PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Tuesday 22 November 2011

USAHA GERAKAN ORIENTALIS



PENGENALAN
Gerakan orientalis yang berpusat di Eropah mempunyai beberapa rancangan jahat untuk diserap ke dalam pemikiran umat Islam. Sejak jatuhnya Kerajaan Islam Uthmaniyyah di Turki pada tahun 1928 gerakan anti Islam anjuran Orientalis dan penjajah tidak berhenti-henti sehingga ke hari ini. Mereka seolah-olah ingin membalas dendam terhadap keunggulan Islam yang berjaya menguasai pemikiran umat manusia di seluruh dunia dengan mengatur manhaj-manhajnya yang syumul dan komprehensif. Hari ini, agama Kristian di Barat kelihatan begitu malap dan tiada sambutan dari orang ramai. Boleh jadi, di sana berlaku krisis nilai dan kemusnahan budaya menyebabkan masyarakat tersebut lebih berminat dengan gaya hidup bebas dan suka berfoya-foya. Mereka tidak berminat cara hidup Kristian yang hanya menumpukan ruangan hidup hanya semata-mata kepada Jesus, tanpa ada program-program yang kompleks untuk aksi kehidupan. Kebanyakan gereja-gereja di Barat menjadi kosong dan manusia di sana kelihatan tidak berminat untuk menunaikan ibadat di sana dan akhirnya di jual kepada orang-orang Islam untuk di buat masjid. Musuh-musuh Islam bersatu seia sekata untuk melaksanakan cara-cara menghancurkan Islam dan prinsipnya sekali dan juga memusnahkan 'aqidah para penganutnya, justeru tempat-tempat yang dianggap suci oleh kaum muslimin.

1. MEMUSNAHKAN INDIVIDU MUSLIM
Mereka telah melancarkan beberapa gerakan anti Islam untuk memusnahkan para penganutnya, di antaranya ialah:

1.1. Gerakan Sosial
Penglibatan kaum remaja dalam pelbagai gerakan sosial boleh mencetuskan babak dan gejala sosial di kalangan mereka dan sekaligus memusnahkan nilai kemanusiaan yang ada pada diri mereka. Mereka telah mewujudkan 'Khidmat Sosial' untuk memberi khidmat seks kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya. Pergaulan bebas para remaja antara teruna dan dara telah mencetuskan aksi yang kronik dan begitu juga dengan ketagihan arak dan dadah[1]. Seorang orientalis Barat telah berkata:

 "Kuasa segelas dengan seorang penyanyi di sebelahnya akan dapat menghancurkan umat Muhammad lebih daripada kuasa yang dapat dilakukan oleh seribu mariam, namun kedua-dua benda ini akan melenyapkan mereka ke dalam cintakan kebendaan dan nafsu syahwat[2] ". 

1.2. Seks Bebas (Free Sex)
Di antara rancangan musuh-musuh Islam untuk memusnahkan penganutnya ialah dengan mewujudkan suatu teori iaitu Teori Freud yang menafsirkan segala sesuatu dari perilaku manusia itu menerusi jalan naluri seks dan kebebasan melalui jalan syahwat dan kelazatan. Mereka menyatakan:

" Sesungguhnya Freud itu orang kita, dan dia akan terus mempamirkan teori perhubungan seks di bawah cahaya matahari supaya perkara tersebut kekal dalam ingatan kaum pemuda sebagai suatu cara yang suci dan menjadikan tugasnya yang utama ialah mengenyangkan naluri-naluri seks semata-mata dan ketika itu nanti akan runtuhlah moralnya[3] ".

1.3. Pemusnahan Akhlak
Orang-orang Yahudi dan Orientalis mempunyai hasrat yang sama terhadap orang-orang Islam. Mereka melahirkan perasaan dendam kasumat terhadap Islam sejak dahulu lagi. Cuba kita lihat apa yang dinyatakan oleh protokol Yahudi kesembilan:

" Kita telah berjaya menyesatkan kaum-kaum yang bukan Yahudi, merosakkan moral mereka dan membiarkan mereka terus hidup bodoh dengan mengajar mereka prinsip yang kami sendiri menganggapnya salah dan tidak betul, meskipun dengan cara kita paksakan ke atas mereka untuk menerimanya[4]".

Di antara protokol-protokol yang dikemukakan oleh golongan Masonic Yahudi ialah: " Kita mesti bekerja keras untuk meruntuhkan akhlak dam moral manusia dari segala aspek dan lapangan, agar dengan itu mudahlah kita menguasai mereka[5]". 

1.4. Menghalalkan Pelacuran
Pelacuran merupakan suatu pekerjaan yang berbentuk khidmat tertua di dunia yang diiktiraf oleh masyarakat dunia sehingga ke hari ini sekalipun ianya memberi banyak keburukan dan penyakit kepada umat manusia seluruhnya. Di antara beberapa keburukkan yang diperolehi dari hasil pelacuran ialah penyakit seks seperti sifilis, syangkroid, gonorea, limfogranuloma venereum, granuloma inguinale, jangkitan alat kelamin tak khusus, trikomoniasis, kandidiasis, kudis buta, kutu ari-ari, herpes genitalis, ketuat alat kelamin, moluskum kontagiosum dan yang terakhir ialah penyakit aids. Berlakunya juga keruntuhan rumah tangga, kelahiran anak luar nikah, berlakunya kerosakkan nasab keturunan, kemusnahan hidup, krisis nilai, keruntuhan moral dan akhlak dan pelbagai keburukan lagi. Pertubuhan Pembebasan Wanita (Women Liberation) di Barat telah berjuang menyuarakan hak-hak mereka supaya mengharuskan pelacuran di dalam memberi khidmat sosial kepada mereka yang memerlukan dan hari ini pelacuran bukan lagi di anggap suatu pekerjaan yang hina bahkan ianya adalah suatu perusahaan yang boleh mendatangkan banyak keuntungan di samping memberi kepuasan yang sementara.

1.5. Pertandingan Sosial
Protokol Yahudi yang ketiga belas ada menyebut: " Kita akan melalaikan manusia dengan pelbagai jenis hiburan dan permainan, kita segera memulakan pengiklanan di dalam akhbar mengajak manusia untuk memasuki pertandingan dari segala rancangan".

Kini, anak muda dan kaum remaja Islam amat tergila-gila dengan rentak dan irama muzik yang mengasyikkan sehingga menolak Al Quran ke tepi sebagai hiburan dan dirinya. Harian hidup mereka dipenuhi dengan pelbagai warna aksi hiburan, mereka lebih menyanjung tinggi artis pujaan mereka daripada mengenal tokoh-tokoh Islam, padahal artis tersebut tidak ada kena mengena dengan mereka. Bahkan di sana terdapat di kalangan remaja Islam yang berani pergi jauh dari itu dengan menyertai pertandingan yang diadakan semata-mata merosakkan imej Islam dan umatnya sendiri seperti pertandingan ratu cantik, aksi drama atau teater yang memesongkan 'aqidah dan sebagainya.   

2. MEMUSNAHKAN KELUARGA MUSLIM
Impian mereka yang jahat itu tidak hanya terhenti kepada individu sahaja, bahkan juga kepada meruntuhkan kerukunan institusi keluarga muslim. Sistem kekeluargaan umat barat hari ini telah  jauh terpesong dari landasan kemanusiaan dan hakikat hidup sebenar. Mereka hanyut dibawa arus jahiliyah moden yang memusnahkan segala rupa bentuk pemikiran dan aksi kehidupan mereka seharian. Sistem kekeluargaan mereka telah punah-ranah dan kebanyakan remaja mereka lebih suka hidup bebas di antara pasangan masing-masing. Akibatnya, timbul pelbagai gejala yang tidak dapat dibendung lagi. Untuk mengatasi masalah tersebut, tokoh-tokoh sosiologi mereka telah memikirkan cara-cara mengatasi masalah tersebut, di antaranya ialah:

2.1. Kahwin Percubaan (Trial Marriage)
Pasangan tersebut hidup bagaikan suami isteri tetapi mereka belum berkahwin. Setelah mereka rasakan secucuk dan boleh hidup sebagai sepasang suami isteri barulah mereka kahwin. Perkara ini berlaku kepada bintang bola sepak terkenal Deigo Maradona yang berkahwin setelah mendapat dua orang anak. Kalau mereka merasakan lebih suka hidup seperti pasangan kekasih tanpa proses perkahwinan, perkara tersebut bukan menjadi suatu keaiban dan kesalahan bagi mereka bahkah ianya menjadi suatu pendekatan untuk dihayati. Hal ini berlaku kepada bintang filem terkenal iaitu Farrah Fawcett dan Ryan O'neal yang hidup bersama di bawah ikatan kekasih selama 17 tahun tanpa berkahwin. Hasil perkongsian hidup bersama itu melahirkan seorang anak bernama Redmond 12 tahun[6].

2.2. Tukar-menukar Pasangan Suami Isteri
Gejala sosial yang berlaku di barat telah mengubah keagungan nilai  kemanusiaan  dan  kerukunan rumahtangga. Perkahwinan tidak lagi dianggap sebagai suatu tuntutan penting yang disuruh dalam ajaran agama, bahkan mereka boleh hidup tanpa berkahwinan dengan pasangan hidup masing-masing. Kadang-kadang perkahwinan itu pula tidak dibina di atas suatu keyakinan yang mutlak, mereka bebas bertukar-tukar pasangan suami isteri dengan saudara mereka ataupun dengan sesiapa sahaja yang mereka sukai. Isteri bebas meniduri sesiapa sahaja di kalangan suami saudara mereka dan begitu pula si suami bebas meniduri isteri saudara mereka. Kadang-kadang mereka berempat bertukar-tukar isteri di dalam suatu bilik memperkosa isteri saudara mereka masing-masing. Biasanya perkara ini perkara di dalam suatu upacara tertentu di kelab-kelab, festival dan sebagainya.

3. MEMUSNAHKAN MASYARAKAT ISLAM
Apabila musnahnya keluarga muslim dengan sendiri akan musnahlah masyarakat muslim yang berdiri di atas elemen ketundukkan diri kepada Tuhan. Di sana akan lahirlah masyarakat pondan dari kalangan masyarakat muslim yang tidak lagi bermaya untuk bangkit menghadapi cabaran masa hadapan[7]. Oleh sebab itu, mudahlah gerakan orientalis memasukkan jarum dakyahnya ke dalam masyarakat Islam yang pondan itu.

4. MEMUSNAHKAN MINDA UMAT ISLAM
Para mubaligh Orientalis berusaha memusnahkan dan mematikan pemikiran umat Islam, justeru memutuskan pertalian mereka dengan Allah. Dengan itu, mereka akan menjauhkan diri dari peraturan Islam dan berjalan di dalam  kehidupan yang serba boleh tanpa dibatasi persoalan halal haram. Oleh itu, mereka akan jatuh dan terjunan jauh dari perspektif Islam.  Salah seorang ketua Persatuan Mubaligh Orientalis yang bernama Samuel Zwemer berkata kepada para mubaligh pada sidang muktamar Jeruselam tahun 1935:

" Sesungguhnya tugas menyebaran dakyah Kristian yang diamanatkan oleh negara-negara Kristian  kepada kamu adalah untuk menyebarkan ke negara-negara yang mempercayai Muhamad, bukanlah semata-mata untuk menarik kaum muslimin kepada agama Kristian sahaja, bahkan tugas kamu yang lebih penting ialah mengeluarkan individu muslim dari agama Islam, supaya ia menjadi seorang makhluk yang tidak ada pertalian sama sekali dengan … Sekiranya mereka belajar, maka pelajaran itu adalah menurut syahwat, jika mereka mengumpulkan wang, maka wang tersebut adalah untuk syahwat, jika mereka menjawat jawatan di jabatan tinggipun, tujuannya adalah untuk syahwat semata-mata, pendek kata mereka bekerja keras di dalam segala urusan adalah untuk sampai ke puncak syahwat[8]".

            Seorang mubaligh Takeley telah berkata: "Kita mesti menggalakkan penubuhan sekolah-sekolah yang sepadan dengan negara barat yang tidak berunsurkan agama, kerana kebanyakkan kaum muslimin kini telah bergoncang kepercayaan mereka mengenal Islam dan Al Quran, ketika mereka mula mempelajari buku-buku sekolah barat dan mereka mula mempelajari bahasa-bahasa asing[9]".

5. MENGHAPUSKAN AL QURAN
Orang-orang Orientalis mengira bahawa Al Quran merupakan sumber kekuatan bagi orang-orang Islam dan ianya juga sumber inspirasi menyelesaikan apa jua bentuk permasalahan  yang dihadapi oleh umatnya di dunia dan di akhirat.  Gladstone pernah berkata di dalam satu persidangan Dewan Parlimen Inggeris dan ketika itu tangannya mengangkat Mashaf di hadapan sidang hadirin:

" Selagi Al Quran ini berada di tangan kaum muslimin, selagi itulah Eropah tidak dapat menguasai Timur dan selagi itulah Eropah tidak akan dapat hidup dalam keadaan aman damai[10]".

William Geyford Balcroff salah seorang mubaligh Orientalis pernah berkata: " Apabila Al Quran itu lenyap dan Kota Mekah hilang dari ingatan negara Arab, ketika itu barulah kita dapat melihat orang-orang Arab akan menjejaki jalan tamaddun Barat, jauh menyimpang dari Muhammad dan kitabnya[11]".  

Seorang paderi  yang sangat bencikan Islam bernama Cately telah mengatakan: " Menjadi kewajiban kepada kita mempergunakan Al Quran yang merupakan sekuat-kuat senjata di dalam Islam untuk memukul Islam itu sendiri, sehingga akhirnya kita berjaya membasminya sama sekali, kita pasti menerangkan kepada kaum muslimin bahawa yang benar di dalam Al Quran itu bukanlah baru dan yang baru itu tidak benar sama sekali[12] ".

6. MEMUSNAHKAN AJARAN ISLAM
Di antara gambaran dan aspek-aspek yang biasa ditonjol untuk mengelirukan manusia terhadap Islam ialah menggambarkan bahawa ajaran Islam  mengajak kepada keganasan. Ungkapan 'Di Bawah Kilauan Pedang' telah memberi pengertian bahawa Islam agama yang sukakan pergaduhan, pertelingkahan, perkelahian, pertengkaran, permusuhan dan seterusnya menimbulkan aksi dan babak peperangan.  Dalam erti kata yang lain, ajaran Islam lebih cenderung kepada keganasan dan pembunuhan. Dengan memperalatkan pertubuhan antarabangsa dan menyebarkan gambaran jahat mereka terhadap Islam di ruangan akhbar dan media massa telah mencetuskan reaksi spontan kepada masyarakat dunia betapa punahnya ajaran Islam. Walaupun pada hakikatnya perkara itu tidak benar, tetapi dengan gambaran itu mereka telah berjaya menipu umat manusia seluruhnya terhadap kemurnian Islam.  Mereka menggambarkan tokoh-tokoh gerakan Islam sebagai pencetus aksi keganasan di seluruh dunia. Kebencian kepada Islam itu jelas kelihatan apabila perasaan kefanatikan digambarkan dalam nyanyian tentera Itali ketika memerangi Tripoli:

" Aku akan memerangi dengan kekuatan ku untuk menghapuskan Al Quran yang selalu dipuja-puja oleh umat Islam, umat yang terkutuk itu”[13].

 Sedangkan kemasukan tentera Itali ke Tripoli adalah untuk menjajah dan mereka telah mendapat tentangan yang sengit dari penduduk tempatan yang tidak suka kehadiran tentera Itali.


7. MELENYAPKAN PEMERINTAHAN ISLAM
Orientalis sejak dahulu lagi telah berkompromi dengan musuh-musuh Islam berusaha untuk meruntuhkan Islam dan juga melenyapkan sistem pemerintahan Islam atau Khilafah Islam. Puak-puak orientalis telah bersatu di bawah satu panji-panji yang disertai oleh Inggeris, Greek, Itali dan Perancis telah mengambil peluang dengan kelemahan kerajaan Uthmaniyyah dan akhirnya mereka telah berjaya meruntuhkannya. Maka berlaku di sana suatu persidangan muktamar Luzan untuk mengadakan perdamaian di antara kedua-dua belah pihak yang berperang. Inggeris telah mensyaratkan kepada pemimpin negara Turki yang khianat bernama Mustafa Kamal Ataturk, bahawa mereka tidak akan mengundurkan diri dari bumi Turki kecuali setelah melaksanakan syarat-syarat, di antaranya memilih perlembagaan sivil menggantikan perlembagaan Islam. Apabila Menteri Luar Inggeris yang bernama Carzoun bercakap di Parlimen mendedahkana apa yang berlaku di Turki, orang ramai bangun memprotes dengan keras tindakan yang dilakukan oleh Carzoun. Mereka merasa hairan bagaimana Inggeris boleh mengiktiraf kemerdekaan Turki, lalu Carzoun menjawab:

" Kita telah melenyapkan Turki yang tidak akan bangun lagi sesudah ini, kita telah menghapuskan sumber kekuatannya yang terdiri di atas dua perkara; Islam dan pemerintahan berkhilafah"[14]

8. MEMUSNAHKAN KESATUAN UMAT ISLAM
Gerakan orientalis dahulu dan sekarang bukan sahaja bergerak semata-mata untuk menyeru manusia menganut ajaran Kristian atau Yahudi, bahkan di sana ada suatu tujuan dan matlamat di sebalik tirai tersebut, iaitu menghancurkan kesatuan umat Islam sejagat. Seorang paderi bernama Simon telah menyatakan:

 " Sesungguhnya persatuan Arab Islam menyatukan cita-cita besar semua bangsa-bangsa Islam dan membantu mereka keluar dari cengkaman Eropah, sedangkan penyebaran Kristian adalah satu-satunya gejala yang penting untuk mematahkan ikatan tali gerakan itu, oleh sebab itu kita mesti menggunakan penyebaran Orientalis ini untuk memalingkan tujuan kaum muslimin daripada persatuan Islam itu[15]".

Manakala seorang mubaligh  bernama Lawrance Brown telah berkata: " Jika kaum muslimin dibiarkan bersatu dalam sebuah empayar Arab, mereka akan merupakan suatu laknat dan bahaya besar terhadap alam seluruhnya, dan kemungkinan juga perkara ini merupakan suatu ni'mat baginya. Tetapi, jika mereka semua berpecah-belah, nescaya mereka akan terus-menerus hidup tanpa harga dan tanpa kesan[16]".

Pada tahun 1907, suatu muktamar besar telah diadakan di Eropah dan disertai oleh ramai ahli fikir dan ahli politik barat dan muktamar itu diketui oleh Menteri Luar Kerajaan British. Muktamar itu berjalan selama hampir sebulan dan para peserta telah mendedahkan bahaya-bahaya luar yang mungkin menghapuskan tamaddun barat yang hampir-hampir malap ini. Mereka berpendapat kaum musliminlah yang merupakan sebesar-besar bahaya yang mengancam Eropah. Maka para peserta muktamar itu telah memutuskan supaya menghalang penubuhan suatu persatuan atau persepakatan antara negara-negara Asia Barat, kerana Asia Barat berbangsa Islam, jika mereka bersama nescaya akan merupakan satu-satunya bahaya yang mengancam masa depan Eropah. Akhir sekali, mereka merancang dan menetapkan untuk membangunkan bangsa Yahudi yang memusuhi kaum Arab dan muslimin di Timur Suez (Suez Canal) untuk memecah-belahkan kaum muslimin. Kerajaan British telah membuka tangan untuk memberi kerjasama dan bantuan terhadap Zionisme antarabangsa yang telah ma melaungkan penubuhan suatu negara Yahudi di Palestin[17]

Sekian, wassalam



Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani


[1]  Tarbiyah Al Aulad, juz: 2, hal: 764
[2]  Ibid, juz: 2, hal: 763.
[3]  Makaid Sohyuniyyah, oleh: Prof. Abdul Rahman Hanbakah, hal: 233-238
[4]  Ibid, hal:233-238.
[5]  Ibid, hal: 233-238.
[6]  Utusan Malaysia, 6Mac, 1997.
[7]  Mu'alim Fi At Tariq, hal: 56.
[8]  Juzur Al Bala', hal: 275
[9]  At Tabsyir Wal Isti'marah, oleh: Faruq Walkhalidi, hal: 88.
[10]  Al Islam 'Ala Muftariq Al Thuruq, oleh: Muhammad Asad, hal: 39.
[11]  Juzur Al Bala', hal: 201.
[12]  Al Tabsyir Wal Isti'mar, oleh: Faruq Walkhalidi.
[13]  Limaza Taakhara Al Muslimun Wa Limaza Taqaddama Ghairuhum, hal:57, oleh: Al Amir Syakib Arsalan.
[14]  Al Ardi Wa Asy Sya'bi, hal: 46, juz: 1 dan Kaifa Huddimat Al Khilafah,  hal: 190.
[15]  Kaifa Huddimat Al Khilafah, hal: 190.
[16]  Juzur Al Bala', hal: 202.
[17] Al Muamarah Wa Ma'rakatu Al Mashir, hal: 25.

No comments:

Post a Comment