PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Tuesday 8 March 2011

KENAPA HATI MANUSIA TERUS MENJADI HIDUP


1. MUQADDIMAH
Apabila tali ‘aqidah mula tersimpul di dalam hati sanubari seseorang muslim, ianya akan membentuk suatu kesedaran yang unggul dan mulia untuk menjadi seorang hamba yang lebih bertanggungjawab kepada dirinya sendiri dan kepada ajaran Tuhannya Yang Maha Berkuasa. ‘Aqidah itu akan terus mengalir ke dalam dirinya dan kemudian meresap ke dalam hati sanubarinya sehingga menjadi sebati dengan darah dagingnya. Penguasaan 'aqidah terhadap dirinya akan mencetuskan suatu resolusi minda, tahulah kita bahawa 'aqidah itu sebenarnya yang menyebabkan perasaan dan sikap hati seseorang hamba menjadi terus hidup dan subur. 'Aqidah itu bagaikan jarum kompas yang menjadi pedoman untuk memandukan perjalanan diri seseorang hamba, bermula dari simpulan niat yang tersorok di lubuk hatinya sehingga kepada gerak-geri dan tingkah-lakunya supaya tidak terkeluar dari lingkungan sempadan yang digariskan dalam program ketuhanan

Dan benarlah…!

Penguasaan 'aqidah di dalam diri seseorang hamba akan lebih mematangkan lagi budaya hidupnya dan corak perangainya untuk terus beraksi di dalam orkestra perjuangan. Di antara faktor-faktor yang menyebabkan hati sanubari tidak jumud dan sentiasa hidup subur ialah:

2. SELALU MENGINGATI ALLAH
Apabila seseorang muslim yang telah membuat pengakuan dirinya terhadap ketuhanan Allah, pengakuan yang dijelmakan dalam hati sanubari dan jiwa nurani untuk meletakkan bahawa Allah adalah Tuhan Yang Satu dan Tuhan Yang Maha Berkuasa, yang tiada Tuhan lain melainkan Dia, maka pengakuan itu mesti diterjemahkan dalam bentuk pengabdian yang luhur dan penuh keikhlasan dan dia tidak harus sekali-kali lupa kepada Allah walaupun sedetik, dia mesti menghormati pendirian hidupnya itu untuk mengingati Allah sentiasa walau di mana jua dia berada supaya kehidupannya mendapat seteguk kesegaran kepada kekuatan hatinya dan dia akan menjadi lebih yakin di dalam menghadapi kancah kehidupan di hari esok.

Firman Allah Ta'ala:
فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوا لِي وَلاَ تَكْفُرُونِ
 Maksunya: " Maka ingatlah kamu akan Daku, nescaya Aku akan mengingati kamu dan bersyukurlah kepada Ku, jangan kamu sekali-kali mengingkari nikmat Ku " (Al Baqarah: 152).

Setiap muslim mempunyai peranan yang besar dalam menghayati konsep kehidupan, peranan yang perlu dimainkan untuk pembangunan rohani dan jasmaninya secara bersama, peranan yang perlu dipikul dan digandingkan untuk memberi kesejahteraan kepada warna kehidupan yang hendak dilakarkan, peranan yang membentuk nilai-nilai kemanusiaan dan norma-norma kehidupan yang berlangsung di atas paksinya. Pengaruh LAA ILAHA ILLALLAH - Tiada Tuhan yang sebenar-benar melainkan Allah semakin menebal dalam hati seseorang muslim apabila ingin mencari ketenangan hidup dalam erti kata yang sebenar, pergantungannya yang erat dengan ketuhanan Allah telah menjadikan pengaruh tersebut sebagai sistem hidup dan panduan hidup yang kekal abadi dalam dirinya, bahkan pengaruh tersebut telah menjadi perlembagaan hidup dirinya untuk membentuk sebuah negara yang berdaulat di dalam hati sanubarinya dengan berpegang kepada prinsip syari’at sebagai akar tunjang. Seorang sarjana Islam yang bernama Syeikh Abdul Qader ‘Audah pernah berkata:
               
قُمْ دَوْلَةَ اْلإسْلاَمِ فِىْ قُلُبِكُمْ قَبْلَ تَقُمْ فِىْ أرْضِكُمْ

Maksudnya: “ Binalah negara Islam di dalam hati mu sebelum kamu membina negara Islam di tanah air mu ”.

Apabila pengaruh LAA ILAHA ILLALLAH itu benar-benar diterjemahkan menjadi suatu amalan yang praktikal dan dilaksanakan dalam pelbagai bentuk, sama ada dalam bentuk pengabdian, penghayatan, amalan, pekerjaan dan lain-lain sudah tentu dia mengikut garis panduan yang tercatat dalam perlembagaan syari’at itu tadi, bererti dia telah membebaskan dirinya dari sebarang rupa bentuk ikatan jahiliyah, dari fahaman yang berunsur jahiliyah, dari pandangan yang memegang watak jahiliyah, dari teori-teori yang berkaitan dengan pengaruh ala jahiliyah dan dari semua sekali suku-sakatnya. Dengan itu, mudahlah baginya untuk membina sebuah tamadun kehidupan yang terpacak dengan pengaruh LAA ILAHA ILLALLAH di atas ubun-ubunnya.

3. Membaca Al Quran
Sumber hukum yang pertama menjadi pokok persoalan dan akar tunjang dalam ajaran Islam ialah Al Quran yang merupakan kitab perlembagaan hidup dalam sistem kehidupan manusia. Al Quran telah berjaya mengubah keadaan hidup masyarakat Arab jahiliyah, termasuk  menukarkan pegangan dan kepercayaan mereka yang menyembah patung berhala peninggalan nenek moyang mereka dahulu kepada pengabdian diri terhadap Allah, kerana kepercayaan mereka dahulu itu tidak mempunyai asas yang kukuh untuk membaiki keyakinan yang mutlak dalam diri mereka. Al Quran ialah Kalamullah yang qadim, yang ditulis dalam bahasa arab, yang diletakkan dalam mashaf, yang diturunkan kepada Nabi s.a.w. dari awal Surah Fatihah sehingga akhir surah An Nas dan membacanya merupakan suatu ibadat. Al Quran tidak seperti kitab-kitab yang terdahulu yang telah diturunkan oleh Allah seperti kitab Zabur, Taurat dan Injil, kerana kitab-kitab tersebut tidak  dipelihara  dan tidak dijamin oleh Allah, walaupun kitab-kitab tersebut adalah Kalamullah. Adapun Al Quran tetap dipelihara dan terpelihara sehingga ke hari khiamat. Al Quran juga telah berjaya merombak amalan-amalan hidup umat jahiliyah yang sedikitpun tidak melambangkan syiar kemanusiaan sejagat dan peradaban hidup yang sejati, sebab itu Al Quran telah mengemukakan suatu garis panduan dan pedoman untuk menyuluh laluan hidup mereka supaya amalan-amalan itu dapat dihapuskan semua sekali daripada terus merayap dalam kehidupan dan kemudian menukarkannya dengan amalan hidup Islam yang suci. Di samping itu juga, Al Quran banyak memuatkan bermacam-macam bentuk juadah ilmu pengetahuan yang datang dari pelbagai sudut dan aspek kehidupan manusia…

Firman Allah Ta'ala:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاءَتْكُمْ مَوْعِظَةٌ مِنْ رَبِّكُمْ وَشِفَاءٌ لِمَا فِي الصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: " Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu pengajaran dari Tuhan mu, penawar bagi hati mu, petunjuk dan rahmat bagi sekalian orang-orang yang beriman "  (Yunus: 57).

Sabda Rasulullah s.a.w.
خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ وَعَلَّمَهُ
Maksudnya: " Sebaik-baik kamu ialah sesiapa yang mempelajari Al Quran dan mengajarnya " (Riwayat Bukhari dan At Tirmizi).

Sesungguhnya Al Quran itu perlu sekali dihayati dan perlu diberi perhatian, kerana ayat-ayat yang terkandung di dalamnya menjadi contoh teladan dan ikutan yang baik kepada sekalian hamba, segala pengajaran yang terkandung dalam Al Quran adalah sesuai untuk semua peringkat umur dan semua keturunan manusia dari pelbagai rupa bangsa. Sekalipun Al Quran diturunkan dalam bahasa arab, tetapi bukan bererti Al Quran itu hanya untuk orang-orang arab sahaja, adapun orang-orang bukan arab tidak boleh mengguna-pakai Al Quran - tidak begitu..!

4. ISTIGHFAR KEPADA ALLAH
Salah satu persediaan untuk mencapai kehidupan zuhud ialah mengatur program istighfar dalam hati sanubari. Istighfar ialah memohon keampunan kepada Allah terhadap kesalahan atau kesilapan yang telah dilakukan, sama ada berkaitan dengan Allah atau berkaitan dengan manusia. Apabila seseorang hamba ingin kembali ke pangkal jalan dan kembali ke pangkuan Allah, maka jalan yang paling baik ialah membersihkan diri terlebih dahulu dengan istighfar kepada Allah. Ini kerana manusia bukan makhluk yang maksum dan terpelihara dari segala rupa bentuk kesalahan dan kesilapan. Sebab itu, untuk menyelamatkan diri dari kemurkaan Allah, setiap muslim hendaklah memohon keampunan dan keredhaan dari Allah setiap waktu dan sepanjang masa agar kehidupan yang dilalui sentiasa berada di bawah pengawasan rahmatNya.

Firman Allah Ta'ala:
وَمَنْ يَعْمَلْ سُوءًا أَوْ يَظْلِمْ نَفْسَهُ ثُمَّ يَسْتَغْفِرِ اللَّهَ يَجِدِ اللَّهَ غَفُورًا رَحِيمًا
Maksudnya: " Sesiapa yang mengerjakan kejahatan atau menzalimi dirinya, kemudian dia beristighfar kepada Allah, nescaya dia mendapati Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang " (An Nisa':110).

Perjalanan hidup manusia sentiasa dilingkungi oleh cabaran dan ujian yang datang menjelma. Kesalahan atau kesilapan yang dilakukan oleh seseorang hamba ada kalanya disebabkan oleh niat dan perasaan yang meronta-ronta ingin melakukan perbuatan tersebut, ada kalanya pula kesalahan atau kesilapan yang dilakukan itu bukan lahir dari hasrat hati sanubarinya, tetapi dipengaruhi oleh bisikan hawa nafsu yang jahat sekalipun dia cuba melawan godaan tersebut, namun dia tewas dan akur dengan kehendak hawa nafsu tadi menyebabkan dia jatuh tersungkur dan terus rebah di celah-celah kejijikan hawa nafsu.

 Sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

وَاللهِ إِنِّى لأَسْتَغْفِرُاللهَ وَأَتُوْبُ إِلَيْهِ فِى اْليَوْمِ أَكْثَرُ مِنْ سَبْعِيْنَ مَرَّةً

Maksudnya: " Demi Allah! Sesungguhnya aku sentiasa beristighfar kepada Allah dan bertaubat kepadaNya lebih dari tujuh puluh kali " (Riwayat Bukhari dan Muslim).

5. SENTIASA BERDOA KEPADA ALLAH
Seseorang hamba yang beriman kepada Allah dan ingin mendapat cahaya petunjuk dariNya, sudah tentu dia berjalan menurut laluan dan denai-denai yang telah dirintis oleh Islam, dia pasti memilih jalan yang seiring dengan Islam kerana jalan tersebut mudah dan senang dilalui, dia akan memilih jalan yang terang benderang tanpa ada kacau-bilau agar perjalanan hidupnya tetap sampai ke destinasi yang hendak dituju. Apa yang penting di sana ialah pergantungan hidupnya hanya kepada Allah semata-mata, dia tidak mengharapkan bantuan dan apa-apa bentuk pertolongan melainkan hanya kepada Allah, dia sentiasa mengharapkan keredhaan dan keampunan dari Allah, dia sentiasa meluangkan masa untuk bersama-sama dengan Allah, sentiasa berdoa dan menadah tangan untuk mendapatkan restu dari Allah, dia meminta sesuatu yang diharapkan, mudah-mudahan doa itu dimakbulkan.

Firman Allah Ta'ala:
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ
Maksudnya: " Tuhan mu berfirman: Berdoalah kepada Ku, nescaya Aku akan perkenankan doa mu, sesungguhnya orang-orang yang menyombong diri dari mengabdikan diri kepada Ku akan dimasukkan ke dalam neraka jahanam dalam keadaan dirinya terhina" (Al Mukmin: 60).

Ayat-ayat yang dinyatakan itu sekaligus menolak pendapat di kalangan ahli jahiliyah dalam agama yang menyatakan apabila seseorang itu telah sampai kepada suatu darjat atau ke suatu maqam yang tinggi, maka dia tidak perlu lagi berdoa meminta sesuatu kepada Allah.

Pendapat ini amat bertentangan dengan ayat di atas tadi dan bercanggah pula dengan amalan hidup Rasulullah s.a.w. Manusia perlu memahami hakikat bahawa pergantungan hidup sebenarnya bukan hanya bergantung kepada kudrat dan kekuatan yang dibina pada dirinya sendiri dan bukan hanya kepada usaha yang dicurahkan dalam sesuatu pekara, kerana pergantungan sebegitu rupa tidak menjanjikan apa-apa bentuk yang diharapkan tanpa mendapat restu dari Allah. Manusia boleh merancang untuk melakukan sesuatu perkara, tetapi yang menentukan kejayaan tersebut ialah Allah. Oleh sebab itu, dengan seteguk doa yang dipinta kepadaNya, nescaya Dia akan memberi kejayaan terhadap usaha yang dilakukan.

Di dalam sepotong hadith yang lain, yang diriwayatkan oleh Abu Said Al Khudri r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

مَا  مِنْ  مُسْلِمٍ  يَدْعُوْ  بِدَعْوَةٍ  لَيْسَ  فِيْهَا  إِثْمٌ وَلاَ قَطِيْعَةُ رَّحِمٍ إِلاَّ أَعْطَاهُ اللهُ بِهَا إِحْدَى ثَلاَثٍ: إِمَّا أَنْ يُعَجِّلَ لَهُ دَعْوَتَهُ، وَإِمَّا أَنْ يُدَخِّرَهَا لَهُ فِى اْلآخِرَةِ، وَإِمَّا أَنْ يُصَرِّفَ عَنْهُ مِنَ السُّؤِ مِثْلِهَا

Maksudnya: " Sesiapa sahaja di kalangan muslim yang berdoa dan tidak mempunyai dosa serta tidak sekali-kali memutuskan ikatan silaturrahim, melainkan diberi oleh Allah salah satu daripada tiga perkara: Sama ada disegerakan doanya (doanya dimakbulkan) atau disimpan doanya itu untuk pelaburan di akhirat ataupun dijauhkan dari bencana kesesatan yang menimpa ke atasnya " (Riwayat At Tirmizi).

Manusia yang sempurna dan dikasihi Allah ialah manusia yang bebas dari ikatan belenggu hawa nafsu dan bebas dari segala ikatan pengaruh jahiliyah serta amalan-amalan khurafat yang karut-marut, mereka membebaskan diri dari kepercayaan dan ajaran yang bertentangan dengan syari’at Allah. Pendirian hidup mereka hanya tertumpu bagaimana untuk mengeratkan lagi pertalian hidup dengan Allah dan bagaimana pula untuk memperluaskan amal ibadat agar ianya menjadi manusia yang benar-benar dikasihi oleh Allah.

6. QIAMUL LAIL
Orang-orang yang sentiasa bertaqarrub kepada Allah menghidupkan suasana kehidupan dengan pelbagai rupa bentuk ibadat, terutama di waktu malam. Mereka tidak membiarkan kehidupan itu berlalu begitu saja tanpa ada apa-apa bentuk pengisian yang berfaedah yang boleh mendekatkan diri kepada Allah. Sebab itu, mereka banyak menghabiskan waktu malam itu untuk bermuraqabah kepada Allah dan menghitung diri tentang amalan-amalan yang telah dilakukan, kerana waktu tersebut banyak kelebihan dan fadhilat. Lagipun suasana malam dan dinihari yang tenang dan bebas dari hiruk-pikuk memberi aspirasi dan kesegaran kepada minda untuk bermuraqabah kepada Allah.

Qiamul lail, ertinya menghidupkan suasana malam, terutama di penghujungnya dengan pelbagai amal ibadat yang diredhai oleh Allah. Amalan tersebut merupakan suatu proses untuk menggerakkan perasaan hati agar sentiasa terikat dengan ketuhanan Allah, bukan hanya di dalam ruangan ibadat sahaja, bahkan di mana-mana dan bila-bila sahaja hati itu sentiasa terikat erat, sentiasa berdampingan dan sentiasa beriringan dengan ketuhanan Allah.

Firman Allah Ta'ala:
وَالَّذِينَ يبيْتُونَ لِرَبِّهِمْ سُجَّدًا وَقِيامًا وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا اصْرِفْ عَنَّا عَذَابَ جَهَنَّمَ ۖ إِنَّ عَذَابَهَا كَانَ غَرَامًا
Maksudnya: " Dan mereka pada malam hari beribadat kepada Tuhan, dalam keadaan sujud dan berdiri, Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, sisihkanlah azab neraka jahannam dari kami, sesungguhnya azab seksanya itu sangat pedih " (Al Furqan: 64-65).

Setiap hamba yang ingin mendekatkan diri kepada Allah, mereka menjadikan malam sebagai waktu untuk berinteraksi dengan Allah melalui halaqah zikir dan amal ibadat yang dilakukan. Mereka menjadikan malam itu sebagai ‘check and balance’ terhadap amalan-amalan yang dilakukan sepanjang hari. Mereka berusaha sedaya upaya bagaimana untuk mempertingkatkan mutu amal ibadat mereka di sisi Allah, bagaimana untuk bermesra dan menjalin hubungan dengan Allah agar sentiasa erat sepanjang masa, bagaimana untuk menghindarkan diri mereka dari kemelut kemurkaan Allah agar mereka sentiasa berada di bawah kawalan rahmatNya. Sekiranya terdapat di sana beberapa kelemahan atau kecacatan dalam ibadat yang telah dilakukan sepanjang hari atau adanya kesalahan dan kesilapan yang tidak disengajakan, lantas mereka terus bertaubat dan kembali ke pangkuan Allah, mereka tidak sekali-kali mengulangi lagi kesalahan dan kesilapan tersebut.

Abu Umamah r.a. telah meriwayatkan sepotong hadith, bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

عَلَيْكُمْ بِقِيَامِ اللَّيْلِ، فَإِنَّهُ أَدَبُ اْلصَّالِحِيْنَ قَبْلَكُمْ، وَقُرْبَةٌ اِلَى رَبِّكُمْ وَمُكَفِّرَةٌ لِلسَّيِّئَاتِ وَمِنْهَاةٌ عَنِ اْلإِثْمِ

Maksudnya: " Sentiasalah kamu mendirikan qiamul lail, kerana ianya adalah adab para solehin sebelum kamu yang menghampirkan diri kepada Tuhan, juga dapat menutup segala kejahatan dan mencegah daripada berbuat dosa " (Riwayat At Tirmizi).

Di antara cara-cara menghidupkan malam ialah dengan mendirikan ibadat solat, sebagaimana yang telah dilakukan oleh Nabi s.a.w. Aisyah r.a. pernah menceritakan perihal solat yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. di waktu malam:

كَانِ  رسولُ الله صلّى الله عليه وسلّم يُصَلِّى مَا بَيْنَ أَنْ يَفْرَغَ مِـنْ صَلاَةِ اْلعِشَاءِ اِلَى اْلفَجْرِ إِحْدَى عَشَرَ رَكَعَةً، يُسَلِّمُ بَيْنَ كُلِّ رَكَعَتَيْنِ وَيُوَتِّرُ بِوَاحِدَةٍ

Maksudnya: " Adalah Rasulullah s.a.w. mendirikan solat di antara isya sehingga keluar fajar (qiamul lail) sebanyak sebelas rakaat, baginda memberi salam setiap dua rakaat dan diakhiri dengan solat witir satu raka’at " (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Di antara ciri-ciri hamba yang soleh ialah sentiasa menghidupkan suasana malam dengan qiamul lail, mereka melakukan ibadat pada waktu tersebut semata-mata untuk mengingati Allah, mereka memuji dan memuja Allah sebagai Tuhan Yang Maha Agung, mereka mengingati kebesaran dan kehebatan Allah sebagai Tuhan Yang Maha Berkuasa, mereka melakukan apa saja ibadat semata-mata untuk menaikkan nilai darjatnya dan harga dirinya di sisi Allah, optimisnya hanya kepada Allah semata-mata.

Sekian, wasalam

Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani

No comments:

Post a Comment