PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Tuesday 29 January 2013

ISTIQOMAH DAN PENDIRIAN HIDUP


Menurut bahasa, istiqomah bererti lurus dan rata, manakala dari sudut istilah pula sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn Rejab, iaitu berdiri pada jalan yang lurus (ad-Deen al-Qayyim) tanpa adanya kepincangan, sama ada ke kanan atau ke kiri yang mencakupi segala bentuk ketaatan kepada Allah, sama ada bersifat lahiriyah ataupun batiniyah serta meninggalkan segala laranganNya. Istiqomah juga bererti konsisten dan teguh berdiri di jalan ketaatan kepada ketuhanan Allah, iaitu melakukan sesuatu amalan itu dengan secara berterusan dan dengan berpegang teguh kepada ajaran Islam tanpa sedikitpun ada keraguan. Secara dasarnya, istiqomah bererti berdiri teguh di atas jalan yang benar, iaitu jalan Islam dalam segenap penjuru dan ruang-lingkup kehidupan, sama ada dari sudut akidah dan pegangan hidup, dari sudut ibadat dan amalan, dari sudut pandangan dan perjuangan hidup dan sebagainya, iaitu tidak sedikitpun akan berganjak dari jalan tersebut walaupun terdapat pelbagai ancaman, godaan dan rintangan.

            Di dalam sepotong hadith, yang diriwayatkan dari Sufian Ibn Abdullah r.a. telah menceritakan bahawa beliau pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. mengenai suatu ungkapan yang mana beliau tidak akan bertanya lagi tentangnya dengan orang lain, lalu Rasulullah s.a.w. menjawab:

قُلْ أمَنْتُ بِالله ثُمَّ اسْتَقيْم

Maksudnya: “Katakanlah, Aku beriman dengan Allah dan kemudian hendaklah kamu istiqomah”.


            Di sana terdapat pelbagai ulasan dan pandangan para ulama mengenai hadith di atas dan untuk lebih memahami, ada baiknya kita berkongsi pendapat dengan ulasan yang dikemukakan oleh para ulama mengenai hadith di atas.

            Menurut pendapat Qadi bin ‘Iyadh bahawa hadith ini adalah di antara ungkapan yang ringkas, tetapi padat dengan makna dari Rasulullah s.a.w. Maka benarlah di sana bahawa orang-orang yang berkata Tuhan kami adalah Allah dan kemudian mereka beristiqomah dan tidak berpaling dari akidah tauhid, berterusan dengan keiltizaman mentaati perintah Allah sehingga ke akhir hayat. Oleh itu. Konsep istiqomah menurut Qadi bin ‘Iyadh adalah tetap berdiri teguh di atas prinsip tauhid dan mentaati perintah Allah hingga menemui ke akhir hayat.


            Manakala Iman al-Munawi telah menyatakan bahawa ungkapan perkataan: ‘Aku Beriman Dengan Allah’ bermaksud memperbaharui iman kepada Allah dengan menyebutnya dalam hati sanubari dan jiwa nurani serta mengungkapkan dengan lidah dan kemudian menghadirkan segala pengertian iman yang disyari’atkan. Manakala ungkapan perkataan: ‘Hendaklah Kamu Beristiqomah’ bermaksud beriltizam dengan mengerjakan amal ketaatan dan menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang bertentangan dengan syari’at Allah. Oleh itu, pengertian istiqomah menurut pandangan Imam al-Munawi ini ialah berkisar mengenai nilai-nilai ketaatan kepada Allah dan menjauhi segala rupa bentuk larangan-laranganNya.

Firman Allah Ta’ala:

فَاسْتَقِيمُوا إِلَيْهِ وَاسْتَغْفِرُوهُ

Maksudnya: “Maka hendaklah kamu beristiqomah kepadaNya dan pohonlah keampunanNya”.

Perkataan  istiqomah  dalam ayat ini adalah bermaksud tegak di atas jalan yang lurus untuk mengabdikan diri kepada Allah tanpa berpaling ke arah yang lain. Istiqomah juga bermaksud ‘al-istiwa’ iaitu lurus dan seimbang tanpa berbelah bagi. Di dalam sepotong ayat yang lain, Allah berfirman:

إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang berkata, “Tuhan kami adalah Allah, kemudian beristiqomah”.

Di dalam ayat ini, perkataan istiqomah adalah bermaksud melaksanakan ketaatan kepada Allah dan berpegang teguh kepada sunnah Nubuwah s.a.w. Menurut al-Aswad ibn Malik, bahawa ayat ini membawa pengertian agar setiap muslim yang melapazkan pengakuan keimanan tidak sekali-kali menyekutukan Allah dengan apa jua sekalipun, manakala menurut al-Qatadah bahawa perkataan istiqomah pada ayat di atas bererti teguhkan pendirian untuk selalu mentaati perintah Allah Ta’ala. Oleh itu, nilai-nilai istiqomah ini dapat dikatakan sebagai pendirian yang teguh atau konsisten untuk sentiasa mentaati perintah dan titah Allah, sama ada dalam keyakinan, perkataan dan perbuatan, kemudian tetap kekal dalam tersebut. Ianya melambangkan keteguhan iman yang terpancak dalam hati sanubari, ikhlas dalam amalan hidup dan menunaikan seluruh kewajiban.

            Sesungguhnya Allah Ta’ala telah mewajibkan kepada Rasulullah s.a.w. dan sekalian kaum muslimin agar sentiasa istiqomah dan tetap berdiri teguh di jalan Allah. Perkara ini telah dimaklumkan dalam sepotong ayatNya, di dalam Surah Hud ayat 112:

فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَنْ تَابَ مَعَكَ وَلاَ تَطْغَوْا إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Maksudnya: “Maka beristiqomahlah kamu (wahai Muhamad) di atas jalan yang benar, sebagaimana yang diperintahkan kepada mu dan kepada orang-orang yang kembali bertaubat bersama mu, janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan”.

           Apabila Allah Ta’ala memerintahkan supaya taat setia kepada segala suruhan dan laranganNya yang mencakupi pelbagai bidang dan lapangan hidup, bermula dari akidah tauhid, nubuwah, dakwah, perjuangan dan sebagainya, maka di sana Allah memerintahkan kepada Rasulullah s.a.w. supaya beristiqomah, iaitu teguhkan pendirian di atas apa yang telah diperintahkan itu kepadanya.  Perintah istiqomah di sini mencakupi pelbagai perkara dan pelbagai bidang dalam program syari’at  dan tugas ini tentunya sangat berat dan tidak tertanggung oleh manusia biasa. Menurut Ibn Abbas r.a. bahawa tidak ada ayat yang diturunkan kepada Nabi s.a.w. yang lebih berat dan sangat sulit berbanding dengan Surah Hud, ayat 112.  Oleh sebab itu, apabila baginda s.a.w. diajukan pertanyaan oleh para sahabat mengapa rambutnya cepat sekali beruban, lalu baginda s.a.w. menyatakan bahawa rambutnya uban dengan sebab Surah Hud.


Sekian, wassalam

Al Faqir Ila Afwi Rabb
Lutpi Mustafa el-Batnani

No comments:

Post a Comment