Menurut bahasa, istiqomah bererti lurus dan
rata, manakala dari sudut istilah pula sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn Rejab,
iaitu berdiri pada jalan yang lurus (ad-Deen al-Qayyim) tanpa
adanya kepincangan, sama ada ke kanan atau ke kiri yang mencakupi segala bentuk
ketaatan kepada Allah, sama ada bersifat lahiriyah ataupun batiniyah serta
meninggalkan segala laranganNya. Istiqomah juga bererti konsisten dan teguh
berdiri di jalan ketaatan kepada ketuhanan Allah, iaitu melakukan sesuatu
amalan itu dengan secara berterusan dan dengan berpegang teguh kepada ajaran
Islam tanpa sedikitpun ada keraguan. Secara dasarnya, istiqomah bererti berdiri teguh
di atas jalan yang benar, iaitu jalan Islam dalam segenap penjuru dan ruang-lingkup
kehidupan, sama ada dari sudut akidah dan pegangan hidup, dari sudut ibadat dan
amalan, dari sudut pandangan dan perjuangan hidup dan sebagainya, iaitu tidak sedikitpun
akan berganjak dari jalan tersebut walaupun terdapat pelbagai ancaman, godaan
dan rintangan.
Di dalam sepotong hadith, yang diriwayatkan
dari Sufian Ibn Abdullah r.a. telah menceritakan bahawa beliau pernah bertanya kepada
Rasulullah s.a.w. mengenai suatu ungkapan yang mana beliau tidak akan bertanya
lagi tentangnya dengan orang lain, lalu Rasulullah s.a.w. menjawab:
قُلْ أمَنْتُ بِالله ثُمَّ اسْتَقيْم
Maksudnya:
“Katakanlah, Aku beriman dengan Allah dan kemudian hendaklah kamu istiqomah”.
Di
sana terdapat pelbagai ulasan dan pandangan para ulama mengenai hadith di atas
dan untuk lebih memahami, ada baiknya kita berkongsi pendapat dengan ulasan
yang dikemukakan oleh para ulama mengenai hadith di atas.
Menurut
pendapat Qadi bin ‘Iyadh bahawa hadith ini adalah di antara ungkapan yang
ringkas, tetapi padat dengan makna dari Rasulullah s.a.w. Maka benarlah di sana
bahawa orang-orang yang berkata Tuhan kami adalah Allah dan kemudian mereka
beristiqomah dan tidak berpaling dari akidah tauhid, berterusan dengan keiltizaman
mentaati perintah Allah sehingga ke akhir hayat. Oleh itu. Konsep istiqomah
menurut Qadi bin ‘Iyadh adalah tetap berdiri teguh di atas prinsip tauhid dan
mentaati perintah Allah hingga menemui ke akhir hayat.
Manakala Iman al-Munawi telah menyatakan
bahawa ungkapan perkataan: ‘Aku Beriman Dengan Allah’ bermaksud memperbaharui iman
kepada Allah dengan menyebutnya dalam hati sanubari dan jiwa nurani serta mengungkapkan
dengan lidah dan kemudian menghadirkan segala pengertian iman yang
disyari’atkan. Manakala ungkapan perkataan: ‘Hendaklah Kamu Beristiqomah’
bermaksud beriltizam dengan mengerjakan amal ketaatan dan menjauhkan diri
daripada perkara-perkara yang bertentangan dengan syari’at Allah. Oleh itu, pengertian
istiqomah menurut pandangan Imam al-Munawi ini ialah berkisar mengenai
nilai-nilai ketaatan kepada Allah dan menjauhi segala rupa bentuk larangan-laranganNya.
Firman Allah Ta’ala:
فَاسْتَقِيمُوا إِلَيْهِ وَاسْتَغْفِرُوهُ
Maksudnya: “Maka
hendaklah kamu beristiqomah kepadaNya dan pohonlah keampunanNya”.
Perkataan istiqomah
dalam ayat ini adalah bermaksud
tegak di atas jalan yang lurus untuk mengabdikan diri kepada Allah tanpa berpaling
ke arah yang lain. Istiqomah juga bermaksud ‘al-istiwa’ iaitu lurus dan seimbang
tanpa berbelah bagi. Di dalam sepotong
ayat yang lain, Allah berfirman:
إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا
Maksudnya: “Sesungguhnya
orang-orang yang berkata, “Tuhan kami adalah Allah, kemudian beristiqomah”.
Di dalam ayat ini, perkataan
istiqomah adalah bermaksud melaksanakan ketaatan kepada Allah dan berpegang
teguh kepada sunnah Nubuwah s.a.w. Menurut al-Aswad ibn Malik, bahawa ayat ini membawa
pengertian agar setiap muslim yang melapazkan pengakuan keimanan tidak
sekali-kali menyekutukan Allah dengan apa jua sekalipun, manakala menurut al-Qatadah
bahawa perkataan istiqomah pada ayat di atas bererti teguhkan pendirian untuk
selalu mentaati perintah Allah Ta’ala. Oleh itu, nilai-nilai istiqomah ini
dapat dikatakan sebagai pendirian yang teguh atau konsisten untuk sentiasa mentaati perintah dan titah Allah,
sama ada dalam keyakinan, perkataan dan perbuatan, kemudian tetap kekal dalam tersebut.
Ianya melambangkan keteguhan iman yang terpancak dalam hati sanubari, ikhlas
dalam amalan hidup dan menunaikan seluruh kewajiban.
Sesungguhnya Allah Ta’ala telah mewajibkan kepada
Rasulullah s.a.w. dan sekalian kaum muslimin agar sentiasa istiqomah dan tetap
berdiri teguh di jalan Allah. Perkara ini telah dimaklumkan dalam sepotong
ayatNya, di dalam Surah Hud ayat 112:
فَاسْتَقِمْ كَمَا
أُمِرْتَ وَمَنْ تَابَ مَعَكَ وَلاَ تَطْغَوْا إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ
Maksudnya: “Maka beristiqomahlah kamu (wahai Muhamad) di atas jalan yang benar,
sebagaimana yang diperintahkan kepada mu dan kepada orang-orang yang kembali bertaubat
bersama mu, janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah Maha Melihat
akan apa yang kamu kerjakan”.
Apabila
Allah Ta’ala memerintahkan supaya taat setia kepada segala suruhan dan
laranganNya yang mencakupi pelbagai bidang dan lapangan hidup, bermula dari akidah
tauhid, nubuwah, dakwah, perjuangan dan sebagainya, maka di sana Allah
memerintahkan kepada Rasulullah s.a.w. supaya beristiqomah, iaitu teguhkan
pendirian di atas apa yang telah diperintahkan itu kepadanya. Perintah istiqomah di sini mencakupi
pelbagai perkara dan pelbagai bidang dalam program syari’at dan tugas ini tentunya sangat berat dan tidak
tertanggung oleh manusia biasa. Menurut Ibn Abbas r.a. bahawa tidak ada ayat
yang diturunkan kepada Nabi s.a.w. yang lebih berat dan sangat sulit berbanding
dengan Surah Hud, ayat 112. Oleh
sebab itu, apabila baginda s.a.w. diajukan pertanyaan oleh para sahabat mengapa
rambutnya cepat sekali beruban, lalu baginda s.a.w. menyatakan bahawa rambutnya
uban dengan sebab Surah Hud.
Sekian, wassalam
Al Faqir Ila Afwi Rabb
Lutpi Mustafa el-Batnani