Di sana terdapat
beberapa pandangan dan perbahasan para ulama mengenai asal usul perkataan
al-Qur’an.
Al-Qur’an Menurut Bahasa
Di antaranya ada yang menyatakan perkataan ini berasal dari
perkataan ‘qarinah’ (قرينة) yang bererti: bersambung
atau berhubung, kerana ayat-ayat al-Qur’an
sentiasa bersambung dan berhubung di antara satu sama lain, di mana
kata-kata masdarnya ialah Quran (قرأن).
Ada pula dalam kalangan ulama menyatakan perkataan
al-Qur’an adalah berasal dari perkataan ‘qar’u’ (قرْء) yang bererti: mengumpulkan dan menghimpun, kerana
ayat-ayat al-Qur’an adalah ayat-ayat
yang dikumpul dan dihimpun dalam satu kitab, di mana kata masdarnya berasal
daripada: qara’a, qira’atan wa qur’anan (قرأناً).
Ada juga yang menyatakan al-Qur’an berasal dari perkatan ‘qira’ah’
(قراءة)
yang bererti baca, kerana ayat-ayat al-Qur’an itu adalah
ayat-ayat yang dibaca dan membacanya merupakan suatu ibadat, di mana masdarnya
ialah Quran (قرأن) yang diambil dari
wazan ‘fa’lan’ (فعلان) sama seperti lapaz ‘ghufran’ (غفران) dan ‘syukran’(شكران).
Dalam kalangan ulama menyatakan bahawa perkataan al-Qur’an adalah
nama khas bagi sebuah kitab yang diturunkan kepada Muhammad s.a.w. sama
seperti Taurat dan Injil, sebagaimana
firman Allah Ta’ala:
وَإِذَا
قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنْصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ[4]
Maksudnya: “Dan apabila ayat-ayat al-Qur’an itu
dibacakan, maka hendalah kamu dengar dan diam, supaya kamu beroleh rahmat”.
Al-Qur’an Menurut Istilah
Menurut Syeikh Dr. Muhamad Abdul ‘Azim Az-Zarqani telah
menyatakan bahawa al-Qur’an ialah lapaz
yang diturunkan kepada Nabi s.a.w. bermula dari awal Surah al-Fatihah sehingga
akhir Surah an-Nas.
Manakala Syeikh Muhammad 'Ali al-Shobuni
telah mendefinisikan bahawa al-Qur’an itu sebagai firman Allah yang tiada
tandingan, yang diturunkan kepada Nabi Muhamad s.a.w. penutup para
nabi-nabi dan rasul-rasul, dengan perantaraan Jibril a.s. dan ditulis pada
mushaf yang kemudian disampaikan kepada kita secara mutawatir, membaca dan
mempelajarinya merupakan suatu ibadah yang dimulai dengan Surah al-Fatihah dan
disudahi dengan surah an-Nas.
Sekian, wassalam
Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani
[1] Rosmawati Ali @Mat Zin. 1997. Pengantar Ulum al-Quran, hlm:
25. Kuala Lumpur: Prospecta Printers Sdn.Bhd.
[2] Dr. Muhamad Abdul ‘Azim az-Zarqani. 2001,
Manahil al-‘Urfan Fi ‘Ulum al-Quran,
jil: 1, hlm: 13. Kaherah: Dar al-Hadith.
[3] Rosmawati Ali @Mat Zin. 1997. Pengantar Ulum al-Quran, hlm:
23.
[4] Al Quran, Surah
al-A’raf: 7: 204
No comments:
Post a Comment