PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Thursday 3 March 2011

MEMBINA KEPERIBADIAN MULIA GENERASI AKAN DATANG

1. MUQADDIMAH
Pengakuan LAA ILAHA ILLALLAH yang diungkapkan oleh seseorang muslim telah membuktikan bahawa dia sememangnya telah bersedia untuk memikul tugas dan tanggungjawab yang telah diwajibkan ke atas diri. Pengakuan itu sekaligus membuktikan tahap pencapaian hidupnya ke arah ‘melaksanakan’ program Islam secara menyeluruh dan di dalam semua bentuk dan keadaan, mencakupi pelbagai aspek kehidupan, sama ada menyentuh persoalan duniawi atau ukhrawi. Pengakuan itu juga telah meletakkan ketinggian hidup pekerti seseorang muslim untuk sanggup mengabdikan diri kepada Tuhannya, dia sanggup menerima ketetapan dari Tuhannya dengan hati yang terbuka yang berupa arahan-arahan dan peraturan-peraturan yang diturunkan, dia sanggup menerima apa-apa ujian kerana akur dan tunduk kepada undang-undang ciptaan Tuhan untuk dilaksanakan ke dalam dirinya.  Apabila pengakuan ketuhanan itu mula terbuhul, diikat dengan begitu kuat dan kukuh, dan tidak mungkin dapat diputuskan lagi, bererti dia telah mendapat suatu kepuasan di dalam melayari bahtera kehidupannya, dia telah mencapai impian hidupnya untuk tetap beristiqomah dan terus berada dalam perjuangan Islam dan syari’atnya sehingga ke akhir hayat, dia akan membina kehidupannya itu di atas nama Islam dan iman yang terpacak dalam dirinya.

2. ADAB BERSAMA ALLAH
Maka, jadual kehidupan sehariannya adalah untuk mencari keredhaan Allah dan untuk mengabdikan diri kepadaNya. Pengakuan ketuhanan yang dibuat itu juga mestilah disusuli dengan amalan hidup dan dengan gerak-kerja yang berlandaskan syari’at Allah, dia mestilah bertindak mengikut lunas dan garis panduan yang telah dikemukakan dalam program ketuhanan itu demi untuk mencapai arah matlamat yang dituju, iaitu mencari keredhaan Allah. Segala program dan gerak-kerja yang dilaksanakan untuk mencari keredhaan Allah itu merupakan suatu peradaban yang tinggi nilai dan mutunya ke arah membina pembangunan diri dan keyakinan diri terhadap Allah. Tugas dan tanggungjawab seterusnya untuk mencari keredhaan Allah ialah memohon restu dan hidayat dariNya supaya dia sentiasa berada di bawah pengawasan dan lingkaran rahmat Allah. Di antara peradaban-peradaban yang wajib ditunaikan ialah:

2.1. Mensyukuri Nikmat Allah
Untuk mencari keredhaan Allah, seseorang muslim itu hendaklah melihat kepada Allah dan merenung jauh ke arahNya, iaitu melihat dan merenung kepada nikmat-nikmat yang dikurniakan oleh Allah ke atas dirinya,  dia hendaklah meneliti betul-betul terhadap nikmat-nikmat yang diturunkan oleh Allah itu dan bertanya kepada dirinya, mengapa Allah begitu pemurah mengurniakan nikmat kepada dirinya yang kerdil itu..?  Ini adalah sifat Ar Rahman Allah yang Maha Pemurah dan yang memberi nikmat kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya, maka seseorang muslim itu hendaklah merasa cukup dan puas dengan pemberian Allah kepadanya itu, dia hendaklah melahirkan perasaan syukur terhadap Tuhannya dan memadai dengan rezeki yang diberikan kepadanya. Kalaulah dia hendak mengira dan menghitung nikmat-nikmat yang dikurniakan Allah terhadap dirinya, nescaya tidak terkira dan tidak terhitung banyaknya. Akan tetapi, nikmat yang paling berharga dan bernilai dan tiada pula tolak bandingnya sejak dia dilahirkan dari perut ibunya ke dunia ini ialah nikmat iman dan Islam, nikmat yang dapat memberi kebahagiaan kepada manusia di dunia dan di akhirat nanti, hanya mereka yang berada di bawah pengawasan iman dan Islam sahaja dapat mengecepi dan merasai nikmat tersebut. Maka di sana, menjadi kewajipan kepada setiap muslim memelihara lidah dan perkataan yang keluar dari mulutnya itu dengan ucapan puji-pujian sebagai tanda kesyukuran terhadap nikmat yang dikurniakan oleh Allah. Sebagai tanda kesyukuran, dia hendaklah beramal dengan setiap suruhan Allah dengan meletakkan ketaatan yang tidak berbelah bagi terhadap ketuhanan Allah itu, baik pada rububiyyhNya atau uluhiyyahNya, tanpa ada perasaan syak wasangka dan ragu-ragu. Ini merupakan suatu peradaban bersama Allah, di samping meninggalkan segala rupa bentuk laranganNya.

Benarlah firman Allah Ta'ala:
وَمَا بِكُمْ مِنْ نِعْمَةٍ فَمِنَ اللَّهِ ۖ ثُمَّ إِذَا مَسَّكُمُ الضُّرُّ فَإِلَيْهِ تَجْأَرُونَ
Maksudnya: " Dan nikmat yang ada pada kamu datang dari Allah, sekiranya kamu ditimpa kemudharatan, maka hanya kepada Allah-lah kamu meminta pertolongan " (An Nahl: 53).

2.2. Merenung Kebesaran Allah
Setiap muslim yang ingin merapatkan jurang kehidupannya terhadap Allah hendaklah melihat kepada ‘ilmullah’ dan ketetapanNya terhadap sesuatu perkara, dia hendaklah melihat proses kejadian manusia yang bermula dari setitis mani bergerak menjadi segumpal darah dan akhirnya berkembang menjadi seketul daging. Proses itu berkembang di dalam perut ibu dari masa ke semasa dengan mengambil masa yang agak lama sehingga manusia itu dilahirkan ke dunia dalam bentuk seorang bayi. Ini menunjukkan kekuasaan dan kebesaran Allah…! Begitu juga dengan kejadian haiwan, tumbuh-tumbuhan dan juga proses wujudnya kejadian alam ini serta tabiat semulajadi putaran alam  dan peredaran cakrawala yang tidak berhenti-henti. Tidak lain dan tidak bukan, keadaan ini berlaku untuk menyaksikan betapa hebatnya kekuasaan Allah yang mencipta segala sesuatu itu sentiasa berterusan tanpa kompromi dengan mana-mana kekuasaan. Maka, sudah tentu di sana akan menarik perasaan hati sanubari dan jiwa nurani untuk menghayati kebesaran Allah, perasaan itu menjelma kerana dia telah menanam sebuah pengakuan suci, pengakuan LAA ILAHA ILLALLAH dalam dirinya, pengakuan itu sudak tertegak dan tertanam ke dalam dirinya menyebabkan sanubarinya sentiasa ingin bersama-sama dengan Allah. Perasaan itu sekaligus  melenyapkan perasaan jahiliyah di dalam dirinya dan perasaan ingin mendekatkan diri kepada maksiat, sebaliknya dia akan menentang keras perasaan yang ingin membawa dirinya menjadi hamba kepada hawa nafsu.

Firman Allah Ta'ala:
مَا لَكُمْ لاَ تَرْجُونَ لِلَّهِ وَقَارًا وَقَدْ خَلَقَكُمْ أَطْوَارًا
Maksudnya: " Mengapa kamu tidak ingat tentang kebesaran Allah? Sesungguhnya Dia telah mencipta kamu melalui beberapa proses " (Nuh: 13-14).

      Proses keimanan dalam diri manusia mengandungi beberapa tahap dan beberapa tingkat, ianya bergantung kepada kekuatan diri menghayati konsep pegangan hidup dan penilaian terhadap program yang diatur-galurkan oleh Tuhan kepadanya serta komitmennya terhadap amalan-amalan yang tentukan dalam syari’at. Merenung kembali kepada hakikat kehidupan dan hakikat kebesaran Tuhan, seseorang muslim itu akhirnya akan menemui jalan kebenaran yang dicarinya, jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah, jalan untuk mengenal Allah atau ma’rifatullah sebagai suatu jalan yang mengembalikan hakikat kemanusiaan itu sendiri untuk meletakkan nilai-nilai keagungan iman di dalam hati sanubari dan jiwa nurani. Perkara ini merupakan suatu peradaban yang amat berguna untuk dihayati dalam setiap diari kehidupan para muslim.

2.3. Bertanggungjawab Terhadap Kewajiban
Setiap muslim yang ingin menguasai kehidupannya dari godaan hawa nafsu hendaklah melihat Allah Ta'ala dari aspek kudrat dan kekuasaanNya, dia hendaklah meletakkan suatu keyakinan yang penuh terhadap Allah bahawa Allah amat berkuasa ke atas segala makhluk yang ada di alam ini. Oleh sebab itu, tidak harus sama sekali bagi setiap diri yang mengaku beriman kepada Allah setelah dia mengemukakan pengakuan hidupnya; Tiada Tuhan yang sebenar-benar melainkan Allah, tetapi tiba-tiba dia lari menyembunyikan diri dari Allah kerana tidak mahu menunaikan tugas dan tanggungjawab yang telah diwajibkan ke atas dirinya, dia tidak mahu diikat dengan persoalan hukum halal atau haram dalam ajaran agama, dia mahu bebas tanpa dikongkong oleh mana-mana peraturan dan mana-mana undang-undang yang cuba menghalang kemahuan hidupnya, dia tidak mahu lagi dikaitkan  dengan  mana-mana arahan yang boleh mengganggu impian hidupnya yang ingin bebas tanpa ikatan dengan sesiapapun, dia tidak mahu lagi melaksanakan ajaran dan tuntutan dari Tuhannya yang dianggap boleh membebankan dirinya, dia mahu membina kehidupan itu dengan daya usahanya sendiri tanpa dibantu dengan sebuah kepercayaan dan keyakinan hidup. Manusia yang bersikap seperti ini ialah manusia yang tidak beradab terhadap Tuhannya, dia telah mungkir janji terhadap pengakuan yang telah dilapazkan, keimanan dan kepercayaannya telah hancur musnah akibat godaan hawa nafsu dan syaitan laknat yang mengalir di dalam dirinya. Walaupun rupanya rupa seorang manusia, tetapi hakikatnya dia atau kawanan syaitan yang amat jahat. Maka di sinilah perlunya setiap diri itu beradab di hadapan Allah, dia tidak harus terpedaya dengan bisikan hawa nafsu dan godaan syaitan laknat yang sentiasa mendorong dirinya ke arah keburukkan, dia mestilah menguasai perasaan hawa nafsu agar dirinya tidak rebah dan tidak terus kecundang. Hati seorang muslim yang benar-benar beriman tidak harus kalah di dalam pertarungan menentang musuh, dia tidak harus menyerah kalah apabila dia merasakan keadaan dirinya mula tergugat dengan serangan hawa nafsu yang bertubi-tubi. Dia harus ingat, bahawa hawa nafsu itu tidak berkuasa untuk memusnahkan seseorang muslim, tetapi dia berkuasa memusnahkan hawa nafsu daripada terus merayap di dalam dirinya, dia akan dapat menghancur-leburkan hawa nafsu itu buat selama-lamanya.

Di dalam sepotong ayat suci, Allah Ta'ala telah berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلاَ تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ
Maksudnya: " Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam secara menyeluruh dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan, kerana syaitan adalah musuh kamu yang paling nyata" (Al Baqarah: 208).

       Mengambil sebahagian dari ajaran Islam dan meninggalkan sebahagian yang lain merupakan ajaran syaitan yang cuba memperdayakan seseorang muslim, seolah-olah di dalam ajaran Islam itu terdapat ajaran yang sesuai dan ajaran yang tidak sesuai. Ini merupakan suatu permainan hidup yang datang dari musuh-musuh Islam untuk memusnahkan Islam, ajaran Islam dan umatnaya dari menerima ajaran Islam secara menyeluruh. Berhubung dengan ayat di atas, seorang sahabat yang terkenal bernama Huzaifah bin Yaman telah mengemukakan suatu pandangan yang amat menarik, pandangan beliau ini amat baik untuk diambil perhatian oleh setiap muslim, kerana beliau adalah orang yang paling rapat dengan Nabi s.a.w. dan pernah menjadi setiausaha kepada baginda, beliau telah memberi suatu gambaran yang relevant tentang ajaran Islam:

اَلإِسْلاَمُ ثَمَانِيَةُ أَسْهُمٍ: اَلصَّلاَةُ سَهْمٌ، وَالزَّكَاةُ سَهْمٌ، وَالصَّوْمُ سَهْمٌ، وَاْلحَجُّ سَهْمٌ، وَاْلعُمْرَةُ سَهْمٌ، وَاْلجِهَادُ سَهْمٌ، وَاْلأَمْرُ بِاْلمَعْرُوْفِ سَهْمٌ، وَالنَّهْىُ عَنِ اْلمُنْكَرِ سَهْمٌ، وَقَدْ خَابَ مَنْ لاَ سَهْمٌ لَّهُ
Maksudnya: " Islam mempunyai lapan saham; Pertama: solat, kedua: zakat, ketiga: puasa, keempat: haji, kelima: umrah, keenam: jihad, ketujuh: amar ma'ruh, kelapan: nahi mungkar, oleh sebab itu, sesiapa yang gagal (menunaikannya) maka tiada baginya saham   ".

       Ini merupakan suatu pelaburan yang sangat menguntungkan bagi indeks pasaran di hari akhirat kelak, pelaburan ini bertujuan untuk menarik minat umat Islam seluruhnya supaya dapat menanam modal mereka untuk tujuan ini. Mereka tidak perlu mengeluarkan wang ringgit atau harta benda sebagai modal pelaburan, tetapi cukuplah dengan hanya menunaikan kewajiban-kewajiban Islam. Mereka hendaklah  mendirikan solat lima waktu sehari semalam sebagai upacara rasmi dalam program ibadat terhadap Tuhan, mereka dikehendaki mengeluarkan zakat kepada mereka yang tidak berupaya di dalam menyara kehidupan, kerana konsep zakat ini bertujuan untuk tolong-menolong dan saling bantu-membantu kepada mereka yang memerlukan, mereka disuruh berpuasa di bulan Ramadhan, mengerjakan haji dan umrah ke baitullah, mereka juga disuruh untuk berjuang dan berjihad di dalam Allah, di samping meneruskan program amar makruh nahi mungkar. Kewajiban Islam itu terkandung di dalam syari'at dan manhajnya, tetapi yang menjadi perkara asas untuk mendidik roh para muslim telah dijelaskan di dalam sepotong hadith yang panjang.

Al Harith bin Al Harith Al Asy'ari r.a. telah meriwayatkan, bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

إِنَّ اللهَ أَمَرَنِى بِخَمْسِ كَلِمَاتٍ أَنْ أَعْمَلَ بِهِنَّ وَآمُرُكُمْ أَنْ تَعْمَلُوْا بِهِنَّ، وَأَوَّلَهُنَّ: أَنْ تَعْبُدُوْا اللهَ وَلاَ تُشْرِكُوْا بِهِ شَيْئًا، فَإِنَّ مِثْلَ مَنْ أَشْرَكَ بِاللهِ كَمِثْلِ رَجُلٍ اشْتَرَى عَبْدًا مِنْ خَالِصِ مَالِهِ بِذَهَبٍ أَوْ وَرَقٍ، ثُمَّ أَسْكَنُهُ دَارًا، فَقَالَ: اِعْمَلْ وَارْفَعْ إِلىَّ، فَجَعَلَ اْلعَبْدُ يَعْمَلُ وَيَرْفَعُ اِلَى غَيْرِ سَيِّدِهِ، فَأَيُّكُمْ يَرْضَى أَنْ يَكُوْنَ عَبْدُهُ كَذَلِكَ؟ وَإِنَّ اللهَ خَلَقَكُمْ وَرَزَقَكُمْ فَاعْبُدُوْهُ وَلاَ تُشْرِكُوْا بِهِ شَيْئًا، وَآمُرُكُمْ بِالصَّلاَةِ وَإِذَا قُمْتُمْ اِلَى الصَّلاَةِ فَلاَ تَلْتَفِتُوْا فَإِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ يَقْبَلُ بِوَجْهِهِ عَلَى عَبْدِهِ مَا لَمْ يَلْتَفِتْ، وَآمُرُكُمْ بِالصِّيَامِ وَمِثْلُ ذَلِكَ كَمِثْلِ رَجُلٍ مَعَهُ صُرَّةُ مِسْكِ فِىْ عَصَابَةٍ كُلُّهُمْ يَجِدُ رِيْحِ اْلمِسْكِ، وَإِنَّ خُلُوْفَ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللهِ مِنْ رِيْحِ اْلمِسْكِ، وَآمُرُكُمْ بِالصَّدَقَةِ وَمِثْلُ ذَلِكَ كَمِثْلِ ذَلِكَ رَجُلٌ أَسِرُّهُ اْلعَدُوِّ فَشَدُّوْا يَدَيْهِ إِلَى عُنُقِهِ وَقَدِّمُوْهُ لِيَضْرِبُوْا عُنُقَهُ فَقَالَ لَهُمْ: هَلْ لَّكُمْ أَنْ أَفْتَدِىَ نَفْسِىْ مِنْكُمْ؟ فَجَعَلَ يَفْتَدِى نَفْسَهُ مِنْهُمْ بِاْلقَلِيْلِ وَاْلكَثِيْرِ حَتَّى فَكَّ نَفْسَهُ، وَآمُرُكُمْ بِذِكْرِ اللهِ كَثِيْرًا، وَمِثْلُ ذَلِكَ كَمِثْلِ رَجُلٍ طَلَبَهُ اْلعَدُوُّ سِرَاعًا فِى أَثَرِهِ، فَأَتَى حَصَنًا حَصِيْنًا فَأَحْرَزَ نَفْسَهُ فِيْهِ، وَإِنَّ اْلعَبْدَ أَحْصَنَ مَا يَكُوْنُ مِنَ الشَّيْطَانِ إِذَا كَانَ فِىْ ذِكْرِ اللهِ تَعَالَى، وَأنَاَ آمُرُكُمْ بِخَمْسٍ أَمَرَنِى اللهُ بِهِنَّ: اَلْجَمَاعَةِ، وَالسَّمْعِ، وَالطَّاعَةِ، وَاْلهِجْرَةِ، وَاْلجِهَادِ فِىْ سَبِيْلِ اللهِ، فَإِنَّهُ مَنْ فَارِقُ اْلجَمَاعَةَ قَيْدُ شِبْرٍ فَقَدْ خَلَعَ رِبْقَةَ اْلإِسْلاَمِ مِنْ عُنُقِهِ إِلاَّ أَنْ يُرَاجِعَ، وَمَنْ دَعَا بِدَعْوَةِ اْلجَاهِلِيَّةِ فَهُوَ مِنْ جَثَاءِ جَهَنَّمِ، وَإِنْ صَامَ وَزَعَمَ أَنَّهُ مُسْلِمٌ، فَادْعُوْا بِدَعْوَةِ اللهِ الَّتِى سَمَّاكُمْ بِهَا اْلمُسْلِمِيْنَ اْلمُؤْمِنِيْنَ عِبَادَ اللهِ
Maksudnya: " Sesungguhnya Allah telah mengarahkan kepada aku tentang lima kalimah untuk aku beramal dengannya dan menyuruh kamu semua beramal dengannya;

Pertama: Bahawa kamu mengabdikan diri kepada Allah dan jangan sekali-kali menyekutukanNya dengan sesuatupun, maka perumpamaan orang yang menyekutukan Allah bagaikan seorang lelaki yang membeli seorang hamba dengan harta bendanya sama ada dengan emas atau wang, kemudian diajak tinggal di rumah, lalu berkata tuannya: bekerja kuatlah untuk aku, tetapi hamba itu bekerja untuk orang yang lain dari tuannya, maka adakah kamu redha apa yang dilakukan oleh hamba itu? Sesungguhnya Allah mencipta kamu dan memberi rezeki kepada kamu, abdikanlah diri kepadaNya dan jangan menyekutukanNya.

Kedua: Allah menyuruh kamu dengan solat, apabila kamu mendirikan solat, jangan kamu terpesong, kerana Allah Azza Wajalla menerima wajahnya ke atas hambaNya selagi mana ia tidak terpesong.

Ketiga: Allah menyuruh kamu mengerjakan puasa dan perumpamaan orang yang berpuasa bagaikan seorang lelaki yang membawa bersamanya pundi-pundi kasturi dan semua orang dapat mencium keharuman bau kasturi itu, tetapi bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.

Keempat: Allah menyuruh kamu mengeluarkan zakat, perumpamaan orang yang mengeluarkan zakat bagaikan seorang lelaki yang ditangkap oleh musuhnya, lalu dijadikan tawanan dan mereka cuba memenggal lehernya, tetapi dia berkata kepada mereka: Adakah aku dapat menebus diri ku untuk bebas dari kamu? Maka dia menebus dirinya daripada tawanan musuhnya itu sehingga akhirnya dia dapat melepaskan diri.

Kelima: Allah juga menyuruh kamu membanyakkan berzikir kepadaNya, perumpamaannya bagaikan seorang lelaki yang dikehendaki oleh musuhnya dengan segera, lalu datang seekor kuda menyelamatkan dirinya, sesungguhnya hamba yang baik tidak sekali-kali diganggu oleh syaitan apabila ianya selalu berzikir kepada Allah Ta'ala.

Manakala aku pula menyuruh kamu lima perkara yang telah disuruh oleh Allah, iaitu: Berjama'ah, dengar, taat, hijrah dan jihad di jalan Allah, sesiapa yang memisahkan dirinya dari jama'ah walaupun sekadar sejengkal, maka dia telah mencabut ikatan Islam dari tengkoknya kecuali ia bertaubat (kepada Allah), sesiapa yang menyeru ke arah seruan jahiliyah maka dia berada di dalam neraka jahannam sekalipun dia berpuasa dan mendakwa dirinya seorang muslim, maka berserulah kamu dengan seruan Allah yang telah menamakan diri kamu sebagai muslimin yang beriman untuk menjadi hamba Allah (yang sebenar) " (Riwayat  Bukhari).

2.4. Tidak Berputus Asa
Setiap muslim yang mengharapkan rahmat Allah diingatkan supaya jangan sekali-kali cepat berputus asa di dalam mencapai impian dan harapan hidupnya, dia tidak dibenarkan sama sekali merasa kecewa apabila berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini menimpa dirinya, lalu dia mengambil tindakan di luar dugaan dan membuat keputusan secara melulu mengikut perasaan hawa nafsunya. Sikap seumpama ini merupakan sikap yang tidak beradab terhadap ketentuan Allah dan terhadap dirinya sendiri. Sepatutnya, dia mestilah menyelesaikan problam hidupnya secara bijak dan profesional dengan membuat suatu program muhasabah terhadap dirinya atau suatu komentar untuk membaiki-pulih atau membetulkan segala kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan. Kerana Islam itu adalah suatu penyelesaian, ajaran Islam itu datang untuk menyelesaikan krisis kemanusiaan, ia muncul di tengah-tengah persimpangan hidup manusia untuk membawa jalan menyelesaikan terhadap kekusutan yang berlaku dalam kehidupan manusia dengan mengemukakan suatu bentuk formula yang boleh diterima-pakai oleh semua kaum, semua puak dan semua peringkat manusia. Tujuan Islam mengemukakan formula dan membentuk jalan penyelesaian hidup kepada manusia adalah untuk memberi rahmat kepada mereka semua.

Allah Ta’ala telah berfirman:
لاَ تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا

Maksudnya: " Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, sesungguhnya Allah mengampuni segala dosa " (Az Zumar: 53).

     Kerana, setiap muslim yang ingin mencapai impian hidupnya sudah pasti akan bersua dengan permasalahan, dia hendaklah faham bahawa untuk membina sebuah tugu kejayaan dalam kehidupannya mestilah menempuh pelbagai halangan dan rintangan, dia akan berhadapan dengan pelbagai ujian dan cobaan, jika dia berjaya menghadapi perkara-perkara tersebut bererti dia telah berjaya membina sebuah tugu peringatan untuk memori kehidupan.

2.5. Takut Kepada Ancaman Allah
Setiap individu muslim yang mahu meletakkan hakikat keimanan ke dalam dirinya hendaklah melihat betapa cepatnya ancaman dan tamparan yang datang dari Allah. Ianya muncul di celah-celah kehidupan melalui pelbagai rupa bentuk dan keadaan, adakalanya berupa kemalangan atau bencana yang datang melanda, adakalanya berupa ujian yang boleh mencengkam dan menguris perasaan, adakalanya juga berupa bala dan mala petaka yang menimpa seluruh kehidupan dan adakalanya pula berupa kematian yang mengakhiri riwayat kemanusiaan. Apabila seseorang itu terkena sentuhan maut, kehidupannya pasti akan kecundang dan tumbang di saat-saat manusia masih dahagakan kehidupan, dan kemanusiaannya pula pasti akan terlayang dan terkulai layu, dia berada di celah-celah ambang maut untuk memisahkan roh dari jasadnya, dia akan  menemui ajal untuk menghembuskan nafasnya yang terakhir. Maut itu datang menjelma dalam kehidupan seseorang tanpa mengenal erti belas kasihan, ia akan meragut nyawa seseorang apabila datangnya ketetapan dari Allah untuk berbuat demikian……!

Firman Allah Ta'ala:
وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِقَوْمٍ سُوءًا فَلَا مَرَدَّ لَهُ ۚ وَمَا لَهُمْ مِنْ دُونِهِ مِنْ وَالٍ
Maksudnya: “ Dan apabila Allah mendatangkan bala terhadap sesuatu kaum, nescaya tidak dapat ditolaknya dan mereka tidak mempunyai pelindung selain dari Allah " (Ar Ra'd: 11).

        Begitulah berlangsungnya segala keputusan dari Allah terhadap hamba-hambaNya yang hidup di atas permukaan bumi ini, bahawa ancaman dan siksaan yang datang dariNya itu amat keras dan sesiapa yang terkena, sudah pasti dia akan merana dan sesiapa yang terselamat, hidupnya akan terus menjadi berkat. Orang-orang yang engkar di dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang telah diwajibkan oleh Allah ke atasnya pasti akan diancam dengan pelbagai bentuk penderitaan dan di hari akhirat nanti dia akan disiksa oleh Allah dengan siksaan yang amat pedih. Maka, di sinilah perlunya setiap muslim memainkan peranan penting untuk memperbaiki adab-adabnya bersama Allah Ta’ala untuk menjauhkan diri dari ancaman yang datang menimpa itu, dia mestilah menjauhi segala rupa bentuk maksiat yang dilarang dan dikutuk oleh Allah, dia mestilah meninggalkan segala kejahatan, kezaliman, kemungkaran dan amalan-amalan yang cenderung ke arah itu.

3. ADAB BERSAMA RASUL
Pengakuan LAA ILAHA ILLALLAH – Tiada Tuhan yang sebenar-benar melainkan Allah ke dalam setiap diri seseorang muslim tidak akan terlaksana dengan sepenuhnya jika dia tidak membuat pengakuan yang kedua iaitu: MUHAMMADUR RASULULLAH - Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah, kerana pengakuan terhadap kedua-dua kalimah tersebut merupakan syarat untuk mengesahkan keimanan dan keislaman seseorang itu. Pengakuan tersebut merangkumi semua sekali asas-asas Islam, sebagaimana yang terkandung di dalam rukun iman iaitu percaya kepada Allah, percaya kepada malaikat, percaya kepada kitab-kitab, percaya kepada rasul-rasul, percaya kepada hari khiamat dan percaya kepada qada dan qadar. Begitu juga apa yang terkandung di dalam rukun Islam, iaitu mendirikan solat, mengeluarkan zakat, puasa di bulan ramadhan dan menunaikan ibadat haji ke Mekah.

       Oleh sebab itu, setiap muslim yang ingin mencari keredhaan Allah dan ingin mencapai kedudukan yang tinggi di sisi Allah mestilah mempunyai peradaban yang mulia terhadap RasulNya s.a.w. Pengakuan kerasulan yang diucapkan itu menunjukkan dia telah mendapat petunjuk dan hidayat dari Tuhannya untuk meletakkan dirinya itu sebagai seorang hamba yang sangat mulia di sisi Tuhan. Rasulullah s.a.w. dibangkitkan oleh Allah untuk membentuk suatu kehidupan yang bersih, bersih perasaan hatinya, bersih perasaan jiwanya, bersih pandangannya, bersih akal fikirannya, bersih keyakinan hidupnya, bersih ‘iktikadnya dan bersih pula perjalanan hidupnya dari sebarang rupa bentuk yang luar selain hanya panduan pengakuan tersebut. Kebangkitan baginda tidak sama dengan mana-mana pemimpin yang ada di atas dunia ini, kerana baginda diutuskan bersama-sama dengan Al Quran yang menjadi kitab perlembagaan seluruh umat manusia dan kebangkitan baginda itu pula menjadi keyakinan yang mutlak dan wajib dipercayai oleh semua umatnya. Baginda s.a.w. bangkit di atas sifat baginda sebagai seorang Rasul utusan Tuhan, di atas sifat baginda sebagai seorang pemimpin politik yang berjaya menubuhkan sebuah kerajaan yang bebas dari suku-sakat jahiliyah dan berjaya pula mengembangkan kekuasaan itu di atas nama Islam, juga di atas sifat baginda sebagai juru dakwah menyeru masyarakat ke arah Islam dan di atas sifat baginda yang membawa petunjuk ke jalan yang benar. Di sana kita boleh mengambil beberapa pengajaran daripada perjalanan hidup Rasulullah s.a.w. di antaranya ialah:

3.1. Rasulullah Sebagai Contoh Tauladan
Di dalam roda kisaran sejarah Islam, di zaman kebangkitan awal Islam, Rasulullah s.a.w. muncul secara tiba-tiba di tengah-tengah gelanggang masyarakat jahiliyah arab, di waktu itu masyarakat jahiliyah arab masih mengekalkan budaya hidup yang sangat kotor dan menjijikan. Mereka masih mengekalkan budaya menanam anak perempuan hidup-hidup kerana pada anggapan mereka anak perempuan boleh membawa sial dan mala petaka kepada mereka, kaum lelaki bebas berkahwin seberapa ramai yang mereka suka tanpa bilangan dan had. Kebanyakan di kalangan mereka mengamalkan sistem riba dalam urusan ekonomi mereka, manakala arak menjadi minuman kebanggaan ramai dan judi pula menjadi suatu amalan biasa dalam kehiudpan. Kemunculan baginda s.a.w. secara tiba-tiba ke dalam masyarakat tersebut tidak dapat ditahan dan dibendung lagi di saat-saat masyarakat arab jahiliyah itu masih berpegang kuat dengan kepercayaan dongeng purba kala yang ditinggalkan oleh datuk nenek moyang mereka terdahulu dan mereka pula masih sayang untuk meninggalkan budaya hidup jahiliyah secara serentak. Baginda muncul untuk mengikis jahiliyah dan menyingkirkan budaya hidup jahiliyah dari semua sudut, semua aspek, semua tempat, semua keadaan dan secara keseluruhan dengan mengemukakan Islam sebagai suatu cara hidup yang berkesan. Di samping itu, Allah Ta'ala telah mengemukakan suatu golongan yang muncul di celah-celah masyarakat arab jahiliyah untuk menjadi pembantu kepada tugas Rasulullah s.a.w. di dalam menyeru masyarakat beriman kepadaNya, iaitu generasi sahabat r.a. Allah Ta’ala sendiri telah mendidik generasi sahabat ini melalui perantaraan lidah RasulNya s.a.w. supaya mereka sentiasa pembantu kepada baginda untuk menguruskan hal ehwal yang berkaitan dengan urusan agama. Tugas mereka ialah membawa masyarakat jahiliyah arab ke pangkuan Tuhan dengan mengemukakan model acuan hidup Islam sebagai amalan hidup mereka. Di samping perbuatan, percakapan dan pegakuan Rasulullah s.a.w. menjadi cermin perbandingan kepada mereka semua, mereka juga bertindak memelihara dan menjaga adab-adab kesopanan sebagai umat Islam.

Firman Allah Ta’ala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لاَ تَرْفَعُوا أَصْوَاتَكُمْ فَوْقَ صَوْتِ النَّبِيِّ وَ لاَ تَجْهَرُوا لَهُ بِالْقَوْلِ كَجَهْرِ بَعْضِكُمْ لِبَعْضٍ أَنْ تَحْبَطَ أَعْمَالُكُمْ وَأَنْتُمْ لاَ تَشْعُرُونَ
Maksudnya: " Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu meninggikan suara-suara kamu lebih dari suara Nabi dan janganlah kamu bercakap kepadanya dengan suara yang agak keras, sebagaimana kamu bercakap sesama kamu supaya perbuatan mu tidak terbuang, sedangkan kamu tidak sedar "(Al Hujurat: 2).

3.2. Mentaati Perintah Rasul
Setiap muslim yang ingin meletakkan dirinya ke maqam yang mulia dan diredhai Allah mestilah taat kepada perintah Rasulnya s.a.w. Dia hendaklah mematuhi setiap apa jua perintah yang dikemukakan oleh Rasulullah s.a.w. sama ada dalam bentuk suruhan ataupun dalam bentuk larangan dan jangan sekali-kali membelakangi perintah tersebut dan itulah sebaik-baik adab bersama Rasulullah s.a.w.

Firman Allah Ta'ala:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَلاَ تُبْطِلُوا أَعْمَالَكُمْ
Maksudnya: " Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul, jangan sekali-kali kamu membatalkan amalan kamu "( Muhamad:33).

         Kerana syarat seseorang muslim itu taat kepada Allah ialah dia mesti pula taat kepada perintah RasulNya s.a.w. Jika tidak, keimanan yang terkandung di dalam hati sanubari dan jiwa nuraninya masih lagi tidak sempurna, pegangan hidupnya itu mengandungi beberapa kecacatan yang perlu diperbaiki dan diperbetulkan.

Firman Allah Ta'ala:
وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا
Maksudnya: " Dan apa yang dibawa oleh Rasul kepada kamu hendaklah kamu terima dan apa yang dilarang olehnya hendaklah ditinggalkan” (Al Hasyr: 7).

       Peradaban hidup seorang muslim yang hakiki yang mempunyai ciri-ciri keimanan yang baik dan sempurna tidak harus membelakangkan perintah Rasulnya. Dia hendaklah berpegang teguh dengan prinsip-prinsip asas dalam ajaran syari’at yang menyatakan kepercayaan kepada Rasul merupakan syarat sah Islam dan iman seseorang itu., maka jika seseorang muslim tidak mahu akur dan tunduk kepada perintah Rasulnya, keimanannya akan menjadi rosak dan punah-ranah, keimanannya itu akan hancur berderai dan pecah berkecai dalam keadaan dia terkulai layu di celah-celah perjalanan hidupnya.

3.3. Cintakan Rasul
Setiap muslim yang ingin menjadi kekasih Allah dan ingin mendampingi Allah untuk mencapai impian hidupnya menuju ke maqam mahabbah, dia mestilah meletakkan perasaan cinta dan kasih sayangnya kepada Rasulullah s.a.w. tanpa berbelah bagi, dia mestilah melebihkan cintanya itu mengatasi cinta kepada perkara-perkara lain atau kepada benda-benda lain.

Firman Allah Ta'ala:
قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ
Maksudnya: " Katakanlah wahai Muhammad! Sekiranya kamu cinta kepada Allah, maka ikutlah perintah ku nescaya kamu dicintai Allah dan Dia mengampuni dosa kamu " (Ali 'Imran: 31).

       Ini merupakan syarat sah cinta seseorang itu diterima oleh Allah, bahawa cinta yang sebenar-benar cinta hanya mutlak kepada Allah dan RasulNya s.a.w. sahaja, iaitu cinta yang suci, cinta yang sejati, cinta yang kekal abadi, cinta yang mengorbankan kepentingan diri untuk dipersembahkan ke pangkuan ILAHI,  cinta yang tidak pernah rugi, cinta yang akan membawa kepada kebahagiaan diri, cinta yang sentiasa bersemi di dalam ingatan dan memori. Cinta seseorang muslim kepada Allah itu sudah pasti diterima dan tidak sekali-kali ditolak dan tidak pula dihampakan sekiranya dia menghadirkan cintanya itu bersama-sama cinta kepada RasulNya s.a.w.

Baginda s.a.w. pernah bersabda:
وَالَّذِى نَفْسِىْ بِيَدِهِ لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُوْنَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَلَدِهِ وَوَالِدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِيْنَ
Maksudnya: " Demi Allah jiwa ku berada di dalam genggamanNya! Tidak beriman seseorang kamu sehingga ia mencintai aku lebih dari mencintai anaknya, ibubapanya dan manusia semua sekali "(Sepakat riwayat).

         Meletakkan cinta kepada Allah dan RasulNya ke dalam hari sanubari dan jiwa nurani merupakan sebaik-baik adab di dalam melayarkan bahtera kehidupan di hari esok dan hari-hari seterusnya.

3.4. Rasulullah Sebagai Pemimpin
Setiap muslim yang ingin menyempurnakan dan menyucikan dirinya mestilah menjadikan Rasulullah s.a.w. sebagai seorang hakim atau sebagai seorang pemimpin yang unggul yang tiada tolak bandingnya dengan pemimpin yang ada di atas dunia ini. Walaupun baginda s.a.w. diutuskan oleh Allah sebagai Rasul dan PesuruhNya, secara tidak langsung baginda juga menjadi pemimpin kepada  seluruh umatnya. Baginda adalah seorang pemimpin agama yang membawa Islam sebagai cahaya petunjuk kepada manusia dengan meletakkan ‘aqidah sebagai akar tunjang dalam kehidupan, pemimpin yang merubah segala bentuk peradaban hidup manusia daripada jahiliyah kepada Islam dan daripada kufur kepada iman. Baginda juga adalah seorang pemimpin yang berjaya memimpin bala tentera menggempur barisan musuh yang datang menjelma dari segenap penjuru dan baginda juga berjaya mengalahkan dan mematahkan setiap kali cubaan musuh yang ingin memusnahkan Islam dan umat Islam melalui strategi yang diatur dan disusun sebegitu rapi.

Bahkan, baginda juga merupakan seorang pemimpin politik yang telah berjaya menubuhkan sebuah negara Islam yang unggul di Madinah dengan dilengkapi perlembagaan negara yang menjadi asas dalam urusan pentadbiran yang sebelum ini tidak pernah wujudpun sebuah negara yang lengkap dengan perlembagaan.

Firman Allah Ta'ala:
إِنَّا أَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِتَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ بِمَا أَرَاكَ اللَّهُ
Maksudnya: " Sesungguhnya Kami turunkan kepada kamu Al Kitab dengan sebenar supaya kamu berhukum di antara manusia dengan apa yang diperlihatkan oleh Allah kepada kamu "(An Nisa: 105).

       Baginda adalah seorang pemimpin yang berjaya membentuk sebuah kerajaan yang tersusun rapi dan berada di bawah naungan ILAHI dengan meletakkan Al Quran dan As Sunnah ikutannya itu sebagai dustur yang tertinggi. Segala hukuman, peraturan dan undang-undang dan juga cara perlaksanaannya adalah mengikut garis panduan yang terdapat dalam buku perlembagaan tersebut. Setiap muslim yang sejati, sepatutnya dia merasa bangga kerana mempunyai seorang Rasul dan sekaligus menjadi seorang pemimpin yang berjaya membawa perubahan kepada kehidupan dunia, dengan itu dia mestilah menilai hakikat dan realiti yang berlaku itu melalui konsep peradaban hidup yang diharunginya.

4. ADAB BERSAMA DIRI
Setiap muslim yang menyaksikan dirinya benar-benar beriman kepada Allah mestilah mempunyai peradaban diri yang baik untuk kebahagiaan hidupnya di dunia dan di akhirat. Dia hendaklah membentuk suatu persamaan hidup dan mempunyai suatu sikap untuk membersihkan serta menyucikan dirinya dari perasaan jahiliyah.

Firman Allah Ta'ala:
قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّاهَا
Maksudnya: " Sesungguhnya beruntunglah orang yang membersihkan jiwanya dan amat rugilah orang yang mengotorkannya "(Asy Syams: 9-10).

       Perasaan gerimis yang melanda hati setiap muslim akibat dari dosa dan perlanggaran yang dilakukan dapat dihapuskan sama sekali apabila dia berusaha sedaya-upaya untuk mengatasi masalah itu. Dia mestilah meninggalkan segala rupa bentuk kejahatan yang cuba mengganggu ketenangan jiwanya dan di samping itu pula, dia juga mestilah membina kebaikan agar perasaan jiwanya sentiasa tenang dengan perlakukan hidupnya.

Firman Allah Ta'ala:
وَأَقِمِ الصَّلاَةَ طَرَفَيِ النَّهَارِ وَزُلَفًا مِنَ اللَّيْلِ ۚ إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ
Maksudnya: " Dan dirikanlah solat di sebelah siang dan sebahagian lagi di sebelah malam, kerana kebaikan itu akan menghapuskan kejahatan " (Hud: 114).

        Ini merupakan suatu peradaban terhadap pembangunan diri di dalam membaiki-pulih sistem kehidupan supaya sentiasa diredhai Allah, kebaikan yang dilakukan itu nescaya akan menghapuskan kejahatan sekiranya dilakukan secara berterusan tanpa berhenti-henti. Apa yang perlu di sana, dia tidak harus mendustakan ayat-ayat Allah dan meninggalkan ayat-ayatNya, dia tidak seharusnya meletakkan ayat-ayat Al Quran itu di belakang telinganya kerana tidak mahu mndengarnya, dia tidak harus meletakkan ayat-ayat Tuhan itu di bawah tapak kaki dan memijak-mijaknya kerana perasaan atau perasaan dendam kasumat, dia tidak harus meletakkan ayat-ayat Allah itu di tepi-tepi jalan bertaburan ditiup angin kerana tidak mahu  mempedulikannya, dia tidak harus mendustakan ayat-ayat Allah yang suci kerana beberapa kepentingan duniawi. Dia diingatkan supaya tidak berlaku sombong apabila seruan dakwah disampaikan kepadanya dan mengetahui akibat buruk yang menimpa dirinya.Untuk memelihara diri supaya menjadi seorang muslim yang mempunyai peradaban yang tinggi di sisi Allah, dia hendaklah melakukan beberapa perkara untuk memberi kelebihan kepada santapan rohaninya dan pembangunan dirinya, di antaranya ialah:

4.1. Ber’uzlah Kerana Allah
Sebagai suatu peradaban untuk membentuk kekuatan diri, ‘uzlah merupakan sebaik-baik program ke arah membina tamaddun kehidupan dengan menekankan aspek rohani sebagai pemangkin untuk mencapai tujuan tersebut, konsep ‘uzlah lebih menekankan persoalan mistik bagi membentuk jiwa yang kuat. 'Uzlah ertinya mengasingkan diri dari masyarakat buat sementara waktu atau dari bergaul dengan manusia yang bertujuan untuk menyucikan diri dari kekotoran dunia dan untuk menumpukan perhatian yang lebih dalam program ibadat kepada Allah. Al Quran telah banyak menceritakan tentang kisah umat manusia ketika dahulu yang ingin mendampingi diri kepada Allah dengan cara ber’uzlah, iaitu mengasingkan diri dari masyarakat buat seketika.Nabi Musa a.s. pernah ber'uzlah dari kaumnya buat sementara waktu di Bukit Tursina, Nabi Ibrahim a.s. pernah ber’uzlah dari kaumnya yang tidak beriman buat sementara waktu, sebagaimana yang diceritakan di dalam sepotong ayat.

Firman Allah Ta’ala:
فَلَمَّا اعْتَزَلَهُمْ وَمَا يَعْبُدُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ وَهَبْنَا لَهُ إِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ ۖ وَكُلًّا جَعَلْنَا نَبِيًّا
Maksudnya: " Maka apabila Ibrahim mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang kamu sembah selain dari Allah, Kami kurniakan kepadanya Ishaq dan Ya'qub dan kedua-duanya adalah nabi " (Maryam: 49).

       Al Quran sendiri telah memaparkan kisah Maryam a.s. yang pernah beru'zlah di suatu tempat bernama mihrat semata-mata beribadat kepada Allah dan setiap kali Nabi Allah Zakaria a.s. masuk menemuinya di tempat ia beribadah, terdapat di sisinya makanan yang berupa pelbagai jenis buah-buahan musim panas di waktu musim sejuk dan buah-buahan di musim sejuk di waktu musim panas.

Firman Allah Ta’ala:
كُلَّمَا دَخَلَ عَلَيْهَا زَكَرِيَّا الْمِحْرَابَ وَجَدَ عِنْدَهَا رِزْقًا ۖ قَالَ يَا مَرْيَمُ أَنَّىٰ لَكِ هَٰذَا ۖ قَالَتْ هُوَ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ ۖ إِنَّ اللَّهَ يَرْزُقُ مَنْ يَشَاءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ
Maksudnya: “ Setiap kali Nabi Zakaria masuk menemuinya di mihrat, didapati di sisinya terdapat makanan, dia bertanya: Wahai Maryam! Dari mana kamu dapatkan makanan ini? Maryam menjawab: Ianya datang dari sisi Allah, sesungguhnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakinya tanpa hisab” (Ali ‘Imran: 37).

       Al Quran juga telah mengemukakan selembar kisah segolongan para pemuda yang menjadi penghuni gua semata-mata untuk mengasing diri dari masyarakat dan pemerintah yang zalim dan tidak pula beriman kepada Allah, yang bertindak untuk menghalau dan membunuh mereka, lalu mereka lari memisahkan diri dan mengasingkan diri mereka menuju ke sebuah gua kerana memelihara ‘aqidah keimanan dan pegangan hidup mereka kepada Allah. Mereka tidak mahu ‘aqidah mereka hancur berkecai dan putus berderai akibat paksaan dari pemerintah yang zalim.

Firman Allah Ta’ala:
وَإِذِ اعْتَزَلْتُمُوهُمْ وَمَا يَعْبُدُونَ إِلاَ اللَّهَ فَأْوُوا إِلَى الْكَهْفِ يَنْشُرْ لَكُمْ رَبُّكُمْ مِنْ رَحْمَتِهِ
Maksudnya: " Dan ketika kamu meninggalkan mereka dan apa yang mereka sembah selain dari Allah, carilah tempat perlindungan ke dalam sebuah gua, nanti Tuhan kamu akan menyebarkan rahmatNya kepada kamu” (Al Kahfi: 16).

      Rasulullah s.a.w. sendiri pernah ber'uzlah dari masyarakatnya di Gua Hira' sebelum baginda dibangkitkan menjadi seorang Rasul semata-mata untuk mencari ketenangan jiwa dan kejernihan hidup terhadap budaya masyarakat arab jahiliyah yang menyembah patung berhala dan beramal dengan amalan sangat menjijikan. Ini merupakan suatu peradaban hidup terhadap konsep ‘uzlah itu sendiri yang menyentuh penyusunan program ibadat dalam kehidupan dengan memberi penekanan yang lebih terhadap persoalan iman dan persoalan hubungan dengan Tuhan. Peradaban hidup terhadap diri seseorang muslim itu sudah pasti akan mendapat restu dari Allah apabila hubungannya dengan Tuhannya mula terbuhul….!

4.2. Bertaubat Kepada Allah
Manusia tidak selalunya berada di dalam kesejahteraan, adakalanya dia terbabas dan melencong dari landasan hidup yang sebenar kerana kealpaan dirinya atau kesilapan dia menguruskan kehidupan itu. Adakalanya kerana pengaruh teman yang mengheret dirinya ke kancah maksiat menyebabkan dia menjadi terlanjur dan adakalanya pula dia dipengaruhi oleh bisikan syaitan yang bergerak di bawah aliran hawa nafsu yang menyebabkan dirinya terpesong ke arah kemungkaran. Apabila keadaan ini berlaku, dia hendaklah cepat-cepat kembali ke pangkuan Allah untuk meminta ampun dan membaiki semula sistem kehidupannya. Taubat ertinya kembali ke pangkuan jalan setelah melakukan beberapa kesalahan atau kesilapan, iaitu kembali kepada Allah dengan penuh kekesalan untuk tidak mahu lagi mengulangi dari melakukan perkara-perkara mungkar dan perkara-perkara maksiat serta perkara-perkara lain yang dilarang oleh Allah.

Firman Allah Ta'ala:
وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: " Bertaubatlah kamu kepada Allah semua sekali wahai orang-orang yang beriman! Mudah-mudahan kamu mendapat kejayaan " (An Nur: 31).

        Peradaban hidup seorang muslim yang sejati mestilah mengembalikan hakikat kehidupan itu ke pangkuan Tuhannya, dia hendaklah kembali dalam erti kata menyerah diri kepada Tuhannya terhadap kerja-kerja yang telah dilakukan, dia hendaklah mengembalikan segala program hidup dan amalan-amalan hidup yang telah dilakukannya itu untuk dibawa ke pangkuan Tuhan, dia hendaklah mengembalikan seluruh aksi dan warna kehidupan itu, termasuk niatnya di dalam hati, tutur kata dan bicara lidahnya ke pangkuan Tuhannya, kemudian dia hendak membuat penilaian semula terhadap apa yang telah dilakukan sepanjang hari. Maka di situlah, apabila terdapat beberapa kecacatan dalam perlaksanaan hidupnya itu lekas-lekas dia bertaubat kepada Allah, iaitu dia mengembalikan semua sekali perlakukan hidupnya kehadapan Allah dan jangan sekali-kali menunggu saat-saat tertentu sehingga dia merasakan perlu untuk bertaubat, tetapi dia mestilah tetap terus menadah tangan ke langit dengan perasaan gerimis di hatinya yang dipenuhi kekesalan terhadap kesilapan dan kesalahan yang dilakukan dan itulah sebaik-baik peradaban untuk membina pembangunan diri dan keunggulan dirinya. Anas bin Malik r.a. pernah meriwayatkan sepotong hadith, bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
اَلتَّائِبُ مِنَ الذَّنْبِ كَمَنْ لاَّ ذَنْبَ لَهُ
Maksudnya: " Orang-orang yang bertaubat kepada Allah daripada dosanya, ia bagaikan tiada dosa lagi" (Riwayat Ibn Majah).

         Di dalam sepotong hadith yang lain, Anas bin Malik r.a. juga pernah meriwayatkan, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
مَا مِنْ شَيْءٍ أَحَبَّ اِلَى اللهِ مِنْ شَابٍ تَائِبٍ
Maksudnya: " Tiada sesuatu yang dicintai Allah daripada pemuda yang bertaubat kepadaNya” (Riwayat As Sayuthi).

        Untuk penghayatan hidup dan peradaban diri, marilah kita mendengar suatu kisah orang yang ingin bertaubat kepada Allah, semoga kisah tersebut memberi seteguk manfaat kepada mereka yang ingin mencari keredhaan Allah, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Sa'id Saad bin Malik bin Sinan Al Khudri r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

كَانَ فِيْمَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ رَجُلٌ قَتَلَ تِسْعَةً وَتِسْعِيْنَ نَفْسًا فَسَأَلَ عَنْ أَعْلَمِ أَهْلِ الأَرْضِ فَدُلَّ عَلَى رَاهِبٍ فَأتَاهُ فَقَالَ: إنَّهُ قَتَلَ تِسْعَةً وَتِسْعِيْنَ نَفْسًا فَهَلْ لَّهُ مِنْ تَوْبَةٍ ؟ فَقَال: لاَ، فَقَتَلَهُ فَكَمَّلَ بِهِ مِائَةً ثُمَّ سَأَلَ عَـنْ أَعْلَمِ أهْلِ اْلأَرْضِ فَدُلُّ عَلَى رَجُلٍ عَالِمٍ فَقَالَ: إنَّهُ قَتَلَ مِائَةَ نَفْسٍ فَهَلْ لَّهُ مِنْ تَوْبَةٍ فَقَالَ: نَعَمْ، ومَنْ يَحُوْلُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ التَّوْبَةِ انْطَلِقْ اِلَى أَرْضِ كَذَا وَكَذَا فَإنَّ بِهَا أُنَاسًا يَعْبُدُوْنَ اللهَ تَعَالَى فَاعْبُدِ اللهَ مَعَهُمْ وَلاَ تَرْجِعْ اِلَى أَرْضِكَ فَإِنَّهَا أَرْضُ سُوْءٍ، فَانْطَلَقَ حَتَّى إذَا  نَصَفَ الطَّرِيْقَ أتَاهُ الْمَوْتُ، فَاخْتَصَمَتْ فِيْهِ مَلاَئِكَةُ الرَّحْمَةِ وَمَلاَئِكَةُ الْعَذَابِ فَقَالَتْ مَلاَئِكَةُ الرَّحْمَةِ: جَاءَ تَائِبًا مُقْبِلاً بِقَلْبِهِ اِلَى اللهِ تَعَالَى، وَقَالَتْ مَلاَئِكَةُ الْعَذَابِ: إِنَّهُ لَمْ يَعْمَلْ خَيْرًا قَطُّ، فَأَتَاهُمْ مَلَكٌ فِىْ صُوْرَةِ آدَمِىٍّ، فَجَعَلُوْهُ بَيْنَهُمْ، أَىْ حَكَمًا فَقَالَ: قِيْسُوْا مَا بَيْنَ اْلأرْضَيْنِ، فَإِلَى أَيَّتِهِمَا كَانَ أَدْنَى فَهُوَ لَهُ، فَقَاسُوْا فَوَجَدُوْهُ أَدْنَى اِلَى اْلأرْضِ الَّتِى أَرَادَ فَقَبَضَتْهُ مَلاَئِكةُ الرَّحْمَةِ
Maksudnya: " Terdapat di kalangan umat terdahulu seorang lelaki telah membunuh sembilan puluh sembilan manusia, kemudian dia ingin bertaubat, maka ia mencari seorang ahli ilmu dan ditunjukkan kepadanya seorang ahli ibadat maka ia bertanya: Bahawa ia telah membunuh sembilan puluh sembilan jiwa, apakah ada jalan baginya untuk bertaubat? Ahli ibadat menjawab:Tidak ada! Lalu segera dibunuhnya ahli ibadat itu sehingga genap seratus orang. Kemudian dia mencari ahli ilmu yang lain dan beliau ditunjukkan kepada seorang alim, lalu diterangkan bahawa ia telah membunuh seratus jiwa, adakah masih ada jalan untuknya bertaubat? Si alim itu menjawab: Ya, masih ada! Dan siapakah yang dapat menghalangnya untuk bertaubat? Pergilah kamu ke suatu daerah kerana di sana terdapat ramai orang yang taat kepada Allah, ikutlah perbuatan mereka dan janganlah kamu kembali lagi ke negeri mu ini kerana tempat ini adalah tempat yang jahat. Lalu lelaki itu pergi, tetapi di pertengahan jalan beliau mati. Maka bertengkarlah malaikat rahmat dengan malaikat azab dan malaikat rahmat berkata: Ia telah berjalan untuk bertaubat kepada Allah dengan sepenuh hatinya! Berkata pula malaikat azab: Ia belum pernah membuat kebaikan sama sekali! Kemudian datang pula malaikat yang lain yang menyerupai dirinya sebagai seorang manusia dan ia menjadi hakim di antara pertelingkahan dua malaikat tersebut, ia berkata: Ukur sahajalah di antara dua daerah yang telah ia tinggalkan dan daerah yang sedang ditujuinya! Kalaulah daerah yang mana satu lebih dekat, maka masukkan ia ke dalam golongan tersebut, lalu diukurnya dan didapati daerah baik lebih dekat kira-kira sejengkal, maka rohnya diambil oleh malaikat rahmat " (Riwayat Bukhari dan Muslim).

         Walau sebesar mana sekalipun dosa yang telah dilakukan oleh seseorang manusia, sekalipun seberapa ramai jiwa yang tidak berdosa telah dibunuhnya, sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun dan lagi Maha Penyayang kepada hambaNya yang ingin kembali ke pangkuan jalan. Dia tidak sekali-kali mengecewakan harapan dan impian hidup seseorang hamba itu, selama mana hambaNya itu tidak melanggar batas-batas iman dan kufur, Dia tetap memberi keampunan kepada hambaNya yang ingin kembali ke pangkuanNya dengan penuh keikhlasan.

        Marilah kita menghayati pula, bagaimana kisah seorang wanita dari keturunan Juhainah yang mengandung hasil dari perbuatan zina dengan seorang lelaki dan perempuan tersebut ingin bertaubat dan kembali ke pangkuan Tuhannya, lalu dia berjumpa dengan Rasulullah s.a.w. sambil berkata:
يآ رسول الله! أّصَبْتُ حَدًّا فَأَقِمْهُ عَلَىَّ، فَدَعَا نَبِىُّ اللهِ صلى الله عليه وسلم وَلِيَّهَا فَقَالَ: أَحْسِنْ إِلِيْهَا، فَإِذَا وَضَعَتْ فَأْتِنِى بِهَا فَفَعَلَ فَأَمَرَ بِهَا نَبِىُّ الله صلى الله عليه وسلم فَشُدَّتْ عَلَيْهَا ثِيَابُهَا ثُمَّ أَمـَرَ بِهَا فَرُجِمَتْ ثُمَّ صَلَّى عَلَيْهَا فَقَالَ لَهُ عُمَرَ: تُصَلِّى عَلَيْهَا يآ رَسُـوْلَ الله وَقَدْ زَنَتْ؟ فَقَالَ: لَقَدْ تَابَتْ تَوْبَةً لَوْ قُسِمَتْ بَيْنَ سَبْعِيْنَ مَنْ أَهْلِ الْمَدِيْنَةِ لَوَسِعَتْهُمْ، وَهَلْ وَجَدْتَ أَفْضَلَ مِنْ أَنْ جَادَتْ بِنَفْسِهَا لِلَّهِ عَزَّوَجَلَّ
Maksudnya: " Wahai Rasulullah! Aku telah terkena hukuman had, maka laksanakanlah ke atas diri ku! Rasulullah s.a.w. memanggil wali wanita itu dan bersabda: Peliharakan ia baik-baik dan bila anak dilahirkan nanti bawalah kemari! Lalu perkara tersebut dilaksanakan oleh si wali wanita itu dan kemudian setelah melahirkan anak, wanita itupun direjam, setelah beliau mati mayatnya hendak disembahyangkan oleh Rasulullah s.a.w. Tetapi Umar menahannya sambil berkata: Wahai Rasulullah! Kamu sembahyang ke atasnya pada hal dia telah berzina? Jawab baginda s.a.w.: Dia telah bertaubat dengan suatu taubat (yang penuh ikhlas) dan sekiranya dibahagi kepada tujuh puluh orang penduduk Madinah, nescaya masih tidak mencukup, apakah ada orang yang lebih utama dari orang yang telah menyerahkan dirinya kepada hukum Allah ?" (Riwayat Muslim).

        Lihatlah! Betapa agungnya taubat wanita itu sehingga taubatnya tiada tolak banding dengan penduduk Madinah, dia telah mengembalikan hakikat kehidupannya dengan penuh peradaban ke pangkuan Tuhannya untuk hidup dalam keadaan sejahtera di alam baqa.

4.3. Tazkiyyah Kepada Allah
Nilai peradaban kepada diri tidak akan sempurna selagi mana seseorang muslim itu tidak menyucikan dirinya dari najis dan kekotoran hidup. Dia perlu menghayati suatu konsep untuk peradaban hidupnya dan untuk kegemilangan hidupnya di masa-masa akan datang, iaitu konsep tazkiyyah yang menggilap segala rupa bentuk saki-baki najis dan kekotoran. Tazkiyyah itu sendiri ertinya membersihkan diri, sama ada membersihkan diri dari segala bentuk najis dan kekotoran yang melekat pada tubuh badan atau membersihkan diri dari segala bentuk najis dan kekotoran yang melekat pada pemikiran, kerana kebersihan luaran itu biasanya melambangkan kebersihan dalaman yang terkandung di dalam perasaan hati sanubari dan jiwa nurani. Sebenarnya, manusia tidak akan terlepas dari terkena kekotoran, sama ada kekotoran zahir atau kekotoran batin dan kekotoran itu perlu dibersihkan dengan segera untuk meneruskan program ibadat kepada Allah. Individu muslim yang mempunyai peradaban dengan Tuhannya tidak akan merubah ikrar dan pengakuan hidupnya yang terkandung di dalam kalimah: LAA ILAHA ILLALLAH – Tiada Tuhan yang sebenar-benar melainkan Allah. Sebab itu, untuk memelihara pegangan dan pengakuan hidupnya, dia hendaklah sentiasa membersihkan dirinya  dari najis dan kekotoran, dia hendaklah sentiasa membersihkan diri apabila tubuh badan dan pakaiannya terkena najis, dia hendaklah sentiasa mengambil wuduk dan mengekalkan keadaan dirinya agar sentiasa berwuduk untuk memudahkan dirinya melakukan amal ibadat kepada Allah, dia hendaklah sentiasa memelihara ucapan lidahnya yang tidak bertulang daripada mengumpat, mengeji, mencela dan bercakap-cakap mengenai perkara-perkara yang tidak berfaedah, dia juga hendaklah sentiasa memelihara niat dan perasaan hatinya supaya tidak cenderung untuk melakukan perkara-perkara mungkar.

Benarlah firman Allah Ta'ala:
وَمَنْ تَزَكَّىٰ فَإِنَّمَا يَتَزَكَّىٰ لِنَفْسِهِ ۚ وَإِلَى اللَّهِ الْمَصِيرُ
Maksudnya: " Dan sesiapa yang bersih (amalannya), bererti kebersihan itu untuk kebaikan dirinya sendiri dan hanya kepada Allah tempat kembali " (Fathir: 18).

       Sebenarnya, program tazkiyyah atau kebersihan diri itu datang menjelma ke dalam diri seseorang adalah menurut kehendak dan iradat Allah.

Firman Allah Ta’ala:
أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ يُزَكُّونَ أَنْفُسَهُمْ ۚ بَلِ اللَّهُ يُزَكِّي مَنْ يَشَاءُ ولاَ يُظْلَمُونَ فَتِيلاً
Maksudnya: " Tidakkah kamu perhatikan orang-orang yang menganggap diri mereka bersih? Tetapi Allah-lah yang membersihkan sesiapa yang disukaiNya dan mereka tidak rugi walaupun sedikit” (An Nisa': 49).

       Mengapa seseorang muslim itu perlu membersihkan dirinya dari kekotoran..? Kerana kebersihan itu lawan kepada kekotoran, jika seseorang muslim tidak mahu membersihkan dirinya bererti dia mahukan kekotoran hadir dalam kehidupannya dan kekotoran itu itu bukan sifat seseorang muslim yang benar-benar beriman kepada Allah, kekotoran itu tiada kena-mengena dengan seseorang muslim yang telah membuat pengabdian diri kepada Allah, kekotoran itu datang dari syaitan laknat dan dari orang-orang yang bersekutu dengan syaitan, kekotoran itu muncul dengan sebab sikap seseorang itu tidak mahu mengambil cahaya petunjuk untuk menggilap isi hatinya.

4.4. Muhasabah Diri
Program muhasabah dapat menambahkan lagi kelazatan hidup untuk hadir bersama-sama dengan Allah dalam ruang ibadat. Program tersebut juga dapat membentuk suatu pengertian yang baru untuk meambahkan lagi keyakinan terhadap dirinya sendiri dengan mengira atau menghitung atau menghisab amalan-amalan yang dilakukan. Sudah tentu, apabila dia membuat perbandingan terhadap amalan-amalan yang dilakukan itu, dia akan menemui suatu conslusion untuk membuat suatu resolution terhadap dirinya sendiri, terhadap program dan perancangan hidup, terhadap amalan-amalan hidupnya, termasuk hubungannya dengan Allah.Muhasabah diri ertinya menghisab atau mengira atau menghitung diri terhadap amalan-amalan hidup yang telah dilakukan setiap hari dan setiap amalan itu pula perlu sekali dinilai dan dihitung untuk mengetahui baik buruknya, kesilapan ataupun kesalahan yang dilakukan, kemudian dia hendaklah bertindak pantas memperbetulkan amalan tersebut sekiranya terdapat perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran agama. Program muhasabah ini dapat menguatkan perasaan diri untuk mara dalam kehidupan, dapat membina kembali keyakinan hidup untuk meneruskan perjuangan dan dapat menambahkan lagi kelazatan hidup untuk mempertingkatkan nilai-nilai keimanan dalam kehidupan itu sendiri.

Firman Allah Ta'ala:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَا قَدَّمَتْ لِغَدٍ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
 Maksudnya: " Wahai orang-orang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan setiap diri hendaklah melihat apa yang telah berlalu dari amalan-amalannya untuk hari esok dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan " (Al Hasyr: 18).

Justeru itu,  konsep muhasabah diri ini juga bertujuan untuk mendisiplinkan diri seseorang muslim supaya sentiasa membuat persiapan dan penilaian ataupun check and balance di dalam menentukan aksi kehidupan. Setiap muslim mestilah berhati-hati di dalam meneruskan perjalanan hidupnya supaya tidak tergelincir ke tepi jalan dan dia juga tidak boleh mengulangi kesilapan buat kali kedua, kerana perbuatan tersebut bukan perlakukan hidup seseorang muslim. Setiap muslim memerlukan suatu ruang waktu yang sunyi dan tenang untuk mengadakan program muhasabah terhadap Tuhannya. Dia hendaklah merenung sejenak dan menilai semula hakikat kehidupan itu, kemudian menguatkan keazaman di dalam hati sanubari dan jiwa nuraninya untuk terus beramal dengan amalan-amalan yang baik-baik, dia akan terus beristiqomah untuk berdiri di jalan yang benar dan berusaha mempertingkatkan lagi amalan-amalan yang suci dalam  perjalanan hidupnya. Ketika bermuhasabah bersama-sama dengan Tuhan, di sana akan tercetuslah sedikit demi sedikit nilai-nilai ketaqwaan dan keagungan ILAHI. Untuk merumuskan apa yang dinyatakan itu, Sayyidina Umar Al Khattab r.a. pernah berkata:
حاسبوا أنفسكم قبل أن تحاسبوا وَزِنُوْاها قبل أن تُوْزَنُوْا وَتَهَيِّئُوْا لِلْعَرَضِ الأَكْبَرِ
 Maksudnya: " Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisabkan (di hari akhirat kelak) dan timbanglah amalan kamu sebelum kamu ditimbangkan (di hari akhirat kelak) dan bersedialah untuk menghadapi hari kebangkitan yang amat besar ".

        Nilai-nilai muhasabah itu mesti memenuhi impian dan harapan, mestilah memenuhi sasaran hidupnya, iaitu mendapat keredhaan dari Allah, supaya setiap muslim yang bangkit di hari akhirat nanti pastinya akan mendapat ganjaran yang telah dijanjikan oleh Allah.

4.5. Muraqabah Kepada Allah
Untuk menghampirkan diri kepada Allah, seseorang muslim mestilah melakukan suatu cara atau suatu amalan supaya dia dapat mendekatkan diri kepada Allah dan Allah pula sentiasa hampir kepadanya. Dia hendaklah mencipta suatu program kehidupan yang sesuai menurut perspective syari’at sebagai suatu rangka kerja untuk dipersembahkan ke hadapan Allah, program yang dimaksudkan ialah program muraqabah. Muraqabah ertinya menghampirkan diri kepada Allah. Maksudnya, seseorang muslim itu mestilah menghampirkan diri kepada Allah melalui amalan-amalan hidup yang telah ditetapkan dan diredhaiNya. Dia hendaklah meneruskan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang muslim untuk melaksanakan segala rupa bentuk kefardhuan yang telah ditetapkan ke atasnya. Asas atau akar tunjang muraqabah ini terkandung di dalam firman Allah Ta'ala:
 الَّذِي يَرَاكَ حِينَ تَقُومُ وَتَقَلُّبَكَ فِي السَّاجِدِينَ
Maksudnya: " Allah yang melihat kamu semasa kamu berdiri (mengerjakan solat) juga melihat gerak-geri kamu bersama-sama dengan  orang-orang yang sujud " (As Syu'ara: 218-219).

          Muraqabah juga berkaitan rapat dengan persoalan ehsan, persoalan yang memberi penekanan tentang hubungan manusia dengan Tuhan dan juga menekankan nilai-nilai hidup dan harga diri seseorang manusia ke darjat yang lebih tinggi atau ke arah kedudukan yang lebih mulia di sisi Allah. Ianya memfokuskan konsep ‘ubudiyyah di dalam kehidupan manusia sejagat.       

Firman Allah Ta'ala:
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإحْسَانِ
Maksudnya: " Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil dan berbuat ehsan " (An Nahl: 90).

        Ehsan lazimnya dikaitkan dengan amal perbuatan yang baik yang dijelaskan dan dibahaskan secara umum, tetapi apa yang hendak dimaksudkan dengan ehsan di sini ialah kaitannya untuk menghampirkan diri kepada Allah. Perkara ini telah dimuatkan dan dijelaskan di dalam sepotong hadith, apabila Malaikat Jibril a.s. bertanyakan kepada Nabi s.a.w. tentang makna ehsan, lalu baginda menjawab:

اَلإِحْسَانُ أَنْ تَعْبُدَ اللهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ، فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ
Maksudnya: " Ehsan itu ialah kamu mengabdikan diri kepada Allah, seolah-olah kamu melihatnya dan sekiranya kamu tidak dapat melihatNya, sesungguhnya Dia melihat kamu " (Riwayat Bukhari dan Muslim).

          Matlamat untuk mencapai ke darjat ehsan merupakan percikan dari konsep ‘ubudiyyah yang menggerakkan degup jantung dan roh keimanannya sekali. Ianya saling berkaitan dengan program muraqabah yang bertujuan untuk mendekatkan diri seseorang manusia dengan Allah melalui amalan ibadat yang dilakukan.

5. ADAB BERSAMA MANUSIA
Setiap manusia tidak boleh hidup seorang diri tanpa bantuan dari orang lain, dia mestilah menjalin hubungan atau kerjasama di antara satu sama lain dan saling tolong-menolong untuk membina sebuah kehidupan yang dinamik. Faktor inilah yang akan mewujudkan suatu bentuk suasana atau pasaran hidup untuk menjalin sistem muamalat bagai memperolehi keperluan yang dikehendaki masing-masing. Untuk mengekalkan program kehidupan itu terus hidup di dalam suasana toleransi yang utuh dan kukuh di kalangan masyarakat, maka di sana perlunya diwujudkan suatu sistem peradaban sesama manusia supaya setiap urusan yang dilakukan itu disambut dengan penuh kemesraan dan keharmonian. Pembinaan sesebuah beradaban di dalam sesuatu masyarakat mestilah dinilai mengikut perhitungan syari’at dan setiap muslim yang mengharapkan seteguk restu dari ILAHI di dalam segenap perjalanan hidupnya mestilah mempunyai adab-adab kesopanan dan tatasusila yang baik apabila berbicara atau berurusan sesama manusia ataupun ketika menjalin hubungan dengan mereka. Adab-adab sebegini rupa mestilah sentiasa dihiaskan di dalam hati sanubari dan jiwa nurani supaya manusia yang melihat corak perbuatan itu akan tertarik untuk bersama-sama berada di bawah satu pegangan hidup, satu kepercayaan, satu keyakinan dan satu ‘iktikad, iaitu pengakuan: LAA ILAHA ILLALLAH dan MUHAMMADUR RASULULLAH. Oleh sebab itu, sistem muamalat sesama manusia akan dapat dijalinkan dalam bentuk yang  possible dan confident di dalam sesuatu masyarakat apabila peradaban yang cipta itu memenuhi cita rasa dan perasaan hati masing-masing. Sudah tentu, keadaan itu akan dapat memberi peluang dan keuntungan yang berlipat kali ganda kepada Islam dan ajarannya untuk menarik minat orang-orang bukan Islam memeluk agama Islam apabila melihat peradaban hidup orang-orang Islam.

5.1. Peradaban Hidup Sesama Muslim
Setiap muslim yang beriman kepada Allah dan RasulNya mestilah mempunyai sebuah tanggungjawab untuk memelihara hak-hak dan adab-adab ketika bersama-sama dengan saudara seagamanya. Mereka mestilah menjaga dan memelihara hubungan persaudaraan iman sejagat dan memperteguhkannya supaya ianya sentiasa berterusan. Di antara adab-adab muslim sesama muslim yang perlu dilakukan ialah:

5.1.1. Nasihat-Menasihati
Setiap muslim yang beriman kepada Allah dan RasulNya hendaklah sentiasa nasihat-menasihati di antara saudara seperjuangannya, dia hendaklah mewujudkan suatu bentuk nilai untuk hidup di dalam keadaan dan suasana yang harmoni, dia hendaklah membentuk suatu sikap saling ingat-mengingati di antara saudara seagamanya itu supaya mereka sentiasa berhati-hati di dalam sesuatu tindakan, kerana perbuatan seperti ini amat disuruh dan digalakkan oleh Islam.

Sabda Rasulullah s.a.w.
اَلدِّيْنُ النَّصِيْحَةِ وَسُئِلَ: لِمَنْ؟، فَقَالَ: ِللهِ وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُوْلِهِ وَأَئِمَّةِ اْلمُسْلِمِيْنَ وَعَامَّتِهِمْ
Maksudnya: " Agama itu adalah nasihat, sahabat bertanya: Bagi siapa wahai Rasulullah? Jawab baginda: Bagi Allah, bagi kitabNya, bagi RasulNya dan bagi seluruh umat Islam semua sekali "(Riwayat Muslim).

       Nasihat-menasihati ini merupakan suatu peringatan atau reminder kepada setiap muslim supaya mereka tidak tersasar dari landasan hidup yang sebenar. Ianya dapat membetulkan sikap dan sifat seseorang untuk membaiki-pulih amalan hidupnya supaya memenuhi kehendak-kehendak syari’at.

Sabda Rasulullah s.a.w.
إِذَا اسْتَنْصَحَ أَحَدُكُمْ أَخَاهُ فَلْيَنْصِحْ لَّهُ
Maksudnya: " Apabila seseorang kamu diminta memberi nasihat oleh saudaranya, maka hendaklah menasihatinya " (Riwayat Bukhari).

5.1.2. Kasih Sayang Sesama Mereka
Setiap muslim yang hidup dalam masyarakat mestilah menanam sifat kasih sayang dan kasih mesra di antara saudara seperjuangan dengannya sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri. Perkara ini merupakan suatu bentuk peradaban yang baik ke arah membina sebuah masyarakat yang faham dan mengerti tentang betapa pentingnya hubungan persefahaman di antara mereka.

Benarlah sabda Rasulullah s.a.w.
لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ ِلأَخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ
Maksudnya: " Tidak beriman seseorang kamu sehingga dia kasih saudaranya sebagaimana dia kasih akan dirinya " (Sepakat riwayat)

         Di sana, Allah telah menggambarkan betapa syahdunya hubungan kasih sayang dan cinta-menyintai di antara orang-orang Islam yang berlaku di dalam roda kisaran sejarah umat manusia terhadap golongan Muhajirin dan Ansar dalam peristiwa hijrah di Madinah. Hubungan mereka begitu erat dijalin tanpa mengenal susah payah dan perit penderitaan yang dialaminya sendiri oleh mereka, namun untuk membaiki tali persaudaraan iman dan ukhuwwah islamiyyah sesama mereka, mereka sanggup menghadapi penderitaan dan mengikis sifat-sifat kebakhilan diri.

Allah Ta’ala berfirman:
وَالَّذِينَ تَبَوَّءُوا الدَّارَ وَالإِيمَانَ مِنْ قَبْلِهِمْ يُحِبُّونَ مَنْ هَاجَرَ إِلَيْهِمْ وَلاَ يَجِدُونَ فِي صُدُورِهِمْ حَاجَةً مِمَّا أُوتُوا وَيُؤْثِرُونَ عَلَىٰ أَنْفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ ۚ وَمَنْ يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
Maksudnya: “ Dan juga bagi orang-orang yang menempati Kota Madinah dan telah beriman (iaitu orang-orang Ansar) sebelum kedatangan mereka (iaitu orang-orang Muhajirin, mereka mencintai orang-orang yang berhijrah kepada mereka dan mereka tidak sedikitpun menaruh keinginan di dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (iaitu orang-orang Muhajirin) di atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka berada di dalam kesusahan, dan sesiapa yang dipelihara dari (bencana  disebabkan) kebakhilan diri, maka itulah orang-orang yang beruntung, dan juga bagi orang-orang yang datang sesudah mereka (iaitu orang-orang Muhajirjn dan Ansar), mereka berdoa: Wahai Tuhan kami! Ampunlah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman terdahulu dari kami, jangan biarkan kedengkian menguasai hati kami terhadap orang-orang beriman, wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah Maha pengampun lagi Maha Penyayang (Al Hasry: 9).

       Kekuatan Islam dan iman itu sekaligus dikandung erat oleh kekuatan kasih-sayang dan hubungan cinta-menyintai di antara satu sama lain terhadap saudara seagama dalam bentuk jalinan hidup yang difokuskan di bawah konsep persaudaraan iman, sekalipun mereka tidak diikat dengan hubungan kekeluargaan dan tali perkahwinan. Tetapi, di atas dasar untuk mewujudkan persefahaman hidup yang padu dan utuh bagi membentuk sebuah masyarakat yang aman dan makmur di bawah pengawasan ILAHI, mereka sanggup mengenepikan kepentingan diri dan melempar perasaan buruk sangka terhadap saudara seagama mereka sekalipun mereka berada di dalam kesusahan. Hubungan kasih sayang dan cinta-mencintai di antara orang-orang Islam adalah melebihi hubungan kekeluargaan dan ikatan perkahwinan serta batas-batas keturunan.

Sabda Rasulullah s.a.w.
مَثَلُ اْلمُؤْمِنِيْنَ فِىْ تَوَادِهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ كَمَثَلِ اْلجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرِ اْلجَسَدِ بِالسَّهْرِ وَاْلحُمْى
Maksudnya: " Bandingan orang-orang mu'min terhadap hubungan kasih sayang sesama mereka bagaikan anggota badan, apabila satu anggota mengadu sakit, maka semua anggota yang lain turut berjaga dan mengadu sakit " (Sepakat riwayat).

         Kekuatan persaudaraan iman dan pembinaannya ke arah mewujudkan persefahaman hidup bagaikan sebuah bangunan yang tidak mungkin dapat dirobohkan, sebagaimana yang dijelaskan di dalam sepotong hadith.

5.1.3. Bantu-Membantu Di Antara Satu Sama Lain
Setiap muslim yang sejati yang benar-benar beristiqomah di dalam membentuk peradaban hidup, mestilah menanam sikap suka memberi bantuan dan tolong-menolong di antara saudara seagama dengannya dan jangan sekali-kali mengkhianati saudaranya atau menghinanya disebab sesuatu perkara atau sesuatu kejadian yang berlaku, kerana perbuatan tersebut di larang oleh Islam. Sikap saling bantu-membantu ini dapat menambahkan lagi jurang persaudaran iman di samping dapat mengikis sikap kepentingan diri di dalam melayarkan bahtera kehidupan dalam masyarakat.

Firman Allah Ta'ala:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلاَ تَعَاوَنُوا عَلَى الإثْمِ وَالْعُدْوَانِ
Maksudnya: " Tolong-menolonglah di antara kamu di dalam mengerjakan kebaikan dan ketaqwaan, jangan sekali-kali kamu tolong-menolong di dalam melakukan dosa dan perlanggaran " (Al Maidah: 2).

          Konsep penghayatan hidup Islam amat terang dan jelas di dalam usaha meningkatkan nilai dan maruah diri. Bantuan dan pertolongan kepada mereka yang tidak mampu atau tidak berupaya jelas menjadi dasar ajaran Islam itu sendiri ke arah mewujudkan peradaban hidup yang mulia. Tidak semua manusia yang hidup di atas dunia ini menerima nasib hidup yang baik, adakalanya mereka terpaksa bertempur dengan wabak kemiskinan dan kefakiran yang nyaris-nyaris membawa dirinya merangkak ke lembah kekufuran, sebagaimana yang dijelaskan di dalam sepotong hadith:
كَادَ الْفَقْرُ أَنْ يَكُوْنَ كُفْرًا
Maksudnya: “ Hampir-hampir kefakiran itu membawa seseorang menjadi kufur ”.

         Maka, di sinilah perlunya perhatian di kalangan umat Islam, mereka yang berada dan mempunyai harta benda memainkan peranan penting menghulurkan secebis bantuan atau pertolongan untuk membantu saudara seagama dengan mereka bagi meneruskan perjuangan hidup.

Oleh sebab itu, Islam mewujudkan konsep ini kerana ia telah mengetahui tabiat hidup manusia yang tidak sama dan tidak serupa di antara seseorang dengan seseorang yang lain. Kehidupan manusia itu sentiasa berubah-ubah dari hari ke hari dan dari masa ke semasa, adakala senang dan adakalanya susuh, adakalanya kaya dan adakalahnya juga jatuh menjadi miskin. Justeru itu, Islam muncul dengan mengenakan program bantu-membantu dan tolong-menolong di antara satu sama lain adalah untuk penyelesaikan permasalahan yang mungkin timbul di dalam kehidupan manusia. Namun demikian, Islam telah menggariskan batas-batas sempadannya sendiri di dalam menentukan perkara-perkara yang boleh diberi bantuan atau pertolongan. Sekiranya sesuatu perkara tersebut menepati kehendak-kehendak syari’at, maka bantuan dan pertolongan itu dapat hulurkan dan diberikan dengan seikhlas yang mungkin, tetapi jika perkara tersebut berlaku sebaliknya, maka Islam dengan tegas tidak akan membenarkan sama sekali bantuan dan pertolongan itu dihulurkan. Islam melarang sama sekali umatnya memberi bantuan atau pertolongan di dalam mengerjakan maksiat dan perlanggaran, kerana perkara tersebut tidak memberi keuntungan kepada umat Islam dan ajaran Islam itu sendiri. Islam mengekalkan tabiat hidup semulajadi manusia sebagai suatu peraturan atau undang-undang supaya manusia faham erti nilai dan hakikat sesuatu perkara. Islam mengekalkan konsep bantu-membantu dan tolong-menolong yang menjadi tabiat hidup semulajadi manusia  sebagai suatu peraturan dan undang-undang kemanusiaan sejagat untuk diletakkan ke dalam syari’atnya.  Oleh sebab itu, Islam menggesa umatnya supaya mengekalkan konsep ini sebagai suatu ibadat yang amat digalakkan.

5.1.4. Tidak Bertengkar Dan Berbalah
Perpaduan merupakan suatu perkara yang amat digalakkan dalam ajaran Islam, manakala perbalahan, perkelahian, pergaduhan dan pertengkaran pula merupakan suatu perkara yang amat dibenci dalam ajaran Islam. Setiap muslim yang ingin mengikat tali persaudaraan iman sesama mereka dan ingin pula menjalin hubungan persahabatan serta mengeratkan lagi ikatan ukhuwwah Islamiyyah janganlah sekali-kali bercakaran di antara satu sama lain yang boleh menyalakan api perseteruan dan permusuhan yang akhirnya berlakulah sikap dendam kesumat yang berpanjangan.

Sabda Rasulullah s.a.w.
كُلُّ اْلمُسْلِمِ عَلَى اْلمُسْلِمِ حَرَامٌ دَمُهُ وَمَالُهُ وُعِرْضُهُ
Maksudnya: " Setiap muslim adalah haram menumpahkan darah muslim yang lain, mengambil hartanya dan mencabul kehormatannya " (Riwayat Muslim).

        Nilai kehidupan seseorang muslim itu terlalu mahal harganya, ianya tidak boleh dijual beli dengan wang ringgit dan harta kekayaan. Walaupun kehidupan itu merupakan suatu perjalanan yang pastinya suatu hari nanti ia akan berhadapan dengan pukulan maut yang datang menjelma, tetapi perkara ini bukanlah suatu alasan untuk diambil kesempatan menghalalkan pertumpahan darah terhadap seseorang muslim yang dibenci atau menghina mereka kerana faktor kemiskinan atau keturunan atau seumpamanya. Persoalan ini bukan persoalan mainan atau bukan untuk dijadikan bahan sendiwara, tetapi persoalan ini melibatkan maruah ummah dan Islam itu sendiri…!

       Hari ini banyak darah umat Islam telah tumpah akibat perbuatan orang-orang Islam itu sendiri, akibat perbalahan dan perkelahian yang berlaku sesama mereka, akibat  permusuhan kerana perebutan kuasa dan tidak kurang juga perselisihan fahaman politik yang menyebabkan umat Islam sanggup bermandi darah sehingga mereka berpecah belah menjadi pelbagai puak. Sikap profesional di dalam mengendalikan peradaban hidup mestilah diterapkan sama dalam mengerjakan tugas dan tanggungjawab yang telah di tetapkan oleh Allah, dia hendaklah menjelaskan kepada dirinya sendiri; untuk ada dia sanggup berbalah, berkelahi dan bertelinglah? Untuk apa dia perlu bermusuh-musuhan di antara satu sama lain? Untuk apa dia perlu menegakkan benang yang basah sedangkan perkara itu dikutuk oleh Tuhan? Untuk apa dia melakukan perkara ini semua sedangkan perbuatan tersebut boleh merugikan umat Islam itu sendiri…?

       Alangkah bodohnya manusia seperti ini, alangkah jahilnya umat ini, betapa nilai-nilai kemuliaan itu dihanyutkan begitu sahaja dalam arus kehidupan, dia tidak lagi menghormati maruah dirinya sendiri dan maruah umat Islam dari sudut pandangan mata masyarakat, dia tidak lagi merasa apa-apa perasaan toleransi ketika berada dalam masyarakat, perasaan kasih sayang sesama mereka, perasaan hormat-menghormati di antara mereka, bahkan perasaan hati mereka telah menjadi kebas, kaku dan kelu untuk menerima perpaduan hidup. Sepatutnya perpaduan itu mestilah dibina dan diwujudkan serta diterapkan ke dalam diri masing-masing dan juga ke dalam masyarakat supaya masyarakat dapat hidup aman dan makmur.

Benarlah sabda Rasulullah s.a.w.
اَلْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ اْلمُسْلِمُوْنَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ
Maksudnya: " Muslim yang sejati ialah muslim yang terselamat dari lidah dan tangannya” (Sepakat riwayat).

        Setiap muslim yang sejati mempunyai tugas dan tanggungjawab, dia mestilah berperanan sebagai seorang yang benar-benar mampu menghadapi kancah kehidupan, dia mestilah membuang segala sifat-sifat kepentingan diri dan sifat-sifat lapuk yang boleh mencetuskan aksi permusuhan di antara orang-orang Islam.

Sabda Rasulullah s.a.w.
لاَ يَحِلُّ لِمُسْلِمِ أَنْ يَشِيْرَ اِلَى أَخِيْهِ بِنَظْرَةٍ تُؤَذِّيْهِ
Maksudnya: " Tidak dihalalkan bagi setiap muslim yang berjalan di hadapan saudaranya dengan pandangan yang menyakitkan " (Riwayat Ahmad).

       Oleh sebab itu, perasaan toleransi di antara orang-orang Islam itu sendiri mestilah diwujudkan secara bersama ke arah pembinaan tamaddun kehidupan yang lebih dinamik.

5.1.5. Tidak Menaruh Kedengkian Sesama Mereka
Setiap muslim yang ingin melihat sebuah masyarakat yang hidup dalam keadaan aman damai mestilah mengikis perasaan dengki yang menjelma di dalam isi hatinya terhadap saudara seagama yang beriman kepada Allah, kerana ianya di larang dalam ajaran agama.

Firman Allah Ta'ala:
وَلاَ يَجِدُونَ فِي صُدُورِهِمْ حَاجَةً مِمَّا أُوتُوا وَيُؤْثِرُونَ عَلَىٰ أَنْفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ
Maksudnya: " Dan mereka tidak menaruh sedikitpun kedengkian di dalam hati mereka terhadap apa yang mereka belanjakan dan mereka mengutamakan saudara seagama lebih dari dirinya sendiri, sekalipun mereka berada di dalam kesusahan " (Al Hasyr: 9).

       Ajaran Islam ialah ajaran yang menekankan persefahaman hidup untuk saling bantu-membantu di antara satu sama lain dan Islam melarang umatnya supaya jangan sekali-kali membiarkan perasaan hasad dengki itu menguasai rentak kehidupan.


Sabda Rasulullah s.a.w.
وَلاَ تَحَسَّسُوْا وَلاَ تَجَسَّسُوْا وَلاَ تَنَافَسُوْا  وَلاَ تَحَاسَدُوْا وَلاَ تَبَاغَضُوْا وَلاَ تَدَابَرُوْا وَكُوْنُوْا عِبَادَ اللهِ إِخْوَانًا
Maksudnya: " Janganlah kamu raba-meraba, menjadi pengintip, berlomba ke arah keduniaan, hasad dengki, benci-membenci dan belakang-membelakangi, jadikanlah kamu hamba Allah yang bersaudara " (Riwayat Muslim).

       Kerana perasaan hasad dengki itu akan mencetuskan suatu gejala penyakit yang kronik di dalam hati dan perasaan ini hanya akan memusnahkan segala kebaikan-kebaikan yang telah dilakukan selama ini, sebagaimana yang dinyatakan di dalam sepotong hadith.

Sabda Rasulullah s.a.w.
إِيَّاكُمْ وَالْحَسَدَ فَإِنَّ اْلحَسَدَ يَأكُلُ الْحَسَنَاتِ كَمَا تَأْكُلُ النَّارِ اْلحَطَبَ أَوْقَالَ: العُشْبَ
Maksudnya: " Berhati-hatilah kamu dengan hasad dengki, kerana hasad dengki itu akan memakan segala kebaikan sebagaimana api memakan kayu api atau rumput " (Riwayat Abu Dawwud).

                Oleh sebab itu, setiap muslim yang ingin bangkit dari perasaan tersebut dan perasaan-perasaan buruk yang lain mestilah menilai hakikat kehidupan itu dengan mengambil panduan dari manhaj yang diturunkan oleh Tuhan, dia hendaklah mengembalikan hakikat kehidupan itu ke pangkuan Tuhannya, maka di sana dia akan sedar dan bingkas bangun dari kelalaian hidupnya itu, bahawa betapa perlunya suatu peradaban hidup yang bebas dari mana-mana unsur yang datang dari luar ajaran Islam dihapuskan sama sekali dalam kehidupan, dia mestilah menanam suatu sikap dan suatu perasaan yang boleh mewujudkan mahabbah atau persefahaman hidup di kalangan orang-orang Islam.

6. PERADABAN HIDUP SESAMA BUKAN MUSLIM
Kehidupan itu perlu diterjemahkan dalam bentuk yang positif yang menyentuh konsep sama rata sesama manusia tanpa wujudnya perasaan yang jijik dan kotor menyelubungi hati sanubari dan jiwa nurani. Konsep tersebut akan menyentuh hubungan semua lapisan masyarakat manusia, tidak mengira tua atau muda, fakir atau miskin, Islam atau bukan Islam. Menyentuh hubungan orang-orang Islam dengan orang-orang bukan Islam, konsep ini bukan bererti menggadai prinsip-prinsip asas dalam ajaran Islam ataupun mengorbankan sebahagian daripada tata cara hidupnya kerana ingin berbaik-baik dengan orang-orang bukan Islam. Sebenarnya, Islam adalah suatu manhaj hidup yang banyak menekankan perpaduan di antara manusia, Islam mempunyai cara hidupnya tersendiri dan menggariskan panduan hidup dalam manhajnya untuk kesejahteraan manusia di dunia dan di akhirat. Islam telah menggariskan beberapa beradaban yang harus diberi perhatian oleh orang-orang Islam itu sendiri ketika mereka menjalinkan hubungan mereka dengan orang-orang bukan Islam. Di antara adab-adab kesopanan seseorang muslim terhadap mereka yang bukan muslim ialah:

6.1. Tidak Melantik Mereka Menjadi Pemimpin
Setiap muslim yang mengaku beriman kepada Allah dan RasulNya mestilah menerima suatu hakikat dan ketetapan dari Allah, bahawa janganlah sekali-kali melantik orang-orang bukan Islam menjadi pemimpin atau ketua negara kepada orang-orang Islam, kerana ianya dilarang keras oleh Allah di dalam Al Kitab. Ini merupakan suatu garis panduan yang merupakan suatu hukum yang wajib dipatuhi dan ditaati oleh setiap umat Islam. Ini kerana orang-orang bukan Islam tidak mempunyai suatu keyakinan hidup yang mutlak terhadap kekuasaan Allah, mereka tidak pecaya wujudnya Allah dan mereka juga tidak beriman kepada Rasulullah dan perkara-perkara lain yang melibatkan rukun iman dan rukun Islam termasuk peraturan dan undang-undang Islam. Mereka tidak yakin dan percaya kepada perkara-perkara ini semua, bagaimana pula mereka boleh menjadi pemimpin kepada orang-orang Islam..?
                                     
Firman Allah Ta'ala:
لاَ تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ يُوَادُّونَ مَنْ حَادَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَوْ كَانُوا آبَاءَهُمْ أَوْ أَبْنَاءَهُمْ أَوْ إِخْوَانَهُمْ أَوْ عَشِيرَتَهُمْ ۚ أُولَٰئِكَ كَتَبَ فِي قُلُوبِهِمُ الإيمَانَ
Maksudnya: " Kamu tidak dapati suatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, berkasih sayang dengan orang yang menentang Allah dan RasulNya, sekalipun orang itu bapa mereka, anak mereka saudara dan keluarga mereka, mereka itulah orang-orang yang ditulis oleh Allah keimanan di dalam hati mereka " (Al Mujadalah: 22).

       Ajaran Islam telah menggariskan suatu prinsip asas yang  penting untuk dijadikan akar tunjang dalam kehidupan para muslim, bahawa mereka tidak diharuskan sama sekali melantik atau mengangkat orang-orang bukan Islam menjadi pemimpin kepada umat Islam, walaupun mereka itu terdiri di kalangan anak bangsa mereka sendiri atau dari keturunan darah mereka atau dari kalangan sahabat handai mereka, tetapi jika mereka semua bukan Islam dan bukan menjadi pengikut ajaran Islam, tidak percaya pula wujudnya Allah dan tidak menaruh keyakinan terhadap petunjuk yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. mereka tetap diharamkan sama sekali menjadi pemimpin atau ketua kepada umat Islam. Bicara Islam memang tegas untuk diperkatakan dalam persoalan ini, kerana ianya membabitkan soal prinsip dan maruah..!

Firman Allah Ta'ala:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لاَ تَتَّخِذُوا بِطَانَةً مِنْ دُونِكُمْ لاَ يَأْلُونَكُمْ خَبَالاً وَدُّوا مَا عَنِتُّمْ
Maksudnya: “ Wahai orang-orang yang beriman! Jangan kamu mengambil orang yang bukan di kalangan kamu sebagai teman kepercayaan, mereka tidak berhenti-henti menyusahkan kamu (Ali 'Imran: 118).

        Berhubung dengan ayat ini, Imam Al Qurtubi telah mengemukakan suatu peristiwa: Diriwayatkan, bahawa Abu Musa Al Asy’ari yang merupakan seorang gabenor di salah satu wilayah Islam telah diarahkan oleh Khalifah Umar r.a. supaya datang mengemukakan laporan tahunan kepadanya. Abu Musa Al Asy’ari telah melantik seorang yang beragama Kristian menjadi setiausahanya. Beliau datang menemui Khalifah Umar r.a. yang ketika itu berada di dalam masjid. Apabila Khalifah Umar membaca laporan tersebut, beliau merasa kagum kerana laporan yang sampai kepadanya itu ditulis dengan penuh cermat dan teliti, lalu beliau bertanya kepada Abu Musa:
أين كاتبكَ يقرأ هذا الكتاب على الناس؟ فقال: إنه لا يدخل المسجد، فقال: لِمَ..! أجنبٌ هو؟ قال: إنه نصرانى
Maksudnya: “ Di mana setiausaha mu yang mencatat laporan ini? Abu Musa menjelaskan: Dia tidak boleh memasuki masjid ”. Lantas Umar bertanya lagi: Mengapa! Dia berada dalam keadaan junub ke..? Lalu Abu Musa menjawab: Tidak, dia adalah seorang Kristian....”.

       Mendengar jawaban yang tidak disangka-sangka itu, dengan tegas Umar r.a. memberi amaran kepada Abu Musa Al Asy’ari:
لاَ تُدْنِهِمْ وقد أقصاهم الله، ولا تُكرمهم وقد أهانهم الله، ولا تَأَْمَنهم وقد خوَّنهم الله
Maksudnya: “ Jangan kamu hampiri mereka, kerana mereka jauh dengan Allah, jangan kamu memuliakan mereka, kerana mereka menghina Allah dan jangan kamu memberi amanah kepada mereka, kerana mereka mengkhianati Allah ”.

      Peristiwa tersebut telah memberi penjelasan dan gambaran yang penuh bermakna terhadap nilai dan maruah umat Islam, bahawa mereka dilarang sama sekali melantik atau mengangkat orang-orang bukan Islam menjadi pemimpin atau ketua mereka.

6.2. Bersikap Tegas Terhadap Mereka
Setiap muslim mestilah mempunyai sikap yang berani, tegas dan keras terhadap orang-orang bukan Islam. Dia tidak harus merasa gentar dan tunduk kepada segala ancaman, tekanan dan ugutan yang datang menjelma. Dia hendaklah menghadapi realiti dan kenyataan apabila musuh-musuh tiba di hadapan mereka.

Firman Allah Ta'ala:
أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ
Maksudnya: " Mereka bersikap lemah-lembut terhadap orang-orang beriman dan bersikap keras terhadap orang-orang kafir "(Al Maidah: 54).

       Ini adalah suatu ketegasan yang dikemukakan oleh Al Quranul Karim, ketegasan ini merupakan suatu bicara yang menetapkan kata pemutus terhadap umat Islam ketika menjalin hubungan dengan orang-orang kafir demi menjaga dan memelihara maruah hidup mereka. Ketegasan ini merupakan satu bukti bahawa orang-orang kafir tidak ada hak langsung untuk berbicara mengenai hal ehwal dan urusan orang-orang Islam, apatah lagi untuk membuat penambahan atau combination ke dalam manhaj dan program ajaran Islam. Oleh sebab itu, Al Quran tidak berani bertolak ansur untuk memberi laluan kepada orang-orang bukan Islam di dalam urusan ad deen, sebaliknya mengarahkan umat Islam bersikap tegas dan keras terhadap kaum kafir.


Firman Allah Ta'ala:
مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ ۚ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ
Maksudnya: " Muhammad adalah pesuruh Allah dan mereka yang bersamanya bersikap keras terhadap orang-orang kafir dan bersikap kasih sayang sesama mereka " (Al Fath: 29).

       Mereka yang bersama-sama dengan Muhammad s.a.w. itu ialah terdiri di kalangan para sahabat r.a. dan juga orang-orang yang beriman semua sekali, mereka berada di dalam satu sof untuk membina satu sikap dan satu tujuan serta satu matlamat terhadap orang-orang kafir.

6.3. Berlaku Baik Kepada Mereka
Setiap muslim yang mempunyai kekuatan iman di dalam hati sanubari dan jiwa nuraninya serta menundukkan diri kepada Allah diharuskan oleh syari’at supaya berbuat baik kepada orang-orang bukan Islam dan bersikap jujur kepada mereka. Sekiranya mereka tidak memerangi orang-orang Islam dan tidak mengandungi tanda-tanda atau unsur-unsur untuk berperang dengan orang-orang Islam atau tidak menunjukan sikap untuk bermusuh-musuhan dengan orang-orang Islam dan tiada pula sebarang rancangan jahat di dalam agenda perjuangan hidup mereka untuk memusnahkan ajaran Islam, maka Islam mengharuskan kepada umatnya berlaku baik kepada mereka.

Firman Allah Ta’ala:
لاَ يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
Maksudnya: " Allah tidak melarang kamu berbuat baik  dan bersikap jujur terhadap orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama dan tidak mengusir kamu dari kampung halaman, sesungguhnya Allah itu amat menyukai orang yang jujur " (Al Mumtahanah: 8).

6.4. Tidak Melakukan Penindasan Kepada Mereka
Setiap muslim yang ingin meletakkan dirinya ke darjat yang suci dan tinggi tidak harus menindas atau menyakiti mana-mana orang-orang bukan Islam yang tidak memerangi mereka, kerana perbuatan tersebut di larang dalam ajaran Islam dan perbuatan itu juga boleh mencetuskan suasana huru-hara dalam masyarakat yang berbilang kaum. Islam juga melarang umatnya supaya jangan bersikap extreme atau terlalu fanatik terhadap orang-orang bukan Islam yang tidak memerangi Islam, kerana perbuatan tersebut tidak diajar oleh Rasulullah s.a.w.

Sabda Rasulullah s.a.w.
مَنْ ظَلَمَ مُعَاهَدًا أَوِ انْتَقَصَهُ حَقًّا أَوْ كَلَّفَهُ فَوْقَ طَاقَتِهِ أَوْ أَخَذَ مِنْهُ شَيْئًا بِغَيْرِ طَيِّبِ نَفْسٍ مِنْهُ فَأَبَا حَجِيْجَهُ يَوْمَ اْلقِيَامَةِ
Maksudnya: " Sesiapa yang menzalimi kafir mu'ahid (iaitu kafir yang mengadakan perjanjian damai dengan kerajaan Islam)  atau mengurangkan haknya atau memberi bebanan ke atasnya atau mengambil sesuatu darinya tanpa kebaikan, nanti dia akan menerima padah di hari kiamat  "(Riwayat Abu Dawud dan Al Baihaqi).

      Ini adalah kerana mereka telah membuat pengakuan dan ikatan janji setia untuk taat dan tidak mahu melakukan apa-apa perkara yang boleh mencetuskan suasana keruh dalam masyarakat. Oleh sebab itu, menjadi tanggungjawab kerajaan Islam dan orang-orang Islam semua sekali memelihara dan menjaga nama baik mereka di sisi masyarakat, tanpa mengurangkan sedikitpun hak-hak mereka.

Sabda Rasulullah s.a.w.
مَنْ آذَى ذِمِّيًّا فَقَدْ آذَانِى وَمَنْ آذَانِىْ فَقَدْ آذَى اللهَ
Maksudnya: " Sesiapa yang menyakiti ahli zimmi, maka dia telah menyakiti aku dan sesiapa yang menyakiti aku, bererti dia telah menyakiti Allah " (Riwayat At Thabarani).

         Ini merupakan pengakuan dari Rasulullah s.a.w. sendiri terhadap ahli zimmah, iaitu orang-orang bukan Islam yang hidup di bawah pengawasan kerajaan Islam dan perkara ini juga merupakan suatu amaran yang cukup tegas terhadap orang-orang Islam yang cuba bertindak ganas terhadap mereka atau melakukan apa-apa kezaliman terhadap mereka. Walaupun mereka bukan dari kalangan seagama dan tidak memerangi orang-orang Islam, tetapi di atas sifat peri kemanusiaan, maka di sana Islam tidak menghadapi apa-apa masalah untuk melepaskan ikatan para penganutnya untuk berbaik-baik dengan mereka dan itulah sebaik-baik peradaban dalam konteks hubungan kemanusiaan dan sekurang-kurangnya keadaan seperti ini dapat menarik minat mereka untuk menjadi seorang muslim yang sama-sama berada di dalam satu ikatan ‘aqidah.

6.5. Diharuskan Memakan Sembelihan Mereka
Setiap muslim yang mengikat hubungan dengan Allah dan RasulNya, dan dia mengikut segala apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang, diharuskan kepadanya memakan sembelihan ahli kitab tanpa perasaan syak atau ragu-ragu, sebagaimana yang dinyatakan di dalam Al Quran.

Firman Allah Ta'ala:
وَطَعَامُ الَّذِيْنَ أُوْتُواْ الْكِتَابَ حِلٌّ لَكُمْ
Maksudnya: " Dan makanan dari sembelihan ahli kitab adalah halal bagi kamu " (Al Maidah: 5).

       Inilah toleransi Islam terhadap mereka yang bukan Islam yang terdiri di kalangan ahli kitab. Pengiktirafan Islam terhadap mereka yang menghalalkan daging sembelihan mereka terhadap orang-orang Islam disebabkan keyakinan hidup mereka kepada Allah yang meletakkan Allah itu adalah Tuhan Yang Maha Esa, sekalipun mereka tidak menerima Muhammad s.a.w. sebagai Rasul utusan Tuhan yang akhir. Islam menghalalkan penyembelihan mereka untuk dimakan oleh orang-orang Islam kerana di antara syarat sah sembelihan itu dilakukan di atas nama Allah, bukan di atas nama yang lain. Oleh itu, penyembelihan yang dilakukan tiada kaitan dengan persoalan kenabian.




Sekian, wassalam

Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani

No comments:

Post a Comment