Di sana terdapat
peranan ulama yang sangat penting untuk mewujudkan nilai-nilai perubahan dalam
masyarakat, peranan untuk melenyapkan sistem jahiliyah dan suku-sakatnya dari
sebarang rupa bentuk bagi mewujudkan nilai-nilai pembaharuan ataupun tajdid,
peranan untuk mencairkan pemikiran yang beku dan kelu untuk membentuk sebuah
pemikiran yang lebih konsisten dan bersemangat, peranan untuk mengubah warna
hidup yang gelap-gelita dan hitam pekat kepada warna hidup yang jernih dan
terang benderang, peranan untuk mengubah perasaan hati sanubari dan jiwa nurani
yang diselaputi dan disaluti debu-debu maksiat, kemudian mengikisnya dengan
iman dan keluhuran diri, peranan untuk mencungkil sifat-sifat hipokrik dan
kemunafikan serta sifat-sifat yang keji yang bertapak dalam diri untuk
dihancurkan-leburkan, peranan untuk melukiskan sebuah kehidupan yang suci yang
bebas dari pengaruh luar sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. dan
para sahabat r.a. dan kemudian dipraktikkan dalam bentuk yang amali, peranan
untuk mengibarkan panji-panji LAA ILAHA ILLALLAH dan MUHAMMADUR RASULULLAH dan
kemudian menjunjung tinggi kalimahNya, peraturanNya, undang-undangNya dan
segala hukum-hakamNya.
Ajaran
Islam yang diturunkan oleh Allah sejak dahulu adalah sama saja dengan Islam
yang ada pada zaman sekarang, baik dari sudut kepercayaan dan pegangan hidup
terhadap ketuhanan Allah atau dalam amalan hidup yang berkaitan dengan urusan
ibadat, urusan muamalat, urusan jinayat, urusan munakahat dan lain-lain, ajaran
Islam tetap unggul dan berdiri tegap di atas ubun-ubunnya. Akan tetapi, yang
bezanya ialah dari sudut suasana dan keadaan serta gaya penyelesaian dalam
beberapa persoalan yang berlaku hari ini. Oleh itu, para ulama perlu berani
mencetuskan inovasi minda untuk mengembangkan nilai pengetahuan dan
menyelesaikan permasalahan semasa yang berlaku dalam sesuatu perkara, ini semua
merupakan suatu maslahat untuk kebaikan bersama.
Firman Allah Ta’ala:
وَمَا
كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنْفِرُوا كَافَّةً ۚ فَلَوْلاَ نَفَرَ مِنْ كُلِّ فِرْقَةٍ
مِنْهُمْ طَائِفَةٌ لِيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنْذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا
رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ
Maksudnya: “ Tidak semua orang-orang mukmin itu keluar pergi
berperang, mesti ada suatu kelompok dalam kalangan mereka keluar memahami agama
supaya mereka memberi peringatan kepada kaum mereka apabila mereka kembali (ke
kampung halaman), mudah-mudahan mereka beringat-ingat”.
Permasalahan yang berlaku
dalam sesebuah masyarakat adalah berbeza sama sekali cara untuk mengatasi dan
mencari jalan penyelesaian. Begitu juga dengan tabiat dan budaya hidup sesuatu
bangsa, sekalipun mereka mempunyai satu agama dan satu kepercayaan terhadap
ketuhanan Allah, namun seandainya tabiat dan budaya itu tidak bercanggah dengan
nilai-nilai dan hukum-hakam dalam ajaran agama, maka selagi itulah ianya boleh
diterima-pakai dalam konsep kehidupan.
Seandainya kita membaca kitab-kitab yang dikarang oleh para ulama silam,
di sana terdapat banyak perselisihan pendapat dan pandangan mereka dalam
menyelesaikan sesuatu masalah. Namun, adakalanya kita boleh menerima-pakai pendapat
dan pandangan tersebut untuk diamalkan, tetapi ada juga pendapat dan pandangan
tersebut tidak sesuai untuk diamalkan dalam masyarakat kita hari. Bererti,
tugas ulama sekarang ialah mencetuskan inovasi minda untuk menyesuaikan
pendapat dan pandangan tersebut untuk diamalkan secara praktikal dalam
masyarakat hari ini dan kemudian memberi penerangan atau penjelasan mengapa
berlaku demikian, supaya masyarakat tidak merasa bingung atau dibayangi
perasaan keluh-kesah terhadap isu-isu yang berlaku.
Para
ulama adalah menjadi pewaris kepada para nabi-nabi dan anbiya untuk membuka
minda dengan mengajar ilmu pengetahuan kepada seluruh lapisan masyarakat dan
memberi peringatan kepada mereka. Para ulama juga mesti berperanan untuk
membentuk nilai upaya mereka dengan membentuk daya pemikiran yang kreatif,
membaiki taraf hidup dan pendidikan mereka supaya kehidupan yang dilalui itu
menepati kehendak syari’at dan tidak terkeluar dari jalan kebenaran. Para ulama
mestilah bijak memainkan peranan untuk melahirkan generasi yang ilmiah dan
produktif serta berani mewujudkan para du’at yang mampu menyampaikan risalah
dakwah ke seluruh anggota masyarakat, sama ada menyeru mereka kembali ke
pangkuan Allah atau mendidik mereka dengan didikan yang sempurna atau memberi
peringatan kepada mereka tentang ancaman terhadap mereka yang melanggar
perintah Allah. Seruan yang disampaikan itu boleh dianggap ‘keramat’ kerana
menurut kebiasaan, ulama adalah benih yang baik yang sentiasa mendapat tempat
di hati masyarakat jika hendak dibandingkan dengan orang kebiasaan. Perkara ini
telah dinyatakan di dalam sepotong hadith, bahawa Rasulullah s.a.w. telah
bersabda:
اَلْعُلَمَاءُ
وَرَثَةُ اْلأَنْبِيَاءِ وَأنَّ اْلأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوْا دِيْنَارًا
وَلاَ دِرْهَمًا وَإِنَّمَا وَرَثُوْا اْلعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ
وَافِرٍ
Maksudnya: “ Sesungguhnya ulama ialah
pewaris para nabi-nabi, mereka tidak sekali-kali mewarisi dinar dan dirham,
tetapi mereka mewarisi ilmu pengetahuan, sesiapa yang mengambilnya nescaya akan
mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda “.
Tugas dan tanggungjawab
mencetus idea kreatif dan berinovatif adalah tugas ulama yang diserap melalui
sistem tarbiyah dan latihan ilmiah dalam majlis-majlis ilmu, usrah atau halaqah
fikriyah. Ini kerana mereka adalah orang-orang yang alim yang tahu banyak
perkara, terutama dalam soal hukum hakam. Melalui pengajaran yang disampaikan,
bererti mereka telah menyempurnakan sebahagian daripada tugas dan tanggungjawab
untuk membentuk masyarakat ilmuan dan sekaligus mengeluarkan mereka dari
dibelenggu kejahilan. Sesungguhnya, peranan yang dimainkan oleh para ulama itu
ialah peranan untuk meneruskan perjuangan Rasulullah s.a.w. yang membawa
manusia ke pangkuan Allah dan menyebarkan risalah dakwah ke arah membina dan
membentuk masyarakat dengan acuan Islam, untuk melaksanakan dan mempraktikkan
ajaran Islam secara berperingkat-peringkat dalam semua aspek kehidupan, untuk
membangunkan umat Islam sejagat dan memastikan agar obor-obor Islam sentiasa
menyala menerangi alam ini.
Mari kita perhatikan
dalam sepotong hadith yang menunjukkan kelebihan para ulama jika hendak
dibandingkan dengan ahli ibadat, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.:
فَضْلُ
اْلعَالِمِ عَلَى اْلعَابِدِ كَفَضْلِ اْلقَمَرِ عَلَى سَائِرِ اْلكَوَاكِبِ
Maksudnya: “ Kelebihan orang yang alim
jika dibandingkan dengan ahli ibadat seperti kelebihan bulan jika dibandingkan
dengan bintang“.
Kehebatan seseorang
ulama adalah bergantung erat kepada daya fikirnya dan penguasaannya terhadap
ilmu pengetahuan dan ranting-rantingnya. Pengetahuannya yang amat luas itu
merupakan suatu kelebihan yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka, kerana
orang-orang yang ingin menguasai ilmu al-Quran dan ilmu hadith mestilah
mendapat petunjuk dari Allah. Sebab itu, kita dapat saksikan dalam hadith di
atas tadi, bahawa seorang alim yang memiliki ilmu pengetahuan yang cukup dan
menguasainya adalah tidak sama jika hendak dibandingkan dengan ahli ibadat atau
orang yang selalu mengerjakan amal ibadat, kerana orang alim itu menilai
hakikat sesuatu perkara berpandukan kepada ilmu pengetahuan yang dikuasainya.
Mereka amat mahir dan mengetahui sesuatu amalan yang diredhai oleh Allah dan
dapat pula membezakan amalan yang diterima oleh Allah dan amalan yang tidak
diterima oleh Allah, juga amalan yang mempunyai kelebihan dan amalan yang tidak
mempunyai kelebihan. Mereka juga dapat mengetahui persoalan halal-haram sesuatu
perkara dan menilai tingkat amalan melalui hukum syari'at seperti wajib, haram,
sunat, harus dan makruh.
Adapun ahli ibadat, mereka bukanlah seorang yang alim dan mereka
hanya kuat beribadat kepada Allah sahaja. Mereka hanya menumpukan perhatian
kepada lapangan ibadat sahaja dan mempunyai kebolehan dalam beribadat
semata-mata, mereka tidak mempunyai kebolehan untuk mengajar, tidak pandai
berdakwah dan tidak pula mengetahui secara lebih lanjut tentang hukum-hakam
yang diturunkan oleh Allah, kerana kerja mereka seharian hanyalah beribadat.
Maka di sini, kewajiban para ulama ialah mengajar manusia dan mendidik mereka
serta bertanggungjawab memandukan mereka ke jalan yang benar.
Sebab
itu, untuk merealisasikan perkara ini agar menjadi sebuah kenyataan dan
realiti, maka para ulama perlu mencetuskan revolusi minda bagi melumpuhkan sistem
jahiliyah dan suku-sakatnya dalam diri, dalam hati sanubari dan jiwa nurani
serta dalam masyarakat. Tugas dan tanggungjawab para ulama ialah meniupkan
angin perubahan dengan mencetus revolusi minda untuk mengubah dan merombak
sistem pemikiran yang kolot dan jumud kepada sistem pemikiran yang syumul,
sesuai dengan kehendak-kehendak syari’at, sebagaimana yang dikehendaki oleh
al-Quran dan al-Sunnah Nubuwah s.a.w. Melalui serapan nilai-nilai inovasi yang
terkini, para ulama boleh mencetuskan pemikiran yang lebih moden menurut
al-Quran dan al-Sunnah s.a.w. untuk disesuaikan dalam masyarakat setempat. Ini
kerana, umat Islam hari ini telah dilanda dengan pelbagai masalah baru yang
memerlukan penjelasan dari perubahan yang dicetuskan oleh para ulama dan
penyelesaian dari sudut hukum-hakam.
Sekian, wassalam
Al-Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa el-Batnani
Al-Quran, Surah al-Taubah:122.
Riwayat Abu Dawud dan Tirmizi.