Setiap hamba yang
beriman kepada Allah mesti memahami hakikat kehidupan, bahawa kehidupan yang
dibawa itu sebenarnya mempunyai tujuan dan matlamat untuk dibawa ke pangkuan
Allah, kehidupan itu sebenarnya mempunyai arah dan hala tuju yang perlu
dijelmakan mengikut acuan syari’at dan kehidupan itu sebenarnya tidak boleh
berada jauh dari garis panduan syari’at. Segala perjalanan dan gerak-geri dalam
kehidupan, segala amalan dan perbuatan, segala gerak kerja dan tingkah-laku
akan dipertimbangkan dan dihitung di hari akhirat nanti. Di dalam merealisasi perjalanan
hidup agar tidak melencong jauh dari syari’at, maka sudah tentu di sana
terdapat pelbagai bentuk halangan dan rintangan yang terpaksa ditempoh oleh
seseorang muslim. Andaikata dia tidak berjaya dalam menghadapi halangan dan
rintangan ini atau dia gagal menempoh halangan yang ada di hadapannya, maka
sudah pasti dia akan rebah dan kecundang, dia akan kalah dalam pertarungan
tersebut ketika menghadapi kehidupan.
Namun demikian, perkara ini bukan bererti dia terus gagal
dalam perjuangan hidupnya, halangan dan rintangan itu bertujuan untuk
‘mendewasakan’ kehidupannya agar dia menjadi seorang yang cekal dan tidak mudah
‘patah semangat’, tidak mudah putus asa atau menyerah kalah. Apa jua bentuk
halangan dan rintangan yang datang menjelma, yang penting perkara tersebut
tidak mengubah pendirian dan pegangan hidupnya, perasaan hati sanubari dan jiwa
nuraninya tidak sedikitpun bergerak dan berganjak dari tempat asalnya, hubungan
ketuhanan yang diikat dan dibelit dalam dirinya tidak sedikitpun kelihatan
tanda-tanda kecacatan, bahkan perkara tersebut telah mengukuhkan lagi simpulan
tali keimanan terhadap ketuhanan Allah. Maka di sinilah letaknya kekuatan
istiqomah.
Firman Allah Ta’ala:
إِنَّ
الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا فلاَ خَوْفٌ عَلَيْهِمْ
ولاَ هُمْ يَحْزَنُونَ أُولَٰئِكَ
أَصْحَابُ الْجَنَّةِ خَالِدِينَ فِيهَا جَزَاءً بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya mereka yang berkata: Tuhan kami adalah Allah, kemudian mereka beristiqomah, maka tak ada baginya rasa takut dan dukacita, mereka adalah penghuni syurga kekal di dalamnya sebagai balasan atas apa-apa yang mereka lakukan”.[1]
Kekuatan istiqomah adalah bergantung kepada kekuatan iman dan keluhurannya, kerana hubungan yang erat dengan ketuhanan Allah akan menjamin nilai-nilai dan keunggulan dirinya. Hubungan yang erat itu akan mengikat kuat simpulan tali keimanan dan pegangannya itu agar tidak terlucut dan tidak terlepas. Hubungan itu juga akan menjamin masa depan kehidupan, di dunia dan di akhirat. Maka, nilai-nilai istiqomah akan datang dengan sendiri dalam kehidupan apabila nilai-nilai keimanan dan ketakwaan itu datang menjelma, yang mengikat erat pegangan akidah terhadap ketuhanan Allah, nilai-nilai istiqomah itu akan menjadi sebati dengan nilai-nilai keimanan dan ketakwaan yang tidak mungkin dipisahkan.
Seseorang manusia yang lemah imannya dan lembik pula pegangannya
adalah manusia yang tidak tahan diuji, manusia seumpama ini adalah manusia yang
tidak lasak dan mudah rentung dalam kehidupan. Jika demikian, sudah tentu
mereka akan mudah kalah dan mudah menyerahkan kalah dalam menghadapi situasi
yang mencengkam ruangan hidupnya, mereka tidak mampu menyekat godaan yang
datang menjelma dan mereka tidak mampu bersabar atau menahan diri dari badai
yang melanda yang menguji kekuatan hidupnya. Mereka akan menjadi manusia yang
kecundang dan tersungkur dalam perjuangan hidup, sebabnya ialah kerana faktor
kelemaham iman dan kelembikan pegangan. Faktor inilah yang menyebabkan manusia
sanggup menjual agama dengan harga yang murah tanpa menyedari nilai-nilai
harganya sangat mahal di sisi Allah. Andaikata mereka menyedari betapa mahalnya
nilai-nilai agama, iaitu nilai-nilai iman dan pegangan hidupnya di sisi Allah,
nescaya mereka tidak sanggup berbuat demikian. Mereka sanggup terkorban dan
sanggup mengorbankan diri demi agama yang tercinta, mereka sanggup menggadai
nyawa dan menukarkannya dengan sebuah kematian, mereka sanggup menukarkan
kehidupan duniawi dengan kehidupan ukhrawi, mereka sanggup menjual kehidupan
dengan harga yang murah dan membeli kematian dengan harga yang mahal demi iman
dan pegangan hidupnya terhadap ketuhanan Allah. Para mujahidin dan para
pejuangan sepanjang zaman sanggup menukarkan harta benda dan kemewahan hidup,
sanggup menggadai nyawa dan kehidupan demi agama, sanggup meninggalkan belaian
kasih-sayang bersama anak dan isteri demi mempertahankan agama Allah, sedangkan
mereka tahu bahawa jalan tersebut adalah jalan yang sukar dan memilukan, jalan
tersebut penuh dengan ranjau yang berliku-liku, penuh dengan onak dan duri, penuh
dengan kesakitan dan tragis. Namun, kerana agama Allah segala-gala bertukar
wajah dan tidak boleh bertolak-ansur.
Kenapa mereka sanggup berbuat demikian..?
Sudah tentu kerana agama Allah, kerana iman dan pegangan hidupnya
terhadap Allah. Nilai-nilai inilah yang akan membentuk kekuatan hati dan
keunggulan diri, nilai-nilai ini akan menyusur dalam kehidupan untuk membentuk
keyakinan dan keyakinan inilah yang akan membentuk nilai-nilai istiqomah untuk
diprogramkan dalam rutin kehidupannya.
Sabda Rasulullah s.a.w.
قَالَ هَذَا سَبِيلُ اللَّهِ ثُمَّ خَطَّ خُطُوطًا عَنْ يَمِينِهِ وَعَنْ شِمَالِهِ ثُمَّ قَالَ هَذِهِ سُبُلٌ قَالَ يَزِيدُ مُتَفَرِّقَةٌ عَلَى كُلِّ سَبِيلٍ مِنْهَا شَيْطَانٌ يَدْعُو إِلَيْهِ ثُمَّ قَرَأ: إِنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ
Maksudnya: “Ini adalah jalan Allah, kemudian beliau
membuat garis-garis lain di samping kiri dan kanannya dan bersabda: Ini adalah
jalan-jalan yang lain, tidak ada satupun darinya melainkan padanya ada syaitan
yang menyeru kepadanya, kemudian baginda membaca ayat[2]: “Dan bahawa apa yang Kami
perintahkan ini adalah jalan Ku yang lurus, maka ikutilah dan jangan kamu
mengikuti jalan-jalan (yang lain) kerana jalan-jalan itu akan mencerai-beraikan
kamu dari jalanNya”.
Sekian, wassalam
Al Faqir Ila Afwi Rabb
Lutpi Mustafa el-Batnani
No comments:
Post a Comment