PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Monday 18 April 2011

PENGAJIAN UNTUK BUKAN ISLAM: MEMAHAMI DUA KALIMAH SYAHADAT

1. PENGENALAN

Anda perlu memahami perkataan dan maksud dua kalimah syahadah dengan sebaik-baiknya. Anda perlu yang  memerhati dan meneliti kalimah tersebut dengan perasaan hati yang suci, kerana hanya dengan kalimah tersebut seseorang itu menjadi Islam. Perkataan tersebut mengandungi rangkap, pertama: LAA ILAHA ILALLAH dan rangkap yang kedua pula: MUHAMMADUR RASULULLAH. Perkataan LAA ILAHA ILLALLAH membawa maksud: Tiada Tuhan yang sebenar-benar melainkan Allah, manakala perkataan MUHAMMADUR RASULULLAH pula membawa maksud: Muhammad adalah rasul dan pesuruh Allah yang akhir.

2. DUA KALIMAH SYAHADAH
Kalimah ini muncul ke dalam diri anda apabila anda melapazkan melalui ucapan lidah, kalimah ini akan meresap masuk ke dalam diri anda dan di waktu itu anda akan dapat mengecapi serta menghayati betapa indahnya kalimah itu. Walaupun kalimah ini ringkas hanya dua patah perkataan sahaja, namun di dalamnya mengandungi keseluruhan ajaran Islam. Di dalam kalimah tersebut mengandungi keseluruhan syari’at dan upacara keagamaan yang dijelmakan oleh Allah untuk penghayatan hidup manusia. Di dalam kalimah itu juga munculnya titik dan noktah yang menandakan permulaan perjalanan hidup seseorang manusia melalui sebuah pengabdian yang luhur terhadap ketuhanan Allah. Di dalam kalimah itu juga akan munculnya pengakhiran hidup manusia yang menunjukkan bahawa riwayat hidup manusia akan ditamatkan dengan kalimah itu. Hanya dengan kalimah ini, sudah cukup untuk meletakkan diri anda menjadi muslim dan beriman dengan ketuhanan Allah. Kalimah ini telah meletakkan harga diri anda bahawa anda sekarang mempunyai nilai yang tinggi di sisi Allah, anda sekarang telah mendapat penghargaan yang mulia di sisi Allah, anda sekarang telah mendapat pengiktirafan dari Allah dengan sebab kalimah yang  anda ucapkan itu bahawa anda sekarang adalah seseorang muslim. Ini menunjukkan, bahawa Agama Islam itu adalah agama yang ringkas, mudah dan simple saja, agama yang dapat diterima oleh semua golongan manusia dan semua lapisan masyarakat, agama yang tidak menyusahkan dan tidak menyukarkan untuk dianuti.

3. SYAHADAH KETUHANAN
Setelah anda memahami perkataan dua kalimah syahadah, di sini kami akan membicarakan satu persatu kalimah tersebut. Kalimah pertama ialah LAA ILAHA ILLALLAH yang membawa pengertian Tiada Tuhan yang sebenar-benar melainkan Allah. Apabila kita membicarakan tentang persoalan ketuhanan, di sana kita perlu memahami bahawa kita sekarang adalah hambaNya dan kita adalah sebahagian daripada makhluk ciptaanNya. Kita semua berada dalam perhatianNya dan kawalan rahmatNya. Dia sekarang  sentiasa memerhati gerak langkah kita, bahkan niat kita di dalam hati sanubari. Dia mengetahui apa saja yang kita lakukan dan apa saja yang kita sembunyikan. Jika demikian, tiada sebab mengapa manusia durhaka kepada Allah, tiada sebab mengapa manusia melakukan maksiat kepada Allah dan tiada sebab manusia kufur kepada Allah dan nikmatNya, sedangkan dia tahu bahawa Allah itu Maha Melihat apa yang manusia lakukan. Maka dengan sebab itu, kalimah LAA ILAHA ILLALLAH ini merupakan kalimah ketuhanan yang menyatakan keesaan Allah dan kekuasaanNya. Anda perlu memahami di sini, di dalam kalimah tersebut ada menafikan tuhan-tuhan yang lain selain dari Allah. Bererti, anda wajib menafikan tuhan-tuhan yang lain selain dari Allah seperti patung berhala sebagai tuhan, dewa dewi sebagai tuhan dan lain-lain lagi. Anda juga wajib menafikan, bahawa di sana tiada lagi kekuasaan lain selain dari kekuasaan Allah. Maka dengan sebab itu, anda wajib menafikan wujudnya kekuasaan lain yang setanding atau yang lebih hebat dari kekuasaan Allah seperti kekuasaan hantu syaitan, kekuasaan jin dan jembalang, kekuasaan pawang dan dukun dan sebagainya. Anda saksikan sendiri, patung-patung berhala yang  dianggap sebagai tuhan dan menjadi sembahan manusia kuno sebelum ini ada yang kelihatan retak dan terpaksa dibaiki-pulih, ada yang telah hancur musnah dan ada yang terpaksa dibina baru. Seandainya patung-patung berhala itu benar-benar tuhan atau jelmaan dari tuhan, sudah tentu ianya kekal abadi. Tetapi, mengapa ianya tidak kekal, tidak kukuh dan tidak utuh..? Tidak sepatutnya terjadi demikian seandainya patung-patung berhala tersebut sebagai tuhan atau jelmaan dari tuhan. Ini menunjukkan bahawa patung-patung berhala itu adalah bikinan manusia dan bukan tuhan atau bukan jelmaan dari tuhan.

Mungkin anda pernah mendengar kisah Fir’aun yang mengaku sebagai tuhan, dialah satu-satunya manusia yang mencipta sejarah dalam tamaddun kemanusiaan yang mengaku  dirinya menjadi tuhan dan mempunyai kuasa seperti tuhan. Tetapi, akhirnya dia dibinasakan Allah dan mati di dalam Lautan Merah dalam keadaan hina.

Anda juga mungkin pernah mendengar Qarun yang mempunyai harta kekayaan yang melimpah-ruah sehingga anak kunci gedung perniagaannya terpaksa dibawa oleh kuda. Dia mempunyai kuasa menerusi kekayaannya, tetapi akhirnya dia dibinasakan oleh Allah dengan ditelan ke dalam perut bumi di suatu tempat bernama Fayoum di Mesir.

 Kalimah tersebut juga menyatakan bahawa Allah itu adalah sebenar-benar Tuhan, Dialah Allah Tuhan Yang Satu, Tuhan Yang Maha Esa dan Tuhan Yang Maha Agung, Dialah Allah Tuhan kepada sekalian manusia di atas dunia ini, bahkan Dialah Tuhan kepada sekalian alam dan Tuhan sekalian makhluk yang ada di alam ini. Dialah Allah Tuhan Yang Maha Berkuasa, Yang Maha Pencipta dan Maha Bijaksana, tiada kekuasaan lain yang lebih hebat dan setanding dengan kekuasaan Allah.

Firman Allah Ta'ala:
قُلْ هُوَاللهُ اَحَد اللهُ الصَّمَد لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُوْلَدْ وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا اَحَد
Maksudnya: " Katakan (wahai Muhammad!) Allah adalah Tuhan Yang Maha Esa, Dia adalah tempat pergantungan, Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan, tiada sesuatupun yang mempunyai persamaan denganNya ”( Al Ikhlas: 1-4).


4. SYAHADAH KENABIAN
Anda perlu memahami, bahawa pengakuan keislamanan anda tidak akan sempurna dan tidak akan diiktiraf sekiranya anda tidak menjelmakan pengakuan kedua iaitu MUHAMMADUR RASULULLAH. Maka, penjelmaan Syahadah Ketuhanan dan Syahadah Kenabian ini ke dalam hati sanubari dan jiwa nurani merupakan syarat sah Islam dan iman seseorang itu. Tanpa kedua-dua pengakuan ini, Islam dan iman itu tidak akan diterima sama sekali oleh Allah. Anda wajib percaya dengan pengakuan syahadah ini anda mesti yakin bahawa Muhammad s.a.w. itu adalah seorang rasul dan seorang nabi, baginda adalah seorang pesuruh dan utusan Allah di akhir zaman yang bertujuan membawa manusia supaya beriman kepada Allah, Tuhan Yang Satu. Baginda adalah seorang rasul dan nabi yang diutuskan oleh Allah sebagaimana rasul-rasul dan nabi-nabi yang diutuskan oleh Allah sebelum ini. Baginda adalah seorang yang membawa amanah ketuhanan untuk disebarkan kepada manusia. Sebab itu, baginda membawa bingkisan dakwah itu kepada ummat manusia dengan sebuah Al Quran yang menjadi perlembagaan hidup mereka. Tugas dan tanggungjawab baginda ialah membawa manusia keluar dari kegelapan kepada cahaya petunjuk yang terang benderang. Baginda hanya mengajak manusia beriman kepada Allah, Tuhan Yang Maha Esa. Justeru, baginda juga bertanggungjawab menyebarkan Islam sebagai agama yang diiktiraf oleh Allah. Hanya Islam sahaja agama yang boleh diterima-pakai oleh Allah. Adapun agama-agama lain dan kepercayaan-kepercayaan lain yang ada sebelum ini tidak diiktiraf oleh Allah.

Baginda bertanggungjawab bergerak dan berjuang menyebarkan agama Allah di atas nama Islam, iaitu agama yang dicipta oleh Allah sendiri. Mungkin anda pernah mendengar, bahawa Agama Islam ini dicipta oleh Muhammad s.a.w. tetapi perkara itu tidak benar sama sekali, kerana Agama Islam adalah agama yang direka-cipta oleh Allah sendiri.

5. KESIMPULAN
Dengan sebab itu, anda wajib yakin dan percaya bahawa Muhammad s.a.w. itu adalah seorang rasul dan nabi akhir zaman dan tiada lagi rasul atau nabi sesudah baginda. Anda perhatikan sendiri, para sahabat yang berjuang bersama-sama baginda di atas nama Islam sanggup berkorban nyawa demi mempertahan Islam dan keyakinan hidup mereka terhadap Allah, kerana mereka tahu bahawa mereka akan mendapat kebahagiaan di hari akhirat nanti.

Semoga Islam dan iman menerangi hati sanubari dan jiwa nurani anda sekalian…

Wassalam

Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani

No comments:

Post a Comment