Pada hakikatnya, tokoh-tokoh orientalis tidak memahami ajaran Islam
secara tepat, mereka tidak mengerti bahawa Islam bukanlah agama boleh difikir
dengan akal semata-mata. Mereka tidak dapat menerima hakikat bahawa al-Qur’an
adalah kitab perpaduan dan boleh menyelesaikan permasalahan hidup dan juga
boleh dijadikan perlembagaan hidup umat manusia. Mereka tidak mahu
menerima-pakai bahawa al-Qur’an sebagai aturan hidup untuk umat manusia,
sebaliknya mereka lebih suka berada dalam kemelut kesesatan walaupun mereka
tahu bahawa kitab Taurat dan Injil yang ada sekarang bukan lagi kitab asli yang
telah diubah-suai oleh para pendeta mereka. Mereka merasa dengki dan iri hati
terhadap al-Qur’an yang masih mampu bertahan dengan nilai keaslian dan
keunikannya, maka dengan sebab itu mereka berusaha mencari kelemahan-kelemahan
di dalam al-Qur’an. Golongan orientalis telah menerokai semua sekali bidang
dalam al-Qur’an, termasuk ilmu nahu, balaghah, qira’at, tafsir dan lain-lain
lagi.
Apabila mereka tidak dapat menemui kelemahan tersebut dan
tidak dapat membuktikan kelemahan itu
dari sudut ilmiah, lalu mereka membuat andaian sendiri dan mereka-cipta
kelemahan-kelemahan yang kononnya terdapat dalam al-Qur’an. Mereka berusaha
dengan gigih dengan membuat kajian dan analisa yang salah terhadap al-Qur’an
dan kemudian mengemukakan serangan yang bertalu-talu dan bertubi-tubi dari
pelbagai sudut untuk menggoncangkan kehujahan al-Qur’an sebagai dalil syari’at namun usaha mereka tidak berjaya dan menemui jalan buntu. Di antara sarjana Barat dan orientalis yang menerapkan metode
bahawa al-Qur’an sama dengan Bible ialah Abraham Geiger, Gustav Weil, William
Muir, Theodor Noldeke, W. Montgomery Watt, Kenneth Cragg, John Wansbrough dan
yang masih hidup seperti Andrew Rippin, Christoph Luxenberg, Daniel A. Madigan,
Haraid Motzki dan masih banyak lagi lainnya.[1]
Terdapat banyak faktor yang
menyebabkan kemunculan sikap buruk dan pemikiran negatif orientalis terhadap
Islam dan umat Islam, terutama terhadap al-Qur’an dan di bawah ini dinyatakan
beberapa faktor penting yang menyebabkan
munculnya tabiat buruk mereka:
1. Ekstremisme
Terhadap Ideologi Mereka
Para sarjana
orientalis dalam beberapa kajian mereka terhadap al-Qur’an dilihat sebagai
‘kajian berat sebelah’ kerana tidak amanah mewarnakan kajian mereka dengan
sebenar. Mereka cuba menidakkan kebenaran yang terdapat dalam al-Qur’an dan
sebaliknya cuba menegakkan kesalahan sebagai suatu realiti dalam kajian mereka.
Pertembungan dan percanggahan dalam kajian mereka mengenai al-Qur’an telah
menghasilkan warna yang sebenar bahawa kajian yang mereka lakukan itu bertujuan ‘sengaja mencari
pasal’, kerana mereka-cipta kesalahan atau kesilapan yang kononnya terdapat
dalam a-Qur’an. Namun demikian, kajian yang mereka lakukan itu telah membuka
kelemahan mereka sendiri, kerana tafsiran mereka terhadap al-Qur’an disifatkan
sebagai tidak masuk akal dan menyimpang jauh dari kebenaran.
Di
tengah-tengah keghairahan mereka menghentam al-Qur’an, di waktu yang sama
terdapat dalam kalangan tokoh-tokoh orientalis dan mereka yang berpengaruh
dalam agama Yahudi dan Kristian telah meninggalkan kedua-dua agama yang sesat
itu, sebaliknya menjadikan Islam sebagai suatu cara hidup dan meninggalkan
anutan lapuk mereka sebelum ini. Di antara mereka ialah Dr. Abdul Karim
Germanus[2]
yang berasal dari Hungary,[3]
Leopold Weiss atau nama Islamnya Muhamad Asad[4]
yang berasal dari keluarga Yahudi di Austria[5],
Margaret Marcus atau nama Islamnya Maryam
al-Jameelah[6] yang banyak mengarang buku-buku Islam termasuk ‘Islam
and Orientalism’[7], Muhamad Marmaduke
William Pickthal seorang novelis yang terkenal[8], Dr. Maurice Bucaille
seorang pakar bedah yang berasal dari Perancis[9], Michael Wolfe seorang
penerbit filem yang berasal dari keluarga Yahudi Kristian[10], Dr. Gary Miller yang merupakan pakar matematik
dari Kanada yang bergiat aktif dalam kerja-kerja misionari Kristian [11], Aminah As Silmi yang
merupakan bekas seorang Kristian Protestan dari kumpulan gereja Southern
Baptist dan aktivis kumpulan pembebasan wanita yang radikal [12] dan lain-lain lagi.[13]
Sebenarnya,
orientalis merupakan golongan ekstremis yang sangat taksub kepada ideologi
ciptaan mereka sendiri sehingga terlalu sukar untuk menerima pandangan dan
pendapat lain. Sikap dan fahaman ekstremisme terhadap ideologi mereka sendiri
telah disuarakan oleh beberapa tokoh orientalis ketika merumuskan hasil kajian
mereka terdapat al-Qur’an. Seorang orientalis bernama
Abraham Geiger telah berpendapat bahawa
al-Qur’an terpengaruh dengan Agama Yahudi ketika mengemukakan perkara yang
berkaitan dengan keimanan dan doktrin agama, peraturan-peraturan hukum dan
moral serta pandangan tentang kehidupan. Beliau juga berpendapat, cerita-cerita
yang terdapat dalam al-Qur’an tidak terlepas dari pengaruh Agama Yahudi.[14]
Adapun mengenai ayat-ayat al-Qur’an yang mengecam Yahudi, Geiger berpendapat
bahawa kecaman itu disebabkan Muhamad s.a.w. telah menyimpang dan salah faham
mengenai doktrin-doktrin dalam Agama Yahudi.[15]
Manakala John Wansbrough pula
berpendapat bahawa al-Qur’an merupakan hasil konspirasi di antara Muhamad s.a.w. dan pengikut-pengikutnya pada abad pertama
dan ajaran Islam yang secara sepenuhnya berada di bawah pengaruh Yahudi.[16]
Beliau menegaskan bahawa al-Qur’an sebagai wahyu yang diturunkan Tuhan kepada
Nabi Muhamad s.a.w. merupakan kesinambungan dari kitab Taurat dengan
menyatakan:
“Qur’anic adaption of Judae-Christian Satan
will not have been a consequence merely of autonamasia…..”[17]
Maka jelas sekali di sini, bahawa sikap taksub dalam kalangan orientalis
terhadap ideologi mereka menggambarkan fahaman ekstremisme sangat tebal dan
sukar dikikis. Ditambah pula dengan sikap benci dan dendam kesumat terhadap
Islam menyebabkan nilai-nilai dan harga diri mereka terpelanting jauh dari
kebenaran.
2.
Hubungan Orientalisme Dengan Yahudi, Kristian Dan Imperialis
Gerakan orientalis pada mulanya berdiri di atas pendeta-pendeta,
kemudian mereka mempunyai hubungan yang erat dengan kolonialis.[18] Gerakan
orientalis pada mulanya dipelopori Mubaligh Kristian dan Paderi, tetapi akhirnya bergandingan dengan
kehadiran imperialis Barat ke Dunia Islam untuk mengukuhkan penjajahan mereka
ke atas negara-negara jajahan tersebut. Dr Hamdi Zaqzuq menegaskan bahawa
motivasi keagamaan inilah menjadi pencetus utama bagi lahirnya gerakan
orientalisme[19].
Di antara tokoh orientalis yang
mementingkan ajaran ketimuran ini untuk tujuan pengkristianan ialah Roger
Bacon, beliau menganggap hanya melalui gerakan kristianisasi sahaja dunia
Kristian dapat diperluaskan. Pendapat beliau dikongsi bersama oleh Raymond Lull
yang merupakan salah seorang pensyarah Pengajian Bahasa Arab dipelbagai
pusat pengajian di Sepanyol. Tujuan kajian ketimuran pada masa itu
dan selepas itu merupakan proses kristianisasi sepertimana yang ditegaskan oleh
Rudi Paret, seorang orientalis Jerman yang terkenal.[20]
Perkara ini ditegaskan lagi oleh C.E. Bosworth bahawa sejarah orientalisme di
peringkat awal adalah sejarah pertarungan di antara
dunia Kristian Barat dalam kurun pertengahan dengan Dunia
Timur atau Islam dalam arena ideologi dan keagamaan[21].
Menurut al-Jabri bahawa peranan yang
paling serius yang dijalankan oleh orientalis
dalam memerangi Islam secara amalinya ialah dengan membina pusat pengajian dari
peringkat tadika hingga ke peringkat universiti yang mendidik
generasi baru umat Islam dari pelbagai lapisan masyarakat, mereka akan
dididik agar menafikan kerasulan Muhamad s.a.w.[22]
Philip K.
Hitti telah membuat kritikan terhadap Rasulullah s.a.w. dan agama Islam adalah
sama dengan apa yang dilakukan oleh orientalis terdahulu, Ignaz Goldziher.
Dalam bukunya yang berjudul ‘al-Aqidah
Wa Syariah Fi al-Islam’ beliau telah melontarkan tuduhan bahawa
Islam merupakan himpunan pengetahuan dan pandangan agama-agama lain yang
sengaja dipilih oleh Muhamad s.a.w. daripada Yahudi, Nasrani dan lain-lain.
Beliau juga menuduh agama Islam tidak mampu mempersatukan bangsa Arab dan
kabilah-kabilah lain yang mempunyai pelbagai upacara pengibadatan.[23]
Dengan tuduhan dan dakyah ini, mereka akan memainkan
elemen yang lebih hebat lagi untuk memutarbelitkan fakta yang sebenar dan
melemahkan Islam dari pelbagai sudut. Dalam masa yang sama mereka menonjolkan
dan menimbulkan kelebihan atau kehebatan orang Yahudi dan Kristian serta mendakwa
bahawa sumber Islam yang pertama adalah dari Yahudi dan Kristian. Gerakan
orientalis ini sememangnya untuk memusnahkan pemikiran umat Islam dan untuk
mencapai maksud itu mereka telah menggunkan perkhidmatan dan pergerakan
zionisme[24] untuk
menjatuhkan Islam dan melenyapkan al-Qur’an.
Menurut Kristian, Islam merupakan
masalah yang praktikal dan mendorong
berlakunya Perang Salib, malah mereka menganggap Islam sebagai faktor penyebab
berlakunya percanggahan pemikiran terhadap konsep ketuhanan mereka.[25]
Namun, gerakan orientalis bertambah hebat setelah Kristian mengalami kekalahan
dalam perang Salib. Mereka cuba mencari kelemahan-kelemahan umat Islam supaya
mudah untuk mereka takluki dan dalam masa yang sama mereka juga mencari
kekuatan-kekuatan umat Islam supaya mudah untuk mereka mencari punca kekuatan
tersebut yang bertujuan untuk melemahkannya. Keazaman mereka bertambah kukuh
apabila Kota Konstantinople telah jatuh ke tangan Kerajaan Uyhmaniah Turki pada
tahun 1453M. Orang-orang Barat membuat kajian bahawa satu-satunya agama yang
boleh mengalahkan Kristian adalah Islam, manakala agama-agama lain seperti
Buddha, Hindu, Majusi dan lain-lain lagi tidak begitu menggugat perkembangan Agama
Kristian. Untuk menghindarkan bahaya yang mengancam pengikut-pengikut agama
Kristian, mereka telah membuat keputusan bahawa aliran orientalisme perlu
dipergiatkan.[26] Dalam satu kenyataan yang lain, Philip K. Hitti yang lahir dalam keluarga Kristian di
Lubnan yang mendapat pendidikan dari Universiti Amerika di Beirut[27] pernah menuduh bahawa Nabi Muhamad
s.a.w. sebagai penipu besar.[28]
Sebenarnya, sikap permusuhan dan
tindak-tanduk orang-orang Yahudi dan Nasrani telahpun didedahkan oleh al-Qur’an
yang dianggap sebagai suatu amaran terhadap umat Islam agar mereka sentiasa
berhati-hati dan berwaspada terhadap ancaman Yahudi dan Nasrani.
Firman
Allah Ta’ala:
وَلَنْ
تَرْضَىٰ عَنْكَ الْيَهُودُ لاَ النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ[29]
Maksudnya: “Orang-orang
Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai
Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu)”.
3.
Menutup Kepincangan Dalam Taurat Dan Injil
Kajian
orientalis terhadap al-Qur’an tidak hanya mempersoalkan tentang elemen-elemen
utama sahaja, bahkan isu-isu lapuk yang selalu diangkat adalah berkaitan dengan
pengaruh Yahudi, Kristian, Zoroaster dan lain-lain lagi terhadap Islam dan isi
kandungan al-Qur’an. Mereka bermati-matian berusaha mengungkapkan apa saja yang
boleh dijadikan bukti bagi mewujudkan ‘teori pinjaman’ seperti dari literatur
dan tradisi Yahudi-Kristian ataupun membuat perbandingan dengan adat istiadat
jahiliyah, Romawi dan lain-lain. Biasanya mereka akan membuat tuduhan bahawa
cerita-cerita dalam al-Qur’an mempunyai banyak kekeliruan dan tidak sesuai
dengan versi Bible yang mereka anggap lebih akurat.[30]
Sebenarnya,
majoriti dalam kalangan cendekiawan Kristian telah lama meragukan keaslian
Bible. Ini kerana Bible yang ada di tangan mereka sekarang ternyata bukan lagi
kitab asli, kerana terlalu banyak campur tangan manusia di dalamnya sehingga
amat sulit sekali untuk membezakan catatan wahyu dengan catatan tangan manusia,
sebagaimana yang ditegaskan oleh Kurt Aland dan Barbara Aland:
“Until the beginning of the fourth century, the text of the New
Testament developed freely…. Even for later scribes, for example,
the parallel passages of the Gospels were so familiar that they would adapt the
text of one gospel to that of another. They also felt themselves free to make
corrections in the text, improving it by their own standard of correctness,
whether grammatically, stylistically, or more substantively.[31]
Goldziher, seorang orientalis yang
sangat keras menentang Islam btelah menyatakan bahawa Islam adalah agama yang
cenderung kepada Judaisme.[32]
Ulasan beliau mengenai qira’at dalam al-Qur’an dianggap menyimpang jauh dari
realiti, mengabaikan petunjuk yang sebenar dan beliau dianggap dengan sengaja
memutar-belitkan kebenaran al-Qur’an.[33]
Pemikiran Goldziher telah diterjemahkan oleh Alphonse Mingana yang menyatakan
bahawa perlunya melakukan perubahan terhadap teks al-Qur’an sebagaimana yang
telah berlaku terhadap kitab suci Yahudi yang berbahasa Ibrani-Arami dan kitab
suci Kristian yang berbahasa Yunani.[34]
Kenyatakan
ini secara tidak langsung telah membuka pekung sendiri bahawa golongan
orientalis terpaksa menerima hakikat penyelewengan dan pengubah-suaian yang
telah berlaku dalam Taurat dan Injil. Mereka terpaksa menerima kenyataan pahit
bahawa Taurat dan Injil yang ada di tangan mereka terbukti tidak lagi asli,
kerana terlalu banyak campur tangan manusia di dalamnya sehingga sukar
dibezakan di antara wahyu yang sebenar dengan catatan manusia. Maka, untuk
membendung dan menutup hakikat yang berlaku, al-Qur’an merupakan sasaran utama
serangan misionaris dan orientalis Yahudi-Nasrani setelah mereka gagal
menghancurkan sirah dan sunnah Nabi s.a.w.[35]
Goldizher berusaha mengungkapkan apa saja yang boleh dijadikan bukti bagi
teorinya yang menyatakan pengaruh yang terdapat dalam al-Qur’an dipetik dari
tradisi Yahudi, Nasrani, Romawi dan adat istiadat jahiliyah. Namun demikian,
Goldziher juga terpaksa mengakui bahawa Islam adalah agama yang paling
memuaskan akal dan memandang al-Qur’an dengan menyatakan:
“Tidak ada kitab perundangan yang
diakui oleh kelompok keagamaan bahawa ianya adalah teks yang diturunkan atau
diwahyukan, di mana pada masa awal
peredaran teks tersebut datang dalam bentuk kacau dan tidak pasti sebagaimana
yang kita temukan dalam al-Quran.”[36]
4. Cuba
Mendistraksi Umat Islam
Di
antara faktor kemunculan sikap negatif orientalis terhadap al-Qur’an ialah
untuk mendistraksikan umat Islam atau mengalih perhatian mereka kepada
perkara-perkara lain daripada menumpu perhatian terhadap al-Qur’an. Sudah
tentu, gerakan orientalisme memang terkenal dengan tradisi kajian ilmiah mereka
tentang Islam yang menggunakan kaedah intelektualisme dan dedikasi akademik,[37] namun
sikap sebenar mereka dipicu oleh motif dan semangat missionaris, di samping
berusaha memalingkan hala tuju umat Islam supaya berpindah mengikuti keinginan
aliran kebudayaan Barat yang sesat dan menyesatkan.
Sebagaimana
yang telah dijelaskan, orientalis adalah kumpulan sarjana-sarjana Barat yang
terdiri dari kalangan Yahudi, Kristian, Atheis dan lain-lain yang cuba
mendalami bahasa-bahasa Timur, iaitu Bahasa Arab, Parsi, Ibrani, Suryani dan
lain-lain yang bertujuan untuk memasukkan idea-idea dan faham-faham yang batil ke dalam ajaran Islam agar
akidah, ajaran dan dakwah Islam menjadi punah-ranah. Montgomery Watt yang dianggap sebagai orientalis moderat ketika menulis
tentang al-Qur’an dan Sunnah s.a.w. ternyata mempunyai sikap yang ragu terhadap
keunggulan ajaran Islam. Dalam kajiannya, beliau cuba membuktikan bahawa
terdapat beberapa ayat al-Qur’an dan al-Hadi yang direka-cipta dan tidak
konsisten, maka dengan itu kedua-dua sumber tersebut tidak boleh dijadikan
panduan hidup umat Islam, bahkan beliau mencurigai adanya ‘ayat-ayat setan’
dalam al-Qur’an.[38]
Kajian
terhadap al-Qur’an dengan menggunakan gaya bahasa dan acuan Barat sebagaimana
yang dilakukan oleh Joseph Schacht dalam karyanya ‘Introduction
to Islamic Law’ adalah semata-mata untuk membuktikan bahawa isi
kandungan al-Qur’an itu bersumberkan dari Yahudi dan Kristian.[39] Mereka
sangat mengetahui, bahawa al-Qur’an adalah sumber kekuatan kepada umat Islam
yang merupakan peraturan dan undang-undang serta perlembagaan hidup. Apabila
pengaruh al-Qur’an dapat dilenyapkan dari jiwa umat Islam, maka secara tidak
langsung pengaruh Islam dalam masyarakat tidak akan
berbekas dan akan menjadi pudar sehingga tidak mampu mengangkat darjat dan
nilai-nilai kemanusiaan.
Seorang wakil Parlimen Inggeris yang
bernama Gladstone pernah berkata di dalam satu persidangan Dewan Parlimen
dan ketika itu tangannya mengangkat senaskah Muhaf di hadapan sidang hadirin sambil berkata:
"
Selagi al-Qur’an ini berada di tangan kaum muslimin, selagi itulah Eropah tidak
dapat menguasai Timur dan selagi itulah Eropah tidak akan dapat hidup dalam
keadaan aman damai ".[40]
Kenyatan yang sama juga telah
disuarakan oleh seorang mubaligh Kristian yang sangat bencikan Islam bernama William Geyford
Balcroff dan pernah berkata dalam satu
ucapannya:
" Apabila al-Qur’an
itu lenyap dan Kota Mekah hilang dari ingatan negara Arab, ketika itu barulah
kita dapat melihat orang-orang Arab akan menjejaki jalan tamadun Barat, jauh
menyimpang dari Muhamad dan kitabnya”.[41]
Manakala seorang
paderi Kristian bernama Cately telah membuat satu kenyataan penting mengenai
dakyah yang perlu dilaksanakan ke atas umat Islam mengenai al-Qur’an:
"Menjadi
kewajiban kepada kita mempergunakan al-Qur’an yang
merupakan sekuat-kuat senjata di dalam Islam untuk memukul Islam itu sendiri,
sehingga akhirnya kita berjaya membasminya sama sekali, kita pasti menerangkan
kepada kaum muslimin bahawa yang benar di dalam al-Qur’an itu
bukanlah baru dan yang baru itu tidak benar sama sekali".[42]
Seorang Gabenor Perancis di Algeria pernah membuat
ucapan ketika menyambut seratus tahun penjajahan Perancis:
"Kita mesti
menghilangkan al-Qur’an yang berbahasa Arab dari kehidupan mereka dan menjadi
kewajiban juga kepada kita menghapuskan lidah yang berbahasa Arab dari pertuturan
mereka".[43]
Golongan orientalis berusaha keras
menyerang al-Qur’an dan menaburkan benih-benih keraguan terhadap sumber Islam
itu, mereka memasukkan elemen-elemen kebatilan ke dalam al-Qur’an dan menyerang
bahasa al-Qur’an itu melalui pelbagai cara termasuk membuat penafsiran yang
salah dan silap mengenai ayat-ayat tersebut. Kajian dan penyelidikan mereka
tentang al-Qur’an bukan bertujuan untuk beriman dengan kitab tersebut atau
beramal dengannya, tetapi bertujuan untuk mewujudkan keraguan terhadap
keunggulan al-Qur’an itu sebagai wahyu Allah. Perkara ini memang menjadi dasar
gerakan orientalis yang cuba menanam kebencian dan kedengkian yang mendalam
terhadap ajaran Islam, di samping sikap kurang ajar mereka terhadap Rasulullah
s.a.w.[44]
Kebanyakan pakar-pakar orientalis
menghabiskan masa dan ruang-lingkup kehidupannya untuk menyingkap perubahan
teks al-Qur’an, namun kajian dan penyelidikan yang mereka lakukan amat
berlainan dengan apa yang terdapat dalam Kitab Injil[45],
kerana terdapat banyak perbezaan yang memenuhi halaman-halaman dalam kitab
tersebut. Kritikan orientalis mengenai kandungan
al-Qur’an telah diulas dan dibahas dengan baik oleh Muhamad Khalifa, dalam ‘The Sublime Qur’an and Orientalism’ yang
menyentuh konsep ketuhanan ketuhanan dalam al-Qur’an, pengertian Islam,
kepercayaan dalam Islam, ritual-ritual dalam Islam, sikap al-Qur’an terhadap
agama lain, konsep akhlak dalam al-Qur’an, masalah qaa-qadar dan masalah-masalah yang berkaitan
dengan metafizik seperti roh, jiwa, kematian, neraka, syurga, hari pembalasan
dan lain sebagainya.[46]
5. Perkhabaran al-Qur’an Tentang Dakyah Yahudi Dan Kristian
Orientalisme merupakan kajian
yang mempunyai ikatan yang kuat dengan penjajahan Barat ke atas dunia Timur, khususnya
Britian dan Perancis sejak akhir abad ke 18 hingga akhir Perang Dunia Kedua. Agenda
itu kemudian diwariskan kepada Amerika Syarikat yang mewakili negara-negara
imperialis pasca Perang Dunia Kedua hingga sekarang. Di samping itu,
orientalisme juga berkait rapat dengan missionari. Perkara ini dapat dibuktikan
dengan ramainya bilangan kaum Yahudi dan Kristian yang bekerjasama dengan gerakan
orientalis untuk melakukan kajian terhadap Islam yang bertujuan untuk memutar
belit fakta-fakta kebenaran Islam, menaburkan keraguan, menyebar kebencian dan
berusaha untuk menjauhkan mereka daripada ajaran Islam.[47]
Al-Qur’an telah
mendedahkan sikap dan konspirasi jahat kaum Yahudi dan Kristian, mereka tidak
akan berdiam diri untuk melakukan kerosakkan di atas muka bumi dengan menabur
fitnah, menyebarkan dakyah dan propaganda kepada seluruh umat manusia,
khususnya kepada umat Islam.
Firman
Allah Ta'ala:
وَلَنْ
تَرْضَىٰ عَنْكَ الْيَهُودُ لاَ النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ[48]
Maksudnya: “Sesungguhnya
Yahudi dan Nasrani (Kristian) tidak akan rea dengan kamu selama-lamanya
sehinggalah kamu menurut cara hidup mereka”.
Orang-orang Yahudi dan
Nasrani tidak akan sekali-kali berkompromi dengan orang-orang Islam sehingga
mereka keluar Islam dan mengikut anutan
Yahudi dan Nasrani.[49]
Orang-orang Yahudi dan Nasrani sentiasa bersama[50]
dan ‘duduk semeja’ mengatur rancangan jahat ke atas Islam dan umat Islam.
Mereka membuat beberapa eksperimen jangka pendek dan jangka masa panjang dalam
rancangan mereka supaya dakyah-dakyah yang mereka garis itu sentiasa berterusan
sehingga umat Islam akur dan tunduk kepada kehendak mereka. Sebab itu, ayat di atas merupakan peringatan
dan amaran awal kepada umat Islam supaya berhati-hati dengan sikap dan
rancangan jahat Yahudi-Kristian.
Dalam sepotong ayat yang lain, al-Qur’an
telah mendedahkan sikap sebenar musuh-musuh Islam terhadap Islam dan umat
Islam.
Firman
Allah Taala:
وَلاَيَزَالُوْنَ يُقَاتِلُوْنَكُمْ
حَتىَّ يَرُدُّوْكُمْ عَنْ دِيْنِكُمْ[51]
Maksudnya: "
Mereka tidak sekali-kali akan berhenti memerangi kamu sehingga kamu berpaling
dari agama kamu”.
Mereka yang terdiri dari kalangan Yahudi
dan Kristian[52] sentiasa bersiap sedia
dan mengatur langkah menyiapkan rancangan jahat jangka pendek dan rancangan
jahat masa panjang untuk memerangi umat Islam sehingga ke akar umbinya. Mereka
sentiasa menabur fitnah[53]
melalui pelbagai sudut dan ruang-lingkup kehidupan, termasuk dalam sistem
politik, sistem pendidikan, sistem kewangan, sistem perundangan dan kehakiman
serta lain-lain lagi termasuk kebudayaan dan kesenian samata-mata untuk
memecah-belahkan dan melaga-lagakan umat Islam. Perkara ini merupakan
peringatan kepada orang-orang Islam[54]
supaya mengambil sikap berhati-hati terhadap propoganda yang ditiupkan oleh
kaum kuffar untuk mengeluarkan umat Islam dari agama Islam.
Namun begitu, mereka tidak akan sekali-kali berjaya[55]
berbuat demikian untuk menghancur-leburkan Islam dan umat Islam, kerana Allah
tetap akan memelihara Islam yang diturunNya sehingga ke hari khiamat.
Seandainya umat Islam bersatu dalam satu saf yang kukuh, sudah pasti mereka
akan dapat menumbangkan musuh-musuh Islam yang datang menjelma itu.
Firman
Allah Taala:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لاَ تَتَّخِذُوا
الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى أَوْلِيَاءَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ وَمَنْ
يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ إِنَّ اللَّهَ لاَ يَهْدِي الْقَوْمَ
الظَّالِمِينَ[56]
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil
orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat kerana setengah mereka
menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain dan sesiapa di antara kamu
yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya dia adalah dari
golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang
berlaku zalim”.
Syed Qutb dalam tafsirnya ‘Fi Zilal
al-Qur’an’ telah mengulas ayat bahawa seruan ayat ini ditujukan kepada kelompok
muslimin di Madinah, tetapi pada masa yang sama juga ditujukan kepada setiap
kelompok muslimin yang berada di mana-mana pelusuk bumi sehingga hari khiamat.
Faktor yang mendorong ditujukan seruan ini kepada orang-orang yang beriman pada
masa itu ialah kerana hubungan di antara orang Islam di Madinah dengan golongan
ahli kitab, terutama orang-orang Yahudi belum lagi diputuskan dalam bentuk yang
total dan tegas, malah di sana masih wujud hubungan kesetiaan dan pakatan
kerjasama, hubungan ekonomi, hubungan muamalat, hubungan kejiranan dan
persahabatan di kalangan mereka.
Ayat-ayat
al-Qur`an diturunkan untuk membangkitkan kesedaran yang sewajarnya bagi
seseorang muslim dalam perjuangan menegakkan akidahnya untuk merealisasikan
sistem hidupnya yang baru dalam realiti hidup manusia dan untuk mewujudkan
dalam hati seseorang muslim bagi memutuskan hubungan yang total di antaranya
dengan setiap mereka yang bukan dari kelompok muslim dan mereka yang tidak
berdiri di bawah panji-panji Islam, iaitu memutuskan hubungan yang tidak
melarang sikap tasamuh, kerana sikap ini menjadi sifat seseorang muslim yang
tetap, tetapi memutuskan hubungan ini membawa erti melarang perbuatan memberi
kesetiaan, kerana kesetiaan dalam hati seseorang muslim hanya diberikan kepada Allah,
kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman sahaja. Itulah kesedaran
dan memutuskan hubungan yang pasti wujud pada seseorang muslim di setiap negeri
dan generasi.[57]
Kaum Yahudi dan Kristian saling bantu-membantu sesama mereka,
perkara ini merupakan suatu realiti yang tidak ada hubungan dengan zaman kerana
realiti ini adalah terbit dari tabiat kekufuran yang begitu jauh bezanya dengan
tabiat Islam. Kaum Yahudi dan Kristian tidak akan menjadi rakan penolong yang setia
kepada kelompok muslimin di mana-mana tempat di atas muka bumi ini dan pada
bila-bila masa sekalipun. Abad-abad berlalu dan silih ganti membuktikan hakikat
kenyataan ini. Mereka telah saling membantu antara satu sama lain dalam
memerangai Nabi Muhamad s.a.w. dan kelompok muslimin di Madinah. Mereka saling
bantu-membantu di antara satu sama lain di seluruh pelusuk bumi ini sepanjang paparan
sejarah. Dasar saling bantu-membantu ini tidak pernah mungkir dalam perancangan
mereka walau seketika. Tidak pernah berlaku di bumi ini melainkan tepat seperti
yang dijelaskan al-Qur`an dalam bentuk menyatakan sifat kaum Yahudi dan Kristian,
bukannya dalam bentuk penceritaan satu peristiwa sahaja.[58]
Sekian, wassalam
Al-Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa el-Batnani
[1] Adnin Armas. 2005. Metodologi Bibel Dalam
Studi Al-Quran, hlm: 26. Jakarta: Gema Insani.
[2] Dr. Abdul Karim Germanus
(1884-1979) adalah seorang orientalis berasal dari Hungaria, nama asalnya ialah
Julius Germanus. Beliau menghabiskan sepanjang hidupnya untuk mempertahankan
Islam dan bahasa Arab. Germanus menggambarkan kisah keislamannya itu sebagai
‘bangunnya sebuah kehidupan baru’. Pada awal perkenalannya dengan Islam semasa
di Turki ketika menjadi mahasiswa di sana dan memeluk Islam di India pada
Perang Dunia Pertama.
[4] Muhamad Asad atau Leopold
Weiss dilahirkan di Lemberg, Austria-Hongaria pada tahun 1900 dan meninggal dunia di Sepanyol pada tahun
1992. Berasal dari keluarga pendeta Yahudi dan didedahkan dengan pendidikan
agama melalui Kitab Perjanjian Lama, tafsir dari Talmud, Mishna, Gemara dan
Targum. Pada tahun 1926, hasil pengembaraannya ke negara-negara
Islam Timur Tengah telah membuka petunjuk kepada dirinya untuk memeluk
Islam.
[6] Beliau adalah generasi
keempat bangsa Amerika berketurunan kacukan German-Yahudi, dibesarkan di Kota
Westchester, sebuah kawasan di luar New York. Beliau telah mendapat pendidikan
Amerika bercorak sekular, minatnya yang utama adalah bidang agama, falsafah,
sejarah, antropologi, sosiolagi dan biologi. Semasa menuntut di Universiti New
York beliau telah diserang penyakit yang serius dalam tahun 1953 dan terpaksa
menghentikan pengajiannya dua tahun. Minatnya terhadap Islam mula berputik apabila
beliau membaca terjemahan kitab Al-qur’an oleh Marma-duke Picktthall dan dua
buah buku karangan Muhamad Asad, iaitu berjudul ‘Jalan Ke Mekah’ dan ‘Islam di
Persimpangan Jalan’. Setelah berutus surat dengan beberapa orang tokoh
Islam dan membuat hubungan muhibah dengan saudara baru Islam di Kota New
York, beliau telah memeluk Islam di bangunan Islamic Mission di Brooklyn,
New York.
[8] Beliau dilahirkan pada
1875 dan meninggal pada 1936 adalah seorang Kristian dan kemudian memeluk
Islam, beliau merupakan seorang intelektual muslim barat terkenal dan juga adalah
novelis terkenal. Mendapat didikan di Harrow dan pernah menerbitkan terjemahan
al-qur’an dalam Bahasa Inggeris berjudul ‘The Meaning of The Glorious Koran’
dan terjemahannya diperakui oleh Universiti Al Azhar.
[9] Beliau adalah ilmuan dari Perancis dan seorang
pakar bedah yang terkenal. Untuk memahami al-Qur’an, beliau menghabiskan
masanya mempelajari Bahasa Arab ketika berumur 50 tahun. Beliau dapat mencari
bukti secara saintifik tentang kesucian agama Islam dan menghasilkan buku
bertajuk ‘Quran, Bible and Science’ pada tahun 1976 yang menjadi kemarahan
sarjana Kristian. Setelah mempelajari Islam, beliau mengarang sebuah buku
bertajuk ‘The Origin of Man’ yang menjelaskan asal usul manusia mengikut
al-qur’an. Pihak gereja telah mengiktiraf research beliau dan beliau menjadi
terkenal di Universiti Cambridge dan Oxford di United Kingdom, Universiti Yale
dan Harvard di Amerika.
[10] Beliau adalah pengarang sebuah buku
berjudul ‘The Hajj: An American’s Pilgrimage ti Mecca’ dan ‘One Thousand Roads
to Mecca: Ten Centuries of Travelers Writing About The Muslim Pilgrimage’.
Beliau juga merupakan seorang penerbit filem, ibunya seorang Kristian, manakala
bapanya seorang Yahudi. Beliau menjadi terkenal setelah menerbitkan dokumentari
bertajuk ‘ An American in Mecca’, Which Aired on ABC’, ‘Nightline’. Pada bulan
18 April 1997, beliau memeluk Islam ketika berumur 40 tahun.
[11] Beliau seorang pakar matematik berasal
dari Kanada. Pada mulanya beliau aktif dalam kerja-kerja misionari Kristian,
tetapi jiwa beliau tidak konsisten dengan Bible. Pada tahun 1978, beliau telah
dihadiahkan al-qur’an dan setelah membacanya, beliau menyedari tentang
kebenaran al-qur’an dan dan kepincangan Bible. Akhirnya beliau memeluk Islam
dan menukarkan namanya kepada Abdul Ahad Omar. Tulisannya yang menarik bertajuk
The Amazing Quran.
[12] Beliau merupakan bekas seorang Kristian Protestan dari
kumpulan gereja Southern Baptist. Beliau juga aktivis kumpulan pembebasan
wanita yang radikal bertugas sebagai wartawan penyiaran. Untuk tujuan itu,
beliau mengkaji al-Qur’an, Sahih Muslim dan 15 buah kitab yang lain. Kajiannya
selama dua tahun telah menimbulkan persepsi yang indah terhadap Islam.
Akhirnya, pada 21 Mei 1977, beliau memeluk Islam dan mengenakan pakaian menutup
aurat. Tindakannya itu meyebabkan beliau kehilangan kerja dan mahkamah
memutuskan anak-anaknya dipisahkan disebabkan keislamannya. Dengan izin Allah,
anak-anak, ibubapa dan bekas suaminya memeluk Islam.
[14] Adnin Armas, 2005. Metodologi Bibel Dalam
Studi Al-Quran, hlm: 132.
[15] Ibid
[16] Taufik Adnan Amal. 2001. Rekonstruksi Sejarah al-Qur’an, hlm: 67.
Yogyakarta: Forum Kajian Budaya dan Agama.
[17] John Wansbrugh. 1977. Qur’anic Studies: Source and Methods of
Scriptual Interpretation, hlm: 56-57. Oxford University Press, Oxford;
reprint with annotations Prometheus Press, Amherst NY, 2004.
[18] Ibrahim Khalil Ahmad. 1986. Siasat
Misi Kristen dan Orientalis, terj. Zeyd Aly Amar, hlm: 100. Jakarta: Gema
Insani Press.
[19] Mahmud Hamdi Zaqzuq. 1983. al-Istisyraq wa al-Khalfiyah al-Fikriyah Li al-Sharra’ al-Hadhari Qatar.
hlm: 27. Qatar: al-Ummah.
[20] Ibid. hlm: 20
[22] Abdul Muta'al Muhammad al-Jabri. 1995. Al Isytisraq Wajhun Li Al Isti’mar Al Fikri, hlm: 225
[23] Nuim Hidayat.
2009. Imperialisme Baru, hlm: 63.
[24] Zionisme adalah akidah
dan metode kerja Yahudi yang berasal dari Kitab Perjanjian Lama secara ringkas.
Akidah ini terdapat dalam Talmud, merupakan ajaran yang paling rasis juga
diskriminatif; sebuah kitab paling berbahaya yang pernah ada di muka bumi.
Louis Daste di dalam bukunya 'Yahudi dan Organisasi Rahsia' mengatakan; Dalam
setiap perubahan pemikiran besar terdapat pengaruh Yahudi baik yang nampak
ataupun rahsia. Sepanjang sejarah dunia, Yahudi memasukkan ribuan racun yang
sangat berbahaya untuk menyesatkan pemikiran umat manusia. Lihat: http://www.akhirzaman.info/yahudi/zionis/2077-bahaya-zionisme.html
[25] Mahmud Hamdi Zaqzuq. 1989.Orientalisme Kesan Pemikirannya terhadap
Tamadun Islam. hlm 2-4. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
[27]
Maryam Jamilah. 1995. Islam dan Orientalisme-Sebuah
Kajian Analitik, hlm:
13. Jakarta: PT. Raja Grafindo Persada.
[28]
Philip K. Hitti. 1984. Islam and The West, hlm: 7-8. Bandung: Penerbit Sinar Baru.
[29] Al-Qur’an, Surah al
Baqarah: 2: 120
[30]
Taufik
Adnan Amal. 2005. Rekonstruksi Sejarah al-Qur’an, hlm: 422.
[31] Kurt Aland and Barbara Aland. 1995. The Text of the New Testatement, hlm:
69.
[33] Abdul Fattah Abdul Ghani al-Qodli. (t.th) Al-Qira’at Fi
Nazhar Al-Mustasyriqiin Wa Al-Mulhidin, terj. Sayid Agil Husin Munawar dan
Abd Rahman Umar, hlm: 9
[34] Syamsudin Arif. 2008. Oreintalis Dan Diabolisme
Pemikiran,hlm: 3 dan 106.
[35] Ibid. hlm:7
[37] Afaf Sabrah. 1980. al-Mustasyriqun Wa Musykilat al-Hadharah, hlm:
33-34.
[38] Montgomery Watt.
1960. Muhammad at Mecca, hlm: 103.
[40] Abdullah Naseh ‘Ulwan. 1985.
Tarbiyah Al Aulad Fi Al Islam, jil:2, hal: 753
[41] Ibid, jil:2, hal: 753
[43] Ibid, jil:2, hal:754
[44] Muhammad Azhari. 2003. Introduction
of Islamic Philosophy, hlm: 228.
[45] Muhammad. M. al-A'zami. 2005. Sejarah Teks Al-Quran-Dari Wahyu Sampai
Kompilasinya, hlm: 337.
[46] Khalifa,
Mohammad, The Sublime Qur’an and Orientalism
[48] Al-Qur’an, Surah al-Baqarah:2:120.
[50] Al-Tabari, Abu
Ja’far Muhamad ibn Jarir. 1988. Jami’u al-Bayan ‘An Takwil Ayi al-Qur’an,
jil: 1, hlm: 517.
[51] Al-Qur’an,
Surah al-Baqarah:2: 217.
[52] AI-Razi, Fakruddin
Muhamad bin Umar bin Hussain bin Hassan.1990. at-Tafsir al-Kabir. jil: 5-6, hlm: 31.
[53] Al-Tabari , Abu
Ja’far Muhamad ibn Jarir. Jami’u al-Bayan ‘An Takwil Ayi al-Qur’an, jil:
2, hlm: 354.
[54] Al-Qurtubi,
Abu Abdullah bin Ahmad al-Ansari. 1988. Al Jami’e Li al- Ahkam al-Qur’an,
jil: 2, hlm: 32. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah.
[55] Muhamad al-Amin
bin Muhamad al-Mukhtar al-Jakani asy-Syanqithi. 1996. Adwa al-Bayan Fi Idhah
al-Qur’an Bi al-Qur’an, jil: 1, hlm: 115. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah.
[56] Al-Qur’an,
Surah al-Maidah:6:51
[57] Syed
Qutb. 1988. Fi Zilal al-Quran, jil: 5-7, hlm: 906-908.
[58] Ibid