PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Tuesday 25 October 2011

MARHALAH KEHIDUPAN SUFI: KEBERSIHAN DIRI


Setiap muslim yang ingin mengharungi kehidupan yang suci dan ingin mencari seteguk keredhaan ILAHI mestilah membersihkan diri dari sebarang bentuk kekotoran, sama ada kekotoran zahir atau kekotoran batin, supaya setiap amalan hidup dapat diterima oleh Allah dengan sempurna. Menjadi suatu kelaziman, kebersihan zahir itu biasanya melambangkan kebersihan batin. Oleh sebab itu, kedua-dua aspek ini saling berkaitan di antara satu sama lain. Kalaulah seseorang itu hanya menumpukan perhatian kepada kebersihan zahir sahaja, tanpa menumpukan perhatian kepada kebersihan batin, nescaya amalan hidupnya itu tidak sempurna dan tidak ikhlas. Begitu juga, sekiranya kebersihan itu hanya ditumpukan kepada kebersihan batin semata-mata, tanpa menumpukan perhatian kepada kebersihan zahir, nescaya amalan hidupnya tidak sah atau tidak menepati syari’at. Apa yang penting di sana ialah menggabungkan di antara kedua-dua aspek tersebut menjadi satu…..

1. KEBERSIHAN FIZIKAL
Maksud kebersihan fizikal ialah menyucikan segala anggota tubuh badan dari segala rupa bentuk najis atau kekotoran menurut apa yang telah digariskan dalam syari'at. Ianya termasuk membersihkan pakaian yang dipakai, lebih-lebih lagi ketika hendak menunaikan amal ibadat kepada Allah Ta'ala. Kebersihan fizikal juga termasuk menjaga dan memelihara makanan untuk disuapkan ke dalam perut dan menegah daripada memakan makanan atau minuman yang diharamkan, kerana ianya boleh mengotorkan kebersihan hati. Terdapat dua kaedah dan cara bagaimana membersihkan diri dari najis atau kekotoran:

1.1. Dengan cara menghilangkan atau membasuh segala rupa bentuk najis dan kekotoran dengan menggunakan air atau benda-benda kesat.

1.2. Dengan cara mengangkat hadas, sama ada hadas kecil seperti mengambil wuduk ataupun hadas besar seperti mandi wajib dengan sebab keluarnya mani kerana bersetubuh atau bermimpi atau sebagainya. Mengangkat hadas ini boleh juga menggunakan kaedah tayammun dengan debu yang bersih sebagai ganti ketiadaan air. Tujuan Islam menganjurkan kepada umatnya memelihara kebersihan diri adalah untuk mengharuskan menunaikan kefardhuan.


Firman Allah Ta'ala:

يَا أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ قُمْ فَأَنْذِرْ وَرَبَّكَ فَكَبِّرْ وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ وَالرُّجْزَ فَاهْجُرْ

Maksudnya: Wahai orang yang berselimut! Bangun dan berilah peringatan, kepada Tuhan mu hendaklah kamu besarkan, pakaian mu hendaklah dibersihkan dan perkara yang tidak suci hendaklah kamu hindarkan “ (Al Muddasir: 1-5).

     Umat Islam adalah umat yang bersih dari segala sudut dan aspek kehidupan, umat Islam adalah umat yang bernilai yang mencerminkan keperibadian dan penampilan diri terhadap realiti kehidupan, kerana kebersihan dapat melambangkan nilai keagungan sejagat terhadap umat itu sendiri, apatah lagi untuk menghadirkan diri dalam majlis ibadat dan majlis untuk memuji-muji kebesaran Allah.

Sabda Rasulullah s.a.w.
    اَلطُّهُوْرُ شَطْرُ اْلإِيْمَانِ

Maksudnya: " Sesungguhnya kebersihan itu adalah separuh daripada iman “ (Riwayat Muslim).

      Kebersihan juga merupakan syarat untuk menentukan sesuatu amalan itu diterima atau ditolak oleh Allah, sebagaimana dijelaskan di dalam sepotong hadith.
  
Sabda Rasulullah s.a.w.

إِنَّ اللهَ تَعَالَى طَيِّبٌ لاَ يَقْبَلُ إِلاَّ طَيِّبًا وَإِنَّ اللهَ أَمَرَ اْلمُؤْمِنِيْنَ بِمَا أَمَرَ بِهِ اْلمُرْسَلِيْنَ فَقَالَ تَعَالَى: يآ أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوْا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوْا صَالِحًا، وَقَالَ تَعَالَى: يآ أَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ، ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلُ يُطِيْلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّّ يَدَيْهِ اِلَى السَّمَاءِ: يآ رَبُّ يآ رَبُّ! وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِىَ بِاْلحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لَهُ

Maksudnya: " Sesungguhnya Allah Ta'ala itu baik dan tidak sekali-kali menerima melainkan kebaikan, sesungguhnya Allah Ta'ala memerintahkan orang-orang mukmin sama seperti apa yang diperintahkan kepada sekalian Rasul, Allah berfirman: Wahai sekalian Rasul!  Makanlah dari makanan yang baik-baik dan beramallah dengan amalan yang soleh dan Allah berfirman lagi: Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari makanan yang baik-baik terhadap apa yang Kami kurniakan kepada kamu, kemudian disebut seorang lelaki yang jauh perjalanannya, berkeadaan kusut rambutnya lagi berdebu mukanya, menghulurkan dua tangan menadah ke langit sambil berdoa: Wahai Tuhan..! Wahai Tuhan..! Pada hal makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan setiap kali ia mengenyangkan perut dengan benda-benda yang haram, bagaimana doanya diperkenankan ?"(Riwayat Muslim).

            Konsep kebersihan yang terbentuk pada fizikal manusia, sudah pasti akan membawa padah sekiranya diabaikan tanggungjawab tersebut. Manusia perlu menilai semula erti kebersihan yang menampilkan struktur keindahan diri dan melambangkan etika hidupnya seharian, justeru mencerminkan keagungan nilai-nilai hidup terhadap konsep alam dan sekaligus menerima konsep syari'at dalam hidupnya. Islam menolak manusia yang jijik dan kotor dan tidak berusaha membersihkan diri dari sebarang bentuk kekotoran, kerana keadaan hidup seumpama ini bukan cara hidup Islam dan bukan budaya hidup yang diarahkan oleh Islam. Manusia yang tidak membersihkan diri dan tidak berusaha untuk membersihkan dirinya, dengan memakai pakaian yang haram dan dibelinya dengan hasil titik-peluh yang haram atau memakan makanan yang disuap ke dalam isi perutnya dengan benda-benda yang haram atau makanan yang tidak halal dimakan, nescaya permintaannya terhadap Allah tidak sekali-kali akan diperkenankan, sedangkan pergantungan hidup itu kepada Allah...!

2. KEBERSIHAN SPIRITUAL
Keimanan dan ketundukan diri kepada Allah itu merupakan suatu pembebasan dari gejala hidup jahiliyah dan pembebasan tersebut telah membuka tirai dan nafas hidup baru ke arah pengabdian diri kepada Allah.

Firman Allah Ta’ala:

َدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّاهَا

Maksudnya: “ Sesungguhnya beruntunglah orang yang membersihkan jiwanya dan amat rugilah orang yang mengotorkannya “ (Asy Syams: 9-10).

Firman Allah Ta’ala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ

Maksudnya: “ Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya orang-orang musyrikin adalah najis “ (At Taubah: 28).

     Rupa-rupanya manusia yang tidak beriman kepada Allah itu adalah manusia yang najis, kotor dan sungguh menjijikan. 'Aqidah mereka telah dicemari dengan ludahan hidupnya sendiri terhadap hakikat yang tidak membawa apa-apa bingkisan dan pengertian hidup yang lebih bermakna. Pemikiran manusia kufur atau manusia musyrik ini telah dinodai oleh perasaan hawa nafsu yang dibantu dengan bujukan syaitan laknat yang menusuk masuk ke dalam konsep kehidupan, justeru pula ianya disempurnakan oleh amalan-amalan hidup yang bercanggah sama sekali dengan nilai-nilai kemanusiaan. Jiwa raganya telah punah dengan penampilan diri yang menjijikkan.....!  Kalaulah itu tujuan hidup manusia, nescaya kemanusiaan itu tidak memberi apa-apa nilai dan tidak pula memberi apa-apa manfaat kepada dirinya sendiri apatah lagi kepada orang lain dan apatah lagi kepada kehidupan selepas mati. Kehidupan di dunia itu tidak dapat memberi syafa'at kepada kehidupan di akhirat nanti kalaulah kekufuran atau kekafiran menjadi gaya hidup manusia. Oleh itu, manusia mesti membersihkan spritualnya dari sebarang rupa bentuk gejala yang boleh memusnahkan dan mengurangkan nilai keimanannya.

3. KEBERSIHAN HATI
Hati ialah segumpal darah yang terdapat di dalam tubuh badan manusia, terletak di dinding sebelah kanan dada manusia, berfungsi untuk mengeluarkan hempedu, mengawal kandungan gula dalam darah, menawarkan racunan nitrogen, menghasilkan urea, menyimpan glikogen dan ianya juga berfungsi sebagai tempat keluar masuk roh. Tetapi, apa yang hendak dimaksudkan dengan hati di sini ialah jauhar nurani yang terletak di antara roh dan jiwa manusia, yang merupakan hakikat kemanusiaan bertindak sebagai hakim di dalam sesuatu perkara. Ia juga merupakan perasaan batin yang berfungsi menguasai diri manusia di dalam sesuatu tindakan dan juga bertindak sebagai penilai di antara kebaikan dan keburukan.

Benarlah sabda Rasulullah s.a.w.

أَلاَ وَإِنَّ فِى اْلجَسَدِ مُضْغَةٌ إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وُإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ اْلجَسَدُ كُلُّهُ أَلاَ وَهِىَ اْلقَلْب

Maksudnya: " Ingatlah! Bahawa di dalam tubuh badan manusia terdapat segumpal darah, apabila ia berada dalam keadaan baik, maka seluruh tubuh badan menjadi baik, tetapi apabila ia berada dalam keadaan rosok maka rosoklah seluruh tubuh badan, darah yang dimaksudkan ialah hati “ (Riwayat Bukhari).

         Hati manusia perlu sekali dijaga dan dipelihara dengan bersih. Segala rupa bentuk daki kekotoran yang melekat pada dindingnya hendaklah dibuang sama sekali, kerana di dalam hati itu tersimpan benih-benih keimanan dan pancaran cahayanya serta kekuatannya untuk bertahan dari serangan hawa nafsu yang datang menjelma. Di dalam hati juga tersimpannya niat manusia yang merancang untuk melakukan sesuatu perkara, sebagaimana dijelaskan di dalam sepotong hadith.

Sabda Rasulullah s.a.w.

إِنَّمَا اْلأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى

Maksudnya: " Sesungguhnya segala amalan itu disertakan dengan niat dan bagi tiap-tiap seseorang itu apa yang ia niatkan “ (Sepakat riwayat).

        Niat itu adalah suatu program untuk mencetuskan projek kehidupan yang berbentuk praktikal. Maka, perasaan isi hati itu akan mengawal segala tindakan niat yang terkandung di celah lipatannya, sama ada ingin meneruskan niat yang dirancang itu ataupun bertindak sebaliknya.

Sabda Rasulullah s.a.w.

إِنَّ اللهَ لاَ يَنْظُرُ اِلَى صُوَرِكُمْ وَأَمْوَالِكُمْ وَإِنَّمَا يَنْظُرُ اِلَى قُلُوْبِكُمْ وَأَعْمَالِكُمْ

Maksudnya: " Sesungguhnya Allah tidak melihat rupa paras dan harta benda kamu, tetapi Dia melihat hati dan amalan kamu “ (Sepakat riwayat).

       Hati manusia perlu dijaga dan dipelihara dengan sebaik mungkin. Ia perlu disemai dengan benih-benih yang baik supaya terus hidup subur tanpa dicampur-aduk dengan benih-benih yang kotor yang dikhuatiri boleh memusnahkan benih tersebut. Hati manusia mempunyai corak dan bentuk yang berbeza-beza di antara seseorang manusia, walaupun mereka mempunyai warna kulit yang sama, walaupun mereka dari rumpun bangsa yang sama, walaupun mereka dari nasab keturunan yang sama, hakikatnya mereka mempunyai bentuk hati yang berbeza-beza. Apatah lagi  di antara mereka ada yang beriman dan ada yang tidak beriman, sudah tentu mereka mempunyai perasaan dan isi hati yang berbeza-beza dan menilai mengikut pandangan masing-masing. Di sini, mari kita melihat beberapa sikap hati manusia yang ada di atas dunia ini, semoga kita semua mendapat pengajaran bersama.


Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani

No comments:

Post a Comment