PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Friday 28 September 2012

ORIENTALIS



Istilah orientalis  muncul di Eropah dan dunia barat sejak beberapa kurun yang lalu dalam keadaan yang tidak teratur dan tidak tersusun. Namun demikian, keadaan ini mula berubah pada abad ke 19 setelah mereka mengkaji timur berkaitan dengan bahasa dan agama, terutama mengenai agama Islam. Istilah orientalis ini mulai muncul buat pertama kali hasil dari penyelidikan yang dilakukan oleh A. J. Arberry yang menyatakan bahawa bukti asal bagi istilah orientalis ini ditemui pada tahun 1638 yang dikemukakan oleh seorang anggota gereja di timur atau Greek. Manakala pada tahun 1691, Anthony Wood dan Samuel Clarke telah mendakwa bahawa mereka adalah orientalis kerana mengetahui beberapa jenis dialek pertuturan bahasa Timur. Begitu juga dengan Lord Byron dalam ulasan terhadap bukunya yang berjudul ‘Childe Harold's Pilgrimage’ menceritakan tentang Thornton yang begitu mahir dengan bahasa Timur yang menunjukkan bahawa beliau adalah seorang orientalis yang tulen.[1]

Orientalisme adalah suatu kajian yang sarat dengan kolonialisme Barat dan mempunyai hubungan yang kuat dengan gerakan Kristianisasi, ianya dianggap suatu gerakan yang berpotensi dalam politik Barat untuk menentang arus kebangkitan Islam.[2]  Tumpuan utama gerakan orientalis ialah mencetuskan gimik bahawa ayat-ayat al-Qur’an itu adalah dipetik dari unsur-unsur Perjanjian Lama (Old Testament), Perjanjian Baru (New Testament) dan juga ambil dari pelbagai sumber-sumber lain termasuk pengaruh agama Yahudi. Al-Qur’an biasanya dituduh sebagai bukan wahyu dari Tuhan, malahan ianya adalah karangan Muhamad s.a.w. dan dakwaan ini telah terdengar sejak zaman Baginda s.a.w. lagi. Menurut William Montegomry Watt, beliau menyatakan bahawa ajaran al-Qur’an berasal dan kepunyaan tradisi Judaeo-Christian tentang konsep ketuhanan, kenabian, wahyu, hari akhirat dan penolakan terhadap penyembahan berhala dan yang lebih menyedihkan lagi Watt menyebutkan bahawa Islam merupakan tradisi Yahudi dan Kristian.[3]

DEFINASI ORIENTALIS
Dalam kalangan sarjana Barat yang percaya bahawa kemunculan istilah orientalis ini agak lewat, sebagaimana yang didakwa oleh orientalis berbangsa Perancis bernama Maxim Rodinson yang mengatakan istilah ini hanya muncul di Perancis pada tahun 1799 dan digunakan dalam Bahasa Inggeris di England sekitar tahun 1838. Istilah ini muncul secara mendadak akibat keperluan dalam mewujudkan sebuah Fakulti Pengajian Ketimuran di sana. Tambahan pula, keperluan mereka untuk mengambil para sarjana yang mahir untuk membantu menguruskan penerbitan majalah, pertubuhan intelek dan jurusan pengajian akademik.[4]

Orientalis Dari Sudut Bahasa
Perkataan orientalisme adalah gabungan dari dua perkataan, orientalis dan isme yang bererti satu aliran atau fahaman yang dibawa oleh golongan yang bergelar orientalis.[5] Perkataan orientalis berasal dari Bahasa Inggeris yang bermaksud orang yang belajar bahasa, kebudayaan dan lain-lain mengenai bangsa Timur.[6] Dalam Bahasa Perancis, perkataan orient bererti timur, iaitu ilmu-ilmu yang berhubung-kait dengan dunia Timur. Orang-orang yang mempelajari atau mendalami ilmu-ilmu tersebut dinamakan orientalis atau ahli ketimuran.[7] Perkataan orientalis ini digunakan bagi setiap cendekiawan Barat yang bekerja untuk mempelajari hal ehwal ketimuran, sama ada dalam bidang bahasa, etika, peradaban dan agama serta lain-lain lagi. Oleh sebab itu, orientalis merupakan suatu bentuk kajian yang dilakukan oleh orang-orang Barat tentang situasi Timur dalam pelbagai bidang, ianya juga merupakan ‘warna perang dingin’ yang dilancarkan oleh bangsa Eropah untuk memperdayakan Islam dan umatnya setelah kekalahan mereka dalam perang salib[8]. Manakala dalam Bahasa Arab, perkataan orient diguna-pakai dengan kata: (شرق) yang bererti timur, manakala perkataan orientalis digunakan dengan kata:  (استشراق) yang berasal dari perkataan: (شرق) yang ditambah huruf alif, sin dan ta (استشراق) yang bererti menuntut atau mencari timur. Yang dimaksudkan dengan menuntut atau mencari timur ialah mempelajari ilmu-ilmu timur, sastera, bahasa dan agamanya[9].

Orientalis Dari Sudut Istilah
Orientalis merupakan kajian yang bersifat akademik yang dilakukan oleh bangsa Barat yang kafir, khususnya dari kalangan ahli kitab tentang Islam yang merangkumi pelbagai aspek, sama ada mengenai akidah, syari’at, pengetahuan, kebudayaan, sejarah, undang-undang dan hukum hakam, hasil bumi dan lain-lain lagi. Tujuan kajian mereka ialah untuk merosakkan imej Islam, meniupkan keraguan kaum muslimin terhadap ajaran Islam dan menyesatkan mereka dari jalan syari’at.[10] Orientalis juga adalah suatu gaya berfikir ala Barat terhadap Timur[11] dan ianya juga merupakan satu cabang kesarjanaan yang menggunakan cara dan gaya Barat untuk menjelaskan permasalahan yang berlaku di dunia Timur termasuk wilayah-wilayah yang berada di Timur dari benua Eropa.[12]

            Menurut Muhamad Soleh al-Bundaq, beliau telah mendefinisikan orientalis sebagai suatu gerakan yang mempunyai wacana ilmiah dan bertujuan keagamaan berdasarkan jumlah mereka yang sering menimbulkan polemik secara umum terdiri dari orang-orang Barat dan lain-lain. Gerakan ini mempunyai kecenderungan untuk mempelajari hal ehwal ketimuran seperti kesusasteraan, kebudayaan, keilmuan, keagamaan, sejarah, bahasa, antropologi dan lain-lain lagi[13].


Sekian, wassalam

Al-Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa el-Batnani




[2] Ahmad Abdul Hamid Ghurab. 1993. Menyingkap Tabir Orientalisme, terj: A.M. Basamalah, hlm:21.Jakarta: Pustaka al-Kautsar.
[3]  W. Montegomry Wattt. 1970. Islam and The Integration of Society, cet. IV, hlm: 211. London: Routledge and Kegan Paul.

[4] Maxime Rodinson. 1974. The Western Image and Western Studies of Islam, hlm: 31
[5] Ibid
[6]  Kamus Dewan.1993. hlm: 879. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
[7] A. Hanafi. 1981. Orientalisme. DiTinjau Menurut Kacamata Agama, hlm: 92.
[8] Hasanain Bath. 2004. Anatomi Orientalisme, terj: M. Faisal Muchtar, hlm:19.

[9] Mahmud Hamdi Zaqzuq. 1989. Orientalisme; Kesan Pemikirannya Terhadap Tamadun Islam, terj: Mudasir Roser dan Che Yusuf Che Mat, hlm: 20-21. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Pustaka.
[10] Ibid, hlm. 20-21
[11] Edward W. Said. 1984. Orientalis, terj: Asep Hikmat, hlm: 3
[12] Denis Sinor.1970. Orientalism and History, hal: xiv. .
[13] Muhamad Soleh al-Bundaq. 1980. Al-Musytasyriqun Wa Tarjamat al-Qur’an al-Karim, hlm: 87.

No comments:

Post a Comment