Al Quran telah
mengemukakan beberapa potong ayatnya yang memperkatakan tentang sifat-sifat dan
peribadi Rasulullah s.a.w. yang mulia yang menjadi contoh teladan yang baik dan
wajib dihayati oleh setiap muslim yang mengaku beriman kepada Allah.
Firman Allah Ta'ala:
لَقَدْ
كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ
وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
Maksudnya: “
Sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah terdapat contoh teladan yang
baik kepada orang-orang yang mengharapkan Allah dan mengharapka kedatangan hari
akhirat, mereka banyak berzikir kepada Allah “ (Al Ahzab: 21).
Sesungguhnya
baginda s.a.w. merupakan seorang manusia yang paling mulia di sisi Allah.
Segala gerak langkah dan tindak tanduk yang dilakukannya itu tetap menjadi
ikutan, begitu juga dengan amalan dan perlakuan hidupnya tetap menjadi teladan yang baik kepada semua umat
manusia. Segala ucapan dan tutur katanya telah menjadi perbahasan yang ilmiyah
untuk dijadikan nas atau sandaran dalam sesuatu permasalahan. Tiada suatupun
kelemahan yang boleh dipertikaikan ke atas diri dan batang tubuh baginda s.a.w.
dan tiada pula kesalahan yang pernah dilakukan oleh baginda sehingga mengguris
perasaan hati seseorang. Baginda juga tidak pernah melakukan perbuatan mungkar,
apatah lagi melakukan perkara-perkara yang tidak senonoh yang boleh menjatuhkan
keaiban ke atas dirinya sendiri. Hakikatnya, baginda s.a.w. tetap menjadi
pilihan umat manusia sebagai qudwah hasanah, iaitu contoh teladan yang baik. Baginda
s.a.w. adalah seorang hamba Allah yang sentiasa berusaha dengan gigih di dalam
menyampaikan seruan dakwah kepada masyarakat, seruan untuk memimpin manusia ke
jalan yang benar dan ke arah petunjuk Allah. Baginda berusaha dengan lebih
tekun untuk membawa manusia kembali ke pangkuan Allah. Baginda muncul di
tengah-tengah masyarakat dengan mengemukakan konsep tauhid yang mengesakan
ketuhanan Allah, Tuhan Yang Maha Agung dan ianya merupakan akar tunjang bagi
pegangan hidup sekalian umat manusia. Di samping itu, baginda s.a.w. mengajak
mereka semua supaya beristiqomah di jalan yang benar. Segala impian hidupnya
telah terlaksana apabila isi pengajarannya itu telah mengalir di sepanjang
peredaran zaman.
Baginda
s.a.w. adalah seorang pemimpin yang berjaya meluaskan empayar keagungan Islam
ke seluruh pelusuk dunia semata-mata untuk menyampaikan amanah dan seruan dari
Allah. Justeru, dengan perjuangan dan pengorbanan yang dilancarkan akhirnya
ajaran Islam dapat dikembangkan ke seluruh pelusuk dunia dan Islam telah
menjadi agama yang unggul di kaca mata dunia. Baginda s.a.w. juga telah berjaya
mencetuskan idea-idea yang bernas untuk menakluki pemikiran masyarakat ketika
itu sehingga baginda berjaya mengeluarkan mereka dari bergelombang dalam arus jahiliyah
yang hitam pekat kepada alam Islam yang terang-benderang. Baginda s.a.w. adalah
seorang Rasul utusan Tuhan dan berjaya menyampaikan amanahnya sebagai seorang
Rasul untuk membawa bingkisan wahyu dari Tuhannya ke dalam masyarakat. Baginda
tidak pernah menyembunyikan sesuatupun arahan dari Tuhannya, sama ada
kalimahNya atau patah perkataanNya atau ayat-ayatNya yang lain. Segala suruhan
dan arahan dari Allah telah disampaikan dan disempurnakannya sebelum baginda
wafat lagi. Baginda s.a.w. juga bertindak sebagai seorang pendakwah yang
menyeru manusia ke jalan yang benar, iaitu jalan iman dan jalan Islam yang
mengajak manusia percaya kepada Allah, Tuhan Yang Maha Esa. Jalan ini
merupakan satu-satunya jalan yang
diredhai Allah Ta’ala.
Firman Allah Ta'ala:
فَبِمَا
رَحْمَةٍ مِنَ اللَّهِ لِنْتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنْتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لاَنْفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ
Maksudnya: “ Oleh
kerana rahmat Allah, kamu bersikap lemah lembut kepada mereka dan sekiranya
kamu bersikap kasar dan berkeras hati tentulah mereka akan lari dari kamu, oleh
itu maafkan mereka dan pohonlah keampuan kepada mereka “ (Ali 'Imran: 159).
Sekalipun Rasulullah s.a.w. telah diarahkan
oleh Allah supaya bersifat lemah lembut ketika menyampaikan misi dakwah, namun
adakalanya baginda diarahkan bersifat agak keras ketika menghadapi golongan
kafir dan munafiq.
Firman Allah Ta’ala:
يَا
أَيُّهَا النَّبِيُّ جَاهِدِ الْكُفَّارَ وَالْمُنَافِقِينَ وَاغْلُظْ عَلَيْهِمْ
Maksudnya: “ Wahai
nabi! Berjihadlah kamu menentang orang-orang kafir dan orang-orang munafiq,
bersikap keraslah terhadap mereka “ (At Taubah: 73).
Baginda
s.a.w. juga bertindak sebagai seorang pembawa berita gembira untuk memori umat
manusia dengan mengemukakan penjelasan yang terang tentang amalan-amalan
kebaikan yang dilakukan oleh manusia pastinya akan mendapat ganjaran syurga
yang kekal abadi.
Firman Allah Ta'ala:
يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِنَّا أَرْسَلْنَاكَ
شَاهِدًا وَمُبَشِّرًا وَنَذِيرًا وَدَاعِيًا إِلَى اللَّهِ بِإِذْنِهِ وَسِرَاجًا مُنِيرًا
Maksudnya: “ Wahai
Nabi! Sesungguhnya Kami mengutus kamu sebagai saksi, pembawa berita gembira dan
pemberi peringatan serta penyeru kepada agama Allah dengan izinNya dan menjadi
pelita yang bercahaya “ (Al Ahzab: 45-46).
Demikianlah..! Dan di sana mari kita pula
mengkaji tentang beberapa contoh teladan Nabi s.a.w. yang menjadi ikutan buat
seluruh ummah.
Sekian, wassalam
Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani
No comments:
Post a Comment