Al-Qur’an
yang diturunkan oleh Allah bukan sahaja kitab yang mengandungi peraturan dan
undang-undang serta hukum-hakam, bahkan ianya mempunyai nilai bahasa yang
tinggi dan susunan kata yang sungguh menarik. Penerangan mengenai peraturan dan
undang-undang serta hukum-hakam itu dihuraikan dalam bentuk keindahan bahasa
yang teratur, dengan uslub dan gaya bahasa yang menarik dan mudah difahami,
diolah mengikut elemen perundangan untuk mencapai maksud dan tujuan yang hendak
disampaikan. Walaupun terdapat ayat-ayatnya yang ringkas dan bersahaja, tetapi
ianya padat dengan isi pengajaran dan nilai-nilai balaghah yang bermutu tinggi.
Kei’jazan
ayat-ayat al-Qur’an yang ditinjau dari sudut keindahan susunan kata dapat
disaksikan dalam pelbagai bentuk dan rupa. Di antaranya ialah ayat-ayat ayat-ayat yang pendek dan singkat,[1]
tetapi padat dan sarat dengan makna. Sebagai contoh, firman Allah yang terdapat
dalam Surah al-Fatihah, ayat 5:
Firman
Allah Ta’ala:
إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
Maksudnya:
“Hanya Engkaulah yang
kami abdikan dan hanya kepada Engkaulah kami
meminta pertolongan”.
Ayat tersebut ringkas sahaja yang
diulang-ulang perkataan (إِيَّاكَ) sebanyak dua kali. Dengan kalimah (إِيَّاكَ نَعْبُدُ) - “Hanya Engkaulah yang kami abdikan..” bahawa Allah membatasi segala
pengabdian atau ubudiyah hanya kepada diriNya semata-mata. Melalui ayat ini seseorang
hamba hendaklah memutuskan bahawa pengabdian hanyalah semata-mata Allah, tidak
harus nilai-nilai pengabdian itu dikait-kaitkan selain dari Allah. Pengabdian merupakan bentuk ketundukan hamba kepada Allah untuk mengikuti segala perintah dan meninggal
segala laranganNya.[2]
Setelah menyebut: (إِيَّاكَ نَعْبُدُ) -
“Hanya Engkaulah yang kami abdikan..”, lantas al-Qur’an menyebut pula: (وَإِيَّاكَ
نَسْتَعِينُ) - “Dan hanya kepada Engkaulah
kami meminta pertolongan”. Perkara ini menunjukkan pengertian bahawa seseorang
hamba itu tidak sekali-kali mengabdikan diri dan tidak akan percaya tuhan-tuhan
selain dari Allah, dia juga tidak akan sekali-kali meminta apa-apa bentuk
pertolongan atau bantuan selain hanya kepada Allah. Tujuan diletakkan kalimah (نَسْتَعِينُ) ‘minta
pertolongan’ selepas kalimah (نَعْبُدُ) ‘pengabdian’
merupakan bentuk sopan santun ayat dalam pembahasaannya supaya mengabdikan diri
kepada Allah terlebih dahulu, kemudian barulah meminta pertolongan kepadaNya.
Dengan kata lain, sudah selayaknya
seseorang hamba meminta sesuatu setelah dia terlebih dahulu mengerjakan apa yang diperintahkan. Adalah tidak beradab jika seseorang hamba meminta segala sesuatu terlebih dahulu, padahal dia belum melaksanakan
apa yang diperintahkan.[3]
2. Keindahan
Dan Makna Yang Tepat
Ayat-ayat
al-Qur’an mempunyai keindahan dari sudut susunan perkataan yang membawa kepada
makna yang tepat,[4] sekalipun ayat-ayatnya
pendek, hanya terdiri beberapa patah perkataan sahaja. Mari kita lihat contoh
ungkapan ayat, sebagaimana yang terdapat dalam Surah Maryam, ayat 4:
وَاشْتَعَلَ الرَّأْسُ
شَيْباً
Maksudnya:
“Dan kepala ini dipenuhi dengan rambut uban”
Susunan perkataan di atas memiliki
keunggulan dan kekuatan yang tersendiri untuk menggambarkan tentang makna yang
syumul dan menyeluruh. Ayat ini berkaitan dengan kisah Nabi Zakaria a.s. yang
berdoa kepada Allah agar dikurniakan seorang anak lelaki untuk mewarisi risalah
kenabian. Usia Nabi Zakaria a.s. sangat tua, sehingga rambut yang ada di atas
kepala semuanya uban, tidak ada seuratpun yang berwarna hitam. Jumlah perkataan
yang digunakan dalam susunan ayat tersebut hanya tiga patah perkataan sahaja,
tetapi memiliki makna dan pengertian yang amat tepat. Makna syumul ayat di atas
tidak akan tercakup apabila ungkapan atau gaya bahasa lain disusun seperti: (واشتعل شيب الرأس) ataupun (واشتعل الشيب في الرأس) kerana ianya memberi pengertian
‘ihtimal’ dan tidak menyeluruh, iaitu boleh jadi rambut itu uban semua ataupun
sebahagiaan sahaja uban.
3. Nada
Dan Irama Seimbang
Al-Qur'an
mempunyai susunan kata dan kalimah yang seimbang, di samping memiliki nada dan
irama yang sehaluan dengan makna dan pengertiannya. Nada dan kandungan maknanya
berjalan seiring mengikut urutan cerita yang sentiasa kait-mengait dan
bersambungan di antara satu sama lain, tidak mengandungi apa-apa kecacatan atau
‘litar pintas’. Ayat-ayat al-Qur'an sebagaimana yang ditegaskan bahawa ianya
bukan irama syair atau puisi, tetapi memiliki keunikan dalam irama dan
alunannya.[5] Mari kita lihat contoh beberapa ayat
dalam Surah al-'Adiyat:
وَالْعَادِيَاتِ ضَبْحًا فَالْمُورِيَاتِ قَدْحًا[6]
Maksudnya: “Demi Kuda-kuda yang tangkas
berlari dengan kedengaran nafasnya kencang dan demi kuda yang mencetuskan api
dari hentakan kakinya”.
Perkataan
(العَادِيَاتِ)
mempunyai imbangan yang sama dengan perkataan (المُورِيَاتِ),
manakala perkataan (ضَبْحًا) itu juga mempunyai imbangan yang sama dengan perkataan (قَدْحًا),
sama ada dari sudut bilangan huruf yang sama, nada dering yang sama, imbangan
wazan yang sama. Kedudukan nada dan irama yang seimbang membawa kepada nilai
makna dan qira’at yang seimbang. Dalam ayat di atas, Allah bersumpah dengan
kuda-kuda yang tangkas berlari dengan kedengaran nafas yang keluar dari
hidungnya kencang. Perkataan (الْعَادِيَات)
diambil daripada kata dasarnya (الْعَدْوُ) ertinya melampaui
sempadan. Musuh dalam bahasa Arab disebut ( عَدُوّ) kerana kegiatannya
yang melampaui batas. Manakala perkataan (الْعُدْوَان)
ertinya permusuhan kerana wujud padanya unsur-unsur keterlaluan. Larian yang
pantas dan cepat disebut sebagai (الْعَدْوُ) ertinya berlari-lari,
padanya juga wujud unsur-unsur keterlaluan dan melampaui batas-batas
kesederhanaan. Perkataan (ضَبْحًا)
pula ertinya suara nafas kuda-kuda yang kencang berlari tanpa mengenal erti
penat dan lelah.
Dalam
kalangan mufassirin berbeza pendapat untuk menentukan mausuf yang
disifatkan dengan al-`Adiyat di sini, sama ada kuda, unta atau
awan yang berarak laju dari satu kawasan ke kawasan yang lain. Ibn Abbas,
Atha`, Mujahid, Ikrimah, al-Hasan, Qatadah dan lain-lain mereka berpendapat
bahawa apa yang dimaksudkan dengan al-`Adiyat di sini ialah kuda-kuda perang
yang tangkas berlari sehingga mengeluarkan suara dengusan. Ibn Abbas
menyatakan, tiada haiwan berdengus kerana penat berlari melainkan kuda, anjing
dan tha`lab. [7]
Manakala
Ali bin Abu Talib, Ibn Mas`ud, Muhamad Ibn Ka`ab dan al-Suddi berpendapat
bahawa apa yang hendak dimaksudkan dengan al-`Adiyat di sini ialah unta yang
membawa jemaah haji dari Arfah ke Muzdalifah dan seterusnya ke Mina. Mereka
memperkukuhkan pendapat ini kerana surah ini diturunkan dalam perjalanan haji
pada tahun meletusnya peperangan Badar. Pendapat ini menolak al-`Aadiyat dengan
erti kuda kerana dalam peperangan ini hanya dua ekor kuda sahaja bersama
mereka, iaitu kepunyaan al-Zubair bin Awwan dan seekor lagi kepunyaan al-Miqdad
ibn al-Aswad, sedangkan al-`Adiyat menunjukkan sekurang-kurangnya tiga ekor
kuda.[8]
Seorang pakar dalam ilmu tafsir di Mesir bernama Syeikh Amru al-Sya`ir
berpendapat, yang dimaksudkan dengan al-`Aadiyat ialah awan mendung yang
membawa hujan dan berarak laju dari tempat ke tempat serta mengeluarkan suara
angin yang menderu.[9] Imam al-Razi dan kebanyakan
mufassirin mentarjihkan pendapat pertama dan serasi dengan asbab nuzul surah
ini di Madinah selepas keizinan berperang. [10]
4. Fakta
Yang Memuaskan Perasaan Para Pengkaji[11]
Apabila
kita membaca sesuatu artikel, di sana pasti kita akan dapat menilai beberapa
kelemahan yang terdapat dalam tulisan tersebut, sama ada kelemahan dari sudut
salah ejaannya, kelemahan penggunaan perkataan yang tidak tepat, kelemahan gaya
bahasa yang kurang menarik, kelemahan makna yang tidak menepati maksud dan
lain-lain lagi. Namun, apabila kita membaca al-Qur’an dan mendalami makna serta
pengertiannya, maka di sana pasti kita akan dapat memetik beberapa pengajaran
yang baik untuk dihayati dan kita tidak pernah terlintas di sudut hati kita
untuk mempertikai kesahihan ayat-ayat al-Qur’an kononnya mengandungi kesalahan
atau kesilapan.
Sebagai
contoh, mari kita melihat fakta peristiwa banjir besar yang berlaku pada zaman
Nabi Nuh a.s. yang mencetuskan ilham kepada para pengkaji. Nabi Nuh a.s. telah
diarahkan oleh Allah untuk membuat sebuah kapal bagi memuatkan umat manusia dan
binatang ketika itu daripada dibiarkan mati lemas.
Firman Allah Ta’ala:
وَاصْنَعِ الْفُلْكَ بِأَعْيُنِنَا وَوَحْيِنَا
وَلاَ تُخَاطِبْنِي فِي الَّذِينَ ظَلَمُوا إِنَّهُمْ مُغْرَقُونَ وَيَصْنَعُ
الْفُلْكَ وَكُلَّمَا مَرَّ عَلَيْهِ مَلأُ مِنْ قَوْمِهِ سَخِرُوا مِنْهُ قَالَ إِنْ تَسْخَرُوا مِنَّا فَإِنَّا
نَسْخَرُ مِنْكُمْ كَمَا تَسْخَرُونَ[12]
Maksudnya: “Dan binalah bahtera
dengan pengawasan dan dengan panduan wahyu Kami (tentang cara membuatnya),
janganlah kamu merayu kepada Ku untuk menolong kaum yang zalim itu, kerana
sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan, dan Nabi Nuh pun membuat bahtera itu
dan setiap kali dalam kalangan kaumnya melalui tempat dia membina bahteranya,
mereka mengejek-ejeknya, Nabi Nuh menjawab: Jika kamu mengejek kami (kerana
membuat bahtera), maka kami juga mengejek kamu (kerana keengkaran kamu),
sebagai balasan ejekan kamu” .
Sesungguhnya
Nabi Nuh a.s. merupakan orang yang pertama di dunia ini membina kapal
pengangkutan di bawah pengawasan Allah. Kisah Nabi Nuh a.s. ini telah memberi
ilham kepada perusahaan pembinaan kapal di seluruh dunia bagaimana sesebuah
kapal itu boleh terapung-apung di permukaan air tanpa dimasuki air dan tidak
tenggelam, bagaimana ianya boleh menampung bebanan dan muatan yang berat tanpa
menjejaskan keutuhan kapal tersebut, bagaimana pula cara mengemudikannya
sehingga boleh belayar mengikut haluan yang dituju, bagaimana struktur
pembinaan sesebuah kapal itu berada dalam keadaan seimbang sehingga boleh
meluncur ke hadapan dan tidak terumbang-ambing, bagaimana pula dengan
jenis-jenis kayu atau bahan-bahan yang digunakan dalam pembinaannya itu boleh
bertahan bertahun-tahun lamanya, bagaimana kerangka pembinaannya dapat menahan
dari dilambung ombak dan badai, dari ribut dan taufan serta tidak menjejaskan
strukturnya dan banyak lagi perkara-perkara lain..!
Hasil
pendedahan Al Quran ini tentang pembuatan bahtera Nabi Nuh a.s. kita dapat
saksikan, bahawa kapal sekarang telah menjadi kenderaan pengangkutan yang
sangat penting untuk membawa barang-barang yang banyak.
5. Tidak Mempunyai
Percanggahan
Di sana
terdapat banyak ayat-ayat al-Qur’an yang menceritakan tentang kejadian manusia
dari tanah, iaitu Nabi Adam a.s. Tetapi paparan dan huraian ayat-ayat tersebut
kelihatan seolah-olah wujudnya percanggahan di antara satu sama lain.
Orang-orang orientalis menggunakan ayat-ayat ini untuk melemparkan dakyah dan propaganda
yang kononnya terdapat percanggahan dan pertentangan di antara ayat dengan ayat
yang lain. Mari kita saksikan satu persatu ayat-ayat yang dimaksudkan itu.
Dalam Surah al-Rahman, ayat 14,
manusia dijadikan dari sejenis tanah yang kering seperti tembikar:
خَلَقَ الإنْسَانَ مِنْ صَلْصَالٍ
كَالْفَخَّارِ[13]
Maksudnya: “Dia
(Allah) menjadikan manusia dari tanah kering seperti tembikar (tanah yang
dibakar).”
Dalam Surah al-Hijr, ayat 28, manusia dijadikan dari tanah liat kering dan lumpur hitam yang berbentuk:
وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ
لِلْمَلائِكَةِ إِنِّي خَالِقٌ بَشَرًا مِنْ صَلْصَالٍ مِنْ حَمَإٍ مَسْنُونٍ[14]
Maksudnya: “Dan
ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak
menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat kering dan lumpur hitam yang
berbentuk (berupa)”.
Dalam Surah al-Sajadah, ayat 7, Allah Ta’ala memulakan penciptaan manusia dari tanah:
الَّذِي
أَحْسَنَ كُلَّ شَيْءٍ خَلَقَهُ وَبَدَأَ خَلْقَ الإنْسَانِ مِنْ طِينٍ[15]
Maksudnya:
“Dialah Allah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya dan
dimulakan kejadian manusia berasal dari tanah”.
Manakala dalam Surah al-Safaat, ayat
11, manusia hanya dicipta dari tanah liat sahaja:
إِنَّا خَلَقْنَاهُمْ مِنْ
طِينٍ لاَزِبٍ[16]
Maksudnya: “Sesungguhnya
Aku mencipta manusia daripada tanah liat”.
Di dalam Surah Ali ‘Imran pula, ayat
59, Allah mencipta Nabi Adam a.s. dari tanah liat, lalu terbentuk lembaga Adam
a.s.
خَلَقَهُ مِنْ تُرَابٍ ثُمَّ
قَالَ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ[17]
Maksudnya: “Allah
menciptakan Adam dari tanah, kemudian Allah berfirman kepadanya : Jadilah
(seorang manusia), maka jadilah ia”.
Dalam Surah al-Hijr, ayat 29, al-Qur’an menceritakan tentang penyempurnaan proses kejadian manusia dan kemudian ditiupkan roh padanya:
فَإِذَا
سَوَّيْتُهُ وَنَفَخْتُ فِيهِ مِنْ رُوحِي فَقَعُوا لَهُ سَاجِدِينَ[18]
Maksudnya: “Maka
apabila Aku telah menyempurnakan kejadiannya, dan telah meniupkan ke dalam roh
(ciptaan) Ku."
Perlu
dihuraikan mengenai apa yang dimaksudkan dengan
perkataan 'sal sal' dalam Surah al-Rahman, ayat 14 ialah 'tanah kering' atau
setengah kering' iaitu 'zat pembakar' (oksigen), manakala perkataan 'fakhkhar'
pula dimaksudkan sebagai 'zat arang' (carbonium). Dalam Surah al-Hijr ayat 28
juga ada menyebut 'sal sal', manakala perkataan 'hamaa in' ialah sejenis 'zat
lemas' (netrogenium). Dalam Surah al-Sajadah ayat 7 pula menyebut 'thin' iaitu
tanah yang merupakan ‘atom zat air' (hydrogenium). Dalam Surah al-Safaat, ayat
11 disebut perkataan ‘lazib’ iaitu 'zat besi' (ferrum). Dalam Surah Ali Imran ayat
59 disebut perkataan 'turab' iaitu unsur-unsur zat anorganis. Dalam Surah
al-Hijr, ayat 29 adalah penyempurnaan kejadian manusia dan kemudian ditiupkan
ke dalamnya roh untuk membolehkan ianya terus hidup. Ketujuh-tujuh ayat
al-Qur’an tadi, Allah telah menunjukkan tentang proses kejadian Nabi Adam a.s.
sehingga terbentuk jasad dan tubuh badan manusia lalu ditiupkan kepadanya roh
sehingga terbentuk manusia bernyawa. Proses kejadian manusia ini melalui adunan
'zat arang' (carbonium), 'zat lemas' (nitrogenium), 'zat air' (hydrogenium),
'zat besi' (ferrum), yodium, kalium, silicium dan mangaan, yang disebut
'laazib' (zat-zat anorganis). Dalam proses persenyawaan terbentuklan zat yang
dinamai protein. Al-Qur’an telah menerangkan proses asal kejadian jasmani hingga
kepada rohani dan akhirnya ditiupkan roh untuk membolehkan manusia terus hidup.
Adakah ayat-ayat ini ciptaan Nabi
Muhamad s.a.w..? Maka tentu sekali tidak, dan perkara ini menolak dakwaan
orientalis bahawa al-Qur’an itu tulisan dan buah fikiran baginda s.a.w.
Sekian, wassalam
Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani