PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Tuesday 28 August 2012

I’JAZ AL-TASYRI’


Tinjauan i’jaz ini ialah dinilai dari sudut keadilan hukum syari’at yang terkandung dalam al-Qur’an, di mana ianya memuatkan dalam lembaran surahnya tentang beberapa ayat yang berkaitan mengenai peraturan dan undang-undang yang bertujuan untuk menghukum manusia yang melakukan kesalahan dan melampaui batas. Peraturan dan undang-undang yang digariskan itu adalah untuk memisahkan batas sempadan di antara halal dan haram, kerana perbuatan setiap mukallaf adalah tertakluk kepada garis sempadan ini. Hukuman yang dikenakan ke atas pesalah bukan bertujuan untuk menghina atau menjatuhkan maruah mereka, tetapi untuk mendidik jiwa raga mereka agar tidak melampaui batas-batas Allah dan agar mereka sentiasa melazimkan diri dengan kehidupan di bawah bayangan rahmat Allah. Dari sudut kei’jazan pula, keadilan hukuman yang tercatat di dalam al-Qur’an adalah tertumpu kepada kekuatan hukuman itu sendiri yang ditinjau dari aspek logik, realistik dan rasional. Sekalipun manusia tidak melakukan apa-apa bentuk kesalahan, tetapi peraturan dan undang-undang Islam ini tetap wujud dan tetap ada yang bertujuan untuk menjaga, memelihara dan melindungi manusia dari apa-apa bentuk kemungkinan yang berlaku. Kei’jazan hukum syari’at adalah ditinjau beberapa elemen:

1. Memelihara Pegangan Hidup
Al-Qur’an mengemukakan hukuman yang setimpal ke atas mereka yang keluar dari agama Islam, iaitu hukuman bunuh adalah untuk memelihara nilai-nilai kemanusiaan agar tidak terkeluar dari norma hidup yang sebenar, kerana kehidupan yang sebenar itu ialah kehidupan yang berpegang teguh kepada prinsip ketuhanan dan kehidupan yang sentiasa terikat erat dengan tali akidah terhadap Allah Ta’ala, Tuhan Yang Maha Esa.

Firman Allah lagi:

وَمَنْ يَرْتَدِدْ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌ فَأُولَٰئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ۖ وَأُولَٰئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ[2]

Maksudnya: “Sesiapa murtad di antara kamu, dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran,  maka mereka itu sia-sia amalnya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya”. 

            Ditinjau dari sudut kei’jazan bahawa hukuman yang dikemukakan itu bertujuan untuk memelihara pegangan agama, kerana perkara ini merupakan batu asas yang menjadi teras dalam pancuan agama. Sekiranya hukuman ini tidak diwujudkan, maka manusia akan bebas keluar masuk agama sesuka hati dan perkara ini akan melemahkan pegangan dan pergantungan hidup manusia terhadap Allah.

2.  Memelihara Kehidupan Manusia
Al-Qur’an mengemukakan peraturan dan undang-undang dalam lembarannya ke atas manusia bertujuan untuk menjamin keselamatan nyawa dan memelihara anggota tubuh badan manusia dari sebarang ancaman. Peraturan dan undang-undang tersebut melarang keras segala perbuatan yang boleh mengancam keselamatan nyawa, sama ada diri sendiri atau orang lain seperti mencederakan dan melukakan seseorang, termasuk perbuatan membunuh yang merupakan kesalahan yang sangat besar.

Firman Allah Ta’ala:

مَنْ قَتَلَ نَفْسًا بِغَيْرِ نَفْسٍ أَوْ فَسَادٍ فِي الأرْضِ فَكَأَنَّمَا قَتَلَ النَّاسَ جَمِيعًا[3]

Maksudnya: “ Sesiapa yang membunuh seseorang, bukan kerana orang itu membunuh orang lain, atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka sekan-akan dia telah membunuh semua manusia”.

            Al-Qur’an mengemukakan peraturan dan undang-undang yang logik untuk meletakkan hukuman yang setimpal ke atas para pesalah yang mencederakan atau melukakan seseorang, iaitu dengan dibalas mengikut kadar kecederaan yang dilakukan.

Firman Allah Ta’ala:

أَنَّ النَّفْسَ بِالنَّفْسِ وَالْعَيْنَ بِالْعَيْنِ وَالأنْفَ بِالأنْفِ وَالأذُنَ بِالأُذُنِ وَالسِّنَّ بِالسِّنِّ وَالْجُرُوحَ قِصَاصٌ[4]

Maksudnya: “Bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, mata dibalas dengan mata, hidung dibalas dengan hidung, telinga dibalas dengan telinga, gigi dibalas dengan gigi, luka-luka juga hendaklah dibalas seimbang”.  

            Al-Qur’an mengemukakan peraturan dan undang-undang yang jelas dan seimbang dengan kesalahan yang dilakaukan terhadap jenayah membunuh dengan mengenakan hukuman qisas kepada mereka yang melakukan perbuatan tersebut.

Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِصَاصُ فِي الْقَتْلَى الْحُرُّ بِالْحُرِّ وَالْعَبْدُ بِالْعَبْدِ وَالأُنْثَىٰ بِالأُنْثَىٰ فَمَنْ عُفِيَ لَهُ مِنْ أَخِيهِ شَيْءٌ فَاتِّبَاعٌ بِالْمَعْرُوفِ وَأَدَاءٌ إِلَيْهِ بِإِحْسَانٍ  ذَٰلِكَ تَخْفِيفٌ مِنْ رَبِّكُمْ وَرَحْمَةٌ فَمَنِ اعْتَدَىٰ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَلَهُ عَذَابٌ أَلِيمٌ[5]

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman Qisas dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: Orang merdeka dengan orang merdeka dan hamba dengan hamba dan perempuan dengan perempuan. Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa) dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya”.

            Ditinjau dari sudut kei’jazan bahawa hukuman qisas yang dikemukakan al-Qur’an ini adalah sebagai insuran terhadap anggota badan dan jiwa manusia, kerana kecederaan dan pertumpahan darah tidak boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya. Maka, al-Qur’an menggariskan hukuman ini adalah untuk memelihara nilai dan harga diri manusia dari sebarang rupa bentuk ancaman. Keindahan i’jaz di sini dapat juga disaksikan melalui kerasionalan dan keseimbangan hukuman tersebut yang mencetuskan norma-norma keadilan dan kesaksamaan yang boleh memuaskan hati kedua-dua pihak yang bertelagah. Al-Qur’an telah menetapkan bahawa keampunan dan kemaafan diterima-pakai dalam mengendalikan hukuman qisas apabila kedua-kedua pihak setuju berdamai. Ini kerana apabila kedua-dua pihak yang bertelagah setuju dengan keampunan atau kemaafan, maka maksud hukuman itu telah tercapai dan telah selesai.

3. Memelihara Akal Fikiran
Al-Qur’an mengemukakan peraturan dan undang-undang yang jelas dan terang terhadap mereka yang ‘sengaja mencederakan akal’ dalam kehidupan seharian, seperti meminum arak atau penyalahgunaan dadah atau terlibat dengan pil-pil khayal. Walaupun perbuatan tersebut dianggap bersifat peribadi dan tidak melibatkan orang lain, tetapi perbuatan tersebut tetap dianggap salah dan satu jenayah, kerana boleh menyebabkan akal menjadi hilang dan fikiran menjadi melayang, manakala hubungan ketuhanan mereka menjadi pincang dan tempang. Sudah pasti, ibadat mereka tidak terkeruan dan manakala kesaksian mereka dalam pelbagai perkara tidak boleh dipertimbangkan.

Firman Allah Ta’ala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالأنْصَابُ وَالأَزْلامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ[6]

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, berjudi, (berkorban untuk) berhala, dan mengundi nasib dengan anak panah, adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan syaitan, maka jauhilah (perbuatan-perbuatan) itu agar kamu beruntung”.

            Ditinjau dari sudut kei’jazan bahawa hukuman ke atas mereka yang ‘sengaja mencederakan akal’ ialah dengan dikenakan hukuman sebat.[7] Al-Qur’an melarang keras ke atas warganya daripada meminum arak dan terlibat dalam unsur-unsur yang boleh memabukkan, kerana ternyata perkara tersebut boleh membawa lebih banyak keburukan kepada akal manusia. Mereka yang terlibat lebih berpotensi untuk melakukan banyak jenayah dan pelbagai kemungkaran. Maka rasional mengenai kei’jazan hukuman ini dilihat dari sudut perlaksanaan hukuman sebat yang bertujuan untuk membangkitkan kesedaran akal dari pengaruh alkohal atau unsur-unsur yang memabukkan yang meresap ke dalam akal dan tubuh badan. Dengan sebatan ini, pengaruh dan penguasaan alkohal serta unsur-unsur yang memabukkan dalam akal dan tubuh badan akan terhakis sedikit demi sedikit dan akhirnya akan terus menjadi hilang.

4. Memelihara Batas Keturunan
Al-Qur’an mengemukakan peraturan dan undang-undang yang sangat adil untuk memelihara keturunan, kehormatan dan maruah manusia. Al-Qur’an telah membuat garis panduan agar menjauhkan diri daripada melakukan muqaddimah zina seperti berdua-duaan di antara teruna dara di tempat sunyi, menonton filem porno, membaca buku lucah dan lain-lain lagi.

Firman Allah:

وَلاَ تَقْرَبُوا الزِّنَا  إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلاً[8]

Maksudnya:  “Dan janganlah kamu menghampiri zina, kerana ianya adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk”.

            Bagi mereka yang melakukan perbuatan zina, hukuman yang dikenakan ke atas mereka ialah seratus kali sebatan bagi mereka yang belum berkahwin dan hukuman rejam sampai mati bagi mereka yang telah berkahwin.

Firman Allah Ta’ala:

الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ[9]

Maksudnya: “Penzina perempuan dan penzina laki-laki, deralah masing-masing dari keduanya seratus kali, dan janganlah rasa belas kasihan kepada keduanya”. 

            Ayat yang berkaitan dengan hukuman rejam ialah ayat al-Qur’an yang telah dimansukhkan, tetapi hukumnya tidak dimansukhkan, iaitu:

اَلشَّيْخُ وَالشَّيْخَةُ إذَا زَنَيَا فَرْجُمُوْهُمَا البَتَّة[10]

Maksudnya: “ Lelaki dan perempuan yang telah berkahwin berzina, maka hendaklah direjam”.

            Hukuman sebat bagi pesalah zina yang belum berkahwin bertujuan untuk mematahkan naluri jahat dan perasaan ingin mencuba kebiasaan buruk daripada perbuatan zina. Hukuman ini juga akan melemahkan nafsu syahwat yang keji dan menggagalkan akal untuk terus melakukan kebiasaan jahat. Manakala hukuman rejam sampai mati bagi pesalah zina yang telah berkahwin bertujuan untuk melenyapkan penyakit berjangkit hasil daripada perkongsian zina dan juga menghapuskan keturunan manusia yang telah bercampur-aduk benih keturunannya. Hukuman ini memberi pengajaran kepada mereka agar tidak melakukan perbuatan zina. Hukuman ini juga dianggap sebagai ancaman atau amaran kepada mereka yang mahu melakukan aktiviti ini agar tidak meneruskan niat tersebut.

            Pelaksanaan hukuman ini dijalankan di hadapan khalayak ramai dan dari sudut kei’jazan daripada pelaksanaan hukuman ini ialah untuk melahirkan perasaan gerum dan takut kepada jiwa agar tidak memasang niat untuk melakukan perbuatan terkutuk ini yang jelas merosakkan nasab dan keturunan manusia, di sampingkan menjatuhkan maruah ke darjat yang paling hina. Lazimnya, apabila seseorang itu terlibat dengan aktiviti penzinaan, mereka merasa seronak dan ingin mengulangi lagi perbuatan ini dengan pelbagai cara dan pelbagai gaya sehingga membawa kepada perbuatan yang tidak senonoh seperti liwat, bertukar pasangan dan sebagainya. Secara tidak langsung, perbuatan ini akan mengundang pelbagai jenis penyakit, sama ada penyakit siplis, aids dan lain-lain atau penyakit kemasyarakatan yang boleh membawa perpecahan dan huru-hara dalam keluarga atau masyarakat, justeru memusnahkan baka dan keturunan.

Maka, kei’jazan pelaksanaan hukuman ini bertujuan untuk penjagaan maslahat kemanusiaan, sama ada menjaga keturunan, kemasyarakatan,  penyakit yang menular, keamanan dari perok-peranda dan lain-lain lagi. Keberkesanan hukuman ini perlu dilihat untuk jangka masa akan datang, sama ada untuk jangka masa pendek, di mana ianya melahirkan perasaan gerum dan takut terhadap hukuman ini dan juga untuk jangka masa panjang yang mencetuskan perasaan tidak berani untuk melakukan perbuatan yang keji ini.

5. Memelihara Dan Menjaga Harta
Al-Qur’an telah menyediakan peraturan dan undang-undang yang berkaitan dengan harta benda bertujuan untuk penjagaan dan pemeliharaan daripada kecurian, salah laku atau seumpamanya. Mereka yang melakukan perbuatan mencuri setelah cukup dengan syarat-syaratnya akan dikenakan hukuman potong tangan.


Firman Allah Ta’ala:

وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا[11]

Maksudnya: “Dan lelaki mencuri dan perempuan mencuri, maka hukumnya hendaklah dipotong tangan keduanya”.

Dari sudut kei’jazan yang berkaitan dengan hukuman potong tangan terhadap pencuri setelah diadili dan cukup dengan syarat-syarat kesalahan yang dilakukan, maka hukuman ini adalah wajar kerana perbuatan tersebut adalah perbuatan yang mengandungi niat jahat yang bertujuan untuk mengambil atau memindahkan harta secara bersembunyi tanpa pengetahuan dan persetujuan pemilik. Hukuman ini akan memberi amaran dan pengajaran kepada orang ramai agar tidak melakukan perbuatan mencuri yang boleh menyusahkan dan mencetuskan huru-hara.



Sekian, wassalam


Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani


[1]  Dr. Abu Zahra' Al-Najdi. 1990. Min al-I'jaz al-Balaghiy WA al-'Adadiy Li al-Qur’an al-Karim. terbitan Al-Wakalah AI-'Alamiyah li At-Tauzi’.
[2]  Al Qur’an, Surah al-Baqarah: 2: 217.
[3]  Al Qur’an, Surah al-Ma’idah: 5:32.
[4]  Al-Qur’an, Surah al-Mai’dah: 5:45.
[5]  Al-Qur’an, Surah al-Baqarah:2:178.
[6] Al-Qur’an, Surah al-Mai’dah:5: 90.
[7] Hukuman hudud meminum arak ialah sebat, tetapi jumlahnya terdapat dua riwayat; dalam satu hadith diriwayatkan bahawa baginda Rasulullah s.a.w. telah memukul (sebat) seorang lelaki yang meminum arak dengan dua pelepah tamar sebanyak empat puluh kali dan begitu juga dilakukan oleh Abu Bakar tetapi pada zaman pemerintahan Umar, beliau berbincang dengan sahabat-sahabat dan berkata seorang sahabat bernama Abdul Rahman bahawa seringan-ringan hudud ialah lapan puluh kali sebatan dan Umar menurutnya (Sahih Muslim, hlm. 214)
[8] Al-Qur’an, Surah al-Isra’:17: 32.
[9] Al-Qur’an, Surah al-Nur: 24:2.
[10] Ibn Kathir, Tafsir Al Quran Al ‘Azim, juz: 3, hal: 253, Kaherah: Dar Al Hadith, 1988.
[11]  Al-Qur’an, Surah al-Maidah: 5:38

No comments:

Post a Comment