Tentu sekali, istiqomah mempunyai
nilai-nilainya sendiri di sisi Allah untuk dibayar dengan harga yang mahal,
nilai-nilai istiqomah ini bertanggungjawab mengukuhkan lagi hubungan dengan
ketuhanan di samping melahirkan perasaan indah dan nyaman ketika melakukan
ubudiyah kepadaNya. Perasaan hati sanubari dan jiwa nurani akan dicengkam erat
terhadap keesaan Allah dengan memasukkan warna keimanan yang luhur dan
merungkaikan segala ikatan yang lain yang tiada kaitan dengan Allah. Segala
godaan hawa nafsu dan bisikan syaitan laknat akan dilempiaskan jauh-jauh agar
iman yang tersimpan erat dalam hatinya menjadi putih bersih.
Nilai-nilai
istiqomah ini juga akan mempertarungkan di antara warna keimanan dan warna
kekufuran dalam pegangan hidup seseorang hamba. Pertarungan ini melambangkan
kekuatan dan nilai upaya yang sepatutnya dan yang perlu wujud dalam pegangan
hidup seseorang hamba. Kerana, iman dan kufur sentiasa bertelingkah dan
berbalah dan tidak sekali-sekali boleh kompromi dalam satu pegangan hidup.
Andaikata iman itu menang dalam pertarungan, maka secara tidak langsung kufur
itu dapat tewas dan dikalahkan, kemudian disingkirkan dari pegangan hidup.
Tetapi, andaikata kufur itu menang dalam pertarungan hidup, maka sudah tentu
iman itu akan tumbang dan kalah, maka pegangan hidup yang ada dalam diri itu
adalah pegangan yang berasaskan tali kekukufuran.
Maka
sebab itu, untuk memangkin kekuatan iman agar sentiasa sebati dengan darah
daging, sebati dengan jiwa raga dan sebati dengan amalan dan budaya hidup, maka
nilai-nilai istiqomah inilah yang perlu diserapkan, nilai-nilai inilah yang
perlu dijelmakan dan nilai-nilai ini juga perlu diturapkan dalam diri agar
perjalanan untuk mencari rahmat Allah pasti kesampaian.
Sekian, wassalam
Al Faqir Ila 'Afwi Rabb
Lutpi Mustafa el-Batnani
No comments:
Post a Comment