I’jaz al-Bayani ini
merupakan i’jaz yang terdapat dalam struktur ayat-ayat dengan penyusunan
kalimah yang menarik dan indah yang tidak mampu ditiru atau ditandingi oleh
sesiapapun, sekalipun mereka terdiri dalam kalangan pakar-pakar bahasa dan para
pujangga. I’jaz
ini merupakan elemen penting jika hendak dibandingkan dengan i’jaz-i’jaz yang
lain, kerana risalah kenabian Muhamad s.a.w. yang muncul di tengah-tengah
simpang-siur masyarakat Arab memang terkenal dengan ketinggian ilmu sastera dan
bahasa dari sudut balaghah dan fasohah kalam serta keunikan sya’ir. Dengan
nilai-nilai sastera yang begitu indah, susunan kalimah yang sangat menarik,
deretan perkataan yang dibentuk mengikut alunan seni dan bebas dari kesalahan
dan kesilapan, maka amat mustahil jika difikirkan bagaimana Nabi s.a.w. mampu
menulis al-Qur’an sebagaimana yang didakwa oleh golongan orientalis, sedangkan
baginda s.a.w. seorang yang ummi dan tidak pernah berguru dengan sesiapapun.
Di sini jelaslah kepada
kita bahawa al-Qur’an itu merupakan kitab i’jaz yang turunkan oleh Allah, bukan
dari produk pemikiran Nabi s.a.w. Di samping itu al-Qur’an telah menjadi
rujukan utama para ulama, terutama dalam kalangan ulama tafsir, ulama fiqh dan
ulama lughah untuk membuat huraian dan istinbat dalam sesuatu hukum menurut
perbahasan dan kaedah nahu, balaghah dan sebagainya. Nilai-nilai kekuatan dalam
ayat-ayat al-Qur’an boleh menimbulkan kesan abadi dalam hati sanubari dan jiwa
nurani apabila dihayati maksud dan pengertiannya, melihat barisan kalimah dan
gaya bahasanya, kehalusan dan susunan ayat-ayatnya, kesenian bacaan dan
qira’atnya, unsur-unsur balaghah dan fasohah lughah dan lain-lain lagi yang
tiada tandingannya. I’jaz ini berlaku disebabkan beberapa perkara:
Pertama: Kerana ketidak-mampuan manusia untuk
menandinginya, sama ada mencipta surah atau ayat atau gaya bahasa yang
setanding dengan al-Qur’an. Perkara ini berlaku kerana manusia tidak mempunyai
kemampuan dan ‘peralatan intelektual’ yang cukup untuk menandingi penggayaan
bahasa al-Qur’an, di samping tidak boleh mencipta maksud bagi setiap patah
perkataan dengan tepat.
Kedua: Akal fikiran manusia masih ‘tumpul’ dan
perlu diasah dengan tajam untuk menguasai semua sekali setiap makna dan
pengertian yang terpapar dalam setiap huruf, kalimah, perkataan, ayat, lapaz
dan termasuk ikatan antara surah dengan surah dalam al-Qur’an.
Ketiga: Begitu juga dengan jalan cerita dan
kisah-kisah yang terdapat dalam al-Qur’an, dihuraikan melalui susunan ayat yang
menarik dan penuh keyakinan, para pembaca yang membaca ayat-ayat tersebut
seolah-olah tidak mengetahui bahawa ayat-ayat itu berbentuk cerita ataupun
kisah, kerana kehalusan bahasa dan susunan ayat-ayat yang menarik serta alunan
balaghah yang dilukiskan itu membuatkan para pembaca terpesona dengan lirik bahasa
al-Qur’an.
Bahasa
yang diguna-pakai dalam al-Qur’an adalah bahasa biasa dan mudah difahami,
tetapi cara penggunaan bahasa dan corak penyusunan struktur ayat yang
mengandungi nilai-nilai balaghah yang tinggi adalah faktor yang membezakan
bahasa al-Qur’an dengan bahasa Arab biasa. Sebagai contoh, bagaimana ayat
al-Qur’an dapat menzahirkan sesuatu yang maknawi, tetapi ianya kelihatan
hakiki.
Maka, benarlah firman Allah Ta’ala:
وَاللَّيْلِ إِذَا عَسْعَسَ وَالصُّبْحِ
إِذَا تَنَفَّسَ[1]
Maksudnya: “ Dan malam apabila ia hampir habis dan
siang apabila ia mulai terang”.
Syed
Qutb menafsirkan perkataan (عَسْعَسَ)
sebagai (اظلم)
iaitu kegelapan[2],
yang menggambarkan suasana malam yang gelap kelihatan, lalu ia bergerak pergi
dengan perlahan-lahan. Suasana malam yang kelihatan gelap-gelita, seolah-olah
ianya kaku dan tidak beranjak, sebenarnya malam itu tidak mampu untuk
memonopoli kegelapan, malam hanya memberi laluan dan keizinan sahaja kepada
kegelapan untuk bergerak di atas ubun-ubunya. Walaupun begitu, suasana gelap
itu memang sinonim dengan kehadiran malam yang datang menjelma. Namun,
hakikatnya keheningan malam itu sentiasa mengorak langkah dan merangkak secara
beransur-ansur, manusia dan makhluk yang ada di atas perut bumi ini tidak
terganggu dengan pergerakan malam itu, kerana pergerakannya secara
perlahan-lahan, tidak mengeluarkan bunyi dan apa-apa bentuk suara, malam itu
tidak akan kekal dengan warna kegelapannya. Sesudah itu digambarkan pula
kehadiran waktu subuh yang kelihatan bernafas, seolah-olah subuh itu baru
bangkit dari tidur, lalu bingkas bangun menghelakan nafasnya untuk meneruskan
program kehidupan. Ini kerana, suasana waktu subuh itu menunjukkan paparan
hidup baru yang hendak bermula. Lazimnya, setelah manusia bangkit dari
tidurnya, maka suasana waktu subuh itu merupakan langkah baru untuk memulakan
tugas hariannya.
Sesungguhnya
keindahan ayat-ayat al-Qur’an dari sudut bayani hanya dapat dikuasai oleh
mereka yang benar-benar faham dan mengerti tentang kaedah Lughah Arabiyah.
Kalimah-kalimah yang terdapat dalam ayat-ayatnya itu seolah-olah mampu berjalan
dengan sendiri dan boleh mengeluarkan sesuatu yang abstrak kepada fenomena yang
berlaku sehingga dapat mencetuskan roh kekuatan dalam diri manusia. Kehalusan
bahasa dan penggunaan uslub al-Qur’an yang seimbang dan menakjubkan itu mampu
membawa manusia ke darjat yang lebih tinggi untuk menghubungkan diri mereka
dengan keagungan Tuhan. Pemilihan huruf yang dipersembahkan dalam ayat-ayat al
Qur’an itu memperlihatkan gaya susunan konsonan dan vokal yang sangat serasi
sehingga memudahkan pengucapan dan pemahaman. Dengan keunikan nada, bunyi,
harakah, imbangan baris fathah, kasrah, dhammah dan sukun serta mad dan ghunnah
melambangkan kerjasama dan peranan yang erat di antara kalimah-kalimah yang
disusun itu.[3]
Sekian,
wassalam
Al
Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi
Mustafa El-Batnani
No comments:
Post a Comment