PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Monday 18 April 2011

PENGAJIAN UNTUK BUKAN ISLAM: PELAKSANAAN KEWAJIBAN


1. PENGENALAN
Apabila anda menjadi seorang muslim, maka tugas dan tanggungjawab anda sekarang ialah sebagai seorang muslim yang beriman kepada Allah, Tuhan Yang Maha Esa dan beriman kepada Muhammad s.a.w. rasul utusan Allah. Setelah anda melapazkan ucapan dua kalimah syahadah, bererti anda sekarang telah menerima segala apa yang terdapat dalam syari’at Allah. Di sana terdapat beberapa tugas dan tanggungjawab yang anda perlu selesaikan sebagai menyahut seruan Allah. Anda wajib melaksanakan upacara ibadat dalam Islam secara praktikal dan ibadat yang dilakukan ini merupakan upacara ketaatan atau kepatuhan terhadap perintah Allah. Namun demikian, anda perlu mempelajarinya dari masa ke semasa tentang ibadat yang akan dihuraikan nanti. Sebab itu, di atas segala kesalahan dan kesilapan ketika melaksanakannya adalah dimaafkan.

2. MENDIRIKAN SOLAT
Mula-mula ibadat solat, ibadat solat ini merupakan tiang agama dan sesiapa yang meninggalkannya dia seolah-olah meruntuhkan agama. Solat yang diwajibkan ada lima waktu sehari semalam. Pertama: Solat Subuh dua rakaat, kedua: Solat Zohor empat rakaat, ketiga: Solat Asar empat rakaat, keempat: Solat Maghrib tiga rakaat dan kelima: Solat Isya empat rakaat.          

Anda mungkin tertanya-tanya, mengapa dalam Agama Islam terdapat lima waktu untuk memdirikan ibadat solat..?

Jawabannya amat mudah sekali, sebenarnya Agama Islam adalah agama ketuhanan, di mana setiap detik dan setiap saat anda wajib mengingati Allah, tidak kira di mana jua anda berada. Adapun  waktu yang lima ini merupakan waktu upacara rasmi anda mengingati Allah. Lagipun, Agama Islam sangat menghormati waktu dan Islam membahagikan waktu-waktu ini yang tidak terdapat di dalam mana-mana agama bertujuan untuk merenung sejenak untuk mengingati ketuhanan Allah dan kebesaranNya serta keagunganNya. Sebab, mungkin dengan kesibukkan kerja dan keasyikkan dalam mengharungi liku-liku kehidupan sudah tentu di sana terdapat perkara-perkara yang boleh mengalpakan diri kita, perkara-perkara tersebut boleh menyebabkan kita menjadi hanyut. Lantas, dengan waktu-waktu ini diharap anda berhenti sejenak untuk menarik nafas bagi mengingati Allah melalui ibadat solat.

Ibadat solat dimulai dengan berdiri sebagai pendirian dan istiqomah dalam perjuangan hidup kita, ada rukuk dan sujud sebagai tanda kepatuhan atau ketaatan kita kepada arahan Allah. Perbuatan-perbuatan lain dalam ibadat solat merupakan riadah ringkas untuk membetulkan segala sendi-sendi dan tulang-tulang yang ada di dalam tubuh badan kita, termasuk mengendurkan urat sarat di samping melancarkan perjalanan darah dalam badan. Ianya juga dapat mengembalikan dan membaik-pulih kekuatan kekuatan otot-otot dalam badan.

Ibadat solat ini sebenarnya akan menambahkan  lagi kecerdasan otak dan akal fikiran kerana penumpuan dan concentrate hanya kepada satu arah, satu hala dan satu tujuan. Sebab itu, ibadat ini akan menajamkan tumpuan hidup anda dalam sesuatu bidang lapangan, kerana bentuk pemikiran yang consistent dan stabil dalam ibadat solat itu akan terbawa-bawa dalam bidang dan lapangan hidup anda. Anda akan menjadi lebih yakin dan lebih bersemangat dalam setiap usaha atau pekerjaan anda.

Segala perbuatan dan pergerakan dalam ibadat solat ini merupakan riadah yang bersifat rohani dan jasmani. Walaupun ringkas, tetapi ianya sudah cukup membawa kesegaran kepada hidup anda di waktu itu. Manakala bacaan dalam ibadat ini pula adalah doa dan rintihan seorang hamba terhadap Tuhan yang mengharapkan keampunan dan keredhaan dariNya. Ibadat solat disudahi dengan pemberian salam yang menunjukkan selesai sudah upacara ibadat solat.

3. MENGERJAKAN PUASA
Ada orang berkata, puasa dapat memberi kesihatan kepada tubuh badan. Benar sekali, ibadat puasa memang dapat memberi kesihatan kepada tubuh badan manusia, kerana organ-organ dalam tubuh badan berhenti rehat setelah sekian lama bekerja. Amalan berpuasa ini bukan saja diamalkan oleh orang-orang Islam, bahkan orang-orang bukan Islam juga mengamalkan hidup cara berpuasa.

Anda perlu mengetahui, bahawa ibadat puasa diwajibkan ke atas ummat Islam hanya sebulan saja dalam setahun, iaitu di dalam Bulan Ramadhan Al Mubarak. Dalam tempoh sebulan, iaitu selama dua puluh sembilan hari atau tiga puluh hari kita diwajibkan meninggalkan perkara-perkara yang membatalkan puasa dan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah. Ibadat puasa dimulai dengan bersahur sebelum fajar menyinsing dan disudahi dengan berbuka setelah jatuhnya matahari pada waktu maghrib. Ada beberapa perkara penting yang anda perlu tahu mengenai puasa;
       
Pertama: Allah mewajibkan kita meninggalkan perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti makan, minum dan memasukkan sesuatu ke dalam rongga seperti lubang telinga, lubang hidung dan sebagainya termasuk bersetubuh di waktu siang. Kita wajib menahan diri daripada perkara-perkara tersebut, walaupun kita dalam keadaan lapar dan dahaga, kerana maksud puasa di sini ialah menahan diri dari lapar dan dahaga. Sebenarnya, perasaan lapar dan dahaga itu adalah disebabkan tabiat semulajadi manusia yang terikut-ikut dengan hawa nafsu. Kita tidak pernah mendengar orang yang berpuasa itu mati kelaparan. Maka dengan sebab itu, di bulan puasa ini adalah bulan untuk menguji tahap kesabaran hidup anda, kerana anda sendiri yang menguasai kehidupan anda.

Kedua: Di dalam bulan puasa ini juga kita ditegah melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah, seperti melakukan maksiat kepada Allah, mengumpat, mengeji, mencaci, memutuskan hubungan silaturahim dan sebagainya. Walaupun perkara-perkara ini tidak membatalkan puasa, tetapi ianya akan mengurangkan pahala dan ganjaran puasa di sisi Allah. Seandainya perkara-perkara tersebut tidak dapat dibendung dalam diri kita dan dalam kehidupan kita, maka maksud puasa dari sudut maknawi akan tidak mencapai hakikatnya. Kita hanya berpuasa menahan lapar dan dahaga saja, tetapi tidak dapat menahan diri dari kemurkaan Allah. Bererti, diri kita masih belum sempurna dan tidak cukup kuat menghadapi ujian dari Allah.

Ketiga: Seandainya berlaku kesalahan atau kesilapan semasa berpuasa, seperti termakan atau terminum atau sebagainya, maka perkara tersebut adalah dimaafkan, kerana kebiasaannya kesalahan dan kesilapan itu berlaku tanpa sengaja dan di luar kawalan kita.

Di antara hikmah kita diwajibkan berpuasa ialah untuk menghayati keadaan hidup orang-orang fakir dan miskin serta orang-orang yang tidak punya harta benda. Seandainya kita berada seperti mereka sekarang, bagaimana perasaan kita dan bagaimana kita dapat membina kehidupan yang sebegini ‘rapuh’ tanpa ada sumber kewangan..? Telah berkali-kali dikatakan, bahawa amalan hidup dalam ajaran Islam ini semata-mata untuk mendekatkan diri kita kepada ketuhanan Allah. Maka dengan keadaan demikian, kita pasti dapat merasakan bahawa yang memberi rezeki kepada kita ialah Allah dan kerana kurniaanNya kita dapat mengecapi kehidupan yang lebik baik dan sempurna. Kehidupan itu sendiri tidak pernah menjanjkan kekayaan atau keistimewaan kepada kita semua.

Di samping itu, bulan puasa ini juga merupakan bulan untuk kita bermuhasabah, bulan untuk kita membuat perhitungan semula terhadap amalan hidup dan perlakuan hidup di hadapan Allah. Justeru itu, dengan amalan berpuasa ini juga, kita dapat mengawal makan dan minum yang akan menjadi diri kita sihat. Secara tidak langsung, kita dapat menjimatkan dan mengurangkan kos perbelanjaan kita.

Anda dapat saksikan sendiri keadaan di bulan puasa dengan bulan-bulan yang lain. Suasana menjadi lebih indah dan menggamit suasana, dari kanak-kanak sehingga orang dewasa dan orang yang telah lanjut usianya. Mereka semua bergembira, lebih-lebih lagi di waktu malam kita disunatkan menunaikan ibadat solat tarawikh secara berjama’ah di masjid. Maka, di sini kita dapat melihat betapa cerianya suasana kehidupan ketika bersama-sama dengan Islam.

4. MENGELUARKAN ZAKAT
Zakat merupakan suatu pemberian yang dikeluarkan untuk diagihkan kepada fakir miskin atau orang-orang tidak punya kemampuan. Zakat juga merupakan suatu sistem ekonomi Islam yang penting bagi membentuk masyarakat yang berekonomi dan berkemampuan. Zakat hanya dikeluarkan setahun sekali mengikut kadar dan nilai tertentu setelah cukup syarat-syaratnya. Sekiranya anda saudara baru dalam Islam, anda berhak menerima pengagihan zakat menurut kadar yang diberikan. Namun begitu, anda juga diwajibkan mengeluarkan zakat fitrah yang dikeluarkan hanya setahun sekali dengan kadar tertentu, iaitu semasa di Bulan Ramadhan Al Mubarak.  Sekiranya anda seorang ahli perniagaan atau usahawan, anda dihendakki membayar zakat perniagaan setelah cukup nisab dan haulnya. Begitu juga dengan zakat simpanan, zakat tanaman, zakat ternakan, zakat harta (perhiasan) dan zakat harta karun perlu dibayar setelah cukup syarat-syaratnya dan mengikut nilai semasa.  Zakat ini dikeluarkan setahun sekali menurut nilai-nilai tertentu. Harta pemberian zakat ini akan diagihkan kepada golongan yang layak menerimanya, kesemuanya ada lapan golongan, di antara mereka ialah orang-orang fakir, orang-orang miskin, orang-orang yang terlibat dalam menguruskan hal ehwal zakat (amil), orang-orang yang dijinakkan hati terhadap Islam (muallaf), orang-orang yang hendak membebaskan hamba, orang-orang yang berhutang, orang-orang yang berjuang fi sabilillah dan orang-orang yang berada dalam perjalanan. Sebenarnya, tujuan zakat ini dikeluarkan adalah untuk menyucikan harta seseorang dari saki-daki kekotoran, di samping ianya menjadi tunjang ekonomi dalam Islam yang diambil secara berperaturan untuk digunakan sebagai maslahat kepada masyarakat.

5. MENGERJAKAN HAJI
Anda juga diwajibkan menunaikan ibadat fardhu haji ke Mekah sekiranya anda berkuasa. Maksud berkuasa di sini ialah mempunyai kemampuan dari sudut perbelanjaan dan kekuatan tenaga, termasuk sihat tubuh badan. Ibadat haji hanya dilakukan di Kota Mekah sahaja, iaitu terletak di Negara Arab Saudi. Ibadat haji ini tidak boleh dan dilarang sama sekali dilakukan di tempat-tempat lain selain di Mekah sahaja. Di sini letaknya Ka’abah yang merupakan kiblat orang-orang mukmin. Mekah merupakan suatu tempat yang unik, walaupun keadaan muka buminya berbatu-batan dan kering-kontang serta tiada tumbuh-tumbuhan, namun ianya menjadi tempat tumpuan manusia setiap tahun. Di persekitaran Kota Mekah sendiri tiada hasil mahsul atau sumber pertanian atau galian atau apa-apa bentuk untuk diprodukkan sebagai bahan perdagangan, tetapi manusia sejak dahulu hingga ke hari ini menjadikan Mekah sebagai pusat perdagangan yang paling hebat di samping ibadat yang dilakukan. Kemudian, apa yang uniknya di Kota Mekah ini ialah terdapat telaga zam-zam yang airnya tidak pernah kering sehingga ke hari ini walaupun digunakan oleh berjuta-juta manusia sejak dahulu sehingga sekarang. Begitu juga, mereka yang meminumnya tidak pernah terkena penyakit atau mendatangkan bahaya atau seumpamanya,bahkan boleh menyihatkan tubuh badan. Kita kembali berbicara mengenai ibadat haji, ibadat ini merupakan ibadat tahunan yang dilakukan di Bulan Zulhijjah, iaitu pada 9 hingga 13 Zulhijjah. Di antara perbuatan di dalam ibadat haji ialah melakukan tawaf mengelilingi ka’abah sebanyak tujuh kali dan selepas itu mengerjakan sya’ir, iaitu berulang-alik dari Bukit Sofa dan Bukit Marwah. Para jama’ah haji dikehendaki memakai pakaian ihram yang tidak berjahit berwarna putih yang merupakan pakaian rasmi ibadat haji. Pada 9 Zulhijjah, para jama’ah haji yang datang dari seluruh pelusuk dunia akan berkumpul di Padang Arafah, kemudian mereka berjalan menuju ke Muzdalifah pada waktu malam. Pada 10 Zulhijjah pula mereka akan melontar Jamrah di Mina dan manakala 11-13 Zulhijjah pula mereka akan berulang-alik ke Mina untuk melontar jamrah-jamrah, iaitu Jamrah ‘Aqabah, Jamrah ‘Ula dan Jamrah Wusta. Anda akan mempelajari secara lebih mendalam sekiranya anda ingin menunaikan ibadat haji ke Mekah. Mengerjakan ibadat haji ini tidaklah terlalu sukar, kerana keseluruhan ibadat ini bergantung kepada perbuatan.


Semoga Islam dan iman menerangi hati sanubari dan jiwa nurani anda sekalian…

Wassalam

Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani

No comments:

Post a Comment