PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Monday 7 March 2011

PERSIAPAN MENJADI SEORANG YANG ZUHUD KEPADA ALLAH

1. PENGENALAN
Setiap muslim yang ingin mengharungi kehidupan zuhud dan ingin mencari seteguk keredhaan Allah, dia mesti membuat beberapa persiapan yang cukup sempurna untuk berhadapan dengan Allah, dia mesti membuat beberapa persediaan yang cukup rapi untuk mencetuskan aksi hidup yang diredhai oleh Allah, dia mesti mewujudkan persamaan hidup dengan nilai-nilai agama dan rohnya yang dijelmakan menurut kehendak-kehendak Allah. Di antaranya dia mesti membersihkan diri dari sebarang bentuk kekotoran, sama ada kekotoran zahir atau kekotoran batin, supaya setiap amalan hidup dapat diterima oleh Allah dengan sempurna. Menjadi suatu kelaziman, kebersihan zahir itu biasanya melambangkan kebersihan batin. Oleh sebab itu, kedua-dua aspek ini saling berkaitan di antara satu sama lain. Kalaulah seseorang itu hanya menumpukan perhatian kepada kebersihan zahir sahaja atau kebersihan luaran, tanpa menumpukan perhatian kepada kebersihan batin atau kebersihan dalaman, nescaya amalan hidupnya itu masih lagi tidak sempurna dan masih perlu dibaik-pulih. Begitu juga, sekiranya kebersihan itu hanya ditumpukan kepada kebersihan batin semata-mata, tanpa menumpukan perhatian kepada kebersihan zahir, nescaya  amalan hidupnya masih ada beberapa kepincangan dan adakalanya tidak menepati kehendak syari’at. Sebabnya, walaupun batin seseorang itu suci dan bersih, tetapi pada anggota badannya tidak bersih, mengandungi kekotoran dan najis, nescaya ibadatnya seperti solat atau lainnya tidak sah dan tidak diterima oleh Allah, sekalipun dari sudut batinnya tulus dan ikhlas. Begitu juga seandainya seseorang itu tidak mengambil wuduk atau tidak mengangkat hadas besar atau tidak mandi wajib, nescaya amal ibadatnya tidak sah dan tidak sekali-kali diterima oleh Allah, sekalipun dari sudut perspektif batinnya tulus dan ikhlas, kerana syari’at mengukur sesuatu itu dari sudut zahir, kemudian barulah dinilai dari sudut batin.

2. KEBERSIHAN SECARA ZAHIR
Maksudnya ialah membersih atau menyucikan segala anggota tubuh badan dari sebarang rupa bentuk najis atau kekotoran menurut pandangan syari'at. Ianya termasuk menyucikan pakaian yang dipakai daripada unsur-unsur yang menjijikan, lebih-lebih lagi ketika hendak menunaikan ibadat kepada Allah. Kebersihan zahir ini juga termasuk mengawal dan menjaga makanan yang hendak disuapkan ke dalam perut dan mencegah dari memakan makanan atau minuman yang diharamkan, kerana ianya akan memberi kesan kepada perasaan hati.

Sabda Rasulullah s.a.w.
كُلُّ لحَمٍْ نَبَتَ مِنَ اْلحَرَامِ فَالنَّارِ أوْلاَبِها
Maksudnya: “ Setiap daging yang tumbuh dari sumber yang haram, maka api neraka adalah terlebih baik baginya ” (Riwayat Bukhari).

Tujuan Islam menganjurkan kepada umatnya supaya memelihara kebersihan diri adalah untuk mengharuskan mereka menunaikan segala kewajiban yang telah ditetapkan oleh Allah ke atas mereka. Allah tidak sekali-kali menerima ibadat seperti solat, haji dan lain-lain yang dilakukan tanpa mengambil wuduk terlebih dahulu.

Firman Allah Ta'ala:
يَا أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ قُمْ فَأَنْذِرْ وَرَبَّكَ فَكَبِّرْ وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ وَالرُّجْزَ فَاهْجُرْ
Maksudnya: Wahai orang yang berselimut! Bangun dan berilah peringatan, kepada Tuhan mu hendaklah kamu besarkan, pakaian mu hendaklah dibersihkan dan perkara yang tidak suci hendaklah kamu hindarkan "  (Al Muddasir: 1-5).

Umat Islam adalah umat yang bersih dan suci, mereka hendaklah membersihkan diri sentiasa dari segala najis dan kekotoran, jasad dan tubuh badan mereka mesti bebas dari segala unsur-unsur yang menjijikan dalam setiap sudut dan dalam apa jua keadaan yang mencakupi semua sekali aspek kehidupan, umat Islam adalah ummah yang sangat bernilai di sisi Allah yang dapat mencerminkan keperibadian dan penampilan diri mereka terhadap realiti kehidupan yang sebenar, kerana kebersihan mereka itu dapat melambangkan nilai-nilai keagungan sejagat terhadap ummah itu sendiri, apatah lagi untuk menghadirkan diri dalam majlis ibadat dan majlis untuk memuji-muji kebesaran Allah Yang Maha Agung.

Sabda Rasulullah s.a.w.

إِنَّ اللهَ تَعَالَى طَيِّبٌ لاَ يَقْبَلُ إِلاَّ طَيِّبًا وَإِنَّ اللهَ أَمَرَ اْلمُؤْمِنِيْنَ بِمَا أَمَرَ بِهِ اْلمُرْسَلِيْنَ فَقَالَ تَعَالَى: يآ أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوْا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوْا صَالِحًا، وَقَالَ تَعَالَى: يآ أَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ، ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلُ يُطِيْلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّّ يَدَيْهِ اِلَى السَّمَاءِ: يآ رَبُّ يآ رَبُّ! وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِىَ بِاْلحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لَهُ
Maksudnya: " Sesungguhnya Allah Ta'ala itu baik dan tidak sekali-kali menerima melainkan hanya kebaikan, sesungguhnya Allah Ta'ala memerintahkan orang-orang mukmin sama seperti yang diperintahkan kepada sekalian Rasul, Allah berfirman: Wahai sekalian Rasul!  Makanlah dari makanan yang baik-baik dan beramallah dengan amalan yang soleh dan Allah berfirman lagi: Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari makanan yang baik-baik terhadap apa yang Kami kurniakan kepada kamu, kemudian disebut seorang lelaki yang jauh perjalanannya, berada dalam keadaan kusut rambutnya lagi berdebu mukanya, menghulurkan dua tangan menadah ke langit sambil berdoa: Wahai Tuhan..! Wahai Tuhan..! Pada hal makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya pula haram dan setiap kali ia mengenyangkan perutnya dengan benda-benda yang haram, bagaimana doanya diperkenankan ?" (Riwayat Muslim).

Hadith ini sudah cukup untuk menggambarkan realiti kehidupan di dalam setengah masyarakat manusia, kemiskinan dan kefakiran yang ditangggung oleh seseorang itu seolah-olah menghimpit kehidupannya sehingga dia tidak dapat bergerak dan bekerja, dia merasa terpinga-pinga tidak tahu apa yang harus dilakukan dan keadaan itu boleh membawa dirinya ke lembah yang hina. Maka dengan sebab itu, kemiskinan dan kefakiran boleh menyebabkan seseorang itu menjadi kufur kepada Allah, kerana dia tidak mampu untuk menghadapi kehidupannya sendiri dan tidak mampu pula untuk menguruskan aksi hidupnya, lalu dia mengambil satu sikap yang lain sebagai ‘jalan pintas’ untuk mengurangkan jurang bebanan kemiskinan dan kefakiran yang dirasai itu.

Dia cuba mencari hasil kehidupannya melalui benda-benda yang tidak halal, dia memakan benda-benda yang haram, dia memakai pakaian yang haram dan segala titik peluhnya menitik di atas usaha yang haram….!

Bagaimana Allah mahu memperkenankan doa dan permintaannya..?

Kesilapan seseorang manusia menguruskan kehidupan akan membawa padah kepada dirinya sendiri dan bukan kepada orang lain, ditambah pula kejahilan hidup terhadap ajaran agama menyebabkan Allah tidak sekali-kali dapat menerima doa yang dipinta dan sekiranya dia tidak mengubah keadaan hidupnnya, sudah pasti dia akan menanggung risiko di hari akhirat kelak. Manusia perlu menilai semula erti kebersihan yang menampilkan struktur keindahan diri dan melambangkan etika  hidupnya  seharian,  justeru  mencerminkan  keagungan nilai-nilai hidup terhadap konsep alam dan sekaligus menerima konsep syari'at dalam hidupnya. Islam menolak manusia yang jijik dan kotor dan tidak berusaha membersihkan diri dari sebarang bentuk kekotoran, kerana keadaan hidup seumpama ini bukan cara hidup Islam dan bukan budaya hidup yang diarahkan oleh Islam.

3. KEBERSIHAN SECARA BATIN
Kebersihan itu tidak hanya terletak pada zahiriyah sahaja, walaupun keadaan itu melambangkan isi hati seseorang, tetapi ianya mesti mencakupi kebersihan batin yang melambangkan kebersihan mutlak seseorang itu. Di dalam sepotong ayat, Al Quran telah memuji orang-orang yang menyucikan diri mereka dari kekotoran dan mencela orang-orang yang mengotorkan diri mereka dari kesucian.

Firman Allah Ta’ala:
قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّاهَا
Maksudnya: “ Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang membersihkan jiwa raganya dan amat rugi orang-orang yang mengotorkannya “ (Asy Syams: 9-10).

Orang-orang yang beriman kepada Allah sungguh beruntung dan sungguh bertuah, setelah mereka membuat pengakuan ketuhanan terhadap Allah bererti mereka telah membersihkan diri dari kekotoran ‘aqidah yang menjadi asas pegangan hidup, mereka telah menyucikan pemikiran dan perasaan nurani mereka untuk terikat dengan ketuhanan Allah dan menjauhkan diri dari kepercayaan karut-marut dan penyembahan patung berhala serta kepercayaan lain yang menyimpang dari kebenaran. Dalam erti kata yang lain, mereka telah membersihkan pegangan hidup mereka untuk tunduk kepada Allah, untuk tunduk kepada kekuasaan Allah, untuk tunduk kepada sifat-sifat Allah, untuk tunduk dan taat kepada arahan-arahan Allah, justeru mereka tidak akan sekali-kali tunduk kepada yang lain selain kepada Allah. Cuma, yang penting di sana mereka hanya perlu membersihkan diri dari najis dan kekotoran sebagai syarat untuk menepati kebersihan yang dikehendaki oleh syari’at. Di sana, Al Quran telah membawa suatu bukti yang kukuh, bahawa manusia yang tidak tunduk kepada Allah dan tidak tunduk kepada kekuasaan Allah serta tidak pula yakin kepada wujudnya Allah adalah manusia yang najis, dia adalah seorang manusia yang kotor dan sungguh menjijikkan, kerana rupa bentuk ‘aqidah dan pegangan hidupnya tidak menepati ciri-ciri dan nilai-nilai kepercayaan manusia sejagat, dia telah mengeluarkan dirinya dari norma-norma dan peradaban hidup yang boleh memusnahkan identiti kemanusiaan dari sudut kekuatan rohaninya.

Firman Allah Ta’ala:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ
Maksudnya: “ Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya orang-orang musyrikin adalah najis “(At Taubah: 28).

Rupa-rupanya manusia musyrik yang tidak beriman kepada Allah itu adalah terdiri di kalangan manusia yang najis, kotor dan sungguh menjijikan. Sebabnya, 'aqidah dan pegangan hidup mereka telah dicemari oleh sejenis virus yang sukar diubati sehingga mereka tidak dapat membezakan di antara iman dan kufur, Islam dan jahiliyah, mereka tidak dapat membezakan di antara kebenaran dan kebatilan, kebaikan dan keburukan sehingga mereka tidak dapat menerima realiti kehidupan untuk kesegaran hidup mereka. Pegangan hidup manusia seperti ini telah dinodai oleh perasaan hawa nafsu dan mereka akan menguruskan amalan-amalan hidup melalui pengawasan hawa nafsu dan dibantu oleh pujuk rayu syaitan laknat yang bercanggah sama sekali dengan nilai-nilai kemanusiaan. Jiwa raga mereka telah punah-ranah dengan penampilan hidup yang menjijikan! 

Apakah erti dan nilai kehidupan yang sebenar dan apakah yang dimaksudkan dengan kehidupan menurut Islam..?

Seandainya manusia dapat merungkaikan ikatan tali keyakinan terhadap ketuhanan Allah dan dia menjadi makhluk yang terlepas bebas tanpa apa-apa ikatan dengan Allah lagi dan dia juga tidak bergantung dengan Allah, nescaya kemanusiaan yang terkandung dalam dirinya tidak memberi apa-apa nilai dan tidak pula memberi apa-apa erti kepada dirinya sendiri, apatah lagi kepada orang lain, lebih-lebih lagi kehidupan selepas mati nanti. Kehidupan seperti itu tidak menjanjikan apa-apa bentuk kesegaran terhadap pembangunan dirinya untuk dipasarkan di hari akhirat, kerana hubungan dirinya dengan ketuhanan Allah sudah putus terburai, hancur berkecai dan dia tidak akan mendapat apa-apa bentuk ganjaran sedikitpun walau sebesar zarah yang halus. Kehidupan semacam itu tidak akan dapat memberi syafa'at kepada kehidupan di akhirat nanti, kerana dia telah memilih jalan kekufuran atau jalan syirik sebagai pentas untuk dia mempamirkan gaya hidupnya.

4. KEBERSIHAN HATI SANUBARI
Hati merupakan segumpal darah yang terdapat di dalam tubuh badan manusia, terletak di celah-celah dinding sebelah kanan dada manusia, berfungsi untuk mengeluarkan hempedu, mengawal kandungan gula dalam darah, menawarkan racunan nitrogen, menghasilkan urea dan menyimpan glikogen. Para ulama pernah menyatakan bahawa hati ini juga berfungsi sebagai tempat keluar masuk roh seseorang manusia. Tetapi, apa yang hendak dimaksudkan dengan hati di sini ialah jauhar nurani yang terletak di antara roh dan jiwa manusia, yang merupakan hakikat kemanusiaan bertindak sebagai hakim di dalam sesuatu perkara. Ia juga merupakan perasaan batin yang berfungsi menguasai diri manusia di dalam sesuatu tindakan dan juga bertindak sebagai penilai di antara kebaikan dan keburukan.

Benarlah sabda Rasulullah s.a.w.
أَلاَ وَإِنَّ فِى اْلجَسَدِ مُضْغَةٌ إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وُإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ اْلجَسَدُ كُلُّهُ أَلاَ وَهِىَ اْلقَلْب
Maksudnya: " Ingatlah! Bahawa di dalam tubuh badan manusia terdapat segumpal darah, apabila darah itu berada dalam keadaan baik, maka seluruh tubuh badan menjadi baik, tetapi apabila ia berada dalam keadaan rosak maka rosak binasa seluruh tubuh badan, darah yang dimaksudkan itu ialah hati " (Riwayat Bukhari).

Hati sanubari manusia perlu sekali dijaga dan dipelihara agar ianya sentiasa kelihatan suci dan bersih. Segala rupa bentuk daki dan kekotoran yang melekat pada dindingnya hendaklah dikikis dan diberus serta dibuang dari terbuak busuk di dalamnya, kemudian hati juga perlu dicuci dan digilap supaya ianya sentiasa bersinar untuk menerima petunjuk dari Allah, kerana di dalam hati itu tersimpan benih-benih keimanan dan pancaran cahayanya serta kekuatannya untuk bertahan dari serangan hawa nafsu yang datang menjelma. Di dalam hati juga tersimpannya niat manusia yang dirancang dan bertindak untuk melakukan sesuatu perkara, sebagaimana dijelaskan di dalam sepotong hadith.

Sabda Rasulullah s.a.w.
إِنَّمَا اْلأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى
Maksudnya: " Sesungguhnya segala amalan itu disertakan dengan niat dan bagi tiap-tiap seseorang itu apa yang ia niatkan " (Sepakat riwayat).

Niat itu merupakan maksud atau tujuan atau janji atau lapaz yang berada di dalam hati sanubari untuk diterjemahkan menjadi suatu program atau perbuatan yang berbentuk praktikal. Niat itu boleh bertindak untuk pelbagai perkara, sama ada menyatakan hasrat untuk melakukan perbuatan yang baik atau perbuatan yang jahat atau menangguhkan kedua-duanya atau ingin melakukan salah satu daripadanya atau membatalkan terus niat tersebut. Maka, perasaan dan isi hati itu akan mengawal segala tindakan niat-niat yang terkandung di celah lipatannya, sama ada ingin meneruskan niat yang dirancang atau bertindak sebaliknya. Perlu difahami, yang mendorongkan niat untuk melakukan amal perbuatan yang baik ialah iman dan iman itu akan menguasai segala niat di hati dan setiap degup jantung perasaan. Apabila iman menguasai semuanya, maka ianya akan menghasilkan amal perbuatan yang baik dan selaras dengan kehendak syari’at.

Manakala yang mendorong niat untuk melakukan amal perbuatan yang jahat ialah nafsu syahwat, ianya akan bertindak menguasai seluruh perasaan menyebabkan segala perlakuan hidup tercipta dan terhasil mengikut kehendak hawa nafsu.
Sabda Rasulullah s.a.w.

إِنَّ اللهَ لاَ يَنْظُرُ اِلَى صُوَرِكُمْ وَأَمْوَالِكُمْ وَإِنَّمَا يَنْظُرُ اِلَى قُلُوْبِكُمْ وَأَعْمَالِكُمْ
Maksudnya: " Sesungguhnya Allah tidak melihat rupa paras dan harta benda kamu, tetapi Dia melihat hati dan amalan kamu " (Sepakat riwayat).

Hati manusia perlu dijaga dan dipelihara dengan sebaik-baiknya, ia perlu disemai dan dibaja selalu agar benih-benih yang baik akan tumbuh nanti terus hidup subur, ia perlu diambil cakna dan diberi perhatian tentang keluhuran hati agar tidak dicampur-aduk dengan benih-benih yang kotor dan jijik yang dikhuatiri boleh merosakkan perasaan hati.

5. KESIMPULAN
Hati manusia mempunyai corak dan bentuk yang berbeza-beza di antara seseorang dengan seseorang yang lain, walaupun mereka mempunyai warna kulit yang sama, walaupun mereka dari rumpun bangsa yang sama, walaupun mereka dari nasab keturunan yang sama, hakikatnya mereka mempunyai bentuk dan perasaan hati yang berbeza-beza. Apatah lagi di antara mereka ada yang beriman dan ada yang tidak beriman, sudah tentu mereka mempunyai perasaan dan isi hati yang berbeza-beza serta menilai hakikat sesuatu mengikut pandangan masing-masing.


Sekian, wassalam

Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani

No comments:

Post a Comment