PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Friday 2 March 2012

PANDANGAN ISLAM TERHADAP WANITA


Setiap wanita yang mengaku beriman kepada Allah mestilah berpegang teguh dengan ajaran Allah, ajaran yang diturunkan untuk memberi kebahagiaan kepada manusia di dunia dan di akhirat, ajaran yang memisahkan di antara Islam dan jahiliyah, iman dan kufur, ajaran yang membentuk nilai-nilai kemanusiaan yang unggul dan persamaan hidup di antara mereka dan sekaligus membezakan hidupan manusia dengan kehidupan haiwan. Islam adalah agama fitrah dan tabiat, agama yang memerlukan kepada akal untuk berfikir dan memerlukan kepada mantiq untuk berhujah, agama yang sesuai untuk setiap perubahan masa dan zaman, keadaan dan tempat. Ajaran Islam telah meletakkan ‘aqidah sebagai konsep asas dan akar tunjang dalam kehidupan manusia dengan menetapkan keimanan yang mutlak kepada Allah Yang Maha Esa dan tiada penyekutuan di dalam kekuasaaNya, kerana….

لَوْكانَ فيْهماَ ءاَلهةٌ إلاَّ الله لَفَسَدَتَا

Maksudnya: “ Sekiranya di langit dan di bumi terdapat dua tuhan selain dari Allah, nescaya akan rosak binasalah kedua-duanya “ (Al Anbiya: 22).

Keislaman dan keimanan seseorang itu mestilah didahului dengan sebuah pengakuan yang tulus ikhlas di dalam hati sanubari dan jiwa nurani, iaitu pengakuan ketuhanan: Tiada Tuhan yang sebenar-benar melainkan Allah, kemudian diikuti pula dengan pengakuan yang kedua pula, iaitu pengakuan kenabian: Bahawa Muhammad s.a.w. itu adalah pesuruh Allah. Di samping itu, ajaran Islam telah menetapkan kepada setiap wanita dan juga setiap para penganutnya supaya mengerjakan amal ibadat yang telah difardhukan. Ketetapan ini bertujuan untuk membuktikan nilai ketaatan manusia terhadap pengakuan dalam ikrarnya terhadap kalimah tersebut. Hanya manusia yang mempunyai nilai-nilai murni sahaja akan dapat mengemukakan aksi hidup yang lebih dynamic bagi melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang telah difardhukan oleh Tuhan itu. Adapun manusia yang tidak mempunyai keyakinan hidup dan tidak mempunyai nilai-nilai dalam kehidupan, sudah pasti mereka meletakkan perintah Allah itu sama dengan perintah manusia dan menganggap sebagai perkara biasa sahaja.

Benarlah! Sebenarnya kehidupan itu memerlukan petunjuk, petunjuk untuk memandu manusia ke jalan yang benar, petunjuk untuk menyuluh laluan hidup manusia supaya tidak tergelincir dan tidak tersesat dari tempat yang hendak dituju. Hanya Allah sahaja yang dapat memberi petunjuk kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya...!

 
 
Sekian, wassalam


Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani

No comments:

Post a Comment