PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Monday 7 March 2011

RAMUAN ZUHUD DALAM KEHIDUPAN MUSLIM

1. PENGENALAN
Kehidupan zuhud merupakan suatu bentuk kehidupan yang bertujuan untuk mencari keredhaan Allah dengan memilih konsep kesederhanaan sebagai suatu alternatif di dalam melayari bahtera kehidupan seharian. Kehidupan zuhud ini juga tidak mementingkan kemewahan hidup dan tidak memerlukan perhiasan hidup yang menjadi warna-warni dalam kehidupan seseorang. Kehidupan ini akan dapat mencetuskan sifat-sifat kemanisan ketika melakukan upacara ibadat kepada Allah dan dapat menambahkan lagi kelazatan iman dalam kehidupan. Kehidupan seperti itu juga dapat melahirkan perasaan cinta dan kasih sayang yang kekal abadi kepada Allah ketika meneruskan perjuangan hidup.

2. TAKRIF ZUHUD
Para ahli hakikat yang sentiasa mendampingi diri kepada Allah telah mentakrifkan zuhud sebagai berkata:

هُوَ بُغْضُ الدُّنْيَا والإِعْرَاضُ عَنْهَا وقيل: تَرْكُ رَاحَةِ الدُّنْيَا طَلَبًا لِرَاحَةِ الآخِرَةِ وقيْل: أنْ يَخْلُو قَلْبُكَ مِمَّا خَلْتَ مِنْهُ يَدُك
Maksudnya: " Iaitu bencikan kemewahan dunia dan meninggalkan terus darinya, dan zuhud juga dapat diertikan sebagai meninggalkan kerehatan dunia semata-mata untuk mencari kerehatan akhirat atau menyembunyikan perasaan hati mu daripada perkara yang boleh mencacatkan yang dilakukan oleh tangan mu ".

Kehidupan zuhud merupakan kehidupan rabbaniyah yang menumpukan perhatian kepada persoalan ketuhanan dan hubungan secara langsung dengan ketuhanan Allah. Kehidupan seumpama ini adalah kehidupan semata-mata untuk mencari keredhaan Allah, kehidupan yang hanya mengharapkan bantuan dan pertolongan dari Allah, kehidupan yang hanya berpaut dan bergantung erat dengan ikatan tali Allah, kehidupan yang hanya berpijak dan berjalan di atas jalan Allah, kehidupan yang hanya beramal dan beribadat untuk mengharapkan ganjaran dari Allah, kehidupan yang hanya berjuang dan berjihad di jalan Allah, bahkan kehidupan itu hanya untuk dipersembahkan ke pangkuan Allah.

Firman Allah Ta’ala:
قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ اللَّهُ الصَّمَدُ لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Dia tiada beranak dan Dia pula tidak diperanakkan, Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya “ (Al Ikhlas: 1-4)

Kehidupan zuhud tidak mementingkan sangat persoalan mengumpul harta kekayaan dan kemewahan hidup. Apabila seseorang itu terjun ke alam zuhud, dia hanya memikirkan bagaimana cara-cara yang terbaik untuk menghampirkan diri kepada Allah, bagaimana dia ingin bermujahadah kepada Allah dan bagaimana pula untuk meletakkan dirinya itu ke darjat yang mulia di sisi Allah. Kehidupan zuhud bertujuan untuk mencari ketenangan jiwa di celah-celah simpang-siur dunia hari ini yang tidak menjanjikan apa-apa kesegaran kepada perjuangan hidup manusia, bahkan dunia itu sendiri tidak boleh berbuat apa-apa untuk menentukan arah dan hala tuju manusia untuk sampai ke pangkuan Allah. Dunia tidak sekali-kali mampu mencorak-warnakan kehidupan itu agar berpegang teguh dengan ikatan tali Allah, dunia tidak punya apa-apa bentuk kuasa untuk mengawal kehendak dan tabiat hidup manusia, sebaliknya membiarkan manusia hidup mengikut rentak hawa nafsu di atas perutnya. Seandainya dunia mampu berbuat demikian, sudah ramai manusia dapat dipulihkan pegangan hidup mereka daripada percaya kepada patung berhala dan kepercayaan yang karut-marut kepada percaya terhadap ketuhanan Allah.

3. KEHIDUPAN ZUHUD
Kehidupan zuhud ini muncul dalam masyarakat manusia bukan bererti melarang manusia daripada memiliki harta kekayaan atau mengumpul kemewahan hidup, tetapi ianya muncul bertujuan untuk membentuk jiwa manusia bagaimana cara-cara menguruskan harta benda supaya  tidak menjadi batu penghalang kepadanya dari mengingati Allah dan harta kekayaan itu pula bukan menjadi dasar kehidupan, tetapi ianya hanya menjadi alat kepada manusia untuk mengurus dan meneruskan kehidupan. Kehidupan zuhud telah mengajar manusia cara-cara untuk membelanjakan harta benda di jalan Allah, bersedekah kepada fakir miskin, mengeluarkan zakat apabila cukup haur dan nisabnya,   memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan dan lain-lain perkara yang boleh mendatangkan manfaat kepada dirinya dan agamanya. Di samping itu, zuhud juga mengajar manusia supaya menghormati nilai-nilai kehidupan sejagat supaya manusia tidak bersifat bakhil atau kedekut untuk mengeluarkan harta bendanya ke jalan Allah. Di dalam sepotong hadith, Rasulullah s.a.w. telah memberi penjelasan secara lanjut tentang siapakah sebenarnya yang dikatakan orang yang zuhud di jalan Allah.

اَلزَّاهِدُ فِى الدُّنْيَا لَيْسَتْ بِتَحْرِيْمِ الْحَلاَلِ وَلاَ إِضَاعَةُ الْمَالِ وَلَكِنَّ الزِهَادَةُ فِى الـدُّنْيَا أَنْ لاَ تَكُوْنَ بِمَا فِى يَدَيِكَ أَوْثَقُ مِمَّا فِى يَدِ اللهِ وَأَنْ تَكُوْنَ فِى ثَوَابِ اْلمُصِيْبَةِ إِذَا أَنْتَ أُصِبْتَ بِهَا أَرْغَبَ فِيْهَا لَوْ أَنَّهَا أَبْقَيْتَ لَكَ

Maksudnya: " Orang yang zuhud di dunia bukanlah bererti mengharamkan yang halal dan bukan pula membuang segala harta benda, tetapi yang dimaksudkan dengan zuhud di dunia bahawa kamu jangan merasakan dengan apa yang kamu miliki itu lebih baik dengan apa yang dimiliki Allah, kamu merasa amat senang seandainya musibah berkekalan menimpa ke atas diri kamu, kerana nanti kamu akan menerima ganjaran pahalanya ".

Dunia ini adalah tempat manusia menumpang teduh sementara meneruskan perjalanan dan pengembaraannya  di hari esok dan hari-hari yang mendatang, dunia ini tidak sekali-kali menjanjikan apa-apa bentuk kemewahan atau kekayaan kepada seseorang dan dunia juga tidak boleh menentukan seseorang itu menjadi fakir atau miskin. Jika seseorang yang mahukan kemewahan hidup atau kekayaan yang melimpah-ruah dia akan berusaha dengan gigih dan bersungguh-sungguh supaya impian hidupnya itu menjadi kenyataan. Dia akan bekerja keras dan melakukan apa sahaja untuk memperbaiki taraf hidupnya bagi membawa keluar dirinya dari belenggu kefakiran atau kemiskinan. Tetapi, jika dia malas untuk berusaha, malas untuk bekerja dan malas untuk memperkayakan dirinya, nescaya dia akan tumbang, rebah dan jatuh tersungkur di tepi jalan, kerana dia kalah menentang perasaan malas yang ada pada dirinya. Oleh sebab itu, dunia ini hanyalah tempat manusia berusaha untuk mencari sesuap makanan sebagai bekalan dalam perjalanannya.   Kehidupan itu memerlukan bekalan  yang cukup supaya perjalanan yang hendak sampai ke tempat yang dituju itu menjadi kenyataan. Apa yang penting di sana, setiap muslim yang beriman kepada Allah hendaklah meletakkan hakikat kehidupannya itu semata-mata untuk mencari keredhaan Allah dan menyerahkan segala urusan kehidupannya kembali ke pangkuan Allah.

4. ZUHUD JALAN HIDUP RASULULLAH S.A.W.
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. sendiri telah memilih jalan zuhud sebagai program hidupnya dengan tujuan untuk memberi pengajaran kepada sekelian umat bahawa segala rupa bentuk kekayaan dan kemewahan yang ada di atas dunia ini bukanlah segala-galanya dan bukan menjadi matlamat dalam kehidupan, ianya tidak sedikitpun bernilai di sisi Allah. Di dalam sepotong hadith, yang diriwayatkan oleh Suhil bin Sa'ad As Sa'iedi r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
لَوْ كَانَتِ الدُّنْيَا تَعْدِلُ عِـنْدَ الَّلهِ جَنَاحُ بَعُوْضَةٍ مَا سَقَى كَافِرًا مِنْهَا شَرْبَةَ مَاءٍ
Maksudnya: " Seandainya dunia ini bernilai di sisi Allah walaupun sebesar sayap nyamuk, nescaya Dia tidak akan memberi sedikitpun  kepada orang kafir walaupun hanya seteguk air " (Riwayat At Tirmizi).

Baginda s.a.w. telah membuktikan kata-katanya itu tentang hakikat kehidupan yang sebenar yang menjadi alternatif dan pilihan hidupnya. Kehidupan yang baginda bawa tidak sama dengan kehidupan manusia lain atau dengan pemimpin-pemimpin yang ada di atas dunia ini, sama ada pemimpin sebelum baginda diutuskan ataupun pemimpin selepas baginda wafat. Kebanyakan pemimpin-pemimpin dunia, mereka semua hidup di dalam istana yang dipenuhi dengan pelbagai bentuk aneka kemewahan dan kekayaan yang melimpah ruah, kehidupan mereka dipenuhi dengan pelbagai bentuk hiburan dan keseronokan dengan didampingi oleh perempuan-perempuan cantik. Ada juga di antara mereka yang menjadikan kemewahan itu sebagai lambang keagungan hidup dengan membina bangunan-bangunan yang besar dan mercu tanda yang tinggi melangit, ada juga yang menjadikan kekayaan itu sebagai kuasa dan kekuatan untuk digemburkan di hadapan kaca mata musuh dan ada juga yang menjadikan kekayaan itu sebagai dasar kekuasaan di dalam sistem pemerintahan mereka.  Sebenarnya, baginda s.a.w. bukan tidak boleh menjadi kaya-raya atau menjadi seorang ahli korporat yang terkenal, suatu ketika baginda pernah mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda semasa berniaga dengan bapa saudaranya di Syam dan di lain-lain tempat. Setelah meningkat dewasa, baginda berusaha dengan sendiri dan membawa barang dagangan milik Siti Khatijah untuk diniagakan dan dipasarkan di luar Kota Mekah sehingga baginda berjaya membawa banyak keuntungan tanpa diduga. Siti Khatijah amat kagum dengan cara pengurusan perniagaan yang dilakukan oleh baginda dan akhirnya baginda telah disunting oleh Siti Khatijah. Bererti, baginda bukan seorang manusia yang sebarangan dan bukan manusia yang boleh diperlekeh-lekehkan, baginda telah mempelajari sistem pengurusan dalam bidang perniagaan secara praktikal dan melibatkan diri secara langsung dalam sektor perdagangan. Sebab itu, baginda tidak pernah rugi dan tidak pernah gagal dalam perniagaannya, walaupun pelbagai spekulasi yang berlaku ketika itu, seperti amalan riba, monopoli sesuatu perniagaan, penyeludupan barangan, menaikkan harga ketika permintaan tinggi, menurunkan harga ketika permintaan rendah dan lain-lain lagi. Seandainya baginda bukan seorang yang hebat dalam perniagaan atau bukan seorang yang benar-benar pakar dalam dunia perniagaan atau bukan seorang yang jujur ataupun bukan seorang yang amanah, nescaya baginda tidak sekali-kali akan diberi tanggungjawab oleh Siti Khatijah untuk membawa barang dagangannya ke pusat-pusat perdagangan di seluruh tanah arab dan Siti Khatijah mungkin tidak akan terpikat dengan baginda seandainya baginda seorang yang pembelot, kerana ketika itu ramai jutawan dan hartawan yang cuba memikat Siti khatijah.

Satu perkara lagi, baginda pernah ditawarkan oleh Malaikat Jibril a.s. supaya Bukit Sofa dan Bukit Marwah itu menjadi emas, tetapi baginda menolaknya kerana tidak mahu menanggung risiko yang lebih besar lagi. Baginda tidak mahu terperangkap di dalam arus persimpangan, sama ada mahu memilih kekayaan atau kerjaya hidupnya sebagai seorang Rasul utusan Tuhan. Andaikata baginda memilih kekayaan sebagai alternatif hidup yang dikongsi sama dengan tugas baginda sebagai seorang Rasul Allah, bererti beban kehidupan yang dipikul pasti bertambah, kerana terpaksa menjaga harta benda, mengurus hal ehwal perniagaan dan perdagangan. Tugas dan tanggungjawab asal sebagai seorang Rasul terpaksa dibahagi dua, dan perkara inilah yang sangat dikhuatiri dan ditakuti oleh baginda, kerana baginda tidak mahu terlibat langsung dengan perkara-perkara yang berisiko tinggi yang boleh menjejaskan kualiti dakwah. Di antara risiko tersebut ialah:

Pertama: Kemungkinan orang yang memeluk Islam bukan dengan sebab keikhlasan yang ada dalam hatinya, tetapi dengan sebab kekayaan baginda dan mudah-mudahan apabila dia memeluk Islam baginda memberi wang kepadanya dan dia dapat membasmikan kemiskinan yang menyelubungi hidupnya.

Kedua: Apabila baginda menjadikan dirinya seorang yang kaya raya, maka umatnya berusaha untuk menjadi kaya raya seperti baginda, sedangkan persoalan kaya raya ini bukan dapat dilakukan secepat mungkin dan bukan semua orang boleh memiliki harta kekayaan, nanti ummatnya hanya mencari harta dan meninggalkan tanggungjawab mereka sebagai seorang juru dakwah.

Ketiga: Orang yang fakir miskin akan menjadi lemah semangat untuk meneruskan kehidupannya sebagai seorang muslim dan kehidupannya menjadi hina kerana dipijak oleh orang-orang yang inginkan kekayaan dan kehidupannya itu akan menjadi bertambah hina kerana darjat kehidupannya tidak menepati cara kehidupan baginda s.a.w.

Keempat: Akan wujudnya api perbalahan dan perlingkahan sesama umat Islam kerana berebut-rebut mencari harta kekayaan dan perkara ini akan melemahkan umat Islam.

Kelima: Harta kekayaan boleh membuatkan seseorang itu lupa daratan dan lupa kepada Allah. Kisah-kisah yang digambarkan oleh Al Quran terhadap umat-umat yang terdahulu yang memiliki harta kekayaan seperti Qarun, Fir’aun dan lain-lain telah menjadi pengajaran kepada baginda s.a.w. untuk mendidik umatnya supaya tidak menjadikan kekayaan itu sebagai matlamat hidup.

Sabda Rasulullah s.a.w.
لَوْ كَانَ لِىْ مِثْلُ أُحُدٍ ذَهَبًا لَسَرَّنِىْ أَنْ لاَ تَمُرَّ ثَلاَثُ لَيَالٍ وَعِنْدِىْ مِنْهُ شَيْءٍ إِلاَّ شَيْءٌ أُرْصِدُهُ لِدَيْنٍ
Maksudnya: “ Andaikata aku mempunyai emas sebesar bukit Uhud, nescaya aku lebih senang sekiranya emas itu tidak lebih dari tiga hari berada di tangan ku, kecuali jika aku meninggalkan sisa untuk membayar hutang ” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Baginda s.a.w. telah memilih jalan dan caranya tersendiri untuk berhibur atau untuk berseronok, iaitu dengan cara beribadat kepada Allah setiap waktu, baik waktu senang apatah lagi waktu susah. Ingatan baginda tidak putus-putus terhadap Allah walaupun di dalam kegawatan hidupnya dan begitu juga di dalam kancah peperangan menentang kaum kuffar. Ini merupakan suatu pendidikan secara tidak langsung baginda mentarbiyah para pengikutnya melalui jalan kehidupan yang berkonsepkan kesederhanaan, kerana kehidupan yang sebenar adalah bersifat sementara sahaja, segala harta benda dan kemewahan hidup tidak boleh dibawa ke alam barzakh atau ke alam akhirat. Cara kehidupan sebegini membuktikan bahawa baginda adalah seorang pemimpin yang bersih dalam kriteria politik ketika menguruskan pentadbiran negara. Baginda tidak pernah terlibat di dalam kes-kes rasuah atau salah laku atau mengambil kesempatan terhadap jawatan yang disandang itu untuk memonopoli kekayaan negara dan dimasukkan ke dalam akaun peribadinya atau keluarganya atau kaum kerabatnya. Baginda tidak pernah terlibat di dalam apa jua bentuk penindasan atau berat sebelah atau memilih kasih ketika membahagikan harta kekayaan negara.

Untuk membuktikan kepentingan umum lebih diberi keutamaan daripada kepentingan peribadi atau kaum kerabatnya sendiri, baginda telah membuat suatu draf peraturan yang ditetapkan oleh Allah dengan mengharamkan secara mutlak ke atas dirinya dan keturunannya mengambil atau menerima harta zakat, kerana harta zakat ketika itu merupakan salah satu sumber pendapatan dan sumber ekonomi negara yang terbesar. Tetapi, baginda memilih kehidupan zuhud bukanlah bererti baginda menolak terus segala rupa bentuk harta benda dan kekayaan, apa yang baginda maksudkan ialah anjuran yang praktikal terhadap konsep kesederhanaan dalam kehidupan. Buktinya, baginda tidak pernah melarang para sahabatnya mengumpul harta kekayaan, termasuk salah seorang dari menantunya bernama Uthman bin Affan r.a. yang mempunyai banyak harta dan gedung perniagaan. Begitu juga dengan salah seorang sahabat yang kaya-raya bernama Abdul Rahman bin ‘Auf yang banyak memberi sumbangan kepada perjuangan Islam, bahkan mereka semua telah dijamin syurga oleh Allah, kerana banyak membantu gerakan Islam melalui harta benda.

                Tiada fakta yang menunjukkan baginda s.a.w. melarang para sahabatnya mencari harta kekayaan, tetapi apa yang mereka larang ialah kebakhilan akibat dari kekayaan…..!

5. ZUHUD MENGIKUT IMAM AHMAD BIN HAMBAL
Imam Ahmad bin Hambal telah membahagikan peringkat  zuhud kepada tiga keadaan:

Pertama: Meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah dan zuhud seperti ini adalah zuhud orang-orang Al ‘Awam iaitu orang-orang biasa.

Kedua: Meninggalkan segala kelebihan atau kemewahan dari perkara-perkara dan benda-benda  yang dihalalkan  oleh Allah dan zuhud seperti ini dipanggil zuhud orang-orang Al Khawas iaitu orang-orang di peringkat pertengahan.

Ketiga: Meninggalkan segala kesibukan yang boleh mengurangkan ingatan kepada  Allah, zuhud yang akhir ini ialah zuhud orang Al ‘Arifin.

Sekian, wassalam

Al Faqir Ila 'Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani

No comments:

Post a Comment