Sesungguhnya
i’jaz al-Qur’an dapat digambarkan sebagai program ‘anti virus’ terhadap
tentangan yang dicipta oleh bikinan tangan manusia, segala daya usaha dan nilai
harga diri manusia dapat dilumpuhkan apabila cuba mencabul keunggulan al-Qur’an.
I’jaz juga sebuah fenomena yang sarat dengan ancaman dan tuduhan yang tidak
dapat ditandingi.[1] Ianya
mencetuskan ukiran yang tidak terpahat oleh pandangan akal yang disifatkan
sebagai perkara yang menyalahi adat yang sedikitpun tidak bias dilakukan oleh
siapapun yang mengingkarinya.[2]
Di antara lain tujuan i’jaz al-Qur’an
ialah untuk membuktikan bahawa Nabi Muhamad s.a.w. adalah benar-benar
utusan Allah dan membuktikan kebenaran al-Qur’an adalah wahyu dari Allah
Ta’ala. Justeru, i’jaz juga ingin mempamirkan kelemahan bahasa manusia, para
sasterawan, para pujangga dan pakar-pakar bahasa Arab bahawa mereka semua tidak
mampu menandingi bahasa al-Qur’an. Perkara ini menunjukkan bahawa manusia
adalah makhluk yang lemah dan tidak mempunyai apa-apa kekuatan, kesombongan tidak
sekali-kali dapat membina keupayaan.[3]
TINJAUAN I’JAZ DARI SUDUT ILMIAH
Apa
yang dimaksudkan dengan i’jaz al-Qur’an dari
sudut ilmiah ialah anjuran dan stimulasi al-Qur’an kepada manusia agar selalu berfikir mengenai
hakikat diri dan kejadian alam semesta yang melingkari mereka.[4] Hakikat ilmiah yang dilakarkan dalam al-Qur’an
kebanyakannya dihuraikan dalam bentuk fakta dan penyataan singkat, tetapi sarat
dengan makna. Para ilmuan telah membuat kajian tentang alam dengan mengemukakan
pengetahuan yang masih belum ditemui, tetapi al-Qur’an pada dasarnya telah memberikan isyarat
tentang perkara tersebut dan al-Qur’an sendiri
tidak mempunyai pertentangan dengan penemuan-penemuan baru yang dihasilkan
melalui penelitian ilmiah.
Sebagai contohnya, al-Qur’an berbicara mengenai awan
dan proses pembentukan hujan dimulai dengan pembentukan awan
tebal kerana adanya dorongan angin sedikit demi sedikit, sebagaimana yang
dijelaskan dalam sepotong ayatnya:
أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ يُزْجِي
سَحَابًا ثُمَّ يُؤَلِّفُ بَيْنَهُ ثُمَّ يَجْعَلُهُ رُكَامًا فَتَرَى الْوَدْقَ
يَخْرُجُ مِنْ خِلالِه[5]
Maksudnya: “Tidakkah engkau melihat
bahawasanya Allah mengarahkan awan bergerak perlahan-lahan, kemudian Dia
mengumpulkan kelompok-kelompoknya, kemudian Dia menjadikannya tebal berlapis-lapis,
selepas itu engkau melihat hujan turun dari celah-celahnya (awam)”.
Para ilmuan
kemudian menjelaskan bahawa awan tebal bermula dari dorongan angin yang
mengiringi awan-awan kecil dan pergerakan bahagian awan ini menyebabkan
bertambahnya jumlah wap air dalam perjalanannya. Perkara ini merupakan mukjizat
‘ilmiah dan perkara ini telah diperakui oleh Maurice Bucaille dalam bukunya, ‘Pengajian
Kitab Suci Dalam Cahaya Pengetahuan Moden’ di bawah tajuk: ‘Kuasa Udara’
telah menyatakan bahawa aliran elektrik dalam udara terhasil dari kilat dan
hujan. Walaupun terdapat pelbagai kajian ‘ilmiah
yang dipaparkan oleh al-Qur’an, tetapi tujuan itu semua hanya untuk menunjukkan
kebesaran Tuhan dan keunikan al-Qur’an itu sendiri.[6]
Syeikh Mahmud Syaltut pernah
menyatakan dalam tafsirnya bahawa Tuhan tidak menurunkan al-Qur’an untuk menjadi suatu kitab yang menerangkan
kepada manusia mengenai teori-teori ilmiah atau permasalahan seni atau aneka
warna ilmu pengetahuan, melainkan ianya adalah sebagai kitab petunjuk,
pengislahan dan tasyri’ perundangan.[7] Kebenaran ilmiah pada asasnya berpijak
kepada kekuatan i’jaz al-Qur’an itu sendiri yang bertujuan untuk mengukuhkan
lagi nilai pengabdian hamba kepada
ketuhanan Allah.
Contohnya,
persoalan yang dikemukakan oleh seorang
sahabat r.a. yang bertanya mengenai bulan yang kadang-kadang kecil, kemudian
membesar sehingga menjadi purnama.[8] Pertanyaannya itu telah dijawab oleh al-Qur’an dalam ayatnya:
يَسْأَلُونَكَ
عَنِ الأهِلَّةِ قُلْ
هِيَ مَوَاقِيتُ لِلنَّاسِ وَالْحَجِّ[9]
Maksudnya: “Mereka bertanya
kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah:
(Peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan)
manusia, khususnya ibadat Haji”.
Sekian, wassalam
Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani
[1] Jalaludin as-Suyuthi. (t.th). al-Itqon fi ulumi al-Quran, juz:
2, hlm: 311.
[2] Thahir bin Shalih al-Jazari. (t.th). Jawahirul Kalamiyah fi Idhohil
Aqidatul Islamiyah. hlm: 26.
[3] H. Abdul Jalal H. A. 2000. Ulumul Qur’an, hlm:
270.Surabaya: Dunia Ilmu.
[4] Mansur Hasbunabi, Al-Kaun Wa Al-I’jaz Fi Al-Quran, hlm.
19-20.
[5] Al-Quran, Surah An-Nur:24 : 43
[6] Sa'id Hawwa. 1989. al-Asas
Fi at-Tafsir, jil: 9, hlm: 3781-3791.
[7] Syeikh Mahmud Syaltut. (t.th). Tafsir
al-Qur’an al Karim, hlm: 21-22.
[8] Abu Laith Nasr bin Ahmad bin Ibrahim al
Samarqandi. 1993. Tafsir al-Samarqandi,
juz: 1, hlm: 188.
[9] Al Quran,
Surah al-Baqarah: 2:189.
No comments:
Post a Comment