PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Tuesday 31 January 2012

AL QURAN MEMBENTUK GENERASI MASA DEPAN


Generasi yang hendak dibentuk nanti ialah generasi yang percaya bahawa Al Quran itu adalah Kalamullah yang qadim yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. bertujuan untuk mengeluarkan manusia dari kesesatan hidup kepada cahaya Islam yang terang benderang, generasi yang sentiasa membaca ayat-ayat suci Al Quran dan sentiasa mengkaji tentang ilmu-ilmu yang terdapat di dalamnya, generasi yang mengambil Al Quran itu sebagai kitab pengajaran untuk membina masa depan dirinya dan untuk dijadikan contoh teladan dalam kehidupannya, generasi yang sentiasa beramal dengan arahan-arahan Al Quran dan sentiasa menjadikan ayat-ayatnya itu sebagai zikir atau doa setiap masa dan sepanjang waktu, generasi yang mengambil Al Quran sebagai kompas pedoman dalam perjalanan hidupnya dan sebagai panduan dalam amalan hidupnya, generasi yang mengharapkan bahawa hanya Al Quran itu sahaja yang akan memberi cahaya petunjuk kepadanya ke arah jalan yang benar dan mengeluarkan manusia yang berada dalam kegelapan agar dapat menerima cahayanya itu, generasi yang mengambil Al Quran sebagai kitab perlembagaan yang berkesan dalam kehidupan dan menjadikan Al Quran itu sebagai jalan penyelesaian dalam apa jua bentuk permasalahan yang berlaku.

Firman Allah Ta'ala:

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ وَلا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إلا خَسَارًا

Maksudnya: “ Dan Kami turunkan Al Quran itu adalah penawar dan rahmat kepada orang-orang beriman, manakala orang-orang zalim pula tidaklah menambah apa-apa kecuali kerugian semata-mata “ (Al Isra': 82).

Generasi yang hendak diwujudkan itu nanti ialah generasi yang serba tahu dan serba boleh, generasi yang mempunyai kemahiran yang tinggi tentang ilmu-ilmu Al Quran. Generasi yang hendak dibentuk nanti ialah generasi yang memahami Al Quran sebagai kitab panduan untuk memandukan manusia ke jalan yang lurus. Mereka adalah generasi yang membawa wadah perjuangan untuk membina kekuatan Islam dari semua sudut, sama ada dari sudut politik dan siasah, ekonomi dan perdagangan, pendidikan dan pembelajaran, sosial dan kebudayaan dan seterusnya termasuk membina kekuatan dari sudut teknologi dan menguasai sebaran am. Cuba kita perhatikan lipatan sejarah tentang  kekuatan umat Islam di zaman silam, bermula di zaman Rasulullah s.a.w. di mana baginda telah berjaya mewujudkan generasi manusia yang faham dan mengerti tentang Al Quran, iaitu generasi sahabat yang terdiri di kalangan ramai para pemuda yang berperibadian tinggi dan berakhlak mulia serta berhemah tinggi dan mereka menjadi kuat dengan sebab mereka mempunyai hubungan secara langsung dengan Allah dan RasulNya s.a.w. di samping keimanan mereka selalu diuji, sama ada dalam peperangan atau dalam urusan seharian.

Mereka adalah generasi sahabat yang mendapat tarbiyah secara langsung dari Rasulullah s.a.w. dan baginda meletakkan batu asas yang amat kukuh ke dalam jiwa mereka yang mempunyai pertalian secara langsung dengan ketuhanan Allah. Generasi yang diwujudkan oleh baginda ini tidak pernah berlaku pada sejarah silam sebelum ini dan tidak wujud lagi sesudah generasi itu, kerana mereka adalah generasi yang unik yang menjadi ‘model’ kepada generasi yang ada pada hari ini. Sumber pengetahuan utama di zaman mereka ialah Al Quran yang menjadi petunjuk dan perlembagaan hidup mereka, walaupun ketika itu Al Quran masih lagi diturunkan secara beransur-ansur mengikut keperluan semasa dan peristiwa-peristiwa yang berlaku. Namun, apabila berlaku sesuatu kemusykilan, mereka akan terus merujuk kepada Baginda s.a.w. dan apabila keputusan diambil mereka tetap akur dan tidak lagi membantah.

   Sediainya umat Islam hari ini berjaya mewujudkan generasi yang memahami dan mendalami isi kandungan Al Quran, nescaya umat Islam akan menjadi umat yang kuat dan disegani oleh orang-orang bukan Islam, umat Islam akan menjadi umat yang dihormati dan disanjungi oleh sesiapa sahaja kerana mempunyai peradaban sendiri dan boleh jadi di sana mereka akan menjadi ‘Roll Model’ kepada generasi yang akan datang, sama seperti generasi sahabat yang menjadi contoh kepada generasi hari ini. Umat Islam nanti akan menjadi umat yang dipuji kerana akhlak dan peradaban hidup yang melambangkan maruah sebagai seorang muslim yang beretika, umat Islam tentunya pasti akan menjadi umat yang mempunyai tamadun sendiri dengan membawa program dan manhaj hidup yang mempunyai hubung-kait dengan ketuhanan Allah, iaitu sebuah kehidupan yang amat sesuai dengan naluri kemanusiaan itu sendiri. Umat Islam sendiri yang akan menterjemahkan warna kehidupan yang berasaskan pengabdian yang luhur kepada Allah dalam masyarakat tanpa dicampur-aduk dengan mana-mana unsur yang menyimpang dari arah itu.

Umat Islam sendiri yang akan mencorak-warnakan kehidupan dan masa depan mereka, kerana mereka telah mempunyai panduan hidup sendiri untuk bergerak dan bertindak, iaitu Al Quran. Penguasaan Al Quran ke dalam diri mereka bererti mereka telah mempunyai pertalian yang erat dengan Allah dan mereka kini mempunyai hubungan secara langsung dengan kekuasaan dan keagungan Allah, ikatan tali-temali mereka dengan Allah terlalu hampir den begitu akrab sekali. Segala rupa bentuk amalan dan perlakuan hidup dapat mereka laksanakan dengan penuh keikhlasan untuk dikembalikan ke pangkuan Allah.

Sesungguhnya nilai-nilai kekuatan sebuah generasi itu akan dinilai menurut kekuatan pegangan hidup mereka, kekuatan iman yang terpancak di dalam hati sanubari dan jiwa nurani mereka, kekuatan tersebut akan melenyapkan penguasaan hawa nafsu dalam diri seseorang muslim dan akan menguburkannya sehingga ke akar umbi dan sehingga hawa nafsu itu tidak berani muncul lagi.

Firman Allah Ta'ala:

إِنَّ الَّذِي فَرَضَ عَلَيْكَ الْقُرْآنَ لَرَادُّكَ إِلَىٰ مَعَادٍ

Maksudnya: “ Sesungguhnya Dialah yang menfardhukan kepada kamu tentang Al Quran, sudah tentu akan memulangkan kamu ke tempat kembali “ (Al Qashash: 85).

Ini kerana setiap amalan yang dilakukan semasa di atas dunia ini akan dihitungkan di hari akhirat kelak, sudah pasti orang-orang yang melakukan amalan kebaikan akan dibalas dengan kebaikan dan begitu juga dengan orang-orang yang melakukan kejahatan tetap akan di balas dengan kejahatan. Apabila seseorang muslim menerima cahaya petunjuk dari Al Quran yang dipancarkan kepadanya, bererti dia telah mendapat cahaya keimanan dari Allah dan sesungguhnya Allah memilih sesiapa sahaja yang layak untuk menerima cahaya tersebut. Maka penerimaan cahaya tersebut akan mencetuskan kekuatan rohani dan jasmani ke dalam dirinya, secara tidak langsung akan membentuk kekuatan sendiri yang digaul sebati dalam darah dagingnya. Cahaya tersebut akan menjadi jarum kompas untuk memandu arah dan tujuan perjalanan hidupnya bagi mencapai impian yang nyata, cahaya tersebut akan menerangi luang-lingkup kehidupannya apabila dia berada di dalam kegelapan. Namun, cahaya tersebut tidak akan mengeluarkan sinar sediainya si muslim itu tadi tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan Allah.

Mari kita perhatikan sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

إن الله تعالى قال: مَنْ عَادَى لِىْ وَلِيًّا فَقَدْ آذَنْتُهُ بِالْحَرْبِ، وَمَا  يَتَقَرَّبُ اِلَيَّ عَبْدِىْ بِشَىْءٍ أَحَبَّ اِلَىَّ مِمَّا افْتَرَضْتُهُ عَلَيْهِ، وَلاَ يَزَالُ عَبْدِىْ يَتَقَرَّبُ اِلَيَّ بِالْنَّوَافِلِ حَتَّى أُحِبُّهُ، فَإِذَا أَحْبَبْتُهُ كُنْتُ سَمْعَهُ  الَّذِى يَسْمَعُ  بِهِ،  وَبَصَرَهُ  الَّذِى  يُبْصِرُبِهِ،  وَيَدَهُ الَّتِى يَبْطِشُ بِهَا، وَرِجْلَهُ الَّتِى يَمْشِىْ بِهَا، وَلَئِنْ سَأَلَنِى لأُعْطِيَنَّهُ، وَلَئِنِ اسْتَعَاذَنِى لأُعِيْذَنَّهُ

Maksudnya: “ Sesungguhnya Allah Ta'ala telah berfirman: Sesiapa yang menyakiti wali Ku nescaya Aku isytiharkan perang ke atasnya dan tidaklah seseorang hamba menghampiri Ku dengan sesuatu yang lebih Aku sukai apabila ia melakukan apa yang Aku fardhukan ke atasnya, dan ia juga sentiasa mendekatkan dirinya kepada Ku dengan melakukan amalan sunat hingga Aku mencintainya, apabila Aku telah mencintainya, Akulah pendengarannya yang ia dengar, Akulah penglihatannya yang ia lihat, Akulah tangannya yang ia lakukan dan Akulah kakinya yang ia berjalan, jika ia meminta sesuatu kepada Ku, nescaya Aku perkenankan permintaannya dan jika ia memohon perlindungan kepada Ku, nescaya Aku melindunginya “ (Riwayat Bukhari).

Manakala Imam Bukhari r.a. pula telah meriwayatkan melalui sanadnya sendiri yang diambil dari Umar bin Abdul Aziz r.a. bahawa beliau telah menulis sepucuk surat kepada 'Udiy bin 'Udiy:

إِنَّ لِلإِيْمَانِ فَرَائِضَ وَشَرَائِعَ وَحُدُوْدًا وَسُنَنًا فَمَنِ اسْتَكْمَلَهَا اسْتَكْمَلَ اْللإِيْمَان وَمَنْ لَمْ يَسْتَكْمَلْهَا لَمْ يَسْتَكْمَلْ اْللإِيْمَانِ

Maksudnya: “ Sesungguhnya iman itu terdapat beberapa kefardhuan dan syari'at, batas sempadan dan juga sunnah perjalanan, sesiapa yang dapat menyempurnakannya, maka sempurnalah imannya dan sesiapa pula yang tidak dapat menyempurnakannya, maka pincanglah imannya “.

Pembentukan generasi masa depan yang menepati nilai-nilai kemanusiaan bermula dari dalam diri setiap individu itu sendiri, seseorang hamba itu akan berusaha membentuk dirinya untuk menjadi seorang hamba yang mampu dan berkebolehan, dia akan berusaha membina impian hidup untuk menjadi hamba yang boleh berdiri di atas kakinya sendiri dan di atas prinsip hidupnya sendiri, kerana dari situlah bermulanya titik tolak operasi kehidupan untuk memimpin kaum keluarga dan kerabatnya, sahabat hdiai dan teman seiringnya, jiran tetangga dan masyarakat sekitarnya dan  seterusnya negara yang tercinta. Maka, generasi yang akan muncul nanti ialah generasi yang mempunyai pertalian dengan Allah, Tuhan Yang Maha Agung, iaitu generasi yang faham dan mengerti tentang peranan hidup yang harus dimainkan dalam masyarakat. Maka dengan sebab itu, mereka perlu memperluaskan empayar tamadun ilmu dengan mengkaji dan meneliti ilmu-ilmu yang terdapat di dalam Al Quran dan mencetuskan idea-idea baru yang boleh diketengahkan untuk pembangunan masyarakat moden hari ini.

Mereka mesti menjadi generasi yang berani bergerak, bertindak, mengolah dan mengubah sesuatu perkara untuk disesuaikan dengan keadaan semasa dengan syarat apa yang dilakukan itu tidak terkeluar dari garisan syari’at. Mereka juga perlu bijak mencetuskan idea dengan menggunakan konsep ‘ijtihad’ dalam persoalan hukum yang masih kabur dan persoalan-persoalan semasa yang seringkali berlaku dalam masyarakat dan merekalah yang menjadi penyelesai untuk mengeluarkan ‘kata putus’ dalam sesuatu masalah yang meldia masyarakat. Akhirnya nanti, mereka tetap akan menjadi generasi yang unggul dan excellent, generasi yang menjadi pewaris kepada khazanah yang ditinggalkan oleh para nabi-nabi.

Firman Allah Ta'ala:

كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ

Maksudnya: “ Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia, (tugas dan tanggungjawab ialah) kamu disuruh mengerjakan kebaikan dan mencegah kemungkaran serta kamu beriman kepada Allah“ (Ali 'Imran: 110).

Pelaksanaan program seperti ini akan menambahkan lagi nilai-nilai keunggulan diri dan keberanian serta kehebatan generasi tersebut, di samping menjadikan diri mereka di kalangan orang-orang yang beruntung. Untuk membentuk kekuatan diri, setiap individu muslim memerlukan suatu kekuatan lain yang menjadi batu asas dan akar tunjang yang kuat untuk ditanam ke dalam hati sanubari dan jiwa nurani supaya prinsip kehidupan yang dibawa itu tidak mudah tercicir dan supaya maruah diri tidak akan mudah tercemar. Sebagai muqaddimahnya dia perlu memimpin impian hidupnya di atas satu prinsip yang dijelmakan di atas satu pengakuan, iaitu pengakuan ketuhanan: LAA ILAHA ILLAH dan kemudian dijelmakan pula pengakuan kenabian: MUHAMMADUR RASULULLAH. Kedua-dua pengakuan ini merupakan tembok pertahanan yang kuat dan kukuh untuk menghalang sebarang rupa bentuk ancaman yang datang menjelma. Maka, dengan sendirinya dia akan menjadi manusia yang kuat dan perkasa, kerana pengakuan tersebut akan menolak apa jua bentuk kekuatan dan kekuasaan selain dari kekuatan dan kekuasaan Allah.

Pengakuan tersebut akan menambahkan lagi semangat ke arah mewujudkan generasi yang hendak dibentuk itu, kerana di sana umat Islam telah mempunyai satu agenda yang hendak diserapkan ke dalam program kehidupan generasi tersebut, mereka telah mempunyai satu ramuan dan cita rasanya tersendiri untuk membentuk masyarakat supaya kembali ke pangkuan Allah. Kita juga perlu memahami tabiat dan realiti kehidupan, kerana untuk membentuk generasi yang unggul itu, di sana terdapat beberapa syarat penting yang perlu dilaksanakan supaya perjalanan hidup generasi yang hendak dibentuk itu nanti tidak menjadi pincang dan buta teraba-raba:

PERTAMA: Generasi yang hendak dibentuk itu mesti mempunyai hubungan dan pertalian yang erat dengan ketuhanan Allah, dengan sebab itu mereka akan melayakkan diri untuk mendapat kurniaan dan pertolongan dari Allah.

KEDUA: Mereka adalah generasi yang praktikal, generasi yang suka berjuang dan berjihad, generasi yang suka beramal dengan suruhan Allah, generasi yang ‘bangun dari tidur’ yang sentiasa bersiap sedia untuk mengaplikasikan kehidupan di bawah pengawasan Allah.

KETIGA: Generasi yang hendak dibentuk itu adalah generasi yang sentiasa beristiqamah dan komitmen dengan pengabdian hidup terhadap ketuhanan Allah, generasi yang mempunyai prinsip perjuangan dan perjalanan hidup, bukan generasi yang sentiasa berubah-ubah pegangan hidup atau amalan hidup ataupun perjuangan hidup.

KEEMPAT: Generasi tersebut perlu mempunyai ilmu pengetahuan yang ‘cukup masak’ yang mampu memimpin masyarakat kembali ke pangkuan Allah.

Sebabnya, setiap manusia yang berada dalam masyarakat tidak boleh memisahkan diri dari pegangan hidup dengan Allah, kerana manusia dicipta oleh Allah dan mesti berterima kasih kepada Allah. Manakala ilmu pengetahuan itu pula akan memberi laluan kepada generasi tersebut untuk mengeluarkan masyarakat dari kemelut kejahilan dengan memberi kefahaman yang mendalam tentang apa jua persoalan hidup, sama ada yang berkaitan dengan amal ibadat, pergaulan seharian, moral dan akhlak dan lain-lain perkara. Sebab itu, mereka merupakan generasi yang bertanggungjawab membentuk dan memimpin masyarakat ke jalan yang benar, mereka merupakan generasi yang akan mengeluarkan anggota masyarakat dari lubuk kejahilan dan kebodohan, mereka juga merupakan generasi yang memainkan peranan penting untuk membasmikan kemungkaran dan mereka tidak sekali-kali membiarkan masyarakat terumbang-ambing dibawa arus kesesatan. Di sana, mereka perlu merangka program amar makruf nahi mungkar untuk dilaksanakan ke dalam masyarakat, kerana pelaksanaan program ini mesti dilakukan secara praktikal bukan secara teori.

Pelaksanaan program ini mesti dihidupkan secara bersama dan beriringan, tidak harus dipisahkan antara satu sama lain, kerana hanya menumpukan kepada aspek makruf sahaja dan meninggalkan aspek mungkar ataupun hanya menumpukan perhatian kepada aspek mungkar sahaja dan meninggalkan aspek makruf, kerana kedua-dua perkara ini disebut oleh Allah secara bersama yang merupakan suatu tuntutan dan saranan yang wajib dipatuhi oleh setiap muslim, lebih-lebih lagi mereka yang mencari keredhaan Allah.

Firman Allah Ta'ala:

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya: “ Mesti ada di kalangan kamu umat yang menyeru kepada kebaikan, mereka menyuruh kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran dan mereka itulah orang-orang yang beruntung“ (Ali 'Imran: 104).

   Tugas dan tanggungjawab ini amat berat untuk dipikul dan tidak boleh diletakkan di atas bahu seseorang individu semata-mata, namun walau apa sekalipun pelaksanaan amar makruf nahi mungkar ini merupakan suatu kerangka program yang mesti dilakukan secara bersama. Cuba kita perhatikan di sana, gambaran sebenar tentang sikap orang-orang yang beriman terhadap program ini, yang saling bantu-membantu di antara satu sama lain, di antara lelaki dan perempuan yang sentiasa bekerja keras untuk mencapai cita-cita dan impian mereka, sebagaimana gambaran yang diukir itu terdapat di dalam Al Quran.

Firman Allah Ta’ala:

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ  يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ

Maksudnya: “ Lelaki yang beriman dan perempuan yang beriman menjadi penolong di antara satu sama lain, mereka menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran “ (At Taubah: 71).

Gambaran pelaksanaan konsep hidup generasi yang hendak dibina menurut perspektif Islam dalam bentuk yang lebih syumul mesti dikaitkan dengan kefahaman tentang hakikat Islam itu sendiri, di mana amalan-amalan hidup yang dilaksanakan tidak harus keluar melepasi garis sempadan dan ruang-lingkup dalam manhaj Islam itu, manakala sebarang unsur yang tidak termasuk dalam manhaj Islam mesti dilenyapkan terus dalam konsep kehidupan. Generasi yang muncul menurut acuan Al Quran ialah generasi yang bertindak bijak dalam masyarakat, mereka tetap berdiri di jalan yang benar dan tetap berkata benar sekalipun dalam kalangan manusia tidak menyukai mereka. Mencegah kemungkaran adalah suatu kewajiban yang mestilah dilaksanakan oleh mereka, sama ada dengan tangan atau dengan lidah atau dengan hati.

Sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Abu Said Al Khudri r.a.  bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرُهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ اْلإِيْمَانِ

Maksudnya: “ Sesiapa yang melihat perkara mungkar, maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya, sekiranya dia tidak berkuasa maka hendaklah mengubah dengan lidahnya dan sekiranya dia tidak berkuasa juga, maka hendaklah mengubah dengan hati dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman “ (Riwayat Muslim).

Generasi yang hendak dibentuk di atas prinsip Al Quran itu ialah generasi pejuang yang berani terjun ke medan menyeru manusia kembali ke jalan Allah, kerana tugas ini merupakan suatu kewajiban yang perlu dilaksanakan oleh generasi tersebut, kerana itu juga tugas ini akan dapat menambahkan bilangan manusia memahami Islam secara syumul dan memeluk Islam untuk mendapat petunjuk dan hidayat dari Allah. Di dalam mengharungi kerja-kerja dakwah dan kerja-kerja menyeru masyarakat kembali ke pangkuan Allah, di sana mereka memerlukan beberapa uslub penyampaian yang berkesan dan cara-cara bertindak dengan baik supaya menarik minat orang ramai ke arah Islam, kerana seruan menyeru manusia ke jalan Allah merupakan tugas utama para rasul-rasul yang diutuskan sejak dahulu lagi.

Sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Mas'ud r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

مَا مِنْ نَبِىٍّ بَعَثَهُ اللهُ فِىْ أُمَّةٍ مِنْ قَبْلِىْ اِلاَّ كَانَ لَهُ حَوَارِيُّوْنَ وَأَصْحَابٌ يَأْخَذُوْنَ بِسُنَّتِهِ وَيَقْتَدُوْنَ بِأَمْرِهِ، ثُمَّ إِنَّهَا تَخْلُفُ مِنْ بَعْـدِهِمْ خُلُوْفٌ يَقُوْلُوْنَ مَالاَ يَفْعَلُوْنَ وَيَفْعَلُوْنَ مَالاَ يُؤْمَرُوْنَ، فَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِيَدِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِلِسِانِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِقَلْبِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ، لَيْسَ وَرَاءُ ذَلِكَ مِنَ اْلإِيْمَانِ حَبًّةُ خَرْدَلٍ

Maksudnya: “ Setiap nabi yang dibangkitkan oleh Allah kepada sesuatu umat sebelum ku mempunyai pengikut yang setia dan para sahabat yang sentiasa mengambil sunnah perjalanannya serta selalu mengikut arahannya, kemudian berlalu beberapa generasi dan muncul pula generasi yang kemudian, mereka mengatakan tetapi tidak melakukan, sebaliknya melakukan apa yang tidak disuruh, sesiapa yang berjuang menentang mereka dengan tangannya, maka dia adalah beriman, sesiapa yang berjuang dengan lidahnya, maka ia adalah beriman dan sesiapa yang berjuang dengan hatinya maka ia juga adalah beriman dan tiada lagi iman selepas itu walaupun sebesar biji sawi “ (Riwayat Muslim).

Ketahulah wahai saudara muslim..! Sesungguhnya jalan Islam itu amat luas terbentang, jalan Islam itu dipenuhi bau wangi-wangian dan dihiasi pancaran cahaya kegemerlapan, jalan Islam itu merupakan jalan yang menerangi ruang-lingkup hidup manusia, jalan yang mengajak manusia berdiri teguh di atas ubun-ubunnya dan di atas panji-panji kebenaran, jalan yang membentuk syaksiyah diri manusia dengan nilai-nilai yang unggul dan jalan untuk membina sebuah keyakinan dengan meletakkan ‘aqidah sebagai teras dalam perjuangan.

Firman Allah Ta'ala:

قُلْ هَٰذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللهِ  عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي وَسُبْحَانَ اللهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Maksudnya: “ Katakanlah: Inilah jalan ku yang mengajak (manusia) ke jalan Allah dengan pdiangan yang jelas, aku dan para pengikut ku, Maha Suci Allah dan aku tidak termasuk di kalangan orang-orang musyrikin “ (Yusuf: 108).

Setiap generasi yang hendak dibentuk itu mesti melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan agar dapat memberi petunjuk kepada diri mereka sendiri dan juga masyarakat seluruhnya. Ilmu pengetahuan itu akan membentuk keunggulan diri mereka sebagai manusia yang normal dan bertamadun dan mempunyai etika dalam peradaban hidup. Yang penting ilmu tersebut dapat mengikat erat hubungan mereka dengan Allah agar tidak putus terburai, hancur berkecai.

Firman Allah Ta'ala:

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ

Maksudnya: “ Serulah manusia ke jalan Tuhan dengan bijaksana dan pengajaran yang baik, berdebatlah dengan mereka mengikut cara yang sebaik-baiknya “ (An Nahl: 125).

Sesungguhnya seruan menyeru manusia ke jalan Allah merupakan tugas dan tanggungjawab yang sebenar yang perlu dilakukan oleh setiap generasi ini setelah mereka mendapat pengiktirafan dari Allah. Mereka mesti bersiap sedia dan mampu memimpin masyarakat untuk membawa mereka kembali ke pangkuan Allah, kerana mereka mempunyai keupayaan dalam semua bentuk dan memiliki kehebatan serta keistimewaan supaya dapat mempengaruhi masyarakat dan menarik minat mereka ke arah Islam. Lihatlah contoh teladan yang ada pada diri Rasulullah s.a.w. yang telah berjaya pemimpin masyarakat sepanjang zaman dan sehingga kini ajaran Islam yang dibawa oleh baginda s.a.w. dapat mempengaruhi masyarakat dunia untuk menerima Islam sebagai program hidup yang berkesan. Tugas dan tanggungjawab menyeru manusia tidak boleh dilakukan oleh manusia biasa, apatah lagi mereka yang tidak punya ilmu pengetahuan. Maka, realiti ini mesti diberikan kepada orang-orang yang mempunyai ilmu yang mendalam, kerana ilmu tersebut merupakan bekalan dan panduan untuk membina kehidupan masyarakat dan menyelesaikan apa-apa permasalahan yang berlaku. Dengan sebab itu, mereka harus mengerti dan memahami konsep syari’at yang diturunkan oleh Allah di samping menguasai isi kandungan yang terdapat dalamnya untuk diprogramkan ke dalam masyarakat.

Sabda Rasullulah s.a.w.

مَنْ أَرَادَ الدُّنْيَا فَعَلَيْهِ بِالْعِلْمِ وَمَنْ أَرَادَ اْلآخِرَةَ فَعَلَيْهِ بِالْعِلْمِ وَمَنْ أَرَادَهُمَا فَعَلَيْهِ بِالْعِلْمِ

Maksudnya: “ Sesiapa mahukan dunia, maka hendaklah mencapainya dengan ilmu, sesiapa yang mahukan akhirat, maka hendaklah mencapainya dengan ilmu dan sesiapa yang mahukan kedua-duanya sekali, maka juga dengan ilmu “.

          Sebab itu, generasi masa depan yang hendak dibentuk ialah generasi yang intelektual dengan berpandukan kepada prinsip syari’at dan berpegang teguh kepada realiti yang nyata. Sediainya mereka gagal memprogramkan prinsip syari’at dalam kehidupan bermasyarakat, bererti mereka telah gagal memainkan peranan sebagai seorang intelektual atau sebagai seorang pendakwah dan secara tidak langsung kegagalan ini telah memberi ruang kepada jahiliyah dan suku-sakatnya untuk masuk ke dalam masyarakat tersebut. Sesungguhnya Islam telah membentangkan syari’atnya sendiri untuk diprogramkan kepada sekalian umat manusia dan syari’at Islam ini adalah dicipta oleh Allah sendiri tanpa diceduk dari mana-mana syari’at lain atau dicampur-aduk dengan mana-mana sumber lain. Sebab itu, pembentukan generasi masa depan ini mesti mempunyai nilai-nilai kemanusiaannya yang tersendiri, kerana sekiranya mereka tidak mempunyai nilai dan tidak pula bermaruah, nanti mereka tidak mempunyai harga diri dalam pasaran, kerana kehidupan yang mereka miliki sekarang adalah kehidupan yang rendah mutunya dan tidak punya apa-apa kualiti. Jika demikian, bagaimana generasi itu mahu bangkit untuk membina tamadun sendiri dan bagaimana pula mereka mahu mewujudkan kepakaran teknologi sendiri, sedangkan pembinaan tamadun dan teknologi itu memerlukan nilai-nilai kemanusiaan yang akan mencetuskan pemikiran yang bijak untuk berubah dan mengubah serta merombak sistem kehidupan yang mundur dan jumud kepada kemajuan dan kecanggihan…

   Maka, di sinilah letaknya nilai dan kekuatan generasi yang hendak diwujudkan ini, mereka adalah generasi yang menjadi pewaris untuk mempusakai amanah yang telah ditinggalkan oleh para ulama silam. Sudah tentu, di sana ada banyak tugas dan tanggungjawab yang perlu diselesaikan.

Firman Allah Ta'ala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تَنْصُرُوا اللَّهَ يَنْصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ

Maksudnya: “ Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong meninggikan agama Allah, nescaya Dia akan menolong kamu dan meneguhkan kedudukan kamu “ (Muhammad: 7).


Sekian, wassalam


Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani

No comments:

Post a Comment