PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Sunday 29 July 2012

TINJAUAN I’JAZ DARI SUDUT KEINDAHAN SUSUNAN KATA



Al-Qur’an yang diturunkan oleh Allah bukan sahaja kitab yang mengandungi peraturan dan undang-undang serta hukum-hakam, bahkan ianya mempunyai nilai bahasa yang tinggi dan susunan kata yang sungguh menarik. Penerangan mengenai peraturan dan undang-undang serta hukum-hakam itu dihuraikan dalam bentuk keindahan bahasa yang teratur, dengan uslub dan gaya bahasa yang menarik dan mudah difahami, diolah mengikut elemen perundangan untuk mencapai maksud dan tujuan yang hendak disampaikan. Walaupun terdapat ayat-ayatnya yang ringkas dan bersahaja, tetapi ianya padat dengan isi pengajaran dan nilai-nilai balaghah yang bermutu tinggi.

1. Singkat Dan Padat
Kei’jazan ayat-ayat al-Qur’an yang ditinjau dari sudut keindahan susunan kata dapat disaksikan dalam pelbagai bentuk dan rupa. Di antaranya ialah  ayat-ayat ayat-ayat yang pendek dan singkat,[1] tetapi padat dan sarat dengan makna. Sebagai contoh, firman Allah yang terdapat dalam Surah al-Fatihah, ayat 5:

Firman Allah Ta’ala:

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ

Maksudnya: “Hanya Engkaulah yang kami abdikan dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan”.

            Ayat tersebut ringkas sahaja yang diulang-ulang perkataan (إِيَّاكَ) sebanyak dua kali. Dengan kalimah (إِيَّاكَ نَعْبُدُ) - “Hanya Engkaulah yang kami abdikan..”  bahawa Allah membatasi segala pengabdian atau ubudiyah hanya kepada diriNya semata-mata. Melalui ayat ini seseorang hamba hendaklah memutuskan bahawa pengabdian hanyalah semata-mata Allah, tidak harus nilai-nilai pengabdian itu dikait-kaitkan selain dari Allah. Pengabdian merupakan bentuk ketundukan hamba kepada Allah untuk mengikuti segala perintah dan meninggal segala laranganNya.[2]   Setelah menyebut: (إِيَّاكَ نَعْبُدُ) - “Hanya Engkaulah yang kami abdikan..”, lantas al-Qur’an menyebut pula: (وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ) - “Dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan. Perkara ini menunjukkan pengertian bahawa seseorang hamba itu tidak sekali-kali mengabdikan diri dan tidak akan percaya tuhan-tuhan selain dari Allah, dia juga tidak akan sekali-kali meminta apa-apa bentuk pertolongan atau bantuan selain hanya kepada Allah. Tujuan diletakkan kalimah (نَسْتَعِينُ) ‘minta pertolongan’ selepas kalimah (نَعْبُدُ) ‘pengabdian’ merupakan bentuk sopan santun ayat dalam pembahasaannya supaya mengabdikan diri kepada Allah terlebih dahulu, kemudian barulah meminta pertolongan kepadaNya. Dengan kata lain, sudah selayaknya seseorang hamba meminta sesuatu setelah dia terlebih dahulu mengerjakan apa yang diperintahkan. Adalah tidak beradab jika seseorang hamba meminta segala sesuatu terlebih dahulu, padahal dia belum melaksanakan apa yang diperintahkan.[3]  

2. Keindahan Dan Makna Yang Tepat
Ayat-ayat al-Qur’an mempunyai keindahan dari sudut susunan perkataan yang membawa kepada makna yang tepat,[4] sekalipun ayat-ayatnya pendek, hanya terdiri beberapa patah perkataan sahaja. Mari kita lihat contoh ungkapan ayat, sebagaimana yang terdapat dalam Surah Maryam, ayat 4:

وَاشْتَعَلَ الرَّأْسُ شَيْباً

Maksudnya: “Dan kepala ini dipenuhi dengan rambut uban”

            Susunan perkataan di atas memiliki keunggulan dan kekuatan yang tersendiri untuk menggambarkan tentang makna yang syumul dan menyeluruh. Ayat ini berkaitan dengan kisah Nabi Zakaria a.s. yang berdoa kepada Allah agar dikurniakan seorang anak lelaki untuk mewarisi risalah kenabian. Usia Nabi Zakaria a.s. sangat tua, sehingga rambut yang ada di atas kepala semuanya uban, tidak ada seuratpun yang berwarna hitam. Jumlah perkataan yang digunakan dalam susunan ayat tersebut hanya tiga patah perkataan sahaja, tetapi memiliki makna dan pengertian yang amat tepat. Makna syumul ayat di atas tidak akan tercakup apabila ungkapan atau gaya bahasa lain disusun seperti: (واشتعل شيب الرأس) ataupun (واشتعل الشيب في الرأس) kerana ianya memberi pengertian ‘ihtimal’ dan tidak menyeluruh, iaitu boleh jadi rambut itu uban semua ataupun sebahagiaan sahaja uban.

3. Nada Dan Irama Seimbang
Al-Qur'an mempunyai susunan kata dan kalimah yang seimbang, di samping memiliki nada dan irama yang sehaluan dengan makna dan pengertiannya. Nada dan kandungan maknanya berjalan seiring mengikut urutan cerita yang sentiasa kait-mengait dan bersambungan di antara satu sama lain, tidak mengandungi apa-apa kecacatan atau ‘litar pintas’. Ayat-ayat al-Qur'an sebagaimana yang ditegaskan bahawa ianya bukan irama syair atau puisi, tetapi memiliki keunikan dalam irama dan alunannya.[5] Mari kita lihat contoh beberapa ayat dalam Surah al-'Adiyat:

وَالْعَادِيَاتِ ضَبْحًا فَالْمُورِيَاتِ قَدْحًا[6]

Maksudnya: “Demi Kuda-kuda yang tangkas berlari dengan kedengaran nafasnya kencang dan demi kuda yang mencetuskan api dari hentakan kakinya”.

            Perkataan (العَادِيَاتِ) mempunyai imbangan yang sama dengan perkataan (المُورِيَاتِ), manakala perkataan (ضَبْحًا) itu juga mempunyai imbangan yang sama dengan perkataan (قَدْحًا), sama ada dari sudut bilangan huruf yang sama, nada dering yang sama, imbangan wazan yang sama. Kedudukan nada dan irama yang seimbang membawa kepada nilai makna dan qira’at yang seimbang. Dalam ayat di atas, Allah bersumpah dengan kuda-kuda yang tangkas berlari dengan kedengaran nafas yang keluar dari hidungnya kencang. Perkataan (الْعَادِيَات) diambil daripada kata dasarnya (الْعَدْوُ) ertinya melampaui sempadan. Musuh dalam bahasa Arab disebut ( عَدُوّ) kerana kegiatannya yang melampaui batas. Manakala perkataan (الْعُدْوَان) ertinya permusuhan kerana wujud padanya unsur-unsur keterlaluan. Larian yang pantas dan cepat disebut sebagai (الْعَدْوُ) ertinya berlari-lari, padanya juga wujud unsur-unsur keterlaluan dan melampaui batas-batas kesederhanaan. Perkataan (ضَبْحًا) pula ertinya suara nafas kuda-kuda yang kencang berlari tanpa mengenal erti penat dan lelah.

            Dalam kalangan mufassirin berbeza pendapat untuk menentukan mausuf yang disifatkan dengan al-`Adiyat di sini, sama ada kuda, unta atau awan yang berarak laju dari satu kawasan ke kawasan yang lain. Ibn Abbas, Atha`, Mujahid, Ikrimah, al-Hasan, Qatadah dan lain-lain mereka berpendapat bahawa apa yang dimaksudkan dengan al-`Adiyat di sini ialah kuda-kuda perang yang tangkas berlari sehingga mengeluarkan suara dengusan. Ibn Abbas menyatakan, tiada haiwan berdengus kerana penat berlari melainkan kuda, anjing dan tha`lab. [7]

            Manakala Ali bin Abu Talib, Ibn Mas`ud, Muhamad Ibn Ka`ab dan al-Suddi berpendapat bahawa apa yang hendak dimaksudkan dengan al-`Adiyat di sini ialah unta yang membawa jemaah haji dari Arfah ke Muzdalifah dan seterusnya ke Mina. Mereka memperkukuhkan pendapat ini kerana surah ini diturunkan dalam perjalanan haji pada tahun meletusnya peperangan Badar. Pendapat ini menolak al-`Aadiyat dengan erti kuda kerana dalam peperangan ini hanya dua ekor kuda sahaja bersama mereka, iaitu kepunyaan al-Zubair bin Awwan dan seekor lagi kepunyaan al-Miqdad ibn al-Aswad, sedangkan al-`Adiyat menunjukkan sekurang-kurangnya tiga ekor kuda.[8] Seorang pakar dalam ilmu tafsir di Mesir bernama Syeikh Amru al-Sya`ir berpendapat, yang dimaksudkan dengan al-`Aadiyat ialah awan mendung yang membawa hujan dan berarak laju dari tempat ke tempat serta mengeluarkan suara angin yang menderu.[9] Imam al-Razi dan kebanyakan mufassirin mentarjihkan pendapat pertama dan serasi dengan asbab nuzul surah ini di Madinah selepas keizinan berperang. [10] 

4. Fakta Yang Memuaskan Perasaan Para Pengkaji[11]
Apabila kita membaca sesuatu artikel, di sana pasti kita akan dapat menilai beberapa kelemahan yang terdapat dalam tulisan tersebut, sama ada kelemahan dari sudut salah ejaannya, kelemahan penggunaan perkataan yang tidak tepat, kelemahan gaya bahasa yang kurang menarik, kelemahan makna yang tidak menepati maksud dan lain-lain lagi. Namun, apabila kita membaca al-Qur’an dan mendalami makna serta pengertiannya, maka di sana pasti kita akan dapat memetik beberapa pengajaran yang baik untuk dihayati dan kita tidak pernah terlintas di sudut hati kita untuk mempertikai kesahihan ayat-ayat al-Qur’an kononnya mengandungi kesalahan atau kesilapan.

            Sebagai contoh, mari kita melihat fakta peristiwa banjir besar yang berlaku pada zaman Nabi Nuh a.s. yang mencetuskan ilham kepada para pengkaji. Nabi Nuh a.s. telah diarahkan oleh Allah untuk membuat sebuah kapal bagi memuatkan umat manusia dan binatang ketika itu daripada dibiarkan mati lemas.

Firman Allah Ta’ala:

وَاصْنَعِ الْفُلْكَ بِأَعْيُنِنَا وَوَحْيِنَا وَلاَ تُخَاطِبْنِي فِي الَّذِينَ ظَلَمُوا إِنَّهُمْ مُغْرَقُونَ وَيَصْنَعُ الْفُلْكَ وَكُلَّمَا مَرَّ عَلَيْهِ مَلأُ مِنْ قَوْمِهِ سَخِرُوا مِنْهُ  قَالَ إِنْ تَسْخَرُوا مِنَّا فَإِنَّا نَسْخَرُ مِنْكُمْ كَمَا تَسْخَرُونَ[12]
Maksudnya: “Dan binalah bahtera dengan pengawasan dan dengan panduan wahyu Kami (tentang cara membuatnya), janganlah kamu merayu kepada Ku untuk menolong kaum yang zalim itu, kerana sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan, dan Nabi Nuh pun membuat bahtera itu dan setiap kali dalam kalangan kaumnya melalui tempat dia membina bahteranya, mereka mengejek-ejeknya, Nabi Nuh menjawab: Jika kamu mengejek kami (kerana membuat bahtera), maka kami juga mengejek kamu (kerana keengkaran kamu), sebagai balasan ejekan kamu” .

            Sesungguhnya Nabi Nuh a.s. merupakan orang yang pertama di dunia ini membina kapal pengangkutan di bawah pengawasan Allah. Kisah Nabi Nuh a.s. ini telah memberi ilham kepada perusahaan pembinaan kapal di seluruh dunia bagaimana sesebuah kapal itu boleh terapung-apung di permukaan air tanpa dimasuki air dan tidak tenggelam, bagaimana ianya boleh menampung bebanan dan muatan yang berat tanpa menjejaskan keutuhan kapal tersebut, bagaimana pula cara mengemudikannya sehingga boleh belayar mengikut haluan yang dituju, bagaimana struktur pembinaan sesebuah kapal itu berada dalam keadaan seimbang sehingga boleh meluncur ke hadapan dan tidak terumbang-ambing, bagaimana pula dengan jenis-jenis kayu atau bahan-bahan yang digunakan dalam pembinaannya itu boleh bertahan bertahun-tahun lamanya, bagaimana kerangka pembinaannya dapat menahan dari dilambung ombak dan badai, dari ribut dan taufan serta tidak menjejaskan strukturnya dan banyak lagi perkara-perkara lain..!

            Hasil pendedahan Al Quran ini tentang pembuatan bahtera Nabi Nuh a.s. kita dapat saksikan, bahawa kapal sekarang telah menjadi kenderaan pengangkutan yang sangat penting untuk membawa barang-barang yang banyak.
           
5. Tidak Mempunyai Percanggahan
Di sana terdapat banyak ayat-ayat al-Qur’an yang menceritakan tentang kejadian manusia dari tanah, iaitu Nabi Adam a.s. Tetapi paparan dan huraian ayat-ayat tersebut kelihatan seolah-olah wujudnya percanggahan di antara satu sama lain. Orang-orang orientalis menggunakan ayat-ayat ini untuk melemparkan dakyah dan propaganda yang kononnya terdapat percanggahan dan pertentangan di antara ayat dengan ayat yang lain. Mari kita saksikan satu persatu ayat-ayat yang dimaksudkan itu.

            Dalam Surah al-Rahman, ayat 14, manusia dijadikan dari sejenis tanah yang kering seperti tembikar:

خَلَقَ الإنْسَانَ مِنْ صَلْصَالٍ كَالْفَخَّارِ[13]

Maksudnya: “Dia (Allah) menjadikan manusia dari tanah kering seperti tembikar (tanah yang dibakar).”


            Dalam Surah al-Hijr, ayat 28, manusia dijadikan dari tanah liat kering dan lumpur hitam yang berbentuk:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلائِكَةِ إِنِّي خَالِقٌ بَشَرًا مِنْ صَلْصَالٍ مِنْ حَمَإٍ مَسْنُونٍ[14]

Maksudnya: “Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat kering dan lumpur hitam yang berbentuk (berupa)”.


            Dalam Surah al-Sajadah, ayat 7, Allah Ta’ala memulakan penciptaan manusia dari tanah:

الَّذِي أَحْسَنَ كُلَّ شَيْءٍ خَلَقَهُ وَبَدَأَ خَلْقَ الإنْسَانِ مِنْ طِينٍ[15]

Maksudnya: “Dialah Allah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya dan dimulakan kejadian manusia berasal dari tanah”.


            Manakala dalam Surah al-Safaat, ayat 11, manusia hanya dicipta dari tanah liat sahaja:

إِنَّا خَلَقْنَاهُمْ مِنْ طِينٍ لاَزِبٍ[16]

Maksudnya: “Sesungguhnya Aku mencipta manusia daripada tanah liat”.

           
            Di dalam Surah Ali ‘Imran pula, ayat 59, Allah mencipta Nabi Adam a.s. dari tanah liat, lalu terbentuk lembaga Adam a.s.

خَلَقَهُ مِنْ تُرَابٍ ثُمَّ قَالَ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ[17]

Maksudnya: “Allah menciptakan Adam dari tanah, kemudian Allah berfirman kepadanya : Jadilah (seorang manusia), maka jadilah ia”.


            Dalam Surah al-Hijr, ayat 29, al-Qur’an menceritakan tentang penyempurnaan proses kejadian manusia dan kemudian ditiupkan roh padanya:

فَإِذَا سَوَّيْتُهُ وَنَفَخْتُ فِيهِ مِنْ رُوحِي فَقَعُوا لَهُ سَاجِدِينَ[18]

Maksudnya: “Maka apabila Aku telah menyempurnakan kejadiannya, dan telah meniupkan ke dalam roh (ciptaan) Ku."


            Perlu dihuraikan mengenai apa yang dimaksudkan dengan perkataan 'sal sal' dalam Surah al-Rahman, ayat 14 ialah 'tanah kering' atau setengah kering' iaitu 'zat pembakar' (oksigen), manakala perkataan 'fakhkhar' pula dimaksudkan sebagai 'zat arang' (carbonium). Dalam Surah al-Hijr ayat 28 juga ada menyebut 'sal sal', manakala perkataan 'hamaa in' ialah sejenis 'zat lemas' (netrogenium). Dalam Surah al-Sajadah ayat 7 pula menyebut 'thin' iaitu tanah yang merupakan ‘atom zat air' (hydrogenium). Dalam Surah al-Safaat, ayat 11 disebut perkataan ‘lazib’ iaitu 'zat besi' (ferrum). Dalam Surah Ali Imran ayat 59 disebut perkataan 'turab' iaitu unsur-unsur zat anorganis. Dalam Surah al-Hijr, ayat 29 adalah penyempurnaan kejadian manusia dan kemudian ditiupkan ke dalamnya roh untuk membolehkan ianya terus hidup. Ketujuh-tujuh ayat al-Qur’an tadi, Allah telah menunjukkan tentang proses kejadian Nabi Adam a.s. sehingga terbentuk jasad dan tubuh badan manusia lalu ditiupkan kepadanya roh sehingga terbentuk manusia bernyawa. Proses kejadian manusia ini melalui adunan 'zat arang' (carbonium), 'zat lemas' (nitrogenium), 'zat air' (hydrogenium), 'zat besi' (ferrum), yodium, kalium, silicium dan mangaan, yang disebut 'laazib' (zat-zat anorganis). Dalam proses persenyawaan terbentuklan zat yang dinamai protein. Al-Qur’an telah menerangkan proses asal kejadian jasmani hingga kepada rohani dan akhirnya ditiupkan roh untuk membolehkan manusia terus hidup.

            Adakah ayat-ayat ini ciptaan Nabi Muhamad s.a.w..? Maka tentu sekali tidak, dan perkara ini menolak dakwaan orientalis bahawa al-Qur’an itu tulisan dan buah fikiran baginda s.a.w.


Sekian, wassalam



Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani


[1] M. Quraish Shihab. 2007. Mukjizat Al-Quran, hlm: 124 -126.[2]  Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi, Tafsir asy-Sya’rawi, juz 1, hlm:  3.[3]  Muhammad Sayyid Thanthawi, at-Tafsir al-Wasith,  juz 1, hlm:. 6.[4] Dr. Subhi ash-Sholih, Mabakhith fii 'ulum al- Qur’an, hlm: 314-315: Jakarta: Dinamika Barokah Utama.[5]  Azzah Zain al-Hasani. 2007. Al-Quran Puncak Selera Sastra, hlm: 86. Surakarta: Ziyad, 2007.
[6]  Al-Qur’an, Surah al-Adiyat: 100: 1-2[7]   Ma`alim al-Tanzil, jil: 8, hlm: 505.
[8]  Tafsir al-Tabari, jil: 30, hlm: 271-273.
[9]  www.amrullah.com 20/8/2010.
[10]  Tafsir al-Razi, jil: 20, hlm: 259.
[11]  M. Quraih Shihab, op cit, hlm: 127.[12] Al-Qur’an, Surah Hud:11: 37-38.[13] Al-Qur’an, Surah al-Rahman: 55: 14.[14] Al-Qur’an, Surah al-Hijr:15: 28.[15] Al-Qur’an, Surah al-Sajadah: 32:7.
[16] Al-Qur’an, Surah al-Safaat: 11:37.
[17] Al-Qur’an, Surah Ali ‘Imran, ayat 3:59.[18] Al-Qur’an, Surah al-Hijr: 15: 29.

No comments:

Post a Comment