Menurut pandangan ahli usul fiqh dan
ahli tafsir bahawa i’jaz al-Qur’an dapat disaksikan apabila berlaku penentangan
yang datang dari pelbagai pihak, terutama dari musuh-musuh Islam untuk
menandingi kemuliaan al-Qur’an dengan mengemukakan pelbagai bentuk tuduhan atau
keraguan atau lain-lain lagi. Akan tetapi, usaha yang mereka lakukan itu tidak
berjaya dan menemui jalan buntu, sehingga ahli sastera dan pujangga Arab
sendiri tidak mampu menandingi kehebatan al-Qur’an. Sifat penentangan yang
dilakukan oleh musuh-musuh Islam, terutama orang-orang kafir yang tidak percaya
kepada kebenaran al-Qur’an seolah-olah tiada penghujungnya dan berterusan sejak
dahulu hingga sekarang.[1]
Maka
di sini kami nyatakan beberapa sikap negatif orientalis terhadap i’jaz al-Qur’an
yang sengaja direka-cipta semata-mata untuk mencari alasan menidakkan kebenaran
al-Qur’an.
1. Al-Qur’an Hasil Ciptaan Muhamad
s.a.w.
Seorang orientalis Barat bernama Theodor
Noldeke cuba menggugat keunggulan keunggulan al-Qur’an supaya peranannya dapat
dikurangkan dalam masyarakat. Beliau menggambarkan al-Qur’an sebagai ‘duplication’
dari kitab-kitab yang ada sebelum ini[2]
dan beliau menganggap Muhamad s.a.w. sebagai seorang penyamar yang penuh dengan
kepuraan, bukan seorang nabi dan beliau juga mendakwa al-Qur’an adalah hasil
karangan Muhamad s.a.w.[3]
Manakala William Montgomery Watt dalam
bukunya berjudul ‘Bell’s Introduction to The Quran’[4]
telah mempertikaikan keaslian ayat-ayat al-Qur’an yang ditulis pada zaman Uthman
bin Afan r.a. Pandangan beliau dikongsi sama oleh Arthur Jeffery yang mempertikaikan tindakan Uthman bin Affan r.a.
membuat pengumpulan semula dan menulis mushaf adalah bertujuan mempertahankan
kedudukannya dalam iklim politik. Menurut beliau lagi, bahawa al-Qur’an
memuatkan sejumlah permasalahan yang sangat besar, kerana mushaf Uthman telah
menjadi penyebab perbezaan bacaan.[5] Dalam kalangan orientalis percaya bahawa al-Qur’an bukan Kalamullah
sebagaimana yang diketahui umum, tetapi ianya adalah ciptaan dan rekaan Muhamad
s.a.w. dan perkara ini secara tidak langsung menafikan wahyu yang diturunkan
oleh Allah Taala. Mereka
berpendapat bahawa al-Qur’an hanyalah
kitab biasa dan bukan kitab yang mengandung ilmu i’jaz. Al-Qur’an juga tidak sekali-kali menunjukkan
Kalamullah, tetapi ianya adalah perkataan Nabi s.a.w. yang dinisbahkan kepada
Tuhannya untuk menguatkan kesuciannya. Sebab itu,
baginda s.a.w. yang mempunyai kepintaran dan kecerdasan akal tidak mustahil
mampu mengarang sebuah kitab yang berkualiti yang sama dengan al-Qur’an.[6]
Dakwaan yang dilontarkan oleh
golongan orientalis yang menyatakan al-Qur’an ciptaan dan rekaan Nabi s.a.w.
adalah tidak benar, kerana baginda s.a.w. adalah seorang ummi, iaitu tidak
pandai membaca dan menulis. Adalah sesuatu yang amat mustahil seorang yang buta
huruf, tidak tahu membaca dan menulis, tiba-tiba dapat mencipta al-Qur’an,
sedangkan baginda s.a.w. juga tidak pernah berguru atau menuntut ilmu dengan
sesiapapun. Jika benar dakwaan tersebut, bagaimana baginda s.a.w. memperolehi
maklumat tentang kisah umat purbakala? Jika benar al-Qur’an itu merupakan hasil ciptaan Nabi s.a.w. mengapa
dalam kalangan orang-orang Yahudi dan Nasrani yang mempunyai kepakaran dalam
bidang bahasa tidak mampu menghasilkan sebuah kitab yang setanding dengan al-Qur’an
? Maka, terbukti bahawa dakwaan mereka adalah tidak benar dan tuduhan
adalah bohong semata-mata.
2. Al-Qur’an Adalah
Ilham Dari Penyakit Epilepsi Nabi s.a.w.
Menurut
Dr. Soroush[7],
al-Qur’an merupakan produk pemikiran Nabi s.a.w.[8]
dan menganggap baginda s.a.w. sama seperti para penyair dalam menggubah syair, maka
demikian juga Nabi s.a.w. yang melakukan perkara yang sama[9]. Wahyu yang diterima oleh Nabi s.a.w. merupakan
hasil dari khayalan orang yang menderita penyakit epilepsi[10].
Perkara ini dijelaskan dalam sepotong hadith[11]
yang menyatakan keadaan baginda s.a.w. menerima wahyu terdapat tanda-tanda
seperti wajah pucat, badan gementar dan keringat yang mengucur dari tubuh.
Tanda-tanda seperti ini sama dengan tanda-tanda orang yang menderita penyakit
epilepsi. Mereka mendakwa, ketika penyakit epilepsi itu menyerang, maka unsur-unsur
metafizik mula meresap masuk ke dalam diri dan apabila baginda s.a.w. sedar
lalu menyangka bahawa itu adalah wahyu dari Tuhannya. Montegomry Watt
mengatakan bahawa Nabi s.a.w. sebenarnya orang yang benar dalam berbicara,
tetapi memiliki keyakinan yang salah terhadap wahyu.[12]
Dakwaan
ini memang sengaja direka-cipta oleh golongan orientalis dan musuh-musuh Islam
yang lain yang cuba menafikan al-Qur’an sebagai Kalamullah dan meletakkan kitab
tersebut setaraf dengan kitab-kitab tulisan manusia. Dakwaan yang mereka
kemukakan bahawa Nabi s.a.w. sama seperti seorang penyair dan mengubah syair
amat tidak relevan, kerana gaya bahasa yang diguna-pakai dalam syair dengan
gaya bahasa yang terdapat dalam al-Qur’an amat jauh berbeza. Sehingga kini,
tidak ada seorangpun pakar-pakar bahasa yang mampu mencipta ayat yang sama atau
yang lebih baik dari al-Qur’an. Andaikata wahyu yang diterima oleh Nabi s.a.w.
itu merupakan khayalan kerana baginda s.a.w. mengidapi penyakit epilepsi, maka sudah tentu ayat-ayat al-Qur’an yang diterima itu tidak lengkap dan ada
yang tercicir kerana penyakit tersebut akan merosakkan fikiran dan ingatan.
Adalah sangat mustahil seorang yang mengidap gila babi atau penyakit sawam
diangkat menjadi seorang Rasul Utusan Allah.
3. Al-Qur’an Saringan Daripada Kitab Taurat Dan Injil
William Montgomery Watt telah
mendakwa bahawa al-Qur’an adalah kitab saringan yang diambil dari
sosio-religius, iaitu dari Yahudi dan Kristian.[13] Perkara ini diperkuatkan lagi oleh Richard
Bell dalam sebuah buku berjudul ‘The Origin of Islam in its
Christian Environment’.[14] Teori pengaruh dakyah
Kristian terhadap al-Qur’an dikembangkan lagi oleh seorang orientalis bernama
Louis Cheikho dalam karyanya berjudul ‘an-Nasraniyah Wa Adabuha Bayn
`Arab al-Jahiliyah’, beliau mengkaji secara mendalam literatur Kristian
yang ada di dunia Arab termasuk mengkaji kata-kata, nama-nama Kristian yang
digunakan oleh orang-orang Arab yang tersebar di Syam, Iraq, Yaman, Hijaz dan
Najd. Bagaimanapun, tidak semua nama-nama yang ada di buku tersebut ada
terdapat dalam al-Qur’an.[15]
Perkara yang sama juga dilakukan oleh Julius Wellhausen yang menulis sebuah
buku berjudul ‘Reste Arabischen Heidentums.[16]
Mereka mendakwa bahawa pengetahuan Nabi s.a.w. tentang konsep kenabian dahulu
diambil dari Yahudi dan gereja-gereja Kristian di Timur.[17]
Dakwaan ini adalah tidak benar dan tidak
tepat, kerana golongan Hunafa' menerima ajaran dan syariat yang ditinggalkan
oleh nabi-nabi terdahulu yang isi kandungannya telah diselewengkan dan
dicampur-aduk dengan pelbagai bentuk rekaan. Sekiranya benar dakwaan itu, sudah
tentu para udaba, ahli sastera, pakar-pakar bahasa, para pendeta, ahli kitab
dan cerdik pandai yang lain telah menulis beberapa kitab yang mempunyai
persamaan dengan kitab al-Qur’an atau mengarang kitab-kitab tafsir untuk
membuat ulasan mengenai kitab yang ditulis itu. Tetapi, sehingga kita tiada
sebuah kitab atau surah atau ayat-ayat yang setanding dengan al-Qur’an dicipta.
Andaikata ayat-ayat Al-Qur’an itu diambil dari ayat-ayat Taurat dan Injil,
nescaya sudah pasti ada unsur-unsur persamaan dari sudut gaya bahasa, nilai
balaghah, i’jaz dan lain-lain, tetapi kaedah gaya bahasa yang diguna-pakai oleh
al-Qur’an amat jauh berbeza jika hendak dibandingkan dengan gaya bahasa yang
terdapat dalam Taurat dan Injil.
Mengenai wujudnya persamaan antara
al-Qur’an dengan kitab-kitab samawi yang terdahulu, perkara tersebut memang
diakui. Namun demikian persamaan
tersebut bukan suatu kesalahan, kerana semua kitab-kitab suci ini adalah
Kalamullah yang diwahyukan untuk menerangkan perkara-perkara yang sama kepada
manusia. Perkara-perkara pokok yang diterangkan di dalamnya meliputi kewujudan
Allah dan keesaanNya, kepercayaan kepada hari kiamat, kepercayaan kehidupan
selepas mati dan lain-lain lagi. Persamaan kandungan yang dibawa oleh al-Qur’an
dan agama samawi lain telah disebutkan dalam al-Qur’an, malah turut memberi
pengiktirafan terhadap kebenaran kitab Taurat dan Injil.
Firman
Allah Ta’ala:
وَأَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ مُصَدِّقًا لِمَا
بَيْنَ يَدَيْهِ مِنَ الْكِتَابِ وَمُهَيْمِنًا عَلَيْهِ ۖ فَاحْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ ۖ وَلاَ تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ عَمَّا جَاءَكَ مِنَ
الْحَقِّ ۚ
Maksudnya: “Dan Kami turunkan kepadamu (wahai
Muhammad) Kitab al-Qur’an dengan membawa kebenaran untuk mengesahkan benarnya kitab-kitab
suci yang telah diturunkan sebelumnya (Zabur, Taurat dan Injil) dan untuk
memelihara serta mengawasinya, maka hendaklah kamu berhukum di antara mereka itu
dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah kamu mengikut
kehendak hawa nafsu mereka dari apa yang telah datang kepadamu tentang
kebenaran”[18].
4. Al-Qur’an Mengandungi Prosa Kata Asing
Menurut seorang orientalis yang bernama Arthur Jeffery, bahasa al-Qur’an tidak terlepas dari pengaruh pelbagai bahasa seperti Ethiopia, Aramaic, Ibrani, Syria, Yunani Kuno, Parsi dan bahasa-bahasa lain. Perkara ini disebabkan pada zaman Rasulullah s.a.w. bangsa Arab telah
mengadakan hubungan dengan budaya lain seperti Parsi, Syria dan Ethiopia. Dengan
hubungan ini secara tidak langsung menghasilkan pertukaran prosa kata.[19]
Dakwaan Arthur Jeffery ini cuba menidakkan bahawa al-Qur’an itu bukan datang
dari Allah dan sebaliknya menuduh al-Qur’an itu ciptaan Muhamad s.a.w. Sebab
itu beliau mendakwa bahasa al-Qur’an tidak terlepas
dari pengaruh pelbagai bahasa seperti Ethiopia, Aramaic, Ibrani, Syria, Yunani Kuno, Parsi dan bahasa lain.
Perlu dijelaskan, al-Qur’an itu adalah Kalamullah yang qadim, yang diturunkan
oleh Allah kepada Muhamad s.a.w. melalui perantaraan Malaikat Jibril a.s.
Apa-apa yang terdapat di dalam al-Qur’an itu adalah ciptaan Allah sendiri,
termasuk ejaan huruf, susunan perkataan dan ayat-ayatnya serta kisah-kisah yang
terdapat di dalamnya adalah datangnya dari Allah. Tiada campurtangan asing
dalam al-Qur’an walaupun dari perkataan Nabi s.a.w. sendiri, apatah lagi
terpengaruh dengan bahasa asing.
5. Al-Qur an Adalah Ancaman Jangka Panjang
Seorang ahli parlimen politik Belanda bernama Geert Wilders[20]
dan juga pengasas Parti Pembebasan Belanda (PVV) telah menyatakan bahawa Islam
dan al-Qur’an adalah ancaman jangka panjang. Dia mengaku telah bertemu dengan
Ariel Sharon dan Ehud Olmert secara peribadi serta mempunyai hubungan erat
dengan Mossad. Pada 8 Ogos 2007, Wilders telah menulis surat kepada akhbar De
Volkskrant bahawa beliau menuduh al-Qur’an sebagai buku fasis yang dianggap
sebagai menyalahi undang-undang di Belanda, sebagaimana buku ‘Mein Kampf’ tulisan
Adolf Hitler. Beliau menyatakan bahawa al-Qur’an menanam rasa kebencian dan
pembunuhan, dan al-Qur’an tiada tempat dalam perundangan Belanda. Beliau telah
melancarkan perang terbuka terhadap Islam melalui filem ‘Fitna’ yang menuduh
Islam dan al-Qur’an adalah ancaman jangka panjang bagi Belanda dan dunia. Filem
tersebut memuatkan potongan ayat-ayat al-Qur’an berselang seli dengan rakaman
pidato para ulama Islam berkenaan Jihad serta gambar-gambar yang diterjemahkan
sebagai ‘keganasan’. Filem ini diakhiri dengan pesanan supaya berwaspada
terhadap ancaman Islam. Wilders merancang untuk memusnahkan al-Qur’an dari dada
umat Islam dan merancang untuk menghancurkan umat Islam, tetapi beliau lupa
kepada perancangan Allah Yang Maha Bijaksana.[21]
Wilders juga dilihat
seolah-olah kehilangan hujah untuk menghentam Islam dan sengaja mempromosikan
isu-isu seperti zina, homoseksual dan anti-agama lain cuba diketengahkan.
Tetapi beliau terlepas pandang bahawa isu-isu itu juga menjadi teras kepada
kitab-kitab suci agama lain termasuk kitab Yahudi itu sendiri. Seorang penulis
Yahudi Belanda, Harry de Winter telah mengkritik Wilders di halaman sebuah
akhbar harian Belanda de Volkskrant, beliau menyatakan bahawa sekiranya Wilders
menyebut perkara yang sama terhadap Yahudi dan Kitab Suci Perjanjian Lama
seperti yang sekarang dilontarkannya terhadap Muslim dan kitab suci al-Qur’an,
maka sudah lama beliau tersingkir kerana dihukum dengan tuduhan anti-semitisme.
Wilders juga perlu sedar, golongan homoseksual di Belanda sememangnya telah
lama ditindas dan didiskriminasi oleh pihak Kerajaan Belanda yang secara
majoriti dikuasai parti beragama Kristian. Mengapa pula Wilders tidak menyentuh
diskriminasi Kristian terhadap homoseksual? Maka dengan sebab itu, Wilders
telah menjadi sasaran kritikan hebat oleh ahli-ahli parlimen Belanda.[22]
Pada 1 April 2008, parlimen Belanda
membantah Wilders dan memohon tunjuk sebab mengapa Filem ‘Fitna’ diterbitkan,
ketika itu tiada satu pun parti yang mendokong Wilders. Beliau menyatakan,
kebebasan berpendapat adalah hak asasi manusia, tetapi beliau lupa terhadap
sikap beliau sendiri yang membataskan kebebasan umat Islam dengan mengharamkan
al-Qur’an. Wilders dituntut oleh Perdana Menteri Belanda, Balkenende supaya
memohon maaf kepada umat Islam. Bagaimanapun Wilders dengan angkuh mengatakan tidak
sekali-kali akan meminta maaf kepada pemerintah walaupun seratus ribu tahun
lagi. Namun, tayangan filem ‘Fitna’ telah menambahkan bilangan angka umat Islam
Belanda daripada 450 ribu pada tahun 1990 kepada 944 ribu pada tahun 2004.
Malah jumlah umat Islam di seluruh Eropah telah mencecah ke angka 54 juta orang
pada tahun 2007.[23] Dalam mempromosikan
bukunya bertajuk ‘Marked for Death’, beliau menggesa penganut Islam di seluruh
dunia meninggalkan agama itu dan menuduh Islam adalah ideologi totalitarian[24]
serta menggalakkan umat Islam yang cinta keamanan meninggalkan agama itu.[25]
Sekian, wassalam
Al-Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa el-Batnani
[1] Abu Bakr Muhammad ibn al-ayyib
al-Baqillani. 1978. I’jaz al-Qur’an. hal. 33-50. Damaskus:
al Maktab al Islami.
[2] Nasaruddin
Umar.2006. Al-Quran di Mata Mantan Intelektual Muslim: Ibn Warraq dan Mark A. Gabriel, dalam
Jurnal Stujdi al-Quran, edisi kedua, vol. I, No. 2, hlm: 91-93
[4] Watt, William
Montgomery. 1977. Bell’s Introduction to
the Quran.hal: v. Edinburgh University Press, Edinburgh.
[10] Epilepsi ialah sejenis penyakit saraf
menyebabkan orang yang diserang penyakit ini tidak sedar diri, juga dipanggil
gila babi atau sawam, lihat Kamus Dewan Edisi Baru, hal: 316.
[11] Hadith ini
terdapat dalam kitab Fath Al Bahri Bi Syarh Sahih Al Bukhari, jil:1,
hal: 25-26, dalam bab Kitab Bud’u Al Wahyu, oleh: Ibn Hajar Al ‘Asqulani,
Kaherah: Dar Ar Rayyan Lil Turath, 1986.
[12]
The Encyclopedia of Religion. 1987, vol – 10, p – 138. New York.
[13]
William
Montgomery Watt. 1969. Islamic
Revolution in the Modern World, hlm: 55. Edinburgh:
The University Press.
[14] Richard Bell. 1926. The Origin of Islam in its Christian Environment, hlm: 17. London: Dreembel.
[15] Louis Cheikho. 1989. AI-Nasraniyah Wa Adabuha
Bayn ‘Arab al-Jahiliyah, hlm: 256. Beirut: Dar al-Mashriq Sham.
[16] Muhammad
Azhari. 2003. Introduction of
Islamic Philosophy, hlm: 228. Gombak : IIUM Press.
[17] Theophil Menzel. 1936. The Man and His Faith, hlm:
136.London: Ueorge Allen & Unwin Ltd.
[19] Arthur Jeffery.
1938. The Foreign
Vocabulary of the Qur’an, hlm: 2. Baroda: Oriental Institute.
[20] Beliau dilahirkan di Venlo pada 6 September 1963, sebuah
tempat di daerah Limburg di Belanda dan dibesarkan sebagai penganut Roman
Katolik, beliau pernah mengunjungi Israel sebanyak 40 kali.
[24] Sistem
pemerintahan yang membenarkan kewujudan satu parti sahaja, lihat Kamus Dewan,
hlm: 1385
[25] Utusan
Malaysia, 3 Mei 2012.
As salam wtk. penulisan yang sangat bagus. Patut dimenfaatkan oleh semua umat Islam.
ReplyDeleteMohon keizinan untuk share
As salam wtk. penulisan yang sangat bagus. Patut dimenfaatkan oleh semua umat Islam.
ReplyDeleteMohon keizinan untuk share