Sesungguhnya al-Qur’an dengan kekuatan i’jaznya mampu meyakinkan
kepada pembacanya dengan mengimbas semula kejadian-kejadian silam yang telah
luput dari pengetahuan manusia mengenai kisah para utusan Allah terdahulu dan
cerita umat manusia sebelum dibangkitkan Nabi Muhamad s.a.w. Al-Qur’an juga mengisi maklumat dan pengetahuan penting
dalam kandungannya yang kemudian baru ditemui oleh para pengkaji mengenai
sejarah silam. Sebagai contoh, mengenai kesatuan alam di antara langit dan bumi
yang pada asalnya bercantum sebagai benda yang satu, lalu pisahkan antara
keduanya,[1] setiap benda dicipta
oleh Allah adalah secara berpasang-pasangan,[2]
perbezaan tanda di jari yang terdapat pada manusia dan lain-lain lagi. Di dalam
al-Qur’an terdapat informasi yang mencakupi pelbagai berita mengenai perkara silam. Kekuatan al-Qur’an dalam memberikan informasi mengenai
perkara-perkara silam, sama ada perkara tersebut telah berlaku atau akan
berlaku merupakan fakta yang realiti dan pasti berlaku. Informasi inilah yang
dikatakan i’jaz di mana al-Qur’an mengemukakan
maklumat yang berada di luar pengetahuan manusia mengenai peristiwa silam dan
memberitahu pula peristiwa yang akan berlaku. Di antara contohnya ialah:
1.
Informasi Masa Silam
Al-Qur’an dengan nadanya sendiri menjelaskan
kisah-kisah zaman silam seakan-akan membawa pemikiran para pembaca menjadi
saksi secara langsung mengikuti jalan ceritanya. Apa yang uniknya, tidak ada satupun
dari kisah-kisah tersebut yang tidak terbukti kebenarannya. Di antara kisah
yang paling lengkap dalam al-Qur’an ialah
kisah Nabi Yusuf a.s. di mana kisah perjalanan hidup yang sungguh gerimis
bermula sejak kecil sehingga beliau menjadi menteri Mesir setelah melalui
beberapa ujian yang gentir. Kisahnya yang syahdu diceritakan di awal Surah
Yusuf lagi dengan uslub dan gaya bahasa yang sungguh menarik dan mudah
difahami.
Firman
Allah Ta’ala:
نَحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ أَحْسَنَ
الْقَصَصِ بِمَا أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ هَٰذَا الْقُرْآنَ وَإِنْ كُنْتَ مِنْ
قَبْلِهِ لَمِنَ الْغَافِلِينَ إِذْ قَالَ
يُوسُفُ لأَبِيهِ يَا أَبَتِ إِنِّي رَأَيْتُ أَحَدَ عَشَرَ كَوْكَبًا وَالشَّمْسَ
وَالْقَمَرَ رَأَيْتُهُمْ لِي سَاجِدِينَ قَالَ يَا
بُنَيَّ لاَ تَقْصُصْ رُؤْيَاكَ عَلَىٰ إِخْوَتِكَ فَيَكِيدُوا لَكَ كَيْدًا ۖ إِنَّ الشَّيْطَانَ لِلإنْسَانِ
عَدُوٌّ مُبِينٌ
Maksudnya:
“Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) seindah-indah kisah dengan jalan Kami
wahyukan kepadamu al-Qur’an ini, padahal
sebenarnya engkau sebelum datangnya wahyu itu, adalah dari orang-orang yang
tidak pernah menyedari akan halnya. (Ingatlah peristiwa) ketika Nabi Yusuf
berkata kepada bapanya: Wahai ayahku! Sesungguhnya aku mimpi melihat sebelas
bintang dan matahari serta bulan; aku melihat mereka tunduk memberi hormat
kepadaku. Bapanya berkata: Wahai anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu
kepada saudara-saudaramu, kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu
rancangan jahat terhadapmu, sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi
manusia” (Surah
Yusof: 12: 3-5).
Kisah
ini sebagai bukti tentang informasi zaman silam telah dicungkil kembali oleh al-Qur’an sebagai suatu realiti yang benar-benar
berlaku untuk memberi maklumat kepada generasi akan datang. Ini menunjukkan
bahawa al-Qur’an itu adalah kitab i’jaz
yang mampu mengemukakan fakta yang lengkap dan jelas.
2.
Informasi Masa Sekarang
Al-Qur’an dengan uslub dan gaya
bahasanya telah berjaya mengemukakan informasi yang mendedahkan rahsia dan niat
buruk orang-orang munafiq pada zaman Rasulullah s.a.w. Pelbagai persoalan sikap
dan tabiat buruk serta corak-perangai dan juga tingkah-laku golongan ini
terhadap Islam dan umat Islam telah dirakamkan dengan jelas dan cukup sempurna
dalam al-Qur’an.[3]
Firman Allah Ta’ala:
وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يُعْجِبُكَ قَوْلُهُ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا
وَيُشْهِدُ اللَّهَ عَلَىٰ مَا فِي قَلْبِهِ وَهُوَ أَلَدُّ الْخِصَامِ
Maksudnya: “Dan di antara
manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan
engkau tertarik hati mendengarnya dan dia (bersumpah dengan mengatakan bahawa)
Allah menjadi saksi terhadap apa yang ada dalam hatinya, padahal dia adalah orang yang amat keras permusuhannya”( Surah ar Rom: 30: 2-4)
Pendedahan ini merupakan titik
rahsia yang dicungkil dari perasaan golongan munafiq oleh al-Qur’an untuk memberitahu kepada umat Islam tentang
tabiat sebenar mereka terhadap Islam dan umat Islam. Andaikata al-Qur’an tidak mendedahkan tentang perkara ini,
nescaya Nabi s.a.w. dan sekalian para sahabatnya sudah pasti tidak dapat mengetahui
sifat dan tabiat buruk golongan ini. Maka, inilah yang dikatakan i’jaz al-Qur’an yang berjaya mencungkil rahsia ‘musuh dalam
selimut’ untuk didedahkan kepada umat Islam.
3.
Informasi Masa Akan Datang
Al-Qur’an mengemukakan informasi yang realistik
mengenai perkara yang belum berlaku, tetapi al-Qur’an telah memberi isyarat
bahawa gambaran mengenai perkara tersebut akan berlaku dan pasti berlaku,
sebagaimana yang diceritakan di awal surah ar Rom mengenai Negara Rom yang akan
dikalahkan, tetapi dalam tempoh tidak sampai sepuluh tahun, Rom kembali
bernafas untuk mengalahkan lawannya.
Firman
Allah Ta’ala:
غُلِبَتِ
الرُّومُ فِي أَدْنَى الأرْضِ وَهُمْ مِنْ بَعْدِ غَلَبِهِمْ سَيَغْلِبُونَ فِي
بِضْعِ سِنِينَ ۗ
لِلَّهِ الأمْرُ مِنْ قَبْلُ وَمِنْ بَعْدُ ۚ وَيَوْمَئِذٍ
يَفْرَحُ الْمُؤْمِنُونَ
Maksudnya: “Rom
telah dikalahkan, di negeri yang dekat sekali, dan setelah kekalahan itu mereka
akan mengalahkan lawan mereka; dalam masa tidak sampai sepuluh tahun, kepada
Allah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya, dan
ketika berlaku (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira”( Surah ar Rom: 30: 2-4).
Al-Qur’an membawa informasi yang akan datang dan
perkara tersebut pasti berlaku. Ini menunjukkan bahawa maklumat yang
disampaikan oleh al-Qur’an bersalut dan
disadur dengan i’jaz yang membawa bukti-bukti yang jelas dan realistik dan
tidak pula boleh dipertikaikan.
Sekian, wassalam
Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani
No comments:
Post a Comment