PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Friday 28 September 2012

SIKAP NEGATIF ORIENTALIS TERHADAP I’JAZ AL-QUR’AN


Pada hakikatnya, tokoh-tokoh orientalis tidak memahami ajaran Islam secara tepat, mereka tidak mengerti bahawa Islam bukanlah agama boleh difikir dengan akal semata-mata. Mereka tidak dapat menerima hakikat bahawa al-Qur’an adalah kitab perpaduan dan boleh menyelesaikan permasalahan hidup dan juga boleh dijadikan perlembagaan hidup umat manusia. Mereka tidak mahu menerima-pakai bahawa al-Qur’an sebagai aturan hidup untuk umat manusia, sebaliknya mereka lebih suka berada dalam kemelut kesesatan walaupun mereka tahu bahawa kitab Taurat dan Injil yang ada sekarang bukan lagi kitab asli yang telah diubah-suai oleh para pendeta mereka. Mereka merasa dengki dan iri hati terhadap al-Qur’an yang masih mampu bertahan dengan nilai keaslian dan keunikannya, maka dengan sebab itu mereka berusaha mencari kelemahan-kelemahan di dalam al-Qur’an. Golongan orientalis telah menerokai semua sekali bidang dalam al-Qur’an, termasuk ilmu nahu, balaghah, qira’at, tafsir dan lain-lain lagi.

            Apabila mereka tidak dapat menemui kelemahan tersebut dan tidak  dapat membuktikan kelemahan itu dari sudut ilmiah, lalu mereka membuat andaian sendiri dan mereka-cipta kelemahan-kelemahan yang kononnya terdapat dalam al-Qur’an. Mereka berusaha dengan gigih dengan membuat kajian dan analisa yang salah terhadap al-Qur’an dan kemudian mengemukakan serangan yang bertalu-talu dan bertubi-tubi dari pelbagai sudut untuk menggoncangkan kehujahan al-Qur’an sebagai dalil syari’at namun usaha mereka tidak berjaya dan menemui jalan buntu. Di antara sarjana Barat dan orientalis yang menerapkan metode bahawa al-Qur’an sama dengan Bible ialah Abraham Geiger, Gustav Weil, William Muir, Theodor Noldeke, W. Montgomery Watt, Kenneth Cragg, John Wansbrough dan yang masih hidup seperti Andrew Rippin, Christoph Luxenberg, Daniel A. Madigan, Haraid Motzki dan masih banyak lagi lainnya.[1]

            Terdapat banyak faktor yang menyebabkan kemunculan sikap buruk dan pemikiran negatif orientalis terhadap Islam dan umat Islam, terutama terhadap al-Qur’an dan di bawah ini dinyatakan beberapa faktor penting  yang menyebabkan munculnya tabiat buruk mereka:

1. Ekstremisme Terhadap Ideologi Mereka
Para sarjana orientalis dalam beberapa kajian mereka terhadap al-Qur’an dilihat sebagai ‘kajian berat sebelah’ kerana tidak amanah mewarnakan kajian mereka dengan sebenar. Mereka cuba menidakkan kebenaran yang terdapat dalam al-Qur’an dan sebaliknya cuba menegakkan kesalahan sebagai suatu realiti dalam kajian mereka. Pertembungan dan percanggahan dalam kajian mereka mengenai al-Qur’an telah menghasilkan warna yang sebenar bahawa kajian yang mereka  lakukan itu bertujuan ‘sengaja mencari pasal’, kerana mereka-cipta kesalahan atau kesilapan yang kononnya terdapat dalam a-Qur’an. Namun demikian, kajian yang mereka lakukan itu telah membuka kelemahan mereka sendiri, kerana tafsiran mereka terhadap al-Qur’an disifatkan sebagai tidak masuk akal dan menyimpang jauh dari kebenaran.

             Di tengah-tengah keghairahan mereka menghentam al-Qur’an, di waktu yang sama terdapat dalam kalangan tokoh-tokoh orientalis dan mereka yang berpengaruh dalam agama Yahudi dan Kristian telah meninggalkan kedua-dua agama yang sesat itu, sebaliknya menjadikan Islam sebagai suatu cara hidup dan meninggalkan anutan lapuk mereka sebelum ini. Di antara mereka ialah Dr. Abdul Karim Germanus[2] yang berasal dari Hungary,[3] Leopold Weiss  atau nama Islamnya Muhamad Asad[4] yang berasal dari keluarga Yahudi di Austria[5], Margaret Marcus atau nama Islamnya Maryam al-Jameelah[6] yang banyak mengarang buku-buku Islam termasuk ‘Islam and Orientalism’[7], Muhamad Marmaduke William Pickthal seorang novelis yang terkenal[8], Dr. Maurice Bucaille seorang pakar bedah yang berasal dari Perancis[9], Michael Wolfe seorang penerbit filem yang berasal dari keluarga Yahudi Kristian[10],  Dr. Gary Miller yang merupakan pakar matematik dari Kanada yang bergiat aktif dalam kerja-kerja misionari Kristian [11], Aminah As Silmi yang merupakan bekas seorang Kristian Protestan dari kumpulan gereja Southern Baptist dan aktivis kumpulan pembebasan wanita yang radikal [12] dan lain-lain lagi.[13]

         Sebenarnya, orientalis merupakan golongan ekstremis yang sangat taksub kepada ideologi ciptaan mereka sendiri sehingga terlalu sukar untuk menerima pandangan dan pendapat lain. Sikap dan fahaman ekstremisme terhadap ideologi mereka sendiri telah disuarakan oleh beberapa tokoh orientalis ketika merumuskan hasil kajian mereka terdapat al-Qur’an. Seorang orientalis bernama Abraham Geiger telah berpendapat bahawa al-Qur’an terpengaruh dengan Agama Yahudi ketika mengemukakan perkara yang berkaitan dengan keimanan dan doktrin agama, peraturan-peraturan hukum dan moral serta pandangan tentang kehidupan. Beliau juga berpendapat, cerita-cerita yang terdapat dalam al-Qur’an tidak terlepas dari pengaruh Agama Yahudi.[14] Adapun mengenai ayat-ayat al-Qur’an yang mengecam Yahudi, Geiger berpendapat bahawa kecaman itu disebabkan Muhamad s.a.w. telah menyimpang dan salah faham mengenai doktrin-doktrin dalam Agama Yahudi.[15]

            Manakala John Wansbrough pula berpendapat bahawa al-Qur’an merupakan hasil konspirasi di antara Muhamad s.a.w.  dan pengikut-pengikutnya pada abad pertama dan ajaran Islam yang secara sepenuhnya berada di bawah pengaruh Yahudi.[16] Beliau menegaskan bahawa al-Qur’an sebagai wahyu yang diturunkan Tuhan kepada Nabi Muhamad s.a.w. merupakan kesinambungan dari kitab Taurat dengan menyatakan:

“Qur’anic adaption of Judae-Christian Satan will not have been a consequence merely of autonamasia…..”[17]
             
          Maka jelas sekali di sini, bahawa sikap taksub dalam kalangan orientalis terhadap ideologi mereka menggambarkan fahaman ekstremisme sangat tebal dan sukar dikikis. Ditambah pula dengan sikap benci dan dendam kesumat terhadap Islam menyebabkan nilai-nilai dan harga diri mereka terpelanting jauh dari kebenaran.

2. Hubungan Orientalisme Dengan Yahudi, Kristian Dan Imperialis
Gerakan orientalis pada mulanya berdiri di atas pendeta-pendeta, kemudian mereka mempunyai hubungan yang erat dengan kolonialis.[18] Gerakan orientalis pada mulanya dipelopori Mubaligh Kristian dan Paderi, tetapi akhirnya bergandingan dengan kehadiran imperialis Barat ke Dunia Islam untuk mengukuhkan penjajahan mereka ke atas negara-negara jajahan tersebut. Dr Hamdi Zaqzuq menegaskan bahawa motivasi keagamaan inilah menjadi pencetus utama bagi lahirnya gerakan orientalisme[19].

            Di antara tokoh orientalis yang mementingkan ajaran ketimuran ini untuk tujuan pengkristianan ialah Roger Bacon, beliau menganggap hanya melalui gerakan kristianisasi sahaja dunia Kristian dapat diperluaskan. Pendapat beliau dikongsi bersama oleh Raymond Lull yang merupakan salah seorang pensyarah Pengajian Bahasa Arab dipelbagai  pusat pengajian di Sepanyol. Tujuan kajian ketimuran pada masa itu dan selepas itu merupakan proses kristianisasi sepertimana yang ditegaskan oleh Rudi Paret, seorang orientalis Jerman yang terkenal.[20] Perkara ini ditegaskan lagi oleh C.E. Bosworth bahawa sejarah orientalisme di peringkat awal adalah sejarah pertarungan di antara dunia Kristian Barat dalam kurun pertengahan dengan Dunia Timur atau Islam dalam arena ideologi dan keagamaan[21].

            Menurut al-Jabri bahawa peranan yang  paling  serius  yang  dijalankan oleh  orientalis dalam memerangi Islam secara amalinya ialah dengan membina pusat pengajian dari peringkat tadika hingga ke  peringkat universiti yang mendidik  generasi baru umat Islam dari pelbagai lapisan masyarakat, mereka akan dididik agar menafikan kerasulan Muhamad s.a.w.[22]

            Philip K. Hitti telah membuat kritikan terhadap Rasulullah s.a.w. dan agama Islam adalah sama dengan apa yang dilakukan oleh orientalis terdahulu, Ignaz Goldziher. Dalam bukunya yang berjudul ‘al-Aqidah Wa Syariah Fi al-Islam’ beliau telah melontarkan tuduhan bahawa Islam merupakan himpunan pengetahuan dan pandangan agama-agama lain yang sengaja dipilih oleh Muhamad s.a.w. daripada Yahudi, Nasrani dan lain-lain. Beliau juga menuduh agama Islam tidak mampu mempersatukan bangsa Arab dan kabilah-kabilah lain yang mempunyai pelbagai upacara pengibadatan.[23]

            Dengan tuduhan dan dakyah ini, mereka akan memainkan elemen yang lebih hebat lagi untuk memutarbelitkan fakta yang sebenar dan melemahkan Islam dari pelbagai sudut. Dalam masa yang sama mereka menonjolkan dan menimbulkan kelebihan atau kehebatan orang Yahudi dan Kristian serta mendakwa bahawa sumber Islam yang pertama adalah dari Yahudi dan Kristian. Gerakan orientalis ini sememangnya untuk memusnahkan pemikiran umat Islam dan untuk mencapai maksud itu mereka telah menggunkan perkhidmatan dan pergerakan zionisme[24] untuk menjatuhkan Islam dan melenyapkan al-Qur’an.
                       
            Menurut Kristian, Islam merupakan masalah yang praktikal dan  mendorong berlakunya Perang Salib, malah mereka menganggap Islam sebagai faktor penyebab berlakunya percanggahan pemikiran terhadap konsep ketuhanan mereka.[25] Namun, gerakan orientalis bertambah hebat setelah Kristian mengalami kekalahan dalam perang Salib. Mereka cuba mencari kelemahan-kelemahan umat Islam supaya mudah untuk mereka takluki dan dalam masa yang sama mereka juga mencari kekuatan-kekuatan umat Islam supaya mudah untuk mereka mencari punca kekuatan tersebut yang bertujuan untuk melemahkannya. Keazaman mereka bertambah kukuh apabila Kota Konstantinople telah jatuh ke tangan Kerajaan Uyhmaniah Turki pada tahun 1453M. Orang-orang Barat membuat kajian bahawa satu-satunya agama yang boleh mengalahkan Kristian adalah Islam, manakala agama-agama lain seperti Buddha, Hindu, Majusi dan lain-lain lagi tidak begitu menggugat perkembangan Agama Kristian. Untuk menghindarkan bahaya yang mengancam pengikut-pengikut agama Kristian, mereka telah membuat keputusan bahawa aliran orientalisme perlu dipergiatkan.[26]  Dalam satu kenyataan yang lain, Philip K. Hitti yang lahir dalam keluarga Kristian di Lubnan yang mendapat pendidikan dari Universiti Amerika di Beirut[27] pernah menuduh bahawa Nabi Muhamad s.a.w. sebagai penipu besar.[28]

            Sebenarnya, sikap permusuhan dan tindak-tanduk orang-orang Yahudi dan Nasrani telahpun didedahkan oleh al-Qur’an yang dianggap sebagai suatu amaran terhadap umat Islam agar mereka sentiasa berhati-hati dan berwaspada terhadap ancaman Yahudi dan Nasrani.

Firman Allah Ta’ala:

وَلَنْ تَرْضَىٰ عَنْكَ الْيَهُودُ لاَ النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ[29]

Maksudnya: “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu)”.

3. Menutup Kepincangan Dalam Taurat Dan Injil
Kajian orientalis terhadap al-Qur’an tidak hanya mempersoalkan tentang elemen-elemen utama sahaja, bahkan isu-isu lapuk yang selalu diangkat adalah berkaitan dengan pengaruh Yahudi, Kristian, Zoroaster dan lain-lain lagi terhadap Islam dan isi kandungan al-Qur’an. Mereka bermati-matian berusaha mengungkapkan apa saja yang boleh dijadikan bukti bagi mewujudkan ‘teori pinjaman’ seperti dari literatur dan tradisi Yahudi-Kristian ataupun membuat perbandingan dengan adat istiadat jahiliyah, Romawi dan lain-lain. Biasanya mereka akan membuat tuduhan bahawa cerita-cerita dalam al-Qur’an mempunyai banyak kekeliruan dan tidak sesuai dengan versi Bible yang mereka anggap lebih akurat.[30]

      Sebenarnya, majoriti dalam kalangan cendekiawan Kristian telah lama meragukan keaslian Bible. Ini kerana Bible yang ada di tangan mereka sekarang ternyata bukan lagi kitab asli, kerana terlalu banyak campur tangan manusia di dalamnya sehingga amat sulit sekali untuk membezakan catatan wahyu dengan catatan tangan manusia, sebagaimana yang ditegaskan oleh Kurt Aland dan Barbara Aland:

Until the beginning of the fourth century, the text of the New Testament developed freely…. Even  for later scribes,  for example, the parallel passages of the Gospels were so familiar that they would adapt the text of one gospel to that of another. They also felt themselves free to make corrections in the text, improving it by their own standard of correctness, whether grammatically, stylistically, or more substantively.[31]

            Goldziher, seorang orientalis yang sangat keras menentang Islam btelah menyatakan bahawa Islam adalah agama yang cenderung kepada Judaisme.[32] Ulasan beliau mengenai qira’at dalam al-Qur’an dianggap menyimpang jauh dari realiti, mengabaikan petunjuk yang sebenar dan beliau dianggap dengan sengaja memutar-belitkan kebenaran al-Qur’an.[33] Pemikiran Goldziher telah diterjemahkan oleh Alphonse Mingana yang menyatakan bahawa perlunya melakukan perubahan terhadap teks al-Qur’an sebagaimana yang telah berlaku terhadap kitab suci Yahudi yang berbahasa Ibrani-Arami dan kitab suci Kristian yang berbahasa Yunani.[34]

            Kenyatakan ini secara tidak langsung telah membuka pekung sendiri bahawa golongan orientalis terpaksa menerima hakikat penyelewengan dan pengubah-suaian yang telah berlaku dalam Taurat dan Injil. Mereka terpaksa menerima kenyataan pahit bahawa Taurat dan Injil yang ada di tangan mereka terbukti tidak lagi asli, kerana terlalu banyak campur tangan manusia di dalamnya sehingga sukar dibezakan di antara wahyu yang sebenar dengan catatan manusia. Maka, untuk membendung dan menutup hakikat yang berlaku, al-Qur’an merupakan sasaran utama serangan misionaris dan orientalis Yahudi-Nasrani setelah mereka gagal menghancurkan sirah dan sunnah Nabi s.a.w.[35] Goldizher berusaha mengungkapkan apa saja yang boleh dijadikan bukti bagi teorinya yang menyatakan pengaruh yang terdapat dalam al-Qur’an dipetik dari tradisi Yahudi, Nasrani, Romawi dan adat istiadat jahiliyah. Namun demikian, Goldziher juga terpaksa mengakui bahawa Islam adalah agama yang paling memuaskan akal dan memandang al-Qur’an dengan menyatakan:

            “Tidak ada kitab perundangan yang diakui oleh kelompok keagamaan bahawa ianya adalah teks yang diturunkan atau diwahyukan, di mana pada  masa awal peredaran teks tersebut datang dalam bentuk kacau dan tidak pasti sebagaimana yang kita temukan dalam al-Quran.”[36]

4. Cuba Mendistraksi Umat Islam
Di antara faktor kemunculan sikap negatif orientalis terhadap al-Qur’an ialah untuk mendistraksikan umat Islam atau mengalih perhatian mereka kepada perkara-perkara lain daripada menumpu perhatian terhadap al-Qur’an. Sudah tentu, gerakan orientalisme memang terkenal dengan tradisi kajian ilmiah mereka tentang Islam yang menggunakan kaedah intelektualisme dan dedikasi akademik,[37] namun sikap sebenar mereka dipicu oleh motif dan semangat missionaris, di samping berusaha memalingkan hala tuju umat Islam supaya berpindah mengikuti keinginan aliran kebudayaan Barat yang sesat dan menyesatkan.

            Sebagaimana yang telah dijelaskan, orientalis adalah kumpulan sarjana-sarjana Barat yang terdiri dari kalangan Yahudi, Kristian, Atheis dan lain-lain yang cuba mendalami bahasa-bahasa Timur, iaitu Bahasa Arab, Parsi, Ibrani, Suryani dan lain-lain yang bertujuan untuk memasukkan idea-idea dan faham-faham yang batil ke dalam ajaran Islam agar akidah, ajaran dan dakwah Islam menjadi punah-ranah. Montgomery Watt yang dianggap sebagai orientalis moderat ketika menulis tentang al-Qur’an dan Sunnah s.a.w. ternyata mempunyai sikap yang ragu terhadap keunggulan ajaran Islam. Dalam kajiannya, beliau cuba membuktikan bahawa terdapat beberapa ayat al-Qur’an dan al-Hadi yang direka-cipta dan tidak konsisten, maka dengan itu kedua-dua sumber tersebut tidak boleh dijadikan panduan hidup umat Islam, bahkan beliau mencurigai adanya ‘ayat-ayat setan’ dalam al-Qur’an.[38]

            Kajian terhadap al-Qur’an dengan menggunakan gaya bahasa dan acuan Barat sebagaimana yang dilakukan oleh Joseph Schacht dalam karyanya Introduction to Islamic Law’ adalah semata-mata untuk membuktikan bahawa isi kandungan al-Qur’an itu bersumberkan dari Yahudi dan Kristian.[39] Mereka sangat mengetahui, bahawa al-Qur’an adalah sumber kekuatan kepada umat Islam yang merupakan peraturan dan undang-undang serta perlembagaan hidup. Apabila pengaruh al-Qur’an dapat dilenyapkan dari jiwa umat Islam, maka secara tidak langsung pengaruh Islam dalam masyarakat tidak akan berbekas dan akan menjadi pudar sehingga tidak mampu mengangkat darjat dan nilai-nilai kemanusiaan.

            Seorang wakil Parlimen Inggeris yang bernama Gladstone pernah berkata di dalam satu persidangan Dewan Parlimen dan ketika itu tangannya mengangkat senaskah Muhaf di hadapan sidang hadirin sambil berkata:

            " Selagi al-Qur’an ini berada di tangan kaum muslimin, selagi itulah Eropah tidak dapat menguasai Timur dan selagi itulah Eropah tidak akan dapat hidup dalam keadaan aman damai ".[40]

           Kenyatan yang sama juga telah disuarakan oleh seorang mubaligh Kristian yang sangat bencikan Islam bernama William Geyford Balcroff dan pernah berkata dalam satu ucapannya:

         " Apabila al-Qur’an itu lenyap dan Kota Mekah hilang dari ingatan negara Arab, ketika itu barulah kita dapat melihat orang-orang Arab akan menjejaki jalan tamadun Barat, jauh menyimpang dari Muhamad dan kitabnya”.[41]

       Manakala seorang paderi Kristian bernama Cately telah membuat satu kenyataan penting mengenai dakyah yang perlu dilaksanakan ke atas umat Islam mengenai al-Qur’an:

       "Menjadi kewajiban kepada kita mempergunakan al-Qur’an yang merupakan sekuat-kuat senjata di dalam Islam untuk memukul Islam itu sendiri, sehingga akhirnya kita berjaya membasminya sama sekali, kita pasti menerangkan kepada kaum muslimin bahawa yang benar di dalam al-Qur’an itu bukanlah baru dan yang baru itu tidak benar sama sekali".[42]

        Seorang Gabenor Perancis di Algeria pernah membuat ucapan ketika menyambut seratus tahun penjajahan Perancis:

          "Kita mesti menghilangkan al-Qur’an yang berbahasa Arab dari kehidupan mereka dan menjadi kewajiban juga kepada kita menghapuskan lidah yang berbahasa Arab dari pertuturan mereka".[43]

         Golongan orientalis berusaha keras menyerang al-Qur’an dan menaburkan benih-benih keraguan terhadap sumber Islam itu, mereka memasukkan elemen-elemen kebatilan ke dalam al-Qur’an dan menyerang bahasa al-Qur’an itu melalui pelbagai cara termasuk membuat penafsiran yang salah dan silap mengenai ayat-ayat tersebut. Kajian dan penyelidikan mereka tentang al-Qur’an bukan bertujuan untuk beriman dengan kitab tersebut atau beramal dengannya, tetapi bertujuan untuk mewujudkan keraguan terhadap keunggulan al-Qur’an itu sebagai wahyu Allah. Perkara ini memang menjadi dasar gerakan orientalis yang cuba menanam kebencian dan kedengkian yang mendalam terhadap ajaran Islam, di samping sikap kurang ajar mereka terhadap Rasulullah s.a.w.[44]

            Kebanyakan pakar-pakar orientalis menghabiskan masa dan ruang-lingkup kehidupannya untuk menyingkap perubahan teks al-Qur’an, namun kajian dan penyelidikan yang mereka lakukan amat berlainan dengan apa yang terdapat dalam Kitab Injil[45], kerana terdapat banyak perbezaan yang memenuhi halaman-halaman dalam kitab tersebut. Kritikan orientalis mengenai kandungan al-Qur’an telah diulas dan dibahas dengan baik oleh Muhamad Khalifa, dalam ‘The Sublime Qur’an and Orientalism’ yang menyentuh konsep ketuhanan ketuhanan dalam al-Qur’an, pengertian Islam, kepercayaan dalam Islam, ritual-ritual dalam Islam, sikap al-Qur’an terhadap agama lain, konsep akhlak dalam al-Qur’an, masalah qaa-qadar dan masalah-masalah yang berkaitan dengan metafizik seperti roh, jiwa, kematian, neraka, syurga, hari pembalasan dan lain sebagainya.[46]

5. Perkhabaran al-Qur’an Tentang Dakyah Yahudi Dan Kristian
Orientalisme merupakan kajian yang mempunyai ikatan yang kuat dengan penjajahan Barat ke atas dunia Timur, khususnya Britian dan Perancis sejak akhir abad ke 18 hingga akhir Perang Dunia Kedua. Agenda itu kemudian diwariskan kepada Amerika Syarikat yang mewakili negara-negara imperialis pasca Perang Dunia Kedua hingga sekarang. Di samping itu, orientalisme juga berkait rapat dengan missionari. Perkara ini dapat dibuktikan dengan ramainya bilangan kaum Yahudi dan Kristian yang bekerjasama dengan gerakan orientalis untuk melakukan kajian terhadap Islam yang bertujuan untuk memutar belit fakta-fakta kebenaran Islam, menaburkan keraguan, menyebar kebencian dan berusaha untuk menjauhkan mereka daripada ajaran   Islam.[47]

            Al-Qur’an telah mendedahkan sikap dan konspirasi jahat kaum Yahudi dan Kristian, mereka tidak akan berdiam diri untuk melakukan kerosakkan di atas muka bumi dengan menabur fitnah, menyebarkan dakyah dan propaganda kepada seluruh umat manusia, khususnya kepada umat Islam.

Firman Allah Ta'ala:

وَلَنْ تَرْضَىٰ عَنْكَ الْيَهُودُ لاَ النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ[48]


Maksudnya: “Sesungguhnya Yahudi dan Nasrani (Kristian) tidak akan rea dengan kamu selama-lamanya sehinggalah kamu menurut cara hidup mereka”.

            Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan sekali-kali berkompromi dengan orang-orang Islam sehingga mereka keluar Islam dan mengikut anutan  Yahudi dan Nasrani.[49] Orang-orang Yahudi dan Nasrani sentiasa bersama[50] dan ‘duduk semeja’ mengatur rancangan jahat ke atas Islam dan umat Islam. Mereka membuat beberapa eksperimen jangka pendek dan jangka masa panjang dalam rancangan mereka supaya dakyah-dakyah yang mereka garis itu sentiasa berterusan sehingga umat Islam akur dan tunduk kepada kehendak mereka.  Sebab itu, ayat di atas merupakan peringatan dan amaran awal kepada umat Islam supaya berhati-hati dengan sikap dan rancangan jahat Yahudi-Kristian.

        Dalam sepotong ayat yang lain, al-Qur’an telah mendedahkan sikap sebenar musuh-musuh Islam terhadap Islam dan umat Islam.

Firman Allah Taala:

وَلاَيَزَالُوْنَ يُقَاتِلُوْنَكُمْ حَتىَّ يَرُدُّوْكُمْ عَنْ دِيْنِكُمْ[51]

Maksudnya: " Mereka tidak sekali-kali akan berhenti memerangi kamu sehingga kamu berpaling dari agama kamu”.

          Mereka yang terdiri dari kalangan Yahudi dan Kristian[52] sentiasa bersiap sedia dan mengatur langkah menyiapkan rancangan jahat jangka pendek dan rancangan jahat masa panjang untuk memerangi umat Islam sehingga ke akar umbinya. Mereka sentiasa menabur fitnah[53] melalui pelbagai sudut dan ruang-lingkup kehidupan, termasuk dalam sistem politik, sistem pendidikan, sistem kewangan, sistem perundangan dan kehakiman serta lain-lain lagi termasuk kebudayaan dan kesenian samata-mata untuk memecah-belahkan dan melaga-lagakan umat Islam. Perkara ini merupakan peringatan kepada orang-orang Islam[54] supaya mengambil sikap berhati-hati terhadap propoganda yang ditiupkan oleh kaum kuffar untuk mengeluarkan umat Islam dari agama Islam.

             Namun begitu, mereka tidak akan sekali-kali berjaya[55] berbuat demikian untuk menghancur-leburkan Islam dan umat Islam, kerana Allah tetap akan memelihara Islam yang diturunNya sehingga ke hari khiamat. Seandainya umat Islam bersatu dalam satu saf yang kukuh, sudah pasti mereka akan dapat menumbangkan musuh-musuh Islam yang datang menjelma itu.

Firman Allah Taala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لاَ تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى أَوْلِيَاءَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ إِنَّ اللَّهَ لاَ يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ[56] 

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya dia adalah dari golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim”.

       Syed Qutb dalam tafsirnya ‘Fi Zilal al-Qur’an’ telah mengulas ayat bahawa seruan ayat ini ditujukan kepada kelompok muslimin di Madinah, tetapi pada masa yang sama juga ditujukan kepada setiap kelompok muslimin yang berada di mana-mana pelusuk bumi sehingga hari khiamat. Faktor yang mendorong ditujukan seruan ini kepada orang-orang yang beriman pada masa itu ialah kerana hubungan di antara orang Islam di Madinah dengan golongan ahli kitab, terutama orang-orang Yahudi belum lagi diputuskan dalam bentuk yang total dan tegas, malah di sana masih wujud hubungan kesetiaan dan pakatan kerjasama, hubungan ekonomi, hubungan muamalat, hubungan kejiranan dan persahabatan di kalangan mereka.

             Ayat-ayat al-Qur`an diturunkan untuk membangkitkan kesedaran yang sewajarnya bagi seseorang muslim dalam perjuangan menegakkan akidahnya untuk merealisasikan sistem hidupnya yang baru dalam realiti hidup manusia dan untuk mewujudkan dalam hati seseorang muslim bagi memutuskan hubungan yang total di antaranya dengan setiap mereka yang bukan dari kelompok muslim dan mereka yang tidak berdiri di bawah panji-panji Islam, iaitu memutuskan hubungan yang tidak melarang sikap tasamuh, kerana sikap ini menjadi sifat seseorang muslim yang tetap, tetapi memutuskan hubungan ini membawa erti melarang perbuatan memberi kesetiaan, kerana kesetiaan dalam hati seseorang muslim hanya diberikan kepada Allah, kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman sahaja. Itulah kesedaran dan memutuskan hubungan yang pasti wujud pada seseorang muslim di setiap negeri dan generasi.[57]

             Kaum Yahudi dan Kristian saling bantu-membantu sesama mereka, perkara ini merupakan suatu realiti yang tidak ada hubungan dengan zaman kerana realiti ini adalah terbit dari tabiat kekufuran yang begitu jauh bezanya dengan tabiat Islam. Kaum Yahudi dan Kristian tidak akan menjadi rakan penolong yang setia kepada kelompok muslimin di mana-mana tempat di atas muka bumi ini dan pada bila-bila masa sekalipun. Abad-abad berlalu dan silih ganti membuktikan hakikat kenyataan ini. Mereka telah saling membantu antara satu sama lain dalam memerangai Nabi Muhamad s.a.w. dan kelompok muslimin di Madinah. Mereka saling bantu-membantu di antara satu sama lain di seluruh pelusuk bumi ini sepanjang paparan sejarah. Dasar saling bantu-membantu ini tidak pernah mungkir dalam perancangan mereka walau seketika. Tidak pernah berlaku di bumi ini melainkan tepat seperti yang dijelaskan al-Qur`an dalam bentuk menyatakan sifat kaum Yahudi dan Kristian, bukannya dalam bentuk penceritaan satu peristiwa sahaja.[58]





Sekian, wassalam


Al-Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa el-Batnani





[1] Adnin Armas. 2005. Metodologi Bibel Dalam Studi Al-Quran, hlm: 26. Jakarta: Gema Insani.
[2] Dr. Abdul Karim Germanus (1884-1979) adalah seorang orientalis berasal dari Hungaria, nama asalnya ialah Julius Germanus. Beliau menghabiskan sepanjang hidupnya untuk mempertahankan Islam dan bahasa Arab. Germanus menggambarkan kisah keislamannya itu sebagai ‘bangunnya sebuah kehidupan baru’. Pada awal perkenalannya dengan Islam semasa di Turki ketika menjadi mahasiswa di sana dan memeluk Islam di India pada Perang Dunia Pertama.
[4] Muhamad Asad atau Leopold Weiss dilahirkan di Lemberg, Austria-Hongaria pada tahun 1900 dan meninggal dunia di Sepanyol pada tahun 1992. Berasal dari keluarga pendeta Yahudi dan didedahkan dengan pendidikan agama melalui Kitab Perjanjian Lama, tafsir dari Talmud, Mishna, Gemara dan Targum. Pada tahun 1926, hasil pengembaraannya ke negara-negara Islam Timur Tengah telah membuka petunjuk kepada dirinya untuk memeluk Islam.
[6] Beliau adalah generasi keempat bangsa Amerika berketurunan kacukan German-Yahudi, dibesarkan di Kota Westchester, sebuah kawasan di luar New York. Beliau telah mendapat pendidikan Amerika bercorak sekular, minatnya yang utama adalah bidang agama, falsafah, sejarah, antropologi, sosiolagi dan biologi. Semasa menuntut di Universiti New York beliau telah diserang penyakit yang serius dalam tahun 1953 dan terpaksa menghentikan pengajiannya dua tahun. Minatnya terhadap Islam mula berputik apabila beliau membaca terjemahan kitab Al-qur’an oleh Marma-duke Picktthall dan dua buah buku karangan Muhamad Asad, iaitu berjudul ‘Jalan Ke Mekah’ dan ‘Islam di Persimpangan Jalan’. Setelah berutus surat dengan beberapa orang tokoh Islam dan membuat hubungan muhibah dengan saudara baru Islam di Kota New York, beliau telah memeluk Islam di bangunan  Islamic Mission di Brooklyn, New  York.
[8] Beliau dilahirkan pada 1875 dan meninggal pada 1936 adalah seorang Kristian dan kemudian memeluk Islam, beliau merupakan seorang intelektual muslim barat terkenal dan juga adalah novelis terkenal. Mendapat didikan di Harrow dan pernah menerbitkan terjemahan al-qur’an dalam Bahasa Inggeris berjudul ‘The Meaning of The Glorious Koran’ dan terjemahannya diperakui oleh Universiti Al Azhar.
[9] Beliau adalah ilmuan dari Perancis dan seorang pakar bedah yang terkenal. Untuk memahami al-Qur’an, beliau menghabiskan masanya mempelajari Bahasa Arab ketika berumur 50 tahun. Beliau dapat mencari bukti secara saintifik tentang kesucian agama Islam dan menghasilkan buku bertajuk ‘Quran, Bible and Science’ pada tahun 1976 yang menjadi kemarahan sarjana Kristian. Setelah mempelajari Islam, beliau mengarang sebuah buku bertajuk ‘The Origin of Man’ yang menjelaskan asal usul manusia mengikut al-qur’an. Pihak gereja telah mengiktiraf research beliau dan beliau menjadi terkenal di Universiti Cambridge dan Oxford di United Kingdom, Universiti Yale dan Harvard di Amerika.
[10] Beliau adalah pengarang sebuah buku berjudul ‘The Hajj: An American’s Pilgrimage ti Mecca’ dan ‘One Thousand Roads to Mecca: Ten Centuries of Travelers Writing About The Muslim Pilgrimage’. Beliau juga merupakan seorang penerbit filem, ibunya seorang Kristian, manakala bapanya seorang Yahudi. Beliau menjadi terkenal setelah menerbitkan dokumentari bertajuk ‘ An American in Mecca’, Which Aired on ABC’, ‘Nightline’. Pada bulan 18 April 1997, beliau memeluk Islam ketika berumur 40 tahun.
[11] Beliau seorang pakar matematik berasal dari Kanada. Pada mulanya beliau aktif dalam kerja-kerja misionari Kristian, tetapi jiwa beliau tidak konsisten dengan Bible. Pada tahun 1978, beliau telah dihadiahkan al-qur’an dan setelah membacanya, beliau menyedari tentang kebenaran al-qur’an dan dan kepincangan Bible. Akhirnya beliau memeluk Islam dan menukarkan namanya kepada Abdul Ahad Omar. Tulisannya yang menarik bertajuk The Amazing Quran.
[12] Beliau merupakan bekas seorang Kristian Protestan dari kumpulan gereja Southern Baptist. Beliau juga aktivis kumpulan pembebasan wanita yang radikal bertugas sebagai wartawan penyiaran. Untuk tujuan itu, beliau mengkaji al-Qur’an, Sahih Muslim dan 15 buah kitab yang lain. Kajiannya selama dua tahun telah menimbulkan persepsi yang indah terhadap Islam. Akhirnya, pada 21 Mei 1977, beliau memeluk Islam dan mengenakan pakaian menutup aurat. Tindakannya itu meyebabkan beliau kehilangan kerja dan mahkamah memutuskan anak-anaknya dipisahkan disebabkan keislamannya. Dengan izin Allah, anak-anak, ibubapa dan bekas suaminya memeluk Islam.
[14] Adnin Armas, 2005. Metodologi Bibel Dalam Studi Al-Quran, hlm: 132.
[15] Ibid
[16] Taufik Adnan Amal. 2001. Rekonstruksi Sejarah al-Qur’an, hlm: 67. Yogyakarta: Forum Kajian Budaya dan Agama.
[17] John Wansbrugh. 1977. Qur’anic Studies: Source and Methods of Scriptual Interpretation, hlm: 56-57. Oxford University Press, Oxford; reprint with annotations Prometheus Press, Amherst NY, 2004.
[18] Ibrahim Khalil Ahmad. 1986. Siasat Misi Kristen dan Orientalis, terj. Zeyd Aly Amar, hlm: 100. Jakarta: Gema Insani Press.
[19] Mahmud Hamdi Zaqzuq. 1983.  al-Istisyraq wa al-Khalfiyah al-Fikriyah Li al-Sharra’ al-Hadhari Qatar. hlm: 27. Qatar: al-Ummah.
[20] Ibid. hlm: 20
[21] C.E. Bosworth. 1977. Orientalism and Orientalists, in D. Grimwood, Arab Islamic Bibliography. hlm: 148.
[22] Abdul Muta'al Muhammad al-Jabri. 1995. Al Isytisraq Wajhun Li Al Isti’mar Al Fikri, hlm: 225
[23] Nuim Hidayat. 2009. Imperialisme Baru, hlm:  63.
[24] Zionisme adalah akidah dan metode kerja Yahudi yang berasal dari Kitab Perjanjian Lama secara ringkas. Akidah ini terdapat dalam Talmud, merupakan ajaran yang paling rasis juga diskriminatif; sebuah kitab paling berbahaya yang pernah ada di muka bumi. Louis Daste di dalam bukunya 'Yahudi dan Organisasi Rahsia' mengatakan; Dalam setiap perubahan pemikiran besar terdapat pengaruh Yahudi baik yang nampak ataupun rahsia. Sepanjang sejarah dunia, Yahudi memasukkan ribuan racun yang sangat berbahaya untuk menyesatkan pemikiran umat manusia. Lihat: http://www.akhirzaman.info/yahudi/zionis/2077-bahaya-zionisme.html
[25] Mahmud Hamdi Zaqzuq. 1989.Orientalisme Kesan Pemikirannya terhadap Tamadun Islam. hlm 2-4. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
[27] Maryam Jamilah. 1995. Islam dan Orientalisme-Sebuah Kajian Analitik, hlm: 13. Jakarta: PT. Raja Grafindo Persada.
[28] Philip K. Hitti. 1984. Islam and The West, hlm: 7-8. Bandung: Penerbit Sinar Baru.
[29] Al-Qur’an, Surah al Baqarah: 2: 120
[30] Taufik Adnan Amal. 2005. Rekonstruksi Sejarah al-Qur’an, hlm: 422.
[31] Kurt Aland and Barbara Aland. 1995. The Text of  the New Testatement, hlm: 69.
[32] Syamsudin Arif. 2008. Oreintalis Dan Diabolisme Pemikiran, hlm: 9.
[33] Abdul Fattah Abdul Ghani al-Qodli. (t.th) Al-Qira’at Fi Nazhar Al-Mustasyriqiin Wa Al-Mulhidin, terj. Sayid Agil Husin Munawar dan Abd Rahman Umar, hlm: 9
[34] Syamsudin Arif. 2008. Oreintalis Dan Diabolisme Pemikiran,hlm: 3 dan 106.
[35] Ibid. hlm:7
 [36] Ignaz Goldziher. 2003. Madzhab Tafsir Dari Aliran Klasik Hingga Modern, terj. M. Alaika Salamullah, hlm: 4.
[37] Afaf Sabrah. 1980. al-Mustasyriqun Wa Musykilat al-Hadharah, hlm: 33-34.
[38]  Montgomery Watt. 1960. Muhammad at Mecca, hlm: 103.
[39] Muhammad. M al-Azami. 2005. Sejarah Teks Al-Quran-Dari Wahyu Sampai Kompilasinya, hlm: 337-343.  
[40] Abdullah Naseh ‘Ulwan. 1985. Tarbiyah Al Aulad Fi Al Islam, jil:2, hal: 753
[41] Ibid, jil:2, hal: 753
[42] Ibid, jil:2, hal:754
[43] Ibid, jil:2, hal:754
[44] Muhammad Azhari. 2003. Introduction of Islamic Philosophy, hlm: 228.
[45] Muhammad. M. al-A'zami. 2005. Sejarah Teks Al-Quran-Dari Wahyu Sampai Kompilasinya, hlm: 337.
[46] Khalifa, Mohammad, The Sublime Qur’an and Orientalism
[48] Al-Qur’an, Surah al-Baqarah:2:120.
[49] Al-Nasafi , Abdullah bin Ahmad bin Mahmud. 1989. Tafsir an-Nasafi, jil: 1, hlm: 102.
[50] Al-Tabari, Abu Ja’far Muhamad ibn Jarir. 1988. Jami’u al-Bayan ‘An Takwil Ayi al-Qur’an, jil: 1, hlm: 517.
[51] Al-Qur’an, Surah al-Baqarah:2: 217.
[52] AI-Razi, Fakruddin Muhamad bin Umar bin Hussain bin Hassan.1990. at-Tafsir al-Kabir. jil: 5-6, hlm: 31.
[53] Al-Tabari , Abu Ja’far Muhamad ibn Jarir. Jami’u al-Bayan ‘An Takwil Ayi al-Qur’an, jil: 2, hlm: 354.
[54] Al-Qurtubi, Abu Abdullah bin Ahmad al-Ansari. 1988. Al Jami’e Li al- Ahkam al-Qur’an, jil: 2, hlm: 32. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah.
[55] Muhamad al-Amin bin Muhamad al-Mukhtar al-Jakani asy-Syanqithi. 1996. Adwa al-Bayan Fi Idhah al-Qur’an Bi al-Qur’an, jil: 1, hlm: 115. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah.
[56] Al-Qur’an, Surah al-Maidah:6:51
[57]  Syed Qutb. 1988. Fi Zilal al-Quran, jil: 5-7, hlm: 906-908.
[58]  Ibid

No comments:

Post a Comment