PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Monday 7 March 2011

KENAPA HATI MANUSIA MENJADI SAKIT

1. MUQADDIMAH
Hati menjadi sakit apabila cedera terkena pukulan hawa nafsu dan kemudian menjadi terus tenat apabila syaitan laknat pula melontarkan panahnya terhadap hati itu. Keadaan hati terus tersugul menderita sakit dan ianya memerlukan rawatan segera untuk memulihkan keadaan yang kronik itu agar tidak merebak. Apabila hati itu dibiarkan terus sakit menderita, ianya akan mengalami tekanan yang amat dahsyat akibat spekulasi hawa nafsu yang berterusan datang menjelma, hati itu akan terus berpaling tadah dan tidak mahu menerima kebenaran sebagai suatu agenda hidup yang suci, bahkan ia tidak lagi dapat membezakan di antara kebenaran dengan kesalahan, kesahihan dan kepalsuan, kerana cahaya keimanan yang sepatutnya menjadi penyuluh laluan hidup selama ini telah padam menyebabkan kehidupan manusia menjadi gelap gelita. Hati itu akan menjadi lebih kronik dan lebih menderita apabila tiada penawar yang berkesan untuk mengubatinya, tiada usaha-usaha untuk membersih dan mengilap hati itu dari noda dan dosa serta dari pelbagai kekotoran yang menjijikkan. Jika demikian kehidupan manusia pasti terumbang-ambing dan tidak keruan, mereka berada dalam keadaan terpinga-pinga dan tidak tahu apa kerana hati mereka telah punah-ranah dan mereka tidak punya pedoman dan nilai harga diri untuk meneruskan laluan hidup. Apabila keadaan ini menjadi semakin parah, maka tercipta di sana suatu kehidupan kufur yang bersifat hipokrit kerana mereka tidak tahu untuk memilih di antara dua persimpangan jalan; jalan kebenaran atau jalan kebatilan, benarlah apa yang dinyatakan oleh Allah di dalam Al Kitab…

Firman Allah Ta’ala:
فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ فَزَادَهُمُ اللَّهُ مَرَضًا ۖ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ بِمَا كَانُوا يَكْذِبُونَ
Maksudnya: " Di dalam hati mereka ada penyakit, maka Allah menambahkan lagi penyakit dan bagi mereka azab yang pedih dengan sebab mereka berdusta "(Al Baqarah: 10).

Penyakit hati berpunca dari sikap dan sifat manusia itu sendiri yang tidak mahu tunduk akur kepada arahan Allah, tidak mahu menerima pakai apa yang diturunkan oleh Allah, sebaliknya mereka lebih cenderung membuat keputusan melalui bisikan hawa nafsu mereka sendiri dan menolak peraturan dan undang-undang ciptaan Allah.

Laluan dan perjalanan hidup mereka menjadi tidak teratur dan tidak tersusun, terumbang-ambing bagaikan sebuah sampan berada di tengah lautan yang dilanda ombak dan badai menyebabkan mereka hilang kawalan, hilang arah dan tujuan, lambat-laun mereka akan ditenggelami oleh ombak yang datang menjulang. Kemanusiaan itu akan menjadi punah-ranah berpunca dari sikap dan sifat hati yang tidak mahu memahami dan tidak dapat menilai hakikat sesuatu dengan baik dan sempurna, menyebabkan fungsi anggota badan yang lain seperti mata dan telinga akan terus menjadi punah-ranah sama.

2. KENAPA HATI MENJADI SAKIT
Di antara faktor-faktor yang mencetuskan perasaan hati manusia menjadi sakit dan kronik ialah:

2.1. Perkataan Tidak Berfaedah
Nilai-nilai kebaikan itu boleh datang menjelma melalui pelbagai bentuk dan keadaan, untuk membentuk perasaan hati supaya menjadi lebih baik dan kelihatan lebih sihat, seseorang hamba itu mesti berusaha membaiki dirinya sendiri dan membetulkan keadaan hidup dengan peradaban yang boleh mencerminkan sifat sebagai seorang individu muslim yang sejati, dia hendaklah membicarakan program kehidupannya dengan perkara-perkara yang lebih berfaedah dan lebih memberi manfaat. Ungkapan yang tidak berguna dan perkataan yang buruk boleh melalaikan dan boleh menjejaskan nilai perasaan hati seseorang hamba, kerana di kala itu dia akan memberi tumpuan kepada perkara-perkara yang kurang penting.

Sabda Rasulullah s.a.w.
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَاْليَوْمِ اْلآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لَيَصْمُتْ
Maksudnya: " Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata dengan perkataan yang baik atau (jika tidak mampu) maka diam sahaja " (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Islam telah mengatur-galur sistem pengurusannya sendiri terhadap umatnya ketika menjalin hubungan sesama manusia dengan mengemukakan peradaban yang luhur terhadap persoalan sikap yang hendak dikemukakan. Islam tidak menggalakkan umatnya terlalu banyak bercakap, lebih-lebih lagi bercakap kosong tanpa memberi apa-apa faedah sehingga berlaku pelbagai kesalahan atau kesilapan. Islam juga tidak menggalakkan umatnya tidak bercakap langsung, kerana perkara tersebut boleh mematikan hati. Islam hanya menggalakkan umatnya bercakap benar dan berkata dengan ungkapan yang baik serta boleh memberi manfaat. Seandainya seseorang muslim itu tidak mampu untuk mengungkapkan perkataan yang baik, maka diam itu adalah lebih baik baginya. Sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
إِنَّ اْلعَبْدَ لِيَتَكَلَّمَ بِاْلكَلِمَةِ مَا يَتَبَيَّنُ فِيْهَا يَزِلُّ بِهَا فِى النَّارِ أَبْعَدُ مَا بَيْنَ اْلمَشْرِقِ وَاْلمَغْرِبِ
Maksudnya: " Sesungguhnya seseorang hamba yang bercakap dengan perkataan (yang tidak berfaedah) diucapkan dan dia berada terpencil jauh di dalam neraka sebagaimana jauhnya jarak di antara timur dan barat "(Riwayat Bukhari, Muslim dan At Tirmizi).

Keadaan sebegini berpunca dari sikap manusia yang terikut-ikut dengan perasaan hawa nafsu yang melekat pada dinding hatinya menyebabkan dia membentuk suatu ucapan yang menjijikkan, akibatnya dia akan menanggung risiko dan menerima balasan terhadap segala ucapan yang sia-sia dan tidak memberi apa-apa faedah itu.

2.2. PENGLIHATAN TIDAK BERFAEDAH
Setiap manusia dikurniakan sepasang mata oleh Allah Ta'ala untuk melihat, iaitu untuk melihat perkara-perkara yang boleh memberi manfaat dan boleh mendatangkan faedah kepada diri, di samping memelihara pandangan matanya dari perkara-perkara yang dilarang oleh syari'at.

Firman Allah Ta'ala:
قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ
Maksudnya: " Katakanlah kepada orang-orang yang beriman supaya memelihara pandangan mata mereka "(An Nur: 30).

Penglihatan yang tidak baik dan tidak berfaedah pasti mengundang padah pada diri, kerana amalan tersebut boleh mencetuskan perasaan gerimis di dalam hati walaupun hanya melihat perkara yang tidak elok. Dengan penglihatan, maka dari penglihatan itu akan turun mengalir ke dalam hati untuk diterjemahkan sebagai suatu amalan yang bersifat praktikal. Sekalipun dengan hanya satu penglihatan terhadap perkara-perkara yang dilarang, keadaan itu sudah cukup untuk melunturkan nilai-nilai keimanan dan mencetuskan satu titik hitam di dalam hati yang menjadi penyebab kepada kerosakan hati. Rasulullah s.a.w. pernah memberi nasihat kepada menantunya Ali Karramallahu Wajha supaya memelihara pandangan matanya, sabda baginda s.a.w.:

يَآ عَلِىّ لاَ تُتْبِعِ النَّظْرَةَ النَّطْرَةَ فَإِنَّ لَكَ الأُوْلَى وَلَيْسَ لَكَ اْلآخِرَةُ

Maksudnya: " Wahai Ali! Jangan sekali-kali kamu susuli pandangan yang pertama dengan pandangan yang kedua, kerana pandangan pertama adalah untuk mu, tetapi tidak pada pandangan kedua "(Riwayat Abu Dawud).

Melihat kepada perempuan yang ajnabi adalah haram kerana perkara tersebut boleh mendatangkan fitnah dan perasaan yang tidak elok kepada orang yang melihat. Keinginan manusia menjadi kemuncak bermula dari pandangan mata, maka akan timbul di sana suatu bentuk perasaan lain yang mengalir di dalam hati untuk ingin mara lebih jauh dari pandangan yang pertama tadi. Perasaan hati mula terkilan dan meronta-ronta apabila sekilas pandang tidak memadai untuk keluhan hawa nafsu dan ingin mengetahui lebih dari itu. Begitulah betapa hebatnya tekanan perasaan apabila hawa nafsu cuba menguasai hati sanubari, tekanan yang boleh memberi ancaman kepada nilai-nilai moral dan kehidupan manusia sejagat serta akhlaknya, sekaligus meruntuhkan standard mulia manusia dan idealismenya.

2.3. MAKANAN TIDAK BERFAEDAH
Manusia memerlukan kekuatan untuk meneruskan program kehidupan dan di antara sumber kekuatan itu ialah makanan. Makanan yang halal dan bersih dari pelbagai kekotoran akan membentuk tubuh badan yang sihat dan kuat, tetapi makanan yang kotor dan menjijikan akan membentuk tubuh badan yang menyakitkan dan melemahkan.

Allah berfirman:
وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلاَ تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لاَ يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ
Maksudnya: " Makan dan minumlah kamu, tetapi jangan sekali-kali kamu melampaui batas, sesungguhnya Dia tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas” (Al A’raf: 31).

Makanan yang disuapkan masuk ke dalam mulut mesti makanan yang dihalalkan oleh syari'at dan tidak pula mengandungi unsur-unsur yang mencurigakan seperti bahan-bahan yang dicampur dalam makanan mengandungi benda-benda yang menajiskan atau boleh menjadi racun atau boleh memabukkan atau sebagainya. Aisyah r.a. pernah menyatakan perihal pemakanan yang diamalkan oleh keluarga baginda s.a.w.:

مَا شَبِعَ آلُ مُحَمَّدٍ صَلَّى الله عليه وسلّم مُنْذٌ قَدِمَ اْلمَدِيْنَةِ مِنْ خُبْزِ بِرٍّ ثَلاَثَ لَيَالٍ تِبَاعًا حَتَّى قُبِضَ
Maksudnya: " Keluarga Muhamad s.a.w. tidak pernah merasa kenyang setibanya di Madinah dengan hanya memakan roti yang dibuat dari biji gandum tiga malam berturut-turut sehingga baginda wafat " (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Rasulullah s.a.w. telah mengemukakan suatu kehidupan yang sesuai untuk menjadi ikutan buat semua umatnya, baginda memilih jalan kesederhanaan sebagai dasar kehidupan dengan mewujudkan program zuhud di dalam membuat resolusi kehidupan baginda. Ini bukan bererti baginda tidak mampu untuk memilih kekayaan dan kemewahan yang ada di atas dunia ini, tetapi baginda mahu mengajar umatnya bagaimana cara-cara kehidupan yang sebenar, kerana segala harta benda, kekayaan dan kemewahan hidup tidak sedikitpun berguna di sisi Allah, bahkan tidak bernilai langsung walaupun sebesar sayap nyamuk. Lihatlah keindahan kata-kata ini untuk dijadikan renungan bersama tentang hakikat permakanan yang dianjurkan dalam Islam.

نَحْنُ قَوْمٌ لاَ نَأْكُلُ حَتَّى نُجُوْع وَإِذَا أَكَلْنَا لاَ نَشْبَعُ
Maksudnya: " Kami adalah kaum yang tidak makan melainkan ketika lapar, apabila kami makan tidak terlalu kenyang ".

2.4. PERGAULAN TIDAK BERFAEDAH
Islam telah menyusun-atur program kehidupannya tersendiri kepada para penganutnya supaya mereka tidak tergelincir dari landasan hidup yang sebenar. Islam telah menggariskan batas-batas pergaulan di antara sesama manusia, lebih-lebih lagi pergaulan di antara lelaki dan perempuan yang boleh mendatangkan fitnah yang besar sekiranya tidak ada suatu initiative yang berkesan mengawal keadaan. Perlakuan hidup manusia kadang-kala dipengaruhi oleh teman seiring atau adanya perasaan dan sikap ingin mencuba dengan kebiasaan buruk, kelakuan yang tidak bermoral dan tidak bermaruah, tindakan yang melampui batas-batas kemanusiaan dan tabiat semulajadi yang bertentangan dengan naluri kebenaran. Di antara faktor-faktor yang menyebabkan hati menjadi rosak dan punah-ranah ialah kerana silap memilih teman pergaulan yang mempengaruhi sikap dan perasaan, seolah-olah dirinya terpedaya dengan telatah dan tingkah-laku temannya, sama ada dari segi percakapan yang buruk, perbuatan yang tidak senonoh, pakaian yang tidak melambangkan pekerti seorang muslim, cara hidup yang tidak sihat dan lain-lain lagi. Al Quran telah mendedahkan penyesalan yang tidak kunjung padan terhadap orang-orang yang tersilap memilih teman hidup yang membawa kepada penyelewengan ‘aqidah dan pegangan hidup mereka.

Firman Allah Ta'ala:

وَيَوْمَ يَعَضُّ الظَّالِمُ عَلَىٰ يَدَيْهِ يَقُولُ يَا لَيْتَنِي اتَّخَذْتُ مَعَ الرَّسُولِ سَبِيلاً يَا وَيْلَتَىٰ لَيْتَنِي لَمْ أَتَّخِذْ فُلاَنًا خَلِيلاً لَقَدْ أَضَلَّنِي عَنِ الذِّكْرِ بَعْدَ إِذْ جَاءَنِي ۗ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِلإِنْسَانِ خَذُولاً

Maksudnya: " Pada hari orang-orang yang bersalah menggigit jari tangannya sambil berkata: Alangkah baiknya kalau aku menurut jalan benar bersama Rasul, wahai malangnya nasib ku, alangkah baiknya jika aku tidak menjadikan si fulan sebagai teman, sesungguhnya dia telah menyesatkan aku dari pengajaran Tuhan sesudah pengajaran itu datang kepada ku dan syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia "(Al Furqan: 27-29).

Pengaruh teman yang jahat dan tidak bermoral bukan sahaja boleh memusnahkan perasaan dan isi hati manusia, ianya bukan sahaja dapat meruntuhkan sistem akhlak dan nilai penghayatan hidup secara syumul, tetapi juga boleh melumpuhkan sistem 'aqidah yang tertanam di dalam hati manusia dan menjahanamkan lagi keimanan yang tersedia ada dengan aksi-aksi dan lagak-lagak jahiliyah yang sangat menjijikkan dan memesongkan pandangan hidup manusia dari syari’at Allah. Kerana, teman yang jahat dan tidak bermoral tidak punya apa-apa tujuan dan matlamat dalam kehidupan, mereka tidak punya apa-apa bentuk program dan perancangan untuk membawa kehidupan itu ke pangkuan Allah, akan tetapi mereka bertanggungjawab membawa kemusnahan kepada kehidupan itu sendiri di samping menyekat nilai-nilai positif yang ada pada diri manusia, kemudian menukarkannya kepada nilai-nilai yang berbentuk negatif. Di kalangan manusia yang terangsang dengan pujukan teman yang jahat dan tidak bermoral ini pasti  terpedaya sedikit demi sedikit dan ingin mencuba walaupun perbuatan tersebut menyalahi etika kehidupan. Maka, secara tidak langsung gerak-geri perasaan hati mula berdetak dan meronta-ronta ingin melakukannya. Penyesalan yang tidak berkesudahan dan tidak kunjung padam pasti dirasakan di hari akhirat nanti dan penyesalan di waktu itu tidak akan berguna lagi.

Firman Allah Ta'ala:
قَالَ قَرِينُهُ رَبَّنَا مَا أَطْغَيْتُهُ وَلَٰكِنْ كَانَ فِي ضَلاَلٍ بَعِيدٍ
Maksudnya: " Temannya berkata: Wahai Tuhan kami! Aku tidak membawanya kepada kejahatan, tetapi dia sendiri yang berada di dalam kesesatan yang jauh " (Qaf:27).

Perasaan hati mereka yang berdetak telah berkompromi dengan pengaruh syaitan laknat untuk membentuk suatu combination dalam tindakan dan perlakuan hidup, kemudian muncul pula hawa nafsu yang memainkan peranan penting ke arah memusnahkan karisma hidup manusia dari jalan Allah. Seandainya diri itu mempunyai kekuatan dari semua sudut,  sama ada dari sudut rohani dan jasmani, nescaya ianya tidak mudah terjebak dengan unsur-unsur negatif dan tidak mudah terpedaya dengan bisikan syaitan laknat yang kejam itu, apatah lagi terpengaruh dengan bujukan teman yang jahat untuk bersama-sama dalam perlakuan hidup yang menjijikan.

Sabda Rasulullah s.a.w.

مَثَلُ الْجَلِيْسِ الصَّالِحِ وَالْجَلِيْسِ السُّوْءِ كَمَثَلِ حَامِلِ الْمِسْكِ وَتَافِخِ الْكِيْرِ فَحَامِلُ الْمِسْكِ إِمَّا أَنْ يَحْذِيَكَ أَوْ تَشْتَرِيَ مِنْهُ أَوْ تَجِدَ مِنْهُ رِيْحًا طَيِّبَةً وَنَافِخُ الْكِيْرِ إِمَّا أَنْ يَحْرِقَ ثِيَابَكَ أَوْ تَجِدَ مِنْهُ رِيْحًا مُنْتِنَةً

Maksudnya: " Perumpamaan teman yang soleh dengan teman yang jahat bagaikan penjual kasturi dan tukang besi, adapun penjual kasturi sama ada dia memberi wangian kepada kamu atau kamu membeli minyak wanginya atau kamu dapat mencium bau wangiannya itu, tetapi tukang besi, sama ada dia membakar baju kamu atau kamu mencium bau yang busuk " (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Perbandingan yang dikemukakan oleh Rasulullah s.a.w. ini amat menarik dan tepat sekali dengan realiti yang ada, kerana teman yang sejati sentiasa memberi kesegaran dan wangian kepada kehidupan temannya yang lain, sentiasa memandukan temannya itu ke jalan yang benar, jalan yang diredhai Allah Ta'ala, tetapi teman yang jahat pula akan mempengaruhi temannya ke arah sektor kejahatan dan perbuatan yang menjijikkan.

Sekian, wassalam

Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
LUTPI MUSTAFA EL-BATNANI

No comments:

Post a Comment