PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Tuesday 22 November 2011

CARA GERAKAN ORIENTALIS



PENGENALAN
Setelah jatuhnya Daulah Islam yang terakhir, iaitu Daulah Uthmaniyah di Turki, para orientalis dan orientalis barat serta konco-konconya telah mengemukakan ‘plan tindakan’ terhadap sistem perundangan dan sistem kehidupan yang hendak dibentuk ke dalam masyarakat Islam untuk mengubah corak dan rentak hidup umat Islam serta pemikiran mereka supaya sesuai sebagaimana yang dikehendaki oleh orientalis. Segala tabiat kemanusiaan dan nilai-nilai agama telah dirungkaikan satu persatu, bermula dari hubungan persaudaraan iman, pergaulan dalam masyarakat, amal ibadat, akhlak dan lain-lain sehingga kepada kepercayaan hidup dan rupa bentuk akidah yang menjadi pegangan umat Islam. Kedatangan orientalis dan suku-sakatnya ke bumi umat Islam mempunyai satu tujuan dan satu matlamat, iaitu untuk melenyapkan Islam dan ajarannya serta memusnahkan umat Islam dari pegangan agama, di samping mengembangkan pengaruh penjajah yang tidak lagi diminati di Benua Eropah ketika itu. Mereka sanggup mengharungi lautan yang luas terbentang dan membuka laluan baru untuk datang menjajah ke bumi umat Islam termasuk ke Asia Timur, Asia Tengah dan Asia Tenggara.

1. TAKRIF ORIENTALIS
Asal perkataan orientalis dari bahasa Perancis yang kemudiannya digunakan dalam berbagai bahasa Eropah termasuk bahasa Inggeris. Oriental adalah kata sifat yang bermakna sesuatu yang bersifat ketimuran[1]. Tambahan kata isme (Belanda) atau ism (Inggeris) menunjukkan suatu fahaman (aliran pemikiran), ajaran atau amalan. Lawan orient ialah occident yang bererti barat. Mengikut The Living Webster Encyclopedia Dictionary of the English Language, orientalisme ditakrifkan sebagai hal-hal yang bersifat ketimuran: iaitu keanihan dunia timur tentang ilmu pengetahuan terutama dalam soalbahasa, kesusasteraan atau kebudayaannya. Manakala orientalis pula ialah orang yang mengkaji bahasa, kesenian dan lain-lain yang berhubung dengan Negara Timur. Menurut Edward W. Said dalam bukunya ‘Orientalisme’di mana kalimah orientalis merujuk kepada sesiapa sahaja khususnya orang Barat yang mengajar, menulis atau mengkaji tentang hal ehwal dunia ketimuran[2]. Dalam pengertian yang lebih khusus, orientalisme lebih merujuk kepada satu gerakan pengkajian hal ehwal Islam, budaya bangsa dan masyarakat Muslim oleh orang Barat. Sama ada dengan tujuan ilmiah semata-mata atau untuk tujuan keagamaan dan juga politik. Gerakan oientalisme ini dipelopori pada mulanya oleh para Mubaligh Kristian dan Paderi untuk tujuan mendakyahkan agama Kristian.Tetapi akhirnya bergandingan dengan kehadiran imperialisme barat ke Dunia Islam untuk mengukuhkan penjajahan mereka ke atas negara-negara jajahan tersebut. Dr Hamdi Zaqzuq menegaskan: Terdapat suatu kesefahaman mutlak di kalangan mubaligh Kristian kurunke 13 tentang betapa perlunya menguasai bahasa-bahasa orang Islam seandainya mahu dijayakan usaha pengkristianisasi ke atas mereka. Persefahaman yang telah diterjemahkan dalam bentuk agenda bertindak,itu merupakan faktor penting dalam perkembangan orientalisme. Pada masa itu tidaklah mudah untuk memisahkan orientalisme dengan Kristianisasi atau motivasi keagamaan. Motivasi keagamaan inilah menjadi pencetus utamabagi lahirnya orientalisme.

2. MEWUJUDKAN TEORI PEMIKIRAN YANG MENGELIRUKAN
Usaha orientalis tidak terhenti hanya di situ saja, orientalis tidak pernah mendiamkan diri menyebarkan pelbagai dakyahnya ke seluruh pelusuk dunia dan tidak pernah berhenti menaburkan jarum fitnahnya terhadap Islam dan ajarannya. Salah satu cara untuk memesongkan pemikiran umat Islam ialah dengan mencipta pelbagai teori yang memenuhi perasaan naluri dan kehendak-kehendak kemanusiaan, teori yang akan memenuhi selera hawa nafsu manusia dan keberahian untuk melakukan apa saja, teori yang menghalalkan apa cara dengan memberi kebebasan sepenuh kepada akal untuk bertindak tanpa batas sempadan. Kemunculan teori-teori yang direka-cipta itu seolah-olah memberi ‘lampu hijau’ terhadap sesuatu tindakan manusia yang dianggap untuk bersaing dengan pendapat dan pandangan para ulama Islam dalam konsep ijtihad mereka.

2.1. Teori Sekularisme
Perbalahan mazhab dalam ajaran Orientalis di antara puak Katolik dan puak Protestant telah mewujudkan suatu fahaman sekular yang didefinisikan sebagai: Wordly not religious or spiritual - Iaitu tidak mempunyai hubungan dengan agama ataupun rohani. Dari perkataan sekular, maka wujudlah di sana suatu bentuk fahaman yang dipanggil sekularisme dan terdapat beberapa pandangan tentang apa yang dimaksudkan dengan sekularisme:

The view that the influence of religious organizations should be reduced as much as possible, and that morality and education should be separated from religionIaitu: Suatu pandangan bahawa pengaruh organisasi agama harus dikurangkan sejauh mungkin, bahawa moral dan pendidikan harus dipisahkan dari agama[3].

Ajaran gereja menjadi rintangan kepada kemajuan, ajaran itu kolot dan jumud dan tidak sesuai dengan perkembangan ilmu dan daya fikir manusia[4]. Fahaman ini telah dimasukkan ke dalam ajaran Islam melalui ilmu falsafah dan theologi dan juga ilmu mistik yang menjurus manusia  ke alam sufi atau tasawwuf dengan mengasingkan diri dari masyarakat, menceraikan hubungan dunia dengan akhirat, meletakkan politik pemerintahan tidak ada hubungan dengan agama dan pelbagai lagi fahaman yang memesongkan akidah umat Islam.

2.2. Teori Komunis
Di antara teori yang dibawa oleh orientalis yang boleh menyesatkan umat Islam ialah Teori Komunis. Pengaruh Teori Komunis ini telah berkembang ke kawasan sempadan Rusia, China, sebahagian Benua Eropah, Asia Tengah dan juga termasuk Asia Tenggara. Teori ini telah merosakkan ramai umat manusia dari segi pegangan hidup dan kepercayaan beragama, kerana di antara fahaman teori ini ialah membatalkan konsep ketuhanan yang menafikan wujudnya Tuhan dan perkara-perkara yang berkaitan dengan ketuhanan. Asas teori ini menyatakan bahawa sesuatu itu terjadi dengan sendiri dan tiada sesiapa yang mencipta, riwayat hidup manusia akan berakhir setelah manusia meninggal dunia dan tiada lagi kehidupan selepas itu. Apabila ditanya kepada Karl Marxs, salah seorang pengasas Ideologi Komunis, apakah yang harus diganti dengan akidah ketuhanan itu…? Beliau pantas menjawab:
Sebagai gantinya ialah pentas-pentas drama dan hiburan-hiburan yang mengasyikkan yang memenuhi masa dan menyibukkan mereka daripada berpegang kepada akidah ketuhanan…”[5]
Teori ini telah menafikan tabiat dan fitrah semulajadi manusia bahawa spiritual manusia dan kehendak-kehendak nalurinya berhajat kepada pegangan hidup, kepercayaan hidup dan upacara kehidupan yang dikaitkan dengan nilai-nilai keagamaan untuk memenuhi rangkaian kehidupan itu ke jalan yang benar. Walau bagaimana bebasnya bentuk kehidupan manusia dan bebasnya untuk melakukan apa sahaja yang mereka suka, manusia mesti terikat dengan beberapa peraturan dan undang-undang semulajadi.

2.3. Teori Darwin
Di antara teori yang amat melucukan ialah Teori Darwin, di mana teori ini menyatakan tentang pendapat evolusi manusia yang ditolak oleh akal pemikiran kerana tidak berupaya mengemukakan logiknya. Teori ini menyatakan bahawa asal usul manusia adalah dari seekor beruk dan kemudian berubah secara evolusi atau secara beransur-ansur yang memakan masa beberapa zaman sehinggalah beruk itu akhirnya menjadi manusia yang normal. Secara tidak langsung, perubahan ini dapat ditafsirkan sebagai perubahan kebinatangan atau kehaiwanan untuk mengubah corak dan rupa bentuk, sama ada dari segi fizikal atau jasad dan tubuh badannya, spiritual atau akal fikirannya, mental atau mindanya, moral atau akhlaknya kepada manusia yang normal. Akal tidak boleh menerima teori yang pincang ini kerana beruk-beruk yang ada pada zaman ini tidak seekorpun yang dapat berubah menjadi seorang manusia, bahkan ianya tetap sama dengan rupa bentuk dan cara hidup seekor binatang. Sebenarnya, teori ini dicipta untuk mewujudkan suasana keruh dalam sistem pengajaran dan pendidikan Islam yang menyatakan manusia itu sebenarnya berasal dari tanah, iaitu Nabi Adam ‘Alaihissalam. Dengan teori ini, setidak-tidaknya umat Islam pasti terlibat sama membahaskan untuk mengetahui realiti nasab keturunan manusia purba kala.

2.4. Teori Freud
Di sana juga terdapat Teori Freud yang menafsirkan bahawa segala perilaku manusia disalurkan menerusi jalan naluri dan hubungan seks, kebebasan syahwat dan apa sahaja keinginan hawa nafsu sekalipun sesama sejenis atau dengan binatang. Teori ini juga menafsirkan bahawa kehendak dan kemahuan manusia tanpa batas sempadan walaupun dengan anak atau saudara kandung sendiri atau dengan isteri orang lain. Teori yang jijik itu mengajar manusia memusnahkan keturunan dan boleh membawa penyakit yang berbahaya kepada masyarakat, termasuk penyakit kelamin akibat hubungan rambang sesama sendiri. Secara tidak langsung teori ini telah bertindak meruntuhkan institusi kekeluargaan, mewujudkan perok-peranda di kalangan suami isteri, menyalakan api perbalahan dan perkelahian dalam masyarakat. Secara logiknya, teori yang kotor ini telah membatalkan konsep ketuhanan, seolah-olah Tuhan itu tidak mempunyai apa-apa kuasa terhadap ketentuan nasib manusia dan membatalkan terus persoalan hukum-hukum agama serta peraturan hidup yang berpandukan kepada nilai-nilai agama dan tabiat kemanusiaan itu sendiri. Ianya juga melenyapkan terus unsur-unsur akhlak, pekerti hidup dan moral manusia kerana kehendak-kehendak hawa nafsu itu membatalkan unsur-unsur tersebut. Ini kerana pedoman dan hala tuju perjalanan hidup manusia berpandukan kepada kehendak-kehendak hati yang menggila-gila, keinginan yang memuncak dan mendadak, perasaan ingin mencuba, perasaaan yang ingin menyempurnakan impian batin dan kepuasan rohani yang dikaitkan dengan naluri seks bebas dan hawa nafsu semata-mata. Teori ini juga mengajar hati manusia benci kepada pasangan hidup masing-masing di antara suami isteri, perasaan curiga dan syak wasangka, kerana kebebasan melampaui batas-batas kemanusiaan yang hampir melempiaskan keunggulan manusia ke darjat haiwan mengajar apa yang terpendam dalam hati pasangan mereka.

2.5. Teori Nietche
Di samping Teori Freud, di sana terdapat satu lagi teori lain yang boleh memusnahkan pegangan hidup muslim, iaitu Teori Nietche. Teori ini menolak keunggulan akhlak dan pekerti hidup manusia dan manusia bebas melakukan apa sahaja untuk mencapai hasrat dan tujuan mereka, sekalipun melalui jalan pengaliran darah, pembunuhan dan kehancuran. Teori ini ‘menghalalkan apa cara’ untuk mendapatkan impian melalui jalan keganasan, kemusnahan dan kehancuran. Musuh-musuh Islam yang mencipta teori ini bertujuan supaya umat Islam turut menjadi pelaksana dalam merealisasikan teori yang tidak berguna ini dan supaya mereka menjadi pasti untuk menerima fahaman ini dalam kehidupan sehingga mereka membelakangkan ajaran Islam.  Fahaman ini dimasukkan ke dalam ajaran Islam melalui ilmu falsafah dan theologi dan juga ilmu mistik yang menjurus manusia  ke  alam  sufi  atau tasawwuf dengan mengasingkan diri dari masyarakat, menceraikan hubungan dunia dengan akhirat, meletakkan politik pemerintahan tidak ada hubungan dengan agama dan pelbagai lagi fahaman yang memesongkan 'aqidah umat Islam. Begitu juga dengan teori-teori lain yang ditimbulkan oleh musuh-musuh Islam seperti fahaman kebangsaan ataupun nasionalisme, sosialisme, kapitalisme, pluralisasi, kapitalisme, pragmatisme, liberalisme, demokrasi, pobialisme, globalisasi, sosialisme, saintisme, sekularisme, fahaman manusia wujud dalam keadaan berdosa dan lain-lain fahaman yang boleh memusnahkan pemikiran umat Islam[6].

2. MENIMBULKAN KERAGUAN DALAM AGAMA
Di antara cara yang digunakan dalam proses orientalisisasi lagi ialah menimbulkan aksi keraguan dalam ajaran Islam. Mereka menyatakan bahawa ajaran Islam sebenarnya dipungut dari agama Katolik dan Yahudi serta lain-lain adat penyembahan berhala di Mekah. Mereka juga telah memberi gambaran di hadapan kaca mata dunia bahawa ajaran Islam bukanlah ajaran yang sempurna, tetapi ajaran yang penuh dengan tahyul dan bersifat fanatik. Mereka menuduh Islam bukan agama permodenan dan tidak ada kebebasan dalam ajarannya, mereka mengambil contoh dalam ibadat sembahyang yang mempunyai tatacara dan bacaan yang sama, juga arah mengadapnya sama sahaja sejak dahulu hinggalah sekarang, seolah-olah tidak ada kemajuan dalam sistem ibadat[7]. Sesungguhnya Islam adalah agama fitrah dan tabiat, agama akal dan mantik, agama yang indah setiap peredaran masa dan zaman dan juga agama yang sesuai untuk diletakkan di setiap tempat  dan keadaan[8]. Ajaran Islam datang dari Allah, bukan dari ciptaan manusia, sebab itu tidak boleh ditokah-tambah dalam siri pengajaannya kerana ianya sudah cukup lengkap untuk memberi petunjuk kepada umat manusia.

3. MELALUI MEDIA MASA DAN SEBARAN AM
Kebanyakan laporan berita yang disiarkan di ruangan dada akhbar, majalah, televisyen, radio, internet dan lain-lain adalah dikuasai oleh orang-orang bukan Islam. Mereka bebas membuat laporan dan menyiarkan apa sahaja berita yang mereka suka dan kadang-kadang berita yang berkaitan dengan hal ehwal umat Islam, negara Islam dan lain-lain perkara yang berkaitan dengan urusan orang Islam diputar-belitkan. Kesempatan yang mereka perolehi itu telah digunakan untuk menyebarkan pengaruh orientalis melalui pelbagai cara. Adakalanya juga mereka menganjurkan pekej lawatan dan perkhemahan secara percuma untuk diserapkan pengaruh orientalis dan unsur-unsur orientalis secara halus.

4. MENGADAKAN PELBAGAI PERTANDINGAN
Untuk melalaikan umat Islam daripada menunaikan tugas dan tanggungjawab terhadap tuntutan agama, badan-badan atau mana-mana organisasi yang ditubuhkan di atas nama orientalis telah membuat suatu perangkap dengan mengadakan pelbagai bentuk pertandingan yang bertaraf antarabangsa. Di antara beberapa pertandingan yang dianjurkan oleh mereka ialah seperti pertandingan ratu cantik yang diadakan setiap tahun untuk memilih wanita paling cantik di dunia untuk dimahkotakan gelarannya, pementasan drama atau filem dan kemudian membuat pemilihan pelakon terbaik, produser  terbaik,  filem  terbaik  dan sebagainya yang dipersembahkan di dalam sesuatu filem, diwujudkan pertandingan nyayian sama ada secara solo ataupun secara berkumpulan dan kemudiannya juga diadakan pemilihan, pertandingan sukan atau olahraga yang diadakan di seluruh dunia untuk memilih atlit terbaik. Semua pertandingan itu dianjurkan oleh kumpulan orientalis yang diantara tujuannya adalah untuk memusnahkan amalan umat muslim dan menjauhi diri mereka daripada mengingati Tuhan. Dengan adanya pelbagai bentuk acara tersebut, maka umat Islam terpaksa meninggalkan sebahagian besar tuntutan ibadat, terutamanya sembahyang dan puasa kerana sibuk dengan latihan dan tumpuan sepenuh masa. Apabila aturcara majlis diadakan pada waktu malam, sudah tentu para penonton membanjiri stadium sejak awal petang lagi dan ini menyebabkan sebahagian dari mereka telah meninggalkan kefardhuan sembahyang Maghrib atau Isyak. Kadang-kadang pernah sesuatu pertandingan itu diadakan pada bulan puasa menyebabkan mereka melupakan terus ibadat puasa kerana menumpukan sepenuh perhatian kepada pertandingan yang diadakan itu. Ini adalah satu kejayaan terhadap perancangan halus orientalis hari ini dan ianya tidak disedari oleh umat Islam dan dunia Islam. Ini bukanlah bererti Islam mengharamkan terus sukan atau olahraga ataupun sebarang bentuk nyayian, lakonan atau sebagainya, tetapi mestilah mengikut lunas-lunas syara' yang telah ditetapkan tanpa dicampur-aduk dengan unsur-unsur haram[9].

5. WUJUDKAN PERSATUAN ANTARABANGSA
Orientalis telah berjaya menubuhkan beberapa persatuan yang bertaraf antarabangsa, di antaranya ialah;   

5.1. Persatuan Hak Asasi Manusia:
Melalui pertubuhan hak asasi manusia ini, puak-puak orientalis telah berjaya memperdayakan umat manusia. Di antara lain menyebut: Bahawa darah manusia tidak harus ditumpahkan melalui apa cara sekalipun. Tujuannya adalah untuk memberi tamparan kepada hukuman Islam seolah-olah kejam atau zalim yang merejam sehingga mati terhadap kesalahan zina, qisas atau bunuh balas bagi kesalahan membunuh dan memotong tangan bagi kesalahan mencuri. Biasanya pertubuhan ini akan memainkan peranannya apabila timbulnya sesuatu isu yang mengenai umat Islam dan negara Islam seperti yang berlaku di Mekah yang menjatuhkan hukuman mati terhadap pengedar dadah dan kesalahan membunuh, hukuman potong tangan bagi kesalahan mencuri.

5.2. Pertubuhan Wanita Sedunia:
Wanita Islam hari ini telah bergerak jauh dalam perjuangan mereka menuntuk hak apa yang dinamakan 'Kebebasan Wanita'. Pejuangan ini diasaskan oleh wanita-wanita barat yang keseluruhannya bukan beragama Islam, tetapi beragama Kristian. Perjuangan ini berkisar kepada dua aspek penting iaitu mengenai kedudukan wanita dalam masyarakat seperti masalah memakai tudung kepala, pelajaran campuran (co-education), pergaulan bebas di antara lelaki dan wanita, pekerjaan di luar rumah sebagai guru, kerani, pegawai dan lain-lain dan mengenai hak sama rata dengan kaum lelaki khususnya dalam pekerjaan seperti kenaikan pangkat, gaji, persamaan dalam perjuangan politik, pentadbiran awam, sistem kekeluargaan, pusaka, poligami dan personal affair.



Sekian Wassalam.


Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb,
Lutpi Mustafa El-Batnani
   



[1] Dewan Bahasa & Pustaka, Kamus Dwibahasa, oleh: Mashitah Taharin, hal: 857, 1985
[2] Orientalisme, oleh: Edward W Said, hal: 347, 1996.
[3] The Advanced Learner's Dictionary of Current English, oleh:  A.Hornby -  E.V. Gatenby - H. Wakefield, hal: 1147.
[4]  Islam Menentang Sekularisme, hal:15-16.
[5] Tarbiyyah Al Aulad Fil Islam, juz: 2, hal: 752
[6]  Islam Menentang Sekularisme, hal:15-16.
[7] Ar Riddah Wa Khathariha 'Ala Ad Daulah Al Islamiyyah, hal: 97.
[8] Ruh Al Islam, oleh Muhammad 'Athiyyah Al Abrasyi, hal: 17.
[9] Kasyfu Al Ghitha' 'An Hukmi Sima' Al Ghina, hal: 97, oleh: Ibn. Qayyim Al Jauziyah, Maktabah As Sunnah dan Asy Syari'ah Al Islamiyyah Wal Funun, oleh Ahmad Mustafa Ali Al Qadha, hal: 180-200.

No comments:

Post a Comment