PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Saturday 10 September 2011

TEORI KONSEP KESUFIAN


Sebagaimana yang telah dijelaskan, kehidupan di bawah konsep kesufian lebih memberi penekanan kepada alam rohani, alam untuk menyingkap tirai dan kerahsiaan hidup bersama-sama menjalin hubungan tali keimanan dengan Allah. Penekanan konsep hidup dan budaya kehidupan itu mestilah mendapat restu dari Allah yang memberi segala rupa bentuk kekuatan dan petunjuk, memberi rahmat yang datang menjelma dari segenap ceruk kehidupan dan juga memberi nikmat kurniaNya kepada sesiapa yang dikehendaki. Kehidupan itu tidak boleh dipisahkan dengan rupa bentuk ‘aqidah dan tidak boleh terputus dengan simpulan tali tersebut, kerana ianya adalah suatu sumber kekuatan yang tiada tolak bandingan, kekuatan jiwa dan perasaan dan sekaligus ianya melambangkan segala kekuatan jasad dan tubuh badan yang membentuk suatu tenaga untuk menghancurkan hawa nafsu yang menjadi akar umbi kejahatan manusia. Syaitan laknat akan bertapak di dalam titisan hawa nafsu untuk menyerap ke dalam jiwa manusia, tetapi dengan kekuatan ‘aqidah itu tadi, nescaya ia akan dapat dihancur-leburkan. Konsep kesufian ini seolah-olah mempunyai elemen-elemen persamaan dengan konsep kepercayaan lain seperti konsep ajaran agama Kristian, Buddha, Hindu dan lain-lain yang mengamalkan konsep pendekatan jiwa dan amalan-amalan hidup yang berbentuk rohani, tetapi hakikat sebenarnya adalah tidak sama dan amat jauh perbezaannya.

Marilah kita meninjau beberapa pendapat dan teori tentang asal-usul konsep kesufian:

1. KESAN AJARAN KRISTIAN
Di antara mereka ada yang mendakwa, perkembangan konsep tasawuf dan kumpulan aulia atau zuhud ini di ambil dari luar dunia orang-orang Islam, iaitu diambil daripada amalan rahib Nasrani. Amalan-amalan kerahiban yang terdapat di dalam ajaran agama Kristian seolah-olahnya telah mempengaruhi konsep hidup ummat Islam dan di sana pula terdapat di kalangan orang-orang Kristian yang memeluk agama Islam telah terbawa-bawa amalan hidup ajaran Kristian itu ke dalam ajaran Islam. Seorang orientalis barat yang bernama Prof. Nicholson menyatakan: Bahawa gerakan zuhud dalam konsep tasawuf adalah ilham dari ajaran Kristian. Perkembangan tasawuf Islam ke arah gerakan zuhud yang menekankan alam mistik merupakan kesan secara langsung yang diambil dari gerakan Kristian pada kurun ke tujuh sebelum masihi dan dikatakan juga gerakan sufi ini telah dibawa oleh penjajah Kristian yang datang menakluki negara-negara Islam.  Gambaran seperti itu bukan sahaja tidak tepat, bahkan terkeluar dari fakta dan realiti yang sebenar, kerana amalan hidup Islam tidak sekali-kali berkompromi dengan mana-mana amalan agama lain atau mana teori dan ideologi ciptaan manusia.

Firman Allah Ta'ala:

وَرَهْبَانِيَّةً ابْتَدَعُوهَا مَا كَتَبْنَاهَا عَلَيْهِمْ إِلاّ ابْتِغَاءَ رِضْوَانِ اللَّهِ فَمَا رَعَوْهَا حَقَّ رِعَايَتِهَا فَآتَيْنَا الَّذِينَ آمَنُوا مِنْهُمْ أَجْرَهُمْ وَكَثِيرٌ مِنْهُمْ فَاسِقُونَ
Maksudnya: " Dan kerahiban adalah mereka yang mereka-cipta “ (dalam agama), Kami hanya memerintahkan kepada mereka mencari keredhaan Allah, tetapi mereka tidak melakukan menurut apa yang sepatutnya, kepada orang-orang yang beriman di antara mereka Kami berikan ganjaran pahala, tetapi kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasiq “ (Al Hadid: 27).

Konsep kerahiban yang mengasingkan diri dari masyarakat sebenarnya bukan dari ajaran Islam, tetapi ianya adalah ciptaan manusia kononnya ingin mendekatkan diri dengan Tuhan.

Firman Allah Ta'ala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّ كَثِيرًا مِنَ الأحْبَارِ وَالرُّهْبَانِ لَيَأْكُلُونَ أَمْوَالَ النَّاسِ بِالْبَاطِلِ وَيَصُدُّونَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ

Maksudnya: " Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya kebanyakan para pendita-pendita dan paderi-paderi memakan harta manusia secara batil dan menghalang manusia dari jalan Allah “ (At Taubah: 34).

Mereka mengemukakan alasan di atas nama agama sebagai seorang rahib atau pendita atau paderi ataupun kedudukan mereka sebagai pemimpin di dalam masyarakat untuk membolehkan mereka dapat mengambil harta manusia, walaupun dengan cara yang tidak betul dan menyalahi di sisi agama.

Sabda Rasulullah s.a.w.

إنَّ اللهَ أَبْدَلَنَا بِالرَّهْبَانِيَّةِ الْحَنِيْفِيَّةَ السَّمْحَةَ

Maksudnya: " Sesungguhnya Allah telah menukarkan cara hidup sebagai seorang rahib kepada cara hidup agama yang mudah “ (Riwayat Al Baihaqi).

2. KESAN DARI AJARAN YAHUDI
Tidak terlalu nyata dalam pengajian ilmu tasawuf terdapat kesan-kesan pengaruh Yahudi terhadap amalan-amalan hidup, kecuali setelah berlaku penyelewengan dan pengubah-suaian kitab Taurat. Ianya berlaku setelah wafatnya Nabi Musa a.s. dan kebanyakan para ulama Yahudi tidak menghafaz isi kandungan kitab Taurat dengan sebaik-baiknya dan ada juga di kalangan ulama mereka sengaja melupakan isi kandungan kitab tersebut. Di sini timbullah pelbagai budaya hidup dan amalan hidup yang bertentangan dengan syari'at ILAHI yang diturunkan sejak zaman Nabi Musa a.s. lagi. Di dalam persoalan konsep ketuhanan, mereka menjadikan hakikat ketuhanan sama sahaja seperti hakikat kemanusiaan dan sifat-sifatnya, sebagaimana yang tercatat di dalam Kitab Taurat yang telah diubah-suai dan sebagaimana juga yang telah dinukilkan oleh Dr. ‘Audhullah Jad Hijazi di dalam kitabnya Muqaranah Al Adyan Baina Al Yahood Wa Al Islam:

" Sesungguhnya Allah Ta'ala datang menjelma ke bumi dan berjalan-jalan di atas bumi sambil makan dan minum. Dia menangis sehingga bercucuran air matanya apabila melihat peristiwa taufan yang melanda ummat Nabi Nuh a.s. “

Krisis ketuhanan yang berlaku terhadap ummat Nabi Musa a.s. telah mencetuskan aliran fahaman yang menyeleweng dan setengah di kalangan mereka membahagikan zat ketuhanan kepada dua, iaitu zat Allah dan satu lagi zat Fana'. Zat fana' inilah yang mempengaruhi amalan para ahli sufi, sedangkan perkara tersebut tidak langsung ada hubungan dengan ajaran Islam dan tidak sekali-kali mempunyai kaitan dengannya, sama ada sedikit apatah lagi banyak.  Tanggapan yang silap tentang persoalan fana' ini telah menimbulkan perasaan ragu-ragu yang meragut perasan hati mereka dan ada di antara mereka yang meninggalkan makanan tertentu dan di kalangan mereka tidak kurang juga yang beranggapan bahawa Allah telah melantik mereka menjadi wali secara batin dan beramal di alam ghaib, sedangkan perbuatan ini sebenarnya bercanggah dengan syari'at Islam yang syumul.

3. KESAN DARI AJARAN HINDU
Agama Hindu bermula di India lebih kurang 2000 tahun sebelum masihi, yang dibawa oleh suatu kaum bergelar Aryan telah berpindah masuk ke India dari Asia Tengah. Mereka membawa bersama kepercayaan mengenai dewa dan dewi. Pada mulanya mereka menyembah Agni iaitu dewa api, Surya dewa matahari dan Indra dewa peperangan. Lama-kelamaan mereka percaya kepada tiga dewa utama iaitu Brahma, Vishnu dan Siva. Ketiga-tiga dewa tersebut digelar Trimurthi. Isteri Brahma ialah Saraswathi, dewi pendidikan, isteri Vishnu ialah Lakshmi, dewi kekayaan dan isteri Siva pula ialah Sakti, dewi cahaya. Di dalam ajaran Hindu juga terdapat sistem kasta  yang dibahagikan kepada empat golongan, iaitu: Golongan Brahman “ (sami-sami), Kshatriya “ (hulubalang), Vaisya “ (peladang) dan Sudra “ (orang biasa). Ajaran agama Hindu mengamalkan konsep pendewaan sebagai pendekatan jiwa kepada tuhannya. Islam terang-terang menolak konsep ajaran seperti ini, kerana unsur pendewaan tidak pernah wujud dan tidak pernah dijelmakan sama sekali dalam ajaran Islam dan juga tidak pernah terdapat dalam siri pengajaran ilmu tasawuf, tetapi apa yang ada ialah konsep pengabdian diri kepada ILAHI.

4. KESAN DARI AJARAN BUDDHA
Terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa konsep kesufian ini diambil dari ajaran agama Budhha yang menekankan konsep yang berunsur mystic dan juga penekanan kepada amalan kerohanian. Ajaran ini mengamalkan konsep pertapaan dan mengasingkan diri dari masyarakat kononnya untuk mendekatkan diri kepada Nirwana. Ajaran Buddha diasaskan oleh  Siddartha Gautama yang dilahirkan pada tahun 563 Sebelum Masehi di Kapilavastu, India Utara. Agama Buddha merupakan serpihan dari agama Hindu kerana terdapat beberapa kelemahan dalam ajaran Hindu setelah Buddha mengkaji kitab suci Hindu yang bernama Veda dan Upanishad. Ajaran tersebut menggunakan konsep pertapaan untuk mencapai Nirwana, iaitu kebahagiaan selama-lamanya. Buddha telah menubuhkan suatu persatuan sami-sami bernama Sangha, dengan mencukur rambut mereka dan memakai jubah kuning serta membawa mangkuk meminta sedekah. Pendapat dan pandangan ini ditolak, bahkan tidak dapat diterima oleh akal kerana tidak mungkin sumber yang terdahulu mengambil sumber yang terkemudian. Kehidupan yang bercorak kesufian dalam ajaran Islam bermula dengan sunnah Rasulullah s.a.w. dan ketika itu ajaran Budhha masih belum wujud lagi. Konsep kesufian ini muncul pada akhir abad kedua hijrah dan adalah mustahil bagi Rasulullah s.a.w. terpengaruh dan mengikut ajaran yang dibawa oleh Budhha. Justeru itu juga, Islam tidak mengiktiraf agama seperti ini yang malas bekerja dan berusaha kerana hidup sebagai pengemis meminta sedekah.

5. KESAN DARI FALSAFAH YUNANI
Terdapat di kalangan para pengkaji ilmu tasawuf yang menyatakan bahawa konsep kesufian yang terdapat di dalam ajaran Islam ini telah diambil daripada kesan fahaman dan pemikiran ahli-ahli falsafah Yunani dan di antaranya diambil dari fahaman Ghanusi dan juga aliran pemikiran ahli falsafah Aflatun dan Plato. Pemikiran falsafah Yunani ini telah memberi kesan yang mendalam di dalam masalah agama, terutamanya di dalam konsep ketuhanan yang mencakupi zat Tuhan, sifat-sifatNya dan juga segala bentuk perbuatanNya. Mereka membahaskan perkara-perkara yang berhubung-kait dengan persoalan ketuhanan itu dengan logik akal dan menggunakan dalil-dalil berpandukan kepada pancaindera yang lima, sedangkan persoalan tersebut tidak boleh dibincangkan dengan logik akal fikiran atau pancaindera, kerana persoalan ketuhanan adalah persoalan yang lebih bersifat abstract. Di dalam bidang tasawuf, para ahli falsafah telah membahaskan bahawa Muhammad s.a.w. merupakan seawal-awal makhluk yang datang dari Allah, maka di sana muncullah perkataan yang direka-cipta seperti 'Insanul Kamil' dan 'Hakikat Muhammadiyyah' serta lain-lain perkataan lagi yang menjurus kepada martabat amalan hidup manusia pada kesempurnaannya terhadap konsep tersebut. Perbahasan tersebut telah menimbulkan kekeliruan di kalangan ummat Islam dan menganggap persoalan ini sangat penting dalam ajaran Islam dan wajib mengetahuinya, sedangkan perkara-perkara tersebut tidak tercatat dalam ajaran Islam dan Islam melarang penganutnya membahaskan perkara-perkara yang tidak memberi apa-apa manfaat kepada diri dan agama. Sebagai kesimpulan, konsep kesufian dalam Islam adalah datang dari sumber-sumber Islam itu sendiri, sebagaimana yang terdapat di dalam manhaj hidupnya yang mengandungi pelbagai program kehidupan yang mencakupi kehidupan duniawi dan kehidupan ukhrawi. Konsep tersebut tidak sekali-kali mengambil dari mana-mana sumber yang luar dari Islam, sama ada dari ajaran Yahudi atau Nasrani, sekalipun kedua-dua ajaran tersebut merupakan agama samawi yang diturunkan oleh Allah ketika dahulu, kerana syari’atnya telah dimansuhkan semua sekali, apatah lagi kedua-dua ajaran tersebut telah diselewengkan oleh para penganutnya. Konsep ajaran sufi juga tidak menerima sebarang rupa bentuk pandangan dan pendapat manusia, sama ada berbentuk teori atau amali, jika ianya bertentangan dengan Al Quran dan As Sunnah Nabawi s.a.w. kerana asas utama dalam pengajian ilmu tasawuf mestilah berpandukan kepada kedua-dua sumber tersebut.


Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani


No comments:

Post a Comment