PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Friday 28 September 2012

ARGUMENTASI ORIENTALIS TERHADAP I’JAZ AL-QUR’AN


Menurut pandangan ahli usul fiqh dan ahli tafsir bahawa i’jaz al-Qur’an dapat disaksikan apabila berlaku penentangan yang datang dari pelbagai pihak, terutama dari musuh-musuh Islam untuk menandingi kemuliaan al-Qur’an dengan mengemukakan pelbagai bentuk tuduhan atau keraguan atau lain-lain lagi. Akan tetapi, usaha yang mereka lakukan itu tidak berjaya dan menemui jalan buntu, sehingga ahli sastera dan pujangga Arab sendiri tidak mampu menandingi kehebatan al-Qur’an. Sifat penentangan yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam, terutama orang-orang kafir yang tidak percaya kepada kebenaran al-Qur’an seolah-olah tiada penghujungnya dan berterusan sejak dahulu hingga sekarang.[1]  

            Maka di sini kami nyatakan beberapa sikap negatif orientalis terhadap i’jaz al-Qur’an yang sengaja direka-cipta semata-mata untuk mencari alasan menidakkan kebenaran al-Qur’an.

1. Al-Qur’an Hasil Ciptaan Muhamad s.a.w.
Seorang orientalis Barat bernama Theodor Noldeke cuba menggugat keunggulan keunggulan al-Qur’an supaya peranannya dapat dikurangkan dalam masyarakat. Beliau menggambarkan al-Qur’an sebagai ‘duplication’ dari kitab-kitab yang ada sebelum ini[2] dan beliau menganggap Muhamad s.a.w. sebagai seorang penyamar yang penuh dengan kepuraan, bukan seorang nabi dan beliau juga mendakwa al-Qur’an adalah hasil karangan Muhamad s.a.w.[3] Manakala William Montgomery Watt dalam bukunya berjudul ‘Bell’s Introduction to The Quran’[4] telah mempertikaikan keaslian ayat-ayat al-Qur’an yang ditulis pada zaman Uthman bin Afan r.a. Pandangan beliau dikongsi sama oleh Arthur Jeffery yang mempertikaikan tindakan Uthman bin Affan r.a. membuat pengumpulan semula dan menulis mushaf adalah bertujuan mempertahankan kedudukannya dalam iklim politik. Menurut beliau lagi, bahawa al-Qur’an memuatkan sejumlah permasalahan yang sangat besar, kerana mushaf Uthman telah menjadi penyebab perbezaan bacaan.[5] Dalam kalangan orientalis percaya bahawa al-Qur’an bukan Kalamullah sebagaimana yang diketahui umum, tetapi ianya adalah ciptaan dan rekaan Muhamad s.a.w. dan perkara ini secara tidak langsung menafikan wahyu yang diturunkan oleh Allah Taala. Mereka berpendapat bahawa al-Qur’an hanyalah kitab biasa dan bukan kitab yang mengandung ilmu i’jaz. Al-Qur’an juga tidak sekali-kali menunjukkan Kalamullah, tetapi ianya adalah perkataan Nabi s.a.w. yang dinisbahkan kepada Tuhannya untuk menguatkan kesuciannya. Sebab itu, baginda s.a.w. yang mempunyai kepintaran dan kecerdasan akal tidak mustahil mampu mengarang sebuah kitab yang berkualiti yang sama dengan al-Qur’an.[6]

          Dakwaan yang dilontarkan oleh golongan orientalis yang menyatakan al-Qur’an ciptaan dan rekaan Nabi s.a.w. adalah tidak benar, kerana baginda s.a.w. adalah seorang ummi, iaitu tidak pandai membaca dan menulis. Adalah sesuatu yang amat mustahil seorang yang buta huruf, tidak tahu membaca dan menulis, tiba-tiba dapat mencipta al-Qur’an, sedangkan baginda s.a.w. juga tidak pernah berguru atau menuntut ilmu dengan sesiapapun. Jika benar dakwaan tersebut, bagaimana baginda s.a.w. memperolehi maklumat tentang kisah umat purbakala? Jika benar al-Qur’an itu merupakan hasil ciptaan Nabi s.a.w. mengapa dalam kalangan orang-orang Yahudi dan Nasrani yang mempunyai kepakaran dalam bidang bahasa tidak mampu menghasilkan sebuah kitab yang setanding dengan al-Qur’an ? Maka, terbukti bahawa dakwaan mereka adalah tidak benar dan tuduhan adalah bohong semata-mata.

2. Al-Qur’an Adalah Ilham Dari Penyakit Epilepsi Nabi s.a.w.
Menurut Dr. Soroush[7], al-Qur’an merupakan produk pemikiran Nabi s.a.w.[8] dan menganggap baginda s.a.w. sama seperti para penyair dalam menggubah syair, maka demikian juga Nabi s.a.w. yang melakukan perkara yang sama[9]. Wahyu yang diterima oleh Nabi s.a.w. merupakan hasil dari khayalan orang yang menderita penyakit epilepsi[10]. Perkara ini dijelaskan dalam sepotong hadith[11] yang menyatakan keadaan baginda s.a.w. menerima wahyu terdapat tanda-tanda seperti wajah pucat, badan gementar dan keringat yang mengucur dari tubuh. Tanda-tanda seperti ini sama dengan tanda-tanda orang yang menderita penyakit epilepsi. Mereka mendakwa, ketika penyakit epilepsi itu menyerang, maka unsur-unsur metafizik mula meresap masuk ke dalam diri dan apabila baginda s.a.w. sedar lalu menyangka bahawa itu adalah wahyu dari Tuhannya. Montegomry Watt mengatakan bahawa Nabi s.a.w. sebenarnya orang yang benar dalam berbicara, tetapi memiliki keyakinan yang salah terhadap wahyu.[12]

            Dakwaan ini memang sengaja direka-cipta oleh golongan orientalis dan musuh-musuh Islam yang lain yang cuba menafikan al-Qur’an sebagai Kalamullah dan meletakkan kitab tersebut setaraf dengan kitab-kitab tulisan manusia. Dakwaan yang mereka kemukakan bahawa Nabi s.a.w. sama seperti seorang penyair dan mengubah syair amat tidak relevan, kerana gaya bahasa yang diguna-pakai dalam syair dengan gaya bahasa yang terdapat dalam al-Qur’an amat jauh berbeza. Sehingga kini, tidak ada seorangpun pakar-pakar bahasa yang mampu mencipta ayat yang sama atau yang lebih baik dari al-Qur’an. Andaikata wahyu yang diterima oleh Nabi s.a.w. itu merupakan khayalan kerana baginda s.a.w. mengidapi penyakit epilepsi, maka sudah tentu ayat-ayat al-Qur’an yang diterima itu tidak lengkap dan ada yang tercicir kerana penyakit tersebut akan merosakkan fikiran dan ingatan. Adalah sangat mustahil seorang yang mengidap gila babi atau penyakit sawam diangkat menjadi seorang Rasul Utusan Allah.

3. Al-Qur’an Saringan Daripada Kitab Taurat Dan Injil
William Montgomery Watt telah mendakwa bahawa al-Qur’an adalah kitab saringan yang diambil dari sosio-religius, iaitu dari Yahudi dan Kristian.[13] Perkara ini diperkuatkan lagi oleh Richard Bell dalam sebuah buku berjudul ‘The Origin of Islam in its Christian Environment’.[14] Teori pengaruh dakyah Kristian terhadap al-Qur’an dikem­bangkan lagi oleh seorang orientalis bernama Louis Cheikho dalam karyanya berjudul ‘an-Nasraniyah Wa Adabuha Bayn `Arab al-Jahiliyah’, beliau mengkaji secara mendalam literatur Kristian yang ada di dunia Arab termasuk mengkaji kata-kata, nama-nama Kristian yang diguna­kan oleh orang-orang Arab yang tersebar di Syam, Iraq, Yaman, Hijaz dan Najd. Bagaimanapun, tidak semua nama-nama yang ada di buku tersebut ada terdapat dalam al-Qur’an.[15] Perkara yang sama juga dilakukan oleh Julius Wellhausen yang menulis sebuah buku berjudul ‘Reste Arabischen Heidentums.[16] Mereka mendakwa bahawa pengetahuan Nabi s.a.w. tentang konsep kenabian dahulu diambil dari Yahudi dan gereja-gereja Kristian di Timur.[17]

       Dakwaan ini adalah tidak benar dan tidak tepat, kerana golongan Hunafa' menerima ajaran dan syariat yang ditinggalkan oleh nabi-nabi terdahulu yang isi kandungannya telah diselewengkan dan dicampur-aduk dengan pelbagai bentuk rekaan. Sekiranya benar dakwaan itu, sudah tentu para udaba, ahli sastera, pakar-pakar bahasa, para pendeta, ahli kitab dan cerdik pandai yang lain telah menulis beberapa kitab yang mempunyai persamaan dengan kitab al-Qur’an atau mengarang kitab-kitab tafsir untuk membuat ulasan mengenai kitab yang ditulis itu. Tetapi, sehingga kita tiada sebuah kitab atau surah atau ayat-ayat yang setanding dengan al-Qur’an dicipta. Andaikata ayat-ayat Al-Qur’an itu diambil dari ayat-ayat Taurat dan Injil, nescaya sudah pasti ada unsur-unsur persamaan dari sudut gaya bahasa, nilai balaghah, i’jaz dan lain-lain, tetapi kaedah gaya bahasa yang diguna-pakai oleh al-Qur’an amat jauh berbeza jika hendak dibandingkan dengan gaya bahasa yang terdapat dalam Taurat dan Injil.

            Mengenai wujudnya persamaan antara al-Qur’an dengan kitab-kitab samawi yang terdahulu, perkara tersebut memang diakui. Namun demikian persamaan tersebut bukan suatu kesalahan, kerana semua kitab-kitab suci ini adalah Kalamullah yang diwahyukan untuk menerangkan perkara-perkara yang sama kepada manusia. Perkara-perkara pokok yang diterangkan di dalamnya meliputi kewujudan Allah dan keesaanNya, kepercayaan kepada hari kiamat, kepercayaan kehidupan selepas mati dan lain-lain lagi. Persamaan kandungan yang dibawa oleh al-Qur’an dan agama samawi lain telah disebutkan dalam al-Qur’an, malah turut memberi pengiktirafan terhadap kebenaran kitab Taurat dan Injil.

Firman Allah Ta’ala:

وَأَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ مُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيْهِ مِنَ الْكِتَابِ وَمُهَيْمِنًا عَلَيْهِ ۖ فَاحْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ ۖ وَلاَ تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ عَمَّا جَاءَكَ مِنَ الْحَقِّ ۚ

Maksudnya: “Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab al-Qur’an dengan membawa kebenaran untuk mengesahkan benarnya kitab-kitab suci yang telah diturunkan sebelumnya (Zabur, Taurat dan Injil) dan untuk memelihara serta mengawasinya, maka hendaklah kamu berhukum di antara mereka itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah kamu mengikut kehendak hawa nafsu mereka dari apa yang telah datang kepadamu tentang kebenaran”[18].

4. Al-Qur’an Mengandungi Prosa Kata Asing
Menurut seorang orientalis yang bernama Arthur Jeffery, bahasa al-Qur’an tidak terlepas dari pengaruh pelbagai bahasa seperti Ethiopia, Aramaic, Ibrani, Syria, Yunani Kuno, Parsi dan bahasa-bahasa lain. Perkara ini di­sebabkan pada zaman Rasulullah s.a.w. bangsa Arab telah mengadakan hubungan dengan budaya lain seperti Parsi, Syria dan Ethiopia. Dengan hubungan ini secara tidak langsung menghasilkan pertukaran prosa kata.[19]

       Dakwaan Arthur Jeffery ini cuba menidakkan bahawa al-Qur’an itu bukan datang dari Allah dan sebaliknya menuduh al-Qur’an itu ciptaan Muhamad s.a.w. Sebab itu beliau mendakwa bahasa al-Qur’an tidak terlepas dari pengaruh pelbagai bahasa seperti Ethiopia, Aramaic, Ibrani, Syria, Yunani Kuno, Parsi dan bahasa lain. Perlu dijelaskan, al-Qur’an itu adalah Kalamullah yang qadim, yang diturunkan oleh Allah kepada Muhamad s.a.w. melalui perantaraan Malaikat Jibril a.s. Apa-apa yang terdapat di dalam al-Qur’an itu adalah ciptaan Allah sendiri, termasuk ejaan huruf, susunan perkataan dan ayat-ayatnya serta kisah-kisah yang terdapat di dalamnya adalah datangnya dari Allah. Tiada campurtangan asing dalam al-Qur’an walaupun dari perkataan Nabi s.a.w. sendiri, apatah lagi terpengaruh dengan bahasa asing.

5. Al-Qur an Adalah Ancaman Jangka Panjang
Seorang ahli parlimen politik Belanda bernama Geert Wilders[20] dan juga pengasas Parti Pembebasan Belanda (PVV) telah menyatakan bahawa Islam dan al-Qur’an adalah ancaman jangka panjang. Dia mengaku telah bertemu dengan Ariel Sharon dan Ehud Olmert secara peribadi serta mempunyai hubungan erat dengan Mossad. Pada 8 Ogos 2007, Wilders telah menulis surat kepada akhbar De Volkskrant bahawa beliau menuduh al-Qur’an sebagai buku fasis yang dianggap sebagai menyalahi undang-undang di Belanda, sebagaimana buku ‘Mein Kampf’ tulisan Adolf Hitler. Beliau menyatakan bahawa al-Qur’an menanam rasa kebencian dan pembunuhan, dan al-Qur’an tiada tempat dalam perundangan Belanda. Beliau telah melancarkan perang terbuka terhadap Islam melalui filem ‘Fitna’ yang menuduh Islam dan al-Qur’an adalah ancaman jangka panjang bagi Belanda dan dunia. Filem tersebut memuatkan potongan ayat-ayat al-Qur’an berselang seli dengan rakaman pidato para ulama Islam berkenaan Jihad serta gambar-gambar yang diterjemahkan sebagai ‘keganasan’. Filem ini diakhiri dengan pesanan supaya berwaspada terhadap ancaman Islam. Wilders merancang untuk memusnahkan al-Qur’an dari dada umat Islam dan merancang untuk menghancurkan umat Islam, tetapi beliau lupa kepada perancangan Allah Yang Maha Bijaksana.[21]

            Wilders juga dilihat seolah-olah kehilangan hujah untuk menghentam Islam dan sengaja mempromosikan isu-isu seperti zina, homoseksual dan anti-agama lain cuba diketengahkan. Tetapi beliau terlepas pandang bahawa isu-isu itu juga menjadi teras kepada kitab-kitab suci agama lain termasuk kitab Yahudi itu sendiri. Seorang penulis Yahudi Belanda, Harry de Winter telah mengkritik Wilders di halaman sebuah akhbar harian Belanda de Volkskrant, beliau menyatakan bahawa sekiranya Wilders menyebut perkara yang sama terhadap Yahudi dan Kitab Suci Perjanjian Lama seperti yang sekarang dilontarkannya terhadap Muslim dan kitab suci al-Qur’an, maka sudah lama beliau tersingkir kerana dihukum dengan tuduhan anti-semitisme. Wilders juga perlu sedar, golongan homoseksual di Belanda sememangnya telah lama ditindas dan didiskriminasi oleh pihak Kerajaan Belanda yang secara majoriti dikuasai parti beragama Kristian. Mengapa pula Wilders tidak menyentuh diskriminasi Kristian terhadap homoseksual? Maka dengan sebab itu, Wilders telah menjadi sasaran kritikan hebat oleh ahli-ahli parlimen Belanda.[22]

         Pada 1 April 2008, parlimen Belanda membantah Wilders dan memohon tunjuk sebab mengapa Filem ‘Fitna’ diterbitkan, ketika itu tiada satu pun parti yang mendokong Wilders. Beliau menyatakan, kebebasan berpendapat adalah hak asasi manusia, tetapi beliau lupa terhadap sikap beliau sendiri yang membataskan kebebasan umat Islam dengan mengharamkan al-Qur’an. Wilders dituntut oleh Perdana Menteri Belanda, Balkenende supaya memohon maaf kepada umat Islam. Bagaimanapun Wilders dengan angkuh mengatakan tidak sekali-kali akan meminta maaf kepada pemerintah walaupun seratus ribu tahun lagi. Namun, tayangan filem ‘Fitna’ telah menambahkan bilangan angka umat Islam Belanda daripada 450 ribu pada tahun 1990 kepada 944 ribu pada tahun 2004. Malah jumlah umat Islam di seluruh Eropah telah mencecah ke angka 54 juta orang pada tahun 2007.[23] Dalam mempromosikan bukunya bertajuk ‘Marked for Death’, beliau menggesa penganut Islam di seluruh dunia meninggalkan agama itu dan menuduh Islam adalah ideologi totalitarian[24] serta menggalakkan umat Islam yang cinta keamanan meninggalkan agama itu.[25]




Sekian, wassalam


Al-Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa el-Batnani








             
[1] Abu Bakr Muhammad ibn al-ayyib al-Baqillani. 1978.  I’jaz al-Qur’an. hal. 33-50. Damaskus: al Maktab al Islami.
[2] Nasaruddin Umar.2006. Al-Quran di Mata Mantan Intelektual Muslim: Ibn Warraq dan Mark A. Gabriel, dalam Jurnal Stujdi al-Quran, edisi kedua, vol. I, No. 2,  hlm: 91-93
[3] Syamsuddin Arif. 2008. Orientalis dan Diabolisme Pemikiran, hlm: 24. Jakarta: Percetakan GIP.               
[4] Watt, William Montgomery. 1977. Bell’s Introduction to the Quran.hal: v. Edinburgh University Press, Edinburgh.
[5] Adnin Armas. 2005. Metodologi Bibel Dalam Studi Al-Qur’an , hlm: 14-15. Jakarta: Percetakan GIP.
[6] Dr. Muhammad al Sayyid al Jalinid. (t.th). Al-Istisyroq Wa al-Tabsyir (Muzakirat Dirasat Wa al- Buhutt al-Islamiyah, Kuliyah Dar al-Uulum al-Azhar).hal: 23-27.Kaherah.(t.pt)
[7] Beliau ialah Abdul Karim Soroush, berasal dari Iran dan pada tahun 1995 seorang wartawan Amerika, Robin Wright dari Los Angeles Times menyatakan Soroush dianggap sebagai ‘Luther Islam’ kerana fahaman liberalnya yang menyimpang dari Islam.            
[10] Epilepsi ialah sejenis penyakit saraf menyebabkan orang yang diserang penyakit ini tidak sedar diri, juga dipanggil gila babi atau sawam, lihat Kamus Dewan Edisi Baru, hal: 316.
[11] Hadith ini terdapat dalam kitab Fath Al Bahri Bi Syarh Sahih Al Bukhari, jil:1, hal: 25-26, dalam bab Kitab Bud’u Al Wahyu, oleh: Ibn Hajar Al ‘Asqulani, Kaherah: Dar Ar Rayyan Lil Turath, 1986.
[12] The Encyclopedia of Religion. 1987, vol – 10, p – 138. New York.
[13] William Montgomery Watt. 1969. Islamic Revolution in the Modern World, hlm: 55. Edinburgh: The University Press.
[14] Richard Bell. 1926. The Origin of Islam in its Christian Environment, hlm: 17. London: Dreembel.
[15] Louis Cheikho. 1989. AI-Nasraniyah Wa Adabuha Bayn ‘Arab al-Jahiliyah, hlm: 256. Beirut: Dar al-Mashriq Sham.
[16] Muhammad Azhari. 2003. Introduction of Islamic Philosophy, hlm: 228. Gombak : IIUM Press.
[17] Theophil Menzel. 1936. The Man and His Faith, hlm: 136.London: Ueorge Allen & Unwin Ltd.
[18] Al-Qur’an, Surah al Maidah: 3:48
[19] Arthur Jeffery. 1938. The Foreign Vocabulary of the Qur’an, hlm: 2. Baroda: Oriental Institute.
[20] Beliau dilahirkan di Venlo pada 6 September 1963, sebuah tempat di daerah Limburg di Belanda dan dibesarkan sebagai penganut Roman Katolik, beliau pernah mengunjungi Israel sebanyak 40 kali.
[24] Sistem pemerintahan yang membenarkan kewujudan satu parti sahaja, lihat Kamus Dewan, hlm: 1385
[25] Utusan Malaysia, 3 Mei 2012.

2 comments:

  1. As salam wtk. penulisan yang sangat bagus. Patut dimenfaatkan oleh semua umat Islam.

    Mohon keizinan untuk share

    ReplyDelete
  2. As salam wtk. penulisan yang sangat bagus. Patut dimenfaatkan oleh semua umat Islam.

    Mohon keizinan untuk share

    ReplyDelete