PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Tuesday 19 June 2012

I’JAD AL-QUR’AN MENDAHULUI TEKNOLOGI MODEN



Sesungguhnya Al-Qur’an  merupakan kitab i’jaz yang sangat hebat dan mempunyai pelbagai khazanah agung yang masih belum dapat diterokai oleh manusia sepenuhnya. Sehingga kini, pelbagai tafsiran, kupasan, perbahasan dan kajian yang dilakukan oleh ulama, cendiakawan  dan para ilmuan, sama ada dari kalangan orang-orang Islam ataupun bukan Islam terhadap Al Quran, tetapi sehingga kini tiada tanda-tanda yang menunjukkan kajian itu akan berakhir. Isi kandungan Al-Qur’an  tidak pernah berubah sejak diturunkan dan saranannya sentiasa relevan untuk setiap peralihan dan peredaran zaman menyebabkan para pengkaji semakin ghairah untuk menerokai khazanah yang masih belum ditemui. Kajian mengenai pelbagai rahsia kejadian alam dan penemuan baru sains dan teknologi pada hari ini yang berasaskan kepada sumber Al-Qur’an  adalah bukti yang paling nyata bahawa setiap ayat dan susunan perkataannya mengandungi i’jaz dan rahsia tersendiri. Di sini dinyatakan beberapa perkara mengenai i’jaz yang dibentangkan oleh al-Qur’an  sebagai sebuah kitab yang mendahului teknologi:

1. Kisah Istana Balqis Diangkat
Kisah istana Puteri Balqis diangkat dari Yaman ke Palestin dengan sekelip mata telah didedahkan dalam al-Qur’an  dan perkara ini adalah bukti bahawa al-Qur’an  adalah kitab i’jaz yang mendedahkan peristiwa tersebut berlaku dalam sejarah kemanusiaan. Walaupun perkara ini dianggap sebagai ‘karamah’ yang dikurniakan oleh Allah kepada hambaNya yang terpilih, tetapi sebenarnya itulah teknologi yang ada pada zaman tersebut dan berbeza dengan teknologi yang ada pada hari. Namun, pada hakikatnya walaupun ianya berbeza tetapi kedua-dua adalah kurniaan dari Allah yang datang dari satu sumber yang sama.

Firman Allah:

قَالَ عِفْرِيتٌ مِنَ الْجِنِّ أَنَا آتِيكَ بِهِ قَبْلَ أَنْ تَقُومَ مِنْ مَقَامِكَ وَإِنِّي عَلَيْهِ لَقَوِيٌّ أَمِينٌ قَالَ الَّذِي عِنْدَهُ عِلْمٌ مِنَ الْكِتَابِ أَنَا آتِيكَ بِهِ قَبْلَ أَنْ يَرْتَدَّ إِلَيْكَ طَرْفُكَ فَلَمَّا رَآهُ مُسْتَقِرًّا عِنْدَهُ قَالَ هَٰذَا مِنْ فَضْلِ رَبِّي

Maksudnya: Berkata Ifrit dari golongan jin: Aku akan membawa (istana Balqis) kepada mu sebelum engkau bangun dari tempat duduk mu dan sesungguhnya aku amat kuat lagi amanah. Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: Aku akan membawa (istana Balqis) kepada mu sebelum mata mu berkelip, setelah Nabi Sulaiman melihat istana itu terletak di sisinya lalu berkata: Ini adalah limpah kurnia Tuhan ku”( Surah An Naml:27:40.)

Peristiwa istana Puteri Balqis diangkat dari Yaman ke Palestin telah berlaku pada zaman Nabi Sulaiman a.s. dan peristiwa ini diakui bukan sahaja di kalangan orang-orang Islam, tetapi di kalangan orang-orang bukan Islam termasuk orang-orang Yahudi mengakui kebenaran peristiwa tersebut. Dalam peristiwa ini, pengajaran yang dapat diambil ialah keilmuan yang ada pada manusia telah mengatasi keilmuan yang dimiliki oleh golongan jin yang telah diberi kefahaman tentang Al Kitab yang diturunkan oleh Allah. Orang yang mengangkat istana Puteri Balqis ialah Ashif  Burkhiya[1] yang merupakan setiausaha kepada Nabi Sulaiman a.s. Perkara ini telah berlaku dalam lipatan sejarah Islam yang merupakan suatu teknologi yang belum mampu di atasi oleh manusia.

2. Kisah Nabi Yunus a.s. Ditelan Ikan
Kisah Nabi Yunus a.s. yang ditelan oleh seekor ikan telah diceritakan dalam Al-Qur’an  sebagai i’jaz untuk dijadikan contoh teladan dan pengajaran yang baik kepada sekalian umat manusia tentang kekuasaan Allah terhadap hambaNya yang terpilih.

Firman Allah Ta’ala:

وَإِنَّ يُونُسَ لَمِنَ الْمُرْسَلِينَ إِذْ أَبَقَ إِلَى الْفُلْكِ الْمَشْحُونِ فَسَاهَمَ فَكَانَ مِنَ الْمُدْحَضِينَ فَالْتَقَمَهُ الْحُوتُ وَهُوَ مُلِيمٌ فَلَوْلاَ أَنَّهُ كَانَ مِنَ الْمُسَبِّحِينَ لَلَبِثَ فِي بَطْنِهِ إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Nabi Yunus adalah dari rasul-rasul (Kami) yang diutus, ketika dia melarikan diri ke kapal yang penuh sarat, maka dia pun turut mengundi, lalu dia dari orang-orang yang kalah yang dibuang (ke laut), setelah itu dia ditelan oleh ikan besar, sedang dia berhak ditempelak, maka kalaulah dia bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah (dengan zikir dan tasbih), tentulah dia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia dibangkitkan keluar dari kubur”( Surah Shaffat:37:139-148)

Dalam peristiwa ini, Nabi Yunus a.s. berada dalam perut ikan dalam tempoh yang lama dan dari segi logiknya adalah mustahil bagi seseorang yang ditelam seekor binatang boleh hidup dalam perutnya dalam tempoh yang lama. Maka di sini, menunjukkan kepada kita bahawa inilah bentuk i’jaz yang dicetuskan dalam al-Qur’an  yang merupakan teknologi yang diguna-pakai oleh Nabi Yunus a.s. Sehingga kita, teknologi tersebut masih lagi tidak mampu dikuasai atau dimiliki oleh dunia sains hari ini. Akan tetapi, kisah Nabi Yunus a.s. ditelan oleh ikan ini menjadi ilham kepada pakar-pakar sains untuk mencipta kapal selam.

3. Kelahiran Nabi Isa a.s. Tanpa Bapa
Al-Qur’an  telah menceritakan kisah kelahiran Nabi Isa a.s. yang unik kerana dilahirkan tanpa bapa dan manakala ibunya Maryam pula tidak pernah disetubuhi oleh sesiapapun. Tetapi, kisah yang unik ini telah dieksploitasikan oleh penganut Agama Kristian sehingga mendakwa beliau adalah anak tuhan. Secara logik akal, bagaimana seorang gadis yang tidak pernah disetubuhi lelaki, apatah lagi untuk melakukan perkara-perkara yang terkutuk mengandung dan kemudian melahirkan anak..?  Dari sudut biologinya, perkara ini adalah sesuatu yang mustahil dan tidak boleh diterima akal, kerana kelahiran itu mesti melalui proses persenyawaan di antara benih lelaki dengan benih perempuan dalam rahim. Namun, proses kelahiran Nabi Isa a.s. ini tidak seperti manusia lain tanpa proses persenyawaan. Apabila Allah Ta’ala mengutuskan Jibril untuk memberitahu berita gembira kepada Maryam bahawa dia akan melahirkan seorang anak lelaki, beliau merasa terkejut dan hairan, Maryam bertanya kepada Jibril:

أَنَّىٰ يَكُونُ لِي غُلامٌ وَلَمْ يَمْسَسْنِي بَشَرٌ وَلَمْ أَكُ بَغِيًّا

Maksudnya: “Bagaimana aku dapat melahirkan seorang anak lelaki sedangkan tidak pernah seorang manusiapun menyentuh aku dan aku bukannya seorang penzina”.(Surah Shaffat:37:139-148)

Persoalan yang menjadi keserabutan Maryam itu telah dijawab oleh Jibril dan sekaligus merungkaikan ikatan keserabutan yang ada dalam fikirannya. Kemudian, barulah Maryam faham bahawa dia tergolong di kalangan manusia yang terpilih dan dikasihi Allah:

قَالَ كَذَٰلِكِ قَالَ رَبُّكِ هُوَ عَلَيَّ هَيِّنٌ وَلِنَجْعَلَهُ آيَةً لِلنَّاسِ وَرَحْمَةً مِنَّا وَكَانَ أَمْرًا مَقْضِيًّا

Maksudnya: “Jibril menjawab: Demikianlah keadaannya dan Tuhan mu berfirman: Perkara ini amat mudah bagi Ku dan Kami mahu jadikan pemberian anak itu sebagai satu tanda (membuktikan kekuasaan Kami) untuk umat manusia dan sebagai satu rahmat dari Kami dan perkara ini adalah satu perkara yang telah ditetapkan berlaku”  (Surah Maryam:19:21).

Pendedahan al-Qur’an  tentang kelahiran Nabi Isa a.s. merupakan suatu i’jaz yang menjangkau teknologi dalam bidang biologi yang belum mampu diterjemahkan oleh manusia dalam bentuk teknologi moden. Namun begitu, pendedahan Al-Qur’an  ini telah melahirkan pakar-pakar sains yang sentiasa berfikir untuk mencipta manusia melalui pelbagai proses kelahiran, di antaranya melalui Teknologi Reproduksi Bantuan (Assisted Reproduction Technology) yang berkaitan dengan Bayi Tabung Uji, iaitu bayi yang dilahirkan oleh seorang perempuan hasil daripada persenyawaan ovumnya dengan sperma lelaki di luar tubuh perempuan itu. Di antaranya ialah Persenyawaan Luar Rahim (IVF), Pemindahan Gamet Dalam Fallopio atau Gamet Intra-Fallopian Transfer, Penyimpanan dan Pendermaan Sperma, Ovum dan Embrio, Diagnosis Genetik pra-penempelan atau Preimplantation Genetic Diagnosis (PGD) dan pemilihan jantina bayi, Ibu Tumpang dan Permanian Beradas (Artificial Inseminatio/Intra-Uterine Insemination-IUI).

4. Kisah Ikan Mati Hidup Semula
Kei’jazan al-Qur’an  merupakan inovasi penting untuk memberi ilham kepada manusia membentuk warna pemikiran baru. Al-Qur’an  telah mendedahkan suatu kisah yang sungguh menakjubkan tentang ikan yang telah mati dapat hidup semula. Kisah ini berlaku ketika Nabi Musa a.s. bersama muridnya bernama Yusya’ bin Nun dalam perjalanan mahu berjumpa dengan Nabi Khaidir a.s. di suatu tempat pertemuan dua laut. Dalam perjalanan tersebut, ikan yang dibawa sebagai bekalan telah menggelungsur ke dalam air lalu terus hidup semula.

Firman Allah Ta’ala:

وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِفَتَاهُ لا أَبْرَحُ حَتَّىٰ أَبْلُغَ مَجْمَعَ الْبَحْرَيْنِ أَوْ أَمْضِيَ حُقُبًا فَلَمَّا بَلَغَا مَجْمَعَ بَيْنِهِمَا نَسِيَا حُوتَهُمَا فَاتَّخَذَ سَبِيلَهُ فِي الْبَحْرِ سَرَبًا فَلَمَّا جَاوَزَا قَالَ لِفَتَاهُ آتِنَا غَدَاءَنَا لَقَدْ لَقِينَا مِنْ سَفَرِنَا هَٰذَا نَصَبًا قَالَ أَرَأَيْتَ إِذْ أَوَيْنَا إِلَى الصَّخْرَةِ فَإِنِّي نَسِيتُ الْحُوتَ وَمَا أَنْسَانِيهُ إِلا الشَّيْطَانُ أَنْ أَذْكُرَهُ ۚ وَاتَّخَذَ سَبِيلَهُ فِي الْبَحْرِ عَجَبًا قَالَ ذَٰلِكَ مَا كُنَّا نَبْغِ فَارْتَدَّا عَلَىٰ آثَارِهِمَا قَصَصًا

Maksudnya: “Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada temannya: Aku tidak akan berhenti berjalan sehingga aku sampai di tempat pertemuan dua laut itu atau aku berjalan terus bertahun-tahun. Maka apabila mereka berdua sampai ke tempat pertemuan dua laut itu, lupalah mereka akan hal ikan mereka, lalu ikan itu menggelungsur menempuh jalannya di laut, yang merupakan lorong di bawah tanah. Setelah mereka melampaui (tempat itu), berkatalah Nabi Musa kepada temannya: Bawalah makanan tengahari kita sebenarnya kita telah mengalami penat lelah dalam perjalanan kita ini. Temannya berkata: Tahukah apa yang telah terjadi ketika kita berehat di batu besar itu? Sebenarnya aku lupakan hal ikan itu dan tiadalah yang menyebabkan aku lupa daripada menyebutkan halnya kepadamu melainkan syaitan dan ikan itu telah menggelungsur menempuh jalannya di laut, dengan cara yang menakjubkan. Nabi Musa berkata: Itulah yang kita kehendaki; merekapun balik semula ke situ, dengan menurut jejak mereka (Surah al-Kahfi:18: 60-64).

Kei’jazan al-Qur’an  ini seolah-olah tidak melambangkan pertimbangan akal yang sihat dan seolah-olah perkara ini tidak logik langsung dengan fakta kehidupan, kerana sesuatu yang telah mati adalah mustahil dapat hidup semula. Tetapi, perkara seumpama ini merupakan perkara biasa bagi Allah dan sangat mudah bagiNya. Jika dikaji dan diteliti, kei’jazan al-Qur’an  ini bukan hanya bertujuan untuk memberitahu cerita pencarian Nabi Musa a.s. untuk bertemu dengan Nabi Khaidir a.s. semata-mata atau hanya sekadar pengetahuan untuk mengisi kekosongan minda, tetapi pendedahan al-Qur’an ini mempunyai maksud yang tersirat untuk memberitahu tentang teknologi baru dalam bidang biologi spesis ikan yang hidup di dalam air, bagaimana ikan yang telah mati itu dapat hidup semula seperti biasa. Namun, sehingga kini pakar-pakar sains tidak mampu menghidupkan semula ikan yang telah mati untuk kembali bernafas semula. Akan tetapi, pendedahan al-Qur’an  ini telah memberi ilham kepada para penyelidik dalam bidang biologi ikan dan akuakultur untuk mematikan ikan buat sementara waktu dalam tempoh tertentu dan kemudian menghidupkan semula setelah mengeluarkan ikan itu dari air yang dibekukan.

5. Nabi Sulaiman Berjalan Dengan Angin
Kei’jazan al-Qur’an  dalam paparan kisah Nabi Sulaiman a.s. yang boleh berjalan dengan menggunakan kuasa angin sebagai kenderaan, boleh berbicara dan berinteraksi dengan jin dan mengarahkan mereka sebagai tenaga buruh untuk membuat sesuatu kerja merupakan sesuatu yang sangat luar biasa yang mengatasi teknologi terkini.

Firman Allah Ta’ala:

وَلِسُلَيْمَانَ الرِّيحَ غُدُوُّهَا شَهْرٌ وَرَوَاحُهَا شَهْرٌ وَأَسَلْنَا لَهُ عَيْنَ الْقِطْرِ وَمِنَ الْجِنِّ مَنْ يَعْمَلُ بَيْنَ يَدَيْهِ بِإِذْنِ رَبِّهِ وَمَنْ يَزِغْ مِنْهُمْ عَنْ أَمْرِنَا نُذِقْهُ مِنْ عَذَابِ السَّعِيرِ

Maksudnya: “Dan Kami kurniakan kepada Nabi Sulaiman kuasa menggunakan angin untuk perjalanannya: sepagi perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan dan sepetang perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan dan Kami alirkan baginya mata air dari tembaga dan sebahagian dari jin bekerja di hadapannya dengan izin Tuhannya dan sesiapa dari jin itu yang menyeleweng dari perintah Kami, Kami akan merasakannya (pukulan) dari azab api Neraka”( Surah al-Kahfi:18: 60-64).

Nabi Sulaiman a.s. mempunyai kelebihan luar biasa yang dianugerahkan oleh Allah, beliau boleh berbicara dengan jin dan boleh mengarahkan jin untuk melakukan sesuatu kerja. Beliau juga boleh bergerak ke udara dengan menggunakan kuasa angin dan boleh mengarahkan angin untuk terbang ke mana sahaja destinasi yang beliau kehendaki. Walaupun perkara ini dianggap tidak logik dan tidak masuk akal, namun kei’jazan al-Qur’an  ini telah mencetuskan ilham kepada para saintis yang merumuskan bahawa angin sangat penting dalam teknologi untuk menggerakkan sesuatu kenderaan. Sebagai contoh, kapal layar bergerak menggunakan kuasa angin untuk belayar di lautan. Kuasa angin ini juga telah mencetuskan ilham kepada para saintis untuk mencipta kapalterbang. Di peringkat awal teknologi kapal terbang ini dicipta adalah menggunakan kuasa angin, di mana enjin yang digunakan bertujuan untuk memutarkan kipas bagi menghasilkan angin yang akan memberi tekanan dan kuasa tujahan yang menggerakkan kapalterbang. Tekanan dan kuasa tujahan angin itu kemudiannya bertindak menaikkan kapalterbang secara meluncur dan seterusnya terbang tinggi ke udara.


Sekian, wassalam


Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani


[1] Ibn Kathir. 1988. Tafsir al-Qur;an al-‘Azim, hlm: 351-352. Kaherah: Dar al-Hadith.

No comments:

Post a Comment