PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Monday 18 April 2011

PENGAJIAN UNTUK BUKAN ISLAM: APABILA ANDA MEMELUK ISLAM

1. PENGENALAN
Setelah anda mengucap dua kalimah syahadah, LAA ILAHA ILLALLAH dan MUHAMMADUR RASULULLAH bererti anda sekarang seorang yang beragama Islam, anda sekarang seorang muslim yang beriman kepada Allah, Tuhan Yang Satu, Tuhan Yang Maha Esa dan Tuhan Yang Maha Berkuasa.  Ucapan tersebut telah meleraikan ikatan tali jahiliyyah dan suku-sakatnya yang melekat pada diri anda, ucapan tersebut telah melumpuhkan penguasaan hawa nafsu dan syaitan laknat yang cuba menguasai diri anda, jiwa anda dan pemikiran anda, ucapan tersebut juga telah melenyapkan igauan buruk yang mengganggu diri anda sebelum ini dan anda sebenarnya mempunyai keyakinan sendiri untuk memilih dasar kehidupan yang lebih baik.

2. UCAPAN PENGABDIAN
Ucapan yang anda lapazkan itu ialah ucapan pengabdian dan ucapan pengakuan yang mengiktiraf ketuhanan Allah, bahawa Allah itu adalah Tuhan anda sekarang. Dialah sebenar-benar Tuhan dan satu-satunya Tuhan, tidak dua dan tidak tiga serta tidak berbilang-bilang. Anda sekarang mesti yakin dan percaya bahawa anda hanya mempunyai satu Tuhan Yang Maha Berkuasa terhadap alam ini dan terhadap segala-segalanya. Anda juga mesti yakin dan percaya bahawa Dialah Allah, Tuhan yang mempunyai kuasa mutlak dalam urusan pentadbiranNya, Dia tidak bersyarikat dan tidak berkompromi dengan mana-mana kuasa, Dia tidak berhajat kepada sesiapapun dalam menguruskan hal ehwal pentadbiranNya terhadap alam ini dan Dia tidak beranak dan tidak diperanakkan. Ucapan ini mestilah lahir dari perasaan diri anda sendiri untuk memperakui ketuhanan Allah, bukan kerana paksaan atau bukan kerana desakan atau bukan kerana sesuatu hajat, tetapi ucapan itu mestilah dengan penuh keikhlasan dan ketulusan. Sekiranya anda mengucap dua kalimah syahadah ini tanpa keikhlasan dan tanpa ketulasan, maka ucapan itu tidak sempurna. Namun, anda boleh memperbaiki ucapan itu dengan mewujudkan niat yang tulus ikhlas dalam hati sanubari dan jiwa nurani.

3. UCAPAN PENGIKTIRAFAN
Ucapan yang anda lapazkan itu juga merupakan ucapan mengiktiraf kekuasaan Allah secara mutlak, bahawa tiada suatu kekuasaan lain di sana yang lebih hebat dan yang lebih agung selain dari kekuasaan Allah. Maka, dengan sendirinya ucapan itu akan membatalkan kekuasaan lain selain dari kekuasaan Allah seperti adanya hantu jembalang yang mempunyai kuasa, adanya roh-roh jahat yang mempunyai kuasa setelah dipuja, adanya semangat-semangat luar biasa yang dapat memberi kuasa sakti, adanya bantuan-bantuan alam ghaib yang boleh memberi kuasa dan lain-lain lagi. Apabila anda mengucap dua kalimah syahadah itu, bererti anda akan membatalkan semua sekali kekuasaan-kekuasaan lain dan hanya mengiktiraf satu kekuasaan sahaja untuk keyakinan hiidup anda, iaitu kekuasaan Allah.

4. UCAPAN KEYAKINAN
Ucapan tersebut juga merupakan ucapan keyakinan untuk diletakkan ke dalam hati sanubari dan jiwa nurani terhadap Allah, bahawa Dialah Allah Tuhan yang sebenar-benar dan tiada Tuhan lain melainkan Dia. Anda juga hendaklah yakin dengan sepenuh hati terhadap ketuhanan Allah itu dan secara tidak langsung anda telah menolak sifat-sifat kepuraan dalam diri anda dan sifat-sifat hipokrit yang cuba menguasai diri Allah. Keyakinan itu akan menleyapkan perasaan gerimis dalam diri anda.

5. UCAPAN KEPERCAYAAN
Ucapan itu juga merupakan ucapan kepercayaan, bererti jiwa anda sekarang diminta percaya kepada adanya Tuhan yang bernama Allah, iaitu satu-satunya Tuhan di alam ini Yang Maha Berkuasa. Anda perlu menyakinkan diri anda sendiri untuk membentuk perasaan percaya kepada wujudnya Allah yang mencipta segala makhluk di alam ini. Sebabnya, ucapan yang dilapazkan oleh lidah anda itu adalah untuk anda percaya kepada ketuhanan Allah. Justeru itu juga, tabiat kemanusiaan itu sendiri membentuk konsep percaya kepada diri manusia sebagai sumber pegangan dan sebagai tempat pergantungan.


Semoga Islam dan iman menerangi hati sanubari dan jiwa nurani anda sekalian…

Wassalam

Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani

No comments:

Post a Comment