannya. Sesudah itu digambarkan pula kehadiran waktu subuh yang kelihatan bernafas, seolah-olah subuh itu baru bangkit dari tidur, lalu bingkas bangun menghelakan nafasnya untuk meneruskan program kehidupan. Ini kerana, suasana waktu subuh itu menunjukkan paparan hidup baru yang hendak bermula. Lazimnya, setelah manusia bangkit dari tidurnya, maka suasana waktu subuh itu merupakan langkah baru untuk memulakan tugas hariannya.

            Sesungguhnya keindahan ayat-ayat al-Qur’an dari sudut bayani hanya dapat dikuasai oleh mereka yang benar-benar faham dan mengerti tentang kaedah Lughah Arabiyah. Kalimah-kalimah yang terdapat dalam ayat-ayatnya itu seolah-olah mampu berjalan dengan sendiri dan boleh mengeluarkan sesuatu yang abstrak kepada fenomena yang berlaku sehingga dapat mencetuskan roh kekuatan dalam diri manusia. Kehalusan bahasa dan penggunaan uslub al-Qur’an yang seimbang dan menakjubkan itu mampu membawa manusia ke darjat yang lebih tinggi untuk menghubungkan diri mereka dengan keagungan Tuhan. Pemilihan huruf yang dipersembahkan dalam ayat-ayat al Qur’an itu memperlihatkan gaya susunan konsonan dan vokal yang sangat serasi sehingga memudahkan pengucapan dan pemahaman. Dengan keunikan nada, bunyi, harakah, imbangan baris fathah, kasrah, dhammah dan sukun serta mad dan ghunnah melambangkan kerjasama dan peranan yang erat di antara kalimah-kalimah yang disusun itu.[3]




Sekian, wassalam


Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani


[1]  Al-Qur’an, at-Takwir:  81: 18.
[2]  Syed Qutb, Fi Zilal al-Qur’an, jil: 6, hlm: 3841
[3] Nur Kholis. 2008. Pengantar Studi al-Qur’an dan Hadist, hlm: 116. Yogyakarta: Teras.

I’JAZ AL-HISSI



Kei’jazan ini dinisbahkan pada kekuatan yang muncul dari sudut spiritual yang mengisyaratkan adanya ‘magical powers’ yang terkandung dalam deretan ayat-ayat al-Qur’an. Setiap ayat-ayat yang diturunkan itu mempunyai kekuatan tersendiri dari sudut hissi, terutama ayat-ayat yang menjadi zikir dan doa, sebagaimana yang diamalkan oleh Nabi s.a.w. Walaupun apapun, i’jaz ini adalah kurniaan Allah kepada hambaNya yang dikasihi, iaitu para nabi-nabi dan rasul-rasul. Elemen-elemen i’jaz yang berlaku menyalahi adat dan bercanggah dengan norma kebiasaan adalah menurut kehendak dan keizinan Allah, ayat-ayat tersebut adalah hanya wasilah yang mengikat hubungan di antara Allah dan hamba. Kita membuka lipatan sejarah, di sana kita dapat saksikan mukjizat Nabi Musa a.s. yang terkenal dengan ‘tongkat saktinya’ yang boleh menjadi ular dan dapat membelah lautan, tetapi semuanya itu berlaku adalah dengan izin Allah, bukan kerana adanya kuasa sakti pada tongkat tersebut. Begitu juga dengan mukjizat Nabi Isa a.s. yang boleh menghidupkan orang yang telah mati, mukjizat Nabi Ibrahim a.s. yang tidak hangus dibakar dalam api, mukjizat Nabi Yusuf a.s. yang dapat menafsirkan mimpi, mukjizat Nabi Daud a.s. yang dapat melembut besi, mukjizat Nabi Muhamad s.a.w. yang dapat membelah bulan dan lain-lain lagi, semuanya itu adalah menurut kehendak dan keizinan Ilahi. Apabila meninjau komentar yang dikemukan oleh Jalaludin as-Suyuthi, di mana beliau berpendapat bahawa kebanyakan mukjizat yang pertontonkan oleh Allah pada diri para nabi dan rasul yang diutus kepada Bani Israil adalah mukjizat dari jenis spiritual. Beliau menjelaskan bahawa perkara ini disebabkan kerana mereka mempunyai kelemahan dari sudut intelegensi, iaitu kemampuan untuk bertindak secara terarah, berfikir secara rasional dan kelemahan dari sudut psikologi pendidikan dan bimbingan. [1]

            Kembali kita kepada al-Qur’an yang mengandungi i’jaz hissi, di mana ayat-ayatnya mempunyai nilai-nilai yang tersendiri yang tidak boleh dibuktikan dengan ‘warna pemikiran akal’ tetapi ianya berlaku dan adalah suatu realiti, bukan ilusi. Namun, hakikat ini boleh dibuktikan dengan paparan sejarah yang berlaku pada diri Nabi s.a.w. sebagaimana dalam peristiwa Hijrah ketika baginda s.a.w. mahu keluar dari rumahnya yang dikepung oleh orang-orang musyrikin, kafir Quraisy. Baginda s.a.w. mengambil segenggam pasir sambil membaca beberapa potong ayat dari Surah Yasin:

Firman Allah Ta’ala:

يَس وَالْقُرْآنِ الْحَكِيمِ إِنَّكَ لَمِنَ الْمُرْسَلِينَ عَلَىٰ صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ تَنْزِيلَ الْعَزِيزِ الرَّحِيمِ لِتُنْذِرَ قَوْمًا مَا أُنْذِرَ آبَاؤُهُمْ فَهُمْ غَافِلُونَ لَقَدْ حَقَّ الْقَوْلُ عَلَىٰ أَكْثَرِهِمْ فَهُمْ لاَ يُؤْمِنُونَ إِنَّا جَعَلْنَا فِي أَعْنَاقِهِمْ أَغْلالاً فَهِيَ إِلَى الأذْقَانِ فَهُمْ مُقْمَحُونَ وَجَعَلْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيهِمْ سَدًّا وَمِنْ خَلْفِهِمْ سَدًّا فَأَغْشَيْنَاهُمْ فَهُمْ لاَ يُبْصِرُونَ

Maksudnya: “Yaa Siin, demi al-Qur’an yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh, sesungguhnya engkau (wahai Muhamad adalah seorang Rasul) dari Rasul-rasul yang telah diutus, yang tetap di atas jalan yang lurus, al-Qur’an itu, diturunkan oleh Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani, supaya engkau memberi peringatan dan amaran kepada kaum yang datuk neneknya telah lama tidak diberikan peringatan dan amaran; sebab itulah mereka lalai, demi sesungguhnya, telah tetap hukuman seksa atas kebanyakan mereka, kerana mereka tidak mahu beriman, sesungguhnya Kami jadikan (kesombongan dan keengganan mereka tunduk kepada kebenaran sebagai) belenggu yang memberkas kedua tangan mereka ke batang leher mereka; (lebarnya belenggu itu) sampai (menongkatkan) dagu mereka lalu menjadilah mereka terdongak, dan Kami jadikan (sifat tamak dan gila mereka kepada harta benda dan pangkat itu sebagai) sekatan (yang menghalang mereka daripada memandang kepada keburukan dan kesingkatan masa dunia yang ada) di hadapan mereka dan sekatan (yang menghalang mereka daripada memikirkan azab yang ada) di belakang mereka (pada hari kiamat), lalu Kami tutup pandangan mereka; maka dengan itu, mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar)[2]”.

Lalu dilemparkan pasir yang digenggam itu kepada orang-orang musyrikin yang mengepung rumahnya menyebabkan mereka tidak dapat melihat jasad dan tubuh badan Nabi s.a.w.[3] Baginda s.a.w. keluar melalui di celah-celah kepungan mereka, tetapi mereka tidak dapat melihat baginda s.a.w. Hanya dengan beberapa ayat sahaja yang dibaca, maka elemen-elemen i’jaz itu mula meresap dan bertukar menjadi perkara yang menyalahi adat, tetapi semuanya itu berlaku dengan kehendak dan izin Allah Yang Maha Berkuasa.






Sekian, wassalam


Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani




[1] Jalaludin al-Suyuthi, al-Itqon, juz II, hlm: 311 dan juga Muhammad bin Alwi al-Maliki dalam Zubdat al-Itqan fi Ulum al-Qur’an, hlm: 311
[2] Al-Qur’an, Surah Yasin: 36:1-9
[3] Ibn Hisham (t.th.) Sirah An Nabi s.a.w. juz: 2: hlm: 95-96. Kaherah: Maktabah Dar Al-Turath.

I’JAZ AL QURAN



Al-Qur’an adalah kitab i’jaz yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhamad s.a.w. melalui perantaraan Jibril a.s.[1] Al-Qur’an diturunkan untuk membimbing manusia ke jalan yang lurus dan kemudian membawa manusia ke pangkuan Allah. Al-Qur’an  diturunkan dalam tempoh dua puluh tahun, sepuluh tahun semasa baginda s.a.w. berada di Mekah dan sepuluh tahun semasa baginda s.a.w. berada di Madinah.[2] Terdapat pelbagai keunikan dan kehebatan yang terkandung dalam al-Qur’an  sehingga usaha-usaha yang dilakukan oleh golongan orientalis dan musuh-musuh al-Qur’an untuk memusnahkannya menemui kegagalan dan kehampaan. Al-Qur’an pernah dibakar oleh musuh-musuhnya yang fanatik, tetapi isi kandungannya tidak terbakar dan masih utuh di dada para penghafaz al Quran. Al-Qur’an  pernah dieksploitasikan oleh musuh-musuhnya yang jahat dengan mengemukakan pelbagai kajian yang mengelirukan kononnya terdapat kesalahan dan kesilapan di dalamnya, tetapi ternyata mereka yang melemparkan tuduhan itulah yang salah dan silap, kerana al-Qur’an  tetap tidak berubah dengan nilai dan mutunya sejak ianya mula diturunkan sehingga sekarang. Ayat-ayat al-Qur’an  pernah dicampur-aduk dengan tulisan tangan manusia bagi tujuan untuk mengelirukan, tetapi ternyata para penghafaz al-Qur’an  tidak pernah terkeliru dan segala isi kandungannya masih tetap sempurna sehingga ke hari ini.

Maka, inilah yang dimaksudkan bahawa al-Qur’an  ini adalah kitab i’jaz yang tidak boleh dikalahkan dan tidak pernah dikalahkan oleh sesesiapapun. Sejak dahulu lagi, orang-orang Arab yang terkenal dengan keindahan syair dan pujangga serta penggunaan bahasa yang tinggi tidak dapat menandingi keunikan bahasa-bahasa yang terdapat dalam ayat-ayat al Quran. Perkara ini adalah i’jaz, iaitu melemahkan mereka untuk menandingi bahasa yang diguna-pakai dalam al-Qur’an dengan bahasa yang ditulis dan diilhamkan oleh mereka.[3]

Firman Allah:

قُلْ لَئِنِ اجْتَمَعَتِ الانْسُ وَالْجِنُّ عَلَىٰ أَنْ يَأْتُوا بِمِثْلِ هَٰذَا الْقُرْآنِ لا يَأْتُونَ بِمِثْلِهِ وَلَوْ كَانَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ ظَهِيرًا

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan al-Qur’an  ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri”(al-Isra 88:17).

Ini merupakan janji Allah, bahawa al-Qur’an tidak sekali-kali dapat ditewaskan dengan begitu mudah dan mereka yang cuba menewaskan al-Qur’an pasti akan tertewas dan mereka pasti kecundang dalam jurang kehinaan. Walaupun al-Qur’an  itu hanya deretan ayat yang terkandung dalam beberapa surah, namun ianya mengandungi i’jaz dan kekuatan sendiri yang mampu mengalahkan musuh, sebagaimana yang berlaku dalam peristiwa Hijrah ketika Nabi s.a.w. mahu keluar dari rumahnya yang dikepung oleh orang-orang kafir Quraisy. Baginda s.a.w. mengambil segenggam pasir sambil membaca potongan ayat dari Surah Yasin, dari ayat satu sehingga ayat sembilan.[4]




Sekian, wassalam


Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani



[1] Nasr Hamid Abu Zaid. 1997. Mafhum al-Nash, hlm: 59. Beirut: al-Markaz al-Tsaqafi al-Arabi.
[2] Abu al-Hassan Ali bin Ahmad al-Wahidi an-Naisaburi. 1985. Asbab an-Nuzul,  hlm: 7.Beirut: Dar al-Maktabah al-Hilal.
[3]  Muhammad Zaglul Salam dan Muhammad Khalfullah Ahmad. (t.th).  Salasu Rasail Fi I’jaz Al-Quran: Li al- Rumani Wa al-Khuthabi Wa Abdul Qadir al-Jurjani, hlm: 75. Kaherah: Dar al-Ma’arif.
[4] Ibn Hisyam, Abu Muhamad Abdul Malik. (t.th). Sirah Al-Nabi S.A.W. juz: 2, hlm: 95-96. Kaherah: Maktabah Dar At Turath.

Sunday, 5 August 2012

MUSTAFA KEMAL ATATURK PEMUSNAH EMPAYAR ISLAM


Mustafa Kemal Ataturk adalah orang yang bertanggungjawab meruntuhkan Daulah Khilafah yang kita banggakan sejak sekian lama. Tanggal 3 Mac 1924 merupakan titik hitam di dalam sejarah umat Islam yang tidak harus dilupakan oleh kaum Muslimin. Pada tarikh inilah umat Islam secara rasmi telah kehilangan perisai dan tonggak tempat mereka berlindung, Khilafah Islamiyyah. Kejadian ini meninggakan luka yang amat dalam pada diri umat Islam. Khalifah yang terakhir, Sultan Abdul Majid telah diusir meninggalkan pusat pentadbiran Daulah Khilafah di Turki pada subuh hari tersebut hasil daripada persidangan Majlis Nasional yang diketuai oleh laknatullah Mustafa Kamal melalui konspirasi jahat kafir Barat. Semuanya telah berlalu dan kehidupan umat Islam kini lemah tanpa ada pembela gara-gara si Kamal Ataturk keparat ini.. Disini ingin saya kongsikan peristiwa yang berlaku apabila kematian semakin menghampiri si keparat pembelot agama Allah ini…

            Moga Allah melaknat beliau..

      Kamal Ataturk diberi gelaran al-Ghazi (orang yang memerangi). Perkataan Ataturk bermakna bapa orang Turki. Ataturk ialah orang yang bertanggungjawab meruntuhkan Kerajaan Islam Turki pada tahun 1343H (1924M). Beliau dilahirkan pada tahun 1299H (1880M) di bandar salonika, Greek yang ketika itu merupakan jajahan takluk Kerajaan Uthmaniyyah. Bapanya bernama Ali Reda Afandi, berkerja sebagai pengawal di jabatan Kastam. Ada yang mengatakan beliau ialah bapa tiri Ataturk dan bukan bapa kandungnya. Ada juga yang mengatakan Ataturk oleh Guru matematiknya yang bernama Mustafa. Mustafa bertugas di sekolah Ataturk iaitu sebuah sekolah menengah tentera dan pada ketika itulah beliau tertarik dengan kebolehan Ataturk dalam bidang matematik lalu mencadangkan nama Mustafa Kamal. Ketika Mustafa Kamal mencapai usia 12 tahun, beliau memasuki Sekolah Tentera Salonika. Kemudian beliau menyambung pelajaran di Akademi Tentera Monasitar pada tahun 1302H (1885M). Pada tahun 1322H (1905M), beliau memasuki kolej tentera di Istanbul dan menamatkan latihan ketenteraannya pada tahun 1325H. (1907M). Kemudiannya, belaiu telah ditugaskan di Kem Tentera Batalion ketiga di Salonika.

        Ataturk hidup tanpa isteri dan anak-anak. Isterinya bernama Latifah Hanim hanya mampu tinggal bersamanya selama setahun sahaja kerana tidak tahan denagn kefasikan Ataturk. Kediamannya dipenuhi dengan segala macam kemungkaran daripada arak sehinggalah wanita.

            Mustafa Kemal Atatürk 1881-10 November 1938 adalah pengasas Republik Turki. Beliau merupakan pegawai tentera, pemimpin revolusi, negarawan dan presiden Turki yang pertama. Beliau adalah komander tentera yang berjaya dan berkhidmar sebagai panglima tentera semasa Pertempuran Gallipoli iaitu ketika Perang Dunia I. Angkatan tentera pimpinan beliau berjaya merampas kembali wilayah Anatolia dan Palestin . Ketika itu Empayar Ottoman / Uthmaniyah sedang dikoyak-koyak oleh Tentera Bersekutu. Mujurlah Mustafa Kemal telah memimpin pergerakan kebangsaan Turki menghadapi Perang Kemerdekaan Turki. Beliau telah memindahkan ibu negara Turki dari Istanbul ke Angora yang kini dikenali sebagai Ankara. Mustafa Kemal telah membentuk semula aspek kehidupan rakyat Turki agar sesuai dengan tuntutan semasa yang kemudian dipangil ideologi Kemalist. Ideologi ini bertujuan menyediakan Turki ke arah negara moden, demokratik dan negara sekular, positif dan bertindak rasional.

            Beliau memerintah dari tahun 1918 hingga 1934. Beliau adalah seorang negarawan yang berkebolehan dalam bidang politik. Memeperkenalkan sistem politik sekularisme, beliau ‘berjaya’ meruntuhkan empayar Turki Uthmaniyyah. Mustafa Kamal Ataturk meninggal dunia pada tahun 1938 dan telah dikebumikan di sebuah makam di Ankara iaitu ibu negaranya. Sewaktu Mustapha Kamal Attaturk menjadi perdana menteri Turki, dia telah membuat undang-undang yang amat bercanggah dengan ajaran agama Islam, antaranya ialah :

·        Membolehkan perempuan memakai tudung dengan syarat pakai skirt.

·  Membolehkan lelaki memakai seluar panjang dengan syarat pakai tali leher dan topi(sesuai dengan kehendak barat).

·   Menyuruh wanita dan lelaki menari di khalayak ramai. Beliau sendiri pernah menari dengan seorang wanita di satu parti umum yang pertama di Ankara.

·   Beliau pernah menegaskan bahawa “negara tidak akan maju kalau rakyatnya tidak cenderung kepada pakaian moden.”

·       Menggalakkan minum arak secara terbuka.

·       Mengarahkan Al-Quran dicetak dalam bahasa Turki.

·     Menukar azan ke dalam bahasa Turki. Bahasa Turki sendiri diubah dengan membuang unsur-unsur Arab dan Parsi.

·       Mengambil arkitek- arkitek dari luar negara untuk memodenkan Turki.

·   Hakikatnya mereka diarah mengukir patung-patung dan tugu-tugunya di seluruh bandar Turki.

·   Satu ucapan beliau di bandar Belikesir di mana beliau dengan terang-terangannya mengatakan bahawa agama harus dipisahkan dengan urusan harian dan perlu dihapuskan untuk kemajuan.

·         Agama Islam juga di buang sebagai Agama Rasmi negara.

·         Menyerang Islam secara terbuka dan terang-terangan.

·         enggubal undang-undang perkahwinan berdaftar berdasarkan undang-undang barat.

·         Menukar Masjid Ayasophia kepada muzium, ada sesetengah masjid dijadikan gereja.

·         Menutup masjid serta melarang dari bersembahyang berjemaah.

·       Menghapuskan Kementerian Wakaf dan membiarkan anak-anak yatim dan fakir miskin

·        Membatalkan undang-undang waris, faraid secara islam.

·   Menghapus penggunaan kalendar Islam dan menukarkan huruf Arab kepada huruf Latin.

·       Mengganggap dirinya tuhan sama seperti firaun. Berlaku peristiwa apabila salah seorang askarnya ditanya: “Siapa tuhan dan di mana tuhan  tinggal?” Oleh kerana takut, askar tersebut menjawab: “Kamal Atartuk adalah tuhan…” Beliau tersenyum dan bangga dengan jawaban yang diberikan oleh askar itu.

KEMATIAN KAMAL ATARTUK YANG MENYEKSAKAN
Di saat kematiannya, Allah telah datangkan beberapa penyakit kepada beliau sehingga beliau rasa terseksa dan tak dapat menanggung seksaan dan azab yang Allah berikan di dunia. Antaranya ialah :

·    Didatangkan penyakit kulit hingga ke kaki dimana beliau merasa gatal-gatal seluruh badan.
·        Sakit jantung.
·       Penyakit darah tinggi.

         Panas sepanjang masa, tidak pernah merasa sejuk sehingga terpaksa diarahkan kepada bomba untuk menyiram rumahnya 24 jam. Pembantu-pembantunya juga diarahkan untuk meletak ketulan-ketulan ais di dalam selimut untuk menyejukkan beliau. Maha suci Allah, buat macam mana pun rasa panas tak hilang-hilang. Oleh kerana tidak tahan dengan kepanasan yang ditanggung, beliau menjerit sehingga seluruh istana mendengar jeritan itu. Oleh kerana tidak tahan mendengar jeritan, mereka yang bertanggung jawab telah menghantar beliau ke tengah lautan dan diletakkan dalam bot dengan harapan beliau akan merasa sejuk.

        Allah itu Maha Besar, panasnya tak jugak hilang, pada 26 september 1938, beliau pengsan selama 48 jam disebabkan terlalu panas dan sedar selepas itu tetapi beliau hilang ingatan. Pada 9 November 1938, beliau pengsan sekali lagi selama 36 jam dan akhirnya meninggal dunia. Sewaktu beliau meninggal, tidak seorang pun yang memandi, mengkafan dan menyembahyangkan mayat beliau. Mayatnya diawetkan selama 9 hari 9 malam, sehingga adik perempuan beliau datang meminta ulama-ulama Turki memandikan, mengkafankan dan menyembahyangkannya. Tidak cukup dari itu, Allah tunjukkan lagi balasan azab ketika mayatnya di bawa ke tanah perkuburan. Bila mayatnya hendak ditanam, tanah tidak menerimanya (tak dapat nak bayangkan bagaimana tanah tidak menerimanya). Disebabkan putus asa, mayatnya diawetkan sekali lagi dan dimasukkan ke dalam muzium yang diberi nama EtnaGrafi (kalau tak silap dengar) selama 15 tahun sehingga tahun 1953). Selepas 15 tahun mayatnya hendak ditanam semula, tapi Allah Maha Agung, bumi sekali lagi tak menerimanya. Habis ikhtiar, mayatnya diletakkan dalam keranda timah dan dibawa pula ke satu bukit ditanam dalam satu binaan marmar beratnya 44 tan. Mayatnya ditanam di celah-celah batu marmar. Apa yang menyedihkan, ulama-ulama sezaman dengan Kamal Atartuk telah mengatakan bahawa jangan kata bumi Turki, seluruh bumi Allah ini tidak menerima Kamal Atartuk!

            Maha suci Allah. Itulah azab yang diterima oleh seorang yang menentang Agama Allah secara terang-terangan.. Belum lagi azab yang ditanggung di akhirat kelak yang kekal abadi. Dan itulah yang selayaknya diterima oleh Mustafa Kamal Ataturk LAKNATULLAH!!

Dinukil dari: http://www.blogammar.com/