PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Tuesday 16 August 2011

TUJUAN KEHIDUPAN ZUHUD: SEDERHANA DALAM KEHIDUPAN

Kehidupan zuhud telah menganjurkan cara kehidupan yang sederhana yang tidak melampaui batas-batas sempadan. Ianya juga mengajar erti sebenar kehidupan sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Abu Muhammad Fadhalah bin Ubaid Al Ansari r.a. bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

طُوْبَى لِمَنْ هُدِىَ لِلإِسْلاَمِ وكَانَ عَيْشُهُ كَفَافًا وَقَنَعَ

Maksudnya: " Untunglah sesiapa yang mendapat hidayat dalam ajaran Islam, kehidupannya hanya sederhana dan cukup dengan apa yang ada “ (Riwayat At Tirmizi).
 
Di dalam sepotong hadith yang lain, Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

مَنْ أَصْبَحَ مِنْكُمْ آمِنًا فِى سِرْبِهِ مُعَافَى فِى جَسَدِهِ عِنْدَهُ قُوْتُ يَوْمِهِ فَكَأَنَّمَا حِيْزَتْ لَهُ الدُّنْيَا بِحَذَافِيْرِهَا

Maksudnya: " Sesiapa yang berpagi hari merasa aman rumahtangganya, sihat tubuh badannya dan mempunyai makanan untuk sehari, maka bagaikan telah terkumpul baginya dunia seisinya “ (Riwayat At Tirmizi).

    Lihatlah pula contoh kehidupan bagaimana keluarga Rasulullah s.a.w. yang menerima apa yang ada, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas r.a.

كَانَ رَسُوْلُ الَّلهِ صلّى الّله عليه وسلم يَبِيْتُ اللَّيَالِىَ الْمُتَتَابِعَةَ طَاوِيًا وَأَهْلُهُ لاَيَجِدُوْنَ عَشَاءً وَكَانَ أَكْثَرَ خُبْزِهِمْ خُبْزُ الشَّعِيْرِ

Maksudnya: " Adakala Rasulullah s.a.w. bersama-sama keluarganya beberapa malam tiada makanan di waktu petang dan kebanyakkan makanan mereka adalah roti dari tepung sya'ir “ (Riwayat At Tirmizi).

    Keadaan hidup baginda s.a.w. dan keluarga baginda yang sedemikian rupa bukanlah melambangkan baginda seorang yang miskin dan papa kedana, bukanlah baginda seorang yang malas bekerja semata-mata mengharapkan belas kasihan dan simpati dari orang ramai, namun demikian baginda sebenarnya ingin mengajar ummatnya dan juga manusia seluruhnya bahawa seseorang pemimpin negara tidak semestinya mempunyai harta benda yang banyak atau harta kekayaan untuk memimpin sebuah kerajaan dan memerintah sesebuah negara, tetapi apa yang penting di sana mereka hendaklah mempunyai kekayaan diri atau kekayaan jiwa raga.

    Abu Hurairah r.a. telah meriwayatkan sepotong hadith dari Rasulullah s.a.w. bahawa baginda bersabda:

لَيْسَ الْغِنَى عَنْ كَثْرَةِ الْعَرْضِ وَلَكِنَّ الْغِنَى غِنَى النَّفْسِ

Maksudnya: " Bukanlah kekayaan itu diukur dengan banyaknya harta benda, tetapi kekayaan yang sebenar ialah kaya jiwa “ (Riwayat Muslim).






Sekian, wassalam

Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani


No comments:

Post a Comment