PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Sunday 29 July 2012

FENOMENA I’JAZ DALAM AL-QUR'AN


Sesungguhnya i’jaz al-Qur’an dapat digambarkan sebagai program ‘anti virus’ terhadap tentangan yang dicipta oleh bikinan tangan manusia, segala daya usaha dan nilai harga diri manusia dapat dilumpuhkan apabila cuba mencabul keunggulan al-Qur’an. I’jaz juga sebuah fenomena yang sarat dengan ancaman dan tuduhan yang tidak dapat ditandingi.[1] Ianya mencetuskan ukiran yang tidak terpahat oleh pandangan akal yang disifatkan sebagai perkara yang menyalahi adat yang sedikitpun tidak bias dilakukan oleh siapapun yang mengingkarinya.[2] Di antara lain tujuan i’jaz al-Qur’an  ialah untuk membuktikan bahawa Nabi Muhamad s.a.w. adalah benar-benar utusan Allah dan membuktikan kebenaran al-Qur’an adalah wahyu dari Allah Ta’ala. Justeru, i’jaz juga ingin mempamirkan kelemahan bahasa manusia, para sasterawan, para pujangga dan pakar-pakar bahasa Arab bahawa mereka semua tidak mampu menandingi bahasa al-Qur’an. Perkara ini menunjukkan bahawa manusia adalah makhluk yang lemah dan tidak mempunyai apa-apa kekuatan, kesombongan tidak sekali-kali dapat membina keupayaan.[3]

TINJAUAN I’JAZ DARI SUDUT ILMIAH
Apa yang dimaksudkan dengan i’jaz al-Qur’an  dari sudut ilmiah ialah anjuran dan stimulasi al-Qur’an  kepada manusia agar selalu berfikir mengenai hakikat diri dan kejadian alam semesta yang melingkari mereka.[4] Hakikat ilmiah yang dilakarkan dalam al-Qur’an kebanyakannya dihuraikan dalam bentuk fakta dan penyataan singkat, tetapi sarat dengan makna. Para ilmuan telah membuat kajian tentang alam dengan mengemukakan pengetahuan yang masih belum ditemui, tetapi al-Qur’an  pada dasarnya telah memberikan isyarat tentang perkara tersebut dan al-Qur’an  sendiri tidak mempunyai pertentangan dengan penemuan-penemuan baru yang dihasilkan melalui penelitian ilmiah.

            Sebagai contohnya, al-Qur’an berbicara mengenai awan dan proses pembentukan hujan dimulai dengan pembentukan awan tebal kerana adanya dorongan angin sedikit demi sedikit, sebagaimana yang dijelaskan dalam sepotong ayatnya:

أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ يُزْجِي سَحَابًا ثُمَّ يُؤَلِّفُ بَيْنَهُ ثُمَّ يَجْعَلُهُ رُكَامًا فَتَرَى الْوَدْقَ يَخْرُجُ مِنْ خِلالِه[5]
Maksudnya: “Tidakkah engkau melihat bahawasanya Allah mengarahkan awan bergerak perlahan-lahan, kemudian Dia mengumpulkan kelompok-kelompoknya, kemudian Dia menjadikannya tebal berlapis-lapis, selepas itu engkau melihat hujan turun dari celah-celahnya (awam)”.

            Para ilmuan kemudian menjelaskan bahawa awan tebal bermula dari dorongan angin yang mengiringi awan-awan kecil dan pergerakan bahagian awan ini menyebabkan bertambahnya jumlah wap air dalam perjalanannya. Perkara ini merupakan mukjizat ‘ilmiah dan perkara ini telah diperakui oleh Maurice Bucaille dalam bukunya, ‘Pengajian Kitab Suci Dalam Cahaya Pengetahuan Moden’ di bawah tajuk: ‘Kuasa Udara’ telah menyatakan bahawa aliran elektrik dalam udara terhasil dari kilat dan hujan. Walaupun terdapat pelbagai kajian ‘ilmiah yang dipaparkan oleh al-Qur’an, tetapi tujuan itu semua hanya untuk menunjukkan kebesaran Tuhan dan keunikan al-Qur’an itu sendiri.[6]

            Syeikh Mahmud Syaltut pernah menyatakan dalam tafsirnya bahawa Tuhan tidak menurunkan al-Qur’an  untuk menjadi suatu kitab yang menerangkan kepada manusia mengenai teori-teori ilmiah atau permasalahan seni atau aneka warna ilmu pengetahuan, melainkan ianya adalah sebagai kitab petunjuk, pengislahan dan tasyri’ perundangan.[7] Kebenaran ilmiah pada asasnya berpijak kepada kekuatan i’jaz al-Qur’an itu sendiri yang bertujuan untuk mengukuhkan lagi nilai pengabdian hamba kepada ketuhanan Allah.

            Contohnya, persoalan yang dikemukakan oleh seorang sahabat r.a. yang bertanya mengenai bulan yang kadang-kadang kecil, kemudian membesar sehingga menjadi purnama.[8] Pertanyaannya itu telah dijawab oleh al-Qur’an  dalam ayatnya:

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الأهِلَّةِ  قُلْ هِيَ مَوَاقِيتُ لِلنَّاسِ وَالْحَجِّ[9]

Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: (Peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khususnya ibadat Haji”.


Sekian, wassalam



Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani


[1] Jalaludin as-Suyuthi. (t.th). al-Itqon fi ulumi al-Quran, juz: 2, hlm: 311. 
[2] Thahir bin Shalih al-Jazari. (t.th). Jawahirul Kalamiyah fi Idhohil Aqidatul Islamiyah. hlm: 26. 
[3] H. Abdul Jalal H. A. 2000. Ulumul Qur’an, hlm: 270.Surabaya: Dunia Ilmu.
[4] Mansur Hasbunabi, Al-Kaun Wa Al-I’jaz Fi Al-Quran, hlm. 19-20.
[5] Al-Quran, Surah An-Nur:24 : 43
[6] Sa'id Hawwa. 1989. al-Asas Fi at-Tafsir, jil: 9, hlm: 3781-3791. 
[7]  Syeikh Mahmud Syaltut. (t.th). Tafsir al-Qur’an  al Karim, hlm: 21-22. 
[8]  Abu Laith Nasr bin Ahmad bin Ibrahim al Samarqandi. 1993. Tafsir al-Samarqandi,  juz: 1, hlm: 188. 
[9] Al Quran, Surah al-Baqarah: 2:189.

No comments:

Post a Comment