Sebelum Islam datang menjelma, kaum wanita
berada di dalam keadaan tersempit di celah-celah kehidupan. Mereka telah
disisihkan oleh suasana masyarakat jahiliyah yang hidup dalam keadaan
terumbang-ambing tanpa arus dan pedoman hidup, tanpa ada peraturan dan
undang-undang yang dikenakan kepada mereka yang melampaui batas-batas
kemanusiaan. Kehidupan mereka tertekan dan teranianya, kerana peluang mereka
untuk membentuk kehidupan sendiri di halang oleh suasana yang tidak
mengizinkan.
Suasana jahiliyah telah menguasai kehidupan
seharian dan kebanyakan anggota masyarakat bebas melakukan apa sahaja yang
mereka suka, kerana penafsiran hidup telah diterjemahkan mengikut selera dan
hawa nafsu semata-mata. Suasana jahiliyah telah memandukan masyarakat ke arah
kesesatan hidup, sebab itu di dalam masyarakat tersebut sentiasa berlaku
pembunuhan, perbalahan kaum, pelacuran, ketagihan arak dan sebagainya. Kaum
wanita sekali lagi telah menjadi mangsa penindasan yang tidak
berperikemanusiaan, mereka tidak diberi hak dan layanan yang sepatutnya di
dalam masyarakat, bahkan masyarakat telah menafikan hak-hak dan peranan yang
harus dimainkan oleh kaum wanita. Menjadi kelaziman di mana sahaja mereka
berada, kaum wanita diperlukan hanya untuk satu tujuan dan satu matlamat, iaitu
untuk digunakan sebagai objek seks atau hamba seks bagi memuaskan hawa nafsu
kaum lelaki. Kaum lelaki bebas memperlakukan apa sahaja yang mereka suka ke
atas batang tubuh wanita mengikut selera hawa nafsu yang tersirat di fikiran
mereka. Kaum wanita diibaratkan sebagai hamba abdi, bahkan lebih hina dari itu.
Zaman jahiliyah arab
ialah zaman sebelum turunnya agama Islam. Ianya dikatakan zaman jahiliyah oleh
ahli sejarah kerana keadaan masyarakat ketika itu hidup dalam keadaan
kacau-bilau dan huru-hara, sentiasa berlaku perbalahan dan persengketaan hidup
di antara puak-puak tertentu, kehidupan mereka tidak tersusun dan tidak teratur
dan tidak pula mempunyai apa-apa peraturan dan undang-undang yang dikenakan
kepada mereka yang bersalah. Kaum wanita merupakan
golongan manusia yang paling hina dan paling jijik. Mereka boleh dijual beli
seperti binatang ternakan dan diperdagangkan kepada sesiapa sahaja yang mahu,
malah mereka juga dianggap sebagai pusaka yang boleh diwarisi oleh pewaris yang
berkenaan. Bahkan anak tiri boleh mempusakai isteri-isteri bapanya apabila
bapanya meninggal dunia. Di samping itu juga, kaum lelaki bebas berkahwin
dengan siapa sahaja yang dikehendaki tanpa batas dan had jumlah bilangannya.
Apa yang lebih dasyat dari itu ialah mereka sanggup membunuh anak perempuan
hidup-hidup tanpa belas kasihan, kerana mereka menganggap anak perempuan tidak
berguna dan tidak mendatangkan apa-apa kebaikan dalam kehidupan. Apabila
seseorang ibu melahirkan anak perempuan, bapanya merasa terhina dan akan
menggali lubang untuk menguburkan si anak itu hidup-hidup. Menguburkan anak
perempuan hidup-hidup dianggap suatu kesenangan untuk merungkaikan keaiban yang melanda dirinya. Mereka memikirkan, anak
perempuan tidak dapat memberi apa-apa sumbangan kepada temasya kehidupan
mereka, bahkan hanya mendatangkan sial dan mala petaka, maka lebih baik mereka
menguburkan sahaja daripada dibiarkan hidup. Sekiranya anak perempuan itu tidak
dibunuh atau tidak dikuburkan hidup-hidup oleh bapanya, dia dibiarkan hidup
bersendirian dan dianggap sebagai hamba abdi yang terhina. Kemudian, dia
dijadikan bahan dan alat untuk memuaskan hawa nafsu kaum lelaki.
Seorang pemimpin dari salah satu qabilah arab
yang bernama Qais telah menceritakan pengalaman hidupnya membunuh anak
perempuannya hidup-hidup. Apabila isterinya melahirkan anak perempuan, lalu
diberikan anak itu kepada keluarganya untuk dipelihara. Dia memberitahu kepada
suaminya bahawa kandungannya itu telah melahirkan seorang anak lelaki yang
tidak bernyawa. Qais percaya apa yang diceritakan oleh isterinya. Setelah
beberapa tahun, anak perempuannya mula membesar, lalu ia datang untuk
menziarahi ibunya. Ketika ibunya sedang menyikat rambut si anak perempuan,
datang Qais bertanyakan perihal anak itu, lalu dijawab: “ Inilah anak kita…!”
Qais berkata dalam
hatinya: Ketika itu sabarlah aku menunggu saat dan ketika, aku akan bawa anak
ini ke suatu tempat untuk dikuburkan. Setelah kubur digali, aku mencampakkan
anak itu ke dalam lubung.
Anak itu berkata: “ Bapa! Apakah yang
hendak bapa lakukan pada saya ?” Qais tidak menghiraukan kata-kata anak
kecilnya itu. Anaknya berkata lagi: “ Bapa! Adakah bapa hendak menguburkan saya
hidup-hidup ?” Qais tidak langsung memperdulikan rintihan anak kecilnya itu
sehingga tiada lagi kedengaran suara rintihan. Di saat itulah, timbulnya perasaan
belas kasihan di dalam hatinya.
Allah Ta’ala telah mendedahkan tentang
sikap dan perilaku orang-orang arab jahiliyah apabila mereka memperolehi anak
perempuan.
Firman Allah Ta’ala:
وَإِذَا بُشِّرَ أَحَدُهُمْ بِالآنْثَىٰ ظَلَّ
وَجْهُهُ مُسْوَدًّا وَهُوَ كَظِيمٌ يَتَوَارَىٰ مِنَ الْقَوْمِ مِنْ سُوءِ مَا بُشِّرَ بِهِ ۚ أَيُمْسِكُهُ عَلَىٰ هُونٍ أَمْ يَدُسُّهُ فِي التُّرَابِ ۗ أَلاَ سَاءَ مَا يَحْكُمُونَ
Maksudnya: “ Dan apabila seseorang dari
mereka diberi khabar dengan kelahiran anak perempuan, mukanya menjadi hitam dan
sangat berduka-cita. Dia menyembunyikan diri dari orang ramai disebabkan
buruknya berita yang disampaikan kepadanya, apakah yang dipeliharanya akan
menanggung malu atau akan dikuburkannya supaya hancur di dalam tanah..?
Ingatlah, bahawa amat buruk keputusan mereka “ (An Nahl: 58-59).
Firman Allah Ta’ala:
وَإذا الموَؤودة سئلت بأىّ
ذِنْبٍ قتلتْ
Maksudnya: “ Dan apabila bayi-bayi
perempuan yang dikuburkan hidup-hidup dan ditanya, kerana apakah mereka dibunuh
“ (At Taqwir: 8-9).
Di zaman jahiliyah ini
juga, lelaki bebas berkahwin seberapa ramai dengan wanita yang dia suka. Pernah
berlaku, ‘Urwah bin Mas’ud telah memiliki sepuluh orang isteri sebelum Islam,
tetapi setelah Islam datang menjelma, dia mengekalkan empat orang isterinya
sahaja dan dipisahkan enam yang lain. Di zaman ini juga, wanita
yang kematian suami hendaklah diasingkan dan dikehendaki memakai pakaian yang
buruk-buruk serta dilarang memakai bau-bauan selama setahun. Setelah setahun,
dibawa kepada wanita itu seekor kambing atau biri-biri untuk disentuh
kemaluannya kepada binatang tersebut. Sesudah itu, lalu diberi kotoran
kepadanya dan kemudian barulah dia bebas untuk keluar rumah.
Menjadi adab kebiasaan jahiliyah,
wanita yang kematian suami akan diwarisi oleh anak lelaki dari bapanya. Wanita
tersebut akan menjadi isteri kepada anak tirinya yang lelaki. Demikianlah
hinanya kaum wanita di zaman jahiliyah.
Sekian, wassalam
Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb,
Lutpi Mustafa El-Batnani
No comments:
Post a Comment