PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Tuesday 30 October 2012

INOVASI MINDA


Di sana terdapat peranan ulama yang sangat penting untuk mewujudkan nilai-nilai perubahan dalam masyarakat, peranan untuk melenyapkan sistem jahiliyah dan suku-sakatnya dari sebarang rupa bentuk bagi mewujudkan nilai-nilai pembaharuan ataupun tajdid, peranan untuk mencairkan pemikiran yang beku dan kelu untuk membentuk sebuah pemikiran yang lebih konsisten dan bersemangat, peranan untuk mengubah warna hidup yang gelap-gelita dan hitam pekat kepada warna hidup yang jernih dan terang benderang, peranan untuk mengubah perasaan hati sanubari dan jiwa nurani yang diselaputi dan disaluti debu-debu maksiat, kemudian mengikisnya dengan iman dan keluhuran diri, peranan untuk mencungkil sifat-sifat hipokrik dan kemunafikan serta sifat-sifat yang keji yang bertapak dalam diri untuk dihancurkan-leburkan, peranan untuk melukiskan sebuah kehidupan yang suci yang bebas dari pengaruh luar sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a. dan kemudian dipraktikkan dalam bentuk yang amali, peranan untuk mengibarkan panji-panji LAA ILAHA ILLALLAH dan MUHAMMADUR RASULULLAH dan kemudian menjunjung tinggi kalimahNya, peraturanNya, undang-undangNya dan segala hukum-hakamNya.

          Ajaran Islam yang diturunkan oleh Allah sejak dahulu adalah sama saja dengan Islam yang ada pada zaman sekarang, baik dari sudut kepercayaan dan pegangan hidup terhadap ketuhanan Allah atau dalam amalan hidup yang berkaitan dengan urusan ibadat, urusan muamalat, urusan jinayat, urusan munakahat dan lain-lain, ajaran Islam tetap unggul dan berdiri tegap di atas ubun-ubunnya. Akan tetapi, yang bezanya ialah dari sudut suasana dan keadaan serta gaya penyelesaian dalam beberapa persoalan yang berlaku hari ini. Oleh itu, para ulama perlu berani mencetuskan inovasi minda untuk mengembangkan nilai pengetahuan dan menyelesaikan permasalahan semasa yang berlaku dalam sesuatu perkara, ini semua merupakan suatu maslahat untuk kebaikan bersama.

Firman Allah Ta’ala:

وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنْفِرُوا كَافَّةً ۚ فَلَوْلاَ نَفَرَ مِنْ كُلِّ فِرْقَةٍ مِنْهُمْ طَائِفَةٌ لِيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنْذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ[1]


Maksudnya: “ Tidak semua orang-orang mukmin itu keluar pergi berperang, mesti ada suatu kelompok dalam kalangan mereka keluar memahami agama supaya mereka memberi peringatan kepada kaum mereka apabila mereka kembali (ke kampung halaman), mudah-mudahan mereka beringat-ingat”.

Permasalahan yang berlaku dalam sesebuah masyarakat adalah berbeza sama sekali cara untuk mengatasi dan mencari jalan penyelesaian. Begitu juga dengan tabiat dan budaya hidup sesuatu bangsa, sekalipun mereka mempunyai satu agama dan satu kepercayaan terhadap ketuhanan Allah, namun seandainya tabiat dan budaya itu tidak bercanggah dengan nilai-nilai dan hukum-hakam dalam ajaran agama, maka selagi itulah ianya boleh diterima-pakai dalam konsep kehidupan.  Seandainya kita membaca kitab-kitab yang dikarang oleh para ulama silam, di sana terdapat banyak perselisihan pendapat dan pandangan mereka dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Namun, adakalanya kita boleh menerima-pakai pendapat dan pandangan tersebut untuk diamalkan, tetapi ada juga pendapat dan pandangan tersebut tidak sesuai untuk diamalkan dalam masyarakat kita hari. Bererti, tugas ulama sekarang ialah mencetuskan inovasi minda untuk menyesuaikan pendapat dan pandangan tersebut untuk diamalkan secara praktikal dalam masyarakat hari ini dan kemudian memberi penerangan atau penjelasan mengapa berlaku demikian, supaya masyarakat tidak merasa bingung atau dibayangi perasaan keluh-kesah terhadap isu-isu yang berlaku.

          Para ulama adalah menjadi pewaris kepada para nabi-nabi dan anbiya untuk membuka minda dengan mengajar ilmu pengetahuan kepada seluruh lapisan masyarakat dan memberi peringatan kepada mereka. Para ulama juga mesti berperanan untuk membentuk nilai upaya mereka dengan membentuk daya pemikiran yang kreatif, membaiki taraf hidup dan pendidikan mereka supaya kehidupan yang dilalui itu menepati kehendak syari’at dan tidak terkeluar dari jalan kebenaran. Para ulama mestilah bijak memainkan peranan untuk melahirkan generasi yang ilmiah dan produktif serta berani mewujudkan para du’at yang mampu menyampaikan risalah dakwah ke seluruh anggota masyarakat, sama ada menyeru mereka kembali ke pangkuan Allah atau mendidik mereka dengan didikan yang sempurna atau memberi peringatan kepada mereka tentang ancaman terhadap mereka yang melanggar perintah Allah. Seruan yang disampaikan itu boleh dianggap ‘keramat’ kerana menurut kebiasaan, ulama adalah benih yang baik yang sentiasa mendapat tempat di hati masyarakat jika hendak dibandingkan dengan orang kebiasaan. Perkara ini telah dinyatakan di dalam sepotong hadith, bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

اَلْعُلَمَاءُ وَرَثَةُ اْلأَنْبِيَاءِ وَأنَّ اْلأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوْا دِيْنَارًا وَلاَ دِرْهَمًا وَإِنَّمَا وَرَثُوْا اْلعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ[2]

Maksudnya: “ Sesungguhnya ulama ialah pewaris para nabi-nabi, mereka tidak sekali-kali mewarisi dinar dan dirham, tetapi mereka mewarisi ilmu pengetahuan, sesiapa yang mengambilnya nescaya akan mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda “.


Tugas dan tanggungjawab mencetus idea kreatif dan berinovatif adalah tugas ulama yang diserap melalui sistem tarbiyah dan latihan ilmiah dalam majlis-majlis ilmu, usrah atau halaqah fikriyah. Ini kerana mereka adalah orang-orang yang alim yang tahu banyak perkara, terutama dalam soal hukum hakam. Melalui pengajaran yang disampaikan, bererti mereka telah menyempurnakan sebahagian daripada tugas dan tanggungjawab untuk membentuk masyarakat ilmuan dan sekaligus mengeluarkan mereka dari dibelenggu kejahilan. Sesungguhnya, peranan yang dimainkan oleh para ulama itu ialah peranan untuk meneruskan perjuangan Rasulullah s.a.w. yang membawa manusia ke pangkuan Allah dan menyebarkan risalah dakwah ke arah membina dan membentuk masyarakat dengan acuan Islam, untuk melaksanakan dan mempraktikkan ajaran Islam secara berperingkat-peringkat dalam semua aspek kehidupan, untuk membangunkan umat Islam sejagat dan memastikan agar obor-obor Islam sentiasa menyala menerangi alam ini.

Mari kita perhatikan dalam sepotong hadith yang menunjukkan kelebihan para ulama jika hendak dibandingkan dengan ahli ibadat, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.:

فَضْلُ اْلعَالِمِ عَلَى اْلعَابِدِ كَفَضْلِ اْلقَمَرِ عَلَى سَائِرِ اْلكَوَاكِبِ[3]

Maksudnya: “ Kelebihan orang yang alim jika dibandingkan dengan ahli ibadat seperti kelebihan bulan jika dibandingkan dengan bintang“.

Kehebatan seseorang ulama adalah bergantung erat kepada daya fikirnya dan penguasaannya terhadap ilmu pengetahuan dan ranting-rantingnya. Pengetahuannya yang amat luas itu merupakan suatu kelebihan yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka, kerana orang-orang yang ingin menguasai ilmu al-Quran dan ilmu hadith mestilah mendapat petunjuk dari Allah. Sebab itu, kita dapat saksikan dalam hadith di atas tadi, bahawa seorang alim yang memiliki ilmu pengetahuan yang cukup dan menguasainya adalah tidak sama jika hendak dibandingkan dengan ahli ibadat atau orang yang selalu mengerjakan amal ibadat, kerana orang alim itu menilai hakikat sesuatu perkara berpandukan kepada ilmu pengetahuan yang dikuasainya. Mereka amat mahir dan mengetahui sesuatu amalan yang diredhai oleh Allah dan dapat pula membezakan amalan yang diterima oleh Allah dan amalan yang tidak diterima oleh Allah, juga amalan yang mempunyai kelebihan dan amalan yang tidak mempunyai kelebihan. Mereka juga dapat mengetahui persoalan halal-haram sesuatu perkara dan menilai tingkat amalan melalui hukum syari'at seperti wajib, haram, sunat, harus dan makruh.
  
   Adapun ahli ibadat, mereka bukanlah seorang yang alim dan mereka hanya kuat beribadat kepada Allah sahaja. Mereka hanya menumpukan perhatian kepada lapangan ibadat sahaja dan mempunyai kebolehan dalam beribadat semata-mata, mereka tidak mempunyai kebolehan untuk mengajar, tidak pandai berdakwah dan tidak pula mengetahui secara lebih lanjut tentang hukum-hakam yang diturunkan oleh Allah, kerana kerja mereka seharian hanyalah beribadat. Maka di sini, kewajiban para ulama ialah mengajar manusia dan mendidik mereka serta bertanggungjawab memandukan mereka ke jalan yang benar.

          Sebab itu, untuk merealisasikan perkara ini agar menjadi sebuah kenyataan dan realiti, maka para ulama perlu mencetuskan revolusi minda bagi melumpuhkan sistem jahiliyah dan suku-sakatnya dalam diri, dalam hati sanubari dan jiwa nurani serta dalam masyarakat. Tugas dan tanggungjawab para ulama ialah meniupkan angin perubahan dengan mencetus revolusi minda untuk mengubah dan merombak sistem pemikiran yang kolot dan jumud kepada sistem pemikiran yang syumul, sesuai dengan kehendak-kehendak syari’at, sebagaimana yang dikehendaki oleh al-Quran dan al-Sunnah Nubuwah s.a.w. Melalui serapan nilai-nilai inovasi yang terkini, para ulama boleh mencetuskan pemikiran yang lebih moden menurut al-Quran dan al-Sunnah s.a.w. untuk disesuaikan dalam masyarakat setempat. Ini kerana, umat Islam hari ini telah dilanda dengan pelbagai masalah baru yang memerlukan penjelasan dari perubahan yang dicetuskan oleh para ulama dan penyelesaian dari sudut hukum-hakam.




Sekian, wassalam


Al-Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa el-Batnani




[1] Al-Quran, Surah al-Taubah:122.
[2] Riwayat Abu Dawud dan Tirmizi.
[3] Riwayat Abu Dawud dan al-Tirmizi.

No comments:

Post a Comment