Ini merupakan persimpangan dan langkah
permulaan dalam perjalanan setiap pelajar, langkah untuk memusatkan target
dalam pembelajarannya ke arah satu impian yang nanti akan membuahkan hasil yang
baik. Setiap manusia hendaklah menjadikan dirinya sebagai seorang yang berguna,
berguna terhadap dirinya dan berguna terhadap masyarakat. Kalaulah dia seorang
yang berguna terhadap dirinya, bererti dia telah berjaya membentuk peribadinya
sendiri untuk menjadi seorang yang unggul, seorang yang soleh dan seorang yang
berjaya mengekalkan tabiat kehidupan yang berakhlak, secara tidak langsung dia
akan berguna kepada masyarakat untuk membentuk mereka dan memandukan mereka ke
jalan yang benar. Menjadi seorang pelajar bererti dia cuba sedaya upaya
melengkapkan diri sebagai seorang yang berguna dan sebagai seorang manusia yang
boleh memberi manfaat dalam kehidupan, cuma tinggal lagi keikhlasan di dalam
lubuk hatinya dan penghayatan hidup sebagai seorang pelajar sebagaimana yang
digariskan dalam syarai'at Islam.
Berkata
Abu Darda:
كُنْ عَالِمًا أوْ مُتَعَلِّمًا أوْ
مُسْتَمِعًا وَلاَ تَكُنْ رَابِعًا
Maksudnya:
" Jadikan kamu sebagai seorang yang alim atau seorang pelajar atau
seorang pendengar, dan jangan kamu menjadi orang yang keempat ".
Khalifah
Umar Abdul Aziz pernah bermadah:
تَعَلَّمْ فَلَيْسَ الْمَرْءُ يُوْلَدُ
عَالِمًا وَلَيْسَ أَخُوْ عِلْمٍ كَمَنْ
هُوَ جَاهِلُ
وَإِنَّ كَبِيْرَ الْقَوْمِ لاَ عِلْمَ
عِنْدَهُ صَغِيْرٌ إِذَا الْتَفَّتْ
عَلَيْهِ الْمَحَافِلُ
Maksudnya:
" Tuntutlah ilmu, kerana manusia itu tidak dilahirkan terus menjadi
seorang yang alim, dan orang yang alim tidak boleh disamakan dengan orang yang
jahil, sesungguhnya pemimpin sesuatu kaum yang tidak memiliki ilmu pasti akan
dipandang kecil apabila dikelilingi orang ramai yang berilmu ".
Mungkin
di sana, sebelum seseorang itu melangkah ke alam pembelajaran secara khusus di
mana-mana pusat pengajian, dia mempunyai banyak cita-cita yang terpendam di
dalam jiwanya, dia mahu membentuk dirinya selari dengan apa yang dicitakan
selama ini. Peluang untuk mencapai cita-cita dan impian itu sudah pasti akan
menjadi kenyataan apabila dia menjadi seorang yang berpelajaran dan
berpendidikan tinggi, walaupun tidak seratus peratus, tetapi sekurang-kurangnya
dia dapat merasakan impian dan harapannya itu tidak akan terluka, peluang itu
memang ada dan ternganga luas di hadapannya. Tetapi masalah sekarang, kalaulah
cita-cita yang diharapkan itu terlalu banyak dan bercabang-cabang, nescaya
jalan untuk mencapai cita-cita tersebut dipenuhi dengan liku-liku dan cabang-cabang
yang boleh memeningkan kepala. Jika demikian, bagaimana seseorang pelajar itu
dapat memusatkan target atau sasaran yang hendak dituju kalaulah terlalu
banyak sangat cita-cita yang ada dalam diari fikirannya? Nanti pelajar tersebut
akan rebah di tengah-tengah persimpangan jalan dan tidak terdaya lagi untuk
bangun melangkah ke tempat yang lebih jauh lagi. Oleh sebab itu, setiap pelajar
yang ingin muncul dengan cita-citanya, dengan impian dan harapannya mestilah
memusatkan target dan sasaran dalam pengajian ilmu yang diterokai,
secara tidak langsung dia akan dapat menumpukan perhatian sepenuhnya untuk
menguasai bidang yang diterokai. Tidak kira di dalam apa jua bidang sekalipun,
yang penting ialah pemusatan terhadap cita-citanya yang terpendam di dalam
ruang fikirannya itu akan menjadi kenyataan di suatu hari nanti. Untuk
menghasilkan suatu bentuk penyudahan yang baik dan sempurna, kesungguhan di
dalam sesuatu usaha itu hendaklah menjadi amalan hidup seharian dan
dipertingkatkan dari masa ke semasa, supaya ianya akan menjadi darah daging di
dalam menjayakan cita-cita dan harapan. Usaha yang bersungguh-sungguh itu akan
membentuk nilai-nilai keyakinan dalam diri supaya lebih optimis dan lebih confident,
sebab itu seseorang pelajar yang mempunyai perancangan di masa hadapannya
mestilah meletakkan satu kaedah dalam dirinya sendiri, iaitu belajar untuk
melaksanakan, bukan sekadar untuk membaca dan mengetahui sahaja. Barulah
kesungguhan yang diusahakan sejak dahulu lagi tidak menjadi beku dan berhenti
begitu sahaja, kesungguhan itu akan terus terlaksana dalam impian hidup untuk
menjadi suatu kenyataan apabila diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan.
Benarlah
sabda Rasulullah s.a.w.
الكَلِمَةُ اَلْحِكْمَةُ ضَالَّةُ الْمُؤْمِنِ فَحَيْثُ وَجَدَهَا
فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا
Maksudnya:
" Perkataan yang bijaksana (ilmu) itu adalah sesuatu yang dicari oleh
setiap mu’min, jika ia memperolehinya, maka dialah yang berhak menerimanya
" (Riwayat At Tirmizi).
Sekian, wassalam
Al Faqir ila 'Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani
No comments:
Post a Comment