Ulama merupakan hamba Allah yang pakar dalam
pelbagai bidang ilmu pengetahuan dan mereka adalah pewaris para nabi-nabi yang
layak menerima pusaka yang telah ditinggalkan. Pusaka tersebut merupakan
khazanah agung yang amat berharga dan tinggi nilainya, khazanah tersebut tidak
boleh diwarisi oleh orang kebiasaan, apatah lagi orang yang jahil yan tidak
punya ilmu pengetahuan. Khazanah tersebut bukan sahaja mempunyai nilai yang
tinggi, bahkan ianya boleh dijadikan saham untuk pelaburan yang sangat
menguntungkan dan tidak akan rugi buat selama-lamanya. Khazanah yang dimaksudkan
itu ialah ilmu pengetahuan yang diwarisi dan dipusakai sejak turun-temurun
daripada para nabi-nabi, iaitu ilmu yang menyampaikan diri kepada ma'rifatullah
- mengenal Allah, sebagaimana yang terkandung dalam Al Quran dan As Sunnah Nabi
s.a.w.
Sabda Rasulullah s.a.w.
تَرَكْتُ فِيْكُمْ أمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوْا مَا
تَمَسّكتُمْ ِبهِمَا كتابُ الله وَسنَّةُ رسُوْلِهِ
Maksudnya: “ Aku tinggalkan kepada kamu
dua perkara, kamu tidak akan sesat buat selama-lamanya sekiranya kamu berpegang
teguh dengan kedua-dua perkara tersebut, iaitu Kitabullah (Al Quran) dan sunnah
RasulNya (Al Hadith)[1]”.
Setelah wafatnya Nabi
s.a.w. baginda hanya tinggalkan Al Quran dan As Sunnah perjalanan hidupnya
sebagai khazanah agung untuk dipusakai dan diwarisi oleh para sahabat r.a. Apabila berlalunya generasi sahabat, maka
setiap yang patah pasti tumbuh dan setiap yang hilang pasti berganti, di sana
lahirnya para ulama yang mempusakai khazanah agung itu dan mereka bukan sahaja
berjaya menghafaz Al Quran dan Al Hadith, tetapi juga berjaya menguasai
ilmu-ilmu yang terdapat di dalam kedua-dua sumber tersebut sehingga timbulnya
pelbagai ilmu yang beraneka warna. Maka tanggungjawab mempusakai warisan
peninggalan Nabi s.a.w. itu sekarang terletak di atas bahu para ulama untuk
meneruskan tugas membangunkan agama dan menyebarkan ajaran agama kepada seluruh
masyarakat.
Firman Allah Ta'ala:
إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ ۗ
Maksudnya: “ Sesungguhnya dalam kalangan
hamba-hamba Allah yang takut kepadaNya ialah ulama “ (Fathir: 28).
Perkara ini
merupakan suatu penghormatan yang diberikan oleh Allah kepada golongan ulama yang
memiliki ilmu pengetahuan yang luas di dalam mengendalikan urusan agama. Sebagai
pewaris para anbiya, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:
اَلْعُلَمَاءُ وَرَثَةُ اْلأَنْبِيَاءِ وَإِنَّ اْلأَنْبِيَاءَ لَمْ
يُوْرَثُوْا دِيْنَارًا وَلاَ دِرْهَمًا وَإِنَّمَا وَرَثُوْا اْلعِلْمَ فَمَنْ
أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظِّ وَافِرٍ
Maksudnya: " Sesungguhnya ulama ialah pewaris para
nabi-nabi, mereka tidak sekali-kali mewarisi dinar dan dirham, akan tetapi
mereka mewarisi ilmu pengetahuan, sesiapa yang mengambilnya, nescaya mendapat
keuntungan yang berlipat kali ganda "(Riwayat Abu Dawud dan Tirmizi).
Bererti, para ulama berperanan mewarisi ilmu pengetahuan yang ditinggalkan oleh para rasul dan menggalas tanggungjawab sama seperti rasul-rasul. Maka, sudah tentu mereka mempunyai sifat as siddiq yang membenarkan risalah ketuhanan untuk dibawa ke dalam masyarakat, bersifat al amanah dalam menunaikan tugas dan tanggungjawab di jalan Allah, bersifat at tabligh di dalam menyampaikan bingkisan dakwah kepada masyarakat dan bersifat al fatanah iaitu mempunyai kepintaran dan kebijaksanaan apabila menghadapi suasana dalam kehidupan dan menyelesaikan kemelut permasalahan. Maka jelaslah kepada kita, di samping mempunyai kelebihan ilmu pengetahuan yang tinggi, seseorang ulama itu juga adalah terdiri dalam kalangan hamba yang mempunyai maruah dengan pekerti hidup yang indah, mereka mempunyai keperibadian yang luhur sebagai seorang hamba yang soleh yang berjaya mengekalkan tabiat hidup yang berakhlak, bermoral dan penuh dengan peradaban, mempunyai nilai-nilai kesopanan hidup yang penuh dengan etika dan kesusilaan. Secara tidak langsung, mereka akan menjadi ikutan dan teladan yang amat berguna dan penuh bermakna kepada setiap anggota masyarakat untuk menarik minat mereka dan memandukan mereka ke jalan yang benar. Sebagai pewaris para anbiya, para ulama tetap mempunyai kelebihan yang tinggi di sisi Allah jika hendak dibandingkan dengan hamba-hamba Allah yang lain di atas dunia ini, kerana tugas dan tanggungjawab mereka adalah membawa seruan dakwah; mengajar, mendidik dan mentarbiyah masyarakat yang merupakan amanah ketuhanan untuk disampaikan dan disempurnakan. Tugas dan tanggungjawab ini tidak boleh dijunjung dan dipikul oleh manusia biasa yang tidak mempunyai apa-apa bentuk kekuatan dari sudut ilmu pengetahuan, apatah lagi untuk berhadapan dengan rupa masyarakat yang penuh dengan pelbagai ragam dan sikap.
Sekian, wassalam
Al-Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa el-Batnani
No comments:
Post a Comment