PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Tuesday 25 October 2011

SIKAP HATI ORANG-ORANG KAFIR

Orang-orang kafir mempunyai perasaan hati yang berlainan dengan orang-orang yang beriman, walaupun pada zahirnya mereka mempunyai persamaan dari segi rupa bentuk, tetapi pada hakikatnya mereka adalah tidak sama dan tidak serupa. Konsep kepercayaan hidup mereka menjurus kepada konsep syirik, konsep pendewaan, konsep pemujaan, konsep penyembahaan dan konsep-konsep tersebut boleh menyesatkan kehidupan manusia. Lama-kelamaan kehidupan mereka terumbang-ambing di celah-celah kesesatan kerana tiada pedoman dan matlamat yang jelas dalam konsep kepercayaan mereka.

        Orang-orang kafir mempunyai penilaian hati yang singkat dan jumud, tidak mempunyai pandangan yang jauh terhadap perkara-perkara yang lebih abstract seperti kepercayaan hari khiamat, adanya kehidupan kali kedua selepas mati, adanya nikmat kubur dan azab kubur, adanya syurga dan neraka, adanya titian sirath dan lain-lain lagi.

Firman Allah Ta’ala:

وَإِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَحْدَهُ اشْمَأَزَّتْ قُلُوبُ الَّذِينَ لاَ يُؤْمِنُونَ بِالآخِرَةِ وَإِذَا ذُكِرَ الَّذِينَ مِنْ دُونِهِ إِذَا هُمْ يَسْتَبْشِرُونَ

Maksudnya: " Ketika disebut Allah sendirian sahaja, amatlah kesal hati orang-orang yang tidak percaya hari akhirat, tetapi ketika disebut selain dari Allah, ketika itu mereka amat gembira “ (Az Zumar: 45).

       Perasaan hati mereka tidak mahu sedikitpun mengingati kebesaran Allah dan keagunganNya, walaupun untuk seketika. Perasaan hati mereka tidak yakin kepada Allah, sebab itu mereka menyangka kehidupan di atas dunia ini adalah segala-galanya dan tiada kehidupan yang lain selepas itu. Riwayat hidup manusia akan terhenti dan tamat di situ sahaja, kerana itulah mereka tidak percaya kepada hari akhirat.

Firman Allah Ta'ala:

أُولَٰئِكَ الَّذِينَ طَبَعَ اللَّهُ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ وَسَمْعِهِمْ وَأَبْصَارِهِمْ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ

Maksudnya: " Mereka itu telah dicop oleh Allah akan hati, pendengaran dan penglihatan mereka dan sesungguhnya mereka itu adalah orang-orang yang lupa “ (Al Nahl:108).

       Hati orang-orang kafir ini adalah hati manusia pengecut dan takut kepada realiti yang ada dan mereka takut kepada kematian apabila diajak berjuang.

Firman Allah Ta'ala:

إِنَّمَا يَسْتَأْذِنُكَ الَّذِينَ لاَ يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَارْتَابَتْ قُلُوبُهُمْ فَهُمْ فِي رَيْبِهِمْ يَتَرَدَّدُونَ
Maksudnya: " Sesungguhnya orang-orang yang meminta izin kepada kamu “ (tidak mahu pergi berperang) hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat, hati mereka ragu-ragu, sebab itulah mereka bingung dalam keraguan “ (At Taubah: 45).

       Allah telah membuat cermin perbandingan yang jelas tentang amalan-amalan yang dilakukan oleh orang-orang kafir, bahawa ianya sedikitpun tidak berguna dan tidak memberi apa-apa manfaat walaupun kepada dirinya sendiri.

Firman Allah Ta'ala:

مَثَلُ الَّذِينَ كَفَرُوا بِرَبِّهِمْ أَعْمَالُهُمْ كَرَمَادٍ اشْتَدَّتْ بِهِ الرِّيحُ فِي يَوْمٍ عَاصِفٍ لاَ يَقْدِرُونَ مِمَّا كَسَبُوا عَلَىٰ شَيْءٍ ذَٰلِكَ هُوَ الضَّلاَلُ الْبَعِيدُ

Maksudnya: " Perumpamaan orang-orang yang kafir kepada Tuhan, amalan mereka bagaikan abu yang ditiup angin ketika musim angin kencang, mereka tidak mendapat apa-apa hasil dari usahanya dan itulah kesesatan yang jauh “ (Ibrahim: 18).




Sekian, wassalam



Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani


No comments:

Post a Comment